DILARANG NIKAHI AKU – 76

Skrin telefonnya yang memaparkan gambar Beel sedang tidur disentuh dan diusap. Rindunya dia tidak terkata pada isterinya itu. Rindu, seribu kali rindu.
Geram benar dia kerana Beel sengaja tidak menjawab panggilan darinya. Risau juga ada kerana itulah isteri yang sangat disayangi. Tapi sejujurnya jauh di sudut hati yang terdalam, Haikal faham mengapa Beel melakukan ini semua.
Dia tahu Beel tidak mahu dia melukakan hati Suraya. Haikal tahu bahawa Beel sangat menyayangi Suraya yang langsung tidak menyayanginya. Tapi sekarang nampaknya dia yang tersepit di tengah-tengah.
“Beel…” perlahan Haikal mengucap. Yang kelakarnya, sekuat mana pun keinginannya untuk menemui Beel dia tidak dapat pergi terus kepada isterinya itu. Urusan pejabatnya bertimbun dan dia sibuk ke sana ke mari. Pulang ke rumah juga hanya sekadar untuk menukar baju dan mengambil barang.
Tapi bagi Haikal bagus juga begini. Sekurangnya mengurangkan pertemuannya dengan Suraya. Boleh gila rasanya jika tiap hari dia menatap wajah itu dan mendengar rintihan Suraya yang bukan-bukan.
Haikal juga bukanlah suka untuk bertindak kejam sebegitu. Bagaimana pun, Suraya sedang hamil dan emosinya terumbang-ambing. Tapi, jika dia ingin berlembut dengan Suraya ada saja perbuatan dan kata-kata dari Suraya yang menyakitkan hati. Bila ia melibatkan soal Beel, sudah tentulah dia tidak boleh menahan marahnya.
Akhirnya dia yang baru berkahwin dua lebih banyak menghabiskan masa di pejabat. Bersama isteri pertama tidak, bersama isteri kedua lebih-lebih lagilah tidak.

#########

Irah berlari anak mendapatkan telefon yang sedang berdering. Meninggalkan kerjanya buat seketika untuk menjawab panggilan.
“Assalamualaikum” Irah memberi salam, memberitahu sang pemanggil bahawa panggilan telah dijawab.
“Waalaikumussalam” suara kecil di hujung talian menjawab.
Irah mengerutkan dahi. Terasa bagai pernah mendengar suara ini. Suara siapa ya? “Nak cakap dengan siapa?”
“Puan Sri Normah”.
Irah diam seketika. Suaranya agak sama agak mirip dengan suara Cik Beelnya. Tapi takkanlah Cik Beel menggelarkan opahnya sendiri dengan nama penuh?
Irah membiarkan otaknya berfikir sendiri sambil kaki melangkah keluar menuju ke arah Puan Sri Normah yang leka melayani ikan-ikan peliharaannya. “Puan sri”.
Puan Sri Normah menghulurkan senyum buat pengasuh Beel itu. “Ya?”
“Ada orang telefon”.
Puan Sri Normah mengangguk dan masuk ke dalam rumah. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.
Puan Sri Normah melepas nafas. Isyarat diberi pada Irah agar dia menyambung kerjanya semula. Sebaik Irah hilang dari pandangan, Puan Sri Normah mengambil tempat di atas sofa. “Beel..”
“Opah..” mula terdengar suara esakan dari talian.
Puan Sri Normah mendiamkan diri. Tidak lama selepas Beel puas menangis, barulah Puan Sri Normah memulakan perbualan. “Beel sihat?”
“Sihat alhamdulillah. Opah sihat? Beel rindu..”
“Sihat. Kalau rindu baliklah sekejap..” Puan Sri Normah menahan air mata yang mula bertakung di kolam mata akibat terlalu rindukan Beel.
Beel mendiamkan diri. Terlalu banyak sebab untuk dia terus bertahan menyembunyikan diri dari keluarganya mengikut perancangan Haikal. Dia mahu pulang ke Kuala Lumpur, tapi dia juga mahu terus kekal di Pulau Pinang.
“Opah takkan tanya Beel kat mana sebab opah tahu Beel dah besar panjang. Beel dah boleh fikir apa yang patut apa yang tak. Cuma opah nak Beel jaga diri elok-elok. Walau apa pun yang Beel buat, ingat opah tetapp sayang Beel..”
Kata-kata dari Puan Sri Normah membuatkan dia menangis teresak-esak. Sungguh dia rindukan opah kesayangannya. Bagaimana pun pulang ke Kuala Lumpur bukanlah pilihan yang bijak. Dia masih belum bersedia untuk menghadapi Suraya. Dia masih belum punya keberanian untuk bertemu empat mata dengan Kak Sunya.

