DILARANG NIKAHI AKU – 63

Dia cemas melangkah masuk ke dalam rumah ini. Sudah lama perasaan sebegini tidak dirasakan. Apakah Beel akan menerima permohonan maafnya, dia juga tidak tahu. Sekurang-kurangnya dia telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kemaafan gadis yang dicintainya.
Syakir ketawa kecil. Dan tersenyum-senyum sendiri. Irah yang sedang menyiram pokok bunga di halaman ditegur mereka berdua.
Irah menunduk memberi tanda hormat sekaligus menjawab salam yang diberi. Mata sedikit berkerut melihat Haikal membawa sebuah beg yang kelihatannya seperti ada sangkar di dalamnya.
“Beel ada?” Haikal menyoal penuh harapan. Sementara Syakir sudah maju masuk ke dalam. Katanya mahu menegur opah dahulu.
Irah mengerutkan dahi. “Cik Beel?”
Haikal mula tidak sedap hati melihat respon yang diberikan Irah. Kelihatan seperti Irah langsung tidak tahu apa-apa.
“Bukan ke Cik Beel dah balik rumah En.Haikal?”
Haikal terdiam. Apa maksud kata-kata Irah? Saat itu, Syakir berlari-lari keluar dari pintu utama. Langkah kakinya laju menghala ke arah Haikal.
“Ada benda tak kena ni” bisiknya.
Haikal memandang. Senyuman diberikan buat Irah dan dia berkata, “Boleh Kak Irah bagitahu opah kami datang?”
Irah mengangguk, melangkah ke arah paip air dan menutupnya. Langsung masuk ke dalam villa melalui pintu belakang.
“Apa?”
“Aku dah jumpa opah. Opah tanya aku mana Beel?”
Haikal terdiam. Teringat kata-kata Irah tadi. Apa sebenarnya yang berlaku?
“Kal..” Syakir menepuk bahu Haikal. Menyedarkan temannya itu dari lamunan.
Haikal melepas nafas. “Kita masuk dulu. Apa-apa pun, kita jumpa opah dulu”.

#########

“Lama opah tak jumpa Haikal”.
Haikal tersenyum membalas pelukan opahnya. “Opah sihat?”
“Alhamdulillah. Dah dapat penawar rindu dari Beel hari tu. Duduklah”.
Syakir dan Haikal mengambil tempat di hadapan opah. Puan Sri Normah memerhati sebuah beg besar yang berada di sisi kaki Haikal.
Haikal sengih. “Hadiah untuk Beel”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Kenapa tak bagi kat Beel je? Kenapa bawa masuk sini?”
Syakir meraup wajahnya. Hujung matanya mengekori wajah Haikal yang sudah berubah. Puan Sri Normah menanti dengan jongketan keningnya.
“Takut hilang. Opah tak tahu ke cucu menantu opah ni dah angau?” Syakir mencuit peha Haikal. Moga-moga opah tidak akan bertanya lagi setelah mendengar jawapan bodohnya.
Puan Sri Normah menguntum senyum. Baguslah jika Haikal sudah benar-benar mencintai dan menyayangi Beel, tapi … bagaimana pula perasaan cucu kesayangannya itu terhadap Haikal?

##########

Suraya berlari anak menuruni tangga. Suka hatinya bila melihat kereta Haikal terletak di garaj kereta Villa An.
“Mana Haikal?” Suraya menyoal opah yang sedang berbual dengan Mak Jah di ruang tamu.
Puan Sri Normah tersenyum memandang Suraya. “Haikal dah balik. Su cari Haikal ke?”
Suraya mengerut dahinya. “Balik? Kenapa tak tunggu Su pun?”
“Dia kata nak datang singgah je” Mak Jah memberitahu apa yang telah diberitahu Syakir padanya.
“Haikal ada pesan apa-apa tak?”
Puan Sri Normah dan Mak Jah menggelengkan kepala. Dan Suraya berpatah balik dengan wajah masamnya. Fikirnya, Haikal mahu mengajaknya keluar. Bukankah dia sudah mengatakan pada Haikal bahawa mereka harus melihat kad jemputan perkahwinan mereka hari ini?
Telefon bimbit di tangannya dipandang. Nombor telefon Haikal didail dan Suraya melangkah perlahan menuju ke biliknya semula.
“Ya?” kedengaran suara Haikal di talian.
“Tadi awak datang sini kan? Kenapa tak tunggu Su? Semalam awak dah setuju nak pergi tengok kad jemputan kita kan?”
“Saya letih. Nanti-nantilah” dan talian dimatikan.
Perasaan Suraya yang tadinya tenang langsung kacau-bilau. Geram benar bila dirinya diperlakukan sebegitu rupa. Nombor Haikal dihubungi lagi namun gagal. Dicuba berkali-kali tetap juga gagal.
Suraya menahan nafas yang naik turun kerana marahnya. “Kau buat aku macam ni Haikal! Kau tunggulah nanti!”

