DILARANG NIKAHI AKU – 68

“Take care. Dah sampai Kuwait, mama call Beel” Humaira’ mengusap pipi gadis berstatus menantunya itu.
“Humaira’ come” Hazan memanggil. Tangannya mengetuk-ngetuk kaca jam tangan. Menunjukkan mereka sudah lewat masuk ke ruangan menunggu.
Haikal ketawa melihat mama. “Macamlah lepas ni mama tak datang Malaysia dah”.
Humaira’ menjeling anak lelakinya. “I love my daughter”.
“Kal tahulah mama sayang isteri Kal. You’re getting late, mama” Haikal memandang mamanya dengan sengihan menampakkan betapa dia gembira saat ini.
“Mama, papa dah panggil tu” Beel mengingatkan Humaira’ bila Hazan sekali lagi memanggil.
Humaira’ melepaskan pelukan. Kedua belah pipi Beel dicium penuh kasih. Dia bukannya tidak mahu melepaskan gadis itu. Tapi dia dapat merasakan sesuatu kejadian akan berlaku. Kejadian buruk yang mungkin akan membuatkan gadis ini tidak lagi bergelar menantunya.
Beel menyalami mama dan papanya. Begitu juga Haikal. Dan Hazan dan Humaira’ melangkah masuk ke ruangan menunggu.
Beel melepas nafas. Mama dan papa sudah pulang ke Kuwait. Sekarang tiba masanya dia membuka mata seluasnya. Tiba masa untuk menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku.
“Awak sedih ke?” Haikal menyoal bila isterinya itu membisu.
Beel memandang. “Sedih?”
“Diam je dari tadi. Jangan sedihlah. Lusa, papa turun Malaysia balik. Dia ada meeting kat utara nanti” Haikal memberitahu.
Beel menjeling. “Saya tak cakap pun saya sedih”.
“Habis muka masam je kenapa?”
Beel mengetap bibir. Konon saja mahu berbaiklah, mahu itulah, mahu inilah. Tapi kerjanya kejap-kejap mencari fasal. Kerjanya asyik-asyik mencari gaduh. Mencari hal. “Suka hati sayalah!” Beel melajukan langkah meninggalkan Haikal. Naik menyampah pula dia dengan lelaki ini.
Haikal sengih sendiri. Dia hanya mahu membangkitkan ‘mood’ Beel saja. Masakan tidak, sejak pulang semalam asyik masam mencuka wajahnya. Sudah tiada gelak tawa seperti selalunya. Jika dia mencari fasal, sekurangnya ada juga reaksi yang diberikan Beel.
Langkah kaki Haikal laju mengejar Beel yang sudah jauh ke depan. Lantas tangannya laju mencapai tangan Beel dan jari-jemari Beel digenggam erat. Beel cuba menarik tangannya dari genggaman Haikal namun ternyata usahanya sia-sia semata.
“Awak buat apa ni? Lepaslah” langkah Beel terhenti.
Haikal sengih memandang Beel. “Menggatal dengan isteri sendiri. Lagi pun, ni denda sebab awak tinggal saya kat belakang tadi”.
Beel langsung memaling tubuh menghadap Haikal. ‘Menggatal dengan isteri sendiri?’ Lama wajah itu dipandang. Apakah Haikal ingin memberitahunya bahawa dia sudah siap untuk menjalani kehidupan suami isteri sebenar bersama Beel?
“Kenapa berhenti? Jomlah, saya nak bawa isteri saya pergi dating” Haikal menarik tangan Beel. Beel yang terpinga-pinga hanya mengikut Haikal yang ternyata ketawa gembira.

