DILARANG NIKAHI AKU – 67

Haikal mematikan enjin kereta Safwan. Dan memandang Beel yang sudah pun terlelap buat beberapa ketika di sisinya.
Wajah itu diamati. Terasa buat pertama kalinya, dia dapat menatap wajah itu dengan tatapan yang benar-benar menatap. Tanpa gangguan dari siapa pun. Termasuk dari yang empunya badan.
“Sayang..” kejut Haikal separuh berbisik. Dia tersenyum kecil bila perkataan ‘sayang’ yang terkeluar dari mulutnya. Tapi, Beel adalah isterinya yang sah jadi ada apa hal?
“Sayang..” Haikal mengejut lagi. Dan diikuti suara gelak tawanya. Bahagia dapat mengungkapkan perkataan itu. Terasa hatinya bagai di awang-awangan saat ini. Sayang, sayang..
Beel terpisat-pisat membuka mata. Langsung wajahnya diubah kedudukan bila menyedari wajah Haikal tidak sampai lima inci jauh dari wajahnya. “Dah sampai ke?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. “Jom”.
Beel mengangguk. “Jomlah”.
Haikal ketawa kecil. “Jom”.
Beel mengerut dahi. Selagi Haikal tidak berganjak, bagaimana mungkin dia boleh bergerak? “Jomlah”.
Haikal mengangguk lagi. “Jom”.
Beel melepas nafas. Entah apa yang tidak kena dengan Haikal. Sudah jadi budak-budak pula dia. “Kalau awak tercegat kat pintu ni, saya nak keluar macam mana?”
Haikal ketawa lagi. Anggukan diberikan dan dia beralih. “Please my lady..”
Beel maju melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak mempedulikan Haikal yang sibuk ber ‘my lady, my dear’ dan sebagainya.
“Tunggulah!” Haikal separuh menjerit. Mengejar Beel yang sudah melangkah masuk ke dalam ruang utama rumah.
“Beel!” Humaira’ berdiri memandang wajah itu.
Haikal muncul di belakang Beel dengan senyum penuh makna. Humaira’ tersenyum menampakkan barisan giginya. Begitu juga dengan Hazan yang menjadi pendamping setia isteri tercinta.
“Mama” Beel berlari anak dan memeluk ibu mertuanya.
“Mama risau. Beel ok? Sihat? Ada luka mana-mana?” Humaira’ memeriksa seluruh anggota Beel.
Beel menggeleng. “Beel ok”.
Humaira’ masih tidak berpuas hati. Tubuh Beel dipusing berulang-kali. Hingga akhirnya Hazan mendekat, memintanya berhenti. Pening kepala menantu mereka dibuatnya.
“Papa” Beel menyalami Hazan.
Hazan menguntum senyum sambil tangan mengusap kepala menantunya itu. “Beel ok?”
Beel mengangguk. Memberikan jawapan yang sama seperti yang telah diberikan pada Humaira’ tadi. Hazan mengangguk mengikuti rentak Beel. Memandang Humaira’, “Pergilah bawa Beel masuk berehat’.
Humaira’ tersenyum memimpin Beel menuju ke biliknya. Meninggalkan Hazan dan Haikal di ruang utama.
“Macam mana Kal jumpa Beel?” Hazan menyoal, ingin tahu.
Haikal sengih. “She’s my wife. Mestilah Kal cari dia, no matter what!”

##########

Membulat mata Beel melihat keadaan bilik tidur itu. Bilik yang pertama dimasuki ketika awal dia pindah ke sini dulu. Bilik yang sepatutnya menjadi bilik pengantin Kak Su dan Haikal.
Tapi yang lebih mengejutkan Beel, susunan bilik itu. Benar-benar sama dengan susunan yang dulu. Yang kurang hanya barang-barangnya. Yang lain, sama. Bilik yang dibahagi dua, membezakan bahagian dia dan bahagian Haikal.
Beel mengerut dahi sendiri. Apa yang berlaku? Bukankah Kak Su sudah menyusun semula barang-barang di bilik ini? Hingga dia terpaksa berpindah ke bilik tamu? Bagaimana semuanya boleh kembali seperti sediakala?
“Beel” Humaira’ memanggil.
Beel memandang mamanya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat ibu mertuanya yang baik hati itu. Humaira’ membelai wajah Beel. Dan tubuh gadis itu ditarik ke dalam pelukannya.
“Terima kasih sebab balik pada Haikal”.
Beel diam di dalam pelukan Humaira’. Tidak tahu apa respon yang harus diberikan pada wanita itu. “Mama…” ucap Beel perlahan.
Lembut Humaira’ melepaskan tubuh kecil Beel. “I’m sorry. Beel rehatlah. Mesti penatkan hari ni?”
Beel menguntum senyum nipis. Humaira’ melekapkan tangannya pada pipi Beel buat beberapa ketika. Dan dia beredar meninggalkan Beel di biliknya sendirian.
“Mama” Beel memanggil sebelum Humaira’ keluar dari biliknya.
Humaira’ menoleh semula. Menanti kata-kata dari Beel. Beel menguntum senyum manisnya seraya berkata, “Beel sayang mama”.

