DILARANG NIKAHI AKU – 47

Beel melepas nafas bila jururawat yang menukar kain balutan kakinya keluar meninggalkan dia sendirian di dalam bilik. Telefon bimbitnya dicapai dan tarikh serta hari dilihat.
Sudah tiga hari dia ‘beku’ di atas katil. Tidak boleh ke mana-mana. Menurut jururawat yang diupah papa, kakinya masih belum cukup kuat untuk melangkah. Jika dia berkeras mahu berjalan, dikhuatiri urat sarafnya akan bengkak.
Fah dan abang Wan langsung tidak melawatnya. Fah memang ada menghantar mesej. Fah sangat-sangat mahu melawatnya tapi dia sibuk di universiti. Abang Wan pula sedang menguruskan projek syarikat. Lebih-lebih lagilah tiada masa.
Dahinya berkerut melihat tarikh hari ini. Hujung minggu. Selalunya hujung minggu Haikal akan melawat Kak Su di Negeri Sembilan.
Pintu bilik yang dibuka dari luar menarik perhatian Beel. Berkerut melihat Haikal menatang dulang yang terisi sarapannya mungkin. Bukankah sepatutnya Haikal bersama Kak Su?
Haikal menguntum senyum manis buat Beel. Langkah diatur menuju ke kawasan gadis yang menjadi pujaan hatinya itu. “Sarapan”.
Beel memandang tanpa riak wajah. Hatinya hairan dengan Haikal. Mengapa dia tidak ke Negeri Sembilan menemani Kak Su di hospital.
“Tengok ni. Kak Nia masakkan bubur ayam halia untuk awak. Ni ikut resepi yang nurse bagi tau. Dijamin boleh buat awak sihat dan ceria selalu” Haikal membebel sambil meniup bubur ayam yang masih berasap di dalam mangkuk.
“Awak tak…” Beel terdiam. Ayat yang tergantung dibiarkan mati. Moga Haikal tidak mendengar apa yang dia katakan tadi.
Haikal mengerut dahi bila ayat Beel tergantung. Wajah diangkat memandang gadis itu. “Tak apa?”
Beel menggeleng laju. “Tak de apa-apalah”.
Kerutan di dahi Haikal bertambah. Apa yang mahu Beel katakan sebenarnya? Beel mengalih pandangannya. Sebenarnya hati kuat mahu menanyakan apakah Haikal tidak ke Negeri Sembilan tapi bila difikir dua kali lebih baik dia jangan memberi soalan itu.
“Mana nurse? Selalu dia yang bawakan sarapan” Beel mengubah topik. Biar Haikal tidak menunjukkan minat terhadap ayatnya yang digantung tidak bertali tadi.
Haikal tersengih sambil menyudu bubur ayam itu. “Kalau saya yang bawakan… awak nak makan tak?”
Beel mengerut dahi. Haikal menganga mulutnya. Dan kerutan di dahi Beel bertambah. Haikal bersungguh-sungguh mengangguk, menyuruh Beel menganga mulutnya.
“Nah, makanlah” Haikal menunjuk bubur ayam itu pada Beel.
Beel menggeleng. “Nak suap sendiri”.
Haikal menggeleng mengikut rentak Beel. “Kalau awak tak nak makan ni.. maksudnya.. maksudnya..”
Beel memandang wajah lelaki itu. Apalah yang sedang dilakukan Haikal sebenarnya? Bukannya dia menghabiskan hujung minggunya bersama Kak Su, sebaliknya dia berada di Kuala Lumpur menemani Beel pula.
“Maksudnya.. awak sayang saya” Haikal menghabiskan ayatnya dengan senyum lebar. Langsung Beel menarik tangan Haikal yang memegang sudu dan terus menyuapkan sudu itu ke buburnya.
Beel mengunyah dengan perasaan sebal. Haikal ketawa kecil dengan tindakan Beel. “Bagus pun. Macam ni barulah boleh jadi isteri solehah”.