###########

Dahinya berkerut melihat kereta yang memasuki garaj Villa An. ‘Mengapa Safwan datang?’
Kerutan dahi bertambah bila melihat Haikal yang turun dari kereta Safwan. Perlahan kerutan dahi bertukar menjadi senyuman lebar. Haikal datang!
Suraya berlari anak menuju ke garaj kereta. Namun langkahnya terhenti bila melihat Haikal membukakan pintu kereta penumpang di sebelah pemandu. Dengan senyuman, Haikal menghulur tangan menyambut gadis yang keluar dari kereta.
Sakit hati Suraya melihat Beel turun dari kereta. Nampak sangat Haikal yang melebih-lebih melayani Beel. Kerana Beel langsung tidak mempedulikan huluran tangan Haikal, tapi Haikal memaksa Beel memegang tangan Haikal. Membuatkan Beel mencubit lengan Haikal.
Suraya menjeling sakit hati. ‘Buat-buat tak nak konon. Gatal!’ marahnya pada adik sepupunya itu. Langkah kaki diatur laju menuju ke arah mereka.
“Ehem, ehem..” Suraya menegur dengan wajah selamba.
Beel kaku seketika melihat wajah kakak kesayangannya. Langsung dia menjauh dari Haikal. Haikal yang turut terkaku tidak sempat menghalang. Tiba-tiba sahaja, Beel sudah berada lebih tiga langkah jauh darinya.
Suraya tersenyum memandang Beel. “Lama Kak Su tak jumpa Beel. Sihat?”
Beel mengangguk. Menghulurkan tangan mahu menyalam sekaligus menunjukkan rasa hormatnya. Suraya memandang tangan Beel yang terhulur. Kakinya maju melangkah ke arah Haikal. Langsung tangan memaut lengan Haikal manja.
Beel memandang Haikal sesaat dua. Dan kemudian tersenyum. “Kak Su dengan Haikal sembanglah. Beel nak jumpa opah”.
Suraya tersenyum sambil kepalanya dilentok kemas di bahu Haikal. Beel berlari anak meninggalkan Suraya dan Haikal. Dia tidak sakit hati. Dia tidak cemburu. Dia tidak marah. Dia tidak rasa apa-apa.
“So.. Bila awak nak ikut saya tengok pelamin?” Suraya menyoal bila Beel hilang dari pandangannya.
Haikal menarik nafas sedalamnya. Baginya, kali ini Suraya keterlaluan! Bukannya Suraya tidak tahu status yang dipegang Beel. Suraya tidak ada hak memperlakukan Beel seperti ini!
Tangan Suraya yang melingkari lengannya ditanggalkan perlahan. Dan tubuh Suraya ditolak agar menjauh dari. “Su, please.. Berapa kali awak nak saya cakap yang saya dah jadi suami orang. Beel isteri saya yang sah. Dan saya takkan kahwin dengan awak sebab saya dah ada isteri”.
Suraya memandang Haikal. Wajahnya mempamerkan senyuman sedang hati yang terbakar, hanya Tuhan yang tahu. “Saya boleh jadi isteri kedua kalau awak tak nak ceraikan Beel”.
“Su, tolonglah. Awak faham tak? Antara kita dah tamat sejak awak hilangkan diri pagi hari pernikahan tu. Bila saya lafazkan akad menjadi suami Beel, antara kita dah tak de apa-apa. Tak ada apa-apa. Awak faham tak?” Haikal bertegas.
Suraya mengetap bibir. Kepalanya tiba-tiba teringat peristiwa yang berlaku pagi itu. Tidak. Dia tidak boleh lemah. Dia harus lawan. Bukan salah dia jika dia dirogol hingga tidak dapat hadir ke majlisnya sendiri.
“Awak sendiri tahu awak bakal pengantin lelaki saya. Bukan Beel. Kenapa awak rela dinikahkan dengan dia? Apa yang berlaku pagi tu, bukan salah saya. Awak ingat saya nak ke terlantar kat hospital berhari-hari seolah bagi peluang untuk awak dengan Beel bersama?”
“Benda dah lepas lah Su. Sekarang saya suami Beel. Macam mana kita orang boleh nikah tak penting. Yang penting sekarang kita orang dah nikah. Jadi awak bukan sebahagian hidup saya lagi” Haikal membalas.
Suraya menarik nafas, memejam mata sesaat dua. “I don’t care. Awak milik saya. Saya akan pastikan awak bercerai dengan Beel, dan nikahi saya!”
“Saya takkan sesekali ceraikan Beel” Haikal mengeraskan suara dan langsung berlalu masuk ke dalam rumah. Baginya melayan Suraya sama seperti melayan orang gila.

