DILARANG NIKAHI AKU – 82

Beel menguntum senyum manis malu-malunya membaca mesej selamat pagi cinta dari Haikal. Hingga tidak menyedari langkah kakinya sudah pun tiba di hadapan kelas.
Hani menegur. Dalam hati merasa sangsi akan lagak aksi Beel yang tersenyum sendiri. Namun Hani cuba mentidaktahukan hal itu. Bukannya dia sudah mengenali Beel sepenuhnya. “Beel, senyum sorang-sorang dari tadi. Kita dah sampai ni…”
Beel tersenyum. Anggukan diberikan dan mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam kelas.
Hani mengerutkan dahi bila perasan ada mata-mata memandangnya dengan ketawa. Ada juga yang tersenyum-senyum, tak kurang yang berbisik sesama sendiri.
“Hani” Beel menarik Hani, meminta Hani menoleh ke belakang memandang papan putih yang sebesar-besarnya.

‘FAI love QAMAR’

Hani memandang tulisan itu. Tidak ramai yang tahu nama manjanya itu. Tapi kalau sudah setiap hari Qamar mengejarnya dan terjerit-jerit memanggil Fai, siapa yang tidak tahu dia adalah Fai?
Nafas ditahan. Riak wajah dijaga agar tidak menunjukkan wajah marah walau sekelumit. Beel di sisi dipandang.
“Awak ok?” Beel menyoal.
Hani menguntum senyum. “Ok. No worries”. Langkah diteruskan ke kerusinya. Langsung tidak mempedulikan apa yang dilakukan seisi kelas.
“Awak betul-betul ok?” Beel menyoal.
Hani ketawa kecil. “Saya dah biasa kena macam ni. Nanti prof masuk, nampak tulisan tu kena denda. Kalau dia rasa cara macam ni dapat buatkan saya berdepan dengan dia, jangan mimpilah” Hani mula membuka tugasan yang baru diselesaikan semalam.
Suara wanita berdehem menarik perhatian seisi kelas. Tidak kurang yang serta-merta mematikan perbualan. Beel dan Hani sama-sama memandang pensyarah yang bersanggul tinggi dan berkaca mata bulat itu.
Hani menarik nafas. Ini bukan kali pertama. Perlahan tangan dimasukkan ke dalam tudung untuk menutup telinga.
“Siapa punya kerja ni?!”
Terkejut Beel mendengar jeritan yang bagai menggegar kelasnya. Pantasan saja suasana langsung sunyi sepi saat pensyarah itu melangkah masuk.
“Hani! Qamar!”
Hani berdiri. Dan langkah diatur menuju ke pensyarah di hadapan. Beel mengerut dahi. Belum dipanggil sudah melangkah?
Dan tidak lama, Qamar mengikut perbuatan Hani. Berdiri bagai patung di sisi Hani. Tapi semakin Qamar mendekat, semakin Hani menjauh. Hingga Qamar akhirnya memutuskan untuk menjarakkan diri. Bimbang juga diperasan pensyarah yang sememangnya terkenal sebagai ‘Prof Petir’ itu.
“Qamar atau Hani?”
“Salah saya prof. Kalau nak hukum, hukum saya seorang je. Hani tak salah”.
“Saya bukan nak berbincang!” Prof Petir membulatkan mata. Dan dia berpusing menghadap kelasnya pula. “Ingat! Universiti adalah tempat belajar! Tempat menimba ilmu, bukan tempat bercinta. Bukan tempat berdating. Dan bukan juga tempat untuk main macam ni. Faham?”
“Faham, prof.” Seisi kelas merespon bagai anak-anak sekolah rendah.
“Hani, Qamar, berdiri kat luar kelas sampai kelas saya habis.”
Beel memandang Hani yang masih dengan wajah tenangnya. Dan dipandang pula Qamar dengan wajah bersalahnya. Apa agaknya perasaan Hani saat ini? Apakah sama dengan perasaannya sewaktu dibuli Haikal saat mereka belum berkahwin dahulu?

###############

“Aku minta maaf” Qamar memandang Hani yang berada di sebelah kirinya, berjarak sekira-kira enam hinggah tujuh langkah.
Hani berdiam diri. Dia sudah merasa terbiasa akan akibat dari perbuatan Qamar. Memang kata-kata Kak Fisah benar, jika begini sampai bila perkara ini akan selesai. Tapi dengan sikap Qamar yang suka nak menang, yang merasakan dirinya boleh punya segalanya.. siapa yang sanggup tahan?
“Fai..”
Hani diam lagi. Tidak mempedulikan panggilan Qamar yang bertalu-talu. Qamar melepas nafas. “Kau marah aku lagi ke?”
Hani diam lagi. Wajah berlagak tenang. Suara berlagak tidak mahu keluar. Sedang gelodak hati tiada siapa yang tahu? Hani kalau boleh mahu berlari sejauhnya dari Qamar. Dia bencikan lelaki itu. Dia bencikan lelaki bernama Qamaruddin.

