DILARANG NIKAHI AKU – 48

Senyuman terukir di bibir melihat Beel melangkah perlahan dengan menggunakan tongkat yang dibelinya sambil dipapah jururawat.
Beel melangkah dan melangkah lagi. Kata jururawat, berjalan di atas rumput lebih membantu dari berjalan di atas simen. Kerana itulah dia berjalan di atas rumput tanpa memakai kasut.
Jururawat memandang Beel bila langkahnya mulai lemah. “Cik Beel boleh jalan lagi?”
Beel mengangguk. Walaupun terasa sedikit letih kerana tapak kakinya masih tidak boleh memijak dengan betul, namun dia tetap mahu meneruskan latihannya.
Tidak mungkinlah dia mahu terbaring lebih lama. Sudahlah setiap kali bertikam lidah dengan Haikal, asyik lelaki itu saja yang menang. Mentang-mentanglah dia tidak boleh bertindak melebihi batasan, Haikal suka sangat mengusiknya.
Jururawat tersenyum dan mengajak Beel melangkah lagi. Entah apa mimpi Haikal, dia tiba-tiba bangun dari kerusinya dan bertepuk tangan menyorak untuk Beel.
“Beel boleh! Jalan lagi!”
Beel mengerut dahi melihat Haikal yang begitu bersemangat bersorak untuknya. Jururawat juga ikut tersenyum. Tapi kaki Beel tidak boleh bertahan lagi..
Dia terjatuh bila langkahnya harus berpatah balik. Haikal terus berlari anak ke arah Beel. “Awak ok tak?”
Jururawat memeriksa kaki Beel. Nampaknya tiada kecederaan luaran dan dalaman yang berlaku. Haikal melihat wajah Beel yang kelihatan biasa.
“Tak sakit ke?”
Beel melepas nafas. Tangan Haikal yang memegang tangannya ditolak. “Jatuh sikit je. Yang awak gelabah sangat ni kenapa?”
Haikal memandang Beel dengan perasaan geram. Beel selalu saja begitu. Tidak mahu memahami setiap tindakannya. Tangannya automatik mencubit pipi Beel kerana sakit hati.
“Sakitlah!”
“Amboi, romantiknya..”
Beel memandang Haikal dan Haikal memandang Beel. Dan sama-sama menoleh ke belakang melihat sang empunya suara.
“Assalamualaikum”.
Beel membulatkan mata melihat wajah sahabat tercintanya. “Fah!”
Fah tersengih melihat Beel dan Haikal yang sama-sama duduk di atas laman. Cuma bezanya, Beel betul-betul duduk manakala Haikal mencangkung.
“Apa yang kau orang buat ni? Berkelah ke?” Fah menjongket keningnya.
Beel memandang Haikal. Langsung tubuh Haikal ditolak hingga lelaki itu terduduk. Dan dia cuba bangun sendiri namun tidak mampu. Fah mendekat untuk menghulurkan bantuan namun niatnya terbantut bila bahu Beel dipaut Haikal.
Beel mendengus bila tangan Haikal melingkari bahunya. “Tak payahlah. Saya boleh bangun sendiri!”
“Hei, orang nak tolong pun tak boleh ke? Sedarlah sikit, awak tu sakit” Haikal membulatkan mata.
Beel merungut sendirian. Dengan bantuan Haikal, akhirnya dia dapat berdiri tegak. Jururawat menghulurkan tongkat yang tadinya tercampak.
Jururawat meminta diri tidak lama kemudian. Fah menyambut tubuh Beel yang tadinya dipapah Haikal. Haikal tersenyum melihat mereka berdua dan berkata, “Sembang-sembanglah. Saya minta Kak Nia buatkan air”.
Fah mengangguk. Beel memandang Fah dan mengajak Fah membawanya ke buaian yang terdapat di situ. “Abang Wan tak datang ke?”
Langkah Haikal terhenti bila mendengar pertanyaan Beel. Namun, dia tidak memaling tubuh memandang mereka. Pada akhirnya, Beel tetaplah akan menyoal tentang Safwan pada awal perbualannya.
Fah tersenyum mendengar soalan Beel. “Ada kat depan tu. Kejap lagi dia datanglah. Tadi dia sembang dengan Kak Nia”.
Beel sengih. “Dah lama tak jumpa abang Wan. Rasa rindu pula”.
Haikal mengeluh mendengar perkataan rindu yang menjadi ucapan Beel. Mata dipejam seketika sebelum langkah diteruskan semula. Mungkin sampai bila-bila pun Beel tidak akan pernah menyedari apa sebenarnya perasaan dia pada Beel dan apa sebenarnya perasaan Safwan pada Beel.

