DILARANG NIKAHI AKU – 49

“Kak Su!”
Nafasnya turun naik kerana mimpi ngeri yang dialaminya tadi. Matanya terpisat-pisat memandang keadaan bilik yang sudah gelap. Yang terbuka hanya lampu kecil yang berada di pemisah kawasan dia dan Haikal.
“Kenapa ni?”
Beel memandang ke arah sebelah kanannya, arah dari suara itu datang. Baru dia perasan Haikal yang tadinya tidur di sisinya kini terjaga.
Haikal mendudukkan dirinya. Memandang Beel yang turut duduk di sebelahnya. “Awak mimpi ke?”
Beel menggeleng dengan senyuman. “Tak de apa-apa. Saya ok”.
Haikal mengangguk perlahan. Dia benar-benar mengantuk kerana seharian menjaga Beel. Dan dia tidak tidur walau sesaat hari ini. “Kalau macam tu, tidurlah. Tidur…”
Haikal menepuk-nepuk bantal yang menjadi tempat tidur Beel. Beel mengangguk. Perlahan dia membaringkan diri dan Haikal menarik selimut menyelimuti diri Beel. Dan Haikal kembali berbaring di sisi Beel sambil wajah dan tubuh menghadap gadis itu.
Beel memejamkan matanya perlahan. Cuba menidurkan diri kembali. Namun matanya terbuka luas sebaik menyedari sesuatu.
“Awak!!” Beel menjerit sekuat hatinya.
Terkejut Haikal mendengar jeritan Beel. Matanya langsung terbuka luas-seluasnya. “Kenapa? Ada apa?”
Beel mengetap bibir menahan geram. Tangannya langsung memukul Haikal yang berada di sebelahnya.
Haikal mengerut dahinya. Tindakan Beel langsung tidak difahami. “Kenapa ni? Sakitlah..” Haikal mengaduh kesakitan sambil menyoal sebab dia dipukul sebegitu.
“Siapa suruh awak tidur kat sini? Macam mana awak boleh tidur kat sebelah saya?”
Haikal melepas nafas. “Ingatkan apa tadi..”
“Pergi tidur kat tempat awak balik!” Beel menjerit lagi.
Haikal mengeluh. “Malam ni je.. Saya penatlah..”
Beel memukul Haikal yang ingin berbaring. Kali ini berpakej dengan cubitan sekali. “Tak boleh! Awak ni.. jahat betul!”
Haikal diam di tempatnya. Beel memukul lagi. “Cepatlah. Pergi balik tempat awak!”
Haikal menjeling sekilas. Geram dan sedikit sakit hati dengan sikap Beel yang masih selamba menghalaunya. Membuatkan dia terasa langsung tidak dihargai oleh gadis itu.
“Cepatlah!” Beel mengambil bantal yang tadinya digunakan Haikal dan membalingnya agar lelaki itu segera turun dari katil.
Haikal melangkah lemah menuju ke kawasannya. Semoga keadaan ini akan berubah suatu hari nanti. Siapa tahu satu hari nanti Beel sendiri akan menjemputnya tidur di atas katil itu.
Beel berbaring semula setelah memastikan Haikal tidak lagi akan mengganggunya. Namun otak masih melayang memikirkan mimpi tadi. Mengapa dia yang sudah lama tidak bermimpikan Kak Su tiba-tiba bermimpikan kakak sepupunya itu? Atau jangan-jangan memang ada sesuatu yang menimpa Kak Sunya?

##########

Dia termenung sendiri di taman hospital itu. Jururawat yang menemaninya tadi diminta pergi sebentar dan hanya boleh kembali membawanya ke bilik setelah tiga puluh minit berlalu.
Keadaannya sudah semakin pulih. Semuanya gara-gara berita yang baru diketahui beberapa hari lalu. Membuatkan dia berusaha sepenuhnya agar tidak lagi mengingati peristiwa hitam itu.
Lawatan pihak polis ke hospital semalam meyakinkan dia bahawa lelaki itu sudah tidak berani memunculkan diri di khalayak ramai.
Lagi pula, rupanya Suraya bukanlah mangsa pertamanya. Dia adalah perogol bersiri yang sememangnya sedang menjadi buruan pihak polis. Dikatakan mangsanya sudah mencapai belasan orang.
Dan semua mangsanya adalah anak dara yang berumur sekitar 20 hingga 25 tahun. Suraya hanya berharap agar lelaki itu segera ditangkap pihak polis dan dihukum gantung.
Dia melepas nafas. Mengeluh melepaskan beban fikiran yang berat. Hanya beberapa waktu saja lagi. Dia akan meminta doktor membenarkan dia pulang ke Kuala Lumpur. Beel dan Haikal harus dipisahkan secepat mungkin.
Sebelum Haikal akhirnya termasuk dalam perangkap Beel, dia harus mendapatkan Haikal Hadzimnya kembali.

