DILARANG NIKAHI AKU – 40

Haikal memandang Beel, cuba untuk meredakan kemarahan Beel. Jika keduanya sama-sama panas, siapa yang akan menyejukkan keadaan? Api bertemu api bukankah akan menambahkan kepanasan?
“Dengarlah dulu apa saya nak cakap ni” Haikal menarik tangan Beel.
Beel menolak tubuh Haikal sekuatnya. Hingga lelaki itu jatuh rebah di atas lantai. Haikal mengerutkan dahi. Mengapa Beel semarah ini padanya?
“Saya tak nak dengar apa-apa” Beel memejam mata lama.
Baru Haikal terperasan air mata yang merembes keluar dari mata Beel. Bertambah kerutan di dahinya. Bertambah dan bertambah lagi. “Beel ..”
“Jangan sebut nama saya!!” Beel menjerit sekuat mungkin. Biar didengari Nia yang sedang tidur di dalam biliknya.
Beel memandang Haikal dengan cebikannya. Wajah itu dipandang bersama air matanya yang masih mengalir. “Kenapa awak buat macam ni? Awak sanggup tipu Kak Su saya! Awak tak tahu ke yang Kak Su tu sayang sangat dengan awak. Awak sendiri nampak keadaan dia waktu kat hospital hari tu. Kak Su percaya awak, yakin dengan awak. Dia buat semua untuk awak. Kenapa awak curang dengan Kak Su?!”
Haikal diam. Tidak tahu lagi apa yang harus dia katakan. Akhirnya dia hanya duduk bersila di atas lantai.
“Kenapa Haikal? Jawablah. Saya bukan tanya sebab nak awak diam je. Awak jawablah! Kenapa? Sanggup awak curang dengan saya kan? Sanggup awak …” Beel sudah terduduk di sofa. Dia sudah letih marah-marah. Hari sendiri sudah lewat malam. Sudahlah dia duduk menangis sejak petang tadi. Malam marah-marah pula. Habis hilang semua tenaganya.
Haikal bangun dari duduk melihat Beel sudah teresak-esak di atas sofa. Dia mendekati Beel dan duduk berlutut di hadapan Beel. Perlahan tangannya mengesat air mata Beel dan tubuh isterinya itu dipeluk.
Beel masih teresak-esak dalam pelukan Haikal. Haikal melepas nafas. Belakang Beel diusap perlahan. “Shhh … Janganlah menangis. Saya minta maaf ye” Haikal memujuk.
Beel menahan esakannya. Memperlahan suara, menenangkan diri. Haikal menepuk-nepuk belakang Beel. Dia menarik nafas sedalamnya. Inilah masa terbaik untuk dia menceritakan segalanya dari A sampai Z.
“Dia arwah tunang saya. Arwah bekas tunang saya. Kita orang kenal masa sama-sama belajar kat Kuwait dulu”.
Zainab Khalisah. Itulah nama gadis kesayangannya suatu masa dulu. Kerana itulah juga dia terkejut bila terdengar opah memanggil Beel dengan nama Nab, itulah gelaran yang dia gunakan untuk memanggil arwah tunangnya. Nab.
Kebetulannya Nab adalah anak kepada rakan kongsi rapat papa. Memudahkan mereka bertemu hari demi hari. Akhirnya melihat kerapatan dan kemesraan di antara mereka, keluarganya dan keluarga Nab memutuskan untuk menyatukan mereka.
Pucuk dicita ulam mendatang, dia dan Nab sama-sama bersetuju dengan percaturan keluarga mereka. Apalagi hubungan bertambah rapat dan mesra namun masing-masing mengetahui batasan mereka.
