DILARANG NIKAHI AKU – 75

Dia bergegas ke bilik tidur bila mendengar telefon bimbitnya berdering. Seketika mata melihat nama pemanggil yang tertera dan menjawab panggilan.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Sayang…”
Beel mendiamkan diri mendengar suara mengada Haikal. Mata melihat jam dinding. Tahulah dia Haikal akan menikahi Kak Su hanya dalam beberapa minit lagi.
“Beel..” Haikal memanggil bila Beel berdiam diri.
“Ya. Kalau panggil Beel je tak boleh ke?”
Haikal ketawa kecil. Mendengar suara Beel mengomel saja sudah meringankan beban yang ditanggung ketika ini. “Saya rindu…”
Beel mencebik. “Mengada! Awak kat mana ni?”
“Kalau saya cakap jangan gelak tau”.
“Cakaplah kat mana. Tak de orang cari ke tiba-tiba pengantin lelaki hilang?”
“Saya dalam tandas” Haikal menjawab jujur.
Beel ketawa besar. “Dah lah. Pergi keluar, dah nak pukul sebelas ni. Kesian Kak Su..”
“Awak kesian Kak Su je? Saya tak kesian ke?”
Beel melepas nafas. Kemudian tersenyum. Haikal, Haikal. Sejak bila dia menjadi kebudak-budakan sebegini? “Selamat pengantin baru” ucap Beel perlahan.
“Saya sayang awak”.
“Dah lah. Saya nak letak ni, assalamualaikum”.
“Kejap!” Haikal menjerit perlahan.
“Ya?” Beel kembali meletakkan telefon bimbit di telinga.
“Saya cintakan awak”.
Beel ketawa kecil. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” dan Haikal memandang telefon bimbitnya. Nafas ditarik sedalamnya. Semuanya tidak lama. Dia hanya perlu bersabar. Dia pasti akan pergi kepada Beel nanti.

#########

Matanya melilau mencari kelibat seseorang di kalangan pihak keluarga namun tidak terlihat. Kemudian beralih pula di bahagian tetamu dan tidak terlihat juga. Kepala ditoleh ke sana ke mari bagi memastikan dia tidak tersalah lihat dan keputusannya sama. Dia tidak nampak Beel.
“Abang” Fah menegur Safwan yang kelihatan tercari-cari.
Safwan menguntum senyum bila Fah memaut lengannya. “Mana Beel? Abang tak nampak pun”.
Fah menguntum senyum. Dia juga tidak tahu Beel di mana sebenarnya. Cuma dia ada menerima panggilan dari Beel pagi tadi. Kata Beel dia tidak boleh bercerita di telefon apa yang terjadi sebenarnya. Dia cuma menghubungi Fah kerana tidak mahu Fah risaukan dia.
Beel juga meminta dia berpesan pada opah bahawa Beel sihat dan selamat. Dan Beel tahu apa yang Beel lakukan. Meminta agar opah tidak merisaui dirinya.
Sebenarnya Fah mahu bertanya dan mahu tahu secepatnya, tapi mendengar suara Beel membuatkan dia tidak jadi mahu bertanya lebih banyak. Kata Beel, nanti dia akan menghubungi Fah lagi dan menjelaskan segalanya. Fah tidak dapat menyimpan nombor telefon Beel kerana Beel menggunakan ‘nombor yang tidak diketahui’.
“Fah dengar tak abang tanya ni?” Safwan meninggikan nada bila Fah kelihatan bingung sendiri.
Fah mengangguk. “Entahlah abang, Fah pun tak tahu”.
Safwan mengetap bibir. Risau sungguh dia dengan pujaan hatinya itu. Ke mana perginya Beel sebenarnya?

