DILARANG NIKAHI AKU – 46

“Beel!” Haikal menjerit mengejar Beel yang sudah meninggalkan biliknya.
Beel melajukan langkah. Selaju mungkin. Namun entah bagaimana dia yang mata tidak melihat ke bawah tidak menyedari dia sudah tiba di awal anak tangga. Kerana melihat Haikal yang berada tidak jauh dari belakangnya, kaki yang memijak angin tidak dapat diimbangkan.
Beel jatuh bergolek hingga ke anak tangga yang terakhir. Haikal tergamam melihat Beel sudah terbaring di atas lantai. “Beel!” Dia berlari selaju mungkin menuruni anak tangga.
Pipi Beel disentuh. Beel mengaduh kesakitan namun suaranya tidak terkeluar. Haikal langsung membantu Beel duduk. “Awak ok?”
Beel menggeleng dengan kerutan dahi. Riak wajah yang jelas mempamerkan rasa sakit. Haikal memaut bahu Beel. Sedikit bingung apa yang harus dilakukan bila rasa risau menguasai.
“Kaki.. kaki..” Beel mengaduh kesakitan. Kesakitan yang dirasakan membuatkan dia tidak mampu berkata panjang.
Haikal meraba poket seluarnya. Mujur kunci kereta berada dengannya. Beel langsung digendong dan dia melangkah menuju ke pintu. “Saya bawa awak pergi hospital”.

##########

Safwan berdiri tegak bila melihat Haikal mendukung Beel. Fah dan Syakir saling memandang dan turut menoleh pada arah yang dilihat Safwan.
Haikal menyarung kasutnya dan berjalan ke arah mereka bertiga. “Beel jatuh. Aku nak bawa dia pergi hospital”.
Syakir mengangguk. Fah mempamerkan wajah risau bila Beel langsung tak bersuara. Safwan memandang dengan sedikit rasa sakit di hati.
“Kau jaga diri” Syakir menepuk bahu Haikal.
Haikal mengangguk. “Fah, awak jangan bagitahu opah ye.. Saya tak nak opah risau”.
Fah mengangguk mengiakan dan Haikal terus melangkah ke arah Saga Sv milik Syakir. Dan kereta laju meluncur keluar dari Villa An.
Fah melepas nafas. “Diam je Beel. Mesti sakit sangat kan?”
Syakir mengangguk. “Awak perasan tak? Hari ni dia orang nampak macam suami isteri sebenar kan? Selalu macam main-main je”.
Fah mengangkat wajah memandang Syakir. Mata dibulatkan tanda marah pada lelaki itu. Syakir berbisik perkataan ‘Sorry’ pada Fah. Dan keduanya menoleh pada Safwan yang sudah maju ke depan sedikit dari mereka.
Safwan menggenggam jemarinya. Dia bukanlah geram, jujur dia sangat risau akan keadaan Beel. Tapi alangkah bagusnya kalau dia sendiri yang membawa Beel ke hospital.

