DILARANG NIKAHI AKU – 44

“Mak cik harap Haikal ingat lagi yang Surayalah bakal pengantin perempuan Haikal yang sebenar”.
“Ya mak cik”.
“Beel tu cuma pengganti je… Mak cik tak nak tanya apa Haikal akan buat. Cuma mak cik harap Haikal tak abaikan tanggungjawab pada Su”.
Haikal diam mendengar kata-kata Sakinah dari corong telefon bimbitnya. Hati terasa perit dan pedih bila diingatkan tentang hakikat dan kenyataan itu.
“Haikal dengar apa mak cik cakap ni?”
“Dengar mak cik”.
Kedengaran suara Sakinah melepas keluhannya. “Oklah. Mak cik nak teman Su pergi terapi. Haikal fikir-fikirkanlah apa yang mak cik cakap”.
Haikal melepas nafas sesudah mendengar bunyi talian dimatikan. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Kata-kata mak cik Sakinah masih terngiang di telinga.
Sekalipun bahasanya sopan dan halus, Haikal faham benar maksud kata-katanya. Mana mungkin dia melepaskan gadis yang sudah sah menjadi isterinya. Itu tidak mungkin sama sekali. Jadi apa yang harus dia lakukan sekarang?
Haikal menekan butang interkom, menghubungi Linda setiausahanya. “Linda, hari ni saya tak berapa sihat. Saya nak balik dulu. Ada apa-apa hal nanti, awak call je fon saya”.

##########

Sakinah tersenyum memandang telefon bimbitnya. Suraya yang sudah duduk di atas kerusi roda mengerut dahi melihat mamanya tersenyum.
“Mama”.
Sakinah menjongket kening memandang puteri tunggalnya. “Ya?”
“Kenapa mama senyum seorang-seorang?”
Sakinah menggeleng kepalanya. Kepala Suraya diucap penuh kasih. Sesungguhnya segala yang dia lakukan hanyalah kerana dia terlalu menyayangi Suraya. Semua yang dia lakukan adalah demi kebahagiaan anak kesayangannya itu.
Dia memandang jururawat yang setia menanti. “Jom”.
Jururawat itu tersenyum memberi tanda hormat juga setuju. Dan dia menolak kerusi roda keluar dari bilik menuju ke bilik terapi.

