Monthly Archives: April 2015

DILARANG NIKAHI AKU – 60

Suasana sunyi buat beberapa ketika. Semuanya dengan perasaan masing-masing.
“Bolehkan?” Beel membuat wajah meraih simpati.
Suraya menjeling sakit hati. “Dahlah. Biar saya tengok luka awak”.
Haikal memandang Suraya tajam.. Dia tidak mahu beredar selagi belum selesai berbicara dengan Safwan.
Suraya melepas nafas. Marahnya tidak boleh dipamerkan dengan keadaan sebegini. Semuanya kerana Beel! Beel yang menyusahkan dia sedari awal!! Semuanya kerana Beel seorang!
“Beel, awak isteri saya” tegas suara Haikal berbunyi.
“Abang Wan, jom. Beel tengokkan luka” Beel buat-buat tidak mendengar ucapan Haikal.
Safwan melepaskan nafas. “Beel nak suruh abang Wan berhenti? Beel tak marah ke tengok apa Haikal buat?”
“Abang Wan” Beel terus-terusan memujuk.
“Abang Wan je yang marah Haikal sekarang ni?”
“Beel ok. Jom, Beel tengokkan luka”.
Haikal mengetap bibir menahan marah. Mengada! Safwan sengaja menunjukkan kemesraan mereka berdua padanya. Tangan Suraya ditarik, “Jom, Su. Awak nak tengokkan luka saya kan?”
Suraya tersenyum lebar. Bertambah lebar bila Haikal memaut bahunya. Dan sama-sama melangkah meninggalkan ruang tamu.
Beel diam seketika. Namun tubuhnya tidak dipalingkan menghadap Haikal dan Suraya yang sudah melangkah. Dia tidak apa-apa. Dia ok. Dia tidak apa-apa. Dia ok.
“Beel..”
“Biar aku ambil minyak gamat. Kau tunggu kejap tau”.
Fah mengangguk. Tubuh Safwan ditarik agar abangnya duduk di sofa. Safwan melepas nafas. “Beel ok tak?”
Beel tersenyum. Safwan memejam mata. “Abang Wan minta maaf”.
“Tulah. Dari tadi Fah dah cakap, berhenti. Abang dengan abang Haikal sama je. Tak nak mengalah dua-dua. Yang abang nak cari fasal dengan abang Haikal tu kenapa? Fah dah cakap jangan masuk campur hal orang lain. Abang tak nak dengar. Kan dah jadi macam ni. Dua-dua menjerit macam orang gila. Sana sini tak nak mengalah. Macam budak-budak. Nasib baik ruang tamu tu jauh dari bilik opah. Kalau dekat mahunya opah dah dengar kau orang gaduh tadi” bebel Fah panjang lebar.
“Dahlah tu Fah. Kalau membebel tak boleh nak berhenti. Abang penat tau”.
“Yang pergi bergaduh tu kenapa?” Fah mencubit lengan abangnya sekuatnya.
Beel ketawa kecil. Inilah pemandangan yang sering dilihatnya sedari kecil. Pergaduhan manja antara Fah dan abang Wan selalu sahaja membuat dia tersenyum.
“Tak pelah. Abang Wan nak balik dulu. Boleh Fah bebel puas-puas kat rumah nanti”.
“Perli orang!” Fah mencubit lengan Safwan lagi.
Beel ketawa lagi. Dia mengambil tempat di sisi Safwan. “Abang Wan duduk sini, tunggu Beel ambil ubat. Tak boleh balik sebab Beel dah janji dengan opah. Abang Wan dengan Fah kena makan tengah hari sekali”.
“Haikal sekali ke?” Safwan menyoal dengan separuh hati.
Beel mengangguk perlahan. Fah menjeling abangnya. “Dah lah tu. Beel, kau pergilah ambil minyak gamat cepat. Kau layan abang aku ni, otak dia dah tinggal separuh. Mengadalah abang ni”.
Beel senyum lebar. Langkah diatur meninggalkan ruang tamu. Dia harus mengambil minyak gamat dan juga kapas untuk membersihkan luka Safwan.

###########

“Biar saya letakkan minyak gamat tu” Suraya menarik wajah Haikal agar menghadapnya.
Haikal melepas nafas. Sakit hatinya masih menebal dengan pergaduhan di ruang tamu tadi. Bila dipandang wajah Suraya, makin menebal pula sakit hatinya.
“Sini” Suraya mula menyapu minyak gamat di pipi Haikal.
“Dahlah. Sini saya letak sendiri”.
“Biar saya letakkan. Tak pelah, kita kan dah nak kahwin” Suraya menguntum senyum.
“Awak ni tak faham bahasa melayu ke? Biar saya buat sendiri” Haikal merampas kapas yang telah diletakkan minyak gamat di tangan Suraya.
Suraya memuncungkan bibir. “Kalau dengan Beel, mesti awak tak marah-marah macam ni kan?”
Haikal memejam mata. Sudahlah dia masih pening kepala dengan situasi tadi, Suraya pula mahu menambah masalahnya. “Dah lah Su. Saya penatlah nak bergaduh dengan awak. Kalau awak nak gaduh-gaduh dengan saya macam ni, tunggu hari lain boleh?”
Suraya mendiamkan diri. Hanya memandang Haikal dengan perasaan yang bercampur baur. Suraya kemudiannya bangun dari duduknya meninggalkan Haikal di ruang tamu.
Untuk apa dia terus menemani Haikal jika wajahnya juga Haikal tidak mahu pandang?

##########

Beel tersenyum menolak kerusi roda hingga ke meja makan. Dan kerusi roda diberhentikan bila tiba di tempatnya.
“Assalamualaikum” Fah dan Safwan tersenyum memandang opah.
Puan Sri Normah tersenyum memandang wajah-wajah di hadapannya. “Lama tak jumpa Fah dengan Wan. Kenapa tak jumpa opah kat bilik?”
Fah dan Safwan saling memandang. Fah menguntum senyum sambil memandang Beel sekilas. “Tadi Beel cakap opah tengah rehat. Jadi Fah dengan abang tak nak kacau”.
Puan Sri Normah tersenyum. Dia memandang Haikal yang duduk di antara Beel dan Suraya. Wajah itu diperhati. Dan bersilih ganti dengan wajah Beel.
Kemudian wajah Safwan pula dipandang. Pipinya juga kelihatan lebam seperti ditumbuk seseorang. Haikal pula… wajahnya bertampal dengan plaster.
“Opah… Kita mula makan?”
Puan Sri Normah memandang wajah cucu kesayangannya. “Kejap. Wan, Haikal, kenapa muka tu? Muka Haikal ber’plaster’, muka Wan lebam. Ada apa-apa yang opah tak tahu ke?”
“Dah bergaduh macam orang gila tadi. Takkanlah tak berlebam?” Suraya membebel sendiri. Namun suaranya tidaklah terlalu perlahan hingga langsung tidak boleh didengari.
“Su cakap apa?” Puan Sri Normah memandang Suraya.
Fah memandang Suraya dengan wajah sakit hatinya. “Abang kena tumbuk dengan monyet”.
Haikal membulatkan mata memandang Fah. Apakah Fah sedang menyamakannya dengan seekor monyet?
“Monyet?” Puan Sri Normah mengerutkan dahi.
Fah memandang Haikal dan Safwan bersilih ganti. Mengapalah dia tidak berfikir sebelum berkata-kata tadi?
“Masa kat Kedah dua hari lepas”.
Puan Sri Normah mengangguk memahami. “Haikal?”
Beel memandang Haikal. Haikal menguntum senyum memandang opah. Apa yang harus dia jawab dia juga tidak tahu.
“Haikal…”
“Opah… Beel lapar”.
Puan Sri Normah tersenyum. “Jemputlah makan. Dah lama tak makan ramai-ramai macam ni. Kalau ada Zamri dengan Sakinah pun seronok juga”.
Semuanya hanya menguntum senyum tidak ikhlas. Tambah lagi, semuanya berperang di dalam hati.

###########

“Kalau ada apa-apa, kau datanglah rumah aku. Aku tak tahu dah nak cakap apa. Abanglah ni, cari fasal dengan orang!” Fah yang sedang berbual dengan Beel memandang Safwan di sisinya.
“Dahlah tu. Tak habis marah dengan abang lagi ke?” Safwan mencuit pipi adik kesayangannya.
“Aku datang rumah kau. Mesti aku datang. Abang Wan, jangan lupa bawa Beel lari tau..”
Fah mengerut dahi. “Kau cakap apa ni?”
Safwan melepas nafas. “Dahlah Fah. Jom balik. Abang penat, Fah penat. Beel lagi penat, kan?”
Beel menguntum senyum. Tubuh Fah dipeluk sekuat hati. “Nanti aku datang rumah kau. Kita pergi jauh-jauh dari sini. Aku nak minta cerai”.
Fah melepaskan pelukannya. Wajah Beel dipandang. Nampaknya temannya itu sudah tekad dengan keputusannya. Masuk kali ini, entah ke berapa kali Beel mengutarakan soal cerai.
“Ok”.

###########

Pinggan di dalam sinki dipandang. Kak Irah dan Mak Jah sudah dihalau dari dapur. Opah sudah berehat di biliknya. Fah dan abang Wan pula telah pulang. Kalau diharapkan Kak Su, jangan haraplah Kak Su akan menolongnya membasuh semua pinggan-mangkuk itu.
Beel melepas nafas. Tidak mengapalah. Lagi pun, dia juga mahu bersendirian buat masa ini.
“Beel”.
Beel yang sudah membuka paip air tergamam. Air yang sedang mengalir keluar dari paip dibiarkan. Entah dari mana Haikal datang, dia juga tidak tahu. Tapi, dia yang kini berada di dalam pelukan Haikal tidak tahu respon apa yang harus diberikan.
Haikal mengeratkan pelukannya. Memeluk Beel bagai tidak mahu melepaskannya. Dalam diam, air matanya mengalir keluar selaju mungkin. Entah mengapa dia menangis, dia sendiri tidak tahu.
Beel mengerut dahi. Apa yang sedang dia lakukan sekarang? Langsung kaki Haikal dipijak hingga Haikal melepaskannya.
“Beel…”
Beel mendiamkan diri buat seketika. Paip air sinki ditutup dan dia berpaling menghadap Haikal. “Saya nak minta tolong”.
“Tolong apa?”
Beel melepas nafas. “Tolong ceraikan saya”.
Haikal bagai dipukau buat seketika. Tergamam mendengar permintaan Beel yang menyebut ‘ceraikan’. Selalunya Beel hanya mengeluarkan ucapan pisah dan bukannya cerai.
“Tolong ceraikan saya” Beel mengulang permintaannya sekali lagi.
“Tak nak” kali ini Haikal menjawab.
“Awak”.
“Saya takkan ceraikan awak. Takkan, tak nak” Haikal menggeleng-geleng kepalanya.
Beel menarik nafas sedalam mungkin. “Awak nak teruskan perkahwinan ni lagi kenapa? Sedangkan Kak Su dah balik. Dia bakal isteri awak yang sebenar. Awak ceraikan saya, kita hidup macam sebelum ni”.
“Senangnya awak cakap cerai? Saya tak nak. Saya takkan ceraikan isteri saya”.
“Saya nak cerai. Awak tak faham ke?” Beel meninggikan suara.
“Tapi saya tak nak cerai. Hak cerai terletak pada tangan suami. Bukan isteri”.
Beel mendengus. Suasana yang tadinya tegang dan sunyi, kini bertukar riuh seperti adik-beradik berebut hadiah pula.
“Ok. Kalau macam tu, cakap dengan saya. Kenapa tak nak cerai. Saya nak alasan munasabah”.
Haikal diam namun hanya sesaat dua. “Tak de sebab. Tapi saya tak nak cerai”.
“Kenapa?”
“Tak de sebablah”.
“Kalau macam tu saya nak cerai”.
“Tak nak!”
“Kenapa? Awak tak nak ceraikan saya tapi awak tak nak bagi sebab. Saya nak cerai”.
“Tak nak. Kenapa? Lepas awak bercerai dengan saya, awak nak balik kat Wan? Awak nak kahwin diam-diam dengan Wan ke?”
Beel terdiam mendengar kata-kata Haikal. “Apa masalah awak? Saya nak cerai sebab saya nak cerai. Apa kaitan dengan abang Wan pula?”
“Saya cakap saya tak nak ceraikan awak”.
“Kenapa?” kali ini Beel menjerit sekuat hati. Sakit hati pula dengan sikap kebudak-budakan Haikal.
“Yang awak nak cerai sangat ni kenapa? Dah kempunan sangat nak balik kat Wan ke?”
Beel mengerutkan dahi. “Kan saya dah cakap. Saya nak cerai, sebab saya nak cerai. Apa kaitan dengan orang lain pula?”
Haikal mencebik bibirnya. “Entah-entah awak dah curang dengan Wan belakang saya”.
“Apa awak cakap?”
“Entah-entah, awak dah curang dengan Wan belakang saya” jelas Haikal menuturkan satu demi satu perkataan.
Beel menahan nafas yang naik turut. Dia betul-betul marah ketika ini. Langsung apronnya dibuka dan dicampak di atas meja. Tubuh melanggar tubuh Haikal, langsung berlari menuju ke bilik opah.
Haikal panik melihat Beel melepasinya. Tangan menepuk dahi. “Apa aku dah buat ni?”
Dan langkah kaki mengejar Beel. Mengapalah dia mengeluarkan kata-kata sebegitu?