#########

“En.Haikal tak de kat pejabat?”
“Ya Puan Suraya. En.Haikal dah keluar pukul 4.00 petang tadi”.
“Tak pelah kalau macam tu. Terima kasih Linda” Suraya mematikan telefon bimbitnya.
Ke mana pula perginya Haikal? Sudahlah seminggu mereka menjadi suami isteri Haikal langsung tidak pulang. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat dan hanya singgah di rumah untuk menukar pakaian dan mengambil barang.
Suraya melepas nafas. Telefon bimbitnya diletakkan di atas katil. Apakah Haikal sengaja melakukan ini semua? Membuatkan dia menyesal sekali menikahi Haikal.
Haikal ada berkata bahawa dia menikahi Suraya kerana Beel. Apakah Haikal benar-benar mencintai adik sepupunya yang nakal itu? Sebelum mereka bernikah, dia amat yakin Haikal akan jatuh sayang padanya akhirnya. Tapi sekarang… Bagaimana mungkin Haikal akan jatuh sayang padanya jika Haikal sendiri pun tidak pulang ke rumah?
Bunyi kereta dari luar mengalih perhatian Suraya. Lantas dia keluar dari biliknya dan menuju ke ruang utama. Senyuman terpamer pada wajah sebaik melihat Haikal turun dari kereta.
Dia yang awalnya berniat ingin menggembirakan Haikal langsung berubah angin bila tangan yang dihulur untuk bersalaman dengan Haikal tidak bersambut. Haikal selamba melintasinya dan menuju ke bilik tidur yang pernah dihuni bersama Beel suatu ketika dahulu.
Suraya menarik dan melepas nafas sekaligus menahan marah. “Haikal!!” dia menjerit sekuat hati memanggil.
Haikal masuk dan memilih baju yang sesuai untuk ditukar. Berfikir-fikir baju apa yang harus dipakai untuk menemui cinta hatinya.
Suraya makin marah bila Haikal buat tidak tahu dengannya. “Haikal..!” lengan lelaki itu ditarik.
Haikal memandang Suraya buat seketika. Hanya seketika dan dia kembali memandang almari bajunya.
“Awak dengar tak saya cakap ni?”
Haikal memekakkan telinga. Dia tahu ini akan berlaku. Selama seminggu ini Suraya hanya diam dan mengikut rentaknya. Nampaknya Suraya sudah tidak dapat bersabar lagi.
“Haikal!”
“Awak nak apa?” Haikal menyoal serius memandang Suraya.
“Awak tanya saya nak apa? Saya ni isteri awak tau! Awak tinggal saya seminggu kat rumah, balik sekali-sekala macam rumah ni hotel.. tak pun macam kedai baju, kedai runcit. Awak boleh tanya saya nak apa?”
“Awal-awal lagi saya dah cakap dengan awak, yang saya setuju kahwin dengan awak sebab Beel! Apa lagi yang awak tak puas hati?” Haikal menyoal namun nada suaranya masih rendah.
“Jadi awak nak pergi jumpa Beel lah ni? Mana awak sorok budak tu? Saya nak jumpa dia”.
Haikal sengih. Jangan haraplah dia akan memberitahu pada sesiapa pun di mana Beel berada. Kalau Beel sendiri memberitahu itu haknya, tapi dia sama sekali tidak akan membuka mulut.
“Apa lebihnya dia dari saya? Kenapa awak buat saya macam ni? Saya orang, saya ada perasaan! Awak tak boleh buat saya macam ni!” Suraya mula mengamuk, menghamburkan perasaan kecewanya pada Haikal. Air mata yang tadinya bertakung sudah mula mencurah-curah keluar.
Haikal mencapai baju kemeja yang dirasakan paling cantik dan paling sesuai untuk dipakai. Memandang Suraya yang sedang menangis teresak-esak. Pasti Suraya sedih juga letih dengan semua yang berlaku.
“Awak fikir awak je orang? Awak fikir awak je ada perasaan? Habis saya dengan Beel bukan orang ke? Kita orang tak de perasaan?”
Suraya terduduk mendengar pertanyaan Haikal. Haikal melepas nafas dan meninggalkan Suraya yang tangisannya semakin lama semakin kuat.

