DILARANG NIKAHI AKU – 77

“Good morning” wajah itu tersenyum menuju ke arahnya dan langsung menyinggahkan bibirnya ke dahi Beel.
Beel yang sememangnya bangun lewat kerana uzur bersolat membuat muka. Tangannya mengesat bekas kucupan Haikal pada dahi.
Haikal ketawa kecil dan mencubit lembut pipi isterinya itu. “Comel-lah awak ni”.
Beel melepas nafas. Mahu berkata-kata tidak boleh kerana dia baru bangun tidur, akhirnya matanya saja yang membulat menunjukkan dia tidak suka.
“Pergi mandi lepas tu kita sarapan. Saya dah buatkan durian crepe yang awak suka sangat tu” Haikal menarik tubuh Beel agar dia bangun dari katil. Tuala isterinya itu dicapai dan disangkut ke leher Beel. Seterusnya tubuh kecil itu ditolak masuk ke bilik air.
Beel termangu sendiri. Sedar-sedar dia sudah di bilik air. Kepala teringat kata-kata Haikal tadi. ‘Buatkan durian crepe?’ Bila masa pula Haikal pandai memasak?

###########

Matanya dibuka perlahan. Melihat-lihat keadaan sekeliling dahulu sebelum dia bangun dan duduk di katilnya. Jam dinding dipandang dengan wajah kosong.
Pukul 9.00 pagi. Perut yang sudah mula membesar sesuai kandungannya yang berusia 3 bulan disentuh perlahan. Senyum diukir buat seketika. Dan air mata tiba-tiba bertakung di kolam mata.
Nafas ditarik perlahan. Dia bukan gadis yang lemah. Dia tidak akan sesekali mengalah dengan situasi yang sedang berlaku.
Dia meninggalkan bilik tidur sesudah menyiapkan diri. Langkah menuju ke ruang makan. Melihat makanan yang sudah tersedia berada di atas meja.
“Kak Nia!” Suraya menjerit memanggil Nia yang berada di dapur.
Nia terkocoh-kocoh berlari masuk ke ruang makan. Bukan dia tidak tahu singa yang akan keluar dari Suraya bila arahannya lambat dipatuhi. “Ya puan?”
“Haikal mana?” Suraya menyoal serius.
“En.Haikal tak ada puan”.
“Dia tak tidur bilik Beel?”
Nia menggeleng. Menunduk di hadapan Suraya. Suraya mengangguk. “Pergilah sambung kerja awak”.
Ke mana perginya Haikal? Apa benar sangkaannya bahawa Haikal pergi menemui Beel?
Ini tidak boleh jadi. Cepat-cepat Suraya menjamah sarapannya dan keluar dari rumah. Dia harus tahu di mana Haikal berada.

############

Beel membeku di hadapan pintu kondominiumnya. Terkejut dengan kehadiran budak penghantar barang yang menghulurkan sejambak bunga matahari padanya.
“Untuk Cik Nabilah”.
Beel mengerut dahi. “Saya”.
“Sila tandatangan di sini” budak penghantar barang itu menghulurkan kertas untuk ditandatangani.
Usai mengucapkan terima kasih, budak penghantar barang itu mengangkat kaki beredar. Beel memandang bunga matahari dengan pandangan aneh. “Awak!” Beel memanggil budak penghantar barang yang dirasakan seusianya itu.
Budak penghantar barang itu menoleh kembali.
“Siapa bagi?” Beel menyoal.
Diam tiada jawapan. Hanya senyuman menghiasi wajah budak penghantar barang itu. Beel melepas nafas. Pintu kondominium ditutup rapat. Siapa pula yang melakukan perkara luar tabi’i ini? Sudahlah tiada ucapan atau kad apa-apa yang terselit pada bunga itu.
Bunyi telefon bimbit menandakan ada mesej masuk menarik perhatian Beel. Telefon bimbitnya diambil dan mesej ‘Whats App’nya dibuka. Mesej dari Haikal.

