DILARANG NIKAHI AKU – 35

Dia tenang di tempat duduknya. Menghayati keindahan Kuala Lumpur di malam hari. Senyuman yang terukir di bibirnya jelas menggambarkan betapa tenang perasaannya saat itu.
Namun tangan yang memeluknya dari belakang secara tiba-tiba mengubah segalanya. Dia dibaringkan di tempat duduk kereta bahagian belakang dalam sekelip mata.
Tubuhnya yang kecil menjadi ratahan lelaki itu. Habis bajunya ditarik hingga terkoyak sana-sini. Namun dia tetap tidak mengalah.
Tapi, sekuat apa pun dia meronta, lelaki syaitan bertopengkan manusia itu langsung tidak terusik. Bagaimana pun dia menyoal dan meminta, tiada yang mendengar jeritannya.
“Jangan!”
“Jangan! Jangan!”
“Tak nak, tak nak!!”

############

Sakinah membuka mata mendengar suara jeritan itu. Langkah diatur ke arah suis dan lampu dibuka. Membulat mata melihat Suraya meronta-ronta sendiri di dalam tidurnya.
Butang kecemasan ditekan bagi memanggil doktor dan jururawat. Tubuh Suraya digerakkan bagi menyedarkan gadis itu.
“Su! Su!”
Sakinah menguatkan gerakannya. Tubuh gadis itu diangkat dan didudukkan supaya Suraya segera sedar. Namun, dia masih lagi meracau. Ayat yang sama keluar dari mulutnya.
Jangan. Tak nak. Tak boleh. Entah apa lagi yang dia katakan. Semuanya menuju perkara yang sama. Pokoknya, dia tidak mahu.
Sakinah pasti ia sebenarnya berkait rapat dengan peristiwa yang terjadi pada malam sebelum majlis perkahwinan Beel dan Haikal. Melihat keadaan Suraya, Sakinah mula mempercayai apa yang pihak polis sampaikan padanya.
“Jangan!”
“Su, mama ni!” Sakinah menampar Suraya sekuat mungkin, berharap cara itu dapat menyedarkannya.
Mata Suraya terbuka serta-merta kerana kuatnya tamparan mama. Melihat mama yang memeluknya, tubuh mama dipeluk sekuat hati.
“Mama, Su takut. Su takut!” Suraya mula menangis teresak-esak. Esakannya bahkan makin lama makin kuat.
“Shh… Mama ada, mama ada kat sini” Sakinah menahan air mata dari mengalir. Tubuh Suraya dipeluk lebih erat agar mendatangkan rasa selamat buat puterinya itu.
“Su takut …” Suraya masih mengulang-ulang dalam tangisannya.
Sakinah mengusap tubuh Suraya perlahan. Nampaknya keputusan doktor untuk melihat dahulu keadaan Suraya tidak salah, Suraya masih belum sembuh 100%.
Doktor dan jururawat yang masuk terhenti langkah bila melihat apa yang berlaku. Doktor mengambil nafas sedalam mungkin. Nampaknya jangkaannya tidak salah. Mimpi ngeri itu menghantui Suraya kembali.

