DILARANG NIKAHI AKU – 80

Suraya tersenyum mengangguk mendengar penerangan dari doktor bahawa kandungannya sihat sejahtera. Perutnya diusap menandakan dia kasih pada anak itu. Lagi pula, anak itu bakal dilahirkan sebagai anak Haikal dan bukan sebagai anak seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan.
“Maaf, Puan Suraya”.
“Ya?”
“Temu janji akan datang, saya harap suami puan boleh datang sekali. Pihak klinik perlukan ujian darah dari ibu bapa bayi”.
Suraya mendiamkan diri. Memandang doktor di hadapannya dengan seribu satu perasaan. Dan fikiran. Dan juga sangkaan.
“Puan Suraya” doktor memanggil bila kelihatannya wanita itu berdiam.
Suraya mengangguk dengan senyuman. “Baik”.

############

“Fai! Fai!”
Beel menoleh. Hani di sebelahnya ikut menoleh. Memandang gerangan yang memanggil.
Mata Hani membulat melihat wajah itu. Beel yang sedang memandang Hani mengerut dahi. Dan ikut memandang arah pandangan Hani.
Dahi Beel berkerut. Lelaki itu! Lelaki yang membuli Hani di restoran tempoh hari. Dia memandang Hani yang tiba-tiba bersembunyi di belakangnya.
“Fai” lelaki itu berhenti di hadapan mereka.
Beel memandang lelaki itu. Dan memandang Hani di belakangnya. Juga mendengar nama yang dipanggil lelaki itu? Fai?
“Fai” lelaki itu memanggil lagi.
Beel memandang keduanya silih berganti. Akhirnya dia beralih dari hadapan Hani ke sebelahnya. Membuatkan Hani kini berhadapan lelaki itu.
“Kau marah aku lagi?” lelaki itu menyoal.
Hani diam. Tangan Beel ditarik dan dia bergegas meninggalkan lelaki itu. Beel terpinga. Kepala ditoleh ke belakang dan terlihat lelaki yang bersamanya di restoran tempoh hari sedang berjalan ke arahnya.
Saat Hani berhenti, dia memandang Hani. Wajah Hani lain dari yang biasa dilihat. Beel bingung. Apa yang sedang terjadi sebenarnya? Jadi sebenarnya mereka bertiga saling kenal antara satu sama lain?

#############

Kereta berhenti tepat di hadapan mereka. Beel memandang Hani yang tersenyum padanya. Mood Hani sudah baik? Sejak bertemu lelaki tadi, wajah Hani masam mencuka saja.
“Awak balik dengan apa?” Beel menyoal.
“Teksi. Ni kereta awak ke?”
Beel mengangguk. “Kalau macam tu jom balik sekali” Beel menarik tangan Hani sebelum temannya itu sempat menolak.
Kak Cha memandang dari cermin. Mahu bertanya bimbang Beel tidak suka. Akhirnya wajah gadis itu hanya ditenung.
“Kak Cha, ni kawan Beel, Hani. Hani, ni kakak saya, Kak Cha” Beel menguntum senyum
Hani ikut senyum namun dahinya berkerut. Memandang Beel dan Kak Cha bersilih ganti. Kalaulah Beel adik kepada Kak Cha, mengapa pula dia duduk di bahagian belakang tidak di sebelah Kak Cha?
Kak Cha yang memahami maksud kerutan dahi Hani langsung saja berkata, “Kak Cha driver Cik Beel”.
Hani memandang Beel. Matanya dibulatkan meminta penjelasan. Beel memuncungkan mulutnya. Tidak suka dirinya dianggap majikan oleh Kak Cha. Kalaulah boleh, dia memanglah mahu duduk di bahagian hadapan bersama Kak Cha. Jika bukan memikirkan seandainya dia duduk di hadapan Kak Cha akan dibuang kerja, sudah lama tempat itu menjadi hak milik mutlaknya. ‘Haikal memang!’ Beel merungut dalam hati.
Hani ketawa kecil. “Jadi Beel ni macam cik mudalah?”
Kak Cha mengangguk. Mengiakan kata-kata Hani. Di dalam hati, ingin saja dia membetulkan bahawa bukan cik muda tetapi cik puan. Namun didiamkan saja kerana dia tahu Beel tidak mahu sesiapa tahu dia sudah bersuami.
“Awak tak selesa ke?” Beel menyoal, bimbang keadaan itu akan men’jurang’kan mereka.
Hani menggeleng. “Tak sangka dapat kawan dengan orang kaya” dan dia ketawa mesra.
Beel melepas nafas lega. Dia memang masih dalam proses perkenalan dengan Hani, dan dia berharap Hani selesa dengannya seperti mana dia selesa dengan gadis itu.