– Hadiah petang untuk matahari yang menyinari hidup saya.
– Jom pergi dating buat pertama kali sebagai suami isteri yang sedang bercinta.
– Saya tunggu awak kat bawah. Sayang awak.

###########

“Haikal mana?” Suraya menyoal Linda yang tekun membuat kerjanya.
Linda menelan liur. Dari nada suara Suraya dia sudah tahu bahawa Suraya sedang tidak begitu senang hati.
“Saya tanya Haikal mana?”
“Encik Haikal tak masuk pejabat hari ni”.
Suraya melepas nafas. “Awak faham soalan ke tak? Saya tanya Haikal mana? Bukan tanya dia masuk pejabat atau tak”.
“Tak tahu puan”.
Suraya mengecilkan mata memandang Linda. “Betul awak tak tahu?”
Linda mengangguk. Mengakui bahawa dia langsung tidak tahu ke mana majikannya pergi.
“Mustahil awak tak tahu. Awak setiausaha dia. Mesti awak tahu mana dia pergi?”
“Maaf puan. Memang saya tak tahu. Encik Haikal tak bagitahu saya mana dia pergi”.
Suraya mendiamkan diri. Nombor Haikal tidak dapat dihubungi. Mesej tidak berjawab. Begitu juga dengan lain-lain. Ke mana perginya lelaki itu?
Mahu bertanya pada siapa lagi? Sekarang Suraya lebih yakin bahawa Haikal berada bersama Beel. Tapi keberadaan Beel.. Di mana?
Senyuman menghiasi wajah Suraya. Sekarang dia sudah tahu. Dia tahu siapa yang boleh membantunya. Seseorang yang pastinya tahu di mana Beel di’sorok’kan.