###########

Haikal tersenyum bila Beel mengikutnya hingga ke pintu utama. Tidak tahu mengapa Beel menghantarnya, tapi dia gembira dengan kelakuan tiba-tiba Beel pagi ini.
Haikal meletakkan bagasinya di tepi dan mula menyarung kasutnya. Sementara Beel menjadi pemerhati setia.
“Insya-Allah, Ahad malam saya balik” Haikal memandang Beel.
Beel mengangguk. “Jaga diri”.
Haikal menguntum senyum. Beel juga ikut senyum. Beel mengangguk bila Haikal masih berdiri tegak. Haikal pula menanti Beel. Beel menjongket kening bila Haikal masih belum masuk kereta. Dahi dikerutkan.
Haikal memandang Beel. Berharap Beel melakukan sesuatu yang biasa dilakukan seorang isteri tiap kali suami keluar rumah. Namun, Beel sepertinya tidak faham.
“Tak jadi nak pergi ke?” Beel menyoal.
“Saya pergi dulu”.
“Pergilah” Beel ketawa kecil dengan tindakan Haikal. Apa yang tidak kena dengan pak cik longkangnya ini?
“Saya nak pergi ni”.
Beel mengangguk. Tangan dilambai walau Haikal masih di depan mata. Beel langsung menutup pintu rumah bila Haikal sedikit menjauh. Dia mahu menyibuk dengan Nia di dapur. Hari ini Safwan dan Fah akan datang bersarapan di rumah.
Haikal memandang tangannya lama. Tangan itu digenggam menjadi sebuah penumbuk. Kemudian, ia dihentak pada stereng kereta.
Harapannya Beel akan menyalaminya. Sepertimana seorang isteri meminta tangannya jika suami ingin keluar bekerja. Nampaknya Beel langsung tidak memahami maksud dia melambatkan langkahnya.
Haikal melepas nafas. Bilalah dia akan merasai kehidupan biasa seperti pasangan suami isteri normal? Yang rata-rata gembira bila berkeluarga?

############

Suasana di dalam kereta meriah dan riuh-rendah dengan suara gelak tawa mereka bertiga. Apatah lagi dengan karenah Beel dan Fah yang tidak habis-habis mengusik satu sama lain. Membuatkan mata Safwan yang memandu sangat segar.
“Abang Wan” Beel memanggil.
“Ya” Safwan menjawab dalam pemanduannya.
“Kenapa abang Wan tiba-tiba kena tukar kat Terengganu?”
“Kan aku dah cakap, 2 minggu jelah. Bukan kena tukar sampai bila-bila” Fah menyampuk.
Beel mencebik. “Tahulah. Aku nak tanya abang Wan. Yang kau tu ringan mulut sangat kenapa?”
“Eh, aku adik abang aku. Mestilah aku lagi tahu dari kau. Nak tolong jawab tak boleh?”
“Woi, aku pun adik abang Wan juga. Kan abang Wan?”
Safwan terdiam mendengar soalan Beel. Adik? Jika dahulu memang dia menganggap Beel sebagai adik, tapi sekarang …
“Hahaha, abang Wan tak nak mengaku kau adik dia. Padan muka” Fah menjelir lidah pada Beel yang duduk di bahagian belakang.
Beel mencubit lengan Fah kerana sakit hati dengan kata-katanya. “Abang Wan kenapa tak jawab?”
Fah memandang abangnya. Mengapa fikiran abang tiba-tiba melayang? “Abang, dengar tak Beel tanya?”
Safwan memandang dan mengukir senyuman. “Dengar”.
“Beel pun adik abang Wan kan?” Beel menyoal buat kali kedua.
Safwan tersenyum. Anggukan diberikan. “Adik”.
Beel ketawa senang hati. Memadanmukakan Fah kembali. Fah tiba-tiba teringat sesuatu. Dia memandang Beel.
“Kau bagitahu abang Haikal tak kita nak pergi mana?”
Beel memandang Fah kembali. “Tak. Aku tak cakap pun aku nak keluar”.
Fah mengerutkan dahi. “Kau biar betul?”
Beel mengangguk. “Betullah. Kenapa nak tipu pula?”
Fah melepas nafas. “Kiranya suami kau tahu tak ni?”
Beel menggeleng. “Dia pun keluar. Katanya malam Ahad baru balik. Kita balik Ahad petang kan, sempatlah sangat”.
Fah ketawa kecil mendengar kata-kata Beel. “Kau tu dah jadi isteri orang, pergi mana pun kenalah minta izin”.
Safwan berdiam mendengar perbalahan dua gadis itu. Sedikit sebanyak ia membuatkan Safwan rasa tidak selesa. Kata-kata Fah banyak menyedarkannya bahawa Beel milik lelaki lain.
Beel mengerut dahinya. “Aku bukan tak minta izin. Haikal pernah cakap dia izinkan aku pergi mana-mana selagi aku tak buat benda jahat”.
Fah memandang bagai tidak percaya dengan apa yang Beel katakan. Kelihatan seperti Haikal juga memilik sikap keanak-anakan yang sama seperti Beel. Patutlah mereka boleh menjadi suami isteri walaupun saban hari bertikam lidah saja.
“Ke kita nak buat benda jahat?”
Fah memandang dengan pandangan tajamnya. Beel ketawa kecil melihat pandangan Fah. Dan Fah juga ikut ketawa. Safwan sedari tadi hanya menjadi pendengar dan pemerhati setia.

