DILARANG NIKAHI AKU – 38

Berdebar-debar dia melangkah mengikut opah dan pak long dari belakang. Lama rasanya tidak bertemu Kak Su, agaknya bagaimana respon Kak Su bila melihatnya?
“Beel, kenapa?” Zamri menyoal bila Beel berhenti.
Puan Sri Normah memandang Beel yang berada belakang sikit darinya. Tangan gadis itu ditarik supaya Beel dekat dengannya. “Kenapa ni?”
Beel menggeleng. Zamri menguntum senyum, mendekati Beel. Kepala anak saudaranya itu diusap penuh kasih. “Beel takut ke?”
Beel ketawa kecil. “Kenapa pak long cakap macam tu? Takut?”
“Beel dah lama tak jumpa Kak Su. Rasa lain”.
Puan Sri Normah menguntum senyum. “Dahlah. Jom. Mana tahu Kak Su pun rindukan Beel”.
Beel mengangguk. Sebelah tangannya dipaut opah dan sebelah tangannya lagi dipaut pak long. Beel melangkah yakin. Semoga Kak Su menyambut kedatangannya dengan hati terbuka.

###########

Dia memandang jam tangannya. Nafas dilepas. Hampir 30 minit dia menunggu bubur ayam yang ditempah khas untuk Suraya. Sekarang pun masih belum siap lagi?
Dia terus menanti. Ikutkan hati mahu juga dia marah-marah pada pekerja restoran mewah itu. Dia memanglah paling tidak suka menunggu. Tapi dia diam sahaja. Sedikit sebanyak boleh juga membuatkan dia sedikit lewat.

