DILARANG NIKAHI AKU – 71

Dia berdiam diri mendengar kata-kata mama. Dia sudah mengagak hal itu akan berlaku. Nafas turun naik menahan rasa marah yang berkumpul dalam diri.
“Su..” Sakinah menggenggam jemari Suraya bila riak wajah puterinya berubah garang.
“Mama, kita pindah” Suraya mengangkat wajah memandang mamanya. Dia letih. Benar-benar letih dengan semua yang berlaku. Untuk apa dia terus berjuang mendapatkan cinta Haikal kalau sudah terang-terangan Haikal tidak mencintainya?
“Apa Su cakap ni?” Sakinah meninggi suara.
“Su letihlah mama. Biar Su hidup seorang, besarkan anak ni sendiri. Lagi senang” omel Suraya.
Sakinah menggeleng-geleng kepalanya. Pipi Suraya diusap dan wajah itu ditarik agar tertumpu padanya seorang. “Su dengar apa mama cakap. Su tak boleh putus asa. Haikal masih sayangkan Su. Cuma budak tak tahu diuntung tu yang guna-gunakan Haikal. Takkan Su nak anak Su tak de bapa?”
Suraya memandang wajah mama, lama. Memang kata mama ada benarnya. Tapi… Kalau Haikal sudah berulang kali mengatakan dia tidak mahu menikahi Suraya, bukankah itu jelas membuktikan bahawa Haikal memang mencintai ‘budak tak tahu diuntung’ itu?
“Mama tak izinkan Su putus asa. Su nak biar Beel rampas segalanya dari Su ke? Jangan sampai anak yang Su kandung ni pun lebih sayang Beel dari sayang Su!”
Suraya tersentak mendengar kata-kata mamanya. Iya, dia tidak boleh berputus asa saat ini. Semuanya demi bayinya. Apa yang harus dia jawab bila satu saat nanti anaknya bertanya tentang ayah?