###########

Pintu bilik itu dibuka sesudah jururawat yang menjadi penunjuk jalan beredar dari situ. Dia melangkah masuk dengan langkah kakinya yang perlahan dan berhati-hati.
“Assalamualaikum”.
Sakinah mengerut dahi mendengar suara itu. “Waalaikumussalam, Haikal”.
Haikal menguntum senyum pada Sakinah yang sedang menyusun buku-buku cerita kanak-kanak, digunakan oleh doktor untuk mengenal pasti tahap psikologi Suraya.
“Mak cik apa khabar?” Haikal menyalami wanita itu.
Sakinah tersenyum. “Sihat, bila bertolak dari KL? Tak cakap dengan mak cik pun”.
“Pagi tadi. Baru sampai Negeri Sembilan terus datang hospital”.
Sakinah tersenyum lega. Gembira hatinya bila Haikal datang melawat Suraya. Harapannya biarlah kedatangan Haikal dapat membantu proses rawatan anak gadis kesayangannya itu.
Suraya membuka mata bila mendengar suara itu. Suara yang dirasakan sangat dia kenali. Suara .. Haikal. Apakah Haikal datang melawatnya?
“Su” Haikal mendekati.
Sakinah melangkah keluar dari bilik hospital. Memberi ruang pada Haikal dan Suraya untuk berbicara. Dia juga masih belum menjamah apa-apa makanan sejak malam tadi.
“Haikal” Suraya langsung duduk melihat wajah itu.
Haikal mengukir senyum nipis. Bunga di tangan diserahkan pada Suraya. Suraya tersenyum lebar menyambut bunga lili huluran Haikal.
“Awak sihat?” Haikal memulakan perbualan walau hakikatnya dia terasa tidak selesa ditinggalkan berdua dengan Suraya.
“Doktor kata dah mula adab peningkatan. Cuma …” kata-kata Suraya terhenti bila teringat mimpi ngeri yang selalu dialaminya kebelakangan ini.
“Cuma apa?”
Suraya menggeleng. Dia tidak mahu merisaukan cinta hatinya. “Saya dah sihat. Cuma doktor suruh tinggal lama sikit”.
Haikal mengangguk memahami. Suraya tersenyum, tangan Haikal dicapai dan digenggam. “Saya minta maaf sebab keluar malam tu tak bagitahu awak. Jadi, esoknya …”
Haikal memandang. Nafas ditarik sedalam mungkin. “Tak pe, semua tu dah lepas”.
“Selepas saya keluar hospital, kita mula balik. Boleh kan? Kita plan wedding kita dari awal”.
Haikal terdiam. Bagaimana harus dia memberi jawapan? Tidak mungkin dia memberitahu Suraya bahawa dia telah pun dinikahkan dengan Beel. Ia hanya akan memburukkan keadaan kesihatan Suraya yang sememangnya sudah buruk.
“Boleh kan?” Suraya menyoal lagi, hairan melihat Haikal seperti di awang-awangan.
Haikal hanya menguntum senyum nipis. Tidak tahu apa yang harus dijawab pada Suraya. Dia sendiri tidak tahu kedudukan hatinya kini. Apakah hatinya berada pada Suraya ataupun … Beel?
Suraya memandang Haikal yang tersenyum. Dia menguntum senyum bahagia. Tubuh Haikal dipeluk. Dia mahu segera keluar hospital dan memulakan segalanya semula.
Dia yakin Haikal-lah orang yang tepat buatnya. Kerana dengan Haikal, dia merasa paling selamat. Haikal pasti akan membuatkan dia melupakan kenangan buruk itu.

