DILARANG NIKAHI AKU – 84

Puan Sri Normah tersenyum memandang gambar Beel yang terletak kemas di dalam frem. Frem itu dicapai dan diletakkan pada dada sebagai tanda sangat merindukan cucunya.
“Puan sri teringat Cik Beel?”
Puan Sri Normah memandang Mak Jah yang baru masuk ke biliknya. Anggukan diberikan buat wanita yang telah lama berkhidmat untuk keluarganya itu.
“Cik Beel tak ada kirim khabar?” Mak Jah menyoal sambil tangan lincah menghidang minum petang buat majikan kesayangannya itu.
“Selalu telefon. Tapi biasalah nenek mana tak rindu cucu. Pandai Haikal jaga cucu kita kan?”
Mak Jah menguntum senyum. “Pandai dia lembutkan hati Cik Beel kan?”
Puan Sri Normah ketawa kecil. Dia yakin Beel bahagia saat ini. Barangkali keputusan Haikal melarikan Beel adalah keputusan yang tepat. Suara saat Beel menghubunginya selalu saja diselangi dengan gelak tawa. Tidaklah hanya menangis dan mengiyakan saja kata-katanya.
Harapan Puan Sri Normah saat ini biarlah kebahagiaan Beel berkekalan. Dia tidak mengharapkan lebih. Cuma mahu cucunya itu sihat dan bahagia di dalam rahmat Allah S.W.T.

#############

“Kejap” tangan Beel ditarik.
Beel menoleh ke belakang. Tangannya ditarik dari pegangan lelaki itu. “Kau nak apa?” Beel menyoal. Dalam hati tertanya sendiri, mengapa Reza tiba-tiba memanggilnya sedangkan mereka tidak pernah bercakap empat mata sebelum ini?
Reza melepas nafas. “Aku tengok kau rapat dengan Hani”.
“So?”
“Aku nak kau tolong Qamar”.
Beel mencebik. “Kau nak tolong kawan kau. Mestilah aku pun nak tolong kawan aku”.
“Qamar betul-betul nak minta maaf kat Hani”.
“So?”
Reza menggenggam penumbuk dengan sikap teman baik Hani itu. Bagaimanalah gadis di hadapannya ini boleh menjadi teman rapat Hani sedang sikap berbeza bagai langit dan bumi? “Kau tolonglah. Aku tahu Hani dengar cakap kau”.
“Aku tak nak tolong. Tak faham bahasa ke?” Beel menolak tubuh Reza dan tersenyum manis.
Reza bagai terpaku di tempatnya. Apa yang tidak kena dengan dirinya? Mengapa senyuman itu kelihatan sangat cantik pada pandangannya?

###########

Beel membebel sendirian sambil tangan membawa buku-buku yang baru tiba untuk disusun di dalam perpustakaan. Hani yang sedang mengemas kaunter menegur. “Kenapa Beel?”
Beel memandang. Dan gelengan diberikan. Mahu saja hati memberitahu, jangan sesekali mengalah dengan Qamar. Tapi didiamkan saja kerana lebih baik dia tidak masuk campur urusan mereka.
“Woi!” Fah muncul dari luar perpustakaan.
Beel dan Hani menoleh. Fah melangkah masuk. “Lamanya kau ambil buku?”
Beel sengih. “Ada beruk kacau aku tadi.”
Fah mengerutkan dahi. Memandang Hani yang sibuk dengan tugasannya. Dia mengikut langkah Beel, memasuki ruangan bacaan.
“Siapa kacau kau?” Fah menyoal perlahan, tidak mahu Hani mendengar.
Beel mengintai. Setelah mendapati Hani tidak tercari-cari barulah dia memberitahu, “Reza”.
“Kawan tunang Hani tu?”
Anggukan diberikan. Fah termenung sendiri. Pasti Reza mahu meminta kerjasama Beel untuk mem’baikpulih’ hubungan antara Hani dan tunangnya.

