DILARANG NIKAHI AKU – 51

Dia berlegar-legar meneliti setiap inci ruang tamu mewah itu. Tidak banyak yang berubah dari kali terakhir dia berkunjung ke rumah itu. Hanya ada beberapa sudut saja yang berkurang dan bertambah.
“Su”.
Dia mengukir senyum mendengar suara itu. Suara yang memanggil namanya. Lantas wajah dipalingkan menghadap sang empunya suara.
Haikal bagai beku buat beberapa ketika. Ternyata sangkaannya tidak salah. Memang benar tetamu yang dikatakan Nia adalah Suraya.
“Lama tak jumpa. Sejak bila awak jadi homesick? Suka duduk rumah dari keluar” Suraya menguntum senyum manisnya. Dalam kata-kata, terselit rasa marah yang tersimpan. Terzahir melalui kata-kata yang dilontarkan.
Haikal mengukir senyum tawar. Dia tahu Suraya marah namun berpura-pura bertenang. Tapi.. Kata-kata Suraya sepertinya terselit sesuatu yang tersirat. Apakah Suraya sudah tahu tentang pernikahannya dengan Beel?
“Haikal, Haikal” Suraya memanggil bila Haikal berdiam sedari tadi.
“Ya?”
Suraya melepas nafas. Dia mengambil tempat di sofa. Begitu juga dengan Haikal. “Awak tak rasa seronok jumpa saya?”
Haikal diam lagi. Hanya senyum dan anggukan yang menjadi jawapan. Sungguh dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan.
“Mana isteri awak? Dari tadi tak muncul-muncul?” Suraya memandang wajah Haikal. Awalnya niat hanya ingin melihat-lihat keadaan, tapi kerana rasa sakit hati yang menguasai.. akhirnya dia memutuskan untuk memberitahu Haikal bahawa dia sudah tahu akan pernikahan Haikal dengan Beel.
Haikal mengangkat wajah memandang Suraya. “Awak..”
“Saya dah tahu. Mana Beel?”
“Su.. saya rasa baik awak balik dulu” Haikal mengucap lambat-lambat.
Suraya memandang wajah Haikal, tidak memahami maksud kata-katanya. Haikal mengetuk dahi menggunakan tangan. Apa yang telah dia katakan? Mengapa pula dia menghalau Suraya?
“Saya nak jumpa Beel..” Suraya bangun dari tempat duduknya dan mengambil tempat di sebelah Haikal.
“Kak Su..”
Suraya menoleh pada daun pintu ruang tamu. Begitu juga dengan Haikal. Beel kekal di tempatnya. Dia sendiri tidak tahu harus mempamerkan wajah yang bagaimana dengan perasaannya yang bercampur baur.
Suraya menguntum senyum. Semanis mungkin cuba menyembunyikan rasa marahnya. Mustahil dia mahu mempamerkan sisi negatifnya pada Haikal. Langkah diatur perlahan menuju ke arah Beel. Bahu gadis itu ditarik hingga adik sepupunya itu berada dalam pelukannya.
Beel diam dalam pelukan. Kakak sepupunya itu kelihatan berlainan hari ini. Juga.. Mengapa Kak Su tiba-tiba menarik dia ke dalam pelukan Kak Su?
“Seronok kau hidup dalam rumah ni? Seronok rampas semua hak aku?” Suraya berbisik di telinga Beel. Memastikan kata-katanya tidak didengari Haikal walau sepatah.
“Kak Su..”
“Tak cukup dengan papa, opah, pak su.. Sekarang bakal suami aku pun kau nak juga? Mungkin selama ni aku mengalah tapi kali ini, aku takkan benarkan sesiapa rampas Haikal dari aku”.
Dan tubuh Beel dilepaskan. Suraya menguntum senyum sambil mengusap kepala gadis itu. Haikal memandang mereka berdua.
Suraya melepas nafas dengan senyuman. Sebolehnya rasa marah cuba dikawal. Jika tidak, alamatnya hancurlah rumah Haikal serta-merta.
Haikal tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Sebolehnya, dia mahu keluar dari keserabutan dan kejanggalan yang terjadi antara mereka bertiga. Tapi bagaimana?
“Saya ingat nak bagi kejutan untuk awak. Sebab tu tak bagitahu yang saya dah keluar hospital. Tak sangka saya sendiri yang terkejut” Suraya maju melangkah pada Haikal. Meninggalkan Beel yang masih ‘beku’ di posisinya.
Haikal mencuri pandang ke arah Beel. Bagaimana agaknya perasaan isterinya itu sekarang? Pasti kalau terlihat, kepalanya sudah seperti sabut kelapa ataupun benang yang sudah terpintal-pintal.
“Tapi..” Suraya memandang Haikal. Suaranya diperlahankan sedikit. “Beel cuma gantikan saya kan? Sekarang saya dah balik. Awak boleh ceraikan dia kan?”
Haikal membulatkan mata mendengar kata-kata Suraya. Dahi berkerut jelas mempamerkan rasa tidak puas hati dengan soalan Suraya.
Suraya tergamam melihat respon yang diberikan Haikal. Haikal tidak mahu berpisah dengan Beel? “Awak dah lupa siapa bakal isteri awak sebenarnya?”
Beel yang mendengar menunduk. Air mata yang hampir mengalir ditahan. Mengapa dia harus menangis? Bukankah dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan? Sememangnya, perkahwinannya dengan Haikal bukan dirancang dari awal. Dia cuma menjadi bidan terjun yang tidak diundang. Sekadar mak sanggup yang dipaksa naik pelamin demi menutup malu keluarga dan memenuhi wasiat atuk.
“Awak lapar kan? Kita keluar makan”.
Suraya memandang Haikal. Mengapa Haikal bersikap sebegini padanya. Atau jangan-jangan..
Suraya menggeleng-geleng kepalanya. Tidak percaya dengan fikiran dan sangkaan sendiri. “Saya nak tengok bilik kita”. Dia langsung berlari anak keluar dari ruang tamu menuju ke bilik yang dulunya telah dia siapkan untuk bilik pengantin mereka.
“Su! Su!” Haikal mengejar. Sekilas dia memandang Beel dan berlari mengejar Suraya semula.
Beel ketawa sendiri. Dia tidak apa-apa. Dia tidak kisah langsung dengan kepulangan Kak Su. Sebenarnya inilah saat yang paling dia tunggu. Bila Kak Su kembali, dia boleh kembali ke kehidupan asalnya.
Tiada yang akan marah bila keluar seharian dengan Fah. Tiada yang akan mengamuk bila dia bersama abang Wan. Tiada yang akan membebel bila dia makan durian walau sebanyak mana.
“Siapa tu?”
Beel memandang Kak Nia di sebelahnya. “Kakak Beel”.
“Kakak Cik Beel?”
Beel mengangguk. Nia mengerutkan dahinya. “Kenapa En.Haikal kejar kakak Cik Beel?”
Beel ketawa memandang Nia. “Kak Nia… Beel laparlah. Boleh Kak Nia masakkan maggi?” Dan tangan Nia langsung ditarik menuju ke dapur. Membiarkan soalan Nia tidak berjawapan. Membiarkan ia menjadi tanda tanya Nia yang tidak memahami.