#########

Suraya merenung dirinya di hadapan cermin bilik. Wajahnya disaluti alat solek dan rambutnya dilepas separuh. Baju kebayanya berwarna putih menaikkan seri wajahnya. Dia merasakan dialah pengantin perempuan tercantik di Malaysia. Tapi apakah dia pengantin perempuan terbahagia? Bukan di Malaysia… walau hanya di Kuala Lumpur, apakah dia pengantin perempuan terbahagia.
Kini dia di sini. Di rumah Haikal. Tapi bukan di bilik yang dulu dia siapkan. Dia di bilik lain. Kata pembantu rumah Haikal yang bernama Nia, bilik itu dikunci dan hanya En.Haikal yang memegang kunci bilik itu.
Suraya melepas nafas. Itu saja sudah membuktikan bahawa Haikal sudah jatuh hati sepenuhnya pada adik sepupunya yang nakal. Iyalah, bukankah bilik itu dihuni Beel setelah dia tidak jadi menikahi Haikal dulu. Bilik tidur Beel dan Haikal. “Tapi kenapa Beel?”
Pintu bilik dibuka dari luar dan Haikal melangkah masuk. Suraya menoleh memandang pada Haikal yang sudah pun menukar baju tidurnya. Haikal mengangkat wajah dan membalas pandangan Suraya namun cuma seketika.
Suraya bangun dari duduknya dan mendekati Haikal yang duduk di sisi katil. “Haikal…”
“Dah lah saya penat. Awak pun tidurlah cepat” Haikal berbaring dan menarik selimut hingga menutupi seluruh tubuh.
Suraya kaku. Langsung tidak menyangka begini rupanya layanan yang akan diterima dari Haikal pada malam pertama mereka.
Nafas ditarik menahan air mata. Mengingat pesan mama ‘ Su kena sabar dengan Haikal. Awal-awal kahwin mesti dia banyak meragam tapi Su jangan risau, macam mana pun Haikal tu tetaplah lelaki juga’.
Dia mengangguk mengiakan kata-kata mama. Langkah diatur mencapai tuala dan dia masuk ke bilik air. Haikal menolak selimutnya bila mendengar pintu bilik air tertutup.
Kalau bukan kerana papa memaksanya tidur sebilik dengan Suraya, dia langsung tidak ingin melangkah masuk ke bilik ini. Dia ingin tidur di biliknya bersama Beel. Bukan di bilik ini. Namun kata-kata papa ada benarnya. Sebaik kata lafaz akad nikah disahkan, ertinya dia telah bersetuju untuk bertanggungjawab atas Suraya dunia akhirat. Jadi mahu tidak mahu, dia tetap harus menunaikan kewajipannya.
Keluhan dilepaskan. Ini semua demi Beel. Beel mahu dia menikahi Suraya untuk menutup aib Suraya mengandungkan anak luar nikah dan dia melakukannya kerana dia sayang pada Beel. Jika dia menyayangi Beel pastilah dia harus menjaga nama baik keluarga Beel, tak begitu?