##########

Dia melambai tangan melihat gadis kesayangannya itu melangkah keluar dari kelas. Wajahnya jelas menggambarkan betapa ini saat yang ditunggu-tunggu Syakir.
“Hai”.
Fah memandang dengan wajah hairan. Kemudian dia mengukirkan senyum, “Assalamualaikum”.
Syakir ketawa kecil. Tangannya menggaru kepala yang tidak gatal sambil menjawab salam yang diberikan Fah.
“Kenapa awak datang?” Fah menyoal.
Syakir memuncungkan mulutnya. “Saja nak tengok awak.. Tak boleh ke?”
Fah tersenyum nipis. “Yang sebenarnya?”
Syakir melepas nafas. “Saya nak minta maaf bagi pihak Haikal. Dia tumbuk Wan semalam kan?”
Fah menguntum senyum nipis. “Kenapa awak tak cakap dengan abang sendiri?”
“Hish! Tak berani saya. Macam saya tak tahu abang awak benci sangat kat saya. Maklumlah.. Lelaki handsome macam saya ni nak pikat adik dia..” Syakir sengih sendiri dengan lawak yang tidak kelakarnya.
Fah memandang jam di tangan. Lagi lima minit abang akan tiba di kolej. Entah apa masalah abang seorangnya itu. Hari ini tiba-tiba saja tidak membenarkan Fah memandu sendiri, katanya ada rasa hati petanda buruk. Fah menggeleng sendiri. Apa mungkin petanda buruk itu adalah Syakir?
“Kenapa awak geleng kepala?”
“Awak nak cakap tu je?”
Syakir terdiam. Mengapa Fah seperti tidak suka dengan kedatangannya hari ini? Dan Syakir ketawa sendiri. Rasanya tiap kali dia datang, Fah akan memberikan respon yang hambar. Tapi apa boleh buat? Hendak seribu daya!
“Abang saya dah nak sampai. Takut awak tak sempat nak cakap apa awak nak cakap” Fah menerangkan duduk perkara sebenar.
“Awak tahu fasal Su?”
Fah mengangguk. “Kenapa?”
Syakir melepas nafas. “Awak rasa macam mana?”
Fah mengerut dahi. “Macam mana? Kan semua keputusan terletak kat tangan abang Haikal? Macam-mana, macam-mana pun.. Akhirnya tetap ada pihak yang kecewa”.
Syakir mengeluh. “Tapi Beel tahu kan yang Haikal memang tak de niat nak lepaskan dia?”
Fah sekadar mengangkat bahu. Baginya, sebagai teman, kawan dan sahabat yang baik.. Bukanlah urusannya untuk mencampuri kehidupan rumah tangga Beel. Jika Beel memerlukannya, dia sentiasa ada. Tapi dia tidak akan membuat keputusan untuk Beel. Dia hanya akan menasihati dan cuba memperbaiki masalah yang berlaku.
Syakir mengangguk-anggukkan kepalanya. Jawapan ‘mengangkat bahu’ yang diberikan Fah jelas membuktikan Fah tahu. Suara berdehem dari belakang Syakir memeranjatkannya. Dia langsung menoleh ke belakang.
“Assalamualaikum”.
Syakir sengih sambil menjawab salam dari ‘bakal abang ipar’nya yang menyinga. Automatik, tubuhnya menjauh memberi laluan untuk Safwan.
Fah ketawa kecil melihat Syakir. Berlagak berani di hadapannya tapi bila Safwan datang langsung kecut perut. Safwan berdehem melihat senyuman Fah. Bukan dia tidak tahu apa yang diketawakan Fah, tapi dia lebih risau ketawa Fah membuatkan Syakir ‘cair’.
“Kau buat apa kat sini?” Safwan menyoal dengan wajah tidak suka.
Syakir sengih lagi. “Jumpa bakal isteri’ ujarnya perlahan.
“Apa kau cakap?” Safwan meninggi suara.
Fah langsung memaut tangan abangnya bila abangnya yang ‘terlebih melindungi’ itu mula berubah mood. “Abang, jom balik. Fah lapar sangat ni…”
Safwan memandang Fah. Nafas dilepas. “Lain kali kalau kau datang kacau Fah lagi, aku tukar dia masuk U lain”.
Syakir mengangguk, konon memahami. Fikirnya Safwan hanya akan menunggu di luar, siapa yang menyangka Safwan akan masuk hingga ke dalam?
“Jom!” Fah menarik tangan abangnya. Safwan mengeraskan kakinya, masih lagi tajam memandang Syakir.
“Abang!” Fah meninggi suara hingga Safwan melangkah mengikutinya. Bahu Fah dipaut. “Memang patut pun abang tak bagi Fah bawa kereta sendiri, kalau tak mesti mamat tu nak tumpang sekali”.
Fah memandang wajah Safwan. “Bukan Fah tahu dia nak datang hari ni”.
“Maknanya dia selalu datang jumpa Fah lah?”
Fah diam. Nafas dilepas. “Fah cakap apa pun, bukan abang percaya kan?”
Safwan mengangguk dengan cebikan bibirnya. “Tahu pun”.
“Habis buat apa nak cerita lagi?”
Safwan mengeratkan pautannya. “Adik abang ni marah ke? Abang bukan apa.. Abang cuma nak Fah jaga maruah diri. Ingat, kita ni orang Islam.. Fah tu perempuan. Kalau orang nampak, apa orang cakap?”
“Abang.. Kan abang yang besarkan Fah, abang tak kenal lagi Fah macam mana?”
“Kenal” Safwan mengukir senyum. Dia tahu terkadang Fah bosan dengan sikapnya yang terlalu mengongkong, tapi apa yang boleh dilakukan. Fah satu-satunya adik perempuan yang dia punya di dunia.