DILARANG NIKAHI AKU – 59

Mereka berpandangan sesama sendiri. Dan sama-sama menoleh ke belakang. Arah dari suara itu datang.
“Kak Su!”Beel membulatkan matanya. Langsung tubuh Haikal ditolak sekuatnya agar lelaki itu menjauh darinya.
Suraya menahan rasa geram yang bersarang di hati. Dia cuba mengukir senyum bagi menghapur rasa sakit hatinya namun ia langsung tidak membantu.
“Kak Su…”
Suraya memandang Beel yang menyebut namanya. Bibir diketap menahan marah. Langkah langsung menuju pada Haikal dan tangan lelaki itu ditarik dan dipaut. “Kenapa datang tak bagitahu?”
Haikal mendiamkan diri. Memandang Beel yang kelihatan sedikit cemas dengan apa yang terjadi. Barangkali tidak mahu Kak Sunya salah faham terhadapnya.
“Jom. Kita duduk ruang tamu” Suraya menguntum senyum dan menarik tangan Haikal.
Haikal memandang Beel. Tarikan Suraya begitu kuat memaksa dia meninggalkan ruang dapur. “Jom”.
Suraya senyum sinis memandang Beel. “Bawa keluar air tau. Ada tetamu ni”.
Haikal mengerut dahi memandang Suraya yang selamba mengarah Beel. Beel menguntum senyum. Dia tersenyum, sekurangnya Kak Sunya bahagia dengan apa yang berlaku.

###########

Fah menjeling abangnya sekilas. Kepala menggeleng melihat abang khusyuk mengikuti alunan lagu ‘Bintang Hatiku’ yang sedang dimainkan di radio.
“Amboi, seronoknya dia..”
Safwan menjeling Fah sekilas. Tahu sangat dia diperli adik kesayangannya itu.
Fah melepas nafas. Abang cintakan Beel namun Beel cintakan siapa? Abangnya atau abang Haikal, suami Beel sendiri?
Abang bagai tidak tahu betapa deritanya mencintai seseorang yang dirinya dimiliki orang lain. Namun Fah mengerti. Itu semua kerana dia dan abang pun tidak tahu siapa yang berada dalam hati Beel ketika ini.

###########

“Cik Beel tengah buat apa?”
Beel tersenyum memandang Mak Jah yang melangkah ke arahnya sambil membawa barangan yang dibelinya dari pasar.
Beel menguntum senyum manisnya. “Tengah buat air”.
Mak Jah mengerutkan dahinya. “Buat air?” Sambil itu tangannya laju merampas jag kecil dari tangan Beel.
“Kenapa?” Beel menyoal, terpinga-pinga dengan tindakan spontan Mak Jah.
“Biar Mak Jah buat. Cik Beel pergilah layan tetamu tu”.
Beel ketawa kecil. Layan tetamu? Pasti Mak Jah tidak tahu ‘tetamu’ yang disebutkan adalah Haikal dan dia sudah punya ‘pelayan khas’.
“Cik Beel pergilah depan” Mak Jah memujuk.
“Tak naklah Beel. Kawan Kak su, kenapa Beel pula yang kena layan?”
Mak Jah membuat mulut berbentuk ‘o’. Dia fikir siapalah tetamu yang disebutkan. Jika kawan Suraya, tidak perlulah Beel melayaninya. Suraya juga tidak gemar Beel bercampur dengan kawan-kawannya.

############

Safwan dan Fah melangkah masuk ke dalam Villa An. Sambil itu keduanya memerhati keadaan melewati ruang depan dan seterusnya melangkah ke ruang tamu.
Langkah Fah terhenti bila melihat pemandang menyakitkan matanya di ruang tamu. Suraya sedang melentokkan kepala di bahu Haikal dan keduanya sedang berbual mesra.
“Abang” Fah memandang abang yang sudah berada tepat di sebelahnya.
Haikal mengangkat wajah bila melihat dua pasang kaki di hadapan. Matanya membulat melihat Fah bersama Safwan di hadapan mata.
Safwan menggenggam penumbuknya bila melihat perilaku Haikal. Kelakuannya samalah seperti tidak menghargai Beel. Bagaimana dia boleh berduaan dengan Suraya di ruang tamu sedangkan Beel turut berada di rumah yang sama?!
“Abang!” Fah menjerit bila Safwan melangkah laju ke arah Haikal.
Suraya mengangkat wajah. Baru dia perasan ada yang memerhati perilakunya dengan Haikal sedari tadi. Dia terkaku seketika bila Safwan menarik kolar baju Haikal.
“Apa kau buat ni? Kau tak sedar ke?” Safwan membuat muka bengisnya.
Haikal menolak tubuh Safwan. Membuatkan lelaki itu berganjak darinya. “Kau yang buat apa? Kau sedar tak?”
Nafas Safwan turun naik menahan marah. Akhirnya Haikal ditumbuk hingga pemuda itu terduduk di atas sofa. Dan dia menumbuk lagi Haikal hingga darah mengalir keluar dari bibirnya.
“Abang!” Fah berlari memegang abangnya. Fah tahu abang kecewa dengan sikap Haikal. Kalaulah abang tahu begini dari awal, pasti abang sudah mengambil Beel daripada Haikal.
Safwan menarik tangannya dari pegangan Fah. Amarahnya tidak dapat dikawal lagi. Sakit hatinya dengan perangai dan sikap Haikal.
“Yang kau marah sangat ni kenapa?” Suraya bangun berdiri. Menolak bahu Safwan menyatakan rasa marahnya.
Safwan membulatkan mata. “Kau pun sama Su. Beel tu adik sepupu kau. Haikal ni adik ipar kau, kau tahu tak? Sanggup kau buat macam ni kat Beel kan?”
Suraya menjeling membuat muka menyampah. Jadi ini semua berlaku kerana Beel. Bosan. Asik-asyik Beel, tidak habis-habis dengan Beel. Beel, Beel, Beel.
“Abang, dah lah. Jangan masuk campur hal orang” Fah menarik tangan Safwan sekuatnya. Tidak mahu abangnya terus bergaduh dengan abang Haikal.
Safwan memandang adiknya dengan kerutan dahi. “Fah nak suruh abang diam. Macam mana abang boleh diam kalau suami kawan baik Fah langsung tak hargai isteri dia?”
Fah diam. Begitu juga Haikal. Namun pandangan Haikal tepat memandang Safwan. Bukan dia tidak menghargai Beel. Dia juga tidak mahu kembali kepada Suraya seperti dahulu. Cuma…

############

“Cik Beel! Cik Beel!”
Beel mengerut dahi mendengar suara Irah yang kelam-kabut. Begitu juga Mak Jah yang baru saja ingin menatang dulang yang terisi minuman yang sudah disediakan.
“Kamu ni dah kenapa?” Mak Jah mencekak pinggang memandang Irah.
“Cik Beel!” Irah mengambil nafas, melepaskan lelah.
Beel ketawa kecil melihat kelakuan Irah. “Kenapa Kak Irah?”
“En.Haikal dengan En.Wan tengah bergaduh kat ruang tamu”.
Beel membulatkan mata. Sesaat memandang Mak Jah dan dia terus berlari ke arah ruang tamu. Bagaimana ianya boleh terjadi?
Tubuh Safwan ditolak bila dia melihat tangan Safwan hampir mengenai wajah Haikal. Safwan terduduk kerana tolakan Beel yang kuat.
“Beel” ucap Haikal dan Safwan serentak.
“Dah!” Beel mendepakan tangannya. Meminta kedua-dua pemuda itu berhenti bertumbukan dan bergaduh.
Fah mendekat pada abangnya. Tubuh abangnya ditarik agar lebih jauh dari Haikal dan juga Beel. Bimbang abangnya menumbuk Haikal buat entah ke berapa kalinya.
Suraya menjeling Beel sekilas. Pipi Haikal yang sudah diselaputi darah diusap. “Dah Haikal. Jom, saya tengok luka awak”.
Haikal memandang Safwan menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Safwan memandang dengan penuh geram. “Pergilah! Pergilah ikut Su tu! Depan bini kau sendiri pun, kau tak reti nak buat apa. Kalau kau tak nak sangat dengan Beel, kenapa kau tak ceraikan je dia?”
Haikal membulatkan mata. Langkahnya langsung berhenti. Sedari tadi dia cuba untuk mengawal kemarahannya kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku. Tetapi, kata-kata Safwan kali ini benar-benar mencabar tahap kesabarannya.
Tubuh Safwan ditarik dan ditumbuk hingga lelaki itu rebah. “Kau memang nak cari fasal dengan aku kan?”
“Haikal!!” Beel menarik tubuh Haikal sebelum suaminya itu menumbuk Safwan lagi.
Haikal memandang Beel. “Lepaslah. Biar saya ajar sikit abang angkat awak ni”.
“Dah lah tu!!” Beel menjerit sekuat hati. Matanya memandang Haikal dan abang Wan silih berganti. “Yang awak dengan abang Wan ni bergaduh kenapa? Ni rumah opah tahu tak? Nak suruh opah bangun ke? Nak suruh opah dengar awak bergaduh dengan abang Wan?”
Haikal memaling wajah dari memandang Beel. Safwan bangun dari duduknya. “Kau dengar sini. Sebab kau tak pandai hargai Beel macam mana yang aku sangka, aku akan ambil balik Beel daripada kau”.
“Abang!” Fah meninggikan suara. Sakit hati pula melihat sikap abangnya yang tidak mahu mengalah.
Beel memandang Safwan. Jelas mempamerkan 1001 tanda tanya. Apa maksud kata-kata Safwan tadi? ‘Ambil balik Beel daripada kau?’
Suraya memandang Beel dengan perasaan geram bercampur marah. “Dah, jom!” Tangan Haikal ditarik sekuat hatinya.
Haikal menarik tangannya dari Suraya dan mara ke arah Safwan menyatakan rasa marahnya. Beel segera berlari mendapatkan Safwan bagi mengelakkan dia ditumbuk Haikal.
“Awak pertahankan dia?”
Beel melepas nafas. Matanya dipejam buat beberapa ketika. Fah sudah mengeluh berat. Mengapalah boleh jadi begini?
“Saya suami awak. Tapi awak pertahankan lelaki lain?” Haikal terus-terusan menyoal.
“Kau sedar pula yang kau tu suami Beel. Waktu kau beromantik dengan Su tadi, ada kau sedar kau tu suami Beel?” Safwan melepaskan isi hatinya.
Haikal menggenggam penumbuknya. Namun marahnya cuba dikawal. Dia masih ingat bahawa dia berada di Villa An bukan rumahnya sendiri.
Beel memandang Safwan. Menenangkan Haikal adalah tidak mungkin dengan keberadaan Kak Su di sisinya. Jadi lebih baik dia memujuk Safwan. Setidaknya, ia tidak membuatkan Kak Su bertambah marah padanya.
“Abang Wan…” Beel memanggil lembut. Mahu memujuknya.
Safwan memandang Beel. Tahu sangat gadis itu mahu memujuknya. Tapi dia benar-benar marah dan geram dengan kelakuan Haikal tadi.
“Abang Wan… Berhenti boleh?”

