DILARANG NIKAHI AKU – 60

Suasana sunyi buat beberapa ketika. Semuanya dengan perasaan masing-masing.
“Bolehkan?” Beel membuat wajah meraih simpati.
Suraya menjeling sakit hati. “Dahlah. Biar saya tengok luka awak”.
Haikal memandang Suraya tajam.. Dia tidak mahu beredar selagi belum selesai berbicara dengan Safwan.
Suraya melepas nafas. Marahnya tidak boleh dipamerkan dengan keadaan sebegini. Semuanya kerana Beel! Beel yang menyusahkan dia sedari awal!! Semuanya kerana Beel seorang!
“Beel, awak isteri saya” tegas suara Haikal berbunyi.
“Abang Wan, jom. Beel tengokkan luka” Beel buat-buat tidak mendengar ucapan Haikal.
Safwan melepaskan nafas. “Beel nak suruh abang Wan berhenti? Beel tak marah ke tengok apa Haikal buat?”
“Abang Wan” Beel terus-terusan memujuk.
“Abang Wan je yang marah Haikal sekarang ni?”
“Beel ok. Jom, Beel tengokkan luka”.
Haikal mengetap bibir menahan marah. Mengada! Safwan sengaja menunjukkan kemesraan mereka berdua padanya. Tangan Suraya ditarik, “Jom, Su. Awak nak tengokkan luka saya kan?”
Suraya tersenyum lebar. Bertambah lebar bila Haikal memaut bahunya. Dan sama-sama melangkah meninggalkan ruang tamu.
Beel diam seketika. Namun tubuhnya tidak dipalingkan menghadap Haikal dan Suraya yang sudah melangkah. Dia tidak apa-apa. Dia ok. Dia tidak apa-apa. Dia ok.
“Beel..”
“Biar aku ambil minyak gamat. Kau tunggu kejap tau”.
Fah mengangguk. Tubuh Safwan ditarik agar abangnya duduk di sofa. Safwan melepas nafas. “Beel ok tak?”
Beel tersenyum. Safwan memejam mata. “Abang Wan minta maaf”.
“Tulah. Dari tadi Fah dah cakap, berhenti. Abang dengan abang Haikal sama je. Tak nak mengalah dua-dua. Yang abang nak cari fasal dengan abang Haikal tu kenapa? Fah dah cakap jangan masuk campur hal orang lain. Abang tak nak dengar. Kan dah jadi macam ni. Dua-dua menjerit macam orang gila. Sana sini tak nak mengalah. Macam budak-budak. Nasib baik ruang tamu tu jauh dari bilik opah. Kalau dekat mahunya opah dah dengar kau orang gaduh tadi” bebel Fah panjang lebar.
“Dahlah tu Fah. Kalau membebel tak boleh nak berhenti. Abang penat tau”.
“Yang pergi bergaduh tu kenapa?” Fah mencubit lengan abangnya sekuatnya.
Beel ketawa kecil. Inilah pemandangan yang sering dilihatnya sedari kecil. Pergaduhan manja antara Fah dan abang Wan selalu sahaja membuat dia tersenyum.
“Tak pelah. Abang Wan nak balik dulu. Boleh Fah bebel puas-puas kat rumah nanti”.
“Perli orang!” Fah mencubit lengan Safwan lagi.
Beel ketawa lagi. Dia mengambil tempat di sisi Safwan. “Abang Wan duduk sini, tunggu Beel ambil ubat. Tak boleh balik sebab Beel dah janji dengan opah. Abang Wan dengan Fah kena makan tengah hari sekali”.
“Haikal sekali ke?” Safwan menyoal dengan separuh hati.
Beel mengangguk perlahan. Fah menjeling abangnya. “Dah lah tu. Beel, kau pergilah ambil minyak gamat cepat. Kau layan abang aku ni, otak dia dah tinggal separuh. Mengadalah abang ni”.
Beel senyum lebar. Langkah diatur meninggalkan ruang tamu. Dia harus mengambil minyak gamat dan juga kapas untuk membersihkan luka Safwan.