#########

Matanya tidak berkelip melihat seorang wanita bertopi yang berdiri tegak di sisi Innova berwarna emas itu. Beel pergi lebih dekat untuk melihat nombor plat kereta yang diberitahu Haikal. PJJ 4546. Ertinya benarlah itu keretanya.
Fikirnya pemandunya lelaki tapi yang berdiri di hadapannya seorang wanita. Dalam diam Beel ketawa sendiri. Kuat cemburu juga suaminya ini rupanya.
“Assalamualaikum”. Beel tersenyum memandang wanita bertopi itu.
“Waalaikumussalam. Cik Nabilah”.
Beel diam seketika. Cik Nabilah? Dia ok dengan gelaran cik yang diberikan tapi… Nabilah? “Nabilah?”
Wanita bertopi itu tersenyum. “Saya Salsabila. Cik Nabilah boleh panggil saya Kak Cha kalau Cik Nabilah nak”.
Beel mengangguk-angguk sambil wanita bertopi itu membukakan pintu kereta bahagian belakang. “Boleh Beel duduk depan?”
Kak Cha menggeleng. “Maaf Cik Nabilah, tapi En.Haikal dah pesan..”
“Apa je yang Haikal pesan?” Beel memotong kata-kata Kak Cha.
Kak Cha kelihatan berdiam buat seketika. Beel melepas nafas. “Kak Cha beritahu Beel boleh?”
Kak Cha memandang isteri majikannya itu. Teringat pesan-pesan En.Haikal yang bukan main keras lagi. Patutkah dia memberitahu pesanan-pesanan itu pada Cik Nabilah?
“Kalau Kak Cha tak bagitahu, Beel tak nak pergi U”.
Kak Cha tersenyum lebar. Memang sama dengan sikap yang digambarkan En.Haikal padanya. “Kalau Cik Nabilah tak nak pergi U, nanti Kak Cha kena pecat” ujar Kak Cha perlahan.
Beel melepas nafas. Ini pasti taktik yang diajar Haikal untuk menangani sikapnya. Dia memandang Kak Cha dengan bibir muncungnya. Memprotes dengan sikap yang ditunjukkan Kak Cha.
Kak Cha sengih. “Boleh Cik Nabilah masuk sekarang?”
Beel menoleh memandang Kak Cha namun kelihatannya Kak Cha tegas dengan keputusannya. Haikal pun satu, takkanlah diugut orang yang baru mula bekerja untuk dipecat?
Bila kereta mula bergerak, Kak Cha pun mula berkata-kata. “Cik Nabilah marah Kak Cha ke?”
“Beel tak marah cuma Beel tak suka duduk belakang kalau depan kosong. Kak Cha tak nak bagitahu ke apa yang Haikal pesan?”
“Apa yang Cik Nabilah nak tahu?”
Beel diam seketika. “Tak boleh panggil Beel je ke?”
“Boleh, Cik Beel”.
“Tak de cik tak boleh?”
“Kalau Kak Cha minta nak guna cik boleh?”
Beel diam. Kemudian menyoal lagi, “Kenapa Beel tak boleh duduk depan?”
Kak Cha tersenyum. “En.Haikal ada cakap… Perangai Cik Beel ni kurang matang, jadi sesiapa pun senang rasa sayang. Walau apa pun yang Cik Beel minta, Kak Cha kena buat, Kak Cha kena tunaikan kecuali kalau Cik Beel nak duduk depan”.
“Sebab apa?” Beel menyoal dengan jongketan keningnya.
“En.Haikal cuma tak nak Kak Cha lupa yang Cik Beel ni majikan bukan kawan”.
Beel ketawa. “Majikan tak boleh jadi kawan ke? Tak munasabah langsung syarat Haikal ni..”
“Cik Beel jangan cakap macam tu. En.Haikal tu nampak sangat sayang Cik Beel. Bertuah Cik Beel dapat En.Haikal”.
Beel malas mahu melayan pujian yang diberikan Kak Cha pada Haikal. Takut melambung-lambung pula pujiannya. Jadi dia mengubah topik.
Barulah Beel tahu rupanya Kak Cha sudah 10 tahun berkhidmat pada Haikal. Sejak Kak Cha berumur 22 tahun, ertinya sekarang Kak Cha berumur 32 tahun. Kerana itulah, Haikal menaruh kepercayaan padanya untuk menjadi pemandu Beel.
Kak Cha sudah hampir 5 tahun berkahwin dan memiliki 2 orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Suaminya juga bekerja dengan syarikat Keluarga Sdn. Bhd. Dia merupakan seorang pengurus.
Beel seronok mendengar Kak Cha bercerita tentang keluarganya. Dalam hati dia menyimpan cita-cita untuk menemui keluarga Kak Cha suatu hari nanti.

#########

Beel melihat nombor Villa An dalam senarai nama kenalannya. Masuk hari ini sudah 5 hari Haikal dan Suraya menjadi suami isteri. Sudah 5 hari Suraya menjadi madunya.
Nafas dilepas. Dalam 5 hari ini, sudah hampir 200 panggilan diterima dari Haikal. Selalunya selesai melakukan urusan dengan telefon bimbitnya, dia akan terus mematikan telefon atau menutup signalnya. Ini kerana dia tidak mahu Haikal menghubunginya.
Bukan dia tidak belajar. Dia tahu Haikal harus menghabiskan masa seminggu 7 hari bersama Suraya. Kerana itulah dia mencuba sehabis baik agar Haikal tidak menghubunginya. Cuma sekarang.. bagaimana keadaan opah agaknya?
Dia juga sudah mula sibuk dengan kehidupan belajarnya. Dengan Fah juga dia masih belum menceritakan hal sebenarnya. Fah juga baru selesai menduduki peperiksaan, pastilah Fah mahu berehat dahulu.
Beel melepaskan keluhan sambil mata masih menatap pada telefon bimbit. Patutkah dia menelefon?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s