DILARANG NIKAHI AKU – 58

Nafas ditarik menenangkan diri. Tangan mama yang berada di sisinya lebih lagi digenggam erat meredakan perasaan kacau-bilau yang dirasakan.
“Su.. Ok tak?” Sakinah menyoal sambil membelai kepala puteri tunggalnya.
Suraya tidak menjawab. Hanya menguntum senyum sebagai tanda dia masih mampu bertahan.
Sakinah tersenyum melepaskan sebuah keluhan. Memang panggilan yang diterima dari inspektor malam tadi sangat mengejutkannya. Katanya suspek yang telah merampas mahkota Suraya telah ditemui di rumah persembunyiannya.
Yang lebih mengejutkan adalah dia sudah pun meninggal dunia. Kata inspektor, mereka tidaklah mahu menembak suspek berwajah bengis itu. Namun tindakannya yang membahayakan seorang pegawai polis wanita membuatkan keadaan yang berlaku tidak dapat dikawal.
Seterusnya dia ditembak serentak oleh dua pegawai polis lain. Membuatkan nyawanya berakhir di situ.
“Su” Sakinah memanggil, mahu memastikan puterinya itu ok. Jika dia tidak selesa, boleh saja dibatalkan hasrat untuk melangkah masuk ke bilik mayat itu.
Suraya menguntum senyum manis. Wajahnya diangkat dan sekelilingnya diperhati. Barulah dia perasan masih ada gadis-gadis lain di situ yang ditemani ibu bapa mereka.
Mungkin merekalah yang dimaksudkan inspektor dengan perawan-perawan yang turut menjadi mangsa perkosa lelaki durjana itu.
“Semua dah sedia?” Inspektor yang bertanggungjawab di atas kes mereka semua datang dari belakang bersama seorang doktor.
Suasana sunyi. Hanya ibu bapa masing-masing yang memberi anggukan. Zamri bergegas mendapatkan puterinya. Dia sedikit lewat kerana punya menyuarat yang tidak dapat dielakkan.
“Papa” Suraya mencapai tangan papanya.
Zamri menguntum senyum. Kepala anak gadisnya diusap penuh kasih. “Su ok ke?”
Suraya mengangguk dengan senyuman. Suka hatinya bila papa menunjukkan sisi penyayangnya padanya. Selalunya Beel-lah yang dapat menikmati kasih sayang papa.
Pintu bilik mayat dibuka sang doktor. Dan semua pun melangkah masuk. Suraya mengeratkan genggaman tangannya pada mama juga papa. Sekaligus cuba meredakan debaran di hati.
Mereka semua diberikan penutup muka oleh sang doktor. Turut diberikan sarung tangan getah oleh sang doktor juga.
Saat laci besi itu ditarik, suasana mula berubah. Terkejut Suraya bila salah seorang dari gadis-gadis itu meracau-racau bagai ada yang mengancamnya.
Sakinah menguatkan genggaman tangannya bagi memastikan Suraya tidak lagi mengingati peristiwa hitam itu. Bahu Suraya dipaut dan gadis itu diusap penuh kasih.
Suraya menguntum senyum. Masalahnya sudah selesai. Memang dia sudah lama bercita-cita untuk memastikan lelaki bajingan dan durjana itu mati. Harga yang sememangnya patut dibayar kerana telah merampas mahkota dirinya.
Kini dia sudah mati dan hidup Suraya sudah aman. Dia tidak akan sesekali lagi teringat peristiwa tidak penting itu.
Yang penting sekarang adalah, merampas Haikal semula daripada Beel dan menghalau Beel keluar dari hidup Haikal.

#############

“Opah, makan sarapan dulu” Beel melangkah ke arah opahnya yang masih terbaring.
Puan Sri Normah menguntum senyum manis buat cucunya tersayang. Sekilas memandang Irah yang mengikut Beel dari belakang sambil menatap dulang berisi makanan.
Beel membantu Puan Sri Normah bangun dan bersandar pada katil. “Beel tak balik rumah Haikal lagi?”
Beel senyum dan mengangguk. “Opah… Takkan Beel nak tinggal opah sakit-sakit macam ni? Tak naklah Beel. Kalau Beel sakit opah jaga, kali ni… biar Beel jaga opah pula”.
Puan Sri Normah mengusap pipi Beel. Mata sedikit terpejam. Teringat peristiwa beberapa hari lalu yang menyebabkan dia terbaring begini. Apakah Beel tahu rencana Suraya terhadapnya?
Irah tersenyum memandang Beel menyuap perlahan bubur ayam yang dimasak Mak Jah. Suka dia melihat Cik Beelnya begini. Lebih terserlah sifat keperempuanannya dan keayuannya.
Jika tidak apa yang dilakukan Cik Beelnya saban hari bermain dan berlari sana-sini. “Cik Beel, Kak Irah keluar dulu. Dah tak de apa-apa kan?”
Beel menggeleng. “Terima kasih Kak Irah”. Dan dia menyambung menyuap opahnya.
“Beel…” Puan Sri Normah memandang gadis yang sedang menyusun pinggan kotor itu.
Beel menjongket keningnya. “Ya?”
Puan Sri Normah menguntum senyum. Apa yang harus dia lakukan untuk menghalang Suraya melakukan yang tidak baik kepada cucu kesayangannya itu?
Itu juga cucu, ini juga cucu. Puan Sri Normah melepaskan keluhan kecil. Beel mengerut dahi melihat perilaku opah yang sedikit aneh. “Opah ok tak?”
Puan Sri Normah menggeleng kepalanya. “Opah ok”.
Beel mengerutkan dahi. Ok apa kalau kelakuannya aneh sekali? Namun Beel malas mahu berbalah dengan opah. Tambah lagi dengan keadaan opah sekarang. Jadi dia hanya menguntum senyum manjanya.
Bunyi telefon bimbit Beel mengalih perhatiannya. Telefonnya yang berada di atas meja lampu tidur diambil dan skrinnya dipandang. Tersenyum melihat nama Fah yang terpamer, lambang telefon berwarna hijau ditekan.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Kau kat mana ni?”
“Ada dengan opah lah. Kenapa?”
“Opah belum sihat lagi?”
“Dah ok sikit. Cuma aku nak stay, takut apa-apa jadi. Kau dah on the way balik KL ke?”
“Ya. Aku ada dalam kereta dengan abang ni”.
Beel tersenyum seketika. “Sedihnya tak dapat ikut pergi Kedah”.
“Dah lah. Kita orang dah nak balik ni. Kita orang singgah rumah opah dulu. Banyak juga benda hadiah abang beli untuk orang rumah tu”.
Beel mengangguk dan mematikan panggilan. Fah. Menguntum senyum memandang opah. “Fah dah balik KL. Nanti dia singgah sini”.
Puan Sri Normah tersenyum. “Nanti bolehlah ajak Fah dengan Wan makan tengah hari sekali. Haikal pun nak datang juga”.
Beel mengangkat wajah memandang opah. ‘Haikal nak datang?’ Dan dia hanya tersenyum dengan wajah yang sedikit kebingungan.
Mengapalah Haikal mahu datang hari ini? Dia tidak mahu bertemu dengan Haikal!!

############

“Cik Beel…”
Beel sedang membasuh pinggan yang telah opah gunakan, memandang Irah yang berada tidak jauh darinya. “Ya?”
“En.Haikal dah datang”.
Beel menguntum senyum tidak ikhlasnya. Entah dari mana Haikal muncul, tiba-tiba saja berada di pintu dapur.
“Kak Irah pergilah sambung kerja”.
Irah ketawa kecil bila dia ‘dihalau’ En.Haikal untuk bersama isterinya. “Ok”.
Beel menutup paip air dan mengelap tangannya. Langkah yang diatur untuk keluar dari dapur dibatalkan bila Haikal tiba-tiba memegang tangannya.
“Nak apa?” Beel menyoal dengan wajah sakit hatinya.
“Awak marah saya ke?” Haikal mendekatkan wajahnya dengan wajah Beel.
Beel menjeling. “Ada sebab ke saya nak marah awak?”
“Habis, kenapa awak..”
“Bukan saya memang macam ni ke? Habis awak nak saya buat macam mana? Kat rumah awak ke, kat sini ke, saya sama je. Atau awak nak…” Beel memeluk tangan Haikal dan ia diletakkan di pinggangnya. Kelihatan seperti Haikal dan Beel sedang melepaskan rindu.
“Macam ni?” Beel menjongket keningnya.
Haikal ketawa kecil. Pelukannya dieratkan sebagai membalas ‘permainan’ Beel. Beel mendengus. Tangan Haikal ditarik agar Haikal melepaskannya dengan segera namun Haikal tersengih sambil menguatkan lagi pelukannya. Beel menampar-nampar tangan Haikal namun tamparannya tidak memberi kesan sama sekali.
“Buat apa tu?”

DILARANG NIKAHI AKU – 57

Brek kaki ditekan dan gear diletak pada ‘Parking’. Brek tangan ditarik dan kereta berhenti tepat di hadapan pintu masuk.
Suraya tersenyum memandang Haikal. “Esok awak datang ambil saya tak? Atau kita pergi asing-asing”.
“Tengoklah macam mana”.
Suraya mengangguk. “Saya turun dulu”.
Haikal mendiamkan diri. Suraya turun dari kereta dan melambai pada Haikal yang memandu kereta pergi. Hati terasa sakit dengan layanan Haikal padanya. Tapi dia masih punya masa. Sedikit saja lagi..
“Su pergi mana dengan Haikal?”
Suraya menoleh ke belakang. Wajah papa yang menahan kemarahan dipandang. “Papa”.
“Papa tanya mana Su pergi dengan Haikal?”
“Pergi tengok baju pengantin”.
Zamri mengerut dahi. “Kerja gila apa ni?” Suaranya meninggi.
Suraya memejam matanya. Malas mahu mendengar papanya marah-marah. Zamri memandang Suraya. “Su sedar tak apa Su buat ni?”
“Sedar” Suraya menjawab selamba.
“Su ajak Haikal tengok baju pengantin. Kenapa?”
“Papa, Haikal kan bakal suami Su. Mestilah Su ajak dia” Suraya mengangkat wajah, memberanikan diri bertentang mata dengan papanya.
“Itu dulu. Sekarang dia suami adik Su.Su nak buat apa ni? Nak hancurkan rumah tangga Beel ke?”
“Memang. Memang itu dulu. Dan sekarang, sampai akan datang. Haikal milik Su. Kalau Beel boleh rampas dia dari Su, kenapa Su tak boleh rampas dia balik dari Beel?”
Zamri menggenggam penumbuknya. Menahan marah terhadap anak perempuannya sendiri. Sepertinya dia sudah tidak mengenali puterinya sendiri. Ke mana perginya Suraya yang sentiasa berlemah-lembut dan bersopan santun dahulu?
Suraya menjeling. “Untuk pengetahuan papa, dia bukan adik Su. Cuma adik sepupu je. Bukan adik kandung. Buat apa Su nak jaga sangat hati dia?” Dan dia berlalu masuk ke dalam. Melewati opahnya yang sedari tadi mendengar perbualan mereka.
Zamri melepas nafas. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Langkahnya terhenti bila melihat wajah Puan Sri Normah. “Ibu..”
Puan Sri Normah memandang Zamri. Bagai tidak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Suraya. Dan kerana terlalu marah, matanya mula berpinar. Puan Sri Normah rebah di situ.
“Ibu!!”

