DILARANG NIKAHI AKU – 57

Brek kaki ditekan dan gear diletak pada ‘Parking’. Brek tangan ditarik dan kereta berhenti tepat di hadapan pintu masuk.
Suraya tersenyum memandang Haikal. “Esok awak datang ambil saya tak? Atau kita pergi asing-asing”.
“Tengoklah macam mana”.
Suraya mengangguk. “Saya turun dulu”.
Haikal mendiamkan diri. Suraya turun dari kereta dan melambai pada Haikal yang memandu kereta pergi. Hati terasa sakit dengan layanan Haikal padanya. Tapi dia masih punya masa. Sedikit saja lagi..
“Su pergi mana dengan Haikal?”
Suraya menoleh ke belakang. Wajah papa yang menahan kemarahan dipandang. “Papa”.
“Papa tanya mana Su pergi dengan Haikal?”
“Pergi tengok baju pengantin”.
Zamri mengerut dahi. “Kerja gila apa ni?” Suaranya meninggi.
Suraya memejam matanya. Malas mahu mendengar papanya marah-marah. Zamri memandang Suraya. “Su sedar tak apa Su buat ni?”
“Sedar” Suraya menjawab selamba.
“Su ajak Haikal tengok baju pengantin. Kenapa?”
“Papa, Haikal kan bakal suami Su. Mestilah Su ajak dia” Suraya mengangkat wajah, memberanikan diri bertentang mata dengan papanya.
“Itu dulu. Sekarang dia suami adik Su.Su nak buat apa ni? Nak hancurkan rumah tangga Beel ke?”
“Memang. Memang itu dulu. Dan sekarang, sampai akan datang. Haikal milik Su. Kalau Beel boleh rampas dia dari Su, kenapa Su tak boleh rampas dia balik dari Beel?”
Zamri menggenggam penumbuknya. Menahan marah terhadap anak perempuannya sendiri. Sepertinya dia sudah tidak mengenali puterinya sendiri. Ke mana perginya Suraya yang sentiasa berlemah-lembut dan bersopan santun dahulu?
Suraya menjeling. “Untuk pengetahuan papa, dia bukan adik Su. Cuma adik sepupu je. Bukan adik kandung. Buat apa Su nak jaga sangat hati dia?” Dan dia berlalu masuk ke dalam. Melewati opahnya yang sedari tadi mendengar perbualan mereka.
Zamri melepas nafas. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Langkahnya terhenti bila melihat wajah Puan Sri Normah. “Ibu..”
Puan Sri Normah memandang Zamri. Bagai tidak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Suraya. Dan kerana terlalu marah, matanya mula berpinar. Puan Sri Normah rebah di situ.
“Ibu!!”

