DILARANG NIKAHI AKU – 54

Beel melangkah masuk ke dalam dapur. Tidak mahu lagi mendengar apa yang dibualkan Haikal dan Suraya. Meskipun dia tidak dapat menangkap bulat-bulat apa yang mereka bualkan, tapi dia dapat memahaminya.
Nafas dilepas. Dia cuba mengukir senyum namun air mata tidak semena-mena tumpah dari kolam matanya. Beel mendengus sendiri. ‘Kenapa pula aku nangis? Sepatutnya aku happy. Tak lama lagi boleh balik rumah opah’.
Beel cuba mengukir senyum. Senyum yang menampakkan giginya. Dan dia bangun dan keluar dari dapur menggunakan laluan kedua. Nia yang berpura-pura mengelap meja memandang. Nampaknya dia harus melaporkan pada Puan.

#########

“Apa maksud awak dengan mula semua dari awal?”
Suraya memandang. “Kita.. Kita… Mula balik dari awal. Saya minta maaf sebab hilang masa hari perkahwinan kita. Saya betul-betul minta maaf..”
Haikal melepas nafas. “Sudahlah Su. Bukan salah awak. Siapa yang tahu akan jadi macam tu”.
“Awak tak marah saya?”
“Tak” Haikal menggeleng sambil tangannya cuba ditarik dari pegangan Suraya. Tidak selesa Suraya memaut tangannya begitu. Juga khuatir akan dilihat Beel.
Suraya menarik tangan Haikal semula. “Maksudnya kita boleh mula balik dari awal kan? Saya janji kali ni saya takkan hilang lagi. Kita mula balik.. Cari baju pengantin, pelamin, hantaran, kek, kad… Boleh kan?”
Haikal mengerut dahi. “Su.. Saya dah ada isteri”.
Suraya melepas nafas. Dia sudah dapat mengagak jawapan yang diberikan Beel. Dia sudah menyangka itu yang akan dijawab Haikal. “Awak tak boleh lepaskan dia ke?”
Tersedak Haikal meneguk air putih di dalam gelas. “Lepaskan?”
Suraya mengerut dahi. Namun hanya seketika. Sebolehnya rasa geram dan sakit hatinya disembunyikan. Apa yang penting dia mahu rancangannya berjalan lancar seterusnya berjaya.
“Su…”
“Awak memang tak rancang nak kahwin betul-betul dengan Beel kan?”
“Kahwin betul-betul? Awak ingat saya dengan Beel ni nikah olok-olok ke?”
“Bukan. Maksud saya..”
Haikal melepas nafas. Dia memandang Suraya dengan wajah serius. “Saya rasa buat masa ni kita tak yah cakap fasal ni. Kita biarkan dulu hal ni boleh tak?”
“Haikal!!”
Haikal menggeleng-geleng malas mahu melayan karenah Suraya. Dia langsung tidak menyangka begini sikap Suraya yang sebenar. Rupanya Suraya yang dia kenal sebelum ini hanyalah cengkerang luaran yang dipamerkan.
Suraya menggenggam penumbuk menahan geram. Sakit hati dan marah bercampur-baur di dalam diri. ‘Jaga kau Beel. Aku kerjakan kau nanti!”

#########

‘Salam Kak Putih. Kak Putih apa khabar? Beel tak sihat. Bila Kak Putih nak balik Malaysia? Boleh Kak Putih jaga Beel dan Fah macam dulu. Beel dan Fah rindu sangat dengan Kak Putih. Nanti Kak Putih dah selesai majlis konvokesyen, Kak Putih terus balik Malaysia tau. Opah dah sediakan tiket untuk Kak Putih kan? Cepatlah balik. Beel rindu.. Tak seronok tak de Kak Putih. Beel selalu kena buli. Baliklah Kak Putih…..’
Emel ringkas yang menyatakan rasa hatinya itu dihantar. Beel menutup notebook pemberian pak longnya. Dan dia berbaring di atas katil.
Setakat ini saja dia sudah letih. Bagaimanalah agaknya keadaannya menghadapi hari-hari mendatang? Dia kenal benar Kak Sunya. Kak Su tidak mudah mengalah, lebih-lebih lagilah dengan dirinya.

