DILARANG NIKAHI AKU – 65

“Haikal dah sampai?” Puan Sri Normah menyoal Mak Jah yang menghidangkan makan tengah hari di meja makan.
Mak Jah diam seketika dan menjawab soalan Puan Sri Normah dengan gelengannya. “Rasanya belum sampai lagi. Mungkin dia tak tahu puan sri tengah tunggu”.
Puan Sri Normah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Saya dah minta Irah cakapkan.. Yang saya nak jumpa dia sekarang”.
Saat itu, Irah berlari-lari masuk ke ruang makan. “Puan sri, Mak Jah… En.Haikal dah sampai”.
Puan Sri Normah berdiri tegak. Dia mahu segera menemui cucu menantunya itu. Mak Jah maju memaut tubuh majikannya. Tahu sangat akan sikap majikannya. Pasti terlalu risau akan Cik Beel.
“Puan sri… Haikal…”
“Opah”.
Tidak jadi Mak Jah menghabiskan ayatnya. Wajah Haikal sudah terpacul di pintu ruang makan dengan senyuman. Puan Sri Normah duduk kembali. Dan tangan melambai pada Haikal agar Haikal segera mendekatinya.
Haikal menyambut tangan opahnya. “Opah tak sihat ke?”
Puan Sri Normah melepas nafas. Dan Irah serta Mak Jah beredar meninggalkan mereka berdua. Menyambung kerja mereka semula.
“Beel mana?”
Membulat mata Haikal mendengar soalan opah. Tujuan opah memanggilnya adalah terang lagi bersuluh. Opah risaukan Beel. Apakah opahnya sudah tahu tentang pemergian Beel dari rumah?
“Beel mana?” Puan Sri Normah menyoal lagi.
Haikal menguntum senyum memandang Puan Sri Normah. Kepalanya sarat mereka 1001 cerita untuk mengaburi mata opah. Berharap agar opah hanya mempercayainya tanpa sebarang soalan.

