DILARANG NIKAHI AKU – 62

Matanya jauh memandang ke dalam hutan itu. Hutan kecil yang menurut abang Wan, dia dan Fah sering saja bermain di dalamnya ketika mereka tinggal di situ.
“Jauh termenung?” Fah datang duduk bersamanya di meja kayu itu.
Beel menguntum senyum pada temannya. “Seronok juga kat Terengganu ni kan? Kau tak pernah cakap pun yang kampung kau kat Terengganu”.
“Dah jarang balik sini sejak ibu ayah aku meninggal. Kau suka ke? Kalau suka, lain kali boleh balik sini lagi”.
Beel mengangguk. Tangan Fah dicapai dan dia melentokkan kepalanya pada bahu temannya itu.
Fah tersenyum dengan kelakuan Beel. “Kenapa manja sangat ni?”
“Fah.. Terima kasih sangat-sangat”.
Fah mengerutkan dahi. “Kau nak cakap terima kasih sebab apa? Kitakan kawan. Aku pun tak nak tengok kau tak bahagia. Tapi kita tak boleh lama sangat kat sini. Kau tu.. Dah bincang dengan abang Haikal ke belum?”
Beel melepas nafas. Kepalanya yang terlentok diangkat dan dia berbaring di atas peha Fah. Fah membuat muka. Mujur rumah di kampung itu berjauhan antara satu sama lain, jika tidak keadaan Beel ketika ini sudah dilihat orang.
“Dah bincang dengan abang Haikal ke belum?” Fah menyoal pertanyaannya tadi.
Beel menggeleng. “Aku nak rest puas-puas. Nanti, kalau aku dah bercerai dengan Haikal, aku nak masuk Lim Kok Wing. Aku nak melekat dengan kau je…”
Fah mencebik. “Manisnya mulut. Kau rasa abang Haikal tu nak ke ceraikan kau? Bukan aku je, abang Wan, Kak Nia, Kak Irah, Mak Jah, aku rasa opah pun perasan yang suami kau tu dah jatuh sayang kat kawan baik aku ni” Fah mencuit hidung Beel.
Beel mendiamkan diri. Tunggulah beberapa hari lagi. Dia akan menghubungi Haikal. Segalanya akan diselesaikan saat itu juga.

###########

Dia tersenyum memandang jambangan bunga yang berada di tangannya. Menunggu penuh sabar di hadapan pintu kelas itu.
Angannya, bila bunga di tangan itu berpindah pada gadis pujaannya, dapatlah dia melihat senyuman milik Fah yang paling indah.
Syakir memerhati kelibat pelajar yang meninggalkan bilik kelas itu. Namun Fah masih juga belum muncul. Ke mana pula perginya gadis itu?
Dia melangkah lebih dekat dengan pintu. Mata meninjau ke dalam. Tiada orang.
“Dik” Syakir memanggil dua gadis terakhir yang meninggalkan bilik kelas.
Dua gadis itu tersenyum memandang Syakir. “Ya?”
“Fah tak datang ke?”
Salah seorang darinya kelihatan mengerut dahi. “Fah?”
“Nur Sofwan Hisyam” Syakir menyebut nama penuh Fah.
“Sofwah? Dia ambil cuti seminggu. Katanya ada hal keluarga”.
Syakir mengangguk memahami. Dan mengucapkan terima kasih pada kedua gadis itu.
Nafasnya dilepas tanda hampa. Fikirnya akan melihat wajah gembira dan malu-malu namun gadis itu mengambil cuti pula.
Tapi mengapa sampai seminggu? Ada apa-apa yang tidak kenakah? Atau gadis itu tidak sihat??

###########

Dia yang duduk bersendirian sambil menonton televisyen memperlahankan suara televisyen bila terdengar bunyi telefon berdering.
Pandangannya menghala ke arah kanan. Dan dia terperasan telefon bimbit kepunyaan Fah. Pasti Fah tertinggal di luar.
Telefon bimbit itu dicapai dan nama pemanggilnya dilihat. Dia mengerutkan dahi bila nama yang tertera adalah ‘Syakir hopeless’.
Dahi berkerut memandang telefon bimbit yang masih berbunyi itu. Kemudian Beel teringat. Apakah Syakir yang dimaksudkan Fah adalah abang Syakir kawan baik Haikal?
Nafas dilepas lega bila telefon bimit milik Fah senyap sendiri. Tapi ia tidak lama. Selang beberapa saat ia berbunyi kembali.
Langsung Beel menekan lambang telefon berwarna merah sebagai mematikan panggilan. Dan cepat-cepat dia mematikan telefon bimbit itu supaya ia tidak berbunyi lagi.
Beel duduk semula di tempatnya. Betulkah apa yang dia lakukan? Mata dipejam rapat dan nafas ditarik. Tidak mengapa, dia cuma tidak mahu Fah memberitahu abang Syakir di mana dia berada.