##########

Pandangannya jelas mempamerkan rasa yang sama dengan wajah di hadapannya. Sedih, geram, marah dan entah apa lagi perasaan yang bercampur baur.
“Su..”
Suraya memandang Sakinah. Nafas dilepas bagai melepaskan bebanan berat. “Haikal memang tak nak datang dah ke?”
Sakinah merapatkan diri dengan Suraya. Kedua tangan Suraya dicapai dan digenggam penuh kasih. “Mungkin Haikal sibuk. Su janganlah marah-marah macam ni”.
“Mama!”
“Su.. Mana tahu nanti Haikal sampai?”
“Nanti tu bila?” Suraya membulatkan mata. Sudahlah minggu lepas Haikal tidak datang, begitu juga minggu sebelumnya. Masuk minggu ini sudah tiga minggu Haikal tidak datang melawatnya.
Sakinah mendiamkan dirinya. Zamri sudah memaklumkan bahawa Beel jatuh tangga dan dia tidak dapat berjalan. Minggu sebelumnya pula Beel jatuh kolam. Kerana itulah Haikal tidak melawat Suraya. Dia menjaga Beel.
Sejujurnya Sakinah betul-betul geram dengan Haikal. Apakah Haikal tidak tahu betapa besarnya kesan kehadirannya pada proses rawatan Suraya? Bila Haikal buat begini, samalah seperti melambatkan proses rawatan Suraya.
Suraya memejam mata menenangkan diri. Dia tidak boleh tertekan selagi masih di dalam proses rawatan. Jika tidak, mimpi ngeri itu akan kembali menghantui tidur malamnya.
Pandangan memandang mama yang seolah tenggelam dalam dunianya. “Mama, mama” Suraya memanggil.
“Ya sayang” Sakinah menjawab panggilan dan mengukir senyum.
“Boleh mama…” ayat Suraya mati. Jika dia meminta mama menyoal Haikal mengapa tidak datang melawatnya, pasti Haikal tidak suka. Haikal akan terasa dirinya dikongkong dan pastinya Haikal akan memikirkan dia seorang ‘queen control’.
Suraya tersenyum. Gelengan diberikan pada mama. Lebih baik dia diam sahaja. Lagi pun setelah mereka sah menjadi suami isteri nanti, Haikal akan menjadi hak mutlaknya. Buat masa sekarang, dia hanya perlu bersabar.

##########

“Kenapa Kak Nia senyum seorang-seorang ni?”
Nia menggeleng melihat Beel yang sedari tadi memerhatikannya. Sedang dia terus menyusun baju-baju di almari gadis itu.
“Kak Nia” Beel memanggil kerana Nia tidak menjawab pertanyaannya.
Nia menutup pintu almari dan membawa bakul baju yang telah kosong pada Beel. Dia mengambil tempat di sisi Beel dan menggenggam jari-jemarinya.
“Kenapa ni?” Beel menyoal hairan.
Nia tersenyum mempamerkan kebahagiaannya. “Kak Nia seronok tengok kau orang”.
“Siapa?”
“En.Haikal dengan Cik Beel-lah”.
Beel mengerut dahinya. “Kenapa?”
Nia melepas nafas. Tahu sangat Cik Beelnya bukan tidak tahu, tapi tidak mahu tahu dan ambil tahu. “Cik Beel ni…”
Beel mengaduh kesakitan bila Nia mencubit lengannya. “Kak Nia!”
“Saja buat tak tahu”.
“Sakitlah..” Beel merengek menyatakan kesakitannya hasil cubitan Nia.
“En.Haikal sayang sangat dengan Cik Beel” Nia tersengih sambil tangan bermain-main dengan jemari Beel. Dan dia menyambung ayatnya semula. “Kak Nia suka tengok En.Haikal sekarang. Ambil berat, penyayang, dah tak marah-marah macam dulu..”
Beel mencebik. Bahunya mengendur memikirkan Kak Su. Sekali pun kata-kata Kak Nia benar, semuanya akan lenyap sekelip mata setelah Kak Su kembali. Dia berpijak pada bumi yang nyata. Kerana itulah, walau apa pun yang Haikal lakukan… Beel sama sekali tidak akan berlembut hati. Kerana…
Di akhirnya, tetaplah Kak Su yang menjadi pilihan. Pasti.