#########

“En.Haikal” Nia menegur Haikal yang melangkah masuk ke dalam rumah.
Dahinya berkerut melihat tuan mudanya menayangkan wajah ‘cuka’. Syakir yang masuk selepas Haikal melangkah mendekati Nia.
“Kenapa dengan En.Haikal tu?” Nia menyoal sambil matanya mengekori langkah Haikal yang melangkah menuju ke bilik tamu, bilik yang diduduki Beel sebelum dia menghilangkan diri.
Syakir mengeluh. “Isteri kesayangan lari, Kak Nia”.
Nia mengerut dahinya mendengar kata-kata Syakir. “Cik Beel lari?”
Syakir mengangguk. “Kita orang pun tak tahu apa-apa. Ingatkan dia ada kat rumah opah, rupanya dah berapa hari tak de. Opah pula, ingatkan Beel ada kat sini”.
Nia terdiam. Nafasnya dilepas tanda keluhan. Kasihan tuan mudanya. Kasihan juga Cik Beelnya. Apalah yang berlaku sehingga Cik Beel tiba-tiba melarikan diri?

##########

Pintu bilik tamu dibuka dan dia memasuki bilik itu. Air matanya yang hampir mengalir ditahan agar ianya tidak mengalir dan menampakkan sisi lemahnya. Mengapalah dia begitu mudah mengalirkan air mata bila masuk soal Beel?
Haikal melangkah ke almari baju. Membuka almari baju dan.. kosong. Tiada apa-apa hatta sehelai t-shirt pun.
Dibongkarnya semua almari, seisi bilik dan keputusannya tetap sama. Kosong, tiada apa-apa. Haikal melepas nafas.
Dia berbaring di atas katil. Badannya mengiring menghadap ruang sebelah yang kosong. Membayangkan Beel berbaring bersama, tersenyum padanya.
Haikal memejam mata. Lama. Sekalipun dia terlalu rindukan Beel, tapi dia tidaklah gila hingga hilang kesedaran. Haikal tahu bahawa Beel tiada bersamanya.
Mengapa Beel melarikan diri? Mengapa Beel menghilangkan diri tanpa memberitahu apa-apa padanya? Mengapa Beel lari darinya?
Apa yang Beel mahukan? Bagaimana harus dia mencari isteri kesayangannya itu? Ke mana harus dia mencari khabar tentang Beel?
Apa yang harus dia lakukan agar Beel bersetuju pulang dengannya? Bagaimana caranya memujuk gadis itu? Haikal bingung sendiri memikirkannya.
“Kenapa awak tinggalkan saya, Beel?”

###########

Air matanya laju diseka bila mendengar bunyi tapak kaki menuju padanya.
“Beel”.
“Ya?” Beel menoleh memandang Fah yang sedang melangkah padanya.
Fah melepas nafas. “Kau nangis lagi ke?”
Beel mengerut dahi. Kepala digeleng, menidakkan kata-kata Fah.
Fah duduk di sisi Beel. “Aku dah kenal kau lamalah Beel. Setakat muka kau nangis tak nangis, ingat aku tak boleh beza?”
“Aku tak nangis. Ada..”
“Tak yah nak cakap ada habuk masuk mata. Kau ingat drama ke apa?” Fah memotong kata-kata Beel yang belum sempat dihabiskan.
Beel mendiamkan diri. “Aku rindu opah”.
“Tulah kau. Yang kau pergi lari kenapa? Dah dua minggu kita kat sini. Dua minggu ni jugalah kau asyik menangis. Dah tahu benda tu buat kau derita, yang pergi buat kenapa?”
“Janganlah membebel” Beel mendengus, menyampah dengan kata-kata Fah.
Fah memandang wajah temannya itu. “Aku serius ni Beel. Bila kita nak balik KL? Bukan kita, kau. Bila kau nak balik KL? Sampai bila kau nak sembunyi kat sini?”
Beel memandang Fah. Keluhan dilepaskan. “Aku…”
“Beel, tak elok kau lari dari masalah. Apa-apa masalah pun kena hadapi. Bukan kena elak, lari-lari macam ni” Fah menggenggam jemari Beel.
Beel membalas genggaman Fah. “Masalahnya Fah..” dan ayatnya mati. Dia membisu melihat wajah Fah yang ternanti-nanti.
“Tengok. Kau lari sebab apa? Sebab nak tuntut cerai dari abang Haikal? Kau dah tahu kan abang Haikal takkan ceraikan kau?”
“Habis Kak Su macam mana? Kau nak aku bahagia seorang-seorang, tinggalkan Kak Su macam tu je?”
“Beel..”
Beel melepas nafas. “Aku nak cerai dengan Haikal. Aku boleh hidup kalau tak de Haikal, tapi Kak Su? Kak Su tak boleh. Kalau betul Kak Su boleh hidup tanpa Haikal, bila Kak Su tahu Haikal dah jadi suami aku, dia takkan kacau Haikal lagi. Tapi yang berlaku sebaliknya. Dia bahkan dah persiapkan persiapan untuk dia dengan Haikal kahwin. Kau faham tak Fah? Aku tak boleh biar Kak Su merana kerana aku”.
Fah memandang Beel lama. Setelah banyak masalah yang diterima Beel, terasa temannya itu sudah semakin matang.
“Habis kau nak sembunyi sampai bila? Takkan selama-lamanya?”
Beel menarik nafas dalam. “Mungkin lepas seminggu Haikal dengan Kak Su kahwin. Sekurang-kurangnya waktu tu, Haikal akan ringan hati sikit nak lepaskan aku”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s