DILARANG NIKAHI AKU – 70

Fah berdiri tegak memandang wajah sahabat yang sudah lama tidak ditemuinya itu. Iyalah, dia sedang sibuk menyiapkan kertas kerja yang bertimbun-timbun di atas meja untuk dibentangkan. Baik dia mahu pun Beel keduanya sibuk dengan urusan sendiri.
“Fah!!” Beel berlari memeluk sahabat kesayangannya itu.
Fah menguntum senyum di dalam dakapan Beel. Tapi tidak lama. Dia merasakan dakapan Beel ada sesuatu yang tersirat. Ada apa-apakah yang berlaku?
Safwan bangun dari sofa dan memaut bahu Beel dari belakang Fah. Tidak sampai hati dia melihat Beel memeluk Fah penuh kesedihan. “Beel…”
Beel melepaskan pelukannya. Memandang abang Wan yang berada di belakang Fah. Senyuman dihadiahkan buat lelaki itu. “Beel ok”.
“Sure?” Safwan menyoal, bimbang kata-kata itu sekadar untuk menyenangkan hatinya.
Beel mengangguk. Fah menjarakkan diri dari Beel agar abangnya boleh berbual dengan Beel secara selesa. Safwan menguntum senyum bila Beel mengambil tangannya dan meletakkan di pipi Beel. “Beel ok”.
Entah dari mana Haikal datang, tiba-tiba menumbuk Safwan hingga lelaki itu rebah. Beel memandang Haikal dengan muka sakit hatinya. “Apa awak buat ni?”
Fah mendekati abangnya yang terbaring di lantai. Memandang Haikal dan Safwan bersilih ganti. “Abang ok?”
Safwan mengangguk. Menyambut huluran tangan dari Beel yang ingin membantunya bangun dari lantai. Haikal menggenggam penumbuknya bila melihat tangan Safwan dan tangan Beel bertemu.
Fah memandang Haikal. Dia mula faham mengapa Haikal memberikan reaksi sebegitu. Jadi benarlah tekaannya bahawa Haikal sudah benar-benar jatuh cinta dengan sahabatnya yang bernama Beel sekaligus isteri Haikal itu?
“Kenapa awak tumbuk abang Wan?” Beel menyoal separuh menengking.
Fah memaut bahu Beel. “Kau dah ada suami” ujarnya perlahan. Haikal memandang Safwan. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menumbuk lelaki itu berpuluh beratus kali. Menyampah benar melihat lagak mesra yang ditunjukkan Safwan terhadap isterinya.
Beel mendiamkan diri. Memandang Haikal yang masih belum reda kemarahannya. Dia mendekati pemuda itu dan memaut tangannya. Jemari Haikal yang membentuk sebuah penumbuk dibuka perlahan. “Saya minta maaf”.
Haikal memandang Beel. Dan Beel memandang Haikal. Haikal sedikit terkejut dengan ucapan yang keluar dari mulut Beel. Apa betul Beel meminta maaf darinya?
“Boleh awak biarkan kami bersembang dengan tenang?” Beel menyoal. Sedikit memerli namun nadanya masih lembut.
