DILARANG NIKAHI AKU – 50

“Abang!”
“Fah.. Abang tengah kerja ni. Apa-apa hal, kita bincang kat rumah”.
“Kejap. Abang! Abang! Abang!!”
Fah melepas nafas menenangkan diri. Telefon bimbitnya dipandang setelah abangnya mematikan panggilannya.
Dia mendengus. Geram benar dia dengan abangnya sekarang. Bukannya dia tidak tahu abangnya bukan berada di pejabat, sebaliknya berada di rumah Haikal.
Beel memberitahu Safwan datang bertemunya. Dan mengapa Fah tidak turut serta? Bagaimana dia boleh turut serta jika dia punya kelas hari ini? Abangnya pun satu, janganlah ke sana tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Sengaja mahu mencari fasal dengan Haikal.
“Abang, abang..”
“Tengah marah saya ke tu?”
Fah mengerut dahi mendengar suara itu. Langsung dia menoleh ke belakang. Syakir berdiri dengan senyum kerang busuknya. Tersengih-sengih melihat Fah.
“Awak?”
Syakir mengangguk perlahan. “Saya lah..” Sambil itu, dia melangkah ke hadapan Fah dan menyertai gadis yang duduk sendirian itu.
“Makan seorang ke?” Syakir memberi soalam cepu emas.
Fah mengangguk. “Ada nampak orang lain tak?”
Syakir senyum lagi. “Garangnya hari ni. Bergaduh dengan Wan ke?”
Fah diam. Malas mahu menjawab soalan Syakir. Kue tiau goreng di hadapannya dijamah menggunakan garfu yang tersedia.
Syakir melepas nafas. “Awak ni kelakarlah”.
Tersedak Fah mendengar kata-kata Syakir. Syakir gelabah bila Fah terbatuk-batuk dengan kue tiau di dalam mulutnya. Air masak yang berada di hadapan Fah dihulur dan Fah langsung meneguknya.
“Dah ok ke?” Syakir menyoal kerisauan.
Fah mengangguk perlahan. Tisu dicapai dan mulutnya dikesat menggunakannya. Dia melepaskan keluhan memandang Syakir.
“Makin saya tengok awak, makin awak ni kelakar” Syakir sengih lagi. Mengulang perkataan kelakar yang dia ucapkan tadi.
“Nak cakap apa, cakap je lah. Jangan kacau mood saya boleh?”
“Tengok. Kejap baik, kejap tak. Kejap ok, kejap marah-marah. Sebab tulah orang kata, perempuan ni senang berubah. Macam angin” Syakir memandang gadis bertudung itu.
Fah memejam mata. Akhirnya suapa diteruskan. Lagi dia mendengar apa yang Syakir ucapkan, lagi pening kepalanya. Sudahlah dia geram dengan abang yang tiba-tiba bertindak melulu. Keberadaan Syakir pula menambahkan kegeramannya.
“Kalaulah kantin ni tak ramai orang, mesti orang dan dengan awak menjerit abang, abang tadi”.
“Awak nak apa sebenarnya? Saya ni tengah pening kepala tau. Kalau datang nak buat serabut kepala otak, baik awak pergi je” Fah memandang Syakir dengan wajah singanya. Geram benar dia dengan lelaki itu.
Syakir senyum. “Dah ok? Dah lepaskan semua rasa marah?”
Fah terdiam. Garfu di tangan diletakkan. Apa yang tidak kena dengannya? Mengapa dia marah-marah begini? “Saya..”
“Awak gaduh dengan Wan ke?”
Fah melepas nafas. “Saya minta maaf”.
Syakir menggeleng. “Saya suka kena marah dengan awak. Tadi awak orang lain, bila awak dah marah, awak dah jadi Fah saya balik. Lembut, sopan, ayu..”
Fah menelan liur. Kata-kata Syakir selalu saja membuatkan dia tidak senang duduk. Mujur saja abangnya tiada sekarang, jika tidak pasti Syakir sudah dibelasah habis-habisan.
“So.. gaduh dengan Wan ke?”
“Taklah. Cuma ada salah faham sikit”.
Syakir mencebik dalam anggukan. Botol air mineral di hadapannya diambil dan dia bermain-main dengannya. “Haikal kata.. Sekarang ni Wan nampak lain. Cemburu dia ketara sangat. Dulu tak berapa, sekarang terlebih-lebih”.
“Abang Haikal cakap macam tu ke?”
Syakir mengangguk. Fah menguntum senyum tawar. Bagaimana dia harus bercakap dengan abang pun dia tidak tahu? Biarlah.. Masa yang berlalu pasti akan membuatkan abang sedar bahawa Beel menganggapnya tidak lebih dari seorang abang.

