DILARANG NIKAHI AKU – 55

“Papa balik ke?”
Nia mengangguk menjawab soalan Beel. Beel menguntum senyum. Sejadah dan telekungnya segera dilipat dan disangkut di dalam almari. Langkahnya berlari anak menuju ke ruang depan.
Nia menggeleng sendiri. Terhibur dengan keletah comel Beel. Agaknya terlalu merindukan bapa mertuanya.

########

“Papa!!!”
Hazan ketawa bila Beel tiba-tiba menerpa dan memeluknya. Kepala menantu tunggal kesayangan diucap penuh kasih.
“Beel rindu” Beel sengih memandang papanya.
Hazan mengangguk. “Yelah tu. Papa lagilah rindukan menantu papa yang mulut becok ni”.
Beel ketawa kecil. Hakikatnya, dia merindukan papa ada tujuan di sebaliknya. Dengan keberadaan papa di rumah, mudahlah dia mahu memohon cerai untuk dilepaskan Haikal.
“Beel..” Hazan memanggil. Merasakan menantunya itu berkhayal.
Beel hanya menguntum senyum. “Jom masuk.” Beel mengambil briefcase di tangan Hazan dan menyerahkannya pada Nia yang setia menanti.
Hazan tersenyum mengikut langkah Beel menuju ke ruang rehat. Banyak yang mahu dibualkan dengan Beel. Terutama sekali soal hubungan Beel dan Haikal seperti yang telah diceritakan Humaira’ padanya.

#########

“Assalamualaikum”.
“Waalaimussalam”.
Membulat mata Fah melihat wajah yang menyambutnya di pintu masuk utama Villa An. Kemudian wajah itu tersenyum memandangnya. “Fah, masuklah”.
Fah mengangguk. Wajah Suraya yang masih berada di pintu hanya dipandang. Langsung tidak menyangka bakal menemui Suraya.
Suraya menguntum senyum tawarnya. “Fah datang cari siapa?”
“Fah dah janji dengan opah”.
Suraya mengangguk. “Opah ada kat bilik. Naiklah”. Suraya melangkah mahu meninggalkan Fah. Lagi pula, Fah sudah biasa dengan keadaan dan suasana Villa An.
Fah memandang. “Kak Su!” jerit Fah.
Suraya menoleh memandang Fah. Wajah bersahaja menanti kata-kata dari sahabat baik adik sepupunya itu. Fah terdiam. Dia ada banyak yang mahu ditanya dan disoal, tapi entah mengapa dia membisu pula.
“Nak cakap apa?” Suraya menyoal. Tidak suka namanya dipanggil tanpa tujuan.
“Kak Su…”
“Kau dah kenapa? Kau takut aku balik nak ambil laki kawan baik kau ke?” Suraya melipat tangan memandang Fah.
Fah menelan liur. Sudah dia tahu sememangnya dari dulu Suraya tidak sukakannya. Iyalah, sepertinya segalanya tentang Beel dibenci Suraya.
“Betul lah tu kan?” Suraya senyum sinis.
Fah memandang kosong. Tiba-tiba terasa sakit hati pula dengan kata-kata Suraya. Suka sangat memperlekehkan Beel seolah-olah Beel langsung tiada kelebihan. Kalau ikutkan rasa sakit hatinya, mahu saja dia mengatakan bahawa Beel pun langsung tiada keinginan untuk menikahi Haikal.
Suraya ketawa sendiri. “Kau jangan risau Fah. Aku takkan ambil apa orang punya. Aku akan pastikan Haikal ceraikan Beel, baru aku ambil Haikal aku balik. Lepas tu…” Suraya diam sebentar. Kemudian dia menyambung, “Lepas tu bolehlah Wan ambil Beel balik. Abang kau minat Beel,kan?”
Fah bertambah terdiam sekaligus terkejut. Bagaimana Suraya tahu mengenai perasaan abangnya pada Beel? Jangan-jangan Suraya sudah dapat mengesannya sejak dahulu?
Suraya menggeleng-geleng suka hati. Gembira dia melihat wajah Fah yang kebingungan. Baginya, sekalipun Fah kelihatan seperti gadis yang baik. Sentiasa memakai kain dan tudung, bersopan-santun seperti gadis Melayu terkahir.. gadis itu tetap tidak disukai. Alasannya mudah, dia teman rapat Beel.

