DILARANG NIKAHI AKU – 83

Dia ketawa membaca mesej dari Haikal. Sedang berada di kedai barang kemas bersama Syakir. Tulis Haikal lagi, Syakir mahu membeli cincin buat Fah. Cincin masuk meminang.
Baguslah kalau akhirnya Syakir sudah mula serius. Semoga Safwan berlembut hati dan melihat kesungguhan Syakir. Benar-benar mahu menjadikan Fah sebagai pendamping hidupnya.
Jujurnya Beel merasakan umur 20 tahun terlalu muda untuk hal-hal sebegini. Tapi bukankah dia sudah terlebih dahulu mendahului. Jadi pastilah dia mahu Fah juga mengalami hal itu seusianya. Supaya mereka dapat berkongsi cerita tentang segalanya.
Nafas dilepas sambil tubuh bersandar pada rumah kecil pengawal bangunan. Kalaulah Syakir bukan kawan Haikal, dia juga berperasaan yang sama seperti Safwan. Syakir merupakan lelaki yang tidak boleh dipercayai.
Iyalah, Syakir tidak berkata apa-apa sebaliknya terus melakukan. Fah juga kurang faham hal-hal sebegini. Dia sendiri menyoal Beel mengapa Syakir selalu menemuinya di universiti dan mengapa pula Safwan marah bila Fah mengatakan dia dan Syakir tidak mempunyai hubungan?
Bunyi hon kereta di hadapannya mematikan lamunan. Serta merta senyumnya ke pipi melihat kereta itu. Fah! Lantas Beel berpaling pada sang pengawal yang berbangsa cina. “Uncle, buka pagar. Ni kawan saya..”
Uncle itu tersenyum dan menuruti. Beel berlari anak menuju ke tempat parkir kenderaan. Setia menunggu hingga Fah selesai mematikan enjin keretanya. Dan saat Fah keluar dari kereta ..
“Fah!”
“Beel!” keduanya berlari bagai lagak hero heroin filem hindustan. Melepaskan rindu setelah tidak bertemu berbulan lamanya.
“Kau apa khabar? Macam mana duduk sini? Rindu gila kat kau. Nak mati aku sebab rindu!” Fah memegang kedua belah pipi Beel.
Beel ketawa. “Jomlah naik dulu. Banyak benda aku nak cerita kat kau ni..”

#############

Matanya tergamam melihat keindahan kondominium itu. Fah terhenti seketika di ruang tamu. Kemudian melangkah masuk ke dalam dapur dan seterusnya ruang makan. Ruang tamu sudah sepakej dengan ruang menonton namun keluasannya tidak dinafikan.
Dia mula melangkah lagi. Membuka pintu-pintu bilik yang ada. Bilik pertama.. bilik Beel dan Haikal. Fah mengangguk-angguk. Kemudian dimasuki bilik kedua pula. Barangkali ianya bilik tetamu kerana biliknya seperti disiapkan untuk tetamu. Dan bila dibuka bilik ketiga, Fah tersenyum.
Benarlah kata-kata Beel bahawa dia sudah mempersiapkan bilik untuk Fah. Jadi Fah bebas mahu ke Pulau Pinang bila-bila masa. Kerana Fah sudah punya bilik khas di kondominium Haikal.
Fah melangkah masuk. Membuka almari yang ada. Ada baju-baju dan juga beberapa helai tudung yang sememangnya mengikut cita rasanya. Di belek almari buku yang ada. Buku-buku yang memang memenuhi keinginannya dan diperhati pula frem yang terdapat di meja hiasan.
Dia ketawa kecil bila mendapati ada gambar dia sendirian, ada gambar dia bersama Beel, ada gambar dia bersama abangnya, ada juga gambar dia bersama Beel dan abangnya dan satu gambar dia, Safwan, Beel dan Haikal. Kalau tidak silap Fah itu gambar selepas beberapa hari pernikahan Beel.
“Kau tengok apa?” Beel muncul di pintu bilik.
Fah tersenyum. “Tengok bilik sewa aku. Baguslah kau ni..”
Beel ikut menguntum senyum. Fah melangkah dan mengambil tempat di sisi Beel. “Haikal dah tengok bilik ni?”
Beel memberi anggukan. Fah turut mengangguk, “Respon?”
“Kalau Fah tu lelaki, dah lama saya fikir dia kekasih gelap awak” Beel mengulang kata-kata Haikal tempoh hari.
Fah ketawa. Dan dia ikut berbaring di sisi Beel. Letih benar rasanya memandu sejauh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Namun disanggupi juga memikirkan Beel yang sangat dirindui.
Beel mula membuka cerita. Menceritakan tentang kehidupannya di Pulau Pinang. Nafas ditarik saat dia menyoal Fah. Ternyata Fah sudah pun lena tidur di tempatnya. Perlahan Beel menanggalkan tudung Fah dan menarik selimut menutupi tubuh Fah. Semoga Fah lena tidur dibuai mimpi.

