DILARANG NIKAHI AKU – 41

Beel membulatkan mata, teruja melihat durian crepe yang terhidang di atas meja. Bibir melebarkan senyum yang memang tersedia lebar. Haikal di kerusinya dipandang.
“Kenapa?” Haikal menyoal.
“Awak belikan ke?” Beel sengih.
Haikal diam. “Nak makan, makan. Tak nak sudah, saya suruh Kak Nia masuk tong sampah je”.
Beel mencebik. Pinggan yang terisi durian crepe itu diambil dengan gembira. Haikal dipandang lagi. Konon ingin mengucapkan terima kasih. Tapi niat dibatalkan melihat riak wajah Haikal yang menyakitkan hati.
Haikal senyum sinis. Melihat Nia yang menatang dulang yang terisi milo panas dan jus durian ais. “Kak Nia”.
Nia tersenyum bila ditegur kedua pasangan suami isteri itu. “Jemput minum”.
Beel tersenyum sambil menyuap durian crepe yang entah ke berapa ke dalam mulutnya. Haikal membulatkan mata melihat pinggan yang sudah kosong. “Lajunya awak makan”.
Beel sengih. “Awak beli sikit je?”
“Amboi. Ucap terima kasih pun tak. Nak mintak lagi?”
Beel menjeling memandang Haikal. Haikal ketawa kecil melihat gelagat Beel. Gadis itu kelihatan comel dengan gelagat begitu.
“Kak Nia, keluarkanlah durian crepe yang ada dalam peti ais tu. Nanti berbau pula” Haikal memandang Nia. Nia tersenyum dan mengangguk.
“Baik En.Haikal”. Nia tersengih memikirkan Haikal sebenarnya memang membeli durian crepe sebanyaknya untuk Beel. Sengaja berkata begitu untuk menjaga air mukanya.
Beel mencebik. “Terima kasihlah sebab tahan bau durian yang tak disukai ni. Habis kalau tak suka siapa suruh beli” Beel menyindir Haikal dan merungut sendiri.
Haikal mengecilkan mata memandang Beel. Geram benar dengan kata-kata yang dia keluarkan. “Kalau tak nak saya suruh Kak Nia buanglah”.
“Mestilah nak!” Beel menjerit. Wajah riak yang terpamer jelas mempamerkan rasa sakit hati yang dirasakan.
Haikal mengangguk. Membuat wajah berlagak. Terasa kemenangan besar berpihak pada dirinya. “Kak Nia”.
Nia menggeleng-geleng melihat gelagat mereka. Langkah diatur ke dapur semula untuk mengambil durian crepe buat Cik Beelnya.
Beel menjeling Haikal sakit hati. Geram betul bila Haikal mengukir senyum kemenangan. Tengoklah. ‘Ada ubi ada batas, ada hari aku balas punya!’

############

Fah memandang nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Nama yang disimpan sebagai ‘Syakir Sya’rani’ itu diteliti.
Nafas dilepas. Perlukah dia menghantar mesej pada aplikasi ‘Whats App’ itu?
“Adoi!” Fah bersandar pada kerusi. Seketika, jam dinding dikerling.
Jam menunjukkan pukul 10.45 pagi. Dan kelas seterusnya bermula jam 11.00 pagi. Dia sudah mengambil sarapan di rumah. Itu yang menyebabkan dia tidak keluar ke kantin dan menjadi penunggu di dalam kelas.
Dahinya berkerut memikirkan masalah itu. Dia mahu tahu tanda-tanda seorang lelaki meminati seorang perempuan. Jadi bolehlah dia meneka apakah perasaan abang pada Beel sebenarnya.
Tapi kalau dia menyoal Syakir pasti lain yang dia dapatkan sebagai jawapannya. Sudahlah Syakir kerjanya meleweh saja. Lain yang ditanya lain yang dijawab.
“Kalau nak mesej taip je”.
Fah tersentak mendengar suara itu. Langsung memandang sang empunya yang bersuara. Liur ditelan bila mendapati Syakir berada di belakangnya.
“Nak mesej saya ke?”
Fah langsung menutup telefon bimbitnya. Diletak terus di atas meja. Terselit di antara buku-bukunya.
“Malu ke?” Syakir menyoal lagi. Seronok dapat mengusik gadis itu. Sudahlah sejak kebelakangan ini Fah asyik mengelakkan diri darinya. Tapi kali ini, Fah tidak dapat lari lagi.
“Fah” Syakir memanggil lagi.
Fah menunduk. “Awak datang dari mana?” perlahan suaranya menyoal.
Syakir ketawa kecil. “Comelkan awak ni?”
Fah melepas nafas. Inilah masalah Syakir. “Awak datang dari mana?”
“Dari mana lagi? Dari luarlah”.
Fah memandang dengan jelingan. “Saya nak cakap dengan awak. Boleh awak jawab betul-betul?”
Syakir ketawa lagi. Tangan diangkat membuat gaya bersumpah. “Ok. Janji lepas ni saya tak jawab main-main dah”.
Fah mengerutkan dahi. Dan Syakir ketawa lagi. Syakir mula terkesima melihat wajah Fah yang sudah mempamerkan riak menyampah. Wajah diseriuskan dan dia menyoal.
“Awak nak cakap apa?”
Fah memandang. Kepala digelengkan sesudah dia berfikir sehabisnya. “Nanti kalau saya nak tanya, saya mesej”.
Syakir memandang. “Awak ada masalah ke?”
Fah menggeleng. Dia membetulkan duduknya bila rakan sekelasnya mula memasuki kelas. Syakir melepas nafas. Serasanya ada yang tidak kena dengan Fah, tapi takkanlah dia mahu memaksa Fah bercerita padanya?

