DILARANG NIKAHI AKU – 72

“Beel”.
Dia yang sedang menjamah sarapan menoleh ke belakang. Mata membulat melihat Haikal berdiri tegak di belakangnya. Beel memandang ke hadapan semula dan menoleh ke belakang kembali.
Dahi berkerut melihatkan tiada sesiapa di belakangnya. Berkali matanya digosok-gosok namun jelasnya tiada sesiapa di situ.
Beel melepas nafas. “Apa kena dengan aku ni?” Beel membebel sendiri. Mahu lari dari Haikal tapi dia sendiri yang berhalusinasi melihat lelaki itu.
Dia mencapai majalah yang terdapat di atas meja setelah selesai bersarapan. Melihat perkembangan-perkembangan terkini.
Mata berkerut melihat Haikal tersenyum sambil memegang produk kecantikan D’Herbs. Nafas ditarik perlahan dan majalah itu ditutup seketika. Saat majalah itu dibuka kembali, Haikal sudah digantikan dengan model lain.
Beel menggeleng kepalanya laju-laju. “Beel.. Apa yang tak kena dengan kau ni?”
Majalah yang tadinya ingin dibaca disimpan kembali. Ada yang tidak kena dengan dirinya. Beel bangun dari sofa. Lebih baik dia tidur, moga Haikal tidak hadir dalam mimpinya.

##########

Suraya memandang kalendar yang tersangkut di biliknya. Pertemuan dengan Haikal tadi memang sangat menyakitkan hati. Kata-kata yang dilontarkan Haikal…
Dia memejam mata sambil tangan berpaut pada almari baju. Nafas ditarik dan dilepas perlahan menenangkan diri. Suraya menarik kerusi pada meja kerjanya dan membuka komputer riba.
Air mata yang ditahan akhirnya turun mengalir membasahi pipi. Suraya menarik nafas perlahan. Tisu dicapai dan air mata yang mengalir dikesat. Namun air matanya tidak mahu berhenti dari terus mengalir.
‘Macam nilah. Awak dah tahu yang saya dengan Beel suami isteri. Awak dah tahu yang saya ni suami orang. Kalau ya pun lelaki tu tak nak bertanggungjawab, tak boleh ke awak cari orang lain? Kat luar sana tu ramai lagi lelaki yang sukakan awak Su. Kenapa mesti nak hancurkan hidup adik awak sendiri? Siapa yang akan malu? Saya atau awak kalau perkahwinan tu tak jadi? Sejak awak balik, saya dah cakap dengan awak yang saya takkan kahwini awak. Saya takkan duakan Beel. Lebih-lebih lagi, dengan kakak dia sendiri. Walaupun cuma kakak sepupu, awak tak tahu ke betapa Beel sayangkan awak? ‘
‘Nak tahu apa lebihnya Beel? Dia tak akan persoalkan ‘Kenapa orang lebih sayang awak’ kalau awak ada kat tempat dia. Mulut dia jahat saya tahu, melepas, cakap tak fikir. Tapi hati dia.. Lagi putih berkali ganda dari hati awak. ‘
“Apa lebihnya kau dari aku?!” Suraya menjerit melepaskan tekanannya.
Nafas ditarik menenangkan diri. Suraya berpindah kedudukan ke katil. Perutnya yang mula berombak disentuh. “Sayang.. Jangan macam ni”.
Suraya berbaring. Dia tidak akan mempersoalkan mengapa dia hamil anak ‘bajingan’ itu. Tapi, dia akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk memastikan dia menjadi isteri Haikal yang sah. Apa cara sekalipun.

##########

Dahi berkerut mendengar loceng pintu biliknya berbunyi. Sedangkan kerana pesanannya tempoh hari, tiap kali petugas resort mahu ke biliknya pasti ada petugas kaunter yang menghubunginya terlebih dahulu.
Jam dinding dipandang. Sudah jam 11.15 malam. Siapa pula yang datang ke biliknya malam-malam begini? Beel berdebar tiba-tiba.
Loceng biliknya berbunyi lagi. Beel bangun dari katil dan melangkah keluar dari bilik tidur. Penyapu yang tersangkut dicapai dan dipegang erat. Lantas langkah perlahan menuju ke pintu.
Selak ditarik dan tombol pintu dibuka. Mata membulat melihat Haikal berdiri tegak dengan wajah suramnya.
Haikal memandang wajah itu. Wajah yang menjadi kerinduannya saban hari. Perlahan, langkah kakinya menuju ke arah gadis bernama Nabilah Anisah itu.
Tubuh kecil itu dirangkul perlahan. Dipeluk erat bagai tidak bertemu sudah bertahun lamanya. “Saya cintakan awak..”
Penyapu yang berada di tangan Beel akhirnya terlepas secara tiba-tiba. Terjatuh dari tangan menuju ke lantai. Dan air mata yang datangnya entah dari mana, mengalir terus-terusan tanpa mahu berhenti.