#############

Dia terjaga dari tidurnya. Memisat mata dan memegang kepalanya. Jam dinding dipandang. Jam sembilan malam. Dia melihat-lihat sekeliling.
Dan dia bangun dari katil dengan sepenuh daya. Kandungannya yang sudah berusia hampir lapan bulan diusap. Dan keluhan dilepas lagi. Air mata mula mengalir di pipi.
Sudah hampir tiga minggu Haikal di Scotland namun tiada khabar berita darinya. Suraya tahu Haikal langsung tidak teringat akannya di sini. Kalau dengan Beel, mungkin setiap hari gadis itu dihubungi dan ditanya khabarnya.
“Sabar ye sayang..” Suraya terus memujuk hati dengan mengusap kandungannya. Dia sudah temui jawapannya. Dia yang menyebabkan hidupnya jadi begini. Kerana sikapnya yang mahu sangat menang terhadap Beel dia jadi begini. Sedang Beel langsung tidak bertindak apa-apa namun nasib selalu saja menyebelahi.
Kalaulah dia biarkan saja hidup Beel, pasti dia tidak akan melalui hidup yang sebegini tertekan. Mungkin dia akan menanggung malu bila masyarakat tahu dia mengandung anak luar nikah, tapi sekurangnya dia bahagia dijaga mama dan papa. Sekarang walaupun orang menganggap dia hamil anak Haikal, tapi dia dibiarkan. Dia ditinggalkan sendirian bersama kandungan yang semakin membesar. Bukankah ianya lebih menyedihkan..?
Hakikatnya Suraya sudah letih. Dia benar-benar letih dengan semua ini. Sudahlah badan tidak secergas dahulu. Kakinya sudah mula membengkak. Sakit belakang tidak usah dikatakan. Saban hari Nia yang mengurutnya sana sini. Nia yang menuamkan kakinya saat kakinya terasa kebas. Nia jugalah yang membantunya bila dia menghadapi kesukaran berjalan.
Sesekali mama dan papa akan datang melawat. Opah ada mengirimkan salam dan buah tangan namun turut serta mengunjungi tidak pernah. Sesekali Suraya berfikir, apakah opah masih marah atas apa yang telah dilakukannya terhadap Beel?
Mama asyik bertanya soal Haikal. Dan sudah 1001 lebih pembohongan yang dicipta Suraya. Tidak mungkinlah dia memberitahu mama layanan dingin Haikal padanya. Bimbang mama turut terasa hati.
Tapi papa seperti tahu. Acap kali disuruh Suraya bersabar dan muhasabah. Memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Berpunca dari siapa dan salah siapa. Suraya melepas nafas lagi. Tinggal sebulan lebih dia akan melahirkan jika mengikut jangkaan doktor. Apakah ketika itu Haikal akan berada di sisinya?

############

“Dah habis ber’gayut’ dengan opah?”
Beel tersenyum mendengar soalan Fah. Anggukan diberikan buat sahabatnya itu.
“Opah tak tanya kau kat mana?”
Beel menggeleng. Mee goreng mamak yang dimasak Fah dicedok ke dalam pinggannya. “Opah kata aku sekarang dah jadi isteri orang, dah ada hidup sendiri. Opah tak kisah mana aku pergi, apa aku buat selagi aku tahu jaga air muka suami, tahu jaga air muka keluarga”.
Fah ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Fah. Beel mengerut dahi. Jarang dia dapat mendengar Fah ketawa begini. Apa yang begitu kelakar hingga merubah tawa Fah yang asalnya sangat perlahan?
“Kenapa?” Beel menyoal.
Fah menggeleng. “Tak sangka kau cakap macam tu. Memang betullah orang cakap perkahwinan ni mematangkan kita…”
Beel mencebik. Ingatkan apa, rupanya Fah sengaja mengusik. “Aku ulang ayat opah aku je” Beel membela diri.
“Tapi baguslah kau dah matang sikit. Tak sia-sia abang aku lepaskan kau pada Haikal”.
Beel diam. Terus menikmati mee goreng mamak di dalam pinggannya. Dalam fikiran tiba-tiba teringat akan Safwan? Bagaimana agaknya keadaan pemuda itu? Apakah sama seperti dahulu atau sudah berlainan? “Abang Wan apa khabar?”
Fah menghentikan suapannya. Tersenyum memandang Beel. “Khabar apa kau nak?”
“Ha?”
“Kalau kerja dia memang toplah.. Sekarang ni asyik naik pangkat. Aku rasa sepanjang kau kat sini, dah tiga kali dia naik pangkat. Kalau soal hati, kau nak tahu dia dah ada pengganti? Memang taklah..kau macam tak kenal abang aku tu. Setia pada yang satulah bagai..” Fah bercerita sambil mulut menjamah makanan.
Beel mendiamkan diri. Dia sekarang baru mengerti segala perbuatan, layanan dan kata-kata Safwan terhadapnya. Bererti Safwan pasti telah membuat keputusan terbesar dalam hidup saat melepaskan dia pada Haikal. Timbul rasa kasihan di jauh sudut hatinya, tapi apakan daya.. Soal hati bukan boleh dipaksa. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia mula mencintai suaminya sendiri.

