DILARANG NIKAHI AKU – 74

Dia menguntum senyum melihat resume yang terletak kemas di dalam fail di pegangannya. Nafas dilepas tanda berpuas hati. Haikal yang sedang memesan minuman di kaunter dipandang.
Jauh di sudut hati, dia sangat berterima kasih pada opah yang telah menjodohkan dia dengan Haikal. Dam tentunya ribuan dan jutaan terima kasih buat Haikal yang sudi menjalankan tugas sebagai seorang suami yang amat-amat baik.
Dia senyum lagi. Senyum selebar-lebarnya. Mana mungkin dia menyangka semua ini. Perancangan Haikal begitu teliti. Haikal telah menyediakan tempat tinggal, sebuah kondominium yang terletak berdekatan laut. Laut pastinya sesuatu yang sangat dia sukai.
Haikal juga menguruskan pendaftarannya. Dia sendiri terkejut mendapati maklumat-maklumat diri yang diperlukan sudah berada di tangan Haikal. Siap dengan beberapa keping gambar pasportnya.
“Minum” Haikal menghulurkan limau ais yang diminta Beel.
Beel menyambut huluran Haikal dengan senyum manisnya. “Terima kasih”.
Haikal mengetap bibir. “Kalau dengan orang lain jangan senyum macam tu. Saya tak suka”.
Beel membuat wajah kehairanan. “Senyum macam mana?”
“Senyum macam tadilah. Saya tak suka awak senyum macam tu dengan lelaki lain” Haikal membuat wajah serius. Membuktikan betapa dia melarang.
Beel ketawa. Mulanya ketawa kecil hingga akhirnya bertukar menjadi ketawa besar yang terbahak-bahak. Haikal memandang dengan kerutan dahi. “Kenapa?”
“Awak cemburu ke?” Beel menyoal dengan sengihannya.
Haikal mengangkat bahu sambil menjongket kening. “Mestilah cemburu. Esok lusa kalau ada lelaki kacau awak, awak nak bagitahu ke yang awak tu isteri orang? Ingat saya tak tahu ke yang awak isi borang status bujang? Cincin kahwin pun tak nak sarung. Entah-entah awak dah campak dalam kolam ikan Villa An tu”
Beel mencebik bibir. Konon mahu mengusik Haikal, alih-alih dia pula yang terusik. Mustahillah dia mahu mengisi borang dengan status sudah berkahwin, tidakkah ianya aneh bagi gadis berusia 20 tahun sepertinya?

##########

“Kalau ada apa-apa jadi, panggil pengawal kat bawah tu. Tak pun kalau awak takut sangat, awak call je saya. Tahulah saya nak buat apa”.
“Ya”.
“Cuti dua hari ni awak duduklah kat rumah. Kalau awak bosan, call nombor yang saya bagi tu. Tu nombor driver yang saya upah untuk awak. Nanti dia akan ambil hantar awak dari U”.
Beel melepas nafas. “Ya, Haikal..”
“Awak tak boleh bagitahu opah awak kat mana tau”.
“Ya saya faham bos. Dahlah.. Cepatlah gerak. Nanti awak penat, tak sempat sampai KL”.
Haikal melepaskan genggaman tangannya. “Awak jaga diri elok-elok tau”.
Beel ketawa kecil. “Dahlah pergi cepat. Moga selamat sampai” dan Beel menolak tubuh Haikal hingga dia melewati pintu.
“Bye..” Beel melambaikan tangan pada suaminya yang manja ‘tiba-tiba’ itu.
Haikal melepas nafas. Kelihatannya Beel tidak sabar-sabar mahu dia pergi. Apakah dia sebelah pihak saja yang merasakan berat untuk berpisah? Beratnya hati dan tubuh untuk meninggalkan isterinya?
Beel melangkah mendekati Haikal. Tangan Haikal dicapai, disalam dan dicium sesuai apa yang harus dilakukan seorang isteri terhadap suaminya. “Selamat jalan” dan Beel terus masuk, langsung menutup pintu rumah.
Berdiri di balik pintu, Beel menenangkan hatinya. Jemarinya digenggam bagi meredakan hati yang berdebar-debar.. Bunyi mesej masuk membuatkan dia berlari anak mencapai telefon bimbit yang terletak di atas sofa.
‘Patutnya awak cakap ‘Jumpa lagi.’ Bukan ‘Selamat Jalan’. Jumpa lagi, sayang awak’.
Dan Beel menguntum senyum. Bahagia.

