DILARANG NIKAHI AKU – 56

Langkahnya diatur perlahan ke meja makan. Tempat duduk diambil dan selamba dia mencedok mee kuning goreng yang disediakan Nia di atas meja.
Garfu dicapai dan dia mula menyuap ke dalam mulut. Sebolehnya cuba untuk buat tidak tahu dengan makhluk bernama Haikal di hadapannya. Yang dia tahu, dia mahu makan sarapan.
Haikal mencuri pandang ke arah Beel. Tinggal mereka berdua lagi. Seawal jam 5.00 pagi tadi, papa menerima panggilan kecemasan dari Kuwait dan dia harus pulang segera. Dan papa sudah berpesan, saat dia pulang ke Malaysia semula… dia mahu Haikal dan Beel sudah berbaik semula.
“Fasal semalam…” Haikal menyusun ayat, mula berkata-kata.
Beel masih lagi meneruskan suapan. Tidak mahu mempedulikan kata-kata Haikal. Baginya, antara mereka berdua sudah tiada sebarang kemungkinan. Jadi lebih baik dia mengasingkan diri dari Haikal sekarang dari bersedih di kemudian hari.
“Saya minta maaf. Minta maaf sangat-sangat. Saya tahu saya…” kata-kata Haikal terhenti bila nada dering telefon bimbitnya kedengaran.
Beel diam. Mee goreng di pinggannya sudah licin. Dia kini menanti apa yang mahu Haikal ucapkan.
Haikal mematikan panggilan dari Suraya. Dan telefon bimbitnya diletakkan di atas meja, tepat pada pandangan Beel. Dia mahu Beel tahu Beel lebih penting dari Suraya baginya.
“Saya minta ma…”
Dan telefonnya berbunyi lagi. Beel melepas nafas. Dapat dia lihat dengan jelas nama ‘Su pak cik Zamri’ tertulis pada nama pemanggil.
Haikal cuba untuk meneruskan kata-kata tapi bunyinya benar-benar mengganggu. Juga membuatkan dia letih untuk bercakap dan Beel hilang mood untuk mendengar.
Beel memandang telefon bimbit Haikal yang asyik menjerit. Akhirnya, bila panggilan dari Su keluar, dia menekan butang hijau dan menyerahkannya pada Haikal.
Haikal mengerut dahi. “Awak nak suruh saya jawab?”
Beel mengangguk. “Awak jawablah dulu. Tak baik buat Kak Su risau”.
Haikal diam seketika. Kemudian telefon bimbitnya diambil dari huluran Beel. “Ya, Su?”
“Awak kat mana ni?”
“Rumah”.
“Belum keluar rumah lagi?”
“Ada apa?”
“Haikal…. Awak lupa ke, hari ni kita nak pergi tengok baju pengantin. Kan?”
Haikal mendiamkan diri. Wajah Beel yang melayan dunianya sendiri dipandang. Mengapa semuanya jadi begini? Dia sepatutnya menolak semua rancangan gila Suraya dan mengatakan isterinya hanyalah Beel seorang. Tiada ganti. Namun mengapa kata-kata itu terlalu sukar untuk dikeluarkan?
“Haikal….”
“Nanti saya datang” dan butang merah ditekan bagi mematikan talian. Kemudian telefon bimbitnya dimatikan supaya dia mahupun Beel tidak terganggu.
Beel memandang Haikal. “Awak nak jumpa Kak Su,kan? Pergilah”. Beel bangun berdiri mahu meninggalkan meja makan.
Tangannya automatik menarik tangan Beel. Mematikan langkah isterinya itu. “Saya ada benda nak cakap…”
Beel menarik tangannya dari pegangan Haikal. Dan dia kembali mengambil tempat. Mata memandang tepat ke arah Haikal.
Suasana diam dan berterusan begitu buat beberapa ketika. Haikal menarik nafas sedalam mungkin dan mula berkata-kata. “Saya minta maaf fasal semalam. Saya tak sepatutnya marah awak macam tu. Saya tahu awak orang yang paling terganggu dengan kepulangan Suraya. Sepatutnya…”
“Kejap” Beel memotong kata-kata Haikal.
Haikal mengangkat wajah memandang Beel. Beel menunjuk tangannya pada Haikal tanda ‘Berhenti’. Beel mengerutkan dahi. “Awak fikir saya nak pisah ni, ada kaitan dengan Kak Su ke? Saya tak rasa terganggu langsung dengan kepulangan Kak Su. Saya gembira adalah. Sebab dia boleh ambil balik status isteri Haikal Hadzim yang dia nak sangat ni. Saya minta pisah sebab saya memang nak pisah. Bukan sebab Kak Su dah balik, saya nak pisah”.
Haikal memandang Beel. Iya, dia baru teringat pesanan opah ketika ‘menyerahkan’ Beel padanya. Orangnya sukar difahami kerana kata di mulut tidak seiring dengan kata hati. Tapi jika kita benar-benar sudah memahami, kita akan mengenali Beel lebih dari dia mengenal diri sendiri.
Beel bangun dari duduknya. Geram benar dia mendengar kata-kata Haikal. Seolah-olah semuanya merupakan kesalahan Kak Su. Ya, dia memang selalu bergaduh dan bertikam lidah dengan Kak Su. Tapi itu tidak bererti dia membenci kakak sepupunya itu.
Bagaimana dia boleh bencikan satu-satunya darah daging yang dia punya? Hanya Kak Su satu-satunya adik-beradik buatnya. Dia anak tunggal, Kak Su juga anak tunggal. Dan opah hanya punya dua orang anak.
“Dah lah tu, awak pergilah tengok Kak Su. Saya tak jadi penghalang lepas jadi perampas. Kalau awak tak de masa nak ambil borang cerai, nanti saya boleh ambil sendiri”.
“Nak pergi dengan siapa? Dengan Wan?”
Langkah Beel terhenti mendengar kata-kata Haikal. Dahinya berkerut memandang Haikal. Haikal menoleh pandang ke arah Beel. Dia bangun dan mendekati Beel.
“Kalau awak pergi dengan Wan, saya tak izinkan!”
Beel menelan liur. “Apa masalah awak ni? Kalau saya pergi dengan abang Wan pun kenapa?”
“Saya tak izinkan. Kalau awak terdesak sangat nak bercerai dengan saya, saya ambil sendiri borang tu. Selagi awak masih sah jadi isteri saya, saya haramkan awak keluar berdua dengan Wan. Awak dengar tak? Haram!!” Dan Haikal langsung berlalu pergi.
Beel melepas nafas. Bibirnya diketap menahan geram. Lama dia termenung, dan bibir mengukirkan senyum. ‘Macamlah selama ni aku selalu keluar berdua dengan abang Wan. Selalunya Fah mesti ada sekali. So, ada apa hal kalau haram keluar berdua. Bertiga tak haram’.