#########

Sakinah memandang Suraya yang sedari tadi memandang pintu. Pandangannya tetap pada pintu setelah sepuluh minit lepas. Dari tadi, dia hanya menjeling namun kini matanya benar-benar tertumpu ke arah pintu masuk.
“Su” Sakinah memanggil, memancing perhatian puterinya.
Suraya menoleh ke arah Sakinah dengan kerutan dahi. “Ya?”
Sakinah menggeleng-geleng. “Tak de apa-apa”.
Suraya menguntum senyum lemah. Kemudian dia memandang ke arah luar tingkap. Dan tidak sampai beberapa saat, pandangannya tertuju semula ke arah tingkap.
Sakinah susah hati melihat keadaan puterinya. Nafas dilepaskan, melepaskan sebuah keluhan berat. Dia tidak punya pilihan lain. Dia harus menghubungi Haikal untuk mencari tahu penyebab sebenar mengapa dia sudah lebih dua bulan tidak melawat Suraya.

#########

“Sekejap ye” Haikal tersenyum memandang Beel sambil bangun dari kerusi.
Beel memandang kosong. Mangkuk yang berada di tangan Haikal diambil dan bubur durian itu disuapnya sendiri. Sedari tadi dia sudah memberitahu Haikal bahawan dia boleh makan dan melakukan suapan sendiri, tapi Haikal bertegas mahu menyuap dia.
Haikal melangkah ke kawasannya bagi mengambil telefon bimbitnya yang terletak kemas di atas meja. Bunyi mesej yang bertalu-talu membuatkan dia ingin tahu apakah hal yang penting.
Dahi berkerut melihat ia adalah mesej dari mak cik Sakinah pada aplikasi ‘What’s App’nya. Sekilas Beel yang khusyuk menghadap bubur durian masakan Kak Nia dipandangnya.
Mesej itu dibuka dan dibaca. ‘Haikal tak sihat ke? Kenapa lama tak datang tengok Su?’

#########

Dia melangkah perlahan ke arah ruang rehat kecil yang terdapat di biliknya. Telefon bimbit mama yang terselit di celah-celah majalah diambil bila dia mendengar bunyi mesej masuk.
Hasratnya yang sebenar mahu menelefon Haikal. Ingin sekali dia tahu mengapa Haikal sudah lama tidak melawatnya.
‘Mesej Haikal?’
Suraya menjeling bilik air yang terdapat di biliknya. Mama mengatakan dia mahu ke bilik air sebentar. Suraya membuka mesej itu dan membaca tulisannya.

Mama: Haikal tak sihat ke? Kenapa lama tak datang tengok Su?
Haikal: Maaf mak cik. Saya tak dapat datang buat masa ni.
Mama: Haikal sibuk ke? Tak boleh luang masa sikit?
Haikal: Saya betul-betul minta maaf. Mak cik tahu kan apa yang terjadi kat sini? Saya tak boleh tinggalkan isteri saya dalam keadaan dia macam tu.