##########

“Wanginya..”
Haikal tersenyum memandang Beel yang tidak sabar-sabar mahu menjamah kek durian yang baru dibelinya.
Beel memandang jururawat yang setia membantu dia menjalani latihan. “Akak, boleh kita sambung petang ni?”
Jururawat mempamerkan senyum manisnya. “Kalau macam tu, akak pergi tolong Kak Nia kat dapurlah”.
Beel tersenyum mesra. Jururawat yang diupah Haikal ini sememangnya seorang yang baik. Jika dia tidak menjaga Beel, pasti dia akan mencari sesuatu yang boleh dilakukan. Barangkali dia sudah terbiasa dengan jadual harian yang padat dengan pekerjaan.
Haikal membuka bungkusan kek durian dan menghulurkan garfu plastik yang tersedia pada Beel. Beel tersenyum manis sebelum mula menjamah kek durian itu.
Haikal melepaskan nafas dengan senyuman. Dia gembira melihat isterinya gembira. Dia suka bila Beel suka. Kelihatan Beel tekun menghayati rasa setiap suapan kek durian itu.
Haikal ketawa kecil bila kek durian itu mencomoti sedikit bibir Beel. Automatik tangannya bergerak mengelap krim yang tersisa di hujung bibir itu.
Beel pula bagai beku di tempatnya. Tidak memberi walau apa-apa respon. Tergamam dengan tindakan Haikal yang tiba-tiba.
“Assalamualaikum”.
Beel dan Haikal sama-sama mengerut dahi. Dan sama-sama menoleh ke belakang. Fah mempamerkan senyum manisnya buat pasangan suami isteri itu.
“Kacau ke?” Fah membuat muka.
Beel menggeleng dengan senyuman. Mana mungkin dia merasakan teman terbaiknya itu datang membuat kacau. Dahi berkerut buat beberapa ketika bila melihat wajah Safwan yang masam.
“Abang Wan!” Beel menjerit kecil.
Safwan memandang dengan jongketan kening. Seolah baru tersedar dari lamunan. Beel memuncungkan bibirnya. “Kenapa dengan abang Wan ni? Macam lain je..”
“Tak de apa-apalah” Safwan mempamerkan senyum manisnya.
Fah menoleh sekilas melihat riak wajah abangnya. Keluhan kecil dilepaskan. Kebelakangan ini, dia dan abang asyik bertikam lidah. Dan bergaduh tentang perkara yang sama. Abang terlalu menunjuk perasaannya pada Beel!!
Haikal menyedari pandangan cemburu yang diberikan Safwan. Dalam hati kecilnya, rasa simpati terbit bila menyedari dialah yang kemudian dari Safwan. Namun sedikit rasa hatinya berkata padan muka, kerana dialah pemenang dan Safwanlah yang tewas.
Beel sengih memandang Safwan. “Abang Wan nak makan kek? Sedap.. Haikal belikan”.
Fah membulatkan mata mendengar pelawaan Beel. Namun Beel yang tidak memahami buat-buat tidak nampak kelakuan Fah itu. Beel menepuk-nepuk kerusi batu bersebelahannya. Mengajak Safwan duduk bersama.
Haikal menguntum senyum pada Fah yang mempamerkan riak rasa bersalah. “Saya masuk dululah”.
Beel memandang dengan kerutan dahi. “Awak tak pergi office balik?”
Haikal membulatkan mata mendengar pertanyaan Beel. Pulang ke pejabat semula? Untuk apa? Dia sudah pulang ke rumah.. takkanlah dia mahu ke pejabat semula?
Beel memandang kek durian yang diberikan Haikal tadi. “Saya ingatkan awak balik nak hantar kek ni je..”
Haikal ketawa kecil mendengar jawapan Beel. “Rajinnya saya nak ulang-alik banyak kali..” Kepala gadis itu diusap kasar hingga rambut Beel yang separas bahu berserabai.
“Awak….” Beel mencebik sambil membetulkan rambutnya.
Fah menjeling Safwan sekilas. Tangan Safwan yang menggenggam penumbuk dipegang dan dileraikan hingga ia berpecah. Dia berbisik perlahan pada abang kesayangannya. “Tu suami dia..”
Haikal tersenyum sebelum melangkah semula. Sekilas dia memandang Safwan. Tapi tidak pasti rasa puas hati atau rasa bersalah yang menghantui diri.
“Abang Wan, Fah, duduklah”.
Fah sengih dan mengambil tempat di sisi Beel. Safwan melepas nafas, menenangkan diri. Dia kemudian menyertai kedua gadis itu.
Beel memerhati Safwan dalam diam. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena dengam Safwan. Tapi bila ditanya, jawapannya tidak ada apa-apa. Lalu bagaimana dia boleh tahu apa masalah Safwan?
Fah juga tidak mungkin memberitahunya. Dia tahu benar sikap Fah yang merupakan penyimpan rahsia tegar itu. “Adoi..” Beel melepaskan keluhan.
“Kenapa?” Safwan dan Fah menyoal serentak.
Beel menggeleng dengan senyuman. “Tak de apa-apa..”

