DILARANG NIKAHI AKU – 81

“Awak ok ke tak ni?”
Beel mengangguk. Tersenyum memandang Hani yang berdiri tegak menunggu dia menyaingi. “Macam orang dilamun cinta”.
Beel mengerut dahi. Langsung matanya memandang wajah Hani. “Kenapa awak cakap macam tu?”
“Yelah. Sekejap gelak, sekejap termenung. Saya tengok awak asyik senyum seorang diri je..”
Beel diam. Hanya berjalan di sisi Hani. ‘Dilamun cinta?’ Apakah benar itu perasaan yang dirasakannya? Cinta? Apakah benar sekarang dia benar-benar dilamun cinta? Apakah ia membawa erti dia sudah jatuh cinta pada Haikal?
“Fai! Fai!”
Panggilan itu mematikan lamunan Beel. Langkah Beel dan Hani sama-sama terhenti. Keduanya saling memandang sebelum Hani akhirnya menarik tangan Beel untuk pergi jauh dari sang pemanggil.
“Fai!”
Mereka dikejar. Beel memandang Hani. Dia langsung tidak memahami apa yang sedang berlaku. Mengapa mereka melarikan diri setiap kali? Kalau begini, bilakah ianya akan selesai?
Hani menarik Beel masuk ke dalam perpustakaan. Dan bersembunyi di sebalik kaunter yang pastinya tidak boleh dimasuki oleh pelajar. “Hani” Beel menegur. Mahu memberitahu Hani mereka telah melangkah ke kawasan larangan tapi nampaknya Hani lebih bimbang ditemui lelaki itu.
“Fai” kedengaran suara memanggil namun Hani diam di tempatnya.
Beel memandang. Namun Hani buat tidak peduli. Dia memejam mata serapat mungkin, bersembunyi dari lelaki itu.
“Dia dah pergi Hani” kedengaran suara seseorang berkata dari kaunter.
Hani mengangkat wajah memandang wanita itu. “Kak Fisah”.
Wanita itu menganggukkan kepala dan Hani keluar dari tempat persembunyiannya. Beel mengikut jejak langkah Hani. Dalam hati tertanya-tanya, ‘Tidakkah penjaga kaunter ini marah pada Hani kerana masuk ke kawasan larangan?’
“Sampai bila Hani nak lari macam ni?”
“Kak Fisah..” Hani menarik kerusi dan duduk di sebelah wanita yang dipanggil Fisah itu.
“Qamar kejar Hani lari. Qamar kejar Hani lari. Sebab tulah Qamar suka buli Hani, dia ingatkan buli Hani dapat tarik perhatian, rupanya makin tak dipedulikan” Fisah membebel sambil tangannya memeriksa fail-fail di hadapannya.
Beel yang mendengar membuat kesimpulan sendiri. Jadi nama lelaki itu adalah Qamar. Dan lelaki itu memang suka membuli Hani. Tapi dia mengejar dan mengucapkan kata maaf berulang kali. Dan membuli Hani lagi. Apa sebenarnya hubungan mereka berdua ini?
“Hani tak sukalah dengan dia. Dia tu yang tak faham bahasa” Hani duduk menongkat dagu.
Fisah melepas nafas. Fail ditutup dan mata memandang Hani. Kedua belah tangan diletakkan pada pipi Hani. “Kalau macam tu, Hani nak lari dari kenyataan selamanya? Jangan lupa, umi Hani cakap Hani dah ditunangkan dengan Qamar sejak lahir, cuma Hani yang baru tahu”.
Beel memandang Fisah. “Tunang?”
Fisah mengangkat pandangan. Baru perasan ada seseorang di belakang Hani. Yang setia berdiri dan menjadi pendengar. Tapi, selama enam tahun bertugas sebagai penyelia perpustakaan dia tidak pernah melihat wajah ini. “Budak baru ke?”
Hani memandang. Dan dia tersenyum. Tangan Beel ditarik agar mendekatinya. “Kenalkan ini kawan Hani. Beel. Beel, ini..”
“Kakak angkat Hani. Nafisah”.
Beel mengangguk. Tangan Nafisah yang terhulur disambut. Fisah mencuit pipi Beel. Beel tercengang sendiri dengan perilaku Fisah. “Comel kawan Hani ni”.
Beel tersenyum bila dipuji. Dan Hani ketawa kecil. “Kak Fisah jangan cerita dengan umi apa yang berlaku kat sini”.
“Ya dik. Tapi akak rasa Hani kena bersemuka dengan Qamar tu. Kadang-kadang, kesian akak tengok dia”.
“No! No! No! Hani tak de benda nak cakap. Dia yang kejar Hani.”
“Lelaki yang selalu kejar kita tu tunang awak?” Beel akhirnya bersuara. Tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya.
Hani memandang Beel dengan wajah tidak suka. Fisah pula memandang Beel dengan wajah terkejut. “Beel tak tahu?”
Beel menggeleng. Fisah memandang Hani. “Hani tak bagitahu Beel ke?”
Hani juga menggeleng. Fisah membuat muka. “Macam mana kau orang berkawan ni? Habis tu selama ni, Beel ikut je Hani lari kalau kena kejar?”
Beel mengangguk. Fisah ketawa sendiri. “Beel tak tanya Hani kenapa lari?”
Dan Beel menggeleng lagi. Ketawa Fisah makin kuat namun masih tidak mengganggu suasana sunyi perpustakaan. “Beel tak nak tahu ke kenapa Hani lari?”
“Nak”.
“Habis kenapa Beel tak tanya?”
Beel diam sebentar. “Sebab Beel rasa satu hari nanti, kalau Hani nak cerita mesti dia akan cerita. Mungkin sekarang dia tak bersedia lagi nak cerita pada sesiapa”.
Hani memandang Beel. Spontan dia berdiri memeluk gadis yang baru dikenali selama beberapa bulan itu. “Terima kasih Beel”.
Beel diam di dalam pelukan Hani. Dia melihat Fisah tersenyum lebar. Dia sedikit bengong. Dia hanya mengatakan perkara sebenar. Mengapa Hani dan Fisah kelihatan begitu tersentuh?

