DILARANG NIKAHI AKU – 78

Dia khusyuk mendengar cerita sahabat tercinta di talian. Sambil menghirup udara segar dari restoran jambatan itu, dia terangguk-angguk mendengar cerita Fah. Cerita tentang pencarian yang dilakukan Suraya.
Kepala sesekali tertoleh ke belakang, meninjau kalau-kalau Haikal tiba-tiba muncul. Sebaik melihat kelibat Haikal muncul dari tandas lelaki, Beel langsung menamatkan perbualannya dengan Fah.
Fah berjanji akan menemuinya selesai urusannya minggu ini. Mungkin dia akan datang minggu hadapan kerana waktu belajarnya sudah mula berkurang dan tidak sesibuk tahun pertama dahulu.
Beel menguntum senyum melihat Haikal datang ke arahnya. Haikal mengusap pipi isteri kesayangannya itu sebelum mengambil tempatnya semula.
“Siapa call?”
“Kawan” Beel tersenyum membalas.
“Siapa?” Haikal menyoal ingin tahu.
Beel sengih. Takkanlah dia mahu memberitahu Fah yang menelefon, pasti Haikal marah jika tahu bahawa Fah telah pun mengetahui kedudukan sebenarnya.
“Kawan U. Awak tak kenal”.
Haikal mencebik beberapa saat dan tersenyum. “Nanti saya pergi U awak, saya tengok siapa kawan awak tu. Kalau awak ada rapat dengan mana-mana lelaki..”
Beel menjelir lidahnya. “Awak ingat saya ni perempuan gatal ke?”
Haikal sengih mengikut sengihan Beel. “Janganlah marah. Saya cuma tak nak awak pandang lelaki lain je..”
Beel menjeling namun dalam hati gembira bila Haikal menunjukkan sisi cemburunya. Sekurang-kurangnya dia tahu dia mendapat tempat di hati Haikal. Jadi semuanya tidak sia-sia.
“Pagi tadi saya cek bilik kat kondo tu. Awak siapkan bilik untuk Fah?” Haikal menyoal, sekadar ingin mencari jawapan bagi persoalan yang bermain di fikirannya sejak pagi tadi.
Beel memandang. Mencari riak kalau-kalau Haikal mempamerkan tanda marah. Setelah Haikal diam sambil matanya menyoal Beel, barulah Beel memberi anggukan buat suami.
Haikal mengangguk memahami. “Dia tahu awak kat mana?”
“Saya bagitahu”.
Haikal awalnya memandang serius. Dan tidak lama kemudian, mempamerkan senyumnya. Dia maklum betapa Beel sangat sayangkan Fah. Dan dia juga percaya Fah bukanlah jenis gadis yang mulutnya tempayan, sesuka hati membocorkan rahsia keberadaan Beel di bumi Pulau Mutiara ini.
“Awak marah ke?” Beel menyoal, bimbang pula jika Haikal tiba-tiba terasa hati dengannya.
Haikal menggeleng dengan senyuman semanis mungkin. “Tak de sebab nak marah. Syakir pun tahu awak ada kat sini. Jadi tak salah awak bagitahu Fah kan?”
Beel melepas nafas lega. Sambil tersenyum memandang Haikal, matanya menangkap wajah seorang pelayan restoran yang menarik perhatiannya. Seorang gadis bertudung bawal dan berpakaian seragam pekerja. Pada mata Beel, gadis itu punya sesuatu yang tidak dapat dia tafsirkan. Senang bahasanya, dia suka gadis itu. Barangkali umur mereka juga tidak jauh beza, atau mungkin sebaya.
Gadis itu menatang dulang yang terisi dua cawan air horlick panas mungkin. Melangkah menuju ke arah sebuah meja yang dihuni dua orang lelaki. Beel mula tersenyum melihat ayunya gadis itu, membuatkan dia terfikir persamaan gadis itu dengan Fah.
Matanya kemudian menangkap kaki salah seorang lelaki itu sengaja diletakkan di luar kawasan bawah meja. Dahinya berkerut merasakan lelaki itu sengaja mahu mengenakan gadis pelayan restoran.
Dan benar mengikut sangkaannya, gadis itu tersadung menyebabkan secawan air horlick panas tertumpah pada kawan lelaki itu dan secawan lagi pula jatuh ke lantai dan kacanya pecah berderai.
Suara tinggi berupa jeritan yang keluar dari sang teman menarik perhatian seisi restoran. Haikal turut menoleh dan melihat gadis itu dimarahi oleh pelanggannya.
“Cuai betul” Haikal menggeleng kepala dan kembali menyambung santapannya.