############

“Cakap dengan siapa tu?” Haikal menyoal sesudah Beel meletakkan panggilan.
Beel menoleh memandang Haikal yang tiba-tiba menegur. “Abang Wan”.
Haikal membuat muka. ‘Abang Wan lagi? Asyik-asyik abang Wan. Macam tak de orang lain dalam dunia ni’.
Beel memandang Haikal yang tidak memberi respon. Langkah diatur masuk semula ke dalam rumah. Namun tangan ditarik Haikal, mematikan langkahnya.
“Kalau awak tak call Wan tak boleh ke?”
Beel mengerutkan dahi. Tangan Haikal yang memegang tangannya dilepaskan. “Kalau saya tak call, nanti abang Wan call”.
Haikal menarik tangan Beel kembali. “Kalau awak tak jawab tak boleh ke?”
Beel mengerutkan dahi lagi. Tangannya ditarik kembali dari pegangan Haikal. “Kalau saya tak jawab mestilah dia pelik. Nanti dia risau pula”.
Haikal melepas nafas. Membiarkan Beel menarik tangan dari pegangannya. Wajah gadis itu dipandang sayu. Mengapa Beel tidak dapat membaca perasaannya?
Beel memandang hairan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Haikalkah? “Awak ok?”
Haikal memegang kedua belah bahu Beel. “Awak tak nampak ke?”
Beel mengerutkan dahi. Bertambah bingung dengan tindakan Haikal. Tubuhnya dilepaskan dari pegangan Haikal. “Nampak apa?”
“Nabilah Anisah, saya … saya …”
Beel mula berasa tidak sedap hati dengan tindakan Haikal. Dia menguntum senyum paksa seraya berkata, “Saya masuk dulu. Nak tengok apa Kak Nia masak untuk makan malam”.
Haikal melepas nafas. Menghantar Beel dengan pandangan anak matanya. Sebaik Beel hilang dari pandangan, Haikal mengetuk kepala sendiri. Apa kerja bodoh yang dia lakukan tadi?