###########

“Biar saya letakkan minyak gamat tu” Suraya menarik wajah Haikal agar menghadapnya.
Haikal melepas nafas. Sakit hatinya masih menebal dengan pergaduhan di ruang tamu tadi. Bila dipandang wajah Suraya, makin menebal pula sakit hatinya.
“Sini” Suraya mula menyapu minyak gamat di pipi Haikal.
“Dahlah. Sini saya letak sendiri”.
“Biar saya letakkan. Tak pelah, kita kan dah nak kahwin” Suraya menguntum senyum.
“Awak ni tak faham bahasa melayu ke? Biar saya buat sendiri” Haikal merampas kapas yang telah diletakkan minyak gamat di tangan Suraya.
Suraya memuncungkan bibir. “Kalau dengan Beel, mesti awak tak marah-marah macam ni kan?”
Haikal memejam mata. Sudahlah dia masih pening kepala dengan situasi tadi, Suraya pula mahu menambah masalahnya. “Dah lah Su. Saya penatlah nak bergaduh dengan awak. Kalau awak nak gaduh-gaduh dengan saya macam ni, tunggu hari lain boleh?”
Suraya mendiamkan diri. Hanya memandang Haikal dengan perasaan yang bercampur baur. Suraya kemudiannya bangun dari duduknya meninggalkan Haikal di ruang tamu.
Untuk apa dia terus menemani Haikal jika wajahnya juga Haikal tidak mahu pandang?

##########

Beel tersenyum menolak kerusi roda hingga ke meja makan. Dan kerusi roda diberhentikan bila tiba di tempatnya.
“Assalamualaikum” Fah dan Safwan tersenyum memandang opah.
Puan Sri Normah tersenyum memandang wajah-wajah di hadapannya. “Lama tak jumpa Fah dengan Wan. Kenapa tak jumpa opah kat bilik?”
Fah dan Safwan saling memandang. Fah menguntum senyum sambil memandang Beel sekilas. “Tadi Beel cakap opah tengah rehat. Jadi Fah dengan abang tak nak kacau”.
Puan Sri Normah tersenyum. Dia memandang Haikal yang duduk di antara Beel dan Suraya. Wajah itu diperhati. Dan bersilih ganti dengan wajah Beel.
Kemudian wajah Safwan pula dipandang. Pipinya juga kelihatan lebam seperti ditumbuk seseorang. Haikal pula… wajahnya bertampal dengan plaster.
“Opah… Kita mula makan?”
Puan Sri Normah memandang wajah cucu kesayangannya. “Kejap. Wan, Haikal, kenapa muka tu? Muka Haikal ber’plaster’, muka Wan lebam. Ada apa-apa yang opah tak tahu ke?”
“Dah bergaduh macam orang gila tadi. Takkanlah tak berlebam?” Suraya membebel sendiri. Namun suaranya tidaklah terlalu perlahan hingga langsung tidak boleh didengari.
“Su cakap apa?” Puan Sri Normah memandang Suraya.
Fah memandang Suraya dengan wajah sakit hatinya. “Abang kena tumbuk dengan monyet”.
Haikal membulatkan mata memandang Fah. Apakah Fah sedang menyamakannya dengan seekor monyet?
“Monyet?” Puan Sri Normah mengerutkan dahi.
Fah memandang Haikal dan Safwan bersilih ganti. Mengapalah dia tidak berfikir sebelum berkata-kata tadi?
“Masa kat Kedah dua hari lepas”.
Puan Sri Normah mengangguk memahami. “Haikal?”
Beel memandang Haikal. Haikal menguntum senyum memandang opah. Apa yang harus dia jawab dia juga tidak tahu.
“Haikal…”
“Opah… Beel lapar”.
Puan Sri Normah tersenyum. “Jemputlah makan. Dah lama tak makan ramai-ramai macam ni. Kalau ada Zamri dengan Sakinah pun seronok juga”.
Semuanya hanya menguntum senyum tidak ikhlas. Tambah lagi, semuanya berperang di dalam hati.

###########

“Kalau ada apa-apa, kau datanglah rumah aku. Aku tak tahu dah nak cakap apa. Abanglah ni, cari fasal dengan orang!” Fah yang sedang berbual dengan Beel memandang Safwan di sisinya.
“Dahlah tu. Tak habis marah dengan abang lagi ke?” Safwan mencuit pipi adik kesayangannya.
“Aku datang rumah kau. Mesti aku datang. Abang Wan, jangan lupa bawa Beel lari tau..”
Fah mengerut dahi. “Kau cakap apa ni?”
Safwan melepas nafas. “Dahlah Fah. Jom balik. Abang penat, Fah penat. Beel lagi penat, kan?”
Beel menguntum senyum. Tubuh Fah dipeluk sekuat hati. “Nanti aku datang rumah kau. Kita pergi jauh-jauh dari sini. Aku nak minta cerai”.
Fah melepaskan pelukannya. Wajah Beel dipandang. Nampaknya temannya itu sudah tekad dengan keputusannya. Masuk kali ini, entah ke berapa kali Beel mengutarakan soal cerai.
“Ok”.