Beel memandang Haikal. Lama, dengan bibir muncungnya. Bukan gadis itu yang salah. Dia melihat semuanya dari awal.
“Makanlah” Haikal menyedut air menggunakan penyedut minuman sambil mata melihat Beel.
“Tolonglah dia”.
Tersedak Haikal mendengar permintaan Beel. “Tolong siapa?”
“Tu” Beel menunjuk pada pelayan restoran yang masih dimarahi oleh sang pelanggan yang menyakitkan hati itu.
Haikal membulatkan matanya. “Kenapa nak tolong pula? Ada kaitan dengan awak ke?” Dia memang tidak suka mencampuri urusan orang lain, kalau boleh biarlah hidupnya hidupnya saja.
“Kesianlah..” Beel mula merengek.
Haikal menggeleng kepalanya. “Tu hal dia orang, biar dia orang selesaikan sendiri”.
“Bukannya perempuan tu yang salah. Lelaki tu yang cari fasal dulu” Beel mempertahankan alasan mengapa mereka harus membantu.
“Makan” Haikal buat tidak tahu.
Beel mendiamkan diri. Degil betul. “Oklah. Kalau awak tolong dia, hari ni kita tak yah balik kondo. Awak nak bawa saya pergi mana, saya ikut je”.
Haikal mengangkat wajah, kembali memandang Beel. Senyuman lebar terpamer pada wajah. Beel menggesa. Bimbang Haikal terlambat menghulurkan bantuan. Tidak mahu kalau-kalau pengurus restoran sudah dipanggil.
“Ehem…” Haikal berdehem sambil mencelah di antara sang pemarah dan sang dimarahi. Sementara Beel hanya memerhati dari tempat duduknya.
Ketiganya memandang Haikal. Haikal memandang gadis yang sedari tadi menunduk itu. “Abang rasa.. Awak berdua ni yang cari fasal dengan adik ni kan?”
Sunyi seketika. Lelaki yang tadinya menahan kaki gadis itu berdiri. “Kau ni siapa? Tiba-tiba nak masuk campur?”
Haikal melepas nafas. Matanya meninjau sekeliling keadaan restoran. “Nampak macam restoran mewah. Agak-agak ada CCTV tak?” dan Haikal memandang kedua lelaki yang kelihatan lebih muda darinya itu.
Lelaki yang tadinya berdiri kelihatan gelisah. Begitu juga dengan temannya. Gadis itu mula kelihatan serba salah. “Encik tak pe. Saya boleh minta maaf”.
“Awak diam. Benda betul apa nak takut?” Haikal memandang gadis itu.
“Maaf encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” muncul satu suara dari belakang Haikal.
Haikal menoleh. “Awak pengurus restoran ni kan?”
Pengurus itu diam sebentar memandang wajah Haikal dan kemudian menjawab, “Ya En.Haikal”.
Haikal mengerutkan dahinya. “Awak kenal saya?”
Pengurus itu diam lagi. Dan anggukan diberikan. “Kita pernah jumpa sebelum ni”.
Haikal mengamati wajah itu. Tetap juga dia tidak mengecamnya. “Kat mana? Bila?”
“Pejabat Tuan Fuad”.
“Restoran Uncle Fuad ke ni?” Haikal melihat sekeliling.
Pengurus itu mengangguk. Haikal tersenyum sambil menjongket keningnya. Memandang kedua lelaki yang wajah sudah mula resah, menggelabah. “Ok. Macam ni lah encik pengurus. Sebenarnya dah tak de apa-apa. Budak-budak nak mengusik. Tu je, tapi saya rasa ada benda yang belum selesai”.
Semua yang melihat kejadian itu masih memerhati. Tak kurang yang kagum dengan cara Haikal menyelesaikan masalah. Beel sesekali tersenyum bila Haikal di sana bukan lagi Haikal yang dia kenal.
“Ya?” sang pengurus kelihatan terpinga-pinga.
“Encik tunggu kat sini jadi saksi. Awak berdua” Haikal memandang dua lelaki ‘nakal’ itu. “Minta maaf kat adik ni”.
Dahi keduanya berkerut. Haikal menanti. “Minta maaf sekarang”.
Keduanya mula membuat muka. Namun mahu tidak mahu terpaksa juga mengalah. Nampaknya mereka telah mencari fasal di tempat yang salah.
“Sekarang” Haikal meninggikan suaranya.
“Sorry”.
“Minta maaf!”
“Sorry” suara keduanya dikuatkan.