#############

Beel tersenyum bila kereta Fah dan kereta Safwan serentak tiba di hadapan rumahnya. Alat kawalan ditekan bagi membolehkan kedua buah kereta memasuki garaj.
Sebaik pagar terbuka, Fah dan Safwan sama-sama memandu kereta memasuki perkarangan rumah dan seterusnya meletakkan kereta di garaj. Dan keduanya turun dari kereta serentak.
“Ye! Dah sampai pun dua-dua” Beel berlari anak menuju ke arah Fah.
Fah memandang Beel dengan kerutan dahi. “Kau ajak abang sekali ke?”
Beel mengangguk. Tangan Fah ditarik dan langkah diatur menuju ke arah Safwan. “Hai, abang Wan”.
Safwan tersenyum. “Kenapa Beel ajak abang Wan sekali?”
Beel sengih mendengar soalan Safwan. “Jom. Ikut Beel”.
Fah memandang Safwan dan Safwan memandang Fah. Apa pula kejutan Beel kali ini?
Beel berhenti di kolam renang. Langkah diatur menuju ke arah meja dan kerusi yang tersedia di situ. “Jom!” Beel menjemput Safwan dan Fah duduk bersamanya.
Safwan tersenyum melihat sebiji kek keju berada di atas meja. “Ada apa-apa ke ni?”
Fah memandang Beel curiga. Apa kena dengan kawannya seorang itu?
“Beel nak mempersembahkan … kek pertama yang dibuat … by me” Beel ketawa sendiri.
Fah mencebik. “Boleh percaya ke kau buat ni?”
“Betul-lah. Rasalah” Beel memotong kek keju itu dan diberikan sepotong pada Fah dan sepotong pada Safwan.
Nia muncul dari dapur menatang jus epal untuk dihidangkan buat tetamu kesayangan Cik Beelnya. Dia sebenarnya risau jika En.Haikal pulang tiba-tiba. Selalunya bila En.Safwan datang ke rumah, pasti Cik Beel dan En.Haikal akan bergaduh.
“Kak Nia, betul ke Beel buat kek ni?” Fah memandang wanita itu.
Nia mengangguk dengan senyuman. “Kak Nia cuma jadi pembantu je”.
Fah mencebik tidak percaya. Iyalah, sepanjang dia berkenalan dengan Beel, mana pernah Beel masuk ke dapur. Hanya tahu makan dan menjadi tukang komen saja. Mimpi apa tiba-tiba Beel membuat kek?
Safwan tersenyum memandang Beel. Tangan mengusap kepala gadis itu. “Pandai adik abang seorang ni”.
Fah memandang abangnya. Terasa tidak selesa dengan apa yang abang lakukan terhadap Beel. Memang sebelum ini dia biasa-biasa saja. Tapi sekarang … Dia mula sangsi dengan setiap tindakan abang terhadap Beel. Apakah ia tindakan seorang abang atau seorang lelaki?
“Oklah. Kak Nia masuk dalam dulu. Ada apa-apa Cik Beel panggil ye?”
Beel mengangguk dengan senyuman. “Tak pelah. Kak Nia rehat je. Beel janji Beel tak panggil dah”.
Nia menguntum senyum manis. Memang dia mahu rehat, tapi sebelum itu dia harus menyelesaikan pakaian majikannya yang masih bersidai dahulu. Langkah diatur meninggalkan mereka bertiga di kolam.
“Sedap tak?”
“Tak”.
“Sedap”.
Beel ketawa bila Fah dan Safwan memberi pendapat berbeza. Fah memandang Safwan. Safwan menjongket keningnya. “Kenapa?”
“Abang ni …” Fah mencubit lengan abangnya sakit hati. Dia baru saja mahu mengenakan Beel. Tapi abangnya menggagalkan rancangan.
“Makanlah lagi. Banyak-banyak sampai habis. Beel ingat nak bagi kat opah … Tapi opah mana makan benda-benda macam ni” Beel menongkat dagunya.
“Tak pe” Fah tersenyum memandang Beel. “Biar aku makan semua, aku niatkan untuk perut opah”.
Beel ketawa geli hati dengan ‘rapuan’ Fah. Fah mengangguk-angguk tanda dia benar-benar berniat begitu. Beel mencebik. “Merapulah kau ni!”
“Suami Beel tak de?” Safwan menyoal bila melihat Beel selamba saja mengajaknya datang ke rumah.
Beel menggeleng. “Dia pergi kerja. Alah, kalau dia balik pun biarlah. Bukannya selalu abang Wan datang rumah ni”.
Fah memandang Beel. “Kau dengan dia tak ok-ok lagi?”
Beel melepaskan keluhan. Rimas betul bila disoal tentang Haikal. “Dah. Jangan cakap fasal dia. Aku ajak kau dengan abang Wan datang ni nak jamu cheseecake aku. Makan cepat!”

############

Syakir mengangguk mendengar kata-kata Haikal. “Kalau macam tu, aku pergi rumah kaulah. Jom”.
Haikal melihat jam dinding. Jam menunjukkan tepat pukul 6.00 petang. “Kau pergilah dulu. Aku nak simpan fail-fail ni. Kita jumpa kat rumah aku”.
Syakir mengerut dahi. “La… Alang-alang dah nak balik ni, baik kita gerak sekali je”.
“Tak pe. Kau gerak dulu” Haikal mengucap sambil mengemas kertas-kertas yang berselerak di atas mejanya.
Syakir melepas nafas. Sudah tahu perangai ‘keras’ temannya itu. “Suka hati kaulah. Tapi kau jangan lambat sangat. Kalau tak aku balik je terus”.
Haikal mengangguk mendengar kata-kata Syakir. Syakir menggeleng-geleng dan melangkah keluar dari pejabat Haikal.

