DILARANG NIKAHI AKU – 39

Fah melajukan langkah mengejar abangnya. Safwan pula bagai tahu Fah ada sesuatu yang ingin dikatakan. Semakin Fah dekat, semakin dia menjauh.
“Abang!” Fah akhirnya memanggil.
Safwan berhenti melangkah. Fah yang mengejar dipandang. Menanti kata-kata adik kesayangannya itu.
“Kenapa abang buat macam tu?”
Safwan mengerut dahi. “Buat apa?”
Fah melepas nafas. Tangan Safwan ditarik memasuki rumah. Pintu ditutup dan dia mengambil tempat di sisi abangnya. “Kenapa abang sokong Beel minta cerai?”
Safwan memandang Fah kebingungan. “Bila masa pula abang sokong Beel minta cerai ni?”
“Abang .. Selalunya abang akan cakap suami tu lah yang utama. Tapi tadi abang cakap, baguslah. Beel dah ada perancangan. Tak sama ke macam menyokong?”
Safwan melepas nafas. Tangan meraup wajah, mata dipejam. Bagaimanalah dia boleh terlepas kata tadi? Dia sendiri tidak faham dirinya sendiri.
Sedangkan dia sudah berjanji dengan diri tidak akan melanggar batas seorang abang. Apakah Fah dapat meneka fikirannya?
“Abang gurau je dengan Beel tadi. Takkan abang nak galakkan dia cerai pula kan?”
Fah diam. Wajah Safwan dipandang dan diteliti. Langsung tidak percaya dengan kata-kata Safwan. Sudahlah kebelakangan ini abangnya kelihatan aneh sahaja.
“Dahlah. Abang nak masuk bilik, nak mandi, solat, tidur. Penat sangat ni. Fah jangan lupa solat Isya’ tau” Safwan menepuk bahu Fah dan bangun dari duduknya.
Fah masih di tempatnya berfikir. Tanda-tanda perangai abang .. Bila dengan Beel terutamanya. Apakah ia membawa maksud abang sukakan Beel? Abang sayangkan Beel lebih dari seorang adik?

#############

Syakir melepas nafas mendengar cerita Haikal. “Normal-lah dia marahkan kau. Kau ni pun satu, dah sayang Beel … mengakulah. Apa susah? Bila kau tunjuk cemburu macam ni tapi tak nak mengaku, memanglah budak tu pening. Kau pun tahu kan? Dia tu budak lagi. Fasal benda macam ni, dia bler lagi. Soal hati perasaan segala bagai ni, kau ingat dia pandai sangat ke?”
Haikal menjeling Syakir yang membebel panjang lebar. Majalah di hadapannya diambil dan dibaling tepat mengenai kepala temannya itu. “Sakitlah bengong!”
“Tahu pun. Aku bukan suruh kau membebel. Aku suruh fikir cara macam mana nak buat aku dengan Beel tak bergaduh sampai bila-bila!”
Syakir mengeluh. Balik-balik itulah soalannya. Disuruh meluahkan perasaan tidak mahu. Itulah, inilah. Sedangkan semut pun tahu bahawa dia menyayangi Beel sebagai seorang wanita.
“Kau dengar tak ni?” Haikal terus mendesak.
Syakir bangun dari duduknya dan menyertai Haikal di sofa. “Kau bagitahu jelah yang kau sayangkan dia. Susah sangat ke?”
“Apa kau merapu ni?”
“Tengok! Aku cakap fasal ni je, kau cakap aku merapu. Kau ni tak nak lupakan Nab, bukan tak boleh lupakan” Syakir merungut.
“Yang kau tiba-tiba ungkit fasal Nab ni kenapa?”
Syakir melepas nafas. “Dahlah. Orang keras kepala macam kau ni, cakap apa pun tak nak dengar. Esok lusa kalau bakal abang ipar aku rampas isteri kesayangan kau tu, padan muka!”
Haikal mengetap bibir memandang Syakir yang sesedap hati ‘menyemburnya’. Syakir sudah membuat riak wajah malas mahu melayan. Fail yang asalnya mahu ditunjukkan pada Haikal diambil kembali dan dia keluar dari pejabat Haikal dengan perasaan geram.