###########

Dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Pintu ditutup rapat sesudah jururawat yang membalut kaki Beel menyelesaikan tugasnya.
“Beel” Haikal menegur. Langkah diatur menuju pada Beel yang masih terbaring.
Beel mendudukkan diri bila melihat Haikal. Haikal berlari anak membantu isterinya itu. Beel memandang Haikal yang jelas mempamerkan wajah kerisauan.
“Awak..” Beel memanggil.
Haikal menjongket keningnya. Menanti permintaan yang bakal Beel kemukakan. Dalam hatinya, dia dapat mengagak apa yang Beel mahukan.
Beel diam seketika, kemudian menarik nafas sedalam mungkin. “Saya.. saya nak balik”.
Haikal melepas nafas. Sudah dia agak. Mana mungkin gadis lasak seperti Beel mampu bertahan tinggal di hospital walau untuk sehari?
“Boleh kan?” Beel menyoal lagi.
“Tapi doktor suruh awak duduk hospital dulu. 2-3 hari?”
“Tak nak..” Beel mula merengek mendengar kata-kata Haikal.
Haikal mencapai tangan Beel dan menggenggamnya seerat mungkin. “Duduk hospital dulu?”
Beel menggeleng. “Tak nak… Saya nak balik. Nak buat apa duduk hospital lama-lama?”
Haikal tersenyum. “Senang doktor nak buat check-up”.
Beel langsung menarik tangannya dari pegangan Haikal. Memprotes, dia tidak mahu tinggal di hospital! Tidakkah Haikal tahu dia boleh mati kebosanan jika tinggal di hospital?
Haikal mengukir senyum melihat gelagat Beel. “Oklah. Saya cakap dengan doktor, awak nak balik. Apa-apa hal, kita datang hospital balik boleh?”
Beel tersenyum. Langsung Haikal dipandang dengan senyum lebarnya. Anggukan diberikan bagai kanak-kanak yang mendapatkan keinginannya.
“Awak tunggu sini dulu. Biar saya pergi jumpa doktor” Haikal mengangkat punggung dari kerusi.
“Kejap” Beel menarik lengan baju lelaki itu. “Opah tahu tak saya jatuh?”
Haikal menggeleng. “Saya ingat tak nak bagitahu. Takut opah risau pula”.
Beel melepas nafas lega. Mujur Haikal mengambil langkah bijak dengan tidak memberitahu opah. Bimbang pula jika ada apa-apa terjadi pada opah kesayangannya itu. “Terima kasih”.
Haikal mengangguk. Kepala Beel diusap lembut. “Awak tak nak opah tahu.. jadi awak..”
Beel memandang Haikal. Dia tahu Haikal berbicara soal apa. Anggukan diberi dengan berat hati. Lagipun, tiada sebab musabab munasabah untuk dia merajuk sebenarnya.
Haikal tersenyum lebar. Dia yang sudah berdiri menarik kerusi dan duduk semula. Bagai tidak percaya dengan anggukan yang diberikan Beel. “Awak balik rumah kita?”
Beel melepas nafas. Sememangnya apa pilihan yang dia ada? Kalau pulang ke Villa An, mustahil dia boleh mengelak dari opah. Sudahlah kakinya berbalut, kata doktor dia tidak boleh berjalan untuk beberapa hari. Pasti opah akan risau dan susah hati terlebih.
“Betul ke awak balik rumah kita?” Haikal menyoal lagi. Mempamerkan rasa gembira dirinya.
Beel mengangguk. Teringat pesanan opah suatu masa dulu, isteri yang baik tidak menyusahkan suami. Pasti dia terjatuh dari tangga kerana keluar dari rumah tanpa izin juga menyusahkan Haikal mencarinya. Kifarah yang sentiasa berlaku dalam kehidupan manusia biasa.
“Betul?”
“Ya. Saya balik rumah ki.. awak. Sorrylah sebab susahkan awak”.
Haikal menggeleng. Dia bangun berdiri memandang Beel. Beel melepas nafas lega, menyangka Haikal akan beredar untuk bertemu doktor. Tapi tindakan Haikal yang tiba-tiba memeluknya membuatkan dia membisu seribu bahasa.
“Saya pergi dulu” Haikal tersenyum melepaskan pelukannya. Keluar dari bilik dengan senyum yang tidak pernah dilihat Beel.
Beel mengeluh. Tindakan Haikal tadi… Apakah benar kata Kak Nia? Bahawa Haikal menyayanginya sebagai sayangnya Adam pada Hawa? Sayangnya seorang lelaki pada seorang wanita?

###########

Beel mengerut dahi melihat wajah yang menunggunya turun dari kereta. Memang ada Nia di situ. Tapi ada… Haikal di sebelahnya dipandang dengan kerutan dahi.
Haikal tersenyum. “Papa baru sampai pagi tadi. Saya memang nak bagitahu tapi…”
Tidak sempat Haikal menghabiskan ayatnya, pintu automatik kereta terbuka. Beel mempamerkan senyuman manis buat papa Hazan yang sememangnya baik padanya.
Hazan melepas nafas melihat keadaan Beel. “Apa khabar menantu kesayangan papa ni?”
Beel turun dari kereta dengan berpaut pada pintu. Kaki yang berbalut dipandang. “Belum cacat lagi papa”.
“Amboi! Sedapnya jawab” Hazan mencubit pipi Beel.
Beel sengih. Haikal bergegas mendekati Beel dan memaut tubuhnya. Beel mengerutkan dahi bila Haikal menunduk pada kakinya. “Awak nak buat apa ni?”
“Nak dukung awaklah. Takkan awak nak balik bilik macam ni? Sampai malam tak sampai-sampai” Haikal terus mengendong Beel tanpa mempedulikan wajahnya yang menunjukkan tanda tidak rela.
Hazan ketawa kecil. Tanda-tanda sikap Haikal. Sepertinya ada sesuatu di antara Beel dan Haikal yang dia tidak tahu. Mungkinkah mereka sudah berbaik?
Beel merungut melihat senyuman Hazan. “Papa..”
Hazan hanya mampu tersenyum. Memang itu pun yang sepatutnya dilakukan Haikal. Takkanlah Beel mahu melompat ke bilik mereka?
Nia yang berada tidak jauh darinya dipandang. Ternyata pembantu rumahnya itu juga sedang tersenyum melihat gelagat Beel dan Haikal.
“Kak Nia” Haikal memanggil.
“Ya”.
“Nanti Syakir datang ambil kereta dia. Kak Nia tolong bagi kunci. Saya dah pesan tolong bawakan barang Beel sekali. Nanti Kak Nia tolong hantarkan ke bilik”.
Nia mengangguk dengan senyuman. Haikal memandang Hazan. “Oklah papa. Haikal bawa Beel masuk bilik dulu”.
“Pergilah”.