###########

“Su”.
Suraya memandang pintu yang dibuka dari luar. Mama yang sedang mengupas kulit buah turut memandang.
“Su sihat?” Zamri melangkah masuk dengan senyuman.
Suraya mengukir senyum lebar bila melihat papa datang. Senyumnya bertambah lebar bila opah yang masuk setelah itu. Tidak sangka opah sanggup duduk dalam kereta selama berjam-jam untuk melawatnya.
Namun, wajah yang dilihat selepas itu tidak lagi membuatkan dia tersenyum. Beel masuk menayangkan wajah yang dirasakan sama dengannya.
“Papa” Suraya tersenyum.
Zamri mengusap kepala Suraya dan mencium kepalanya. Suraya hanya senyum. Puan Sri Normah mengambil tempat di kerusi yang berada di sisi katil Suraya setelah disalami Sakinah.
“Ibu letih naik kereta?” Sakinah menyoal, dia menghulurkan segelas air putih buat ibu mertuanya.
“Adalah penat sikit. Biasalah orang tua. Suraya macam mana?”
Suraya tersenyum. Tangan opah disalamnya. “Oklah juga. Terima kasih sebab datang tengok Su”.
“Cucu opah, mestilah opah datang” Puan Sri Normah mengusap pipi cucunya itu. Wajah Beel yang sedari tadi berdiri tegak dipandang. “Beel, sinilah. Salam kakak”.
Beel memandang Suraya namun Suraya mengalih pandangannya. Beel menelan liur. Nampaklah sangatnya bahawa Kak Su tak suka dia datang.
“Beel” Zamri menarik tangan Beel agar mendekati Suraya.
“Kak Su” Beel mengukir senyum, menguntum senyum semanis dan seikhlas mungkin.
Suraya memandang. “Kau sihat ke?”
“Sihat” Beel menjawab perlahan.
Suraya mengangguk memahami. Sejujurnya dia bukanlah bencikan adik sepupunya itu, hanya sekadar tidak suka. Selalunya apa yang menjadi miliknya pasti menjadi milik Beel pada akhirnya. Bagaimanalah dia boleh menyayangi dan mengasihi Beel seadanya?
“Kak Su macam mana?” Beel menyoal, cuba mencari topik untuk berbual.
“Kalau aku sihat aku tak de kat hospital ni” Suraya memandang.
Beel terdiam. Akhirnya dia hanya berdiri di belakang opah sementara opah menyoal itu dan ini. Bermesra dengan Suraya yang kelihatan sangat gembira. Sementara Sakinah dan Zamri berbual sendiri mengenai keadaan kesihatan Suraya.
Pun begitu, Beel tetaplah gembira. Walaupun kedatangannya tak bersambut, sekurangnya dia dapat juga melihat wajah Kak Su. Hanya tahu Kak Sunya sudah semakin pulih, itu juga membuat dia gembira.
Pintu terbuka dari luar. Beel dan seisi bilik memandang. “Saya bawakan bubur ayam kesihatan untuk Su. Khas ditempah untuk Suraya Hanisah”.
Puan Sri Normah memandang Beel di belakangnya. Terasa sedikit tidak selesa dengan keadaan itu. Beel tersenyum memandang wajah itu. Sebolehnya tidak mahu Suraya mengesyaki apa-apa.
“Haikal” Suraya tersenyum memandang Haikal.
Zamri dan Sakinah mengambil tempat di sofa. Tidak mencampuri apa yang berlaku. Sakinah hanya tersenyum kecil melihat wajah Beel yang sedikit terkejut. Zamri diam sendiri. Simpati dengan anak saudaranya tapi lebih baik dia diam sahaja.
Haikal memandang Beel lama. Tidak menyedari rupanya mereka berdestinasi yang sama. Dia sendiri tidak memberitahu Beel yang dia mahu melawat Suraya. Dan Beel juga langsung tidak memberitahu apa-apa.
“Haikal, awak bawa apa?” Suraya menyoal setelah melihat Haikal ‘membeku’ di pintu masuk.
Haikal mengalih pandangan dari Beel pada Suraya. “Bubur ayam”.
Beel diam di tempatnya. Suraya tersenyum memandang Haikal yang membuka plastik yang berisi bekas makanan itu. Haikal memandang Beel sekilas. Namun Beel tidak mempedulikannya.
Suraya tersenyum bila Haikal meletakkan bubur ayam itu di hadapannya. “Terima kasih”.