###########

Beel melunjurkan kaki di atas katil. Dia bersandar pada bantal yang disusun supaya dapat menahan tubuhnya. Perlahan, matanya dipejam.
Tidak sampai seminit kemudian, dia menjerit sekuat hati. “Ish! Bosannya! Nak buat apa ni?”
Beel membuka mata. Bukan jenis dialah yang boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Memang dia tidak suka membuat kerja rumah, dia suka bermain! Masalahnya dia sendirian di rumah sekarang.
Kak Nia sudah keluar membeli barang dapur bersama Pak Abu. Jadi tiada orang di rumah. Apa yang harus dia lakukan?
Beel menghentak kaki kerana terasa kebosanan yang amat. Tiba-tiba dia teringat. Kebelakangan ini Kak Nia selalu mengatakan mahu mengemas stor tapi masih belum berkesempatan.
Beel menguntum senyumnya. Dia sudah punya idea. Kata orang, sambil menyelam minum air. Sambil konon dia mengemas, bolehlah dia menyelongkar isi stor itu.
Beel melangkah keluar dari bilik penuh semangat. Dia sudah punya kerja!

###########

Dia meminta jururawat yang menolak kerusinya berhenti di situ.
“Cik Suraya nak berhenti kat sini?” jururawat manis itu menyoal.
Suraya mengangkat wajah memandang langit. Nafas ditarik sedalamnya dan dia tersenyum memandang jururawat itu. “Ya”.
Jururawat itu mengangguk patuh. Dia duduk di kerusi batu putih yang tersedia di taman hospital itu. Sedikit belakang dari Suraya.
Suraya meneliti taman hospital yang dipenuhi pesakit. Berbagai ragam yang dapat dilihat. Rata-rata semuanya ditemani pasangan masing-masing.
Ada suami yang sakit ditemani isteri dan ibu. Ada suami yang sakit ditemani isteri dan anak-anak. Ada isteri yang sakit ditemani suami bersama keluarga. Ada juga pasangan kekasih yang menemani pasangan masing-masing.
Juga ibu menemani anak. Anak menemani ibu. Ayah menemani anak begitu juga sebaliknya. Ada juga kawan menemani teman-teman mereka. Dan pastinya ada yang bersendirian mengambil angin di taman itu.
Suraya melepas nafas. Mama baru pulang ke Kuala Lumpur semalam bersama papa. Tapi Suraya tahu mama akan kembali esok. Mama tidak akan meninggalkannya bersendirian berlama-lama.
Sebenarnya elok juga mamanya pulang ke Kuala Lumpur. Semenjak dia ditempatkan di Negeri Sembilan, belum pernah sekali pun mama pulang ke Kuala Lumpur. Inilah kali pertama. Sekurang-kurangnya dapat juga mama berehat dari menjaganya pagi petang siang malam.
Dia tersenyum sendiri bila mengenangkan hujung minggu ini Haikal akan datang lagi. Memang Haikal tidak berjanji apa-apa, tapi dia merasakan Haikal akan datang.
Ini kerana sudah empat minggu berturut Haikal datang melawatnya setiap hujung minggu. Dengan keberadaan Haikal, semangatnya untuk menjalani proses rawatan sememangnya meningkat. Doktor sendiri telah mengesahkan dia mengalami perubahan positif yang ketara.
Sekarang, dia hanya perlu menyahkan mimpi ngeri itu. Setelah itu, segalanya akan tamat. Dia boleh pulang ke Kuala Lumpur dan menjadi isteri Haikal yang sah. Sama seperti sediakala.

