DILARANG NIKAHI AKU – 79

Beel yang berada di dalam kereta mengerut dahi melihat nama pemanggil. Mengapa Haikal menghubunginya waktu begini? Bukankah biasanya dia punya mesyuarat di pagi hari?
“Siapa call?” Kak Cha yang sedang memandu menyoal melihatkan Beel yang hanya memandang skrin telefon tetapi tidak menjawab panggilan.
“Haikal”.
“Kenapa Cik Beel tak angkat?”
Beel menguntum sengihnya. Kedudukannya didekatkan pada Kak Cha. “Kak Cha rasa kenapa dia call?”
Kak Cha menggeleng. “Mungkin En.Haikal rindu Cik Beel”.
“Merapu!” Beel segera membidas. Baru saja berpisah pagi tadi, takkanlah tidak sampai 24 jam sudah rindu? Melampau!
Kak Cha ketawa kecil. “Jawablah Cik Beel. Tak baik buat suami risau”.
Beel diam seketika sebelum menekan butang hijau. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Awak ok tak?”
“Ok” Beel senyum sendiri.
“Kenapa lambat angkat?”
“Saya.. Tengah bersembang dengan Kak Cha”.
“Pergi mana?”
“Pergi U lah. Mana lagi? Kenapa banyak sangat tanya ni?” Beel akhirnya menjawab dengan soalan kembali. Kak Cha yang mendengar tersenyum sendiri. Geli hati mendengar cara perbualan kedua majikannya.
“Saya risaulah. Awak tu seorang kat sana” Haikal mengomel.
“Siapa yang tinggal kita kat sini?”
Haikal ketawa kecil. “Terubat rindu saya dengar awak merajuk macam ni”.
Beel diam seketika. “Bila masa pula saya merajuk?”
Haikal ketawa lagi. Terhibur benar dia dapat mendengar suara itu. Tidak salahlah tindakannya menghubungi Beel akibat hati yang masih bengkak dengan sikap Suraya sebentar tadi.
“Cakap sikit gelak, cakap sikit gelak. Kenapa mood baik sangat ni?” Beel menyoal sambil mata melihat sekeliling, kelihatannya kereta sudah masuk ke perkarangan universitinya.
“Saya rindu awaklah..” Haikal merengek bagai anak kecil.
Beel ketawa terbahak-bahak yang dibuat-buat. Sedaya upaya cuba menyembunyikan hakikat bahawa hatinya terusik dengan ucapan rindu dari Haikal.
“Saya cakap betul lah. Awak.. Tak rindu saya ke?”
Telinga Beel mendengar namun kepalanya tidak menangkap butir bicara Haikal. Matanya sudah teralih pada wajah dua lelaki yang sedang berkejaran masuk ke dalam bangunan.
“Dengar tak?” Haikal menyoal bila kata-katanya lama tidak bersambut.
“Saya nak masuk kelas ni. Nanti kita sembang lagi” dan Beel langsung menekan butang merah.
Kak Cha menarik brek tangan. Memberhentikan Beel betul-betul di hadapan bangunan kelasnya. Beel menguntum senyum dan mengucapkan terima kasih pada pemandu yang sudah dianggap kakaknya.
Langkah sudah menuju ke kelas. Namun dia masih tidak dapat melupakan apa yang dilihatnya. Dua lelaki tadi bukankah lelaki yang sama di restoran hari itu? Lelaki yang mengusik pelayan restoran tempoh hari?
Sudah pun tiba di kelas, langkahnya teratur menuju ke mejanya. Namun dia masih berfikir, betapalah kecilnya dunia ini!

###############

Dia sebolehnya cuba menyembunyikan mata yang bengkak kerana menangis sedari tadi. Iyalah, isteri mana yang tidak sedih bila diperlakukan suami sebegitu?
Foundation disapu pada bawah mata memastikan tanda ‘panda’nya hilang. Setelah itu, maskara dicapai dan dipilih warna yang paling sesuai untuk dikenakan pada matanya. Kemudian dicalit pula dengan celak menampakkan matanya konon ceria.
Barulah Suraya keluar dari bilik menemui mama yang datang untuk melawatnya. Nafas ditarik sebelum lakonan dimulakan. Dia tidak mahu mama tahu dia sangat berduka tinggal di rumah itu. Dia tidak mahu mama turut bersedih bersamanya.
“Mama” Suraya tersenyum sambil tangan memegang perut yang mula nampak rupanya.
Sakinah bingkas bangun membantu Suraya mengambil tempat di hadapannya. Wajah itu dibelai penuh kasih dan tubuh puteri kesayangan didakap lama. “Su sihat?”
Suraya ketawa kecil. “Mama ada nampak macam tak sihat ke?”
Sakinah mencuit pipi puterinya. “Seronok mama nampak Su bahagia macam ni”.
Suraya menguntum senyum. “Papa tak datang sekali?”
Sakinah mengangguk. “Papa ada meeting dengan klien dari Jepun hari ni. Mungkin tak balik dua tiga hari kut..”
“Papa selalu keluar, balik jarang-jarang. Kadang-kadang sampai tak balik dua tiga hari, mama tak risau?”
Sakinah ketawa. “Kenapa Su tanya mama macam tu? Su rasa papa curang?”
Suraya menggeleng dengan senyuman manisnya. “Su cuma tanya je..”
“Su rasa papa berani ke nak curang dengan mama?”
Suraya mengerutkan dahi tanda tidak memahami maksud kata-kata dari Sakinah. Sakinah ketawa lagi. “Papa sayang mama kan? Kalau betul dia fikir perasaan mama, takkan dia nak curang kan?”
Suraya tersenyum. Automatik tangan memaut bahu mama. Memeluk mama seeratnya. Menyembunyikan air mata yang sudah mula bertakung pada kolam matanya. Dia tidak boleh membiarkan mamanya tahu bagaimana rasa sebenar hidupnya di rumah ini.