Haikal mengangguk. Puan Sri Normah dipandang. “Bila opah dengan Beel sampai?”
Puan Sri Normah memandang Beel yang berada di belakangnya. “Baru je sampai. Haikal dah lama kat Negeri Sembilan?”
“Dah sehari”.
“Minggu lepas pun Haikal datang tengok Su. Sweet kan?” Suraya tersenyum sambil menyuap bubur ayam itu ke dalam mulut.
Haikal diam, pandangannya dihalakan pada Beel. Namun Beel masih sama. Langsung tidak terusik dengan pandangan Haikal.
Suraya mengerut dahi melihat Haikal yang berdiam diri. Haikal yang berada di sisi kirinya dipandang. Sebaik Haikal perasan Suraya memandangnya, Haikal membalas pandangan Suraya.
Bibir mengukirkan senyum. Jika Suraya melihat kelakuannya, yang teruk adalah Beel. Puan Sri Normah melepas nafas, menyedari situasi tidak menyenangkan itu.
Sakinah memandang Zamri. Bibirnya mengukir senyum yang tak habis sedari tadi. Seronok pula dia melihat keadaan Beel yang tersepit.
Zamri memandang dengan perasaan tidak enak. Maklum keadaan isterinya yang tidak berapa sukakan Beel. “Suraya kena jumpa doktor kan?”
Sakinah membulatkan mata. Jam dipandang. Hampir terlupa pula dia. Jururawat masuk menolak kerusi roda. “Maaf, doktor tengah tunggu Cik Suraya”.
Suraya memberi anggukannya. Dia menanti Haikal menyambut tangannya. Haikal memandang Beel lagi. Beel mengundur ke belakang. Memberi ruang untuk Suraya turun dari katil.
“Haikal” Suraya memanggil.
Haikal memandang. Baru terperasan kehadiran jururawat yang membantunya. Dia mengukir senyum. “Jom”.
Puan Sri Normah memandang Beel. Tangan cucunya itu dicapai dan digenggam. Dia tahu sedikit sebanyak Beel terusik juga. Mungkin Beel kelihatan biasa pada mata lain. Tapi dia yang menjaga Beel dari kecil, dia tahu perasaan Beel saat ini.
Haikal memapah Suraya hingga dia duduk di atas kerusi roda. Zamri dan Sakinah mengikut jururawat yang menolak kerusi roda Suraya. Mahu menemui doktor membincangkan soal puteri mereka.
Tinggal Haikal, Beel dan Puan Sri Normah sahaja di bilik. Beel selamba melangkah ke arah sofa. Mencapai majalah yang tadinya dibaca mak longnya.
“Beel” Haikal memanggil.
Puan Sri Normah memandang pasangan suami isteri muda itu. Nafas dilepas. Dia tahu Beel akan buat tak tahu dengan Haikal. Bukankah itu sikapnya dari dulu?
“Beel” Haikal mendekati.
Beel memandang dengan senyum nipis. “Kenapa?”
“Awak tak cakap pun yang awak nak datang?”
“Awak pun tak cakap yang awak nak datang tengok Kak Su” Beel menjawab.
“Saya takut awak …” Haikal mati ayat. Tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kata-katanya.
Beel melepas nafas. “Saya tak kisah dan tak akan kisah apa pandangan awak. Awak tak bagitahu saya, kenapa saya nak bagitahu awak? Kalau awak tahu, awak nak kita datang sama-sama ke?”
Haikal diam. Kata-kata Beel benar. Alang-alang dia mahu ke Negeri Sembilan, lebih baik Beel mengikutnya saja.
“Awak ingat Kak Su suka tengok kita sama-sama?”
Haikal diam lagi. Beel memang pandai membuatkan dia membisu jika masuk hal ini. Beel bangun dari duduknya. “Dahlah. Gaduh pun tak de guna. Yang berhak dapat perhatian awak tu Kak Su, bukan saya. Opah”.
Beel melangkah ke arah Puan Sri Normah dan menarik lengannya. “Jom kita pergi kantin. Beel terasa macam nak makan pula”.
Haikal diam memandang Puan Sri Normah yang sudah berada dalam pautan Beel. Beel melangkah ke arah pintu dan keluar meninggalkan Haikal sendirian di bilik hospital.
Haikal melepas nafas. Mengapa semua jadi begini?