#########

Beel menyorokkan bagasinya di bawah katil bila mendengar bunyi pintu bilik diketuk. Dia membetulkan rambut dan wajah diperkemas. Dan pintu bilik dibuka dengan senyuman.
Wajah Haikal yang dilihat membuatkan senyumannya hilang. “Nak apa?” Beel langsung menyoal. Tidak lagi membuka pintu tapi dia terus keluar dan menutup pintu bilik.
Haikal sedikit sangsi dengan gerak-geri Beel. Sepertinya ada sesuatu yang disembunyikan gadis itu di dalam bilik. “Tengah buat apa?”
“Baca buku”.
Haikal mengangguk. Dia baru pulang dari pejabat. Entah mengapa, perasaannya memaksa dia pulang segera. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku jika dia tidak pulang ke rumah secepatnya.
Beel berlari masuk ke dalam bilik bila mendengar bunyi telefon bimbitnya. Telefon bimbit pemberian Haikal itu diambil dan panggilan Fah dijawab.
Haikal melangkah masuk ke dalam. Mahu melihat apa yang disembunyikan Beel. Tapi dia tidak menemui apa-apa yang luar biasa. Semuanya normal.
“Ok. Aku keluar” Beel menekan butang merah. Sedikit terkejut Haikal berada di belakangnya. Mujurlah bagasinya telah disorokkan. Jika tidak, pasti mereka akan bergaduh lagi dan lagi.
“Siapa?”
“Fah. Dia datang” Beel menjawab soalan Haikal dan melangkah keluar. Haikal mengikut dari belakang. Melangkah menuju ke ruang depan.
“Fah” Beel memanggil.
Fah tersenyum memandang Beel yang melangkah ke arahnya. Namun dahi berkerut selepas beberapa ketika. Mana beg pakaian temannya itu? Katanya mahu tidur di rumah malam ini.
Beel memeluk Fah sambil berbisik. “Haikal tak tahu aku nak keluar. Nanti aku ambil beg baju”.
Fah kaku beku. Tidak tahu? Maksudnya, Beel mahu lari dari suaminya? Dan apakah dia membantu Beel membuatkan dia turut ikut dengan rencana Beel mahu lari dari Haikal.
“Hai, Fah” Haikal menegur.
Fah menunduk. “Abang Haikal sihat?”
“Sihat. Lama tak jumpa kan. Fah macam mana sekarang?”
Fah senyum manis. “Hari tu dah exam. Tengah tunggu result”.
Haikal mengangguk memahami. “Wan sihat?”
“Abang sihat. Dia sibuk sikit sekarang. Banyak projek baru masuk”.
Beel membeku di sisi Fah sepanjang perbualan singkat itu. Dia tidak selesa dan tidak suka Haikal berada bersamanya seperti itu. “Awak pergilah masuk”.
Haikal memandang. “Kalau saya nak dengar sekali tak boleh?”
“Hal orang perempuan lah. Jom” Beel menarik tangan Fah, mahu berbual di tepi kolam.
Bunyi telefon bimbit berdering membuatkan langkah mereka berdua terhenti. Haikal mengambil telefon bimbitnya di dalam poket seluar. Nama yang tertera di skrin membuatkan dia mengerut dahi.
“Assalamualaikum, pak cik”.
“Waalaikumussalam. Haikal, boleh datang Villa An sekarang? Cakap dengan Beel, opah pengsan”.
“Ok” Haikal mematikan panggilan dan memandang Beel di hadapannya. Beel menjeling dan menarik tangan Fah, mahu meninggalkan Haikal.
“Beel, pak cik Zamri kata opah pengsan”.
Langkah Beel terhenti. Langsung menoleh memandang Haikal. “Apa awak cakap?”
“Opah pengsan”.
Beel terdiam. Fah di sisi memegang tangan sahabatnya itu. Nafas Beel turun naik secara automatik. Bagaimana dengan opah kecintaannya?
“Beel..” Haikal memanggil.
Beel memandang Fah. “Fah, bawa aku balik sekarang. Aku nak balik sekarang”.
Fah memandang Haikal. Bukankah lebih baik Haikal yang membawa Beel ke Villa An? Jika mereka ke sana berasingan, pasti akan menimbulkan tanda tanya.
“Kau dengar tak?” Beel menarik tangan Fah.
Haikal melepas nafas. “Saya bawa”.
Beel memekakkan telinga. Sebolehnya dia tidak mahu ditinggal berdua dengan Haikal. Tangan menarik tangan Fah, memujuk.
Fah senyum nipis. “Kau pergi dengan abang Haikal. Aku follow dari belakang je. Kalau Mak Jah dengan Kak Irah nampak kau orang datang asing-asing, nak jawab apa kalau kena tanya?”
Beel terdiam. Namun kata-kata Fah benar. Jika hal itu sampai ke pengetahuan opah, mahu setahun pun masih belum selesai soal siasatnya.
“Jom” Haikal mendekati dan menarik tangan Beel. Fah mengikut dari belakang. Menuju ke arah garaj kereta.

##########

Haikal mencuri pandang ke arah Beel sekali-sekala. Namun gadis itu terlalu gelisah membuatkan dia tidak menyedarinya.
“Beel..”
Beel melepas nafas. Telinga tidak dapat menangkap panggilan Haikal. Bagaimana boleh jadi begini? Sejak dari kecil, dia sentiasa tahu opah adalah orang yang sihat. Sejak dari kecil, opahnya jarang sakit. Bagaimana pula opah boleh jatuh pengsan secara tiba-tiba?
Bagaimana opah boleh pengsan? Apa yang menyebabkannya? Apa pula kata doktor? Mengapa pak long tidak menghubunginya?
“Beel…” Haikal memanggil lagi. Risau pula dia bila Beel diam sebegitu rupa.
Beel meraba poket seluar. Baru teringat telefon bimbitnya tertinggal di bilik. Barangkali pak long ada menelefon, namun kerana tiada jawapan.. pak long menelefon Haikal.
Haikal menggenggam jemari Beel bila gadis itu mula tidak senang duduk. Beel memandang Haikal. Haikal menguntum senyum. “Awak ok?”
Beel mengangguk. Pandangannya sebak memandang Haikal. “Tapi.. Macam mana kalau jadi apa-apa kat opah? Macam mana kalau opah sakit? Macam mana kalau opah koma? Apa saya nak buat? Apa saya nak buat? Macam mana dengan saya kalau opah tak de? Macam mana saya nak hidup? Opah, opah…”
“Shhh…” Haikal memujuk. Dan dia menyambung lagi, “Awak jangan risau. Insya-Allah opah tak apa-apa. Jangan fikir bukan-bukan”.
Beel memejam mata, cuba melepaskan rasa risau yang bersarang namun tak berjaya. Kerana ketakutan dan kerisauan yang bersatu dalam diri, dia tidak sedar jari-jemarinya erat membalas genggaman tangan Haikal.