##########

Langkah Beel terhenti melihat sekujur tubuh wanita tua yang setia duduk di sofa menonton televisyen. Rindu. Rindu yang teramat sangat.
Yang turut mengejutkan Beel, apa yang ditontonnya. Siri drama Taiwan yang sangat dia minati. Beel menguntum senyum lebar. Jelaslah bahawa opah merindukannya. Kerana sebenarnya opah langsung tidak sukakan siri drama luar negara.
Jari diletakkan di mulut sebaik terpandang Irah yang membulat mata memandangnya. Dan Irah mengangguk dan terus menundukkan kepala. Tidak lagi memandang cik muda kesayangannya. Bimbang disedari Puan Sri Normah.
Lambat Beel berjalan mendekati opahnya. Perkara pertama yang dilakukan, menutup kedua mata opahnya menggunakan tangan. Dan Beel membuat suara besarnya. “Siapa?”
“Beel!”
“Ala… Opah ni…” Beel langsung duduk di sisi opahnya dan memeluk wanita itu.
Irah ketawa kecil melihat gelagat manja cik mudanya. “Puan sri yang besarkan Cik Beel. Takkanlah puan sri tak kenal suara Cik Beel..”
“Eleh Kak Irah. Kak Irah dengan Mak Jah tu memang suka menangkan opah je..” Beel langsung berbaring beralaskan paha opahnya.
Puan Sri Normah tersenyum mendengar kata-kata Beel. Irah ketawa lagi dan meminta diri untuk menyambung kerjanya yang masih belum selesai.
“Lama Beel tak datang tengok opah” Puan Sri Normah memandang wajah Beel yang berbaring padanya.
Beel sengih. Sebolehnya cuba menyembunyikan riak wajah yang boleh membimbangkan opahnya. Tidak mahu opah akhirnya tahu tentang apa yang telah berlaku antara dia dan Haikal.
“Beel kan dah jadi isteri orang. Mestilah sibuk… Opah marah Beel ke?” Beel memuncungkan mulutnya.
Puan Sri Normah membelai kepala Beel. “Takkan opah nak marah Nab kesayangan opah ni. Selalu Beel kirim hadiah je kat Haikal.. Opah nak Beel tahu, hadiah-hadiah yang Beel kirim tu semua tak penting, yang penting opah nak Beel sendiri yang datang. Beel sendiri yang muncul depan opah ni”.
Beel sengih lagi. Jadi inilah sebabnya. Inilah yang membuatkan opah langsung tidak tahu apa yang berlaku. Sebenarnya, Beel hairan mendengar ayat Haikal ketika mereka bertikam lidah di tepi jalan beberapa hari lalu. ‘Keluarlah. Kalau awak keluar sekarang, saya telefon opah bagitahu semuanya!’
Tapi Beel faham itu membawa maksud apa. Bererti opah langsung tidak tahu akan pemergiannya. Opah langsung tidak tahu akan rajuknya. Opah tidak tahu apa-apa.
Dan tentunya dia sangat berterima kasih pada Haikal kerana hal itu. Teramat berterima kasih. Satu-satunya hal yang dia risaukan ketika di Terengganu hanyalah opahnya. Bimbang benar jika opah tahu dia melarikan diri. Bimbang reaksi yang diberika opah kesayangannya.
Beel berbaring mengiring menghadap opah. Wajahnya tidak jauh dari perut opahnya. Dan tangannya melingkari pinggang opah. Memeluk opahnya sekuatnya. Melepaskan segala perasaan dalam diam.
Puan Sri Normah melepas nafas. Hanya mengusap kepala cucunya tanpa henti. Jauh di sudut hati, dia tahu ada sesuatu yang telah berlaku. Walau risau bagaimana pun, bertanya bukanlah pilihan yang tepat.
Beel telah melangkah ke alam baru. Dia sudah pun menjadi isteri orang. Sekiranya Beel merahsiakan perkara yang telah berlaku, bererti itu benar-benar hal di antara mereka berdua. Dan dia sebagai opah hanya akan memberi sokongan dan menasihat. Tidak akan sesekali mencampuri urusan mereka hingga menjadi batu api di antara keduanya.
Beel mengesat air matanya yang mengalir. Terasa segala kepenatannya hilang hanya dengan memeluk opah. Segalan beban di bahu dan beban fikiran terasa berterbangan bagai daun-daun kering di jalanan. Keluar sendiri dari dirinya.
Dia tiba-tiba teringat akan Haikal. Haikal sedang berbual dengan Kak Su di luar. Apa agaknya yang berlaku antara mereka? Apa agaknya yang menjadi topik perbualan mereka?
“Assalamualaikum”.
Beel langsung memejam mata. Suara Haikal! Bererti Haikal sudah selesai berbincang dengan Kak Su.
Puan Sri Normah menguntum senyum sambil memandang cucu menantunya itu. Haikal menyalami wanita itu dan mengambil tempat di sofa satu yang tersedia. “Opah sihat?”
“Kalau tak sihat pun, bila tengok cucu kesayangan opah ni, terus sihat. Terima kasihlah sebab kali ni bawa Beel sekali. Haikal mesti tahu opah rindu Beel kan?”
Haikal tersenyum. Kalaulah opah tahu.. Bukannya kali-kali sebelum ini dia tidak mahu membawa isterinya itu, tapi isterinya tidak wujud di rumah. Tidak wujud. “Dah lama Beel tidur?”
“Adalah dalam 15 minit. Nak balik dah ke?”
Haikal menggeleng kepalanya. “Kami stay sampai malam. Biar Beel enjoy puas-puas”.
Puan Sri Normah senyum lagi. “Susah ke jaga cucu opah ni?”
Haikal ketawa mendengar soalan Puan Sri Normah. Ketawa yang benar-benar ketawa. Ketawa yang tidak dibuat-buat. Tidak menyedari Suraya yang melihat dari pintu masuk menyimpan 1001 perasaan. Yang nyata sakit hati.