###############

“Kau pergi mana semalam? Kenapa tak balik?”
Terbatuk-batuk Hani menahan sedaknya. Memandang sang empunya wajah yang bertanya. Ditemani sang sahabat yang menjadi pendamping setia.
Beel di sisinya hanya membisu. Sesekali dia mencuri memandang Hani. Mahu tahu apa agaknya tindakan Hani bila Qamar menyoalnya di tengah-tengah kantin universiti mereka.
Hani melepaskan keluhan. Wajah Qamar dipandang sesaat dua dan dia memandang Beel semula. Menyambung perbualannya dengan Beel yang terpotong akibat disergah tiba-tiba.
“Saya tanya ni.. Fai”.
Hani menarik pinggannya dan buat tak tahu. Beel memandang Qamar yang bersungguh memanggil. Kemudian dipandang Reza yang memandangnya. Reza membuat muka agar Beel membantu Qamar tapi Beel buat tak endah.
“Fai”.
“Beel, awak dah kenyang? Jom, tiba-tiba rasa tak lalu pula”.
Beel menguntum senyum dan mengikuti langkah Hani yang berjalan keluar dari kantin universiti sesudah meletakkan pinggan kotor pada tempatnya.
“Fai!” Qamar mengejar dan Reza mengikut di belakangnya.
Hani melajukan langkah. Hampir berlari namun tidak lagi. Beel di sisi dipegang erat agar Beel tidak berganjak darinya.
“Awak tidur mana malam tadi? Risau saya bila awak tak muncul-muncul” Qamar menahan langkah Hani. Hani menarik Beel melepasi Qamar namun Reza menahan.
“Reza” Hani bersuara.
“Fai please..” Qamar memandang Hani.
“Saya tak de benda nak cakap dengan awak!” Hani membulatkan matanya dan menarik Beel berlalu dari situ. Mempedulikan langkah Qamar dan Reza yang mengejar. Mujur saja Kak Cha sudah sedia menunggu di hadapan pintu pagar utama. Langsung saja mereka menaiki kereta. Sesekali Beel memandang Qamar, entah mengapa terasa kasihan pula. Nampak saja lembut Haninya, tapi hatinya boleh tahan keras juga.

##########

“Cik Beel lari lagi?” Kak Cha yang sedang memandu menyoal melihat keduanya termengah-mengah.
Beel ketawa kecil. “Pandai Kak Cha teka”.
Hani membuat muka. Dan Beel ketawa lagi. Sambil melepaskan lelahnya dia memandang Hani. “Saya sebenarnya dah lama nak tanya awak..”
Hani memandang. “Kenapa?”
“Kenapa Qamar panggil awak Fai?”
Hani diam sebentar. “Tu nama manja. Arwah abi dengan umi je yang panggil nama tu..”
“Macam mana Qamar boleh tahu?”
“Dia dah tahu dari awal yang kita orang ni tunang..”
Beel membulatkan mata. “Jadi dia buli awak tu kira macam nak tarik perhatianlah.. Betul tak Kak Cha?”
“Mungkin” balas Kak Cha sepatah, mengakui kebenaran kata-kata cik mudanya.
“Sebab dia dah tahu lagilah saya marah. Buat apa nak tarik perhatian? Lagi pun baru tunang je..belum jadi suami isteri pun” Hani mengomel dengan wajah seriusnya.
“Awak pernah minta nak putus tunang tak?” Beel menyoal.
Hani senyum kecil. “Dalam proses. Saya kena cari alasan kukuh dulu nak bagitahu umi..”
Beel mengangguk memahami. Dalam kepala memikirkan bagaimana agaknya jika Qamar dan Hani benar benar berjodoh? Apakah sama seperti dirinya dan Haikal?
Tapi.. Tidak mungkinlah sama. Kerana Hani lebih terserlah ciri kewanitaannya. Bukan seperti dia yang kasar dan suka bertindak sesuka hati. Namun melihatkan kekerasan hati yang ditonjolkan Hani, mungkin Qamar harus berusaha lebih daripada Haikal.
“Cakap fasal umi baru saya teringat. Cuti hujung minggu ni ada gotong royong kat rumah umi saya. Awak nak datang? Kalau Kak Cha nak datang tolong pun boleh juga..”
Beel terus memberi anggukan sebagai jawapannya. Lusa Fah akan datang menaiki keretanya sendiri. Tidak sangka abang Wan akan melepaskan adik kesayangannya yang satu itu.
Tidak sabar rasanya mempertemukan Fah dengan Hani. Dia selalu bercerita tentang Hani pada Fah namun jarang menceritakan tentang Fah pada Hani. Beel maju ke depan memandang Kak Cha. “Kak Cha bawalah anak-anak Kak Cha sekali. Teringin nak jumpa..”
Kak Cha tersenyum dalam anggukannya. Untungnya dia mempunyai majikan seperti Cik Beel. Sedang Beel tersenyum-senyum sendiri memikirkan cuti minggu yang bakal menjelang. Pastinya cuti minggu yang gembira buatnya.

#############

Mata Syakir sedari tadi tertumpu pada kedai barang kemas itu. “Kir, jom” Haikal memanggil.
Syakir memandang Haikal. Dan tangan Haikal ditarik memasuki kedai barang kemas di hadapan mereka.
“Kau nak buat apa?”
“Kata nak suruh masuk meminang Fah..” dan Syakir langsung meneliti cincin-cincin yang terdapat di ruangan cincin. Cincin manakah yang harus dipilih buat Fah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s