###########

Jururawat tersenyum memandang Beel. Stokin di kaki Beel dipakaikan semula sesudah dia menjalankan terapi.
“Kaki Cik Beel dah mula kuat. Kalau Cik Beel nak jalan…”
“Naklah sangat! Beel dah boleh jalan ke?”
Jururawat yang tua beberapa tahun dari Beel itu ketawa dengan jawapan Beel. Anggukan diberikan buat gadis itu. “Tapi kita kena mula step by step”.
“Beel tak kisah. Beel dah tak larat nak baring kat sini”.
Jururawat itu mengangguk dengan senyuman. “Kalau macam tu.. kita boleh mula berlatih esok”.
“Esok?” Beel menayangkan wajah hampanya. “Hari ni tak boleh ke?”
Jururawat itu menggeleng. “Cik Beel sabar ye. Lagi berapa jam je nak esok dah”.
Beel melepas nafas. Esok pun esoklah. Yang penting, dia sudah boleh mula berjalan. Tidaklah terbaring saja saban hari. Dia tiba-tiba teringat sesuatu. Jururawat itu dipandang. “Haikal ada ke?”
Jururawat membalas pandangan Beel. “Ada. Dia kata dia tak kerja hari ni”.
Beel mengerutkan dahi. Tak kerja? Apa maksud Haikal dengan tak kerja? Senyum diberi buat jururawat bila dia bangun meninggalkan Beel seorang diri.
Mengapa Haikal tidak ke pejabat? Apakah Haikal punya urusan lain atau.. Haikal ingin menjaganya?

#########

Dia tersenyum memandang sup ikan yang mula mendidih di atas dapur. Akhirnya berjaya juga dia masak sup ikan kegemarannya untuk isterinya tercinta. Segala penat lelah dia meng’interview’ mama akhirnya menemukan hasil lumayan.
Segala perkakas yang dia gunakan dikumpul dan dibawa ke sinki. Dia tersenyum sendiri lagi membasuh perkakas itu sambil sekali-sekala menjeling sup ikannya di atas dapur.
Bila sup ikan itu sudah berasap, Haikal langsung menutup api dapur. Namun suara yang memanggil-manggil membantutkan niatnya untuk terus menghidang sup itu buat Beel.
“En.Haikal! En.Haikal!”
Haikal menoleh ke pintu dapur. Memandang Nia yang tercungap-cungap berlari kerana mendapatkannya. “Ada apa?”
“Ada tetamu datang”.
Haikal mengerutkan dahi. Siapa yang datang tanpa memaklumkannya lebih dahulu? “Kak Nia dah bawa dia masuk?”
Nia mengangguk. “Dia tengah tunggu En.Haikal kat ruang tamu”.
Haikal langsung membuka apronnya dan menyangkutnya di tempatnya semula. “Kak Nia kenal tak?”
Nia menggeleng. “Tapi.. Kalau tak silap Kak Nia, dia pernah datang sekali hari tu. Keluarga Cik Beel”.
Haikal membulatkan mata. Apakah opah yang datang berkunjung? Jangan-jangan opah sudah tahu apa yang menimpa Beel? Haikal jadi tak keruan bila terfikir opah pasti teramat risau.
Dia terus berlari meninggalkan dapur menuju ke ruang tamu. Hati sedikit lega bila mendapati rupanya ia adalah seorang lelaki. Ternyata dia adalah Zamri.
“Assalamualaikum” Haikal memberi salam sekaligus menyalami pak long Beel itu.
Zamri tersenyum. “Waalaikumussalam. Haikal sihat?”
“Sihat alhamdulillah. Pak cik datang..”
“Pak long nak melawat Beel” Zamri tersenyum sambil menghulurkan buah tangan pada Haikal.
“Ooh..”
Zamri melihat-lihat sekeliling rumah itu. Sudah lama dia tidak berkunjung ke mari. Itu kerana dia tidak punya urusan di sini. Selalunya Beel akan datang melawat mereka di Villa An. Kali ini dia yang harus melawat anak saudaranya itu kerana setahunya sudah seminggu Beel terbaring kerana kakinya masih belum kuat untuk melangkah.
Kedatangannya juga sekaligus untuk menyampaikan salam rindu Puan Sri Normah buat cucu kesayangannya itu. Dia saban hari memberi soalan yang sama. Mengapa Beel tidak datang melawatnya sesudah berbaik semula dengan Haikal?
Haikal memandang Zamri yang menggelarkan dirinya dengan gelaran pak long. Memang seharusnya dia harus memanggil Zamri dengan gelaran yang sama dengan Beel, namun ketidakselesaanya menyebabkan dia hanya memanggil Zamri pak cik.
“Papa Haikal ada ke?”
Haikal menggeleng. “Papa ada urusan kat Thailand. Mungkin lusa atau tulat baru balik”.
Zamri mengangguk memahami. Saat itu juga, Nia datang menghidangkan kopi susu panas buat Zamri. Dan dia terus ke dapur semula sesudah menghidangkan makanan ringan.
“Pak cik nak tengok Beel kan? Jomlah”.