#########

Beel menyorokkan bagasinya di bawah katil bila mendengar bunyi pintu bilik diketuk. Dia membetulkan rambut dan wajah diperkemas. Dan pintu bilik dibuka dengan senyuman.
Wajah Haikal yang dilihat membuatkan senyumannya hilang. “Nak apa?” Beel langsung menyoal. Tidak lagi membuka pintu tapi dia terus keluar dan menutup pintu bilik.
Haikal sedikit sangsi dengan gerak-geri Beel. Sepertinya ada sesuatu yang disembunyikan gadis itu di dalam bilik. “Tengah buat apa?”
“Baca buku”.
Haikal mengangguk. Dia baru pulang dari pejabat. Entah mengapa, perasaannya memaksa dia pulang segera. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku jika dia tidak pulang ke rumah secepatnya.
Beel berlari masuk ke dalam bilik bila mendengar bunyi telefon bimbitnya. Telefon bimbit pemberian Haikal itu diambil dan panggilan Fah dijawab.
Haikal melangkah masuk ke dalam. Mahu melihat apa yang disembunyikan Beel. Tapi dia tidak menemui apa-apa yang luar biasa. Semuanya normal.
“Ok. Aku keluar” Beel menekan butang merah. Sedikit terkejut Haikal berada di belakangnya. Mujurlah bagasinya telah disorokkan. Jika tidak, pasti mereka akan bergaduh lagi dan lagi.
“Siapa?”
“Fah. Dia datang” Beel menjawab soalan Haikal dan melangkah keluar. Haikal mengikut dari belakang. Melangkah menuju ke ruang depan.
“Fah” Beel memanggil.
Fah tersenyum memandang Beel yang melangkah ke arahnya. Namun dahi berkerut selepas beberapa ketika. Mana beg pakaian temannya itu? Katanya mahu tidur di rumah malam ini.
Beel memeluk Fah sambil berbisik. “Haikal tak tahu aku nak keluar. Nanti aku ambil beg baju”.
Fah kaku beku. Tidak tahu? Maksudnya, Beel mahu lari dari suaminya? Dan apakah dia membantu Beel membuatkan dia turut ikut dengan rencana Beel mahu lari dari Haikal.
“Hai, Fah” Haikal menegur.
Fah menunduk. “Abang Haikal sihat?”
“Sihat. Lama tak jumpa kan. Fah macam mana sekarang?”
Fah senyum manis. “Hari tu dah exam. Tengah tunggu result”.
Haikal mengangguk memahami. “Wan sihat?”
“Abang sihat. Dia sibuk sikit sekarang. Banyak projek baru masuk”.
Beel membeku di sisi Fah sepanjang perbualan singkat itu. Dia tidak selesa dan tidak suka Haikal berada bersamanya seperti itu. “Awak pergilah masuk”.
Haikal memandang. “Kalau saya nak dengar sekali tak boleh?”
“Hal orang perempuan lah. Jom” Beel menarik tangan Fah, mahu berbual di tepi kolam.
Bunyi telefon bimbit berdering membuatkan langkah mereka berdua terhenti. Haikal mengambil telefon bimbitnya di dalam poket seluar. Nama yang tertera di skrin membuatkan dia mengerut dahi.
“Assalamualaikum, pak cik”.
“Waalaikumussalam. Haikal, boleh datang Villa An sekarang? Cakap dengan Beel, opah pengsan”.
“Ok” Haikal mematikan panggilan dan memandang Beel di hadapannya. Beel menjeling dan menarik tangan Fah, mahu meninggalkan Haikal.
“Beel, pak cik Zamri kata opah pengsan”.
Langkah Beel terhenti. Langsung menoleh memandang Haikal. “Apa awak cakap?”
“Opah pengsan”.
Beel terdiam. Fah di sisi memegang tangan sahabatnya itu. Nafas Beel turun naik secara automatik. Bagaimana dengan opah kecintaannya?
“Beel..” Haikal memanggil.
Beel memandang Fah. “Fah, bawa aku balik sekarang. Aku nak balik sekarang”.
Fah memandang Haikal. Bukankah lebih baik Haikal yang membawa Beel ke Villa An? Jika mereka ke sana berasingan, pasti akan menimbulkan tanda tanya.
“Kau dengar tak?” Beel menarik tangan Fah.
Haikal melepas nafas. “Saya bawa”.
Beel memekakkan telinga. Sebolehnya dia tidak mahu ditinggal berdua dengan Haikal. Tangan menarik tangan Fah, memujuk.
Fah senyum nipis. “Kau pergi dengan abang Haikal. Aku follow dari belakang je. Kalau Mak Jah dengan Kak Irah nampak kau orang datang asing-asing, nak jawab apa kalau kena tanya?”
Beel terdiam. Namun kata-kata Fah benar. Jika hal itu sampai ke pengetahuan opah, mahu setahun pun masih belum selesai soal siasatnya.
“Jom” Haikal mendekati dan menarik tangan Beel. Fah mengikut dari belakang. Menuju ke arah garaj kereta.

##########

Haikal mencuri pandang ke arah Beel sekali-sekala. Namun gadis itu terlalu gelisah membuatkan dia tidak menyedarinya.
“Beel..”
Beel melepas nafas. Telinga tidak dapat menangkap panggilan Haikal. Bagaimana boleh jadi begini? Sejak dari kecil, dia sentiasa tahu opah adalah orang yang sihat. Sejak dari kecil, opahnya jarang sakit. Bagaimana pula opah boleh jatuh pengsan secara tiba-tiba?
Bagaimana opah boleh pengsan? Apa yang menyebabkannya? Apa pula kata doktor? Mengapa pak long tidak menghubunginya?
“Beel…” Haikal memanggil lagi. Risau pula dia bila Beel diam sebegitu rupa.
Beel meraba poket seluar. Baru teringat telefon bimbitnya tertinggal di bilik. Barangkali pak long ada menelefon, namun kerana tiada jawapan.. pak long menelefon Haikal.
Haikal menggenggam jemari Beel bila gadis itu mula tidak senang duduk. Beel memandang Haikal. Haikal menguntum senyum. “Awak ok?”
Beel mengangguk. Pandangannya sebak memandang Haikal. “Tapi.. Macam mana kalau jadi apa-apa kat opah? Macam mana kalau opah sakit? Macam mana kalau opah koma? Apa saya nak buat? Apa saya nak buat? Macam mana dengan saya kalau opah tak de? Macam mana saya nak hidup? Opah, opah…”
“Shhh…” Haikal memujuk. Dan dia menyambung lagi, “Awak jangan risau. Insya-Allah opah tak apa-apa. Jangan fikir bukan-bukan”.
Beel memejam mata, cuba melepaskan rasa risau yang bersarang namun tak berjaya. Kerana ketakutan dan kerisauan yang bersatu dalam diri, dia tidak sedar jari-jemarinya erat membalas genggaman tangan Haikal.

###########

“Saya dah bagi puan sri ubat tidur supaya dia boleh berehat. Dan buat masa ni, saya nasihatkan jangan ganggu emosi puan sri. Kalau tak, keadaan akan jadi lebih teruk”.
“Baik, doktor”.
“Kalau ada apa-apa masalah, boleh hubungi saya semula”.
Zamri tersenyum dan mengangguk. Memandang Irah yang setia berdiri di pintu bilik. “Irah, tolong hantarkan doktor ke pintu. Pak Lan dah tunggu kat luar tu”.
Irah mengangguk dan mempersilakan doktor wanita bertudung itu. Langkahnya sopan membuntuti Irah keluar dari bilik.
Zamri melepas nafas. Memandang Suraya yang duduk di atas katil, bersebelahan ibunya. “Lain kali nak bertindak tu fikir dulu. Su tak sayang opah ke?”
Suraya terdiam. Mengakui ianya memang salah dia sendiri. “Su minta maaf”.
Zamri menggeleng-geleng. Suraya memandang pintu bilik bila mendengar bunyi tapak kaki. Beel melangkah masuk perlahan dan terus menuju ke arah opahnya. “Opah…”
Zamri memaut bahu Beel yang sudah terduduk di sisi katil. “Doktor kata opah cuma terlalu penat. Kena banyak rehat, kena banyak relax. Tak de apa-apa…”
Beel menahan air mata yang mula mengalir. Namun akhirnya air mata itu jatuh berderaian bagai kanak-kanak yang tidak malu dirinya diperhatikan. “Opah… Pak long, bila opah boleh sedar?”
“Opah tengah tidur. Doktor kata mungkin esok, sedarlah”.
Beel mengangguk. Air matanya dikesat. Fah yang baru masuk mendekati Beel. “Beel..”
Zamri tersenyum memandang Fah. “Oklah. Pak long tinggalkan Fah dengan Beel dalam bilik ni.”
Beel mengangguk. Kemudian, dia mengajak Sakinah dan Suraya meninggalkan bilik itu. Suraya memandang Haikal yang tidak melepaskan pandangannya dari Beel. Sedikit rasa sakit hati timbul dan mula membuak. Kalau tidak mengenangkan opah yang sakit, mahu saja dia mengusir Beel segera.
Haikal buat tidak tahu dengan pandangan Suraya yang seperti mahu menelannya. Baginya saat ini yang paling penting adalah emosi Beel dan opah yang tidak kenapa-apa.
“Dah lah tu. Jangan nangis. Kan pak long dah cakap opah tengah tidur” Fah memujuk Beel yang masih teresak-esak.
Haikal mendekati Fah. Fah memandang Haikal dengan jongketan mata. Haikal mengangguk dan memberi senyuman. Fah kemudiannya memandang Beel semula. “Aku ambil air untuk kau. Jangan nangis dah..”
Beel tersenyum melepaskan Fah. Tangannya memaut lengan opah yang terbaring. Tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya jika opah tiada.
“Beel…”
Beel memandang ke arah dari datangnya suara itu. Melihat wajah Haikal dengan riak hambar. Sungguh, dia sangat sedih saat ini.
“Awak ok tak ni?”
Beel mengerut dahi. “Dah tahu pun nak tanya lagi ke?”
Haikal ketawa kecil. Dia kemudiannya duduk berhadapan dengan Beel. Rambut gadis itu diusap dan diperkemas. Jari-jemarinya mengesat air mata yang setia mengalir dari kolam mata Beel.
“Dah jangan menangis. Awak tahu tak, muka awak kalau menangis dah sama macam tempoyak. Nak tengok pun tak sanggup” Haikal memujuk dengan senyuman.
Beel memuncungkan bibirnya. “Saya suka makan tempoyak. Awak yang tak suka”.
Haikal senyum lagi. Sudah lama rasanya tidak berbaik begini dengan isteri tercintanya itu. “Oklah. Jangan menangis. Nanti hujan pula kat luar tu” Haikal memegang kedua belah bahu Beel.
Beel mengangguk. Namun entah mengapa air matanya makin laju mengalir pula. Membuatkan Haikal yang tidak tahu harus berkata apa lagi, memeluk gadis itu. Kepala Beel ditarik ke dalam dakapannya. Berharap agar emosi gadis itu lebih stabil.

#########

Suraya mengetap bibir melihat aksi manja Beel dan Haikal. Tangannya erat menggenggam penumbuk dan bibirnya diketap menahan marah.
“Tak guna kau Beel. Jadi memang betul-lah yang Haikal dah suka kau. Tak pe. Sikit je lagi. Kau akan merana atas semua yang kau buat kat aku”.