##########

Selesai menunaikan solat Isya’, Fah termenung seketika di tikar sejadah. Bunyi telefon bimbit yang berdering menyedarkan dia dari lamunan. Langsung panggilan dari teman baiknya itu dijawab.
“Beel!!” perkara pertama yang dilakukan Fah sebaik menjawab panggilan masuk, menjerit menyebut nama Beel.
Beel ketawa di hujung talian. Dan memulakan soalan hariannya. ‘Tengah buat apa? Dah makan belum? Bla bla bla..’
Dan Fah menyambut soalan-soalan Beel dengan soalan kembali. “Kau ok?”
Beel melepas nafas. Lama dia berdiam. Membuatkan Fah sedikit bimbang. Tapi kerana dia tahu sikap temannya itu, Fah hanya menanti di talian.
“Tadi Haikal panggil aku sayang” ucap Beel lambat dan perlahan.
Fah yang sudah berada di dapur meneguk air masak tersedak. Beel mengerut dahi mendengar bunyi aneh dari Fah. “Fah, kau ok tak?”
“Kau cakap abang Haikal panggil kau sayang?” Fah meninggikan suaranya. Dan serentak matanya membulat bila Safwan tiba-tiba muncul di pintu dapur.
“Ye…” Beel menjawab sambil membaringkan diri.
Fah memandang abangnya. Safwan hanya menguntum senyum, mengambil segelas air dan beredar keluar dari dapur. Dia sudah lama menyediakan hati untuk perkara sebegitu. Kalau tidak, masakan dia sanggup memulangkan Beel pada Haikal dengan cara baik.
Fah menanti abangnya benar-benar hilang dari pandangan sebelum menyambung semula perbualannya dengan Beel. “Habis macam mana?”
“Macam mana apa?”
Fah diam. Beel juga diam. Dan Fah tiba-tiba teringat. “Kau dah jumpa Kak Su belum?”
“Belumlah. Opah pun aku belum jumpa ni. Ada mama dengan papa kat rumah, aku tak tahu pun. Haikal pun tak bagitahu”.
Fah mengangguk memahami. Jadi orang tua Haikal ada di Malaysia? Pasti mereka gembira melihat Haikal sudah berbaik dengan Beel. Bukan Fah tidak tahu, pak cik Hazan dan mak cik Humaira’ sangat sayangkan Beel. “Tak pelah. Perlahan-lahanlah… Apa-apa pun, kau dah balik ke tempat yang sepatutnya. Cuma…”
“Cuma?”
“Apa Haikal nak buat dengan Kak Su?”
“Aku pun tak tahulah. Dia suruh aku balik, aku balik. Fasal Kak Su tu… Aku pun tak tahu apa plan Haikal. Tapi, aku cuma harap dia tak kecewakan Kak Su. Tu je..”
Fah menarik nafas. Beel oh Beel.. Memanglah Beel kelihatan nakal dan susah mendengar kata, tapi bila masuk bab Kak Su.. Beel benar-benar kelihatan seperti orang bodoh. “Kau dengar sini elok-elok. Kau nak harap Haikal tak kecewakan Kak Su tu memang mustahillah. Kau pun tahu yang antara kau orang tiga orang, mesti akan ada seorang yang kecewa. Kau, Kak Su atau Haikal sendiri. Aku tahu kau sayang Kak Su. Tapi dalam hal ni, kalau kau terlalu ambil kira Kak Su kau tu, kau yang kecewa nanti. Aku tak nak tengok kau bersedih macam orang sasau. Lagi pun, takkanlah Haikal nak lepaskan kau macam tu je? Bukan senang abang aku buat keputusan nak pulangkan kau kat Haikal balik. Itu pun, berjuta kali dia warning Haikal.. jaga kau elok-elok. Kalau tak nanti, bila kau datang kat abang aku lagi, abang aku takkan lepaskan kau macam kali ni”.
Beel ketawa kecil. Menutup perasaannya yang kacau-bilau. “Oklah Fah, aku mengantuk. Good night”.