Haikal mengerutkan dahi. Kedua budak lelaki ini tidak faham bahasakah? “Minta maaf!!”
“Sorry” kali ini suara mereka kedengaran seisi restoran.
“Adik, abang cakap MINTA MAAF. Bukan say sorry. Ingat kita ni dekat Amerika ke? Kita kat Malaysia kan?” serius Haikal bersuara.
“Minta maaf” ucap keduanya serentak.
Haikal tersenyum. “Bagus. Awak pergi balik kerja” Haikal memandang gadis itu. Dia mengangguk. Kemudian Haikal memandang pengurus itu pula. Melihat tag nama yang tertera. ‘Harith’.
“Awak En.Harith betul?”
Anggukan diberikan. Haikal menguntum senyum. “Nanti saya cakap dengan Uncle Fuad boleh naikkan gaji awak. Terima kasih”.
Dan Haikal berjalan melewati mereka. Harith terpaku sebentar. Hanya dengan menjadi saksi dia akan mendapat kenaikan gaji? Nampaknya ini memang harinya!
Beel ketawa kecil melihat Haikal berjalan penuh keyakinan ke arahnya. Tiba-tiba terasa bangga kerana Haikal adalah suaminya. Lelaki yang bertakhta di hatinya, jiwa raganya.
“Suka sangat ke?” Haikal menyoal melihat Beel yang tidak habis-habis tersenyum.
Beel mengangguk. “Terima kasih.. sangat-sangat”.
Haikal senyum menampakkan giginya. “Nanti saya nak hadiah” Haikal menunjuk pipinya pada Beel.
“Ha?” Beel terpinga-pinga.
“Kiss” jawab Haikal selamba.
Beel sudah membuat muka menyampah. Habislah dia nanti. Pun begitu, dia gembira Haikal sudi membantu gadis pelayan restoran itu.

#############

“Awak pergi mana dua hari ni?”
Dia yang baru melangkah masuk ke dalam rumah menoleh pada sang empunya suara.
“Saya tanya ni, awak pergi mana dua hari ni?” Suraya mengulang soalannya.
“Outstation” balas Haikal malas.
“Linda cakap awak dah clearkan kerja awak, jadi dua hari ni awak memang free. Mana awak pergi?”
Haikal melepas nafas. “Apa yang awak nak cakap sebenarnya?”
“Saya nak tahu mana awak pergi”.
“Outstation. Saya tak de kat KL” Haikal mengulang jawapan yang sama.
“Pergi mana?” Suraya mula meninggi suara.
“Outstation. Ke luar negeri” Haikal memandang. Juga tidak mahu mengalah.
“Pergi?”
“Luar negeri”.
“Haikal!” Suraya menjerit akibat terlalu geram.
“Awak jangan lupa saya suami awak. Awak tak berhak tahu semua hal saya. Dan awak tak boleh marah saya macam tu je”.
Suraya menarik nafas sedalam mungkin. Memegang perutnya yang mula terasa sakit. “Sebab saya tak lupa yang awak suami saya, saya ambil tahu. Siapa yang lupa sebenarnya? Pernah awak jalankan tanggungjawab awak sebagai suami?”
Haikal sengih. “Habis tu, awak dah jalankan tanggungjawab sebagai isteri ke?”
“Awak nak tanggungjawab apa? Saya masak, saya buat kerja rumah, saya tunggu awak balik kerja, makan pakai awak semua saya urus. Apa lagi yang awak nak?” Suraya menyoal, nadanya sudah mula berbaur rayuan.
Haikal memandang. Memandang Suraya memang menyedihkan hatinya, bukan dia tidak kasihan namun melihat perut Suraya yang makin membesar hari demi hari… “Sayang anak yang awak kandung bukan anak saya” dan Haikal berlalu pergi. Melewati Nia yang kebetulannya melalui ruang depan.
Suraya berpaut pada dinding. Kepalanya tiba-tiba terasa berpinar bagai dunia hampir gelap pada matanya.
“Puan Suraya!” Nia berlari memaut tubuh Suraya.
Suraya menenangkan diri. Menarik dan menghembus nafas. Tangan Nia yang memegang ditolak. “Kak Nia nak gelakkan saya kan? Nak padan mukakan saya kan? Kak Nia jangan ingat saya kalah dengan Beel. Suatu hari nanti, Haikal akan melutut minta saya terima dia!”
Nia melepas nafas melihat Suraya menggagahkan diri berjalan ke biliknya. Mengapalah sudah jadi begini Suraya masih juga tidak sedar-sedar? Haikal tidak akan mencintainya walau apa pun yang dilakukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s