#########

“Macam mana dengan baju ni?” Suraya tersenyum sambil mempergayakan baju yang dicubanya pada Haikal.
Haikal mengangguk tanpa memandang. Suraya mengerutkan dahi. “Haikal. Awak tak tengok pun, kenapa awak angguk?”
Haikal seperti baru tersedar dari lamunannya. Wajahnya diangkat memandang Suraya. Melihat Suraya yang memakai baju pengantin berwarna putih kelabu. “Ok juga. Kalau awak suka, saya ok je”.
Suraya mengangguk. Dia memandang pembantu butik yang setia membantu. “Awak pergi tempat lain dulu. Saya ada benda nak bincang”.
Pembantu butik itu mengukir senyum. Dan dia meninggalkan mereka berdua di bilik persalinan. Suraya melangkah ke arah Haikal dan memaut lengannya. “Kenapa ni? Awak ada masalah ke?”
Haikal memandang Suraya dan menggeleng. Tangannya ditarik dari pegangan Suraya. Tidak selesa disentuh Suraya, tidak seperti dulu. Dia masih memikirkan pergaduhannya dengan Beel pagi tadi. Terasa sangat menyesal kerana mengeluarkan larangan sebegitu. Sedangkan dia sendiri tahu Safwan hanya bertepuk sebelah tangan.
“Haikal..”
Haikal melepas nafas. “Hari ni setakat ni je. Saya penatlah. Lagi pun saya ada kerja kat office. Saya hantar awak balik Villa An sekarang”.
Suraya terkebil-kebil memandang Haikal. Jam tangan dilihat. Baru pukul 12.00 tengah hari sudah mahu pulang. Dia mengetap bibir menahan geram. Dia perlu mengikut rentak Haikal untuk memiliki lelaki itu. Jika tidak, segalan rancangannya akan menjadi sia-sia.

#########

“Fah….”
“Kenapa ni? Aku tak suka betul kalau kau panggil aku macam tu” Fah membebel sambil menyusun buku-bukunya di dalam beg.
“Jom keluar”.
“Pergi mana? Aku dekat U lagi ni”.
Beel membaringkan diri sambil telefon bimbit terletak kemas di telinga kirinya. “Bukan keluar hari ni. Maksud aku, kita pergi jauh. Pergi Kedah ke, Perlis ke, Johor ke…”
Fah duduk kembali di perpustakaan itu. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Beel. Jangan-jangan ia berkaitan dengan Suraya? “Kenapa kau ni? Bergaduh dengan Haikal ke?”
“Jomlah. Kita pergi bertiga. Abang Wan free kan esok? Kita pergi sebulan ke…”
“Beel, kau ok tak?”
“Jomlah” Beel mula merengek di talian.
Fah melepas nafas. “Yelah. Kita pergi. Memang abang Wan ada urusan kat Kedah esok. Kita pergi. Nanti aku cakap dengan abang Wan”.
“Kalau macam tu, malam ni aku tidur rumah kau boleh?” Beel terus duduk dari berbaring.
“Beel..”
“Boleh kan? Esok kita boleh keluar lepas Subuh. Kan?”
Fah melepas nafas. Dia mahu bertanya apa yang tidak kena dengan Beel sebenarnya. Namun dia sangat mengenali sikap Beel. Selagi dia belum berjanji, selagi itulah Beel akan mendesak.
“Kau dah cakap dengan abang Haikal ke?”
“Kau datang ambil aku sekarang”.
Fah mengerut dahi. “Kau dah cakap dengan abang Haikal ke? Dia suami kau”.
“Kau datang ambil aku sekarang boleh? Aku tunggu”.
“Beel.. Dah cakap dengan abang Haikal belum?”
“Dia pergi tengok baju pengantin dengan Kak Su”.
Fah terdiam mendengar kata-kata Beel. Matanya terpejam seketika. Menyesal mengajukan soalan yang sama berulang kali. Patutlah Beel cuba mengelak dari tadi.
“Kau boleh datang sekarang kan?”
“Boleh. Aku datang sekarang”. Fah bergegas keluar dari perpustakaan dan menuju ke tempat meletak kenderaan. Dia mahu segera sampai di rumah Haikal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s