DILARANG NIKAHI AKU – 36

“Siapa call?”
Beel memandang Fah yang menyoal. Serentak itu, Safwan mencedok ayam masak merah dan meletakkannya di pinggan Beel. Beel tersenyum dan mengucapkan terima kasih.
“Pak cik longkang” Beel menjawab soalan Fah dan menyambung suapannya.
Fah menepuk dadanya. Terbatuk-batuk dia mendengar jawapan Beel. Safwan mengerut dahi melihat reaksi Beel. Siapa yang dimaksudkan Beel dengan pak cik longkang?
“Dah jadi suami pun kau panggil dia pak cik longkang lagi?”
Beel mengangguk selamba. Safwan mengangguk perlahan. Baru memahami bahawa pak cik longkang adalah Haikal.
“Alah, dia pun suka panggil aku budak gila”.
Fah ketawa kecil. “”Kalau aku pun, aku panggil kau budak gila. Kan abang?”
Safwan tersenyum kecil. Baginya Beel memang gila kerana suka melakukan sesuatu yang gila-gila. Siapa yang tidak ingat peristiwa Haikal jatuh kolam dulu? Siap dengan sepinggan sarapan lagi. Habis, bertukar warna air kolam.
Sudahlah buat salah, Beel malah tidak mahu meminta maaf lagi. Safwan ketawa sendiri. Tapi, kenakalan dan kegilaan Beel itulah kecomelan dan daya penariknya.
“Abang kenapa?” Fah menyoal separuh menjerit.
Beel menjongket kening. Menanya soalan yang sama. “Abang Wan teringat siapa?”
Safwan menggeleng. “Cepat makan. Esok, kita nak keluar lepas Subuh. Lepas makan, boleh solat Isya’ lepas tu tidur”.
Beel dan Fah berpandangan sesama sendiri. Beel mengangkat bahunya namun Fah kembali memandang Safwan. Dia selalu merasakan Safwan kelihatan aneh kebelakangan ini.
Seingatnya abangnya tidak pernah berperilaku begini. Tapi keadaan abangnya sekarang memang betul-betul aneh. Nampaknya dia perlu mengambil tahu apa yang tidak kena dengan abang.