#########

“Papa tak izinkan”.
“Papa…”
Hazan melepas nafasnya. Sudu diletakkan di dalam pinggan dan tangan dibiarkan berada di atas meja. Beel mengikut rentak Hazan. Tapi dia bersandar pada kerusi.
“Beel.. Papa dah agak ada benda tak kena sebenarnya. Tapi kenapa Beel sampai nak minta cerai ni?”
Beel diam menunduk memandang nasi putihnya yang sudah tinggal separuh. Tangan yang sedia digunakan untuk menyuap ke dalam mulut kembali menguis nasinya. Dan mengumpul untuk disuap ke mulutnya.
“Nabilah…” Hazan memanggil. Dia mahukan jawapan.
“Papa.. Beel bukan orang yang sesuai untuk anak papa. Beel nak hidup Beel balik. Beel nak jadi macam dulu. Beel nak hidup Beel yang dulu. Bebas, boleh pergi mana Beel nak. Beel tak nak hidup macam ni” Beel memandang wajah Hazan serius. Melepaskan semua rasa di hati melalui kata-katanya.
“Kenapa baru sekarang? Kenapa dari sebelum ni Beel tak cakap macam tu?” Hazan menjongket keningnya.
Beel terdiam. Dia juga memikirkan perkara sama? Mengapa dia tidak menyuarakan semua itu sebelum ini? Mengapa baru sekarang? Mengapa dia bertahan untuk bersama Haikal selama ini?
“Sebab Su dah balik,kan?”
Beel mengangkat wajah memandang papanya. “Papa dah tahu ke?”
Hazan melepas nafas. Menyedari Haikal sudah pulang dan mencuri dengan perbualan mereka. “Haikal dengan Beel tak boleh bercerai. Ingat lagi kan apa wasiat atuk?”
“Ingat” ucap Beel perlahan. Siapa yang tidak ingat? Haikal yang mewarisi harta sebanyaknya kerana berjaya mengikut permintaan atuknya dengan mengahwini cucu perempuan Puan Sri Normah. Dan semua urusan pindah milik termasuklah pertukaran nama dan segala-gala dokumen yang serabut itu hanya boleh diserahkan pada Haikal setelah lima tahun berlalu dan dia masih bersama isterinya.
Jika bercerai, segala wasiat itu akan terbatal serta-merta dan diserahkan pada badan kebajikan. Masalahnya, ia akan menyusahkan semua pihak yang terlibat dan berusaha keras menguruskan wasiat atuk. Terutamanya En.Fahad, peguam keluarga mereka.
Beel melepas nafas. Nampaknya atuk memang telah menyiapkan perancangan rapi agar perkahwinan yang dirancang ini tidak mengalami kegagalan. Mungkin dalam tempoh 5 tahun, segala kefahaman akan dicapai menurut atuk. Tapi siapa yang tahu apa akan terjadi pada masa depan?
“Dengar sini sayang. Papa tak izinkan Beel dengan Haikal bercerai walau apa pun berlaku. Sekalipun Suraya dah balik, Beel dah sah jadi isteri Haikal di sisi syari’at dan undang-undang. Sepatutnya Suraya kena berundur dan lupakan hal lama” serius suara Hazan.
“Tapi papa.. Kalau abang Haikal kahwin dengan Kak Su, dia lagi bahagia. Dia orang sayang sama sayang,kan?”
“Menantu papa cuma Nabilah Anisah. Bukan orang lain!” Hazan meninggi suaranya. Dia bangun dari meja makan dan memandang ke ruang depan. “Haikal dengar tak apa papa cakap ni?”
Dan Hazan terus melangkah keluar dari ruang makan. Beel mengerut dahi. Maksud papa? Adakah Haikal mencuri dengar perbualan mereka?

########

Haikal melangkah masuk ke dalam ruang makan. Wajahnya sayu memandang wajah Beel. Beel mengangkat wajah dan memandang Haikal sekilas. Kemudian meneruskan suapannya tanpa mempedulikan lelaki itu.
“Kenapa awak cakap dengan papa macam tu?”
Beel memandang Haikal yang sudah mengambil tempat di hadapannya. “Cakap apa?”
“Awak memang nak bercerai ke?”
Beel mengangguk laju. “Saya budak lagi. Saya tak sepatutnya ada kat sini. Saya nak hidup macam budak, pergi belajar. Bukan duduk rumah tunggu suami”.
Haikal menunduk. Entah mengapa hati terasa pedih mendengar kata-kata Beel. “Cerai… Cerai…. Cerai….”
Beel buat-buat tidak tahu dengan sikap Haikal. Dia dapat mengagak sekejap saja lagi Haikal akan meninggi suara. Dia sudah masak dengan perangai panas baran Haikal.
“Dari dulu yang awak fikir cuma cerai je ke? Sejak hari pertama kita nikah, yang awak sebut tiap hari, cuma pisah cerai. Pisah cerai. Awak memang tak ada niat nak buat pernikahan ni bertahan lama ke?” Haikal akhirnya meninggi suara. Melepaskan geram dengan perangai Beel yang baginya langsung tidak matang.
“Memang! Memang saya cuma fikir cerai. Sebab saya berpijak pada bumi nyata. Awak tu bakal suami Kak Su! Bakal suami kakak saya. Kan salah bila saya yang kahwin dengan awak?” Beel melawan.
“Benda dah jadi. Kita dah nikah. Siapa yang tak berpijak pada bumi nyata sebenarnya? Awak ke saya?”
Beel menahan geram. Air basuh tangan di atas meja dicapai dan disiram pada Haikal hingga lelaki itu basah separuh tubuh. Nafasnya naik turun menahan marah.
“Kalau awak tak nak cerai, saya nak sebab. Sebab munasabah. Lagi satu, kalau kita tak cerai, awak nak letak Kak Su kat mana? Takkan awak nak madukan kita orang?”
Beel membulatkan mata memandang Haikal. Tubuh lelaki itu ditolak dan dia berlari memasuki biliknya. Pintu bilik dikunci bagi memastikan tiada siapa mengganggunya.
Haikal terduduk. Otak masih ligat berfikir. Sebab munasabah dia tidak mahu menceraikan Beel? Juga.. Jika dia tidak menceraikan Beel, apa terjadi pada Suraya? Mungkinkah dia akan mengahwini Suraya sedangkan dia sudah menjadi suami Beel?
“En.Haikal…” Nia melangkah ke arahnya. Menghulurkan tuala kecil berwarna putih.
Nia bergegas keluar dari bilik bila mendengar suara Beel dan Haikal bergaduh. Tapi apa yang terjadi membuatkan dia tidak melangkah ke ruang makan. Hanya melihat dari dapur. Bimbang dia akan membuatkan keadaan lebih keruh dan bertambah serabut.
Haikal mengelap rambutnya menggunakan tuala yang diberi Nia. “Kak Nia…”
“Ya En.Haikal?”
Haikal mengangkat wajah memandang Nia. “Walau apa pun yang terjadi, saya takkan ceraikan Beel. Kak Nia nak tahu sebab apa?”
“Sebab apa?”
“Sebab…. Sebab… Sebab saya sayang dia”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s