###########

Dia tersenyum memandang Fah dan Safwan yang baru turun dari kereta Safwan. Dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke arah mereka.
“Fah, abang Wan” Beel memegang tangan Fah.
Fah tersenyum. “Seronok kau aku bawa abang Wan, kan?”
Beel sengih. “Abang Wan dah lama tak datang”.
Safwan tersenyum. Bukanlah dia tidak mahu datang, cuma dia tahu kedatangannya tidak disenangi Haikal. Dia tidak mahu Beel bergaduh dengan Haikal kerananya.
“Alah, sekarang ni asyik tak sefahaman je dengan dia. Asyik bertikam lidah” Beel memandang Fah.
Safwan tersenyum. Beel seperti tahu-tahu saja apa yang terlintas di fikirannya. Fah melepas nafas. Mereka berjalan beriringan ke pondok semula.
“Bilalah kau nak berbaik dengan suami kau?”
Beel mencebik. Safwan dipandang. “Beel tak pernah anggap dia suami Beel pun”.
“Beel!” Fah meluku kepala Beel, geram dengan kata-katanya.
“Yelah. Kita orang kahwin ni pun, TERkahwin. Dia ada hidup dia. Aku ada hidup aku. Aku nak sambung belajar. Tak nak jadi isteri orang! Sekarang Kak Su dah sihat. Bila Kak Su dah keluar hospital, bolehlah aku minta cerai. Lepas tu, hidup kita orang macam biasa balik. Dia dengan Kak Su, aku dengan hidup aku. Kan settle?”
Safwan mengangguk. “Baguslah tu. Dah ada perancangan. Tak delah bila Beel pisah, Beel tak de hala tuju”.
Fah mengerut dahi memandang abangnya. Apa yang abangnya katakan ini? “Abang!”
Safwan memandang Fah. Tidak menyedari dia sudah terlepas melepaskan rasa hatinya. Beel ketawa kecil. “Abang Wan is the best!”
“Abang! Apa abang cakap tadi?”
“Kenapa?” Safwan mengerut dahi bila Fah mencubitnya.
Suara berdehem dari belakang mematikan perbualan mereka. Beel menoleh, merasakan suara Haikal yang mengganggu perbualan mereka.
Safwan bangun dan menghulur tangannya. Haikal menyambut dengan wajah bersahaja. Langsung tidak tersenyum atau memberi senyuman.
Fah memandang kedua lelaki itu. Terasa meremang pula bulu romanya melihat keadaan mereka. Dia bangun dari duduk dan memandang abangnya. “Abang, jom pergi kedai buku”.
Safwan memandang Fah. Bila masa pula adiknya ini mahu ke kedai buku? “Bookshop?”
Fah mengangguk. Tangan Fah dicapai. “Aku gerak dulu. Memang nak singgah je. Dah lama tak jumpa kau kan?”
Beel tersenyum tawar. Tahu sangat Fah sengaja mahu mengelakkan pertemuan Haikal dan abang Wan.
Fah terus menarik tangan Safwan menuju ke kereta. Beel menjeling Haikal. Langkah kakinya laju melarikan diri dari lelaki itu. Haikal melepas nafas, namun langkah kaki mengejar Beel.
“Beel!”
“Beel!”
“Beel, Beel!”
Beel berhenti setelah beberapa kali namanya dipanggil. “Kenapa awak buat macam tu?”
“Saya pernah cakap dengan awak yang saya tak suka Wan datang sini”.
“Apa masalah awak ni? Abang Wan datang kejap je. Lagi pun dia bukannya orang lain pun. Dia tu abang Fah, abang kawan baik saya” Beel mengerut dahi, kehairanan dengan sikap Haikal yang selalu panas bila dia berada bersama Safwan.
“Awak anggap dia macam abang. Dia anggap awak adik tak?”
“Mestilah dia anggap saya adik. Saya dengan abang Wan kenal dari kecil. Kalau dia anggap saya lain dari Fah, mestilah saya perasan”.
Haikal menggeleng. “Saya lelaki, dia lelaki. Saya tahu dia tak anggap awak adik. Dia sayangkan awak lebih dari tu”.
Beel mengeluh. Susahnya bercakap dengan orang yang selalu merasa dirinya betul. “Kalau betul pun, apa masalahnya? Kalau betul pun abang Wan sayang saya, cintakan saya. Apa kaitan dengan awak? Yang awak nak marah-marah macam awak cemburu ni kenapa?”
Haikal mengetap bibir. “Saya suami awak. Awak ingat orang-orang tak pandang ke? Isteri saya bawa lelaki lain masuk rumah. Saya yang kena dengan masyarakat”.
“Ok. Kalau awak nak jaga sangat nama baik tu, lepaskan saya. Kita memang takkan dapat hidup bersama kan? Seorang hitam, seorang putih. Memang tak boleh campur. Jadi, benda terbaik, kita pisah” Beel memandang. Dia sudah letih mempertahankan sesuatu yang dia sendiri tidak sukai.
Haikal terdiam. Dibiarkan Beel yang masih marah melangkah ke biliknya. Dia terduduk di atas kerusi ruang tamu itu. Pisah?
Sesuatu yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Bagaimana Beel boleh mengucapkan hal itu walau tanpa sekelumit rasa sedih? Begitukah Beel membencinya walau setelah beberapa bulan hidup bersama?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s