#########

Beel menguntum senyum manis bila kakinya dapat melangkah tanpa menggunakan tongkat. Jururawat yang selama ini setia menjadi pembantunya turut tersenyum merasai kegembiraan yang ditonjolkan Beel.
Beel cuba melangkah selangkah demi selangkah. Beberapa kali dia hampir terjatuh. Mujur tubuh badannya dapat diimbangkan semula. Jika tidak, pasti dia sudah jatuh terlentang di atas laman itu.
“Cik Beel nak berhenti sekejap?” jururawat menyoal sambil tangan memaut pergelangan tangan Beel.
Beel laju menggeleng. “Kalau Beel nak sambung lagi, boleh?”
Jururawat terdiam. “Cik Beel ok ke? Tak elok kalau terlalu memaksa. Takut Cik Beel penat sangat nanti”.
Beel menguntum senyumnya lagi. “Bolehlah akak. Duduk kat dalam bilik pun buat apa? Nanti Beel dah tak larat sangat, kita stop”.
“Cik Beel..”
“Beel ok. Beel janji, nanti Beel dah penat kita stop. Ok..?”
Jururawat hanya mampu tersenyum. Tidak boleh mengeluarkan kata-kata apa lagi. Tempoh beberapa bulan menjaga gadis itu membuatkan dia tahu gadis itu memang seorang yang keras kepala.
Beel tersengih. Tahu jururawat yang menjaganya itu mengalah dengan permintaannya. Dan dia terus melangkah lagi. Melangkah hingga dia tergerak untuk berhenti sendiri.

##########

Dia menguntum senyum pada Nia yang baru melangkah keluar dari pintu utama. Mata melilau-lilau melihat sekeliling. Mencari susuk tubuh yang paling dirindukan.
“Cik Beel kat belakang. Tengah berlatih” Nia sengih sendiri sambil meneka apa yang dicari En.Haikalnya.
Haikal tersenyum. Malu bercampur gembira mungkin. Dia diam seketika sebelum menyoal. “Dah lama ke Beel berlatih?”
Nia diam. Kelihatan seperti mengira-ngira masa yang telah digunakan oleh Cik Beel. “Lebih kurang dua jam lepas”.
Haikal mengangguk dan menghulurkan kot dan briefcasenya pada Nia. Dia terus berlari anak menuju ke laman belakang.
Letihnya kerana pulang dari berkerja bagai hilang lesap begitu saja sebaik melihat wajah Beel yang ketawa gembira. Kelihatannya dia sangat gembira kerana dapat melangkah sendiri tanpa menggunakan alat bantuan.
Sekalipun langkahnya lambat dan sekali-sekala hampir terjatuh, senyuman tetap terukir pada wajah. Membuatkan Haikal tahu betapa Beel ingin berjalan semula.
Iyalah. Dia gadis yang lasak dan suka berjalan. Mana mungkin dia boleh tinggal terperap beberapa bulan di dalam bilik. Sudah tentulah dia kebosanan yang amat.
Haikal senyum terus meilhat Beel ketawa dalam marahnya. Geram kerana langkahnya terlalu lambat. Tapi dia masih bersabar kerana dia mahu berjalan secepat mungkin.
“Beel!!” Haikal berlari ke arah Beel. Laju menyambut tubuh yang hampir jatuh tertiarap itu.
Beel tergamam. Sedar-sedar dia sudah berada dalam pelukan Haikal. Haikal melepas nafas melihat wajah Beel. “Tulah. Gagah sangat nak jalan laju-laju. Kan dah jatuh..”
Beel mencebik. Cuba menolak Haikal agar Haikal melepaskannya tapi tidak berjaya. Keadaan kakinya yang masih belum stabil sepenuhnya membuatkan dia tidak boleh berdiri tegak tanpa pautan Haikal.
“Berlagak betul kan awak ni?” Haikal mencuit hidung Beel dengan tawa kecilnya.
Beel mendengus. Terasa diperlakukan sesuka hati oleh Haikal. Haikal ketawa senang hati melihat wajah Beel yang bertukar masam mencuka. Dia kemudian menoleh memandang jururawat yang setia menjadi pemerhati.
“Oklah akak. Hari ni stop dulu ya. Isteri saya dah penat sangat ni” Haikal sengaja mengusik Beel.
Jururawat itu tersenyum dan mengangguk. Dia kemudian meninggalkan Beel dan Haikal berdua di luar.
Sebaik jururawat hilang dari pandangan, Beel menolak tubuh Haikal. Namun Haikal yang awal-awal sudah dapat menghidu rencana Beel, memeluknya lebih erat.
Beel meronta minta dilepaskan. Meronta dan meronta lagi. Haikal hanya buat tidak tahu. Sekali-sekala dia dapat mengusik Beel begini.
“Lepaslah..”
“Tak nak”.
“Lepaslah!” suara Beel mula meninggi. Haikal menggeleng-geleng kepalanya. Tetap dengan pendiriannya yang tidak akan sekali-sekala melepaskan Beel.
Beel sengih bila mendapat satu akal. Wajah Haikal yang mempamerkan senyum kemenangan dipandang. “Awak”.
“Saya tak nak lepas”.
Beel membuat badannya berpaling. Konon menoleh ke arah pintu pagar. “Awak, Kak Su datang!”
Haikal mengerut dahi mendengar kata-kata Beel. Automatik tangannya yang memeluk Beel terlepas dari tubuh gadis itu. Matanya melihat-lihat ke arah pintu pagar.
Beel ketawa mengekek melihat Haikal yang jatuh dalam ‘perangkap’nya. Bila lelaki itu leka mencari, langsung dia berlari anak masuk ke dalam rumah menggunakan tongkatnya.
“Tak de pun”. Haikal terdiam bila mendapati Beel sudah tiada di hadapannya. Baru dia sedar, dia telah ditipu oleh gadis itu. Bibir mengukirkan senyum dan kepala digeleng.
Beel, Beel..

