DILARANG NIKAHI AKU – 53

Hampir tersedak dia mendengar jeritan pembantu rumahnya yang bernama Irah itu.
“Puan sri! Puan sri!”
Mak Jah yang sedang menghidangkan kuih-muih di atas meja memandang Irah yang termengah kerana berlari sambil menjerit.
“Puan sri” Irah menyebut lagi buat kali entah ke berapa.
Mak Jah membulatkan mata memandang Irah. “Nak cakap apa, cakaplah cepat. Tak tenang puan sri nak makan petang”.
Irah memejam mata dan mengambil nafasnya. “Cik Beel datang”.
Puan Sri Normah memandang Irah tanda tidak percaya. Apakah benar Beel datang melawatnya? Kerana sudah lama benar Beel tidak berkunjung ke Villa An.
“Puan sri” Mak Jah dan Irah memanggil Puan Sri Normah serentak.
Puan Sri Normah tersenyum memandang Irah. “Betul ke Nab saya datang?’
Irah mengangguk. Puan Sri Normah langsung bangun dan melangkah keluar dari biliknya.
“Opah!!!”
Puan Sri Normah yang baru saja mahu melangkah berhenti bila tubuhnya diterpa Beel dan dipeluk seeratnya. Melepaskan rasa rindu yang telah lama bersarang.
Beel memejam mata serapat mungkin. Kalau boleh dia tidak mahu melepaskan pelukannya. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia rindukan opah kesayangannya itu.
Fah terlebih dahulu menyalami Irah dan Mak Jah. Kemudian turut menjadi pemerhati pertemuan jejak kasih opah dengan Beel.
Mak Jah mula tidak sedap hati bila Beel kelihatan menunduk seolah menyembunyikan air mata. Ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu. Irah memandang Mak Jah. Perasan akan hal yang sama.
“Beel..” Fah menegur. Tadi dia yang beria berjanji bagai, konon tidak mahu opah tahu dia sedang punya masalah. Tapi sekarang..
Beel melepaskan pelukannya perlahan. Mujur air mata yang ditahan tidak jadi mengalir. Kemudian senyum dilemparkan buat opah. “Beel rindu..”
Puan Sri Normah menguntum senyum. Pelukan Beel saja sudah membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu. Namun dia tahu Beel bukan jenis yang suka membuat orang risaukannya. Dia tidak sekali-kali akan bercerita masalahnya.
“Opah pun rindu. Selalu opah tanya Mak Jah. Kenapalah Nab opah ni tak datang-datang? Kan Jah?” Puan Sri Normah memandang Mak Jah. Dan Mak Jah memberi anggukannya tanda bersetuju.
Fah senyum nipis. Langkahnya maju dan menyalami opah. “Opah apa khabar? Maaflah lama tak datang. Tengah sibuk exam”.
Puan Sri Normah mengangguk sambil tangan mengusap kepala teman baik cucu kesayangannya itu. “Opah tahu Fah sibuk. Tengah belajar kan? Lagi pun, Wan selalu datang hantar buah tangan”,
Fah mengerutkan dahi. Abang selalu datang melawat opah di Villa An? Mengapa abang tidak pernah memberitahunya?
“Jom. Kita duduk kat laman belakang” Puan Sri Normah menarik tangan Fah dan Beel. Menuju ke laman belakang yang sering menjadi tempat rehatnya. Manakala Mak Jah ke dapur menyediakan minum petang sementara Irah mengambil kuih-muih dan air teh di bilik Puan Sri Normah untuk ditambah.

##########

Haikal mengerutkan dahi melihat dua buah bagasi milik Beel berada di pintu bilik. Langsung dia membaringkan salah satu darinya dan bagasi itu dibuka. Memang benar ia mengandungi pakaian milik Beel di dalamnya.
Baru saja dia mahu membuka bagasi yang kedua, pintu biliknya terbuka dari luar.
Membulat mata Beel melihat Haikal menyelongkar bagasinya. “Awak buat apa ni?!”
Haikal menelan liur. Beel menahan marah. Tubuh Haikal ditolak sekuat hati hingga lelaki itu jatuh terbaring.
“Awak dah gila ke selongkar bagasi saya?” Beel membebel memarahi Haikal sambil menzip bagasinya semula.
“Alah.. Sorry-lah. Saya pelik sebab ada bagasi tersesat kat pintu ni. Saya bukalah”.
“Alasan tak boleh pakai. Jangan-jangan awak memang dah masuk air” Beel menjeling sambil mendirikan beg bagasinya semula.
Haikal berdiri menghadap Beel. “Awak marah ke?”
“Gila tak marah! Mana boleh awak sesuka hati buka beg saya!” Beel mendengus.
Haikal sengih. “Kita kan suami isteri”.
Beel menjeling dengan sakit hatinya. Menyampah pula dia mendengar ucapan ‘suami isteri’ yang keluar dari mulut Haikal.
“Kak Su mana?” Beel menyoal setelah Haikal lama berdiam diri.
Haikal melepas nafas. Dia duduk di sofa yang saban hari menjadi tempat tidurnya. Beel yang membuat muka dipandang. “Awak dengar apa Su cakap ke?”
Beel mengerutkan dahi. Sesaat dua dia berfikir baru dia dapat menangkap maksud kata-kata Haikal. Mulut dicebik, berlakon konon tidak mengetahui apa-apa. “Cakap apa?”
“Awak nak keluar dari bilik kita?” Haikal menyoal lagi.
Beel mengeluh. “Bilik kita? Saya rasa ni bilik awak dengan Kak Su. Awak lupa awal-awal saya masuk bilik ni.. bilik ni penuh dengan gambar siapa?”
Haikal terdiam mendengar kata-kata Beel. “Awak nak keluar dari bilik ni?”
“Yelah. Tuan dia dah balik. Saya nak duduk bilik ni lagi buat apa. Saya nak duduk bilik tetamu, bila urusan awak dengan Kak Su dah selesai, kita pisah. Lepas tu, bolehlah awak kahwin dengan Kak Su macam mana sepatutnya”. Ucap Beel panjang lebar dan terus menarik kedua beg bagasinya keluar dari bilik. Malas mahu bertekak dengan Haikal.