Hinggalah seminggu saja lagi untuk mereka diijabkabulkan … Nab kemalangan. Betul-betul di hadapan matanya. Tepat pada pandangannya. Dilanggar sebuah lori hingga menyebabkan tubuh kecil tunangnya itu melantun jauh.
Bagai orang hilang akal Haikal berdiri tegak. Kelam-kabut orang ramai yang menyedarkannya bahawa yang dilanggar itu adalah bakal isterinya. Haikal menjerit memanggil Nab namun gadis itu sangat lemah.
Mujur ada yang prihatin menelefon ambulans. Namun Haikal tahu, Nab pasti tidak sempat diselamatkan. Dan sangkaannya tepat, Nab meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.
Setelah pemergian Nab, Haikal menyibukkan diri dengan kerja. Istilah jodoh atau cinta sudah tiada dalam hidupnya. Papa juga tidak pernah menyentuh soal itu kerana tahu Haikal sangat-sangat sayangkan Nab.
Hinggalah wasiat atuk dibuka. Rupanya papa sendiri tidak tahu isi wasiat itu. Dia sendiri terkejut bila ada rencana lain yang atuk siapkan untuknya sekiranya dia masih belum berumah tangga pada usia 30 tahun.
Dia tidak curang pada Suraya. Hanya belum dapat melupakan Nab sepenuhnya. Nab adalah gadis pertama yang memasuki hatinya, pastilah sukar untuk Nab dilupakan.
“Saya memang tak curang dengan Su” Haikal menolak tubuh Beel perlahan.
Beel yang masih teresak mengesat air matanya. Haikal dipandang. “Betul?”
Haikal mengangguk, mengukirkan senyum agar dapat menyejukkan hati Beel. Beel melepas nafas. “Kak Su tahu tak?”
“Tahu apa?”
“Fasal arwah Nab?”
Haikal menggeleng. “Saya kalau boleh tak nak bagitahu”.
Beel diam. Hatinya lega kerana Haikal tidak curang pada Kak Su. Sedangkan Kak Su begitu menyayangi Haikal, memang tidak patutlah jika Haikal curang pada Kak Su.
Haikal memandang Beel yang termenung. “Beel”.
Beel memandang Haikal. Tangannya yang berada dalam pegangan Haikal ditarik. Baru dia perasan dia sedang duduk di atas sofa dan Haikal duduk lutut menghadapnya. Lagak seperti memujuk kekasih yang merajuk.
Langsung Beel menolak tubuh Haikal agar jauh darinya. Dia bangun dari duduk, memandang Haikal dengan wajah serius.
Haikal mengerut dahi melihat perubahan Beel. “Kenapa ni?”
Beel mengecilkan mata. “Kalau awak bagitahu orang lain apa yang jadi malam ni, siap awak!!” Beel menunjuk jari telunjuknya.
Haikal ketawa kecil. Beel sudah kembali. Bererti Beel percaya padanya, Beel tidak bersedih lagi. Dia bangun berdiri dan mendekati Beel.
“Apa dekat-dekat ni?” Beel membulatkan mata.
Haikal sengih. “Tadi dah peluk dah”.
Beel mengetap bibir. Tangan laju menampar Haikal sekuat hati hingga lelaki itu mengaduh. “Padan muka”.
Haikal memandang. Dia tiba-tiba tersenyum memandang Beel. “Awak nangis dahsyat sangat tadi kenapa? Betul ke awak kesiankan Kak Su? Ke awak yang cemburu?”
Beel mencebik. “Gila!” Langkah diatur laju menuju ke bilik air. Sedang tanpa sedar, bibir perlahan mengukir senyum.
“Jangan senyum seorang dalam bilik air pula!” Haikal menjerit sambil memandang Beel menutup pintu bilik air.
Beel berdiri di belakang pintu. Tangan diletakkan di pipi menahan malu. Apa sebenarnya perasaan yang dia rasakan ketika ini?