###########

Abang di hadapannya dipandang. Dia lihat abang kurang berselera menjamah makan malam yang dimasaknya itu. Pasti masih memikirkan soal Beel.
Fah bangun dari meja makan bila nada deringnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Bila melihat nama Beel yang tertera di skrin, dia berganjak sedikit dari abangnya agar perbualannya tidak didengari.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Aku ni”.
“Kau ok ke? Kena tahan kat hospital eh? Teruk ke kaki kau? Lepas tu doktor cakap apa je? Abang Haikal ada dengan kau ke?”
“Banyaknya tanya mak cik seorang ni. Aku ok, cuma adalah patah sikit. Tapi tak teruk pun. Doktor kata dalam 4-5 hari baru boleh jalan balik?”
Fah mengerut dahi. “Gila kau! 4-5 hari tak boleh jalan tu tak teruk ke?”
Beel mendengus. Inilah masalahnya bila berkawan dengan orang yang berperangai mak cik-mak cik. Semua benda mahu dirisau dan diperbesarkan. “Aku kat rumah Haikal ni”.
“Balik sana ke?”
“Aku takut opah risau. Terpaksalah..”
Fah melepas nafas mendengar kata-kata Beel. “Baguslah kau boleh fikir lagi..”
“Kau ni! Cakap dengan abang Wan, jangan risaukan aku. Aku ok je. Jangan cakap dengan dia aku tak boleh jalan pula. Aku tak nak abang Wan risau”.
“Yelah. Abang je kau fikir. Aku ni?”
Beel ketawa kecil. “Kau kan cinta hati aku. Aku ok je. Lagi pun, Haikal ada upah nurse untuk jaga aku. Dia kata nurse tu ada dengan aku sampai aku boleh jalan”.
“Sayang juga abang Haikal dengan kau”.
“Dahlah. Tu je aku nak cakap. Kalau kau free nanti, datanglah sini tengok aku. Ajak abang Wan sekali”.
“Yelah. Ok. Jaga diri”.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” Fah menjawab salam yang diberikan Beel. Telefon bimbitnya diletak kembali di atas meja. Dan langkah diatur semula ke meja makan.
“Abang” Fah memanggil Safwan yang masih menjamah makanannya.
Safwan memandang. “Apa?”
“Beel call tadi”.
Safwan membulatkan mata. Jelas menunjukkan kerisauan yang terpancar pada wajah. “Dia macam mana?”
“Ok. Adalah luka dalam sikit. Dia kata…”
“Dia kat mana sekarang?” Safwan menyoal lagi.
Fah diam seketika. Bagaimana dia mahu menyusun ayat? Silap hari bulan, rosak mood abangnya malam ini.
“Dia kat mana sekarang?” Safwan menyoal buat kali kedua.
“Beel kata dia tak nak buat opah risau. Jadi.. Beel.. dia.. Beel balik rumah abang Haikal”.
Safwan terdiam. Nasi yang masih bersisa di pinggannya dipandang. Langsung tidak punya semangat untuk meneruskan makan malamnya. Memang bagus Beel pulang ke rumah Haikal. Lagi pun Haikal bukan orang lain. Haikal suami Beel sendiri.
Tapi mengapa dia kecewa? Safwan memandang Fah yang memandangnya. Senyum diberi buat adiknya itu. “Fah makanlah. Abang dah kenyang”.
Safwan mengambil pinggannya mahu melangkah ke dapur.
“Abang!” Fah memanggil.
Langkah Safwan terhenti. Dia memandang Fah dan Fah meneruskan kata-katanya. “Jangan macam ni boleh tak? Fah tak suka..”
“Macam ni?”
“Dulu waktu Beel tak ada suami abang tak cakap apa-apa. Bila dia dah kahwin, abang… ” Fah terhenti. Kata-katanya tidak dapat diteruskan lagi.
Safwan menguntum senyum kelat buat adik tunggalnya itu. “Fah jangan risau. Macam mana sayang pun abang pada Beel, abang takkkan jadi orang ketiga dalam rumah tangga dia”.
Fah melepas nafas. Memang dia lega dengan kenyataan abang itu. Lalu perubahan diri abang, apakah abang perasan tentangnya?
Safwan memandang Fah semula sebelum meneruskan langkah. “Kecuali kalau Haikal tak jaga Beel dengan baik. Abang akan ambil Beel dari dia”.
Fah mengerutkan dahi. Safwan sudah ke dapur membasuh pinggan juga tangannya. Fah menggaru kepala yang tidak gatal. Bingung dengan kata-kata abang. Dia juga sudah hilang selera makan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s