###########

Pinggan di dalam sinki dipandang. Kak Irah dan Mak Jah sudah dihalau dari dapur. Opah sudah berehat di biliknya. Fah dan abang Wan pula telah pulang. Kalau diharapkan Kak Su, jangan haraplah Kak Su akan menolongnya membasuh semua pinggan-mangkuk itu.
Beel melepas nafas. Tidak mengapalah. Lagi pun, dia juga mahu bersendirian buat masa ini.
“Beel”.
Beel yang sudah membuka paip air tergamam. Air yang sedang mengalir keluar dari paip dibiarkan. Entah dari mana Haikal datang, dia juga tidak tahu. Tapi, dia yang kini berada di dalam pelukan Haikal tidak tahu respon apa yang harus diberikan.
Haikal mengeratkan pelukannya. Memeluk Beel bagai tidak mahu melepaskannya. Dalam diam, air matanya mengalir keluar selaju mungkin. Entah mengapa dia menangis, dia sendiri tidak tahu.
Beel mengerut dahi. Apa yang sedang dia lakukan sekarang? Langsung kaki Haikal dipijak hingga Haikal melepaskannya.
“Beel…”
Beel mendiamkan diri buat seketika. Paip air sinki ditutup dan dia berpaling menghadap Haikal. “Saya nak minta tolong”.
“Tolong apa?”
Beel melepas nafas. “Tolong ceraikan saya”.
Haikal bagai dipukau buat seketika. Tergamam mendengar permintaan Beel yang menyebut ‘ceraikan’. Selalunya Beel hanya mengeluarkan ucapan pisah dan bukannya cerai.
“Tolong ceraikan saya” Beel mengulang permintaannya sekali lagi.
“Tak nak” kali ini Haikal menjawab.
“Awak”.
“Saya takkan ceraikan awak. Takkan, tak nak” Haikal menggeleng-geleng kepalanya.
Beel menarik nafas sedalam mungkin. “Awak nak teruskan perkahwinan ni lagi kenapa? Sedangkan Kak Su dah balik. Dia bakal isteri awak yang sebenar. Awak ceraikan saya, kita hidup macam sebelum ni”.
“Senangnya awak cakap cerai? Saya tak nak. Saya takkan ceraikan isteri saya”.
“Saya nak cerai. Awak tak faham ke?” Beel meninggikan suara.
“Tapi saya tak nak cerai. Hak cerai terletak pada tangan suami. Bukan isteri”.
Beel mendengus. Suasana yang tadinya tegang dan sunyi, kini bertukar riuh seperti adik-beradik berebut hadiah pula.
“Ok. Kalau macam tu, cakap dengan saya. Kenapa tak nak cerai. Saya nak alasan munasabah”.
Haikal diam namun hanya sesaat dua. “Tak de sebab. Tapi saya tak nak cerai”.
“Kenapa?”
“Tak de sebablah”.
“Kalau macam tu saya nak cerai”.
“Tak nak!”
“Kenapa? Awak tak nak ceraikan saya tapi awak tak nak bagi sebab. Saya nak cerai”.
“Tak nak. Kenapa? Lepas awak bercerai dengan saya, awak nak balik kat Wan? Awak nak kahwin diam-diam dengan Wan ke?”
Beel terdiam mendengar kata-kata Haikal. “Apa masalah awak? Saya nak cerai sebab saya nak cerai. Apa kaitan dengan abang Wan pula?”
“Saya cakap saya tak nak ceraikan awak”.
“Kenapa?” kali ini Beel menjerit sekuat hati. Sakit hati pula dengan sikap kebudak-budakan Haikal.
“Yang awak nak cerai sangat ni kenapa? Dah kempunan sangat nak balik kat Wan ke?”
Beel mengerutkan dahi. “Kan saya dah cakap. Saya nak cerai, sebab saya nak cerai. Apa kaitan dengan orang lain pula?”
Haikal mencebik bibirnya. “Entah-entah awak dah curang dengan Wan belakang saya”.
“Apa awak cakap?”
“Entah-entah, awak dah curang dengan Wan belakang saya” jelas Haikal menuturkan satu demi satu perkataan.
Beel menahan nafas yang naik turut. Dia betul-betul marah ketika ini. Langsung apronnya dibuka dan dicampak di atas meja. Tubuh melanggar tubuh Haikal, langsung berlari menuju ke bilik opah.
Haikal panik melihat Beel melepasinya. Tangan menepuk dahi. “Apa aku dah buat ni?”
Dan langkah kaki mengejar Beel. Mengapalah dia mengeluarkan kata-kata sebegitu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s