###########

Hani melepas nafas. Melepaskan keletihan yang dirasakan untuk hari ini. Kerja sudah hampir siap. Cuma tinggal dirapikan beberapa kawasan.
Dia yang duduk di taman bunga berehat di atas kerusi batu yang tersedia. Nafas ditarik dan dilepas. Ditarik dan dilepas lagi. Sesekali tersenyum melihat beberapa orang ‘adik’nya bermain dengan Fah di padang.
‘Comel betul Fah ni’ detus hatinya.
“Untuk awak”.
Hani mengerut dahi. Memandang segelas air sirap limau ais di hadapannya. Kemudian wajah diangkat pada yang menghulurkan.
“Untuk awak”.
Hani memandang wajah itu. Qamar. Qamar bersungguh meminta Hani mengambil air yang dihulurkan. Hani bangun dari duduknya, melepasi Qamar.
“Fai” Qamar memanggil.
Hani keluar dari taman bunga dan langsung ke kolam ikan. Menghampiri Beel yang sibuk mencuci kolam bersama dua orang ‘adik-adik’nya. “Beel” Hani menegur.
Beel memandang. Dan melihat Qamar melangkah ke arah Hani. “Fai”.
Beel melepas nafas. Dia kemudian memandang Hani yang beranggapan bahawa Qamar tidak wujud.
“Kak Hani tak nak jumpa Abang Qamarlah!” sampuk seorang budak perempuan yang menjadi pembantu Beel.
Beel memandang dan Hani ketawa kecil. Dia mengangguk tanda bersetuju dengan ucapan ‘adik’nya. Qamar melepas nafas. “Jia cakaplah dengan Kak Hani yang abang nak cakap dengan dia” Qamar memandang budak perempuan berambut paras bahu yang menyampuk ‘rayuan’nya pada Hani tadi.
Jia mencebik bibirnya. Dia langsung tidak sukakan Abang Qamar yang gemar membuli Kak Haninya. Bukannya dia tidak tahu bagaimana Qamar membuli Hani satu ketika dahulu.
Hani menjeling Qamar yang sudah pun mengambil tempat di sisinya. Jia yang berada di dalam kolam ikan keluar dan menolak Qamar agar menjauh dari Hani. “Jangan kacau Kak Hanilah!”
Terkedip-kedip mata Beel memandang. Fikirnya Jia sekadar bergurau. Rupanya memang benar dia bencikan Qamar?
Qamar yang terjatuh memandang Jia. “Jia marah abang ke?”
Jia diam. Kelihatan ‘rasa bersalah’ pada raut wajah. Hani mendekati Jia dan mengusap kepalanya. Sekalipun dia suka dengan apa yang Jia lakukan, Jia tetap perlu ditegur kesalahannya.
“Jia kena hormat orang tua. Minta maaf dengan Abang Qamar boleh?” Hani memandang Jia.
Jia diam membisu. Membekukan tubuh badannya sebagai tanda protes. Hani melepas nafas. Qamar memandang dengan senyuman manisnya. Gembira melihat sisi lain Hani yang jarang-jarang dilihat.
“Jia.. Sayang Kak Hani tak?” Hani menyoal lagi.
“Jia minta maaf. Tapi Jia bukan tak sengaja, Jia sengaja tolak. Jia tak suka abang dekat-dekat dengan Kak Hani” Jia memandang dengan wajah marahnya, menyatakan betapa dia tidak sukakan Qamar.
Beel ketawa kecil dengan drama itu. Benar-benar menghiburkan hatinya. Gelagat Hani dan Qamar seperti pasangan baru berkahwin yang sedang berselisih faham.
Qamar memandang Jia. “Jia memang tak suka abang ke?”
“Jia benci abang. Kalau bukan sebab abang, sekarang Kak Hani dah..”
Hani langsung menutup mulut Jia menggunakan tangannya. Qamar memandang Hani. Sepertinya ada sesuatu yang dia tidak tahu tentang Hani. Apakah yang dirahsiakan Hani daripadanya? Patutkah dia bertanya pada Hanifah tentangnya?