DILARANG NIKAHI AKU – 56

Langkahnya diatur perlahan ke meja makan. Tempat duduk diambil dan selamba dia mencedok mee kuning goreng yang disediakan Nia di atas meja.
Garfu dicapai dan dia mula menyuap ke dalam mulut. Sebolehnya cuba untuk buat tidak tahu dengan makhluk bernama Haikal di hadapannya. Yang dia tahu, dia mahu makan sarapan.
Haikal mencuri pandang ke arah Beel. Tinggal mereka berdua lagi. Seawal jam 5.00 pagi tadi, papa menerima panggilan kecemasan dari Kuwait dan dia harus pulang segera. Dan papa sudah berpesan, saat dia pulang ke Malaysia semula… dia mahu Haikal dan Beel sudah berbaik semula.
“Fasal semalam…” Haikal menyusun ayat, mula berkata-kata.
Beel masih lagi meneruskan suapan. Tidak mahu mempedulikan kata-kata Haikal. Baginya, antara mereka berdua sudah tiada sebarang kemungkinan. Jadi lebih baik dia mengasingkan diri dari Haikal sekarang dari bersedih di kemudian hari.
“Saya minta maaf. Minta maaf sangat-sangat. Saya tahu saya…” kata-kata Haikal terhenti bila nada dering telefon bimbitnya kedengaran.
Beel diam. Mee goreng di pinggannya sudah licin. Dia kini menanti apa yang mahu Haikal ucapkan.
Haikal mematikan panggilan dari Suraya. Dan telefon bimbitnya diletakkan di atas meja, tepat pada pandangan Beel. Dia mahu Beel tahu Beel lebih penting dari Suraya baginya.
“Saya minta ma…”
Dan telefonnya berbunyi lagi. Beel melepas nafas. Dapat dia lihat dengan jelas nama ‘Su pak cik Zamri’ tertulis pada nama pemanggil.
Haikal cuba untuk meneruskan kata-kata tapi bunyinya benar-benar mengganggu. Juga membuatkan dia letih untuk bercakap dan Beel hilang mood untuk mendengar.
Beel memandang telefon bimbit Haikal yang asyik menjerit. Akhirnya, bila panggilan dari Su keluar, dia menekan butang hijau dan menyerahkannya pada Haikal.
Haikal mengerut dahi. “Awak nak suruh saya jawab?”
Beel mengangguk. “Awak jawablah dulu. Tak baik buat Kak Su risau”.
Haikal diam seketika. Kemudian telefon bimbitnya diambil dari huluran Beel. “Ya, Su?”
“Awak kat mana ni?”
“Rumah”.
“Belum keluar rumah lagi?”
“Ada apa?”
“Haikal…. Awak lupa ke, hari ni kita nak pergi tengok baju pengantin. Kan?”
Haikal mendiamkan diri. Wajah Beel yang melayan dunianya sendiri dipandang. Mengapa semuanya jadi begini? Dia sepatutnya menolak semua rancangan gila Suraya dan mengatakan isterinya hanyalah Beel seorang. Tiada ganti. Namun mengapa kata-kata itu terlalu sukar untuk dikeluarkan?
“Haikal….”
“Nanti saya datang” dan butang merah ditekan bagi mematikan talian. Kemudian telefon bimbitnya dimatikan supaya dia mahupun Beel tidak terganggu.
Beel memandang Haikal. “Awak nak jumpa Kak Su,kan? Pergilah”. Beel bangun berdiri mahu meninggalkan meja makan.
Tangannya automatik menarik tangan Beel. Mematikan langkah isterinya itu. “Saya ada benda nak cakap…”
Beel menarik tangannya dari pegangan Haikal. Dan dia kembali mengambil tempat. Mata memandang tepat ke arah Haikal.
Suasana diam dan berterusan begitu buat beberapa ketika. Haikal menarik nafas sedalam mungkin dan mula berkata-kata. “Saya minta maaf fasal semalam. Saya tak sepatutnya marah awak macam tu. Saya tahu awak orang yang paling terganggu dengan kepulangan Suraya. Sepatutnya…”
“Kejap” Beel memotong kata-kata Haikal.
Haikal mengangkat wajah memandang Beel. Beel menunjuk tangannya pada Haikal tanda ‘Berhenti’. Beel mengerutkan dahi. “Awak fikir saya nak pisah ni, ada kaitan dengan Kak Su ke? Saya tak rasa terganggu langsung dengan kepulangan Kak Su. Saya gembira adalah. Sebab dia boleh ambil balik status isteri Haikal Hadzim yang dia nak sangat ni. Saya minta pisah sebab saya memang nak pisah. Bukan sebab Kak Su dah balik, saya nak pisah”.
Haikal memandang Beel. Iya, dia baru teringat pesanan opah ketika ‘menyerahkan’ Beel padanya. Orangnya sukar difahami kerana kata di mulut tidak seiring dengan kata hati. Tapi jika kita benar-benar sudah memahami, kita akan mengenali Beel lebih dari dia mengenal diri sendiri.
Beel bangun dari duduknya. Geram benar dia mendengar kata-kata Haikal. Seolah-olah semuanya merupakan kesalahan Kak Su. Ya, dia memang selalu bergaduh dan bertikam lidah dengan Kak Su. Tapi itu tidak bererti dia membenci kakak sepupunya itu.
Bagaimana dia boleh bencikan satu-satunya darah daging yang dia punya? Hanya Kak Su satu-satunya adik-beradik buatnya. Dia anak tunggal, Kak Su juga anak tunggal. Dan opah hanya punya dua orang anak.
“Dah lah tu, awak pergilah tengok Kak Su. Saya tak jadi penghalang lepas jadi perampas. Kalau awak tak de masa nak ambil borang cerai, nanti saya boleh ambil sendiri”.
“Nak pergi dengan siapa? Dengan Wan?”
Langkah Beel terhenti mendengar kata-kata Haikal. Dahinya berkerut memandang Haikal. Haikal menoleh pandang ke arah Beel. Dia bangun dan mendekati Beel.
“Kalau awak pergi dengan Wan, saya tak izinkan!”
Beel menelan liur. “Apa masalah awak ni? Kalau saya pergi dengan abang Wan pun kenapa?”
“Saya tak izinkan. Kalau awak terdesak sangat nak bercerai dengan saya, saya ambil sendiri borang tu. Selagi awak masih sah jadi isteri saya, saya haramkan awak keluar berdua dengan Wan. Awak dengar tak? Haram!!” Dan Haikal langsung berlalu pergi.
Beel melepas nafas. Bibirnya diketap menahan geram. Lama dia termenung, dan bibir mengukirkan senyum. ‘Macamlah selama ni aku selalu keluar berdua dengan abang Wan. Selalunya Fah mesti ada sekali. So, ada apa hal kalau haram keluar berdua. Bertiga tak haram’.

#########

“Macam mana dengan baju ni?” Suraya tersenyum sambil mempergayakan baju yang dicubanya pada Haikal.
Haikal mengangguk tanpa memandang. Suraya mengerutkan dahi. “Haikal. Awak tak tengok pun, kenapa awak angguk?”
Haikal seperti baru tersedar dari lamunannya. Wajahnya diangkat memandang Suraya. Melihat Suraya yang memakai baju pengantin berwarna putih kelabu. “Ok juga. Kalau awak suka, saya ok je”.
Suraya mengangguk. Dia memandang pembantu butik yang setia membantu. “Awak pergi tempat lain dulu. Saya ada benda nak bincang”.
Pembantu butik itu mengukir senyum. Dan dia meninggalkan mereka berdua di bilik persalinan. Suraya melangkah ke arah Haikal dan memaut lengannya. “Kenapa ni? Awak ada masalah ke?”
Haikal memandang Suraya dan menggeleng. Tangannya ditarik dari pegangan Suraya. Tidak selesa disentuh Suraya, tidak seperti dulu. Dia masih memikirkan pergaduhannya dengan Beel pagi tadi. Terasa sangat menyesal kerana mengeluarkan larangan sebegitu. Sedangkan dia sendiri tahu Safwan hanya bertepuk sebelah tangan.
“Haikal..”
Haikal melepas nafas. “Hari ni setakat ni je. Saya penatlah. Lagi pun saya ada kerja kat office. Saya hantar awak balik Villa An sekarang”.
Suraya terkebil-kebil memandang Haikal. Jam tangan dilihat. Baru pukul 12.00 tengah hari sudah mahu pulang. Dia mengetap bibir menahan geram. Dia perlu mengikut rentak Haikal untuk memiliki lelaki itu. Jika tidak, segalan rancangannya akan menjadi sia-sia.

#########

“Fah….”
“Kenapa ni? Aku tak suka betul kalau kau panggil aku macam tu” Fah membebel sambil menyusun buku-bukunya di dalam beg.
“Jom keluar”.
“Pergi mana? Aku dekat U lagi ni”.
Beel membaringkan diri sambil telefon bimbit terletak kemas di telinga kirinya. “Bukan keluar hari ni. Maksud aku, kita pergi jauh. Pergi Kedah ke, Perlis ke, Johor ke…”
Fah duduk kembali di perpustakaan itu. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Beel. Jangan-jangan ia berkaitan dengan Suraya? “Kenapa kau ni? Bergaduh dengan Haikal ke?”
“Jomlah. Kita pergi bertiga. Abang Wan free kan esok? Kita pergi sebulan ke…”
“Beel, kau ok tak?”
“Jomlah” Beel mula merengek di talian.
Fah melepas nafas. “Yelah. Kita pergi. Memang abang Wan ada urusan kat Kedah esok. Kita pergi. Nanti aku cakap dengan abang Wan”.
“Kalau macam tu, malam ni aku tidur rumah kau boleh?” Beel terus duduk dari berbaring.
“Beel..”
“Boleh kan? Esok kita boleh keluar lepas Subuh. Kan?”
Fah melepas nafas. Dia mahu bertanya apa yang tidak kena dengan Beel sebenarnya. Namun dia sangat mengenali sikap Beel. Selagi dia belum berjanji, selagi itulah Beel akan mendesak.
“Kau dah cakap dengan abang Haikal ke?”
“Kau datang ambil aku sekarang”.
Fah mengerut dahi. “Kau dah cakap dengan abang Haikal ke? Dia suami kau”.
“Kau datang ambil aku sekarang boleh? Aku tunggu”.
“Beel.. Dah cakap dengan abang Haikal belum?”
“Dia pergi tengok baju pengantin dengan Kak Su”.
Fah terdiam mendengar kata-kata Beel. Matanya terpejam seketika. Menyesal mengajukan soalan yang sama berulang kali. Patutlah Beel cuba mengelak dari tadi.
“Kau boleh datang sekarang kan?”
“Boleh. Aku datang sekarang”. Fah bergegas keluar dari perpustakaan dan menuju ke tempat meletak kenderaan. Dia mahu segera sampai di rumah Haikal.

DILARANG NIKAHI AKU – 55

“Papa balik ke?”
Nia mengangguk menjawab soalan Beel. Beel menguntum senyum. Sejadah dan telekungnya segera dilipat dan disangkut di dalam almari. Langkahnya berlari anak menuju ke ruang depan.
Nia menggeleng sendiri. Terhibur dengan keletah comel Beel. Agaknya terlalu merindukan bapa mertuanya.

########

“Papa!!!”
Hazan ketawa bila Beel tiba-tiba menerpa dan memeluknya. Kepala menantu tunggal kesayangan diucap penuh kasih.
“Beel rindu” Beel sengih memandang papanya.
Hazan mengangguk. “Yelah tu. Papa lagilah rindukan menantu papa yang mulut becok ni”.
Beel ketawa kecil. Hakikatnya, dia merindukan papa ada tujuan di sebaliknya. Dengan keberadaan papa di rumah, mudahlah dia mahu memohon cerai untuk dilepaskan Haikal.
“Beel..” Hazan memanggil. Merasakan menantunya itu berkhayal.
Beel hanya menguntum senyum. “Jom masuk.” Beel mengambil briefcase di tangan Hazan dan menyerahkannya pada Nia yang setia menanti.
Hazan tersenyum mengikut langkah Beel menuju ke ruang rehat. Banyak yang mahu dibualkan dengan Beel. Terutama sekali soal hubungan Beel dan Haikal seperti yang telah diceritakan Humaira’ padanya.