#############

“Syakir ada kacau Fah lagi tak?”
Fah yang baru ingin menyuap nasi ke dalam mulut memandang Safwan.
“Kacau Fah lagi tak?” Safwan mengulang pertanyaan.
“Siapa?”
“Syakirlah. Ada kacau Fah lagi tak?”
Fah menggeleng. Suapan tadi tidak jadi dimasukkan ke dalam mulut. Mata memandang abang sambil tangan menguis-nguis nasi di dalam pinggan.
“Baguslah macam tu. Abang tak suka dia dan abang tak rasa dia serius dengan Fah” Safwan mengeluarkan pendapat yang sememangnya sudah diketahui oleh adik kesayangannya itu.
Fah hanya berdiam. Bukan itu yang mengganggu dirinya. Dia tidak kisah soal Syakir. Lagi pula lelaki itu tidak membawa makna besar di dalam hidupnya. Yang dikisahkan sekarang adalah…
“Kenapa dimain nasi tu? Makanlah.. Fah dah kenyang ke?”
Fah memandang Safwan. Gelengan diberikan. Teringat perbualannya dengan Beel petang tadi. Beel mengajaknya ke Pulau Pinang hujung minggu ini. Kebetulan Haikal ke luar negara, bolehlah mereka menghabiskan hari minggu bersama.
Dia pastinya mahu menemui gadis itu. Beel tidak boleh keluar dari Pulau Pinang atas arahan Haikal. Fah lega Haikal dan Beel sudah menjalani kehidupan suami isteri normal. Tapi normalkah?
Biarlah. Yang penting dia sedang berfikir bagaimana mahu meminta izin dari abangnya. Mahu berbohong bagaimana? Mustahillah dia memberitahu abangnya dia mahu menemui Beel. Nanti pastilah Safwan berteriak mahu mengikut.
Bukannya Fah tidak tahu abangnya itu merindui Beel. Selalu terlepas memanggil nama Beel. Tapi Fah gembira. Sekurangnya abang sudah menerima kenyataan bahawa Haikal boleh menjaga dan menggembirakan Beel. Bahkan mungkin lebih darinya.
“Abang” Fah memanggil.
Safwan mengangkat kening. Dia tahu ada sesuatu yang mahu Fah perkatakan. “Nak cakap apa, cakap jelah. Jangan nak main-main nasi tu, nanti dah tak lalu nak makan”.
“Weekend ni..”
“Kenapa?”
“Fah nak keluar dari KL”.
Safwan diam. Lama. Memandang wajah Fah. Umur Fah sudah hampir menjangkau 21 tahun. Patutkah dia melepaskan Fah pergi? Sendirian? “Dengan siapa?”
“Seorang?”
“Pergi mana?”
Fah diam. Seketika. “Fah tak pergi buat jahatlah..”
“Tahu. Pergi mana?”
Fah diam. Macam mustahil saja akan mendapat keizinan. Dia meneruskan suapannya bila abangnya menyoal sebegitu.
Safwan melepas nafas. “Pergi dengan apa?”
“Kalau boleh Fah nak drive”.
“Drive sendiri pergi keluar KL?”
Fah mengangguk. Safwan memandang mata adiknya. Mata yang penuh mengharap. “Pergilah”.
Fah memandang. “Abang izinkan?”
“Kalau Fah rasa Fah boleh jaga diri, Fah pergilah. Abang tahu Fah bukannnya budak dua tahun yang nak kena jaga setiap masa”.
Fah tersenyum lebar. “Terima kasih abang. Fah sayang abang sangat-sangat”.
“Agaknya kalau abang tak bagi izin, Fah sayang abang tak?”
Fah ketawa. “Fah tahu abang mesti izinkan. Sebab abang lagi sayang Fah dari Fah sayang abang”.