###########

Dia memandang jambangan-jambangan bunga yang berada di hadapannya. Ianya terlalu banyak hingga dia tidak tahu bunga mana yang harus dibeli.
“Kir, macam mana ni? Nak beli mana satu?” Haikal memandang Syakir yang duduk bersenang-lenang di kerusi.
Syakir melepas nafas. Dia bangun berdiri memandang Haikal. “Satu aku nak tanya. Beel kesayangan kau tu suka bunga ke?”
Haikal terdiam. Benar juga. Dengan personaliti yang dimiliki Beel, mustahil dia menyukai bunga. Kalau begitu, apa yang harus dia gunakan untuk memujuk gadis itu?
Syakir menggeleng-geleng kepalanya. “Kau ni, apa yang dia suka pun kau tak tahu. Betul ke kau sayang Beel ni?”
Haikal memandang dengan sakit hati. Syakir selalu saja mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Haikal cuba mengingat kembali. Kemudian dia tersenyum memandang Syakir.
“Jom kita pergi kedai haiwan”. Haikal tersenyum menarik tangan Syakir. Dia sudah punya idea. Dia mahu membelikan arnab baru buat gadis kesayangannya itu.

###########

Dia termenung sendiri menghayati pemandangan dari luar tingkap itu. Namun fikirannya melayang pada Kuala Lumpur.
Rindunya pada opah tidak terkata. Namun Beel menguatkan hati untuk tidak menghubungi opah. Apalah ertinya dia melarikan diri jika dia sendiri yang menelefon opah?
Pada pak long juga. Bagaimana keadaan pak longnya sekarang? Moga pak long sekeluarga sihat-sihat saja. Juga Mak Jah dan Kak Irah. Semoga tiada apa-apa yang buruk menimpa mereka.
Dia mengambil keputusan untuk pergi demi kebaikan semua. Tapi bila dia mahu menghubungi Haikal pun dia tidak tahu. Beel benar-benar berharap Haikal akan menceraikannya dengan cara ini.
Dia tidak mahu lagi membuat Kak Su kesayangannya sedih. Tambahan, apa yang berlaku bukan salah Kak Su. Mengapa pula Kak Su harus menanggung kesedihan?
Haikal, Haikal… Entah mengapa, air mata Beel tiba-tiba menitis. Kata-kata Fah beberapa hari lalu masih terngiang-ngiang di telinga. ‘Kau rasa abang Haikal tu nak ke ceraikan kau? Bukan aku je, abang Wan, Kak Nia, Kak Irah, Mak Jah, aku rasa opah pun perasan yang suami kau tu dah jatuh sayang kat kawan baik aku ni’.
Beel mengesat air mata yang dirasa semakin laju. Sayang atau tidak, cinta atau tidak, ia bukan halnya. Dia sudah tekad untuk menuntut cerai. Dia tidak mahu Kak Su susah kerananya.
Fah yang datang dari dapur berhenti langkahnya bila melihat keadaan Beel. Rencananya mahu memanggil Beel untuk makan tengah hari tapi melihat keadaan sahabatnya itu…
Safwan memaut bahu Fah bila Fah mengeluh. Safwan mengangguk dan mereka ke dapur dahulu. Pasti Beel akan muncul bila dia sudah sedikit lega.
Safwan memandang ke arah Beel sekilas sebelum melangkah. Nampaknya, keadaan Beel makin teruk sejak mereka ke Terengganu.
Dia membawa Beel ke sini dengan hasrat semoga gadis itu makin ceria dan dapat keluar dari kepompong masalah. Tapi jika keadaannya begini, bukankah lebih baik dia berada bersama Haikal?
Safwan mengeluh mengikut langkah Fah. Apa yang harus dia lakukan?

###########

Haikal turun dari kereta bersama Syakir. Dia ada membawa buah tangan untuk rumah, dan hadiah untuk Beel kesayangannya.
Terasa berdebar pula tiba-tiba. Haikal tersenyum sendiri bila mengenangkan kali terakhir dia merasai perasaan ini adalah sewaktu pertunangannya dengan arwah Nab.
Tapi, kali ini lain. Kerana gadis ini adalah Beel yang tidak lemah-lembut seperti Nab. Dan yang penting, ketika itu dia dan Nab bertunang. Tapi dia dan Beel sekarang adalah suami isteri yang sah di sisi syari’at dan juga undang-undang.
Syakir ketawa kecil melihat keadaan Haikal. “Seronok juga tengok kau nervous macam ni kan?”
Haikal menjeling. Dan mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam Villa An. Haikal amat berharap Beel akan menerima permohonan maafnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s