#########

“Assalamualaikum”.
“Waalaimussalam”.
Membulat mata Fah melihat wajah yang menyambutnya di pintu masuk utama Villa An. Kemudian wajah itu tersenyum memandangnya. “Fah, masuklah”.
Fah mengangguk. Wajah Suraya yang masih berada di pintu hanya dipandang. Langsung tidak menyangka bakal menemui Suraya.
Suraya menguntum senyum tawarnya. “Fah datang cari siapa?”
“Fah dah janji dengan opah”.
Suraya mengangguk. “Opah ada kat bilik. Naiklah”. Suraya melangkah mahu meninggalkan Fah. Lagi pula, Fah sudah biasa dengan keadaan dan suasana Villa An.
Fah memandang. “Kak Su!” jerit Fah.
Suraya menoleh memandang Fah. Wajah bersahaja menanti kata-kata dari sahabat baik adik sepupunya itu. Fah terdiam. Dia ada banyak yang mahu ditanya dan disoal, tapi entah mengapa dia membisu pula.
“Nak cakap apa?” Suraya menyoal. Tidak suka namanya dipanggil tanpa tujuan.
“Kak Su…”
“Kau dah kenapa? Kau takut aku balik nak ambil laki kawan baik kau ke?” Suraya melipat tangan memandang Fah.
Fah menelan liur. Sudah dia tahu sememangnya dari dulu Suraya tidak sukakannya. Iyalah, sepertinya segalanya tentang Beel dibenci Suraya.
“Betul lah tu kan?” Suraya senyum sinis.
Fah memandang kosong. Tiba-tiba terasa sakit hati pula dengan kata-kata Suraya. Suka sangat memperlekehkan Beel seolah-olah Beel langsung tiada kelebihan. Kalau ikutkan rasa sakit hatinya, mahu saja dia mengatakan bahawa Beel pun langsung tiada keinginan untuk menikahi Haikal.
Suraya ketawa sendiri. “Kau jangan risau Fah. Aku takkan ambil apa orang punya. Aku akan pastikan Haikal ceraikan Beel, baru aku ambil Haikal aku balik. Lepas tu…” Suraya diam sebentar. Kemudian dia menyambung, “Lepas tu bolehlah Wan ambil Beel balik. Abang kau minat Beel,kan?”
Fah bertambah terdiam sekaligus terkejut. Bagaimana Suraya tahu mengenai perasaan abangnya pada Beel? Jangan-jangan Suraya sudah dapat mengesannya sejak dahulu?
Suraya menggeleng-geleng suka hati. Gembira dia melihat wajah Fah yang kebingungan. Baginya, sekalipun Fah kelihatan seperti gadis yang baik. Sentiasa memakai kain dan tudung, bersopan-santun seperti gadis Melayu terkahir.. gadis itu tetap tidak disukai. Alasannya mudah, dia teman rapat Beel.

#########

“Papa tak izinkan”.
“Papa…”
Hazan melepas nafasnya. Sudu diletakkan di dalam pinggan dan tangan dibiarkan berada di atas meja. Beel mengikut rentak Hazan. Tapi dia bersandar pada kerusi.
“Beel.. Papa dah agak ada benda tak kena sebenarnya. Tapi kenapa Beel sampai nak minta cerai ni?”
Beel diam menunduk memandang nasi putihnya yang sudah tinggal separuh. Tangan yang sedia digunakan untuk menyuap ke dalam mulut kembali menguis nasinya. Dan mengumpul untuk disuap ke mulutnya.
“Nabilah…” Hazan memanggil. Dia mahukan jawapan.
“Papa.. Beel bukan orang yang sesuai untuk anak papa. Beel nak hidup Beel balik. Beel nak jadi macam dulu. Beel nak hidup Beel yang dulu. Bebas, boleh pergi mana Beel nak. Beel tak nak hidup macam ni” Beel memandang wajah Hazan serius. Melepaskan semua rasa di hati melalui kata-katanya.
“Kenapa baru sekarang? Kenapa dari sebelum ni Beel tak cakap macam tu?” Hazan menjongket keningnya.
Beel terdiam. Dia juga memikirkan perkara sama? Mengapa dia tidak menyuarakan semua itu sebelum ini? Mengapa baru sekarang? Mengapa dia bertahan untuk bersama Haikal selama ini?
“Sebab Su dah balik,kan?”
Beel mengangkat wajah memandang papanya. “Papa dah tahu ke?”
Hazan melepas nafas. Menyedari Haikal sudah pulang dan mencuri dengan perbualan mereka. “Haikal dengan Beel tak boleh bercerai. Ingat lagi kan apa wasiat atuk?”
“Ingat” ucap Beel perlahan. Siapa yang tidak ingat? Haikal yang mewarisi harta sebanyaknya kerana berjaya mengikut permintaan atuknya dengan mengahwini cucu perempuan Puan Sri Normah. Dan semua urusan pindah milik termasuklah pertukaran nama dan segala-gala dokumen yang serabut itu hanya boleh diserahkan pada Haikal setelah lima tahun berlalu dan dia masih bersama isterinya.
Jika bercerai, segala wasiat itu akan terbatal serta-merta dan diserahkan pada badan kebajikan. Masalahnya, ia akan menyusahkan semua pihak yang terlibat dan berusaha keras menguruskan wasiat atuk. Terutamanya En.Fahad, peguam keluarga mereka.
Beel melepas nafas. Nampaknya atuk memang telah menyiapkan perancangan rapi agar perkahwinan yang dirancang ini tidak mengalami kegagalan. Mungkin dalam tempoh 5 tahun, segala kefahaman akan dicapai menurut atuk. Tapi siapa yang tahu apa akan terjadi pada masa depan?
“Dengar sini sayang. Papa tak izinkan Beel dengan Haikal bercerai walau apa pun berlaku. Sekalipun Suraya dah balik, Beel dah sah jadi isteri Haikal di sisi syari’at dan undang-undang. Sepatutnya Suraya kena berundur dan lupakan hal lama” serius suara Hazan.
“Tapi papa.. Kalau abang Haikal kahwin dengan Kak Su, dia lagi bahagia. Dia orang sayang sama sayang,kan?”
“Menantu papa cuma Nabilah Anisah. Bukan orang lain!” Hazan meninggi suaranya. Dia bangun dari meja makan dan memandang ke ruang depan. “Haikal dengar tak apa papa cakap ni?”
Dan Hazan terus melangkah keluar dari ruang makan. Beel mengerut dahi. Maksud papa? Adakah Haikal mencuri dengar perbualan mereka?

########

Haikal melangkah masuk ke dalam ruang makan. Wajahnya sayu memandang wajah Beel. Beel mengangkat wajah dan memandang Haikal sekilas. Kemudian meneruskan suapannya tanpa mempedulikan lelaki itu.
“Kenapa awak cakap dengan papa macam tu?”
Beel memandang Haikal yang sudah mengambil tempat di hadapannya. “Cakap apa?”
“Awak memang nak bercerai ke?”
Beel mengangguk laju. “Saya budak lagi. Saya tak sepatutnya ada kat sini. Saya nak hidup macam budak, pergi belajar. Bukan duduk rumah tunggu suami”.
Haikal menunduk. Entah mengapa hati terasa pedih mendengar kata-kata Beel. “Cerai… Cerai…. Cerai….”
Beel buat-buat tidak tahu dengan sikap Haikal. Dia dapat mengagak sekejap saja lagi Haikal akan meninggi suara. Dia sudah masak dengan perangai panas baran Haikal.
“Dari dulu yang awak fikir cuma cerai je ke? Sejak hari pertama kita nikah, yang awak sebut tiap hari, cuma pisah cerai. Pisah cerai. Awak memang tak ada niat nak buat pernikahan ni bertahan lama ke?” Haikal akhirnya meninggi suara. Melepaskan geram dengan perangai Beel yang baginya langsung tidak matang.
“Memang! Memang saya cuma fikir cerai. Sebab saya berpijak pada bumi nyata. Awak tu bakal suami Kak Su! Bakal suami kakak saya. Kan salah bila saya yang kahwin dengan awak?” Beel melawan.
“Benda dah jadi. Kita dah nikah. Siapa yang tak berpijak pada bumi nyata sebenarnya? Awak ke saya?”
Beel menahan geram. Air basuh tangan di atas meja dicapai dan disiram pada Haikal hingga lelaki itu basah separuh tubuh. Nafasnya naik turun menahan marah.
“Kalau awak tak nak cerai, saya nak sebab. Sebab munasabah. Lagi satu, kalau kita tak cerai, awak nak letak Kak Su kat mana? Takkan awak nak madukan kita orang?”
Beel membulatkan mata memandang Haikal. Tubuh lelaki itu ditolak dan dia berlari memasuki biliknya. Pintu bilik dikunci bagi memastikan tiada siapa mengganggunya.
Haikal terduduk. Otak masih ligat berfikir. Sebab munasabah dia tidak mahu menceraikan Beel? Juga.. Jika dia tidak menceraikan Beel, apa terjadi pada Suraya? Mungkinkah dia akan mengahwini Suraya sedangkan dia sudah menjadi suami Beel?
“En.Haikal…” Nia melangkah ke arahnya. Menghulurkan tuala kecil berwarna putih.
Nia bergegas keluar dari bilik bila mendengar suara Beel dan Haikal bergaduh. Tapi apa yang terjadi membuatkan dia tidak melangkah ke ruang makan. Hanya melihat dari dapur. Bimbang dia akan membuatkan keadaan lebih keruh dan bertambah serabut.
Haikal mengelap rambutnya menggunakan tuala yang diberi Nia. “Kak Nia…”
“Ya En.Haikal?”
Haikal mengangkat wajah memandang Nia. “Walau apa pun yang terjadi, saya takkan ceraikan Beel. Kak Nia nak tahu sebab apa?”
“Sebab apa?”
“Sebab…. Sebab… Sebab saya sayang dia”.

DILARANG NIKAHI AKU – 54

Beel melangkah masuk ke dalam dapur. Tidak mahu lagi mendengar apa yang dibualkan Haikal dan Suraya. Meskipun dia tidak dapat menangkap bulat-bulat apa yang mereka bualkan, tapi dia dapat memahaminya.
Nafas dilepas. Dia cuba mengukir senyum namun air mata tidak semena-mena tumpah dari kolam matanya. Beel mendengus sendiri. ‘Kenapa pula aku nangis? Sepatutnya aku happy. Tak lama lagi boleh balik rumah opah’.
Beel cuba mengukir senyum. Senyum yang menampakkan giginya. Dan dia bangun dan keluar dari dapur menggunakan laluan kedua. Nia yang berpura-pura mengelap meja memandang. Nampaknya dia harus melaporkan pada Puan.

#########

“Apa maksud awak dengan mula semua dari awal?”
Suraya memandang. “Kita.. Kita… Mula balik dari awal. Saya minta maaf sebab hilang masa hari perkahwinan kita. Saya betul-betul minta maaf..”
Haikal melepas nafas. “Sudahlah Su. Bukan salah awak. Siapa yang tahu akan jadi macam tu”.
“Awak tak marah saya?”
“Tak” Haikal menggeleng sambil tangannya cuba ditarik dari pegangan Suraya. Tidak selesa Suraya memaut tangannya begitu. Juga khuatir akan dilihat Beel.
Suraya menarik tangan Haikal semula. “Maksudnya kita boleh mula balik dari awal kan? Saya janji kali ni saya takkan hilang lagi. Kita mula balik.. Cari baju pengantin, pelamin, hantaran, kek, kad… Boleh kan?”
Haikal mengerut dahi. “Su.. Saya dah ada isteri”.
Suraya melepas nafas. Dia sudah dapat mengagak jawapan yang diberikan Beel. Dia sudah menyangka itu yang akan dijawab Haikal. “Awak tak boleh lepaskan dia ke?”
Tersedak Haikal meneguk air putih di dalam gelas. “Lepaskan?”
Suraya mengerut dahi. Namun hanya seketika. Sebolehnya rasa geram dan sakit hatinya disembunyikan. Apa yang penting dia mahu rancangannya berjalan lancar seterusnya berjaya.
“Su…”
“Awak memang tak rancang nak kahwin betul-betul dengan Beel kan?”
“Kahwin betul-betul? Awak ingat saya dengan Beel ni nikah olok-olok ke?”
“Bukan. Maksud saya..”
Haikal melepas nafas. Dia memandang Suraya dengan wajah serius. “Saya rasa buat masa ni kita tak yah cakap fasal ni. Kita biarkan dulu hal ni boleh tak?”
“Haikal!!”
Haikal menggeleng-geleng malas mahu melayan karenah Suraya. Dia langsung tidak menyangka begini sikap Suraya yang sebenar. Rupanya Suraya yang dia kenal sebelum ini hanyalah cengkerang luaran yang dipamerkan.
Suraya menggenggam penumbuk menahan geram. Sakit hati dan marah bercampur-baur di dalam diri. ‘Jaga kau Beel. Aku kerjakan kau nanti!”