##########

“Kak Nia bukannya nak masuk campur. Kak Nia cuma cakap apa yang Kak Nia rasa”.
Beel melepas nafas mendengar kata-kata Nia. Kepala yang tadinya tegak memandang Nia yang sedang mengelap pinggan kini dilentokkan di atas meja dapur.
“Cik Beel marahkan Kak Nia ke?”
Beel mengeluh. “Nak marah kenapa? Masalahnya Kak Nia, macam mana Beel nak berbaik dengan dia kalau dia sendiri tak berbaik dengan Beel?”
Nia mengerut dahi. Riak wajah jelas mempamerkan rasa hairan yang terbit dalam diri. “Betul ke?”
Beel mengangkat kepala. Ditongkat menggunakan kedua belah tangan. “Kenapa Kak Nia cakap macam tu?”
“Yelah. Betul ke En.Haikal tak berbaik dengan Cik Beel?”
“Betul-lah” lantang suara Beel memberi jawapan.
Nia melepas nafas. Memuncungkan bibirnya. “Takkan Cik Beel tak perasan?”
Beel diam bersama kerutan dahi. Perasan apa? Apa yang dimaksudkan Nia sebenarnya?
“Hmmmm… Kak Nia pun perasan apa yang En.Haikal buat kebelakangan ni. Selalu dia mengalah kalau bergaduh dengan Cik Beel. Dia beli durian crepe banyak-banyak hari tu. Takkan Cik Beel lupa. Sebelum En.Haikal kahwin dengan Cik Beel, semua benda fasal durian dia tak suka. Kakak ipar Kak Nia pernah kena marah teruk semata-mata sebab bawa masuk durian dalam rumah. Tu baru bawa masuk Cik Beel. Belum sempat makan lagi. Tapi dia sanggup penuhkan peti ais tu dengan durian crepe… sebab siapa? Lepas Cik Beel jatuh kolam hari tu, berapa hari En.Haikal tak masuk pejabat. Semua tu bukan ke sebab dia nak berbaik dengan Cik Beel?”
Beel mencebik. Memang kata-kata Nia ada logiknya. Tapi lelaki seperti Haikal yang membesar di luar negara bukannya boleh dipercayai. Tidak kiralah dia dibesarkan di negara barat atau negara arab, luar negara tetaplah bukan budaya Malaysia.
“Cik Beel, bagi Kak Nia.. apa yang En.Haikal buat ni dah cukup untuk membuktikan yang dia sayangkan Cik Beel”.
“Dahlah Kak Nia. Antara kita orang, sementara je. Tak berkekalan pun” Beel memotong kata-kata Nia, melangkupkan mukanya ke atas meja. Dalam hati menyambung ayatnya yang tergantung, “Kalau Kak Su dah sihat, mesti kita orang akan pisah”.
“Beel”.
Beel mengerut dahi mendengar suara itu. Sekilas dia memandang Nia yang memandang belakangnya. Dan dia turut memandang apa yang dipandang Nia.
Haikal melangkah lemah masuk ke dapur. Wajah Beel yang memandangnya disentuh perlahan. Tangan mengusap lembut pipi isterinya itu. Dan perlahan senyuman terukir di wajah murungnya.
Nia tersenyum melihat gelagat pasangan majikannya itu. Pasti En.Haikal memiliki masalah berat. Jika tidak, takkanlah dia berkelakuan begitu?
Bunyi telefon bimbit Haikal menyedarkan Beel. Langsung dia menolak tangan Haikal yang berada pada pipinya. Terus dia bangun dari kerusi menuju ke sinki. Paip air dibuka, konon mahu membasuh gelas yang dibawanya.
Haikal menjawab panggilan yang diterima. Ternyata ia panggilan dari Syakir yang mengamuk dan marah-marah kerana Haikal tidak menunggu dia pulang dari berjumpa klien syarikat. Dokumen perjanjian yang berada di tangan Syakir harus diserahkan pada Haikal sesegera yang mungkin. Sudah menjadi satu kerja pula dia harus mencari keberadaan temannya itu.
Haikal meminta Syakir datang ke rumah untuk menyerahkan dokumen itu. Tambahan, dia mahu berbicara dengan Syakir soal perbualannya dengan mak cik Sakinah pagi tadi.
“Kak Nia, Syakir nak datang. Kak Nia tolong buatkan air boleh?”
Nia tersenyum. “Boleh En.Haikal”.
Haikal membalas senyuman Nia. Beel yang masih menjadi ‘penunggu sinki’ dipandang. Namun gadis itu tidak mempedulikannya. Nafas dilepas. Apa-apa pun dia harus keluar menyambut Syakir. Walaupun Syakir masih jauh, tapi Haikal tahu Syakir yang sedang marah memandu kereta bagaikan mahu berlumba.
Beel menutup paip air bila lama tidak mendengar suara Haikal. Dia mengambil tempatnya semula. Termenung melihat Nia menuang jus tembikai ke dalam jag dan dua gelas air. Kemudian ia diletakkan di atas dulang.
Sejujurnya dia masih memikirkan kata-kata Nia tadi. Dan tindakan Haikal yang baru berlalu beberapa minit lepas. Apakah sangkaan Nia bahawa Haikal menyayanginya adalah suatu kebenaran?
“Cik Beel” Nia memanggil cik mudanya melihat gadis itu membisu.
“Ya Kak Nia” Beel menjawab dengan senyuman kelatnya.
“Nah” Nia tersenyum memandangnya. Beel mengerutkan dahi. Mengapa dulang itu dihulurkan padanya?
“Hantarkan” Nia senyum lagi. Beel menjerit kecil dengan gelengan kepala. “Tak naklah”.
“Cik Beel… Sekali sekali jadi isteri baik apa salahnya?”
Beel menggeleng laju. Dia sudah membuat lagak mahu bangun dari duduknya. Tidak mahu kalau-kalau dia ‘termakan’ pujukan Nia.
Nia memandang Cik Beelnya dengan keluhan nafas. Cik Beel, Cik Beel.. “Kalau Cik Beel tak hantar, maksudnya Cik Beel mengaku yang Cik Beel memang sayangkan En.Haikal”.
Beel yang baru ingin melangkah terhenti langkahnya. Dia memandang Nia yang tersenyum dengan wajah masam mencuka. “Kak Nia ni…”