##########

Bunyi ketukan pintu membuatkan Syakir memandang pada pintu. Linda masuk dengan membawa beberapa buah fail di tangannya.
“En.Haikal” Linda memanggil.
Syakir melihat temannya itu. Sejak tiba di pejabat pagi tadi, dia hanya termenung dan merenung jauh. Entah apa yang dikhayal dan difikirkan pun dia tidak tahu.
Linda memandang Syakir bila panggilannya tidak dihiraukan Haikal.
“Kau ketuk je meja tu” Syakir menjawab pandangan Linda.
Linda menggeleng. Tidak mahulah dia mencari fasal. Siapa yang tidak kenal dengan perangai panas baran majikannya itu. Silap hari bulan dia boleh dibuang kerja kerana tidak beretika.
Syakir mengeluh. Dia yang duduk di ruang rehat bangun dan melangkah ke meja Haikal. “Hoi!”
Terkebil-kebil Haikal memandang wajah Syakir yang menyinga. Seterunya wajah Linda yang kelihatan tersenyum sedikit. Geram dengan tindakan Syakir, fail yang berada di atas meja dicapai dan digunakan untuk mengetuk kepala Syakir.
“Sakitlah bongok!”
“Kaulah bongok. Yang kau terjerit-jerit tu kenapa? Macam aku ni jauh sangat” Haikal menjeling.
Syakir menjongket kening memandang Linda. Linda tersenyum nipis. “Saya nak bagi fail ni. Semua pelanggan dah setuju dengan syarat yang kita tawarkan. Cuma tinggal tanda tangan je, lepas tu kita dah boleh hantar surat memohon keizinan dari pihak jabatan”.
Haikal mengambil fail yang dihulurkan Linda. “Awak boleh keluar dulu. Nanti saya panggil”.
“Baik En.Haikal”.
Haikal mengalih pandang pada Syakir yang sudah duduk di hadapannya. “Sejak bila kau masuk bilik aku ni?”
Syakir mencebik. “Dah sekat sejam aku kat bilik ni baru kau nak tanya?”
Haikal mengerut dahi memandang Syakir. Biar benar. Sudah hampir satu jam? Mengapa dia langsung tidak menyedarinya? “Penipu!”
“Tak nak percaya sudah. Kau berangan apa? Aku tengok dari tadi laptop kau tak hidup. Maksudnya sejak sampai tadi kau dah berangan kan?”
Haikal memandang laptopnya sekilas. Dan kembali memandang Syakir. Nafas dilepas melepaskan rasa lelah di hati. “Su dah balik. Dia nak kita orang mula balik semuanya dari awal”.

##########

Langkahnya terhenti melihat wajah yang tersenyum memandangnya. Dia yang tadinya semangat mahu makan tengah hari di kantin kini sudah tiada semangat. Kerana selalunya wajah yang berada di hadapannya kini pasti menjadi pengacau dan ‘pemati selera’.
“Hai…”
“Waalaikumussalam”.
Syakir sengih memandang Fah. “Nak pergi kantin kan? Jom”.
Fah melepas nafas, melepaskan keluhan kecil. Entah mengapa kadang dia senang dengan Syakir, tapi terkadang rasa rimas pula. “Awak nak apa?”
Syakir melangkah lebih laju supaya berada bersebelahan dengan Fah tapi nampaknya Fah sengaja tidak mahu bersebelahan Syakir. Bila Syakir melangkah laju, dia melangkah perlahan. Tapi bila dia melangkah perlahan, Fah melajukan langkahnya pula.
Fah mencapai pinggan dan mencedok bihun goreng yang tersedia. Seterusnya membuat pesanan minuman dan membayar harga. Dan dia mengambil tempat di meja kosong yang tiada orang.
Syakir mengejar dan mengambil tempat di hadapan Fah. “Penat saya kejar awak. Awak tak de nak lari dah kan?”
Fah mengangkat wajah. Tanpa sedar, dia tersenyum seketika. Syakir ketawa kecil. “Comel awak senyum”. Dan riak wajah Fah kembali tidak beriak seperti sediakala.
Suasana diam seketika. Fah menikmati keindahan rasa bihun gorengnya sedang Syakir pening menyusun ayat yang harus dikeluarkan. Bagaimana harus dia memberi soalan?
Fah mendongak memandang Syakir sekilas. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu sebenarnya? Terkumat-kamit tapi tidak mengeluarkan suara apa-apa. “Dah kenapa?”
“Beel ok?”
Fah mengerut dahi. “Beel?”
Syakir mengangguk. “Dia tak ok kan?”
Fah diam sebentar. Dia kembali mengingati pertemuan dengan Beel yang terakhir setakat ini, dua hari lalu. Memang dia berkelakuan tidak ok, tapi apa kaitannya dengan Syakir? Mengapa pula dia menyoal dan bagaimana dia tahu?
“Awak tak tahu ke yang Su dah balik?”
Tersedak Fah mendengar kata-kata Syakir. “Su? Kak Su ke?”
Syakir mengangguk. Fah termenung sendiri. Kak Su sudah kembali? Jadi… Dia mula mengerti. Dia mula memahami.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s