############

Buku-buku yang dipunggahnya disusun kembali ke dalam kotak. Kebanyakan buku yang dia sendiri tidak memahami isi kandungannya. Kerana ia menggunakan Bahasa Arab.
Mengapa Haikal tidak meninggalkan buku itu di Kuwait saja? Bukankah ia lebih diperlukan di sana? Nampaknya Haikal jenis lelaki yang sangat sayangkan barangannya.
Kotak tadi disimpan kemas dan dia mengambil kotak lain pula. Kotak itu kelihatan lebih menarik padanya. Beel membuka kotak itu dengan berhati-hati. Pun begitu, hidungnya ditutup kerana kotaknya sangat berhabuk.
Satu demi satu barangan di dalamnya dikeluarkan. Dahinya berkerut bila terselit di dalamnya bingkai gambar berwarna putih yang berukir.
Beel mengelap habuk yang berada pada cermin bingkai menggunakan tangan. “Haikal?”
Gambar itu diteliti lebih dalam lagi. Matanya dikecilkan bagi memastikan apakah gambar itu gambar Haikal.
Memang benar. Gambar itu adalah gambar Haikal. Gambar Haikal bersama perempuan lain! Beel mengetap bibir menahan geram. Jadi selama ini Haikal mempermainkan Kak Su kesayangannya?
Beel diam berfikir sebentar. Jika ia di dalam stor, bererti ia adalah masa lalu. Tapi, Beel memang langsung tidak percayakan Haikal.
Bingkai gambar itu diambil keluar dari bilik stor. Kemudian dia ke biliknya semula. Almari Haikal diselongkar satu persatu. Mahu mencari bukti bahawa Haikal benar-benar mencurangi kakak sepupunya.
Baru dia terperasankan sebuah kotak sederhana besar di balik baju Haikal yang bersangkut. Kotak itu dikeluarkan dari almari dan Beel mula memunggah isinya.
Gambar, surat cinta, terdapat juga bunga-bunga kering, cincin, rantai dan sebagainya. Album gambar di dalamnya diteliti satu persatu. Hatinya berdebar melihat kedua pasangan itu.
Perempuannya bertudung bawal sentiasa. Wajah memang comel, Beel sendiri akui. Bahkan berkali ganda lebih comel dari Kak Sunya. Tapi itu bukan tiket untuk Haikal berlaku curang pada Kak Su!

#############

Dia mematikan enjin dan menarik kunci. Sesudah barang di dalam kereta diambil, dia menekan butang kunci dan melangkah masuk ke dalam rumah.
Hari ini memang hari yang meletihkan. Dia punya empat mesyuarat yang semuanya berada di lokasi berlainan. Mujur ada pemandu syarikat yang memandu, jika dia memandu sendiri pasti sekarang dia sudah terlelap di pejabatnya.
Pintu biliknya dibuka perlahan. Yang terlintas di fikiran hanya mandi dan tidur. Mujur dia sudah menunaikan solat Isya’ di masjid tadi. Jika tidak ..
Dahi berkerut melihat Beel tidur di sofanya. Briefcase dan fail diletakkan di atas meja. Spontan Haikal meletakkan tangan di dahi Beel. Dia tidak sihatkah?
Sepanjang mereka berkahwin, tidak pernah sekali pun Beel masuk ke kawasannya. Tapi ini, Beel bukan saja masuk, malah dia tidur di kawasan Haikal. Apa yang tidak kena?
Tangan pantas ditarik bila Beel membuka mata. Haikal memandang Beel yang terpisat-pisat bangun dari tidur.
“Dah balik?”
Haikal mengangguk. “Awak tunggu saya ke?”
Beel memandang dengan wajah sakit hatinya. Anggukan diberikan perlahan. Pastinya dia menunggu lelaki itu. Segalanya harus diselesaikan.
Haikal duduk di atas meja. Wajah Beel dipandang. “Kenapa awak tunggu saya?”
“Kenapa awak buat macam tu?”
Haikal diam. Langsung tidak memahami kata-kata Beel. Sebaliknya dia hanya mengerut dahi dan mempamerkan wajah kehairanan.
“Kenapa awak buat macam tu?” Beel meninggikan suaranya.
Kerutan di dahi Haikal bertambah. Apa yang diperkatakan Beel saat ini?
“Kenapa awak buat macam tu? Awak dengar tak apa saya cakap ni?” Beel membuat wajah serius, nada suaranya memang meninggi. Hanya belum menjerit.
“Buat apa?” Haikal akhirnya menyoal.
Beel menahan geram. “Awak boleh buat tak tahu lagi?”
“Beel, kenapa ni?” Haikal jelas mempamerkan riak wajah yang kebingungan.
Beel bangun dari tempatnya. Kotak yang diletak di tepi sofa diambil dan diberi pada Haikal. Untuk menyatakan kegeramannya, segala isi kotak dimuntahkan ke atas sofa.
“Beel ..”
“Apa lagi awak nak cakap? Tak tahu?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s