Haikal melepas nafas. “Saya nak pergi office”.
Fah dan Safwan memandang Haikal yang melangkah meninggalkan ruang tamu. Dan mereka berpandangan sesama sendiri. Rasanya ada sesuatu yang telah berlaku antara Beel dan Haikal. Kalau tidak mustahil Beel boleh meminta maaf dengan sebegitu lembut. Dan mustahil Haikal akan keluar dari rumah sebelum melihat Safwan keluar dari rumah itu.
Beel duduk di atas sofa. Menarik Fah agar turut duduk. “Kak Su..”
“Kenapa dengan Su?” Safwan menyoal.
Beel memandang Safwan. Memang abang Wan adalah abang yang baik baginya namun cerita itu tidak sesuai untuk diceritakan pada abang Wan. Lantas dia menggelengkan kepalanya.
Fah yang memahami tindakan Beel memandang abangnya. “Abang.. Boleh tak duduk kat luar kejap?”
Safwan mengerutkan dahi dan memandang Beel. Beel mengalih pandangan agar tidak menatap mata Safwan. Safwan menguntum senyum dan melangkah keluar.
“Kak Su mengandung” ucap Beel perlahan.
Fah membulatkan mata. Mengandung? “Mengandung?”
Beel mengangguk. “Dah lapan minggu”.
Fah terdiam seketika. “Anak siapa?”
Beel menggelengkan kepalanya. Fah meraup wajah. Mengapalah hidup Beel seserabut ini? “Haikal tahu tak?”
Beel mengangguk. “Kita orang tahu serentak”.
“Habis Haikal cakap apa?”
“Anak tu bukan anak dia” Beel memaut tangan Fah. Dan melentokkan kepalanya pada bahu Fah.
Fah melepas nafas. Ya, dia percaya anak itu bukan anak Haikal. Tapi… Fah membetulkan duduk. Sekarang bukan masa untuk berfikir segala hal itu. Yang penting sekarang ini, Beel.. Bagaimana dengan Beel?
Fah menolak Beel dari bahunya. Mengahadap wajah gadis itu. “Habis tu sekarang ni macam mana?”
Beel menggeleng. “Kalau aku tahu macam mana, tak delah aku bler macam sekarang ni”.
Fah memandang dengan kerutan dahi. “Haikal nak ceraikan kau tak?”
Beel mengeluh lagi. “Aku malas dah nak ungkit fasal cerai tu. Aku tahu dia bukan nak ceraikan aku pun”.
Fah diam. Dia sendiri tahu hal itu. Tapi jika Beel tidak diceraikan.. bagaimana pula dengan Kak Su? Kalau pun anak yang dikandung Kak Su bukan anak Haikal, pastinya Kak Su akan meminta Haikal bertanggungjawab. Lagi pun, itu pastinya peluang yang baik untuk Kak Su memisahkan Beel dan Haikal.
Beel memeluk Fah. Untuk masa sekarang dia tidak mahu memikirkan apa-apa. Dia hanya mahu memeluk Fah seeratnya. Melepaskan segala beban yang terkumpul di fikiran. Melepaskan segala batu-bata yang berkumpul di bahu. Semuanya akan terlepas hanya dengan memeluk Fah.