###########

Fah menekan butang lif naik. Safwan dan Beel singgah di restoran hotel dahulu. Katanya mahu membeli makanan-makanan ringan.
Sebaik pintu lif terbuka, Fah melangkah masuk dan menekan nombor tingkat biliknya. Dahinya berkerut bila pintu lif yang hampir tertutup itu ditahan seseorang hingga ia terbuka kembali.
Fah berundur ke belakang bila menyedari ada orang lain yang mahu masuk ke dalam lif. Dan lif mula menaik bila setelah dia melangkah masuk dan menekan butang tingkat biliknya.
“Fah”.
Fah mengerut dahi mendengar suara itu. Bukankah itu suara … Takkanlah! Fah mengangkat wajahnya perlahan. Memandang lelaki yang kini berada di sebelahnya.
Syakir tersenyum menampakkan barisan gigi. Tiada yang dapat menggambarkan perasaannya bila terserempak dengan Fah dalam keadaan kebetulan begini. Bukankah ini tanda-tanda mereka berjodoh?
“Fah” Syakir memanggil bila gadis itu mendiamkan diri.
Fah mengukir senyum. “Awak”.
“Macam mana boleh ada kat sini?” Syakir menyoal, hairan pula dia Fah berada di Terengganu.
“Abang ada kerja” Fah menjawab perlahan. Pandangannya dialih ke hadapan kembali. Memandang pintu lif yang masih tertutup.
Syakir tersenyum. Rupanya itulah yang dimaksudkan dengan Beel tempoh hari. Katanya dia dan Fah akan bercuti bersama. Beel memang mengajaknya menyertai mereka tapi dia ada kerja pula.
Semuanya kerana Haikal ke Negeri Sembilan. Dia terpaksa menggantikan Haikal ke Terengganu. Tapi, apa boleh dilakukan? Haikal bos, dia pekerja.
Cuma .. tidak sangka pula mereka bercuti ke Terengganu. Punyalah dia frust menonggeng tidak dapat ikut sama, rupanya mereka ke destinasi yang sama. Syakir tersenyum sendiri.
Fah diam keresahan. Bilalah lif akan tiba di tingkatnya ini? Terasa bagai setahun lif itu tiba di tingkatnya. Mampuslah dia kalau abangnya melihat dia bersama Syakir.
Sebaik lif berhenti dan pintu terbuka, Fah melangkah keluar tanpa mempedulikan Syakir yang sedang berkata-kata. Tapi entah apa masalahnya, dia terlanggar pula seorang lelaki yang mahu melangkah masuk ke dalam lif.
Haikal memaut bahu Fah bila gadis itu hampir terjatuh. Lelaki itu menunduk memohon maaf, begitu juga dengan Fah. Dan lelaki itu masuk ke dalam lif.
Fah membetulkan diri, berdiri tegak seadanya. Syakir memandang Fah yang masih berada di tautannya. “Awak ok?”
Saat itu juga, lif sebelahnya terbuka. Memperlihatkan Safwan dan Beel yang sedang berbual.
Safwan mengerut dahi melihat Fah dipeluk seseorang. Walaupun Fah membelakanginya, dia tahu itu Fah. Dia boleh mengenal Fah walau hanya sekilas.
“Fah!” Beel berlari anak menuju ke arahnya.
Syakir menurunkan tangan dari bahu Fah dan Beel memaut temannya. Syakir dipandang dengan kerutan dahi. “Abang Syakir ada kat sini?”
Syakir mengangguk dengan senyuman. Beel memandang Fah dengan kerutan dahi. “Kau ok tak?”
“Oklah. Nak terjatuh je pun, bukannya dah jatuh” Fah memandang Beel.
Beel tersenyum kecil. Safwan maju ke arah mereka. “Kenapa ni Fah?”
Fah cuba menguntum senyum melihat wajah bengis abangnya. Syakir menghulurkan tangan menyalami Safwan. Safwan cuma menyambut hambar.
“Nak terjatuh sikit tadi. Tapi ada orang selamatkan. Kan abang Syakir?” Beel memandang Safwan dan Syakir bersilih ganti.
Fah diam di tempatnya. Selalu kalau keadaan begini berlaku, Beel-lah yang menjadi penyelamat. Lagi pun, dia dan Beel sama-sama tahu abang tidak akan memarahi Beel.
“Dah tak de apa-apakan?” Safwan menyoal.
Fah mengangguk. Safwan mencapai tangan Fah dan menariknya ke bilik. Beel menanti hingga Safwan dan Fah sedikit jauh.
“So, what’s up?”
Syakir mencebik. “Tak de what’s up, what’s up. Ok tak Fah tu? Abang risaulah dia kena marah dengan Wan”.
Beel ketawa kecil. “Tahu pun risau. Beel dah pesan, dengan Fah kena jaga batas. Beel dengan Fah tak sama. Dengan Beel bolehlah abang Syakir nak pegang bahu ke, pegang kepala ke. Dengan Fah tak boleh!”
Syakir melepas nafas. “Tak sengaja. Abang tengok dia nak terjatuh, abang pautlah. Tak sangka pula ..”
Beel menggeleng dan melepaskan keluhannya. “Ni macam mana boleh ada kat sini? Hari tu orang ajak join jual mahal. Banyak kerja konon”.
Syakir mencubit pipi Beel hingga gadis itu mengaduh. “Sakitlah!”
“Abang ada kerja kat Terengganu. Beel tak cakap dengan abang pun nak ke Terengganu?”
“Mana Beel tahu abang ada kerja kat Terengganu?”
Syakir tersenyum. Mereka mula melangkah ke arah barisan bilik-bilik. “Sebenarnya abang free je. Tapi sebab kena ganti Haikal, abanglah ada kerja. Dia free”.
“Ooh”.
“Beel tak nak tanya ke mana Haikal pergi?”
Langkah Beel berhenti mendengar soalan itu. Kebetulan juga, mereka sudah tiba di biliknya. “Ada kaitan dengan Beel tak?”
Syakir mengerut dahi. “Maksudnya?”
“Beel tak ambil tahu pun mana Haikal pergi. Oklah, apa-apa hal nanti abang call tau”.
Syakir masih di tempatnya. Kebingungan. ‘Beel tak ambil tahu pun mana Haikal pergi?’ Bagaimana keadaan rumah tangga mereka ketika ini sebenarnya?