#########

Syakir meletakkan dokumen yang terisi di dalam fail di atas meja di hadapannya. Dia duduk menyertai Haikal yang duduk di ruang tamu itu. Menyerahkan dokumen penting syarikat yang dibawanya.
“Terima kasihlah sebab datang hantar” Haikal mengucapkan terima kasih buat temannya itu.
Syakir mencebik. “Terima kasih ke tak, dah kerja aku. Almaklumlah, kerja dengan member, so jadi kuli memberlah”.
Haikal ketawa kecil mendengar kata-kata Syakir. “Kau ada terasa macam jadi kuli ke?”
“Tolong kami, bantu kami. Anak-anak yatim piatu…” Syakir menyanyikan bait lagu yang terkenal melalui drama-drama arwah Tan Sri P.Ramlee itu.
Haikal menggeleng-geleng melihat gelagat Syakir. Bilalah temannya seorang ini akan meningkat dewasa agaknya?
“Aku nak cakap sikit ni” Haikal memandang Syakir, membuat wajah serius. Syakir yang masih lagi menyanyi terhenti nyanyiannya bila memandang wajah serius Haikal.
Syakir menelan liurnya. “Kau janganlah buat muka serius sangat. Seramlah aku”. Syakir membuat gaya ketakutan.
Haikal melepas nafas. “Pagi tadi mak cik Sakinah call aku”.
Syakir menarik nafas. “Cakap fasal pagi tadi kan.. Yang kau balik tiba-tiba tu kenapa? Linda kata kau ada kat pejabat tak sampai dua jam. Tup-tup dah balik. Dah jadi kerja lima kali ganda nak kena merayap cari kau kat syarikat tu. Linda pun satu, tak bagitahu aku awal-awal kau tak de” bebel Syakir panjang lebar. Menyambung bebelannya yang tidak habis tadi.
Haikal memandang wajah Syakir. Baru dia mahu bercerita, Syakir memotong dan membebel bagai emak tiri. “Kau nak dengan ke tak aku cerita ni?”
“Mestilah nak!”
“Diamlah kejap! Dari tadi kau asyik bercakap je. Kau ni perempuan ke lelaki sebenarnya?” Haikal menjongket keningnya.
Syakir tersengih. Tangan ditunjuk pada Haikal tanda mempersila. Haikal mengetap bibir. Melayan Syakir pun kadang-kala bagai melayang kanak-kanak sekolah rendah.
“Mak cik Sakinah call aku. Dia cakap… Su dah nak sembuh. Tak lama lagi boleh keluar hospital. Aku sebagai bakal pengantin dia tak bolehlah abaikan bakal pengantin aku sendiri. Kalau boleh… Dia kata kalau boleh, uruskanlah hal aku dengan Beel secepat mungkin” perlahan Haikal menyebut ayat akhirnya.
Syakir membulatkan mata. “Uruskan?”
Haikal mengangguk. Syakir menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Dahsyat juga mak cik seorang ni kan? Berani pula dia suruh kau ‘uruskan’ secepat mungkin. Dengar pun dah tahu yang dia suruh kau ceraikan Beel”.
Haikal mengangguk tanda bersetuju. “Tulah aku berserabut sekarang ni”.
Syakir memandang temannya itu simpati. “Habis kau nak buat macam mana? Kalau mak cik Sakinah suruh kau ceraikan Beel…”
Bunyi kaca jatuh dan pecah berteraburan mengejutkan Syakir dan Haikal yang sedang berbual. Keduanya terkejut mendapati Beel yang berdiri tegak di muka ruang tamu. Air yang dibawanya telah pun menjadi ‘arwah’ bila dulang itu terlepas dari pegangannya.
“Beel” ucap Syakir dan Haikal serentak.
Haikal bangun dari duduknya bila menyedari Beel terdengar perbualan mereka. Beel yang baru tersedar dari lamunan bingung seketika. Kaki yang melangkah tanpa menyedari ada sang kaca menyebabkan dia terijak serpihan kaca-kaca itu.
Kaki yang luka menyebabkan Beel mengaduh perlahan. Haikal berlari ke arah Beel bila terlihat darah yang mengalir dari kaki gadis itu. Namun Beel lebih pantas melarikan diri. Segera dia berlari menuju ke arah biliknya.
“Beel, Beel!” Haikal menjerit memanggil namun Beel tidak mempedulikannya.
Haikal menoleh memandang Syakir tanda ingin mengejar Beel. Syakir mengangguk membenarkan Haikal meninggalkannya sendirian. Dia sendiri bukanlah tidak biasa dengan kawasan rumah ini.
Haikal melepas nafas dan tersenyum pada Syakir. “Beel, Beel!” Langsung dia berlari mengejar isterinya itu.
Nia tergopoh-gapah datang dari dapur bila mendengar bunyi kaca pecah. Terkejut dia bila hanya En.Syakir yang berada di ruang tamu. En.Haikal dan Cik Beel sudah tiada. Yang kedengaran hanya suara jeritan En.Haikal memanggil Cik Beel.
“Kak Nia” Syakir tersenyum memandang pembantu rumah Haikal itu.
Nia tidak menjawab hanya mampu tersenyum. Baru dia terperasan darah yang berada di kaca pecah itu. Apa yang terjadi sebenarnya? Dia berlari ke dapur semula untuk mengambil kain buruk bagi mengelap air yang tumpah.