#########

Dia ketawa sendiri melihat gelagat watak utama lelaki yang sedang tersiar di kaca televisyen. Cerita komedi seram ini benar-benar membuatkan Beel ketawa pecah perut.
Dahi berkerut bila mendengar bunyi loceng ditekan. Mata memandang jam dinding yang menunjukkan tepat pukul 9.30 malam. ‘Siapa pula yang datang?’
Lantas alat kawalan jauh dicapai dan tahap kelantangan suara diturunkan. Langkah bangun dan membuka pintu kondominiumnya.
Wajah yang tersenyum di luar membuatkan matanya tidak berkelip. “Assalamualaikum”.
Beel mendiamkan diri. Menjawab salam di dalam hati. Sambil tangan membuka selak rantai dan memberi ruang untuk Haikal melangkah masuk.
Haikal tersenyum lebar melihat Beel tidak bersuara. Pintu ditutup dan beg pejabatnya diletakkan. Lantas tubuh Beel dirangkul erat. “Rindunya saya dekat awak”.
Rangkulannya diperkemaskan. Tangan mengusap kepala Beel yang sememangnya lebih rendah. Beel bagai anak patung di dalam rangkulan Haikal. Tidak tahu tindak balas bagaimana yang harus diberikan.
Haikal melepaskan pelukan dan tangan kanan menarik Beel manakala tangan kiri mencapai beg pejabatnya. Menarik Beel duduk bersamanya di sofa berhadapan televisyen.
“Kenapa diam je?” Haikal meletakkan lengannya pada bahu Beel, memaut agar Beel melentokkan kepala di bahunya.
Beel perlahan menolak tubuh Haikal. “Terkejut”.
Haikal ketawa kecil bila Beel tiba-tiba bangun dari sofa. Lantas tangannya laju menarik tangan Beel hingga isterinya itu terduduk kembali. “Awak marah saya ke?”
Beel mencebik. “Awak nak datang tak cakap apa-apa. Memanglah saya terkejut, tiba-tiba muncul je kat depan pintu tu”.
Haikal ketawa lagi. Dia rindukan Beel yang banyak cakap. Dia rindukan Beel yang suka membahas. Dia rindukan Beel yang tidak mahu mengalah. Dia rindukan segalanya tentang Beel. Dia rindukan Beel.
Tubuh kecil Beel dipeluk lagi. “Maaf sebab balik tak bagitahu dulu. Lain kali kalau saya cakap dulu, awak nak bagi kejutan ke?” Haikal memohon maaf sekaligus mengusik isterinya.
Beel yang berada dalam pelukan mencubit perut Haikal. Dia sebenarnya gembira Haikal datang padanya di Pulau Pinang. Tapi dia masih merisaui Kak Su. Risau yang mengatasi kegembiraannya waktu ini. Bagaimana agaknya keadaan Kak Su bila tahu Haikal menemuinya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s