##########

Dia membuang pandangan jauh ke akuarium yang tidak sebesar mana. Meneliti ikan-ikan yang sibuk menjalani hidup sendiri. Melihat batu-bata kecil berwarna warni yang memenuhi. Bersama rumput rampai yang telah diletakkan di dalamnya.
“Beel”.
Beel mengangkat wajah memandang hadapan. Wajah papa yang tersenyum muncul di hapannya. Dia juga ikut tersenyum melihat senyuman papa.
“Buat apa?” Hazan menyoal.
Beel menggeleng. “Papa dari mana?”
Hazan melepas nafas. Mengambil tempat pada kusyen yang tersedia. “Baru balik dari jumpa client”.
Beel menguntum senyum. Hazan mengusap kepala menantu kesayangannya itu. “Beel penat?”
“Ha?” Beel bagai lambat menangkap maksud di sebalik pertanyaan bapa mertuanya.
“Papa yang tengok ni pun penat. Takkanlah Beel tak penat kan?”
Beel mendiamkan diri. Mula menangkap maksud di sebalik kata-kata Hazan. Hazan memandang wajah Beel serius. “Beel rehatlah”.
Beel memandang Hazan dengan kerutan dahi. Hazan mengangguk, “Beel pergi rehat dekat resort papa kat Johor. Rehat puas-puas. Nanti balik KL, dah segar sikit”.
“Papa…” Beel bagai kehilangan kata-kata. Papa selalu saja tahu apa yang dia perlukan, sama seperti opah.
Hazan mengangguk. “Beel siaplah. Papa minta pemandu hantarkan sampai Johor. Bertolak petang ni kalau Beel nak?”
Beel mengangguk. Lantas tangannya memaut tubuh Hazan. “Terima kasih papa”.
Hazan mengangguk. Mengusap belakang Beel penuh kasih. Keduanya tidak menyedari ada sepasang mata dan telinga yang menjadi saksi perbualan mereka.

##########

Senyum dikuntum pada penyambut tetamu yang menunggunya turun dari kereta. Bersama seorang pelayan lelaki yang membantunya menarik bagasi kecil yang tidak sebesar mana.
“Silakan Puan Nabilah” penyambut tetamu itu menguntum senyum meraikan tetamunya.
Beel mengerut dahi mendengar panggilan yang diberikan penyambut tetamu itu. “Mana awak tahu nama saya? Lagi satu.. Kenapa panggil saya puan?”
Penyambut tetamu itu terus tersenyum. Membawa Beel melangkah masuk ke dalam menuju ke bahagian kaunter. Beel tergamam melihat gambar yang terpapar di dinding kaunter. Gambar keluarga terpampang sebesarnya. Gambar papa, mama, Haikal dan dirinya.
Tidak pernah pula mereka sekeluarga bergambar. Pandai papa mengupah jurugambar. Dan ada lagi bingkai gambar yang membingkaikan gambar mama dan papa. Serta bingkai gambar lain yang membingkaikan gambar dia dan Haikal.
“Tuan Hazan dah bagitahu yang Puan Nabilah akan ke sini. Kami dah sediakan semuanya untuk puan” penyambut tetamu yang kelihatannya sebaya Suraya itu menerangkan.
Beel mengangguk. “Janganlah panggil Puan Nabilah. Panggil Beel je. Tak selesa pula orang panggi puan-puan ni”.
Senyum diberikan lagi buat Beel. Beel membalas senyumnya. Nampaknya pekerja-pekerja di sini memang suka menguntum senyum. Beel melihat-lihat keadaan sekeliling. Resort ini memang tenang sesuai dengan apa yang dia mahukan. Harapnya, biarlah dia dapat merehatkan diri dari segala kekacauan yang sedang berlaku.