##########

“Kau sengaja kan?”
Beel yang sedang meneguk air putih di dapur tersedak mendengar suara juga kata-kata itu.
“Tak payah nak terkejut sangatlah”.
Beel menoleh memandang empunya suara. “Kak Su”.
Suraya memandang wajah adik sepupunya itu. “Kau balik kenapa? Kau ingat aku tak tahu yang kau lari hari tu?”
“Kak Su..” Beel menyebut nama itu lagi. Langsung tidak menyangka Kak Sunya mengetahui hal itu.
Suraya melepas nafasnya. “Aku sebenarnya lagi suka kalau kau tak muncul dah depan Haikal. Atau pun kau kahwin je terus dengan abang Wan kesayangan kau tu”.
Beel diam di posisinya. Sesungguhnya dia tiada niat untuk membalas kata-kata Suraya seperti yang biasa dia lakukan sebelum ini. Semuanya kerana dia sedar dia telah merampas hak Suraya. Haikal.
“Kenapa diam? Kau dah tak de mood nak gaduh dengan aku ke?” Suraya terus memprovokasi Beel.
Beel memandang Suraya. “Kak Su sihat?”
“Kau ada nampak aku macam tak sihat ke? Kau dengar sini, lagi seminggu tarikh perkahwinan aku dengan Haikal. Kau jangan macam-macam sampai aku tak jadi kahwin. Kalau perkahwinan ni batal sekali lagi…”
“Beel takkan buat Kak Su sedih lagi” Beel memintas kata-kata Suraya.
Suraya terdiam buat beberapa ketika. Separuh hatinya tahu bahawa Beel memang sayangkannya. Dan semua yang berlaku ini bukanlah kehendak Beel. Dia sendiri tahu betapa Beel bencikan Haikal suatu masa dulu.
Tapi separuh hati menidakkannya. Bukankah Beel yang merampas segalanya dari hidup Suraya? Opah, papa dan sekarang Haikal. Tidakkah itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa Beel memang berniat untuk menghancuri hidupnya?
“Takkan buat aku sedih lagi? Kalau kau memang tak nak buat, dah lama kau bercerai dengan bakal suami aku. Takkan buat aku sedih lagi?” Suraya menyindir Beel.
“Beel tak de niat nak teruskan perkahwinan ni. Beel dah cuba minta cerai. Beel tak nak Kak Su marahkan Beel..”
“Sekarang kau nak cakap Haikal yang terhegeh-hegeh kat kaulah. Macam tu? Kau dah cuba minta cerai tapi Haikal tak nak ceraikan? Macam tu ke?” suara Suraya meninggi. Geram dengan kenyataan yang diberikan Beel.
Beel mula tidak sedap hati. Sungguh dia langsung tidak berniat untuk menyakiti Suraya. “Beel tak maksudkan macam tu. Kak Su, tolonglah. Beel memang tak de perasaan dengan dia. Beel cakap betul..”
“Dah lah Beel..” Suraya menjeling. Dia sudah tiada hati untuk mendengar penjelasan dari gadis itu. Sudah tidak ada hati.