############

Fah memandang Safwan yang asyik berbual dengan Beel. Pelbagai kisah yang dibicarakan. Itu ini, itu ini. Habis semua kisah lama diungkit keduanya.
Kata Beel, Haikal tidak suka Safwan datang ke rumah. Kerana itulah, mereka bertiga keluar mengambil angin di luar. Bertemu di luar juga lebih selesa kerana tidak perlu mengambil masa. Boleh berbual selama mana yang mereka mahu.
Fah melepas nafas. Selepas dia membuat tekaan beberapa hari lalu, dia telah mengimbas semula semua saat-saat mereka dua beradik yang berlalu bersama Beel.
Safwan seperti menyayangi Beel seperti wanita. Seperti Adam sayangkan Hawanya. Tapi kadang-kala seperti adik. Mungkin juga anak. Seperti Safwan sayangkannya.
Mahu bertanya amatlah mustahil. Untuk apa dia harus menyoal? Pastilah kerana dia ingin tahu apa perasaan Safwan pada teman baiknya itu. Tapi jika dia bertanya pasti dia akan mendapat soalan sebagai jawapan.
Jika benarlah abang menyayangi Beel sebagai seorang wanita, ia pasti akan mendatangkan kesulitan suatu hari nanti. Mustahil abang akan berdiam melihat Haikal dan Beel bergaduh setiap hari. Silap hari bulan abang yang menjadi punca perpisahan mereka.
Fah beristighfar. Dia kalau boleh tidak mahu Haikal dan Beel bercerai. Dia tidak mahu kawan baiknya itu menjadi janda pada usia muda. Susah untuk menghindari pandangan negatif masyarakat nanti.
“Fah. Fah!”
Fah terkebil-kebil memandang Beel. Jeritan Beel mematikan lamunannya. “Kenapa?”
Beel mengerut dahi. “Kau dengar tak apa aku tanya tadi?”
“Apa?”
Beel melepas nafas. Safwan memandang Fah. Apa yang tidak kena dengan adiknya itu? “Tak sihat ke?”
Fah menggeleng mendengar soalan abangnya. “Fah ok. Kau tanya apa tadi?” Beel disoal.
“Kau biar betul. Selalu tak macam ni pun” Beel memandang.
Fah ketawa kecil. “Nak exam dah. Mestilah hilang focus sikit. Kau tanya apa tadi?”
“Aku tanya kau rindu Kak Putih tak? Dia kata dia dah nak balik. Mesti dia rindu sangat dengan Mak Jah” Beel ketawa kecil terbayangkan Kak Putihnya muncul di rumah tiba-tiba.
Fah mengangguk. “Rindu”.
Beel memandang Fah. “Kau dah kenapa?”
Fah menggeleng lagi. Safwan memegang bahu adiknya itu. “Tak yah fikir fasal belajarlah. Sekali-sekala kena rest juga”.
Fah tersenyum memandang abang. Dia sudah tahu apa harus dilakukan. Ada seseorang yang boleh membantunya.

############

“Mama”.
Sakinah meletakkan jag air di atas meja kembali bila mendengar suara Suraya memanggil. Langkah diatur menuju ke arah gadis itu. “Ya sayang”.
Suraya tersenyum. “Mama rasa nanti Haikal datang?”
“Mestilah datang. Nak tengok tunang kesayangan dia ni” Sakinah mengusap kepala puteri kesayangannya.
Suraya tersenyum lebar. Dia benar-benar berharap Haikal akan datang melawatnya. Dia sudah hampir sembuh. Kebelakangan ini, dia juga sudah jarang mendapat mimpi itu.
“Su takut Haikal tak datang?”
Suraya menggeleng. “Su tahu Haikal sibuk. Tapi Su lagi suka kalau Haikal datang. Su kalau boleh nak Haikal datang tiap-tiap hari”.
Sakinah memandang anaknya sayu. Bagaimana agaknya keadaan Suraya jika dia tahu Haikal telah menikahi Beel?
“Mama fikir apa?”
Sakinah menggeleng kepala. “Su rehat dulu. Petang nanti, pihak polis nak datang. Nak tanya fasal orang yang cederakan Su malam tu”.
Suraya memandang mamanya. Apakah sudah tiba masanya? Selama ini dia punyalah mengelak dari pihak polis. Harus jugakah kejadian itu diceritakan kepada pihak polis?
Sakinah mengusap pipi Suraya yang sudah berbaring. “Jangan buat muka macam ni. Su kena bagi kerjasama. Kalau tak orang tu akan cederakan orang lain pula”.
Suraya tersenyum lemah. “Tapi Su ..”
“Bagi kerjasama ye?”
Suraya melepas nafas. Anggukan diberikan sementara mamanya menarik selimut menyelimuti dirinya. “Good girl. Sekarang Su rehat dulu, petang nanti ada tenaga sikit”.
Suraya tersenyum lagi. Bertahanlah Suraya. Semuanya akan tamat tak lama lagi. Setelah selesai, dia tidak akan kembali ke hospital lagi. Buat selama-lamanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s