#########

‘Salam Kak Putih. Kak Putih apa khabar? Beel tak sihat. Bila Kak Putih nak balik Malaysia? Boleh Kak Putih jaga Beel dan Fah macam dulu. Beel dan Fah rindu sangat dengan Kak Putih. Nanti Kak Putih dah selesai majlis konvokesyen, Kak Putih terus balik Malaysia tau. Opah dah sediakan tiket untuk Kak Putih kan? Cepatlah balik. Beel rindu.. Tak seronok tak de Kak Putih. Beel selalu kena buli. Baliklah Kak Putih…..’
Emel ringkas yang menyatakan rasa hatinya itu dihantar. Beel menutup notebook pemberian pak longnya. Dan dia berbaring di atas katil.
Setakat ini saja dia sudah letih. Bagaimanalah agaknya keadaannya menghadapi hari-hari mendatang? Dia kenal benar Kak Sunya. Kak Su tidak mudah mengalah, lebih-lebih lagilah dengan dirinya.

##########

Bunyi ketukan pintu membuatkan Syakir memandang pada pintu. Linda masuk dengan membawa beberapa buah fail di tangannya.
“En.Haikal” Linda memanggil.
Syakir melihat temannya itu. Sejak tiba di pejabat pagi tadi, dia hanya termenung dan merenung jauh. Entah apa yang dikhayal dan difikirkan pun dia tidak tahu.
Linda memandang Syakir bila panggilannya tidak dihiraukan Haikal.
“Kau ketuk je meja tu” Syakir menjawab pandangan Linda.
Linda menggeleng. Tidak mahulah dia mencari fasal. Siapa yang tidak kenal dengan perangai panas baran majikannya itu. Silap hari bulan dia boleh dibuang kerja kerana tidak beretika.
Syakir mengeluh. Dia yang duduk di ruang rehat bangun dan melangkah ke meja Haikal. “Hoi!”
Terkebil-kebil Haikal memandang wajah Syakir yang menyinga. Seterunya wajah Linda yang kelihatan tersenyum sedikit. Geram dengan tindakan Syakir, fail yang berada di atas meja dicapai dan digunakan untuk mengetuk kepala Syakir.
“Sakitlah bongok!”
“Kaulah bongok. Yang kau terjerit-jerit tu kenapa? Macam aku ni jauh sangat” Haikal menjeling.
Syakir menjongket kening memandang Linda. Linda tersenyum nipis. “Saya nak bagi fail ni. Semua pelanggan dah setuju dengan syarat yang kita tawarkan. Cuma tinggal tanda tangan je, lepas tu kita dah boleh hantar surat memohon keizinan dari pihak jabatan”.
Haikal mengambil fail yang dihulurkan Linda. “Awak boleh keluar dulu. Nanti saya panggil”.
“Baik En.Haikal”.
Haikal mengalih pandang pada Syakir yang sudah duduk di hadapannya. “Sejak bila kau masuk bilik aku ni?”
Syakir mencebik. “Dah sekat sejam aku kat bilik ni baru kau nak tanya?”
Haikal mengerut dahi memandang Syakir. Biar benar. Sudah hampir satu jam? Mengapa dia langsung tidak menyedarinya? “Penipu!”
“Tak nak percaya sudah. Kau berangan apa? Aku tengok dari tadi laptop kau tak hidup. Maksudnya sejak sampai tadi kau dah berangan kan?”
Haikal memandang laptopnya sekilas. Dan kembali memandang Syakir. Nafas dilepas melepaskan rasa lelah di hati. “Su dah balik. Dia nak kita orang mula balik semuanya dari awal”.

##########

Langkahnya terhenti melihat wajah yang tersenyum memandangnya. Dia yang tadinya semangat mahu makan tengah hari di kantin kini sudah tiada semangat. Kerana selalunya wajah yang berada di hadapannya kini pasti menjadi pengacau dan ‘pemati selera’.
“Hai…”
“Waalaikumussalam”.
Syakir sengih memandang Fah. “Nak pergi kantin kan? Jom”.
Fah melepas nafas, melepaskan keluhan kecil. Entah mengapa kadang dia senang dengan Syakir, tapi terkadang rasa rimas pula. “Awak nak apa?”
Syakir melangkah lebih laju supaya berada bersebelahan dengan Fah tapi nampaknya Fah sengaja tidak mahu bersebelahan Syakir. Bila Syakir melangkah laju, dia melangkah perlahan. Tapi bila dia melangkah perlahan, Fah melajukan langkahnya pula.
Fah mencapai pinggan dan mencedok bihun goreng yang tersedia. Seterusnya membuat pesanan minuman dan membayar harga. Dan dia mengambil tempat di meja kosong yang tiada orang.
Syakir mengejar dan mengambil tempat di hadapan Fah. “Penat saya kejar awak. Awak tak de nak lari dah kan?”
Fah mengangkat wajah. Tanpa sedar, dia tersenyum seketika. Syakir ketawa kecil. “Comel awak senyum”. Dan riak wajah Fah kembali tidak beriak seperti sediakala.
Suasana diam seketika. Fah menikmati keindahan rasa bihun gorengnya sedang Syakir pening menyusun ayat yang harus dikeluarkan. Bagaimana harus dia memberi soalan?
Fah mendongak memandang Syakir sekilas. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu sebenarnya? Terkumat-kamit tapi tidak mengeluarkan suara apa-apa. “Dah kenapa?”
“Beel ok?”
Fah mengerut dahi. “Beel?”
Syakir mengangguk. “Dia tak ok kan?”
Fah diam sebentar. Dia kembali mengingati pertemuan dengan Beel yang terakhir setakat ini, dua hari lalu. Memang dia berkelakuan tidak ok, tapi apa kaitannya dengan Syakir? Mengapa pula dia menyoal dan bagaimana dia tahu?
“Awak tak tahu ke yang Su dah balik?”
Tersedak Fah mendengar kata-kata Syakir. “Su? Kak Su ke?”
Syakir mengangguk. Fah termenung sendiri. Kak Su sudah kembali? Jadi… Dia mula mengerti. Dia mula memahami.

DILARANG NIKAHI AKU – 53

Hampir tersedak dia mendengar jeritan pembantu rumahnya yang bernama Irah itu.
“Puan sri! Puan sri!”
Mak Jah yang sedang menghidangkan kuih-muih di atas meja memandang Irah yang termengah kerana berlari sambil menjerit.
“Puan sri” Irah menyebut lagi buat kali entah ke berapa.
Mak Jah membulatkan mata memandang Irah. “Nak cakap apa, cakaplah cepat. Tak tenang puan sri nak makan petang”.
Irah memejam mata dan mengambil nafasnya. “Cik Beel datang”.
Puan Sri Normah memandang Irah tanda tidak percaya. Apakah benar Beel datang melawatnya? Kerana sudah lama benar Beel tidak berkunjung ke Villa An.
“Puan sri” Mak Jah dan Irah memanggil Puan Sri Normah serentak.
Puan Sri Normah tersenyum memandang Irah. “Betul ke Nab saya datang?’
Irah mengangguk. Puan Sri Normah langsung bangun dan melangkah keluar dari biliknya.
“Opah!!!”
Puan Sri Normah yang baru saja mahu melangkah berhenti bila tubuhnya diterpa Beel dan dipeluk seeratnya. Melepaskan rasa rindu yang telah lama bersarang.
Beel memejam mata serapat mungkin. Kalau boleh dia tidak mahu melepaskan pelukannya. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia rindukan opah kesayangannya itu.
Fah terlebih dahulu menyalami Irah dan Mak Jah. Kemudian turut menjadi pemerhati pertemuan jejak kasih opah dengan Beel.
Mak Jah mula tidak sedap hati bila Beel kelihatan menunduk seolah menyembunyikan air mata. Ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu. Irah memandang Mak Jah. Perasan akan hal yang sama.
“Beel..” Fah menegur. Tadi dia yang beria berjanji bagai, konon tidak mahu opah tahu dia sedang punya masalah. Tapi sekarang..
Beel melepaskan pelukannya perlahan. Mujur air mata yang ditahan tidak jadi mengalir. Kemudian senyum dilemparkan buat opah. “Beel rindu..”
Puan Sri Normah menguntum senyum. Pelukan Beel saja sudah membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu. Namun dia tahu Beel bukan jenis yang suka membuat orang risaukannya. Dia tidak sekali-kali akan bercerita masalahnya.
“Opah pun rindu. Selalu opah tanya Mak Jah. Kenapalah Nab opah ni tak datang-datang? Kan Jah?” Puan Sri Normah memandang Mak Jah. Dan Mak Jah memberi anggukannya tanda bersetuju.
Fah senyum nipis. Langkahnya maju dan menyalami opah. “Opah apa khabar? Maaflah lama tak datang. Tengah sibuk exam”.
Puan Sri Normah mengangguk sambil tangan mengusap kepala teman baik cucu kesayangannya itu. “Opah tahu Fah sibuk. Tengah belajar kan? Lagi pun, Wan selalu datang hantar buah tangan”,
Fah mengerutkan dahi. Abang selalu datang melawat opah di Villa An? Mengapa abang tidak pernah memberitahunya?
“Jom. Kita duduk kat laman belakang” Puan Sri Normah menarik tangan Fah dan Beel. Menuju ke laman belakang yang sering menjadi tempat rehatnya. Manakala Mak Jah ke dapur menyediakan minum petang sementara Irah mengambil kuih-muih dan air teh di bilik Puan Sri Normah untuk ditambah.

##########

Haikal mengerutkan dahi melihat dua buah bagasi milik Beel berada di pintu bilik. Langsung dia membaringkan salah satu darinya dan bagasi itu dibuka. Memang benar ia mengandungi pakaian milik Beel di dalamnya.
Baru saja dia mahu membuka bagasi yang kedua, pintu biliknya terbuka dari luar.
Membulat mata Beel melihat Haikal menyelongkar bagasinya. “Awak buat apa ni?!”
Haikal menelan liur. Beel menahan marah. Tubuh Haikal ditolak sekuat hati hingga lelaki itu jatuh terbaring.
“Awak dah gila ke selongkar bagasi saya?” Beel membebel memarahi Haikal sambil menzip bagasinya semula.
“Alah.. Sorry-lah. Saya pelik sebab ada bagasi tersesat kat pintu ni. Saya bukalah”.
“Alasan tak boleh pakai. Jangan-jangan awak memang dah masuk air” Beel menjeling sambil mendirikan beg bagasinya semula.
Haikal berdiri menghadap Beel. “Awak marah ke?”
“Gila tak marah! Mana boleh awak sesuka hati buka beg saya!” Beel mendengus.
Haikal sengih. “Kita kan suami isteri”.
Beel menjeling dengan sakit hatinya. Menyampah pula dia mendengar ucapan ‘suami isteri’ yang keluar dari mulut Haikal.
“Kak Su mana?” Beel menyoal setelah Haikal lama berdiam diri.
Haikal melepas nafas. Dia duduk di sofa yang saban hari menjadi tempat tidurnya. Beel yang membuat muka dipandang. “Awak dengar apa Su cakap ke?”
Beel mengerutkan dahi. Sesaat dua dia berfikir baru dia dapat menangkap maksud kata-kata Haikal. Mulut dicebik, berlakon konon tidak mengetahui apa-apa. “Cakap apa?”
“Awak nak keluar dari bilik kita?” Haikal menyoal lagi.
Beel mengeluh. “Bilik kita? Saya rasa ni bilik awak dengan Kak Su. Awak lupa awal-awal saya masuk bilik ni.. bilik ni penuh dengan gambar siapa?”
Haikal terdiam mendengar kata-kata Beel. “Awak nak keluar dari bilik ni?”
“Yelah. Tuan dia dah balik. Saya nak duduk bilik ni lagi buat apa. Saya nak duduk bilik tetamu, bila urusan awak dengan Kak Su dah selesai, kita pisah. Lepas tu, bolehlah awak kahwin dengan Kak Su macam mana sepatutnya”. Ucap Beel panjang lebar dan terus menarik kedua beg bagasinya keluar dari bilik. Malas mahu bertekak dengan Haikal.