#############

“Tak boring ke asyik tengok gambar dia je?”
Haikal memandang Syakir di katil sebelah. “Kau tu tak boring ke asyik teringat Fah?”
Syakir ketawa. “Fah tak suka aku. Selama ni aku ingatkan dia suka aku juga. Rupanya…”
Haikal mengerut dahi. Telefon bimbitnya diletak di tepi. Dan dia melangkah mengambil tempat di sebelah Syakir. “Mana kau tahu Fah tak suka kau?”
“Kebelakangan ni, aku pergi jumpa dia, dia buat tak layan je. Sibuk, nak balik, ada kerja, ada tugasan.. Macam-macamlah alasan” Syakir bercerita.
Haikal mengerut dahi. Berfikir sebentar. Dia bukan tahu banyak tentang perempuan. Syakirlah yang lebih tahu memandangkan dia bekas kasanova. Tapi mengapa dia tidak merasakan Fah tidak menyukai temannya itu? “Kau tanya kenapa?”
“Nak tanya macam mana kalau dia asyik elakkan diri?” Syakir melepas nafas. Melepaskan sebuah keluhan yang teramat berat.
“Aku tak rasa yang Fah tak suka kau” Haikal mengangkat bahu sambil dia kembali ke katilnya.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Safwan langsung memandang.
Haikal mengangkat bahu lagi. “Tapi memanglah. Kau pergi jumpa dia selalu kat universiti, kau nak dia fikir apa? Perempuan macam Fah tu bukannya kau boleh main buat, lepas tu nak dia faham sendiri. Tengok pun tahu yang Fah tu zero bab-bab macam ni. Katakanlah dia faham pun, kau nk suruh dia buat apa? Kau ingat Fah tu jenis yang nak bertindak dulu ke?”
Suasana sunyi seketika. Syakir yang sedang berbaring mendudukkan diri. Berfikir-fikir hakikat kata-kata Haikal yang sememangnya benar. Lalu bagaimana harus dia menyelesaikan semua ini?
“Aku nasihat kau betul lah. Baik kau masuk meminang dia. Tunjuk kat dia, tunjuk kat Wan yang kau memang betul-betul serius dengan Fah tu..” Haikal mencapai telefon bimbitnya kembali.
“Meminang?”
“Kau jangan cakap dengan aku yang kau tak pernah fikir nak kahwin dengan Fah. Mati aku kena bunuh dengan Beel nanti” Haikal memandang sahabatnya itu.
Syakir melepas nafas. “Memanglah ada tapi Fah tu budak lagi”.
Haikal mencapai majalah yang dilihatnya dan membalingnya pada Syakir. “Aku bukannya suruh kau kahwin! Aku suruh masuk meminang je.. Boleh tunang dulu. Dua tiga tahun, bila Fah dah habis belajar kahwinlah…”
Syakir mendiamkan diri. Tapi bagaimana kalau ternyata Fah tiada perasaan padanya? Malulah dia nanti. Seumur hidupnya belum pernah dia ditolak mana-mana gadis.
“Aku nasihat je. Kalau tak nak sudah! Fah tu ramai peminatnya. Bukan tak cantik, bukan tak pandai. Walaupun tak kaya, tapi ‘sweet’nya Fah tu dah boleh pikat sepuluh lelaki. Jangan nanti kalau Wan dah terima pinangan orang lain, kau datang menangis-nangis cerita kat aku. Waktu tu dah terlambat tahu, Beel cakap Fah tu abang dia cakap apa pun, dia ikut je. Senang kata adik taatlah. Tak mustahil kalau abang dia suruh kahwin dengan lelaki lain, dia kahwin. Kau ingat dia tu jenis nak bangkit melawan kasi tahu abang dia suka orang ni, suka orang tu? Dibuatnya Fah tu terus kahwin tak tunang dulu, padan muka kau!” Haikal membebel bagai ’emak’ Syakir.
Syakir diam. Lampu tidurnya ditarik mematikan suis, menggelapkan bilik tidur. Bantal ditarik menutup wajahnya. Tertekan betul dia mendengar bebelan Haikal yang betul dan benarnya 100 %.