###########

Fah tersenyum mendengar perkhabaran yang baru dia terima dari teman baiknya. Beel mengatakan kakinya sudah sembuh sepenuhnya. Jadi selepas ini bolehlah mereka ‘merayau’ mengelilingi Kuala Lumpur.
“Beel dah sihat ke?”
Fah menoleh ke belakang, memandang abangnya yang berdiri di pintu bilik. “Abang pasang telinga ke?”
Safwan menguntum senyum nipis. “Abang terdengar je. Betul ke Beel dah sihat?”
Fah melepas nafas. Anggukan dia berikan buat Safwan. “Abang.. Abang janganlah cari fasal dengan abang Haikal”.
Safwan ketawa kecil. “Fah tidur awal tau. Jangan tidur lambat sangat. Tak elok”.
“Abang!” Fah menjerit memanggila abangnya. Namun ia sudah terlambat. Safwan terlebih dahulu menutup pintu bilik Fah sebelum Fah sempat memanggil namanya.
Fah mengeluh. Cakap sedikit pun tak boleh. Mengapalah dari dulu dia tidak sedar abangnya menyayangi Beel lebih dari sekadar seorang adik?

#########

Mereka ketawa bersama bila watak utama lelaki di kaca televisyen cuba melakukan aksi lagak ngeri tapi tidak menjadi. Sama-sama khusyuk menonton filem yang baru dikeluarkan itu.
Sesekali Haikal mencuri memandang Beel namun Beel langsung tidak memberi respon. Dia tenggelam dengan filem yang sedang tertayang di kaca televisyen.
Bunyi ketukan pintu dari luar membuatkan Haikal memandang Beel. Beel turut memandang Haikal. Siapa yang mengetuk bilik menonton saat-saat begini?
Haikal langsung memperlahankan tahap suara menggunakan alat kawalan jauh yang terletak di atas meja. Menunggu sang pengetuk pintu melangkah masuk.
“En.Haikal, Cik Beel”.
Beel mencapai alat kawalan jauh dan menekan butang ‘pause’. Menoleh ke arah Nia yang berada tidak jauh dari mereka.
“Ada tetamu datang”.
Beel mengerut dahi. Begitu juga dengan Haikal. “Siapa?”
“Dia kata, suruh cakap dengan En.Haikal dan Cik Beel, nama dia Su. Cik Su”.
Beel membulatkan mata. Apakah dia.. Haikal menelan liur. Otaknya berhenti bekerja buat beberapa ketika. Apakah Su yang dimaksudkan Kak Nia adalah Su? Kakak sepupu Beel?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s