###########

Matanya memandang wajah yang masih lena tidur di sofa. Dia yang masih bertelekung mengeluarkan tangannya untuk mengejut lelaki bernama suami.
Beel ketawa sendiri mengenangkan monolognya. ‘Lelaki bernama suami?’ Wujudkah suami yang membiarkan dirinya dikejut isteri untuk menunaikan solat Subuh?
“Awak.. Awak…” Beel memanggil. Selalunya dia hanya menggunakan kau, aku atau seumpamanya. Kali ini, dia lebih sopan dengan menggunakan ‘awak’. Bukankah dia dan Haikal sama-sama sedang menuju sebuah permulaan baru?
“Awak..” Beel menggerakkan tubuh Haikal.
Haikal membuka mata perlahan. Tangan Beel yang berada di atas tubuhnya ditarik dan digenggam. Sebuah senyuman dihadiahkan buat isteri tercintanya yang baru pulang semalam.
Beel laju menarik tangannya. Membuatkan Haikal yang terbaring segera duduk. Haikal melihat Beel yang bertelekung. “Awak dah solat ke?”
Beel mengangguk perlahan. “Dah 6.15”.
Haikal memuncungkan bibir. “Kenapa tak kejut saya awal-awal? Boleh kita solat jemaah”.
Beel diam sesaat. “Kalau nak solat jemaah, awaklah yang kena bangun awal” dan dia berlalu pergi dari ruangan Haikal.
Haikal bangun dengan malasnya. Matanya sesekali curi memandang Beel. Dia tahu Beel maklum akan niatnya yang ingin sekali mengimami solat Beel, tapi Beel sengaja berpura-pura tidak tahu. Agaknya bilakah peluang itu akan tiba? Untuk dia menjadi seorang imam buat Nabilah Anisah bt Zahid?

###########

“Pagi Cik Beel”.
“Pagi Kak Nia”.
“Cik Beel nak makan apa?”
Beel menggeleng-geleng. Hanya menuruti Nia yang sibuk menghidangkan sarapan di meja makan. Memerhati betapa telitinya Nia menyiapkan hidangan seorang demi seorang. Ini kerana papa suka makan nasi ketika sarapan. Sedang mama dan Haikal lebih suka ‘American Breakfast’. Dia pula hanya mengikut apa yang Nia sediakan. Namun secara peribadi, dia lebih suka makan mee goreng dan seumpamanya.
Dan kerana Kak Nia tahu, maka itulah yang disediakan buat Beel.
Nia mengerut dahi melihat Beel yang leka memerhatinya. “Cik Beel teringin nak menghidang ke?”
Beel menggeleng. “Seronok juga jadi Kak Nia kan?”
Nia mengerut dahi. “Lagi seronok jadi Cik Beel. Ada mertua baik macam tuan dan puan, ada suami baik macam En.Haikal.. Kan?”
“Suami baik?” Beel mencebik.
Nia ketawa kecil. “Cik Beel macam dah lain sejak balik ni”.
“Lain macam mana?” Beel mengambil tempat di kerusinya.
“Lain. Nampak matang sikit dari dulu. Mungkin?”
Beel senyum nipis. Dia bukannya matang. Tapi dia serabut otak. Rasanya dia makin diam kerana berfikir, bukan kerana dia makin matang. Agaknya inilah yang opah selalu sebut-sebutkan, ‘Datangnya masalah akan mematangkan kita’.
“Selamat pagi tuan, puan” Nia menunduk pada Hazan dan Humaira’ yang baru melangkah masuk ke ruang makan.
“Pagi Nia, pagi sayang” ucap mereka berdua serentak, memandang Beel dengan senyuman.
Beel mengangguk dengan senyuman. Melihat Hazan dan Humaira’ yang bersiap seperti ingin keluar, dia menyoal, “Mama dengan papa nak keluar?”
Humaira’ tersenyum. “I was thinking … I wanna spend more time with you…”
Beel memandang Humaira’. Meluangkan lebih masa bersamanya? Kemudian, mata memandang Hazan pula. Hazan ikut ketawa bersama Humaira’. “Kami kena balik Kuwait. Ada banyak meeting, ramai client nak kena jumpa. Tak dapatlah mama nak bermanja dengan menantu kesayangan dia ni” Hazan mencuit pipi Beel.
Dan Humaira’ tersenyum. “Beel tak marah kan? Mama minta maaf”.
Beel laju menggeleng. Mahu saja dia menyatakan dia lebih suka mama dan papa tiada di rumah, kerana dia boleh berkelakuan bebas tanpa pantauan sesiapa. Tapi, itu hanya diucapkan di dalam hati. Hanya di dalam hati.
Beel hanya memandang mama dan papanya bergurau mesra. Memang pasangan suami isteri yang bahagia. Kalau saja ibu ayahnya masih hidup, pasti mereka juga seperti ini. Opah sering saja bercerita padanya bahawa ibu ayahnya sangat saling mencintai.
Dan hakikat yang mereka berdua bercinta selepas berkahwin, membuatkan hubungan mereka lebih dicemburui. Memang ibu ayahnya berkenalan sejak kecil, tapi segalan soal hati hanya diungkap selepas berkahwin. Beel senyum sendiri mengenangkan betapa singkatnya masa dia bersama ibu ayahnya.
Beel mengerut dahi seketika. Mama dan papa akan pulang ke Kuwait? Bererti selepas ini hanya dia dan Haikal yang berada di rumah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s