##########

Hazan dan Haikal saling berpandangan bila pintu bilik menonton dibuka dari luar. Alat kawalan jauh yang berada di tangan Haikal ditekan.
“Maaf, tuan. En.Haikal” Nia melangkah masuk ke dalam.
Hazan dan Haikal keduanya diam menanti kata-kata seterusnya dari Nia. Nia menarik nafas sedalam mungkin sebelum memulakan ayat. Tidak pasti adakah dia datang mengganggu waktu rehat majikannya. “Cik Su datang”.
“Suraya?” Hazan memandang puteranya.
Haikal melepas nafas. Apa lagi masalah yang akan berlaku? Selepas satu, satu. Baru sehari Beel tiada di rumah, Suraya sudah datang.
“Pergilah sambut Su” Hazan memberi arahan setelah melihat Haikal seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Haikal menarik nafas sedalamnya. Lantas dia bangun dari sofa dan meninggalkan papanya menonton sendirian.

##########

“Kenapa awak datang sini?”
Suraya mengangkat wajah memandang Haikal yang jelas menunjukkan wajah tidak senang.
“Kenapa awak datang?” Haikal menyoal buat kali kedua sambil mengambil tempat di hadapan Suraya.
“Mama cakap awak tak nak.. Awak tak nak..”
Haikal memandang Suraya yang tiba-tiba menjadi gagap. “Tak nak jadi pak sanggup untuk anak awak tu?”
Suraya diam. Namun mata masih memandang Haikal. Haikal melepaskan sebuah keluhan. “Memanglah. Anak tu bukan anak saya. Awak sendiri tahu anak tu anak siapa”.
Suraya menunduk seketika. Dan memandang Haikal kembali dengan wajah kecewanya. Langsung dia tidak menyangka Haikal akan mengeluarkan kata-kata sebegini kejam.
Haikal mengeluh lagi bila air mata Suraya mula mengalir. “Macam nilah. Awak dah tahu yang saya dengan Beel suami isteri. Awak dah tahu yang saya ni suami orang. Kalau ya pun lelaki tu tak nak bertanggungjawab, tak boleh ke awak cari orang lain? Kat luar sana tu ramai lagi lelaki yang sukakan awak Su. Kenapa mesti nak hancurkan hidup adik awak sendiri?”
Suraya menggenggam penumbuknya. Rasa sedih mula bertukar menjadi geram dan marah. “Sebab dia yang rampas awak dari saya. Kalau saya tak mengandung pun, awak tetap kena kahwin dengan saya. Tarikh pernikahan dah dekat, tinggal empat hari je lagi. Awak nak malukan keluarga awak ke?”
Haikal sengih. “Siapa yang akan malu? Saya atau awak kalau perkahwinan tu tak jadi? Sejak awak balik, saya dah cakap dengan awak yang saya takkan kahwini awak. Saya takkan duakan Beel. Lebih-lebih lagi, dengan kakak dia sendiri. Walaupun cuma kakak sepupu, awak tak tahu ke betapa Beel sayangkan awak?”
Suasana mulai tegang bila keduanya tidak mahu mengalah. Suraya bangun dari duduknya. “Beel! Beel! Beel! Kenapa semua orang dalam dunia ni pilih Beel? Apa lebihnya dia dari saya? Cantik pun tak, pandai pun tak, nak cakap fasal perangai..dah tua bangka pun perangai macam budak-budak lagi”.
“Nak tahu apa lebihnya Beel? Dia tak akan persoalkan ‘Kenapa orang lebih sayang awak’ kalau awak ada kat tempat dia. Mulut dia jahat saya tahu, melepas, cakap tak fikir. Tapi hati dia.. Lagi putih berkali ganda dari hati awak”.
Suraya mula mengamuk bila Haikal terus-terusan memenangkan Beel. “Saya tak kira! Awak tetap kena jadi ayah budak ni. Saya boleh kalah dengan siapa saja, tapi bukan dengan Beel!”
Haikal menggeleng-geleng melihat sikap Suraya yang asyik memikirkan soal ‘kalah atau menang’ dengan Beel. Matanya dipejam seketika melepaskan beban. Dan akhirnya dia meninggalkan Suraya di ruang tamu. Haikal sudah nekad, dia akan pergi dari Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s