#############

‘Cinta..
Umum manusia mencari cinta
Umum manusia memerlukan cinta
Umum manusia menagih-nagih cinta
Umum manusia memperkatakan tentang cinta
Umum manusia tersenyum bila disebut tentang cinta
Tapi..
Apa itu cinta?
Apa erti cinta?
Apa maknanya cinta?
Apa rasanya hidup dengan cinta?
Apa rasanya pula hidup tanpa cinta?
Dan apa cinta yang tertinggi di antara semua cinta?’

Beel mengusap tubuhnya yang tiba-tiba meremang membaca ‘ayat-ayat cinta’ itu. Automatik mulutnya membebel mengeluarkan kata-kata yang menggambarkan perasaannya.
“Ya?”
Beel mengangkat wajah memandang bila sang pembaca buku bercakap dengannya. Nampaknya dia telah membuat kesalahan dengan mengeluarkan suaranya.
Sudahlah membaca kulit belakang buku yang sedang dibaca orang lain. Mengeluarkan pendapat tidak diundang pula.
Namun wajahnya terpaku melihat gadis yang duduk di kerusi sebelahnya di dalam kelas. “Awak?”
Gadis bertudung ungu itu menguntum senyum. “Kita pernah jumpa?”
Beel mengangguk. Mengingati peristiwa di restoran yang juga tempoh hari. Gadis bertudung ungu di sebelahnya kini… gadis yang menjadi pelayan restoran itu. Ya, pelayan restoran yang dibuli.
Tapi Beel teringat bahawa gadis itu tidak melihatnya. Yang muncul sebagai penyelamat bukan dia tetapi Haikal. Sudah tentulah gadis itu tidak mengenalinya.
“Beel” Beel menghulurkan tangan, mahu berjabat.
Respon dari gadis itu agak lambat sedikit. Kelihatan agak teragak-agak mahu menyambut tangan Beel. Kerana tidak sabar, Beel langsung menarik tangan itu dan menjabatnya.
Spontan gadis itu ketawa dengan tindakan Beel. Beel menguntum senyum menampakkan barisan gigi. “Nama awak?”
“Hani Ibtisam”.
Beel mengangguk-angguk. “Nak panggil apa?”
Gadis itu ketawa lagi. “Boleh panggil Hani je..”
Beel mengangguk lagi. Senyum-senyum dan senyum lagi. Senyum yang makin melebar kerana langsung tidak menyangka dia akan bertemu gadis itu. Gadis yang menarik perhatiannya sejak kali pertama bertemu. Nampaknya itu jugalah kawan pertamanya di negeri Pulau Pinang itu.

###############

“Hai!”
Fah membuat muka melihat wajah itu. Dia melajukan langkah agar dapat mengelak dari lelaki itu. Hampir saja dia berlari supaya lelaki itu tidak dapat mengejarnya.
“Fah!!” Syakir berlari mengejar, dia tidak faham mengapa Fah melarikan diri.
Fah melajukan langkah. Syakir yang tidak tahu bagaimana harus menahan Fah akhirnya menarik tangan gadis itu. “Kejap!”
Fah menarik tangannya dari pegangan Syakir. Automatik riak wajah berubah menjadi riak wajah yang tidak pernah Syakir lihat.
Sunyi seketika. Fah menjauhkan diri dari Syakir sedikit demi sedikit. Syakir mendiamkan diri menyedari dia berbuat salah pada Fah.
“Maaf” Syakir mengucap perlahan.
“Awak nak apa?” Fah menyoal perlahan, namun wajah masih memandang bawah. Tangan kanan masih mengusap tangan kiri yang sedikit lenguh kerana ditarik tiba-tiba.
“Kenapa awak lari dari saya?”
“Awak nak apa?”
“Saya rindu, jadi saya datang jumpa awak” Syakir mengucapp perlahan.
Fah mengetap bibir. Dia tidak mahu menemui Syakir lagi. Teringat kebelakangan ini dia kerap bergaduh dengan abangnya kerana Syakir. Safwan merasakan Fah dan Syakir sedang bercinta namun sudah pasti Fah menafikannya kerana itu bukan hakikat. Apalagi melentinglah Safwan, mengungkit itu dan ini.
Kalau betul-lah mereka tidak bercinta, mengapa Safwan selalu menemuinya? Kalaulah memang mereka tidak bercinta, mengapa Safwan ke universitinya semata-mata mahu bertemu Fah? Kalau benarlah mereka tidak bercinta, mengapa keduanya selalu bertemu?
Dia berkali menerangkan kepada abangnya bahawa Syakir menyukainya sebelah pihak. Kalau pun dia menyukai Syakir, dia tidak mungkin bercinta dengannya. Dia sedar dia masih muda dan perlu belajar. Juga, bercinta bukanlah perkara yang perlu dalam hidupnya.
Kata-kata abangnya benar. Jika benar Syakir serius dengannya, lebih baik dia melakukan semuanya dengan cara yang betul.
“Lepas ni jangan datang jumpa saya lagi” Fah mengangkat wajah memandang Syakir dan berjalan meninggalkan lelaki itu.
Syakir melepas nafas. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s