#########

Puan Sri Normah terdiam seketika. Rasa hatinya yang tidak enak secara tiba-tiba ditenangkan. Mengapa perasaannya tidak tenang dan bercelaru seperti ini?
“Ibu..”
Puan Sri Normah memandang Zamri yang sudah mengambil tempat di sisinya. Senyum diberikan buat anak lelakinya itu.
“Zam nak minta diri. Nak pergi Indonesia”.
Puan Sri Normah mengangguk. Zamri mencapai tangan Puan Sri Normah dan menyalaminya. Sesudah itu, dia melangkah keluar dari bilik Puan Sri Normah.
“Zam”.
Langkah Zamri terhenti. Dia kembali memandang wajah ibunya. “Ya?”
Puan Sri Normah mengerut dahi. Tangannya menggenggam penumbuk yang diletakkan di dada. “Hari tu Zam kata, Beel sihat kan?”
Zamri mengangguk. Dia mengatur langkah mendekati Puan Sri Normah semula. Pasti ada sesuatu yang berlaku hingga ibunya menyoal lagi. “Ibu risaukan Beel?”
Puan Sri Normah mengukir senyum di bibir. “Su macam mana?’
Zamri memaut bahu Puan Sri Normah. “Ibu jangan risau. Cucu ibu dua-dua sihat wal afiat. Tak de apa-apa..”
Puan Sri Normah mengangguk. Menyetujui kata-kata anaknya itu. Zamri bangun dari tempatnya. “Oklah. Ibu, Zam pergi dulu. Nanti terlepas flight pula”.
Puan Sri Normah mengangguk perlahan. Menghantar Zamri dengan pandangan anak matanya. Semoga kerisauannya sia-sia semata. Ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Dia dapat merasakannya.
Tapi dia sendiri tidak tahu apakah ia. Dia tiba-tiba merisaui Beel dan Suraya. Tapi yang lebih dirisaukan adalah Beel. Dia hanya mampu berdoa semoga kedua cucunya dalam keadaan baik-baik saja.

##########

Suraya memandang mamanya yang khusyuk membaca sesuatu di tabletnya. “Mama..”
Sakinah mengalih pandangan matanya. “Kenapa?”
Suraya diam seketika. “Su nak balik KL”.
“Su yakin Su dah ok?” Sakinah meletakkan tabletnya dan melangkah ke arah katil.
Suraya mengangguk. “Su dah ok. Sekarang Su dah kuat dari dulu. Mimpi pun tak dah. Mama cakap dengan doktor boleh? Su nak balik”.
Sakinah melepas nafas. “Kalau tu yang Su nak, nanti mama bincang dengan doktor”.
“Su tak nak mama bincang. Su nak mama bagitahu. Macam mana pun, Su tetap kena balik KL”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s