#########

“I don’t understand…”
Hazan melepas nafas. Tangan memaut bahu isteri kesayangannya. Sedari tadi Humaira’ menuturkan ayat yang sama. Dia tidak memahami. Dia tidak mengerti. Apa yang berlaku antara Beel dan Haikal sehingga menantu mereka itu melarikan diri dari rumah?
“They love each other, aren’t them?” Humaira’ menyoal lagi.
Hazan mengukir senyum nipis. Ya, dia mengaku. Dengan Humaira’ tidak semua perkara dia ceritakan. Tapi, bukan kerana dia mahu berahsia. Dia tidak mahu isterinya susah hati kerana kesusahan yang ditanggung Haikal. Siapa yang dapat menduga kehilangan Suraya di pagi hari pernikahan?
Humaira’ bangun berdiri bila terdengar bunyi tapak kaki melangkah. Pasti putera kesayangannya sudah pulang. Hazan menegur. Dia faham isterinya. Dia tahu Humaira’ tidak sabar-sabar mahu mendengar penjelasan dari Haikal.
Humaira’ duduk semula. Sabar menanti sesuai permintaan suami tersayang.
“Kal”.
Haikal yang tadinya mahu terus masuk ke bilik mematikan langkah. Kepala ditoleh pada ruang menonton yang sememangnya berada di sisi kirinya. Mata membulat melihat sepasang suami isteri yang duduk di sofa yang disediakan.
“Mama, papa” Haikal berlari anak masuk ke ruang menonton.
Hazan menekan butang alat kawalan jauh mematikan televisyen yang sedang mengeluarkan suara. Mata kemudian memandang tepat pada Haikal yang sudah mengambil tempat sesudah menyalami Hazan dan Humaira’.
“Bila mama dengan papa sampai?” Haikal menyoal. Hakikatnya sedikit terkejut dengan kepulangan orang tuanya yang langsung tidak diketahui.
“Where’s Beel?” Humaira’ langsung saja menyoal. Tidak dapat lagi menahan perasaan ingin tahunya.
Haikal memandang wajah mamanya. Humaira’ pula memandang suaminya. Bimbang suaminya marah akan tindakannya yang sedikit terburu-buru.
Hazan mengikut rentak isteri. “Mana isteri kamu? Sejak pagi papa sampai, tak nampak dia pun..”
Haikal memandang papanya pula. Dan memandang mereka berdua silih berganti. Teringat penipuan yang dilakukan terhadap opah baru saja tadi. Apakah dia akan menceritakan penipuan yang sama pada mama dan papa?
“Be honest. Mama tak nak Haikal reka cerita” Humaira’ berbicara dengan loghat pelatnya.
Haikal berdiam diri. Sesekali mencuri pandang pada papa. Ternyata papa langsung tidak mahu mengeluarkan helah agar mamanya berhenti menyoal, bererti papa juga ingin tahu apa yang terjadi sebenarnya. Iyalah, Haikal faham. Papa memang sangat sayangkan Beel. Bahkan sebelum Beel menjadi menantunya, papa sudah ‘berkenan’ dengan gadis itu.
Haikal menarik nafas sedalam mungkin. Nampaknya dia tiada pilihan lain. Kebenaran harus diungkap. Dia harus jujur pada kedua orang tuanya. “Papa, mama… Beel lari rumah”.
Humaira’ mengeluh. Melepaskan sebuah keluhan. Bagai tidak percaya dengan jawapan yang diterima. Walaupun Nia sudah menceritakan apa yang terjadi, dia amat berharap agar jawapan yang didengar dari Haikal sama sekali bertentangan.
“Mama, I’m sorry” Haikal maju melangkah pada mama dan duduk di sisi mamanya, di atas lantai.
Humaira’ menggeleng-geleng kepala. Mengapa Beel lari? “I don’t understand”.
“Apa yang Kal buat sampai Beel lari? Papa tahu Beel takkan lari tinggalkan sini kalau tak ada sebab” Hazan memandang putera tunggalnya.
Haikal melepas nafas. Bagaimana mungkin dia lupa pergaduhan mereka beberapa hari sebelum itu? Beel benar-benar marah padanya kerana dia menuduh Beel meminta cerai atas sebab mahu bersama Wan.
Dia tahu dia salah. Tapi siapa yang tidak geram jika setiap hari isterinya mengungkit soal perpisahan dan perceraian? Tambahan, dia bukanlah jenis lelaki yang boleh bersabar dengan ragam manusia. Kalau tidak, mustahil dia dibebel Syakir saban hari kerana sikap barannya.
Hazan dan Humaira’ berpandangan bila Haikal hanya berdiam diri. Hazan melepas nafas. Tangan Humaira’ dipaut. Meminta Humaira’ memberi ruang pada putera kesayangan mereka.
“Macam nilah, papa kenal Beel. Papa tahu rajuk dia tak lama. Dan dia merajuk sebab memang Kal yang salah kan?”
Haikal memandang papa. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak.
“Cari Beel, pujuk dia balik rumah. Paling penting, kena minta maaf. Tapi kalau Kal tak nak Beel balik, it’s up to you”.
Haikal mengangguk memahami. Jika benar itu dapat membawa Beel kembali padanya, dia akan lakukan. Dan dia sama sekali tidak akan melepaskan Beel lagi.

##########

Beel memandang Safwan yang leka memandu. Entah apa angin Safwan hari ini, tiba-tiba saja mahu membawa dia keluar berjalan. Sudahlah hanya keluar berdua. Dia mahu mengajak Fah, tapi Fah keluar ke pekan mencari barang dapur.
Dia sudah meminta Safwan menunggu Fah, tapi katanya Fah kalau membeli barang memakan masa yang lama dan tentunya Beel juga mengakui. Sahabatnya itu kalau membeli barang, semuanya mahu dibelek. Jenama, tarikh luput, kandungan dan seribu satu perkaralah.
“Abang Wan” Beel memanggil.
Safwan memandangnya. “Kenapa?”
“Abang Wan nak bawa Beel pergi mana?”
Safwan menguntum senyum. Semalam sehari suntuk dia berfikir apakah ini yang terbaik buat Beel? Dan keputusan telah dicapai bersama Fah, inilah yang terbaik. Mencintai bukanlah bererti memiliki, tapi yang terpenting adalah melihat kebahagiaan si dia. “Surprise..”
Beel memuncungkan bibir. Sedari tadi, yang dikatakan hanyalah surprise dan surprise. Apalah kejutan yang sangat dirahsiakan Safwan?