#############

“Hani dengan Qamar tu comel kan?”
Beel ketawa mendengar kata-kata Fah. “Memang kau rasa macam tu ke?”
Fah mengangguk. Dia ketawa sendiri teringat pelbagai kejadian di Rumah Anak Permata Baiduri tadi. Tangan Beel ditarik dan dia melentokkan kepala di atas bahu Beel. “Dah lama kita tak habiskan masa macam ni kan?”
Beel ketawa geli hati. “Dah kenapa kau ni?”
“Tak delah. Aku teringat masa kita sekolah dulu-dulu. Best kan? Pergi sana sini sama-sama. Kan?”
Beel ketawa lagi. “Kalau rindu selalulah datang sini”.
“Aku je kena datang Penang? Kau tak nak datang KL? Tak rindu opah?”
Beel diam. Mendiamkan diri. Membisukan mulutnya. Membiarkan Fah berteka-teki sendiri. Bukannya Fah tidak tahu mengapa dan sebab apa dia tidak boleh ke Kuala Lumpur. Beel menoleh ke belakang melihat keadaan dua anak Kak Cha. Sudah tidur terlentang pun. Pasti letih kerana membantu seharian.
Kak Cha yang memandu melihat melalui cermin belakang. Akhirnya Beel juga ikut tertidur bersama kepala Fah di bahunya. Kak Cha tersenyum. Nampaknya ini hari yang baik buat mereka semua.

#############

“Beel, ada orang cari!”
Beel menoleh memandang sang pemanggil. Hani di sebelah turut memandang. Dan keduanya sama mengangkat bahu.
Beel melangkah keluar dari kelas. Meninggalkan Hani di dalam kelas. Pensyarah mereka meninggalkan mereka di dalam kelas kerana dia punya mesyuarat pensyarah seuniversiti.
“Kat mana?” Beel menyoal teman yang memanggil.
“Taman sains”.
Beel mengerut dahi. Siapa pula yang tiba-tiba memanggilnya? Ataupun.. Apakah Haikal sudah pulang? Tapi mengapa dia tidak muncul saja di kelas?
Beel senyum sendiri. Haikal tahu dia tidak mahu teman kelasnya tahu dia sudah punya suami. Jadi mungkin memanggil ke taman sains untuk kejutan.
Dahi berkerut memandang sekliling. Diteliti kawasan kolam ikan, pokok dan bunga sekeliling taman itu. Tapi tiada sesiapa.
“Awak..”
Beel menoleh. Wajah yang asalnya ceria berubah terkejut dengan kerutan dahi. Disangkanya Haikal rupanya.. “Reza?”
Reza tersenyum memandang gadis itu. “Hai”.
“Kau ke yang panggil aku?”
Reza mengangguk. Sekuntum mawar merah di tangannya dihulurkan pada Beel. “Untuk kau”.
Beel mencebik. “Gila ke apa?” Dan dia berlalu meninggalkan Reza.
“Kejap” Reza menahan.
Langkah Beel terhenti bila Reza muncul di hadapannya. Menahan langkahnya dari maju. “Ni untuk kau?”
“Nak masuk hospital bahagia ke?”
Reza mengerut dahi. Dan dia menguntum senyum. “Aku.. Suka kau”.
Beel memandang wajah itu. “Suka?”
Reza mengangguk. “Aku cintakan kau”.
Beel ketawa geli hati. Ketawa dan ketawa lagi. Entah mengapa pengakuan Reza dirasakan satu jenaka buatnya. Dia ketawa hingga akhirnya memegang perut kerana terlalu beria ketawa.
“Kenapa?” Reza hairan dengan tawa Beel.
“Kau ingat aku ni apa? Tiba-tiba kau nak cakap suka aku” Beel ketawa sambil menggeleng-geleng. Dan dia melangkah pergi. Meninggalkan Reza sendirian di taman sains.

1 thought on “DILARANG NIKAHI AKU – 84

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s