#########

“Kau cakap tak masuk hari ni?” Syakir muncul di pintu pejabatnya.
Haikal mengangguk dengan jelingan. Syakir melangkah masuk dengan ketawa kecilnya. “Muka macam ni, kena halau dengan Beel ke?”
Haikal mencapai fail di atas meja dan mencampaknya pada Syakir. Kata-kata Syakir selalu saja menyakitkan hati tepat pada masa. Syakir ketawa besar. Konon mahu menghidupkan suasana, malangnya ia membuatkan wajah Haikal lebih masam mencuka.
“Bakal abang ipar kesayangan kau tulah. Kacau daun betul. Semak aku tengok muka dia” Haikal bersandar pada kerusi.
Syakir mengangguk dengan wajah main-mainnya. “Daun apa dia kacau?”
“Kir!” Haikal mencapai sebatang pen di atas meja dan membalingnya ke arah Syakir. Menyakitkan hati betul!
Syakir meletakkan kembali pen di atas meja. Dipandang wajah Haikal yang benar-benar berserabut pada matanya. “Habis kau nak buat apa sekarang?”
Haikal memandang sekilas dan memaling wajahnya. Kalaulah dia tahu apa yang harus dilakukan, tidaklah dia seperti orang gila sekarang. Di saat dia dan Beel baru ingin mengenali satu sama lain dengan lebih dalam, Suraya mengandung pula. Anak siapa juga dia tidak tahu.
Juga kata-kata Beel malam tadi. Jelasnya Beel mahu dia bertanggungjawab terhadap anak yang dikandung Suraya itu. Pening kepala Haikal memikirkan penyelesaian. Tapi yang dijumpa bukanlah penyelesaian, namun masalah yang makin bertambah.
Syakir melepas nafas melihat Haikal. Dia tahu Haikal bingung dengan situasi sekarang. Iyalah, dia sendiri terkejut bila Haikal memberitahunya Suraya mengandung. Dia kenal sahabatnya itu. Dia tahu anak itu bukanlah anak Haikal. Lalu anak siapa yang dikandung Suraya? Suraya juga tidaklah kelihatan seperti gadis-gadis yang suka berpeleseran seperti gadis-gadis di luar sana.
“Woi!” Syakir memanggil.
Haikal memandang dengan jongketan kening. Syakir meletakkan tangannya di dagu. “Ada tak Beel ungkit fasal cerai? Semalam ke hari ni ke?”
Haikal membuka mata seluasnya. Baru dia sedar, Beel langsung tidak mengungkit soal perceraian akhir-akhir ini. Perlahan bibir mula mengukirkan senyum.
Safwan sakit hati sendiri melihat Haikal senyum sendiri. “Aku tanya ni, ada ke tak?”
Haikal laju menggelengkan kepala. “Tak de”.
Syakir menepuk tangan. “See! Kan aku dah cakap, itu maknanya dia dah terbuka hati nak terima kau. So kau kenalah fikir elok-elok apa yang kau kena buat. Sebelum Beel terlepas dari tangan kau. Bakal abang ipar kesayangan aku tu, tunggu peluang je. Kau pun tahu kan?”
Haikal mengangguk. Tiba-tiba semangatnya seolah kembali semula. Walau apa cara sekalipun, dia tidak akan sesekali melepaskan Beel.
Bunyi nada dering telefonnya mengalih perhatian. Telefon yang berada di dalam poket seluar diambil dan nama pemanggil diperhati. ‘Dari rumah? Mengapa Kak Nia menghibunginya?’
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. En.Haikal kat mana?”
“Kat pejabat, Kak Nia. Kenapa?”
“Ada tetamu datang. Dia kata dia emak Cik Suraya”.
Mata Haikal membulat. Sakinah datang ke rumahnya? Mengapa Sakinah ke rumahnya? “Beel macam mana?”
“Cik Beel tengah bersembang dengan dia. Tapi nampak macam tegang je. Sebab tulah Kak Nia call En.Haikal”.
“Ok. Kal balik sekarang. Kalau apa-apa jadi kat Beel, Kak Nia call Kal tau”. Butang merah ditekan. Haikal mencapai kunci kereta yang tersangkut.
Syakir mengerut dahi melihat gerak-geri Haikal. “Nak pergi mana?”
“Aku nak balik. Aunty Sakinah datang rumah”.