###########

Matanya membulat melihat gambar yang terpampang di dinding. Perkara pertama yang dilihat sebaik melangkah masuk ke bilik itu adalah gambar itu. Gambar Beel dan Haikal, gambar perkahwinan mereka.
Liurnya ditelan. Bukan menahan takut tapi menahan marah. Menahan geram juga menahan sakit hati. Haikal yang menunduk dipandang sekilas. Dan langkahnya maju memasuki ke dalam bilik.
Melangkah lebih maju ke dalam bilik membuatkan langkah Suraya laju meneliti dan ‘merayau’ di bilik itu. Menjerit dia melihat bingkai-bingkai gambar Beel yang menghiasi ruangan hiasan.
“Apa ni?”
Haikal berlari anak mendekati Suraya. “Kenapa?”
“Mana gambar-gambar kita dulu? Gambar saya mana? Kenapa awak letak gambar budak ni?” Suraya membulatkan matanya.
Haikal diam tidak memberi jawapan. Dia tahu Suraya begitu. Suka marah-marah tidak kena pada tempatnya. Lebih-lebih lagi jika bersangkut paut dengan Beel.
Suraya melilaukan matanya. Melihat katil dan melangkah selaju mungkin. Bagai berlari menaiki tangga yang memisahkan ruang tidur dan ruang rehat.
“Kenapa ada satu katil je? Bantal.. Awak tidur dengan Beel ke?” Suraya memandang Haikal dengan matanya yang jelas menahan geram.
“Ke awak dah ada apa-apa dengan dia? Awak dah ada apa-apa dengan Beel kan?” Suraya memukul-mukul dada Haikal, melepaskan rasa geramnya juga rasa kecewa dan sakit hati.
“Su.. jangan macam ni” Haikal cuba mengelak dari dipukul Suraya. Dia sendiri kebuntuan, tidak tahu respon apa yang harus diberikan pada Suraya.
“Kenapa awak buat saya macam ni?” Suraya mula mengeluarkan air mata.
Haikal melepas nafas. Tubuh Suraya ditarik ke dalam pelukan. Apa yang menimpa Suraya hingga dia tidak muncul pada pernikahan mereka, dia sendiri tidak tahu. Yang dia tahu, keesokan harinya dia menemui Suraya di hospital.
Tapi Suraya kelihatan lebih sensitif sekarang. Kelihatannya ada sesuatu yang berlaku. Ada sesuatu yang menimpa Suraya membuatkan dia bersikap sebegini rupa.
Lalu bagaimana dengan Beel kesayangannya?

##########

“Kenapa Cik Beel datang balik? Kata nak ambil fon dalam bilik?”
Beel senyum. Gelengan dilepaskan. “Tak pelah Kak Nia. Fon Beel tak de bateri”.
Nia mengerutkan dahi. Apa yang tidak kena? Selalunya tidak pernah pula Beel berpatah balik kalau sudah ke bilik.
Beel sengih menampakkan giginya. Pemandangan tadi menggembirakannya. Dia melihat Haikal memeluk Suraya untuk memujuk kakak sepupu kesayangannya itu.
Beel melebarkan senyum bila memikirkan dia akan bebas tak lama lagi. Perkara pertama yang dia mahu lakukan setelah bebsa dari gelaran isteri adalah memeluk opah kecintaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s