############

Dia melipat sejadah yang telah digunakan. Songkok diletakkan di sisi dan dia mengambil telefon bimbit yang terletak kemas di atas meja lampu tidur.
Kenalan telefonnya dibuka dan nama Beel ditekan. Dia mengingat semula perbualan dengan Suraya pagi tadi. Perbualan itu membuatkan dia teringat pada Beel.
Nafas ditarik sedalamnya. Butang hijau ditekan menelefon isterinya itu.

###########

Beel berlari anak masuk ke bilik bila mendengar telefon bimbitnya berdering. Meninggalkan Fah yang sedang memasak makan malam di dapur.
Nama ‘Pak cik longkang’ yang tertera di skrin membuatkan dahinya berkerut. Mengapa Haikal menghubunginya malam-malam begini?
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.
“Ada apa?” Beel langsung menyoal sebaik Haikal selesai menjawab salam.
Haikal diam sebentar. Beel diam menanti kata-kata Haikal. Namun, setelah beberapa minit keduanya berdiam … Beel menyoal lagi. “Ada apa?”
“Tengah sibuk ke?”
Beel melepas nafas. Mengambil tempat di atas kusyen yang tersedia di bilik besar itu. “Taklah sibuk pun. Cuma peliklah sebab call malam-malam”.
Haikal melepas nafas. “Dah solat Isya’ ?”
“Dah”.
“Dah makan?”
Beel mengerutkan dahi. Hairan pula dia bila Haikal menyoal soalan sebegitu. “Tengah masak”.
“Masak? Kak Nia tak masakkan ke?”
“Saya keluar dengan Fah. Ada apa-apa ke?”
Haikal diam lagi buat beberapa ketika. Memang benarlah Beel tidak memaklumkan padanya ke mana dia pergi. Seperti yang telah dia perkatakan.
“Awak” Beel memanggil.
Haikal menjawab. “Ya”.
“Kenapa awak call ni? Tak sihat ke?”
“Taklah. Saja …”
“Saja?” Beel menyoal separuh menjerit.
Haikal tertawa. “Kat dapur ke ni?”
Beel menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mengapa soalan Haikal semuanya aneh belaka? “Tak. Kat bilik. Fah ada kat dapur”.
“Dia datang rumah ke?” Haikal terus-terusan menyoal.
Beel ketawa seketika. “Awak nak cakap apa sebenarnya? Kenapa awak call?”
“Saya nak bagitahu yang saya balik Ahad malam”.
“Kan awak dah cakap hari tu?”
“Dah cakap ke?” Haikal menggaru kepala yang tidak gatal. Sedikit memarahi diri sendiri kerana mempamerkan kebodohannya.
“Beel! Kau nak makan tak? Aku dah hidang ni!” Kedengaran suara Fah menjerit dari ruang tamu.
“Kejap!” Beel menjerit membalas panggilan Fah. “Awak” Beel memanggil Haikal.
“Ya?”
“Saya letak dulu ye? Awak tak de benda nak cakap kan? Nanti apa-apa hal awak call-lah. Assalamualaikum” dan butang merah langsung ditekan. Berlari anak menuju ke ruang tamu sementara Fah memanggil Safwan yang menyewa bilik sebelah.
Haikal menjawab salam sesudah mendengar bunyi ‘Tiiiit’. Nafas dilepas. Apalah yang menimpanya sekarang? Nampaknya hanya dia yang beria menghubungi isterinya, tapi Beel biasa-biasa saja. Langsung tiada sebarang respon.
“Mama …”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s