#########

Dia tersenyum sendiri memasuki Villa An. Meskipun Haikal kelihatan berlainan ketika pertemuan mereka tadi, namun dia yakin lambat-laun Haikal akan kembali seperti dulu.
Haikal yang lembut dan memahami. Haikal yang romantis dan sentiasa mengambil berat. Dia yakin tidak sukar untuk membuat Haikal kembali memberi perhatian padanya semula seperti suatu ketika dahulu.
Dengan kelembutan, kecantikan dan kebijaksanaan yang dia punya.. Tidak sukar menghalau Beel dari hidup Beel. Dia lebih segalanya dari Beel. Beel tidak ada walau satu sifat yang tidak boleh dia kalahkan.
Suraya ketawa kecil melangkah ke ruang depan.
“Su pergi mana?”
Suraya mengerut dahi mendengar suara yang menegurnya. Kemudian senyum dikuntum buat opah yang sedang duduk di sofa. “Opah..”
Puan Sri Normah melepas nafas. “Su pergi mana?”
Suraya senyum lagi. “Opah risaukan Su? Opah jangan risau, Su keluar jumpa Haikal..”
Puan Sri Normah terdiam. Jadi inilah penyebabnya? Sebab mengapa Beel kelihatan berlainan dari selalunya? Apakah yang dilakukan Suraya agaknya?
“Opah.. opah..”
Puan Sri Normah memandang Suraya. Tangan cucunya dipegang erat. “Su…”
“Ya?”
“Su masih berharap yang Haikal akan balik pada Su?”
Suraya menarik tangannya dari pegangan opah. Dan dia tersenyum sinis. “Mati-mati Su ingat opah risaukan Su. Rupa-rupanya opah risaukan budak manja tu. Kenapa? Dia ada mengadu dengan opah?”
Puan Sri Normah mengerut dahi melihat Suraya yang tiba-tiba berubah sikap. “Suraya”.
Suraya mencebik. “Opah dengar apa Su cakap. Selama ni, Su mengalah dengan cucu manja opah tu. Semua yang dia rampas dari Su, Su relakan. Tapi kali ni tak. Tak opah! Su takkan mengalah. Su takkan biar Haikal jadi milik Beel. Macam mana pun Su akan rampas Haikal Su balik!!”

#########

“Jom sarapan”.
Beel memandang Haikal yang tersenyum padanya. Hanya melihat hidangan sarapan yang kelihatan seperit makanan tengah hari. Nasi putih bersama ikan patin masak gulai tempoyak bersama sambal belacan tempoyak. Juga ada buah durian dan juga durian crepe sebagai pencuci mulut.
“Ni sarapan ke?” Beel menyoal tanpa riak wajah.
Haikal sengih. Dia benar-benar berharap Beel akan berlembut hati dan bersarapan bersamanya. Setidak-tidaknya dia boleh memujuk Beel kembali ke bilik mereka.
“Haikal..” kedengaran suara manja dari jauh memanggil nama Haikal.
Beel terkesima seketika. ‘Kak Su?’ Dan dia terus bangun berlari ke dapur. Mengintai apa yang berlaku di ruang makan.
“Cik Beel tak sarapan ke?” Nia yang sedang membasuh pinggan mengerut dahi memandang Beel di pintu dapur.
Beel menggeleng. Kemudian jari diletak pada bibir meminta Nia berdiam. Walaupun Nia tidak memahami, namun suaranya ditutup apabila mendengar suara Suraya di ruang makan.

##########

Haikal yang mahu mengejar Beel membatalkan niat bila Suraya muncul entah dari mana.
“Awak tengah sarapan ke?”
Haikal mengangguk. Kononnya dia mahu memujuk Beel, nampaknya lain yang berlaku. Dia mahu memandang Beel melahap nasi dengan seleranya tapi tidak kesampaian pula. Sudahlah dia masih belum dapat memakan kesemua itu dengan penuh selera. Hanya baunya yang boleh dia tahan, untuk memakannya masih tidak mungkin lagi. Kalau bukan kerana Beel, tidak mahu dia memandang kesemua makanan yang berasaskan durian itu.
Suraya memandang meja makan itu. “Macam lauk tengah hari kan?”
Haikal tersenyum. “Kenapa awak datang pagi-pagi ni?”
Suraya diam seketika. Sebenarnya selepas pergaduhannya dengan opah beberapa malam lalu, dia sudah bertekad akan membuktikan pada semua yang Haikal akan menjadi miliknya semula. Dan untuk itu, dia harus berusaha.
Haikal menanti apa yang mahu Suraya katakan. Dia tidak suka benar Suraya datang ke rumahnya tanpa dijemput. Apa pula kata orang nanti? Sudahlah mereka tidak punya ikatan.
Suraya yang memandang pintu dapur sekilas terperasan akan keberadaan Beel tersenyum. Kemudian pandangannya terarah pada Haikal. “Kita mula semua dari awal balik boleh?”
Haikal membulatkan mata. Terkejut dengan apa yang diperkatakan Suraya.
“Mula semua dari awal?”
Suraya mengangguk. Tangannya memaut pergelangan Haikal yang terletak di atas meja. “Boleh kan?”

DILARANG NIKAHI AKU – 52

Fah mengerutkan dahi melihat nama Beel tertera pada skrin telefonnya. Sambil menyuapkan nasi ke dalam mulutnya, panggilan dari Beel dijawab.
“Fah” kedengaran suara Beel dari hujung talian.
“Hmm, ” Fah berdehem menjawab panggilan Beel. Menghabiskan sisa makanan di dalam mulutnya.
“Rindu kaulah..”
Tersedak Fah mendengar rengekan Beel. Langsung dia menyoal Beel, “Demam ke? Sakit kat mana? Dah jumpa doktor belum? Kalau dah, doktor cakap apa? Kalau belum kenapa? Abang Haikal tak nak bawakan ke? Kenapa dia tak nak bawakan? Dia pergi mana? Habis tu, kau dah ambil ubat ke belum?”
Beel ketawa kecil mendengar soalan Fah yang bertubi-tubi. Tidak sia-sia dia menelefon Fah, sekurangnya dapat melegakan keserabutan yang dialami saat ini.
“Kenapa kau gelak?”
“Aku sihatlah. Aku memang rindu kat kau. Jadi aku cakaplah aku rindu. Kau nak suruh aku cakap apa?”
Fah melepas nafas. Pinggan yang telah dilicinkan dibawa ke dapur. Kemudian pinggan itu dibasuhnya. “Kau ok ke?”
“Oklah. Kau tu yang tak ok. Jangan risaulah. Aku kan Beel..”
Fah mencebik seolah Beel dapat melihatnya. “Sebab kau Beel lah, aku risau”.
Beel memejam matanya seketika. Dia tidak sedih. Dia ok. Dia tidak kecewa. Dia tidak marah dan dia tidak bersedih. Dia baik, semuanya ok saja.
“Beel” Fah memanggil bila Beel berdiam.
“Jom balik rumah opah”.
Fah memandang jam dinding. “Oklah. Aku pergi sana. Kita pergi rumah opah”.

##########

Haikal diam di dalam pemanduannya. Tidak ada butir bicara yang mahu dia katakan pada Suraya. Sungguh pun dia benar-benar dan sangat terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba, dia tetap tiada apa yang mahu dikatakan.
Suraya gelisah di tempatnya. Asyik menjeling Haikal selang beberapa minit. Dia geram dengan Haikal yang seolah tidak mahu berbual dengannya. Hanya menumpukan perhatian pada pemanduannya hingga Suraya langsung tidak dilayan.
“Awak tak de benda ke nak cakap dengan saya?” Suraya akhirnya menyoal, geram dan sakit hati dengan Haikal yang kekal membisu.
Haikal menekan brek kereta bila lampu isyarat mengeluarkan lampu merah. Nafas dilepaskan. Suraya di sebelahnya dipandang. “Awak tak bagitahu saya pun yang awak dah keluar hospital?”
“Awak pun tak bagitahu saya yang awak kahwin dengan Beel” Suraya memandang Haikal. Suaranya sedikit meninggi.
Haikal melepas nafas. Brek ditekan dan gear ditukar. Dia meneruskan pemanduan sebaik lampu bertukar hijau. Membiarkan Suraya dalam perasaan dan dunianya sendiri.
Suraya menahan geram kerana tidak dipedulikan. “Kalau mama tak bagitahu saya, agaknya sampai Beel tu dah beranak-pinak pun saya tak tahu kan?”
Haikal menekan brek serta-merta. Tidak suka dengan perkataan ‘beranak-pinak’ yang Suraya gunakan.
Suraya menahan wajah terkejut kerana Haikal menekan brek. Tidak memahami apa yang Haikal sedang lakukan. Mengapa Haikal tiba-tiba naik marah? Takkanlah…
“Awak dengar saya cakap baik-baik. Bila saya cakap antara saya dengan Beel tak ada apa-apa, maksudnya tak ada apa-apa. Awak tak de hak nak gelarkan Beel seolah-olah Beel merampas saya dari awak sebab saya dengan awak pun belum ada apa-apa lagi”.

###########

“Apa ni?” Nia menyoal dengan suara tingginya. Terkejut mendapati beg bagasi milik Beel berada di depan pintu bilik.
Beel sengih sebagai menjawab soalan Nia. Langsung tidak berkata-kata walau sepatah. “Kenapa Kak Nia datang?”
Nia mahu bertanya lebih lanjut namun dia membatalkan niatnya. “Cik Fah datang. Dia dah tunggu kat ruang tamu”.
Beel sengih lagi. “Ok. Jom”. Beel membuka pinbtu biliknya dan memasukkan beg bagasinya ke dalam bilik semula. Kemudian tangan Nia ditarik menuju ke ruang menyambut tetamu.
Fah berdiri bila Beel muncul di pintu ruang. Beel melepaskan tangan Nia dan perlahan melangkah ke arah Fah. Sahabatnya itu dipeluk erat
“Kenapa ni?” Fah menyoal di dalam pelukan Beel. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Beel.
Fah menoleh memandang Nia. Kalau-kalau pembantu rumah itu tahu apa yang tidak kena dengan Beel. Malangnya, jawapan yang diberikan Nia hanya angkatan bahu dan gelengan kepala. Membuatkan Fah hampa.
“Beel..” Fah menolak tubuh Beel perlahan.
Beel melepas nafas. Sekaligus melepaskan rasa berat beban hatinya. Melepaskan segala rasa yang berkumpul. Tidak ada lagi yang akan tertinggal padanya.
“Kenapa ni?” Fah memegang kedua belah pipi Beel.
Beel menggeleng perlahan. Dia gembira. Dia bahagia atas sikap keprihatinan yang ditunjukkan Fah.
“Kak Nia..” Beel menoleh memandang Nia. Senyuman manis dikuntum buat kakak yang sering menjadi tempat luahan hatinya itu. “Beel pergi rumah opah ye.. Kalau Haikal tanya, cakap dengan dia Beel keluar dengan Fah”.
Nia mengangguk. Fah memandang Nia sekilas dan Nia hanya melemparkan senyumnya.
“Ok. Jom”. Beel menarik tangan Fah menuju ke kereta. Fah memandang sahabatnya itu sebelum enjin kereta dihidupkan. Ada sesuatu yang tidak kena. Tapi Fah tahu, Beel tidak akan sekali-kali memberitahunya. Dia kenal benar dengan temannya itu. Nampaknya dia harus mencari tahu semuanya sendiri.