###########

Suraya gelisah memandang jam dinding. Majlis akan bermula jam 11.00 pagi. Dan sekarang sudah jam 10.30 pagi namun Haikal masih belum muncul.
Dia cuba berlagak normal dengan senyuman sambil disolek mak andam yang diupah mamanya. Mak andam yang sememangnya banyak cakap itu tidak habis membebel kerana kegelisahan yang dipamerkan Suraya.
Bunyi pintu diketuk beberapa kali menambah bebelan mak andam. Suraya mulai rimas dengan mulut mak andam yang tidak habis-habis berkata-kata. Namun saat pintu terbuka, kerimasannya itu terbang entah ke mana.
“Ehem..” Haikal berdehem. Menyedarkan mak andam dan dua pembantunya bahawa dia yang mengetuk pintu.
Mak andam menoleh dan memerhati. Kemudian tersengih bagai kerang busuk. Bakal pengantin lelaki rupanya. Tapi mengapa bakal pengantin lelaki masih belum bersiap?
“Saya ada benda nak cakap dengan Su”.
“Boleh..” ujar mak andam sambil menarik dua pembantunya melangkah keluar dari bilik itu.
Haikal mendekati Suraya. Dan dia duduk di atas katil menghadap Suraya yang menatap cermin. Suraya memaling tubuh agar dia berhadapan dengan Haikal.
“Kenapa awak tak siap lagi?” Suraya menyoal sambil mata menjeling pada jam yang tertera di dinding.
Haikal menarik nafas. “Saya takkan setuju menikahi awak, melainkan awak setuju dengan syarat saya”.
Suraya mengerut dahi. Namun dia berdiam diri. Apa-apa pun, dia harus memastikan pernikahan ini terjadi dahulu. Perkara yang mendatang akan dia selesaikan nanti.
“Kalau awak setuju.. Lepas ni awak takkan kacau Beel lagi, takkan cari dia, takkan hubungi dia dan takkan kaitkan diri awak dengan Beel lagi.. saya nikahi awak” serius suara Haikal memberikan syarat.
Suraya memejam mata buat beberapa ketika. Menahan perasaan geram, marah dan sakit hati yang bersatu dalam diri. Jadi ini semua hanya kerana Beel?
“Tu je yang saya nak cakap. Awak setuju?”
Suraya menahan nafas konon mahu menahan marah. Tapi perasaan yang membuak-buak mana mungkin dapat dibendung lagi. “Jadi awak nak cakap yang semua syarat awak tu fasal Beel je lah?”
“Ya” Haikal bertegas.
“Awak tak boleh buat macam ni kat saya! Dia yang rampas awak dari saya, bukan saya rampas dia dari awak!” Suraya meninggi suara.
“Awak ingat saya ni barang ke nak main rampas-rampas? Lagi satu, awak jangan lupa.. Anak yang awak kandung tu bukan anak saya. Awak sendiri tahu tu anak siapa”.
“Haikal!” Suraya berdiri menahan marahnya.
“Awak setuju ke tak?” Haikal malas mahu berbalas kata dengan Suraya.
“Apa yang awak cakap ni Haikal?” Suraya berdolak-dalih.
“Untuk pengetahuan awak, saya cintakan Beel. Saya sayangkan Beel. Dia isteri saya yang sah. Saya pikat awak dulu sebab wasiat atuk saya. Bukan sebab saya betul-betul tertarik dengan awak. Wasiat tu pun tulis cucu Tan Sri Hamid, bukan nama awak. Saya pikat awak sebab waktu tu Beel baru 18 tahun. Budak lagi. Tapi kalau saya tahulah perangai awak macam ni, awal-awal lagi saya dah tolak wasiat atuk tu!” nada Haikal meninggi namun suaranya masih perlahan. Dia tidak mahu suaranya didengari dari luar.
Suraya diam. Tubuhnya berpaling dari menghadap Haikal kembali menghadap cermin. Menahan air mata yang mula bertakung di kolam mata. Dia tidak mahu Haikal melihat dia sebagai wanita yang lemah. Juga dia tidak mahu kelihatan mengalah pada Beel.
Haikal melepas nafas. Dia tidak mahu mendesak. Tapi dia sudah malas mahu berlembut dan menjaga hati Suraya. Dia sudah melihat apa yang telah Suraya lakukan. Jika dia kembali berlembut dengan Suraya, dia sendiri tidak tahu apa yang bakal Suraya lakukan terhadap Beel.
Beel juga. Bukannya mahu menangkan diri. Entah sejak bila bertukar menjadi si pengalah. Segala taktik yang digunakan Suraya direlakan saja. Bab lain mungkin Beel masih mahu menang, tapi bila masuk bab Haikal dia mengalah semudahnya.
Sudah berapa kali Haikal mengingatkan Beel bahawa apa yang berlaku bukan salahnya. Beel bukan perampas tapi sebaliknya. Suraya yang tidak mahi berundur walau sudah tahu Haikal beristeri. Memperisterikan adik sepupunya sendiri. Memaksa keadaan menjadi sebegini teruk.
“Saya setuju”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s