###############

“Macam mana hidup awak hari ni?”
Beel ketawa mendengar soalan itu. “Macam mana…? Seronok sangat!”
Haikal memuncungkan bibir. Merasakan Beel langsung tidak rindukannya seperti dia rindukan isteri kesayangannya. Telefon bimbitnya dijauhkan dari telinga, terasa dengan kata-kata Beel.
“Haikal” Beel memanggil, mengapa tiba-tiba Haikal berdiam?
Haikal yang membuka pembesar suara mendiamkan diri. Menyatakan pada Beel bahawa dia merajuk.
Beel mengerut dahi. “Awak.. Merajuk ke?”
Haikal senyum. Pembesar suara dimatikan dan telefon bimbit diletakkan semula di telinga.
“Haikal..” Beel memanggil lagi. Kali ini dia tidak lagi berbaring tetapi sudah duduk. Risau pula dia bila Haikal berdiam. Marahkah Haikal padanya?
Beel menarik nafas. Teringat pesanan opahnya tempoh hari. Jadilah isteri yang baik. Jadilah isteri yang mendengar kata. Jadilah isteri yang menggembirakan suami. Jadilah isteri solehah. “Saya pun rindu awak juga..”
“Ha?” Haikal langsung bersuara, sejujurnya tidak menyangka Beel akan mengeluarkan pengakuan sebegitu.
Beel melepas nafas. ‘Haikal mengada!’, jerit hatinya. Namun suara hatinya ditahan dari terlahir di mulut.
“Apa awak cakap tadi?” Haikal menyoal, mahu meminta kepastian apakah benar Beel mengatakan rindub padanya atau sekadar salah dengar?
Beel diam sebentar. Haikal dari tadi mendiamkan diri tetapi bila dia mengucap rindu langsung bersuara pula? “Awak merajuk ke tadi?”
“Saya tanya awak cakap apa tadi?”
“Tadi bukan awak diam je?” Beel sedaya upaya cuba mengubah topik.
“Awak cakap apa tadi?” Haikal mengulang soalannya buat kali ketiga.
“Cakap apa?” Beel mula merengek, geram Haikal terus-terusan memberi soalan yang sama.
“Awak cakap apa tadi?”
Beel menelan liur. Dalam hati menyumpah Haikal kerana kegeraman. Kalau Haikal berada di hadapannya, pasti Haikal dapat melihat wajahnya yang kemerahan kerana malu.
“Beel.. Awak cakap apa tadi?”
“Saya rindu awak” lantang Beel bersuara dan talian dimatikan. Beel menghempaskan diri di atas katil. Wajah dibenamkan ke bantal. Malu! Dia malu! Langsung tidak percaya dia akan mengeluarkan perkataan sebegitu pada Haikal.
Telefon bimbitnya diambil dan dimatikan. Pasti Haikal akan menghubunginya lagi. Biarlah untuk seketika. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan jika Haikal menghubungi.