#############

“Abang, cepatlah. Fah dah lambat ni!”
“Ya. Kejap” Safwan laju-laju meneguk teh ‘o’ panas yang telah dibancuh Fah. Dari semalam Fah sudah memberitahunya dia punya acara di universiti pagi ini dan Fah tidak boleh lewat. Tapi Safwan terlupa, menyebabkan Safwan sengaja bersiap lambat.
“Tulah abang ni. Abang kasi Fah drive sendiri je lah” Fah membebel sambil kakinya menyarung kasut.
“Tak boleh. Biar abang ambil dan hantar” Safwan muncul di sebelahnya. Melakukan perbuatan yang sama, memakai kasut.
Fah melepas nafas. Abangnya ini terlalu ‘protective’. Hingga dia sendiri naik rimas. Semak, serabut dan apa-apalah lagi yang boleh menggambarkan betapa dia tidak suka dengan sifat terlalu melindungi abangnya.
Keretanya dipandang. “Kalau macam ni, baik abang tak yah belikan Fah kereta. Bukan Fah boleh guna pun” Fah mengomel.
Safwan ketawa kecil. Fah yang berjalan laju menuju ke kereta dikejar. “Adik abang marah ke?”
“Bukan Fah boleh marah pun. Fah kan dah besar, naklah bawa kereta sendiri. Awal-awal dulu abang ok je. Sekarang ni sibuk nak jadi driver Fah kenapa?”
Safwan memandang Fah. Syakir. Itulah orangnya yang membuatkan dia risau tak henti-henti. Bukan dia tidak dapat lihat bahawa Syakir memang sukakan Fah. Cuma dia tidak suka dengan cara lelaki itu, kalau benarlah Syakir serius dengan Fah, mengapa tidak gunakan cara yang lebih manis?
Asyik mengganggu Fah di universiti, apa kata orang lain nanti? Soal perasaan Fah pada Syakir dia tidak tahu. Setakat ini, belum lagi dia melihat tanda-tanda bahawa adiknya itu juga sukakan Syakir.
Dia bukan apa. Dia mahu Fah fokus pada pelajaran buat masa ini. Bila sudah ada kerja yang stabil, tidaklah dia keberatan melepaskan Fah pada sesiapa saja. Ketika itu terpulanglah pada Fah apa yang mahu dilakukan.
“Abang dengar tak Fah tanya ni?” Fah tidak berpuas hati kerana pertanyaannya tidak berjawapan.
Bunyi kereta berhenti di hadapan rumah mereka membuatkan keduanya saling memandang. Safwan dan Fah sama-sama menoleh ke arah pintu pagar. “Kak Su?” Fah menyoal Safwan dan Safwan memberi anggukan.
Suraya turun dari kereta. Menanggalkan cermin mata hitam yang dipakai. Melihat Fah dan Safwan yang bersiap mahu meninggalkan rumah. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” dua beradik itu menjawab serentak.
Safwan membuat muka menyuruh Fah melayani Suraya. Fah yang pada awalnya menolak akhirnya mengalah kerana tahu abangnya itu memang tidak berapa sukakan Suraya walaupun mereka berkawan dari kecil.
“Ya?”
“Beel mana?” Suraya langsung menyoal tanpa berbasa-basi.
Riak wajah Fah automatik mempamerkan riak terkejut. “Beel?” dia bagaikan menyoal kembali.
Suraya melipat tangannya. “Saya yakin Fah tahu mana Beel. Jadi baik Fah jawab soalan saya”.
“Fah tak tahu” Fah menjawab serius. Dia dapat mengagak jika Suraya tahu di mana Beel berada, pasti dia akan mencari fasal.
“Fah jangan main-main dengan saya. Saya tanya mana Beel?”
“Fah tak tahu Kak Su. Betul Fah tak tahu”.
“Fah kan best friend Beel. Takkan Beel tak bagitahu Fah?”
“Maaf Kak Su. Fah memang tak tahu” Fah sehabis boleh cuba berlembut.
“Nur Sofwah Hisyam!” Suraya meninggi suara.
Bunyi pintu kereta dibuka kedengaran bila Suraya meninggi suara pada Fah. Safwan turun dari kereta seraya memaut bahu adiknya. “Kau nak apa?” dia menyoal Suraya.
“Aku cari Beel. Tak de kaitan dengan kau”.
“Kan adik aku dah cakap dia tak tahu”.
Suraya memandang Safwan dengan wajah sakit hati. “Tak de kaitan dengan kau”.
Safwan melepas nafas. Inilah sikap Suraya yang paling dia benci. Sukar bertolak ansur dan pasti mendapatkan kehendaknya walau dengan apa cara sekalipun. “Fah, masuk kereta”.
Fah memandang Safwan dengan kerutan dahi. Safwan mengangguk. “Masuk kereta” arahannya diulang lagi.
Sebelum melangkah ke kereta milik Safwan yang telah pun dihidupkan enjinnya, Fah menghadiahkan senyuman ikhlas buat Suraya tanpa memohon kemaafan darinya. Namun bagi Suraya, senyuman Fah bukanlah senyuman memohon maaf tapi senyuman me’madanmuka’kan dirinya.
“Kau baliklah Su. Aku dengan Fah nak keluar. Nak pergi belajar, nak pergi kerja. Kau tak kerja ke?”
“Aku nak cari Beel. Aku tahu adik kau tahu mana Beel” Suraya tetap dengan pendiriannya.
“Kan Fah dah cakap dia tak tahu. Kau ingat adik aku tu pandai menipu ke?”
“Aku cuma nak tahu mana Beel je!”
Safwan ketawa. “Tak cukup kau hancurkan perasaan dia, kau nak hancurkan hidup dia pula? Bukan sebab kau ke dia hilangkan diri macam ni?” Safwan menyindir. Dia langsung berpaling dari Suraya dan membuka pintu pagar. Terus dia masuk ke dalam kereta dan menukar gear ‘reverse’.
Suraya, mahu tidak mahu akhirnya terpaksa mengalah. Memandu keretanya pergi dari kawasan perumahan itu. Namun dalam hati dia berjanji pasti akan mencari tahu di mana Beel berada.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s