#########

Dia tersenyum sendiri memasuki Villa An. Meskipun Haikal kelihatan berlainan ketika pertemuan mereka tadi, namun dia yakin lambat-laun Haikal akan kembali seperti dulu.
Haikal yang lembut dan memahami. Haikal yang romantis dan sentiasa mengambil berat. Dia yakin tidak sukar untuk membuat Haikal kembali memberi perhatian padanya semula seperti suatu ketika dahulu.
Dengan kelembutan, kecantikan dan kebijaksanaan yang dia punya.. Tidak sukar menghalau Beel dari hidup Beel. Dia lebih segalanya dari Beel. Beel tidak ada walau satu sifat yang tidak boleh dia kalahkan.
Suraya ketawa kecil melangkah ke ruang depan.
“Su pergi mana?”
Suraya mengerut dahi mendengar suara yang menegurnya. Kemudian senyum dikuntum buat opah yang sedang duduk di sofa. “Opah..”
Puan Sri Normah melepas nafas. “Su pergi mana?”
Suraya senyum lagi. “Opah risaukan Su? Opah jangan risau, Su keluar jumpa Haikal..”
Puan Sri Normah terdiam. Jadi inilah penyebabnya? Sebab mengapa Beel kelihatan berlainan dari selalunya? Apakah yang dilakukan Suraya agaknya?
“Opah.. opah..”
Puan Sri Normah memandang Suraya. Tangan cucunya dipegang erat. “Su…”
“Ya?”
“Su masih berharap yang Haikal akan balik pada Su?”
Suraya menarik tangannya dari pegangan opah. Dan dia tersenyum sinis. “Mati-mati Su ingat opah risaukan Su. Rupa-rupanya opah risaukan budak manja tu. Kenapa? Dia ada mengadu dengan opah?”
Puan Sri Normah mengerut dahi melihat Suraya yang tiba-tiba berubah sikap. “Suraya”.
Suraya mencebik. “Opah dengar apa Su cakap. Selama ni, Su mengalah dengan cucu manja opah tu. Semua yang dia rampas dari Su, Su relakan. Tapi kali ni tak. Tak opah! Su takkan mengalah. Su takkan biar Haikal jadi milik Beel. Macam mana pun Su akan rampas Haikal Su balik!!”

#########

“Jom sarapan”.
Beel memandang Haikal yang tersenyum padanya. Hanya melihat hidangan sarapan yang kelihatan seperit makanan tengah hari. Nasi putih bersama ikan patin masak gulai tempoyak bersama sambal belacan tempoyak. Juga ada buah durian dan juga durian crepe sebagai pencuci mulut.
“Ni sarapan ke?” Beel menyoal tanpa riak wajah.
Haikal sengih. Dia benar-benar berharap Beel akan berlembut hati dan bersarapan bersamanya. Setidak-tidaknya dia boleh memujuk Beel kembali ke bilik mereka.
“Haikal..” kedengaran suara manja dari jauh memanggil nama Haikal.
Beel terkesima seketika. ‘Kak Su?’ Dan dia terus bangun berlari ke dapur. Mengintai apa yang berlaku di ruang makan.
“Cik Beel tak sarapan ke?” Nia yang sedang membasuh pinggan mengerut dahi memandang Beel di pintu dapur.
Beel menggeleng. Kemudian jari diletak pada bibir meminta Nia berdiam. Walaupun Nia tidak memahami, namun suaranya ditutup apabila mendengar suara Suraya di ruang makan.

##########

Haikal yang mahu mengejar Beel membatalkan niat bila Suraya muncul entah dari mana.
“Awak tengah sarapan ke?”
Haikal mengangguk. Kononnya dia mahu memujuk Beel, nampaknya lain yang berlaku. Dia mahu memandang Beel melahap nasi dengan seleranya tapi tidak kesampaian pula. Sudahlah dia masih belum dapat memakan kesemua itu dengan penuh selera. Hanya baunya yang boleh dia tahan, untuk memakannya masih tidak mungkin lagi. Kalau bukan kerana Beel, tidak mahu dia memandang kesemua makanan yang berasaskan durian itu.
Suraya memandang meja makan itu. “Macam lauk tengah hari kan?”
Haikal tersenyum. “Kenapa awak datang pagi-pagi ni?”
Suraya diam seketika. Sebenarnya selepas pergaduhannya dengan opah beberapa malam lalu, dia sudah bertekad akan membuktikan pada semua yang Haikal akan menjadi miliknya semula. Dan untuk itu, dia harus berusaha.
Haikal menanti apa yang mahu Suraya katakan. Dia tidak suka benar Suraya datang ke rumahnya tanpa dijemput. Apa pula kata orang nanti? Sudahlah mereka tidak punya ikatan.
Suraya yang memandang pintu dapur sekilas terperasan akan keberadaan Beel tersenyum. Kemudian pandangannya terarah pada Haikal. “Kita mula semua dari awal balik boleh?”
Haikal membulatkan mata. Terkejut dengan apa yang diperkatakan Suraya.
“Mula semua dari awal?”
Suraya mengangguk. Tangannya memaut pergelangan Haikal yang terletak di atas meja. “Boleh kan?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s