#############

Mata membulat melihat kelakuan suaminya. Langkah kaki laju menuju pada Haikal yang sibuk mengemas barang. “Awak nak pergi mana?”
“Outstation” jawab Haikal ringkas tanpa memandang.
“Outstation lagi? Tak boleh ke awak duduk je kat rumah ni diam-diam?”
Haikal mendiamkan diri. Terus-terusan memilih pakaian yang patut dibawa.
Suraya naik marah bila Haikal tidak mempedulikannya. “Saya cakap dengan awak ni!”
Haikal melepaskan kemeja yang berada di tangan. “Saya kerja. Biasalah kalau kena outstation. Takkan awak nak suruh saya jadi suri rumah macam awak juga? Habis awak nak makan apa?”
“Kalau awak tak kerja pun, kita tak mati. Awak dah ada syarikat sendiri. Awak boleh mengarah dari rumah je..” Suraya tidak mahu mengalah.
“Awak ingat saya ni ketua kejam ke? Nak biar anak buah buat kerja, saya goyang kaki?”
“Haikal!”
“Senang kata macam nilah” Haikal berhenti seketika. “Saya selalu outstation sebab saya tak suka balik rumah ni. Balik rumah ni buat saya teringat Beel, tapi yang saya jumpa awak!”
Suraya terdiam. Namun hanya beberapa saat. Langkahnya laju dan tangannya menarik tangan Haikal. “Pergi mana?”
Haikal menarik tangannya dari pegangan Suraya. Tidak mempedulikan pertanyaan Suraya dan terus menyambung kerjanya. Merapikan bagasi dan menutup zip bagasinya.
“Pergi mana?” Suraya menyoal buat kali kedua.
“Scotland. Lepas tu mungkin singgah Kuwait tengok mama dengan papa. Nak tahu apa lagi?” Haikal memandang dengan wajah seriusnya.
“Berapa lama?”
“Kalau boleh selama-lamanya.”
Suraya melepas nafas. Dia tahu Haikal sudah marah. Ikutkan hati mahu saja dia menghalang. Tapi memikirkan keselamatan bayinya, bimbang juga kalau Haikal bertindak luar kawalan bila dia marah.
Pun begitu, Suraya tidak berputus asa. Dia menghubungi Linda yang pastinya tahu apakah kata-kata Haikal fakta atau sekadar sebuah pembohongan?
Nombor Linda di dail setelah Haikal meninggalkan rumah. Mencari tahu apakah benar Haikal perlu ke Scotland atas urusan kerjanya?
“Ya Puan Suraya. En.Haikal akan pergi Scotland sebab ada mesyuarat dengan klien dari sana”.
“Dengan siapa?” Suraya menyoal bagai inspektor.
“Dengan En.Syakir puan”.
Suraya mematikan talian. Haikal pergi dengan Syakir? Teman rapat merangkap pembantunya? Apakah mungkin mereka menemui Beel? Apakah Haikal menyembunyikan Beel di Scotland?

#############

“Kita buat apa kat sini?” Beel menyoal Kak Cha yang memasuki perkarangan lapangan terbang.
“Sambut bos” Kak Cha menjawab sambil tersenyum memandang Beel melalui cermin belakang.
“Bos? Siapa?”
Kak Cha ketawa lagi. Beel bingung sendiri. Setelah menghantar Hani ke rumahnya, Kak Cha langsung memandu ke sini. Siapa yang mahu diambilnya?
Mata memandang pintu keluar utama yang menjadi tempat Kak Cha memberhentikan kereta. Siapa? Dahi berkerut menangkap susuk tubuh itu. Haikal?
Beel memandang Kak Cha yang tersenyum-senyum. Jadi Haikal-lah orangnya? Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Bukankah hari ini hari rabu? Mengapa Haikal datang pada hari rabu? Tidakkah dia berkerja?
“Cik Beel tak sambut suami ke?” Kak Cha menyoal dalam nada mengusik.
Beel tersengih. Lantas dia turun dari kereta dan melangkah menuju pada Haikal yang juga menuju padanya.
Haikal ketawa melihat wajah Beel yang dia tahu ia membawa erti ‘kebingungan’. “Rindu saya tak?” Haikal memaut bahu Beel.
Beel membuat muka rimas. Melepaskan diri dari pautan Haikal. “Tiba-tiba je datang, tak kerja ke?”
Haikal memuncungkan mulut. “Tak sukalah tu suami dia datang.”
Beel yang pada awalnya malas mahu melayan ketawa melihat wajah merajuk Haikal. “Dah lah! Jom masuk kereta” tangan kiri Beel menarik bagasi Haikal manakala tangan kanannya menarik tangan Haikal. Dan perlahan Haikal tersenyum.

#############

‘Saya kena pergi Scotland ada hal. Mungkin sebulan kat sana, lepas tu ingat nak singgah Kuwait dua tiga hari. Dah lama tak jumpa mama. Sebenarnya, kalau awak tak belajar saya ingat nak heret je awak sekali. Tapi jenuh nanti awak nak catch-up dengan member kelas awak. Sebulan lebih tak jumpa awak, boleh jadi gila saya. Awak macam mana? Kalau sebulan lebih tak jumpa saya, rindu banyak ke rindu sikit?’
“Beel.. Beel”.
Beel tersedar dari lamunan. Memandang sekeliling, mengambil tahu kembali di mana kedudukannya. Oh.. Beel tersenyum memandang Hani. Dia masih di dalam kelas.
“Jomlah makan. Awak tak lapar ke?” Hani yang sudah berdiri memandang Beel yang tercengang.
Beel senyum lagi. Anggukan diberikan dan beg galas tepinya dipakai. Sambil mengikut langkah Hani, sesekali dia tersenyum sendiri. Bagaimanalah dia boleh terfikirkan Haikal pada waktu begini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s