#########

Terkejut dia bila mendengar bunyi sesuatu pecah dari luar. Keadaan sunyi seketika dan kemudian diikuti suara jeritan Suraya. Suaranya kedengaran berserabut bercampur marah, geram juga sedih.
Sakinah tergopoh-gapah keluar dari bilik air. Liurnya ditelan mendapat kaca sudah berteraburan di atas lantai. Dan Suraya berada di tengah-tengah sambil menangis sendirian.
“Su” Sakinah melangkah dengan berhati-hati ke arah Suraya.
Suraya membulatkan mata memandang mamanya. Sakit hati yang berbuku tidak mampu diluahkan. Mengapa mama merahsiakan semua ini daripadanya?
“Su..” Sakinah memaut bahu Suraya.
Suraya diam menahan marahnya. Air mata yang mengalir dibiarkan membasahi pipi. Sakinah memandang Suraya yang menayangkan wajah seriusnya.
Dia menggeleng-geleng. Tahu Suraya tidak akan berkata-kata selagi dia tidak tenang. Suraya tidak akan bercakap dalam keadaan marah. Dia sendiri tahu itu.
Langkah mencapai penyapu dan penyodok yang terletak di luar bilik air. Yang penting sekarang, kaca-kaca dan apa yang berterabur harus dibersihkan.
Suraya memandang mama yang sibuk membersihkan apa yang telah dia sepahkan. “Kenapa?”
Sakinah meletakkan penyapu di tempatnya semula. Sampah yang telah dikumpulkan dibuang ke dalam tong sampah dan penyodok diletakkan bersama penyapu.
“Kenapa?” Suraya meninggikan suaranya.
Sakinah melangkah perlahan menuju ke arah Suraya sesudah membersihkan kedua tangannya. “Kenapa ni? Apa yang kenapa? Mama tak faham”.
“Sampai hati mama…” Suraya memejam mata. Membiarkan air mata terus membasahi pipi.
“Suraya..”
“Kenapa? Kenapa mama tak bagitahu Haikal dengan Beel dah kahwin?! Kenapa?! Mama tak bagitahu Su yang Beet dah jadi isteri Haikal!! Kenapa??!”
Sakinah terdiam melihat Suraya menjerit sekuat hati. Lebih terkejut mendengar apa yang Suraya katakan. Dari mana Suraya tahu perkara itu?
Suraya menghulur telefon bimbit mamanya semula. Disebabkan kata-kata Haikal yang tidak jelas, dia telah pun mencari di ‘Google’. Majlis perkahwinan gilang-gemilang usahawan muda yang menjadi perhatian ramai, Haikal Hadzin bin Hazan.
Tertulis dengan sejelasnya Haikal menikahi cucu Puan Sri Normah yang sememangnya dikenali di negara Malaysia. Dan nama pengantin perempuannya adalah Suraya Hanisah bt Zamri.
Tapi gambarnya adalah gambar Beel! Semua gambar perkahwinan yang tersiar di semua majalan dan surat khabar seisi negara adalah Beel!
“Su..” Sakinah mendekati Suraya.
Suraya menggeleng-geleng melihat mamanya. “Mama jahat! Mama tak bagitahu Su langsung”. Suraya faham media massa langsung tidak tahu siapa Suraya dan siapa Nabila. Mereka cuma tahu Puan Sri Normah mempunyai dua orang cucu dan keduanya adalah perempuan.
Namun semua yang tidak mengenali tidak tahu siapa Suraya dan siapa Nabilah. Walaupun di internet dan media massa tertulis isteri Haikal adalah Suraya namun di sijil perkahwinan yang tertulis pastilah nama Beel. Di kad nikah juga, pastilah nama Beel. Dan sememangnya isteri Haikal yang sah di sisi undang-undang adalah Beel!
“Kenapa? Kenapa mama buat Su macam ni? Mama dah tak sayang Su kan? Mama lindung budak tu, mama lindung Beel! Mama pun sama macam opah! Lagi sayang Beel dari Su kan! Mama penipu!!” Suraya membulatkan mata memandang mamanya.
Sakinah memeluk bahu Suraya sekuatnya. “Mama tak bagitahu sebab tak nak Su jadi macam ni. Su ingat tak, Su tak boleh tension. Su tak boleh stress. Mama tak nak Su lambat sembuh”.
Suraya ketawa dalam tangisannya. “Mama tipu! Mama tak sayangkan Su dah. Patut pun, masa opah datang hari tu, Beel nampak lain. Bila Haikal pandang dia, dia pandang tempat lain. Rupanya.. Su yang tak tahu kan?”
Sakinah memeluk Suraya lebih erat. Cuba menenangkan anaknya itu. Bimbang juga amukannya didengari jururawat dan doktor yang bertugas.
“Kenapa mama rahsiakan? Mama tahu Su tak suka budak tu. Dia rampas semuanya dari Su. Sekarang dia rampas bakal suami Su tapi Su boleh buat bodoh je?” Suraya ketawa lagi. Geram benar dia dengan perkara itu. Sakit hati dan sakit jiwanya. Kalau boleh, mahu saja dia membelasah Beel jika gadis itu ada di hadapannya.
“Su..” Sakinah menarik wajah Suraya agar memandangnya. “Dengar cakap mama ni. Sebab ni lah mama nak Su sembuh cepat. Kalau Su lembik macam ni, macam mana Su nak ambil balik Haikal dari Beel? Cakap dengan mama”.
Suraya diam memandang mamanya. “Ambil balik Haikal?”
Sakinah bersungguh mengangguk. “Atau Su nak biar Beel selamanya dengan Haikal?”
Suraya diam lagi. Kemudian dia menggeleng laju. “Tak nak. Haikal Su punya. Haikal Su punya. Mama dengar tak, Haikal Su punya!”
“Mama dengar. Mama dengar. Jadi Su kena sembuh cepat. Sembuh cepat, sihat cepat. Su boleh balik KL, ambil balik Haikal. Jangan biar Beel rampas Haikal dari Su. Haikal Su punya kan?” Sakinah memegang pipi Suraya.
Suraya mengangguk. Mama dipeluk erat. Dia akan buat apa yang disuruh. Dia akan ikut segala arahan doktor. Dia akan sembuh secepat mungkin. Sesegera mungkin. Haikal harus menjadi miliknya kembali.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s