#############

“Nama dia Qamaruddin”.
Beel memandang wajah itu. “Kalau awak tak nak cerita, tak pelah”.
“Tengah nak cerita ni. Saya minta maaf, tak sangka pula awak tak berani tanya sebab fikir tu hal peribadi. Kita kawan kan? Saya cerita sebab saya fikir awak nak tahu”.
Beel tersenyum. Kepala diangguk tanda bersetuju. Dan Hani mula membuka cerita. “Nama dia Qamaruddin. Kawan dia yang lagi seorang tu, Reza. Dia orang tu memang rapat dari sekolah lagi. Berbalik pada cerita saya, saya satu sekolah menengah yang sama. Mula-mula jumpa si Qamar tu, saya tak sengaja buat dia terjatuh dalam longkang. Tapi sebab dah jadi. Nak buat macam mana? Lepas tu saya ni jadi mangsa buli budak dua ekor tulah. Mula-mula tensionlah juga. Selalulah bergaduh. Saya ni melawan juga kadang-kadang. Sampailah satu hari, baru-baru nilah..umi saya panggil balik. Dia bagitahu yang sebenarnya saya ni dah ada tunang. Tunang dari lahir. Arwan abi berjanji dengan bapa dia. Tunang dari lahir. Saya mulanya ok je, tahu apa yang umi itulah yang terbaik. Tapi bila tengok muka si Qamar tu, siapa nak tunang macam dia? Dah puas kena buli, dia nak minta maaf pula. Memang tak lah. Lepas tu dia jadi gila. Kejap minta maaf, kejap buli. Kejap minta maaf, kejap buli. Kadang-kadang kesian je. Tapi dah lama-lama tu malas nak layan. So akhirnya sekarang saya lari jelah. Dia kejar saya lari. Kalau dia buat apa-apa yang menyakitkan hati, butakan mata pekakkan telinga. Senang!”
Beel tersenyum. “Comel kau orang ni kan?”
Hani menjelir lidah. “Comel apa bendanya? Saya comel, Qamar tu macam lembu!”
Dan Beel ketawa lagi. “Dah sampai rumah awak”.
Hani melihat sekeliling. Baru dia perasan, kereta sudah sampai di apartmentnya. Namun mata terperasan sebuah motorbike di tempat parkir. Keluhan dilepaskan.
“Kenapa?” Beel menyoal.
Hani sengih memandang Beel. “Boleh saya tidur rumah awak malam ni?”
Beel memandang dengan wajah bingung seketika. Namun tak berapa lama dia tersenyum. “Boleh” badan diinjakkan agar mendekati Kak Cha yang setia menjadi pemandu, “Kak Cha jangan bagitahu Haikal ea!”

#############

Suraya melepas nafas. Menghilangkan lelahnya dengan berbaring di atas sofa. Puas dia meminta maaf pada jururawat atas ketidakhadiran suaminya di klinik tadi.
Dahinya berkerut. Matanya sayu dan kuyu. Senyuman juga tiada pada wajah. Jelas menggambarkan betapa dia sedang dilanda masalah ketika ini.
Kandungan yang sudah berusia lima bulan diusap. Hanya tinggal empat bulan saja lagi sebelum dia melahirkan. Apakah kehidupannya setelah menjadi ibu juga begini?
Apakah Haikal masih akan dingin padanya? Apakah Haikal masih menjauhkan diri darinya? Apakah Haikal tetap juga jarang pulang ke rumah? Apakah Haikal tidak akan menyayangi anak ini walau sekelumit?
Dia berbaring mengiring. Air mata yang ditahan akhirnya tumpah jua. Melepaskan 1001 beban yang tertanggung pada bahu. Turut dirasakan oleh anak yang berada di dalam kandungan.
Lama Suraya berfikir. Apakah semua ini kerana Beel? Adakah Beel yang menyebabkan dia menjalani hidup yang begini menyedihkan? Atau semuanya disebabkan dirinya sendiri?

2 thoughts on “DILARANG NIKAHI AKU – 81

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s