##########

Wajahnya diraup menahan geram kerana panggilan yang dibuat sedari tadi tidak dijawab. Dan skrin telefon bimbitnya dipandang lama.
Nombor Haikal dihubungi lagi. Entah buat ke berapa kalinya, hatinya disakitkan dengan suara operator yang memberitahu nombor Haikal tidak dapat dihubungi.
“Haikal, mana awak ni?” soal Suraya separuh menjerit. Geram betul dia dengan Haikal. Entah apalah masalah Haikal, sejak akhir-akhir ini susah sangat mahu ditemui. Di telefon tidak berjawab, dimesej tidak berbalas, mahu ditemui asyik tiada.
Matanya memandang kalendar yang terletak kemas di atas meja. Mata memandang tarikh yang telah ditetapkan untuk menjadi tarikh pernikahannya dengan Haikal. Hanya tinggal dua minggu saja lagi. Apakah semua akan berjalan sesuai kehendaknya?
Suraya tidak peduli. Bagaimana pun, Haikal harus menjadi miliknya. Dia tidak akan merelakan Beel merampas lelaki yang dia inginkan. Tidak sama sekali.
Suraya mengurut dada. Entah mengapa rasa mual tiba-tiba menerpa. Mengapa akhir-akhir ini dia selalu muntah-muntah dan tidak lalu makan?

##########

Bunyi nada dering mengalih tumpuan buat seketika. Langsung fon telinga dipakai dan dia langsung meletakkan kenderaan di stesen minyak itu. Nama ‘Wan’ yang tertera membuatkan bibirnya tersenyum kecil.
“Assalamualaikum” Haikal memberi salam selaku orang yang menjawab panggilan.
“Waalaikumussalam. Kau dah sampai ke?”
“Aku baru je masuk petropam. Kau jauh lagi?”
“Dah nak sampai. Kau tunggulah kejap”.
Dan talian mati. Haikal melepas nafas. Dia benar-benar berharap dapat membawa Beel pulang ke rumah.
Semalam, tiba-tiba dia mendapat panggilan dari Safwan. Kata Safwan, dia tidak punya masa menjelaskan semua perkara. Cuma satu saja yang dia mahu tahu, apakah Haikal mencintai Beel sama sepertinya? Atau sekadar sayang biasa selaku seorang suami yang dipaksa mengahwini Beel?
Tentu saja Haikal berterus-terang. Mungkin terlambat untuk dia menyedari betapa cintanya dia pada Beel. Namun selagi Beel masih sah bergelar isterinya, masih punya jalan untuk memperbetulkan segalanya.
Lalu Safwan langsung saja mengatakan mahu berjumpa. Katanya dia mahu memulangkan Beel pada yang lebih berhak. Memulangkan seorang isteri kepada suaminya. Di sini, Haikal yakin Beel lari bersama Safwan, dan Fah mungkin.
Rencananya mereka akan bertemu di stesen minyak di tengah bandar. Safwan akan berpura-pura mahu ke tandas dan meninggalkan Beel di dalam kereta. Ketika itu dia akan berjumpa dengan Haikal dan mereka akan bertukar kereta. Kerana kalau Safwan menyerahkan Beel pada Haikal secara berdepan, pasti mengamuk gadis bernama Nabilah itu.
Silap hari bulan, Beel lari. Menyebabkan baik dia mahupun Safwan keduanya hilang jejak Beel. Jadi buat sementara ini, Haikal akan menggunakan kereta Safwan dan Safwan akan mengguna keretanya. Jalan keluar terbaik buat masa ini.
Dan selebihnya terpulang pada Haikal untuk memujuk Beel. Amaran Safwan, jika sekali lagi perkara sebegini terjadi, jika sekali lagi Beel lari darinya dan pergi pada Safwan… ketika itu Safwan tidak akan teragak-agak untuk membawa Beel keluar dari Malaysia.
Haikal melepas nafas. Dia berjanji pada dirinya akan menjaga Beel sebaik mungkin. Insya-Allah, segalanya akan baik selepas ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s