#############

Mata tidak berkelip memandang wanita bertopi dan berjaket putih itu. Dahinya berkerut bagai tidak percaya apa yang dilihat. Kemudian mata memandang sahabat di sisi.
Biar betul ini pemandu yang diupah Haikal! Selalunya yang menjadi pemandu adalah lelaki, tapi yang berada di hadapannya saat ini terang-terangan adalah seorang wanita!
“Fah!” Beel menepuk.
Fah memandang. “Saya Fah”.
Kak Cha ketawa sendiri. “Cik Beel selalu cerita tentang Cik Fah. Memang cantik, lemah-lembut macam Cik Hani juga..”
Fah memandang Beel. Iya, Hani. Nama yang sering disebut Beel saat mereka bermesej atau berbual melalui telefon. Dia juga sering mendengar cerita Beel akan persamaan dirinya dengan Hani.
“Mana anak Kak Cha?” Beel menyoal.
Kak Cha membuka pintu kereta. Dan turun dua orang budak, seorang lelaki dan seorang perempuan. “Kenalkan anak Kak Cha. Salim, Salimah”.
Fah tersenyum memandang kedua budak itu. Dia sememangnya suka dengan kanak-kanak. Kepala keduanya diusap. Kelihatannya Salim seperti enam tahun manakala Salimah mungkin tiga atau empat tahun.
“Jomlah.. Hani dah tunggu tu…”

#############

Hani leka membantu uminya membersihkan kawasan laman hadapan. Tersenyum-senyum dia menggubah bunga asli di laman itu. Sesekali dia menjeling memandang uminya yang juga sibuk menggembur tanah di dalam pasu.
“Assalamualaikum..”
Hani mengerut dahi. Suara.. Suara,,
“Waalaikumussalam” uminya terlebih dahulu menjawab. Tangannya yang disarung menggunakan sarung tangan dilambai pada sang empunya suara. Hani menoleh. Mata membulat melihat Qamar berdiri tegak di situ. Dengan senyuman memandangnya.
“Umi!”
Hanifah menguntum senyum. Tahu sangat anaknya kurang senang dengan kehadiran Qamar di situ. “Umi ajak Qamar tolong. Kan Hani yang cakap dengan umi, lagi ramai lagi bagus”.
“Mama dengan papa kirim salam. Qamar ada bawa pembantu, ramai.. Nak tolong supaya kerja cepat siap”.
Hani menjeling. Bibirnya terherot-merot kerana dimuncungkan. Menyampah dengan kata-kata Qamar yang berlagak sopan. Kalaulah uminya tahu akan sikap Qamar yang sebenar..
Seorang budak perempuan berumur sekitar 11 tahun berlari ke arah mereka. Baju Hani ditarik seraya dia berkata, “Kak Hani, ada orang nak jumpa. Dia kata dia kawan Kak Hani”.
Hani memandang Qamar sekilas dan menarik muka. Hanifah dipandang dengan senyuman. “Umi, Hani pergi tengok kejap”.

############

Beel memandang papan tanda yang tersergam di hadapan rumah besar itu. ‘Rumah Anak Permata Baiduri’. Jadi rupanya Hani membesar di rumah anak yatim. Keluasannya memang luas dan rasanya ramai yang diperlukan untuk melakukan kerja gotong royong.
Jauh di satu sudut Beel melihat sekumpulan lelaki bermotor sedang berbincang antara satu sama lain. Mungkin sukarelawan yang datang membantu.
Lalu siapa umi Hani? Adakah dia pekerja atau yang empunya rumah kebajikan ini? Beel dapat melihat ramai kanak-kanak yang berlari sana sini. Sesekali dia melihat Fah yang sudah pun mula mengejar kanak-kanak comel di situ.
Kak Cha di sisi dipandang. Iya, Salim dan Salimah sudah mengikut Fah bermain bersama kanak-kanak lain. Nampaknya Fah memang diminati kanak-kanak di situ.
“Beel!”
Beel tersenyum. Hani memeluk Beel seketika. “Terima kasih sudi datang. Kita orang pun baru nak mula”.
Beel mengangguk. “Saya nak kenalkan awak dengan seseorang”.
Hani mengerut dahi. Kak Cha dan Beel dijemput masuk ke dalam. Dan Beel berlari anak menuju pada Fah. “Fah! Fah!” nama itu dipanggil.
Fah memandang. Seketika, anak-anak yang dikejar turut terhenti lariannya. Dan mereka bermain sesama sendiri bila Fah berjalan menuju ke arah Beel.
Fah memandang wajah itu. “Hani ke?”
Hani tersenyum. “Ya saya”.
Fah ketawa kecil. “Selalu dengar Beel cerita fasal awak. Baru hari ni dapat jumpa”.
Beel ketawa. “Hani, ni kawan baik saya dari kecil. Fah.. Nama dia Sofwan. Tapi awak boleh panggil Fah je…”
Hani mengangguk. Dan mereka berjabat tangan. Beel melepas nafas lega. Tercapai juga hasratnya untuk mempertemukan Fah dan Hani.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s