#############

Suraya tersenyum bila Haikal menyelimutkan dirinya menggunakan selimut yang dibelikan Haikal khas ditempah dari dobi hospital. Selimut jenis kain baldu berwarna biru laut itu memang selesa.
“Saya balik dulu. Kalau ada masa, nanti saya datang lagi” Haikal mengambil tempat di kerusi sisi katil Suraya.
Suraya mengangguk dalam pembaringannya. Tangan Haikal yang terletak di sisi ditarik dan dicapai. Ia digenggam penuh erat.
“Awak janji dengan saya kan?”
Haikal diam seketika. Janji? Apakah itu yang dimahukan Suraya? Dia sendiri tidak punya keinginan untuk ke sini lagi. Yang berada di fikirannya hanya Beel seorang.
“Haikal” Suraya memanggil lembut.
“Ya” Haikal mengangguk dan membalas senyumnya.
Suraya menguntum senyum menampakkan giginya. “Janji kan?”
Haikal melepas nafas. “Saya tak boleh janji. Tapi kalau kerja saya clear, saya akan cuba datang”.
“Betul?” Suraya menyoal lagi, meminta kepastian.
Haikal mengangguk membuatkan Suraya tersenyum lebar. Zamri dan Sakinah yang sedang duduk bersama di sofa tersenyum melihat gelagat Suraya. Mereka tahu, kedatangan Haikal pastinya membuatkan Suraya gembira.
Pun begitu, ada sesuatu yang dirisaukan Zamri. Jika Haikal ke sini, siapa yang menjaga anak saudara kesayangannya seorang itu? Walaupun dia maklum Beel pandai menjaga dirinya sendiri, adakah Beel selamat jika sendirian?
Mungkin ada pembantu rumah menemani. Zamri menyedapkan hatinya. Hasratnya memang mahu menyoal, tapi jika terdengar Sakinah dan Suraya .. Alamatnya matilah dia dan Haikal.

############

Beel berlari anak ke luar rumah bila mendengar kata-kata Nia. Katanya Haikal sudah selamat sampai. Tapi dia masih belum turun dari keretanya.
Langkah Beel mati buat seketika. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Mengapa dia gembira dengan kepulangan Haikal? Apakah dia menunggu Haikal pulang?
Tidak mungkin. Jam dinding yang tersangkut dipandang. Jam juga sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Mengapa dia buang tabiat menanti kepulangan Haikal?
Beel menggeleng-geleng sendiri. Mana mungkin dia menunggu Haikal pulang. Haikal bukan siapa-siapa padanya. Hanya sekadar teman rumah yang berkongsi bilik.
“Roommate!” Beel menjerit kecil. Ya, itulah Haikal padanya. Roommate atau teman sebilik. Bila teman sebilik kita mahu pulang, pastilah kita menyambutnya kan?
“Cik Beel, kenapa berdiri kat sini?” Nia menggoyangkan bahu Beel perlahan.
Beel menggeleng. Nia menguntum senyum. “Jom. En.Haikal tengah turunkan beg dia”.
Beel mengangguk. Namun kakinya tidak melangkah. “Kenapa Beel kena sambut dia pula?”
Nia mengerut dahi mendengar soalan yang dilontarkan Beel. “Kan En.Haikal suami Cik Beel”.
Beel menggeleng laju. “Tak pelah. Beel tak nak. Kak Nia pergilah ambil beg dia. Kalau dia tanya, cakap Beel dah tidur”.
Selamba Beel memaling dari Nia dan melangkah ke bilik semula. Dia kalau boleh tidak mahu lagi mengulangi tindakannya tadi. Kalau Haikal tahu, pasti tidak habis dia diusik.

############

Haikal menguntum senyum nipis bila Nia memberitahu Beel sudah lama terlelap. Langkahnya lemah diatur ke bilik. Sementara Nia disuruh menyambung tidurnya semula.
Pintu biliknya dibuka perlahan. Lampu bahagian bawah dipasang bagi menerangkan suasana. Bahagian atas tempat Beel diintai. Nafas dilepas bila ternyata gadis itu terbaring membelakanginya. Kelihatan sudah lama tidur.
Dia tahu jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Waktu yang selalunya manusia masih lagi melelapkan mata. Tapi, entah kenapa dia terasa kecewa kerana Beel tidak menyambut kepulangannya.
Bukankah selalunya isteri akan menyambut kepulangan suami tanpa mengira masa dan tempat? Nafas dilepas, melepaskan keluhan yang terasa berat.
Langkah diatur perlahan menuju ke arah Beel. Perlahan bibirnya mengukir senyum melihat wajah tenang Beel. Tangan yang tadinya dibiarkan kini hampir menyentuh pipi Beel.
Haikal mengerut dahi tiba-tiba. Tangannya yang ingin mengusap pipi Beel dipegang menggunakan tangan sebelah lagi.
“Apa kau buat ni Kal?” Haikal berbisik, menyoal dirinya sendiri.
Langsung dia bangun dan melangkah ke arah bawah. Apakah dia sudah buang tabiat? Terkeluar dari kebiasaannya? Jangan-jangan, dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan budak gila itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s