#########

Suis lampu biliknya dipetik mendengar bunyi yang mencurigakan dari dapur. Setelah biliknya terang, Fah mencapat sepit rambut yang berada di atas meja dan melangkah turun ke bawah.
Melihat lampu dapur yang menyala membuatkan dahinya berkerut. Langkah laju menuju ke dapur. “Siapa?” lantang Fah bersuara.
Kepala Safwan muncul dari pintu dapur dengan senyuman. Membuatkan Fah sedikit terkejut. Safwan melangkah keluar dari dapur dan menarik kerusi di meja makan.
“Abang tak tidur ke?” Fah menyoal sambil mata melihat jam dinding. Hampir pukul 1.00 pagi.
Safwan melepas nafas. “Fah pun tak boleh tidur ke?”
Fah mencebik. “Dah lena pun. Terjaga dengar bunyi kuat dari dapur tu lah. Ingatkan tikus ke apa”.
Safwan ketawa kecil. “Abang tak boleh tidur”.
“Kenapa?” Fah melangkah mengambil tempat di sisi abangnya.
Safwan mengeluh. “Entahlah” dia sendiri sejujurnya tidak tahu apa masalahnya. Mengapalah dia tidak boleh melelapkan mata? Asyik teringat dan terbayang wajah Beel.
“Abang…” Fah memanggil.
“Abang tak sedap hati”.
Fah ketawa besar. “Hati abang sedap sangat ke sebelum ni?”
“Fah!” Safwan meninggi suara.
Fah menguntum senyum manisnya. Melihatkan senyuman adiknya itu, Safwan menekan pipi Fah agar dia tidak lagi tersenyum. “Suka sangat senyum macam tu. Lain kali jangan senyum macam tu lagi. Patutlah Syakir tu dah macam sasau dah abang tengok”.
Senyum diberikan lagi buat abang kesayangan. “Abang cakaplah betul-betul. Kenapa tak boleh tidur?”
“Teringat Beel”.
Fah mengerut dahi. “Beel?”
Safwan menganggukkan kepalanya. “Kita pergi cari Beel kat rumah Haikal?”
“Gila! Kalau teringat Beel, pergi sembahyang sunatlah abang! Beel tu dah jadi bini orang tau! Isteri abang Haikal yang sah! Fah malaslah nak cakap dengan abang fasal ni. Dah lah, Fah nak naik tidur. Jangan esok Fah dengar abang bawa Beel lari sudah!” Fah bangun dari kerusi dan menaiki tangga menuju ke biliknya.
Safwan melepas nafas. Hanya menghantar Fah dengan pandangan mata. Dia tahu Fah benar-benar marah padanya. Tapi apa yang harus dia lakukan? Bukan mudah mahu membuang Beel dari hatinya. Kalaulah ianya senang, sudah dia lakukan sejak hari pertama Beel bergelar isteri.

########

Tangan dialih dari sisi tubuh. Sesuai mengikut keadaan tubuhnya yang tadi baring terlentang dan kini baring mengiring. Hasrat di hati mahu memeluk sang isteri yang menjadi peneman tidurnya.
Kosong. Haikal lantas bangun dan memetik suis lampu tidur. Mata dipisat-pisat bagi mencerahkan pandangan. Lantas terlihat Beel yang bertelekung memberi salam terakhir dalam solat tahajudnya.
“Beel” Haikal menegur.
Beel memandang. Nafas ditarik perlahan. “Bangunlah, dah nak Subuh ni. Awak pernah cakap.. Awak.. Awak pernah cakap nak imamkan solat saya”.
Haikal menarik nafas sedalam mungkin. Ada sesuatu yang berada dalam pandangan mata isterinya itu. Apakah Beel marah akan apa yang telah berlaku? Apakah Beel sedih atas apa yang terjadi antara mereka?
Selimut yang menutupi tubuhnya ditarik dan dia mendekati Beel. Duduk di sisi gadis itu, menarik tangan Beel yang dilitupi kain telekung. “Beel”.
Beel menjauhkan diri dari Haikal. Bimbang wudhu’nya terbatal. “Awak siaplah cepat. Kalau awak tak nak imamkan saya, saya solat dulu”.
Haikal memejam mata buat seketika. Bangun dari duduknya dan melangkah menuju ke bilik air. “Saya nak imamkan awak”.
“Nanti bawa saya pergi Pejabat Agama. Saya nak cerai” tegas Beel bersuara.
Haikal memandang lama. Dahi berkerut mendengar kata-kata gadis itu. Namun apa pun yang dibalasnya saat ini, Beel tidak akan sesekali mendengar atau memberi tumpuan. Menunjukkan dia tekad mahukan sebuah perceraian.
Dan Haikal juga nekad. Dia tidak akan sesekali menceraikan Beel. Lebih-lebih lagi, setelah apa yang berlaku antara mereka malam tadi. Dia tidak akan melepaskan wanita yang telah menjadi isterinya lahir dan batin.

##########

Syakir tersenyum mendengar kata-kata Haikal dari corong telefon bimbitnya.
“Yelah, kau sukalah tu”.
“Bukan masalah suka tak suka. Aku.. Rasa lega” suara Haikal berbunyi jelas menunjukkan dia tersenyum manis.
“Dah lah. Pergi settlekan masalah kau. Kalau Beel tu lari padan muka”.
Butang merah ditekan menamatkan panggilannya. ‘Semoga kau dapat apa yang kau nak,Kal’.
“Siapa?”
“Haikal”.
Dia menguntum senyum melihat gadis di hadapannya tersenyum. “Fah, kenapa awak senyum?”
“Abang Haikal ada cakap fasal Beel kan?”. Fah menyoal dengan jongketan keningnya.
Syakir mengangguk. “Beel ada call awak ke?”
Fah menggeleng dengan senyuman. Dia saja meneka kerana teringat keadaan abangnya malam tadi. Manalah tahu, kalau benar abangnya tidak sedap hati kerana Beel bersama suaminya.
“Suka tengok awak senyum. Kalau awak dah habis belajar nanti, saya nak masuk meminang a..”
“Dah. Awak nak saya bagitahu abang ke yang awak datang menyibuk kat U hari ni?” Fah memotong kata-kata Syakir. Dengan senyuman, dia menyuapkan maggi goreng di dalam pinggan ke mulut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s