#########

Haikal membuka pintu biliknya. Mujur Beel tidak mengunci pintu. Jika tidak, jenuh juga dia mahu memujuk gadis itu.
“Beel” Haikal menegur Beel yang dilihat sedang mengemas pakaiannya dengan kaki yang terhenjut-henjut.
Beel memandang Haikal sekilas dan menyambung ‘kerja’nya semula. Telefon bimbitnya diambil dan nombor Fah dihubungi. “Fah, aku nak kau datang ambil aku kat rumah sekarang. Sekarang juga. Jangan tanya apa-apa dulu. Kau bawa aku balik rumah opah, aku dah tak nak duduk rumah ni”.
“Beel” Haikal mendekati gadis itu. Beel membuat wajah selamba dan masih menyusun pakaian ke dalam bagasinya. Telefon bimbit diletakkan kembali di atas katil dan dia mencapai beberappa barang keperluan untuk dimasukkan ke dalam bagasinya.
“Beel” Haikal menarik tangan gadis itu bila panggilannya tidak dipedulikan.
Beel melepas nafas yang naik turun. “Saya nak balik rumah opah”.
Haikal melepas nafas mendengar kata-kata Beel. Dia tahu Beel pasti sedang marah kerana perbualannya dengan Syakir tadi. Tapi yang penting sekarang adalah luka di kakinya. Bagaimana kalau luka itu terkena jangkitan kuman?
Beel menarik tangannya dari pegangan Haikal. Haikal memandang wajah selamba itu. “Bersihkan luka kaki awak tu dulu. Macam mana kalau terkena jangkitan kuman?”
“Setakat luka kecil tak de maknanya nak kena jangkitan kuman” Beel menjawab sambil menutup beg bagasinya.
“Beel, tak nak macam ni” Haikal cuba memujuk, tapi tidak tahu ayat yang harus digunakan.
Beel diam mendengar kata-kata Haikal. Namun hanya sesaat dua. Beg bagasinya diturunkan dari katil dan dia menariknya keluar dari bilik.
“Beel” Haikal menarik tangan Beel sebelum dia sempat keluar.
“Lepaslah. Saya nak balik rumah opah”.
“Kita bincang dulu. Awak janganlah buat macam ni” Haikal menguatkan pegangannya.
Beel mengerut dahi. Bincang? “Nak bincang apa lagi? Betul-lah apa mak long cakap tu. Saya ni cuma pengganti Kak Su. Awak tu… jangan lupa yang bakal isteri awak sebenarnya Kak Su, bukan saya”.
“Beel” Haikal memandang wajah itu sayu.
Beel menggeleng-geleng. Tangannya ditarik dari pegangan Haikal. “Awak lepaskan saya, balik pada Kak Su. Selesai masalah”.
“Apa yang awak merapu ni? Awak ingat saya memang nak lepaskan awak ke?” Haikal meninggi suaranya bila mendengar kata-kata Beel.
Beel memandang Haikal dengan ketapan bibir. “Suka hati awaklah. Yang penting sekarang saya nak balik rumah opah” dan dia terus keluar dari bilik tanpa menoleh lagi.
Haikal melepas nafasnya. Namun terus dia berlari mengejar Beel.