##########

“Mak long nak makan apa-apa ke? Beel boleh minta Kak Nia buatkan” Beel memandang ibu saudaranya itu.
“Itulah kau. Dah dekat setahun kahwin, semuanya nak suruh orang gaji buat. Cik muda mengada!!”
Beel mendiamkan diri. “Mak long datang nak jumpa siapa?”
“Laki kau mana?” Sakinah memandang wajah Beel serius.
Beel diam seketika. “Dia pergi pejabat”.
“Mesti dia lari,kan? Aku nampak Wan dengan Fah datang tadi” Sakinah mencekak pinggangnya.
Beel diam lagi. Mengapalah pak longnya tidak datang sekali? Kalau ada pak long, tidaklah mak longnya asyik ‘menyerang-menyerang’ sahaja.
“Assalamualaikum”.
Sakinah dan Beel sama-sama memandang ke arah dari mana suara itu datang. Haikal melangkah masuk ke dalam ruang tamu. Mengambil tempat di sisi Beel.
“Kenapa aunty datang sini?”
Sakinah memandang Haikal. Kemudian memandang Beel lama. Baginya Beel tidak seharusnya berada di situ. Dia mahu berbicara secara peribadi dengan Haikal.
Beel yang memahami pandangan mata Sakinah bangun dari sofa. Haikal menarik tangan Beel hingga gadis itu terduduk kembali. Lantas tangannya memaut bahu Beel sambil wajah memandang Sakinah. “Beel isteri saya. Dia boleh dengar semua perbualan saya”.
Beel memandang Haikal. Sedikit terkejut dengan tindakan Haikal. Sakinah mengangguk-angguk. “Suka hatilah. Aunty cuma nak cakap sekali je. Haikal kena bertanggungjawab atas kandungan Su”.
“Aunty!” Haikal langsung berdiri tegak.
Sakinah mengangkat keningnya. “Haikal nak cakap anak tu bukan anak Haikal? Haikal nak tuduh Su macam perempuan murahan kat luar sana tu ke?”
Beel memejam mata. Dia sudah agak semua ini akan berlaku. Mahu saja dia berlari meninggalkan mereka berdua di ruang tamu. Tapi memikirkan Haikal yang akan menahannya, niat dibatalkan.
“Tapi anak tu bukan anak Haikal. Haikal rasa aunty sendiri tahu anak siapa yang Su kandungkan” Haikal berbicara dengan suara tegangnya.
“Haikal jangan nak cakap yang Su tu sesuka hati tidur dengan laki sana-sini!” Sakinah meninggi suara. Marah benar orang merendahkan martabat puteri kesayangannya.
“Aunty, tolonglah. Haikal tak cakap Su macam tu. Tapi anak tu bukan anak Haikal. Kenapa Haikal nak kena bertanggungjawab pula? Lagi satu, Haikal dah ada isteri. Beel isteri Haikal yang sah” Haikal menarik tangan Beel hingga gadis itu berdiri.
Sakinah menguntum senyum sinisnya. “Suka hatilah. Yang penting, Haikal kena bertanggungjawab atas apa yang Haikal dah buat pada Su. Kalau Haikal tak ikut cakap aunty, jangan cakap aunty tak bagi amaran bila satu Malaysia dapat tahu yang Haikal Hadzim anak pengusaha terkenal mengandungkan cucu sulung Puan Sri Normah tapi tak nak bertanggungjawab!”

#########

“Papa dah dengar semuanya”.
Haikal memandang. Semasa Sakinah sibuk bercakap tadi, datang pula Hazan entah dari mana. Tapi Hazan tidak memunculkan diri. Ditunggu sehingga Sakinah beredar, barulah ditonjolkan dirinya buat tatapan anak menantu.
“Papa percayakan Kal kan?” Haikal memandang penuh mengharap.
Hazan mengangguk. “Papa jaga anak papa dengan baik. Papa besarkan Kal dengan ilmu agama. Papa tahu Kal takkan buat macam tu. Tapi.. Kal tahu ke anak siapa yang Su kandung?”
Haikal menggeleng. “Beel pula diam je dari tadi. Kal nak buat apa ni papa?”
Hazan melepas nafas. “Kalau mama kamu tahulah.. Papa pun tak tahu nak cakap apa. Tapi Kal…”
Haikal mengangkat wajah memandang papa. Riak wajah dan nada suara yang berubah membuatkan dia merasakan sesuatu. “Kenapa?”
“Papa ingat Kal lepaskan Beel. Papa kesian kat dia. Kal pun tahu dia budak lagi kan? Kalau biar dia terlibat dengan semua ni…”
“No! Never! No!” Haikal meninggikan suaranya.
Hazan mengerut dahi melihat reaksi Haikal. “Kal sayang Beel ke?”
Haikal ketawa kecil. “Of course. She’s my wife after all. Kal takkan lepaskan Beel walau apa pun yang berlaku”.
Hazan tersenyum. “Good. Sekurang-kurangnya Haikal dah ada prinsip sendiri. Papa cuma nak pesan, walau apa pun yang berlaku, walau apa pun keputusan yang Kal buat… Fikir sebelum bertindak. Fikir Beel, fikir mama, fikir semua orang yang ada kat sekeliling Kal. Boleh?”
Haikal tersenyum. Sesungguhnya kepalanya makin berserabut dari masa ke semasa. Langsung tidak membantu keadaannya saat ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s