#########

Beel tersenyum melihat jururawat melangkah keluar dari biliknya. Dan kemudian matanya beralih pada Haikal yang melangkah masuk namun tidak menutup pintu.
Beel mengerut dahi. Siapa yang dibawa Haikal masuk ke bilik mereka?
“Beel”.
Beel membulatkan mata melihat wajah itu. Langsung wajah yang tadinya tidak beriak tersenyum selebar mungkin. “Pak long!”
Haikal tersenyum melihat jejak kasih dua beranak saudara itu. Memang dia tahu Beel sangat rapat dengan pak longnya. Suraya sendiri beberapa kali memberitahu, dia sangat mencemburui kasih sayang yang ditunjukkan Zamri terhadap Beel.
“Pak long..”
Zamri menggeleng-geleng mendengar rengekan Beel yang bagai anak kecil. “Tengah sakit pun boleh merengek lagi?”
Beel membuat muka. “Kenapa pak long tak datang awal-awal? Beel bosan gila seorang-seorang”.
Zamri membulatkan matanya. “Gila? Hai, anak saudara pak cik seorang ni dah gila ke? Janganlah macam tu..”
“Pak long!”
Zamri ketawa kecil. Haikal ikut ketawa melihat perwatakan Zamri yang tadinya serius langsung bertukar riang. Siapa yang boleh bermasam muka dengan Beel? Bagaimana pun, pasti akan tersenyum sepertinya juga.
“Haikal tak kacau pak cik dengan Beel dah. Pak cik sembang-sembanglah”.
Zamri mengangguk dengan senyuman. Menghantar pemergian Haikal dengan pandangan mata. “Beel macam mana?”
“Nurse kata esok dah boleh mula jalan”.
“Betul?” Zamri melihat kaki Beel yang masih berbalut.
Beel mengangguk. “Cuma kena tatihlah. Sebab belum kuat sangat. Tapi kita boleh cuba step by step kan?”
Zamri mengangguk. “Opah setiap hari tanya fasal Beel. Beel tak telefon opah langsung ke?”
Beel menggeleng. Zamri mengerut dahi. “Kenapa Beel tak telefon opah?”
“Beel takut opah risau. Pak long macam tak tahu, opah tu dengar suara Beel pun dia boleh tahu Beel tak sihat” Beel merungut sendiri.
Zamri mengangguk. Kata-kata Beel benar. Iyalah, opahnya yang menjaga dia sedari kecil. Takkanlah dia boleh terlepas pandang hal sebegitu?
Beel mengetap bibir memandang Zamri. “Pak long..”
“Ya?”
Beel diam seketika. “Aaa..”
Zamri mengerutkan dahi. Apa yang mahu dikatakan Beel? “Kenapa ni?” tangan mengusap kepala gadis itu.
“Aaa.. Beel.. Kak Su.. Kak Su dah sihat ke?” Beel menyoal perlahan dan satu-persatu.
Zamri menggeleng dengan senyuman. “Beel, Kak Su masih kat hospital. Doktor masih tak benarkan Kak Su keluar hospital”.
Beel mengangguk memahami. “Rasam macam dah lama tak jumpa Kak Su”.
“Macam mana nak jumpa kalau dua-dua sakit macam ni?”
Beel sengih. Zamri tersenyum lemah memandang Beel. Dia tahu anak saudaranya itu sangat sayangkan kakak sepupunya. Bagi Beel, Suraya adalah satu-satunya adik beradik yang dia punya. Walau pada luaran Beel kelihatan seperti suka mencari fasal dan menyakitkan hati Suraya, tapi sebenarnya dia selalu mengalah dengan kakak sepupunya itu.
Zamri mengeluh melihat wajah Beel yang sibuk bercerita itu dan ini. Kalaulah saja Suraya menyayangi Beel dengan perasaan yang sama…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s