###########

“Saya dah bagi puan sri ubat tidur supaya dia boleh berehat. Dan buat masa ni, saya nasihatkan jangan ganggu emosi puan sri. Kalau tak, keadaan akan jadi lebih teruk”.
“Baik, doktor”.
“Kalau ada apa-apa masalah, boleh hubungi saya semula”.
Zamri tersenyum dan mengangguk. Memandang Irah yang setia berdiri di pintu bilik. “Irah, tolong hantarkan doktor ke pintu. Pak Lan dah tunggu kat luar tu”.
Irah mengangguk dan mempersilakan doktor wanita bertudung itu. Langkahnya sopan membuntuti Irah keluar dari bilik.
Zamri melepas nafas. Memandang Suraya yang duduk di atas katil, bersebelahan ibunya. “Lain kali nak bertindak tu fikir dulu. Su tak sayang opah ke?”
Suraya terdiam. Mengakui ianya memang salah dia sendiri. “Su minta maaf”.
Zamri menggeleng-geleng. Suraya memandang pintu bilik bila mendengar bunyi tapak kaki. Beel melangkah masuk perlahan dan terus menuju ke arah opahnya. “Opah…”
Zamri memaut bahu Beel yang sudah terduduk di sisi katil. “Doktor kata opah cuma terlalu penat. Kena banyak rehat, kena banyak relax. Tak de apa-apa…”
Beel menahan air mata yang mula mengalir. Namun akhirnya air mata itu jatuh berderaian bagai kanak-kanak yang tidak malu dirinya diperhatikan. “Opah… Pak long, bila opah boleh sedar?”
“Opah tengah tidur. Doktor kata mungkin esok, sedarlah”.
Beel mengangguk. Air matanya dikesat. Fah yang baru masuk mendekati Beel. “Beel..”
Zamri tersenyum memandang Fah. “Oklah. Pak long tinggalkan Fah dengan Beel dalam bilik ni.”
Beel mengangguk. Kemudian, dia mengajak Sakinah dan Suraya meninggalkan bilik itu. Suraya memandang Haikal yang tidak melepaskan pandangannya dari Beel. Sedikit rasa sakit hati timbul dan mula membuak. Kalau tidak mengenangkan opah yang sakit, mahu saja dia mengusir Beel segera.
Haikal buat tidak tahu dengan pandangan Suraya yang seperti mahu menelannya. Baginya saat ini yang paling penting adalah emosi Beel dan opah yang tidak kenapa-apa.
“Dah lah tu. Jangan nangis. Kan pak long dah cakap opah tengah tidur” Fah memujuk Beel yang masih teresak-esak.
Haikal mendekati Fah. Fah memandang Haikal dengan jongketan mata. Haikal mengangguk dan memberi senyuman. Fah kemudiannya memandang Beel semula. “Aku ambil air untuk kau. Jangan nangis dah..”
Beel tersenyum melepaskan Fah. Tangannya memaut lengan opah yang terbaring. Tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya jika opah tiada.
“Beel…”
Beel memandang ke arah dari datangnya suara itu. Melihat wajah Haikal dengan riak hambar. Sungguh, dia sangat sedih saat ini.
“Awak ok tak ni?”
Beel mengerut dahi. “Dah tahu pun nak tanya lagi ke?”
Haikal ketawa kecil. Dia kemudiannya duduk berhadapan dengan Beel. Rambut gadis itu diusap dan diperkemas. Jari-jemarinya mengesat air mata yang setia mengalir dari kolam mata Beel.
“Dah jangan menangis. Awak tahu tak, muka awak kalau menangis dah sama macam tempoyak. Nak tengok pun tak sanggup” Haikal memujuk dengan senyuman.
Beel memuncungkan bibirnya. “Saya suka makan tempoyak. Awak yang tak suka”.
Haikal senyum lagi. Sudah lama rasanya tidak berbaik begini dengan isteri tercintanya itu. “Oklah. Jangan menangis. Nanti hujan pula kat luar tu” Haikal memegang kedua belah bahu Beel.
Beel mengangguk. Namun entah mengapa air matanya makin laju mengalir pula. Membuatkan Haikal yang tidak tahu harus berkata apa lagi, memeluk gadis itu. Kepala Beel ditarik ke dalam dakapannya. Berharap agar emosi gadis itu lebih stabil.

#########

Suraya mengetap bibir melihat aksi manja Beel dan Haikal. Tangannya erat menggenggam penumbuk dan bibirnya diketap menahan marah.
“Tak guna kau Beel. Jadi memang betul-lah yang Haikal dah suka kau. Tak pe. Sikit je lagi. Kau akan merana atas semua yang kau buat kat aku”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s