############

Dia mengerut dahi bila terlihat Nia berlari anak keluar dari rumah. Ada orang datangkah?
Beel memandang Fah dan Safwan di hadapannya. “Kejap tau. Macam ada orang datang”.
Fah dan Safwan mengangguk dan Beel bangun dari kerusi. Langkah diatur masuk ke ruang tamu dan berlari anak ke laman rumah. Melihat Nia yang menekan alat kawalan pagar, Beel mendekat.
“Kak Nia, siapa tu?”
“En.Syakir”.
Beel mengangguk memahami. Setelah kereta Syakir memasuki garaj, Nia langsung ke dalam menyambung kerjanya yang belum siap. Beel tersenyum memandang Syakir yang baru turun dari keretanya.
“Tak cakap pun nak datang”.
Syakir tersenyum. “Datang nak ambil barang. Tengah tunggu Haikal ni”.
Beel mengerut dahi. “Bukan dah jumpa kat office ke?”
Syakir mengangguk. Langkah diatur menuju ke arah Beel. Dan mereka sama-sama melangkah masuk. “Memanglah. Tapi Haikal tertinggal fail tu kat rumah”.
Beel membuat mulut berbentuk o. Syakir menoleh semula ke arah garaj dan memandang Beel kembali. “Tu macam kereta Fah je”.
Beel ketawa kecil. “Tahu-tahu ke abang Syakir ni. Jomlah join sekali. Ada parti!”
Syakir tersenyum mengikut Beel. Tapi ada kereta lain di garaj. Dia sendiri tidak mengecam kereta itu. Sememangnya ada siapa lagi selain Fah?
“Hello, hello!”
Fah dan Safwan menoleh ke belakang. Melihat Beel yang melangkah masuk bersama Syakir di belakangnya. “Hai”.
Fah membuat muka. Dia memang tidak selesa bila ada Syakir bersama. Apatah lagi bila mengenangkan peristiwa di kelas beberapa hari lalu.
Safwan bangun dari kerusi dan menghulur tangan. Syakir menyambut dengan senyuman.
“Lama tak jumpa” Safwan membuka kata.
Syakir mengangguk. Dia tahu Safwan sebenarnya tidak suka melihat dia. Lebih-lebih lagi, Safwan tahu bahawa dia sedang cuba memikat Fah yang merupakan adik tunggal Safwan itu.
“Duduklah” Beel menjemput.
Syakir menarik kerusi di sebelah Fah yang kosong. Gembira bila dapat duduk di sebelah Fah. Tapi Safwan lebih cepat darinya. Bila kerusi itu ditarik Syakir, Safwan terus duduk sebelum Syakir sempat bersuara.
“Duduklah” Safwan menarik kerusi di sebelahnya. Yang tadinya merupakan tempat duduknya.
Beel ketawa kecil melihat adegan itu. Dia dapat melihat wajah Syakir yang mempamerkan rasa kecewa.
“Cheesecake ni Beel buat sendiri. Abang Syakir rasalah” Beel menghulurkan kek pada Syakir.
Syakir menguntum senyum. Sekali-sekala dia mencuri-curi memandang Fah namun Safwan ada saja idea untuk menyakitkan hatinya.

###########

Haikal mengerut dahi melihat kereta yang berkumpul di garaj. Memanglah garaj itu besar hingga boleh menempatkan sepuluh buah kereta. Tapi mengapa ada kereta Safwan sekali?
Nafas turun naik menahan marah. Sudah berkali-kali dia memberitahu Beel, jangan membawa Safwan masuk ke rumahnya. Hanya dengan sekali pandang pun dia sudah tahu lelaki itu ada hati dengan isterinya. Mengapalah Beel degil sangat?
Langakh diatur laju memasuki rumah. Berkerut dahi bila Syakir tiada di ruang tamu. Sedangkan dia sudah berpesan agar Syakir menunggu di ruang tamu.
Sakit hatinya bertambah bila mendengar suara gelak tawa yang datang dari dalam. Haikal melangkah lagi. Pasti mereka semua berada di kolam renang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s