##########

Haikal tersenyum pada Puan Sri Normah yang baru hendak menyelak helaian bukunya. Dan dia bangun dari duduknya mencari kelibat sang isteri yang sedari tadi menghilang.
Langkah kaki langsung menuju ke dapur bila menyedari Suraya juga tidak kelihatan. Kata Beel dia mahu minum air. Mungkin saja Suraya mengikutinya. Dan apa yang mereka berdua lakukan?
“Buat apa tu?” Haikal langsung saja bersuara sebaik tiba di pintu dapur.
Suraya dan Beel sama-sama berdiam. Perlahan keduanya menoleh ke arah pintu dapur. Beel hanya memandang kosong. Sedikit kehairanan mengapa Haikal seperti keburuan namun mulutnya membisu.
Suraya menguntum senyum sambil menjawab, “Saja. Nak berbual dengan adik saya. Awak cari siapa?”
Haikal mengerutkan dahi. Melihat wajah mereka berdua juga dia sudah tahu bahawa ada sesuatu yang dikatakan Suraya dan ia bukanlah sekadar ‘berbual’ seperti yang Suraya nyatakan.
Baru dia hendak melangkah masuk, langkah kakinya berhenti. Apa yang mahu dan boleh dia lakukan? Kalau dia menarik Beel, pasti Suraya akan mengamuk bagai orang gila. Tapi jika dia menarik Suraya, bukankah itu akan melukakan hati isteri kesayangannya?
Beel mengangkat wajah. Dia tahu Haikal serba salah berada di dapur itu. Dalam hati dia ketawa sendiri. Itulah, konon mahu jadi wira penyelamat.. alih-alih diri sendiri yang terperangkap.
“Beel nak pergi tengok opah” Beel memandang Suraya dan terus melangkah meninggalkan dapur.
“Kejap!” Haikal jadi tak keruan bila Beel mahu meninggalkan dia bersama Suraya.
Suraya berdehem. “Haikal, saya bakal isteri awak”.
“Cuma bakal isteri yang saya sendiri tak tahu kita dah ada persetujuan nak bernikah. Tapi yang tu, isteri saya yang sah.. lahir dan batin, undang-undang dan juga syari’at” Haikal memaling tubuh membelakangkan Suraya, mahu mengikut jejak Beel.
Suraya mengetap bibir. Geram menerima jawapan sebegitu. “Haikal! Haikal!” Suraya mula menjerit.
Beel berhenti. Dia paling tidak mahu ini berlaku. Haikal selalu sahaja tidak pandai mencari penyelesaian. Hanya mengikuti kemahuan Kak Su, apa yang susah?
“Jomlah balik” Haikal memaut bahu Beel, mahu mengajak Beel pulang. Namun bunyi kaca pecah dari dapur menghentikan langkah keduanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s