##########

Syakir melangkah keluar bila mendengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah Haikal. Dia perasan itu adalah kereta Fah. Pasti Beel yang menekan alat kawalan bagi membolehkan kereta Fah masuk.
Fah turun dari kereta tanpa meletakkan kereta di garaj. Hanya berhenti tepat di hadapan rumah. “Mana Beel?”
Syakir menggeleng-geleng. “Dia suruh awak datang ke?”
Fah mengangguk. Dia menjengah ke dalam dan terlihat Beel yang menarik bagasinya menuju ke arahnya. Dahi berkerut melihat gaya jalan Beel yang agak aneh.
“Jom” Beel memandang Fah dengan wajah serius.
Beel mengaduh sedikit bila kaki memakai selipanrnya. Namun ia ditahan agar Fah tidak perasan kakinya luka. Jika tidak, pasti temannya itu banyak bunyinya.
Beel terus memasukkan bagasi ke dalam kereta dan mengambil tempat di sebelah pemandu. Fah menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang tidak kena dengan Beel?
“Beel, Beel!” Haikal datang sambil menjerit memanggil nama isterinya.
Fah memandang Haikal dan kereta bersilih ganti. Mereka bergaduhkah? Haikal menyarung kasutnya mahu mengejar Beel yang sudah masuk ke dalam kereta namun ditahan Syakir.
“Kau lepas je dia dulu. Selagi dia tak cool down, dia takkan dengar apa kau cakap. Kalau kau panas, dia pun panas. Tak selesai masalah” Syakir menarik tangan Haikal.
Haikal menahan geram sendirian. Wajah jelas mempamerkan rasa bengang dan risau yang bercampur. Syakir melepas nafas melihat keadaan itu.
“Awak pergilah dulu. Ada apa-apa hal nanti, awak bagitahu saya” Syakir memandang Fah yang jelas masih bingung.
Haikal memandang Fah yang masih berdiri di tempatnya. “Kaki Beel luka. Awak bawa dia pergi klinik dulu”.
Fah mengangguk perlahan. Namun dia masih berdiri tegak di situ. Bunyi hon yang datang dari kereta jelas menunjukkan Beel sudah marah. “Saya pergi dulu” Fah berlari anak menuju ke kereta dan memandu keretanya pergi.
Haikal melepas nafas bila melihat pagar rumahnya tertutup. Mata dipejam seketika, melepaskan berat fikirannya.
“Dahlah Kal. Lagi tiga empat hari kita pergi rumah opah. Kalau dia dah sejuk sikit, dia mesti dengar penjelasan kau”.
Haikal memandang Syakir dengan senyuman kelatnya. Syakir menepuk-nepuk bahu Haikal. Simpati dengan masalah yang menimpa temannya itu. Mudah-mudahan Beel benar-benar sudah ok bila mereka ke rumah opah nanti.

##########

“Kau nak bawa aku pergi mana ni?” Beel menyoal Fah yang sedang memandu.
“Kliniklah. Abang Haikal cakap kaki kau luka. Kena bersihkan luka tu dulu. Susah kalau jadi apa-apa” Fah membuat wajah selambanya.
Beel merengek mendengar kata-kata Fah. “Aku ank balik rumah teruslah. Kau tak yahlah bawa aku pergi klinik”.
Fah menarik nafas tanda kepenatan dengan ragam Beel. “Kau nak opah risau ke tak? Kalau kau tak nak opah risau, kau dengar cakap aku. Kita pergi klinik, bersihkan luka kau dulu. Tak delah opah tanya banyak nanti”.
Beel terdiam mendengar kata-kata Fah. Fah selalu saja tahu apa yang harus diperkatakan bila dia membuat perangai begini. Bibir muncung tidak mahu, tapi Beel tahu Fah langsung tidak termakan dengan rajuknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s