DILARANG NIKAHI AKU – 85

“Siapa?”
Beel menggeleng dan menguntum senyum pada Hani. Hani mengerut dahi melihat Beel menggeleng. “Tak tahu?”
“Pergi-pergi tak de orang” Beel berbohong. Takkanlah dia mahu memberitahu Hani Reza yang memanggil dan meluahkan cinta padanya?

############

“Fai!”
Hani melepas nafas. Begitu juga dengan Beel. Dan keduanya ketawa.
“Kenapa?” Keduanya saling menyoal antara satu sama lain.
“Saya tak suka dengar suara tu” Hani mengeluh.
Beel senyum. “Saya dah tahu mesti kena lari. Kalau betul penat, apa kata awak berhenti dan berbincang dengan Qamar elok-elok?”
Hani menggeleng. Mustahil!
“Fai”.
Hani melangkah laju bila suara itu tepat di belakangnya. Tangan Beel ditarik dan mereka sama-sama berlari anak.
“Fai, dengar dulu apa yang saya nak cakap!”
“Saya tak de benda nak cakap dengan awak” ucap Hani perlahan.
“Fai!” Qamar memanggil lagi. Ikutkan hati mahu saja tangan Hani ditarik. Tapi Qamar tahu jika dia bertindak demikian akan menambahkan kemarahan Hani padanya.
Beel tercengang sendiri bila tangannya dilepaskan dan Hani melangkah sendirian. Agaknya Hani terlalu mahu melarikan diri dari Qamar hingga tidak sedar pegangannya telah terlepas.
“Fai!”

############

Hani menahan nafas yang turun naik kerana terkejut. Dia membuka mata dan melihat Qamar yang menahan tubuhnya dari terjatuh di atas jalan raya. Lantas tubuhnya menjauh dari Qamar.
“Hani” Beel berlari mendekati Hani yang nyaris dilanggar kereta. Mujur Qamar sempat menariknya. Jika tidak apalah yang akan terjadi.
“Awak ok?” pemandu kereta Nissan Sentra keluar dari keretanya. Mendekati Hani yang masih membisu.
“Cik..” lelaki bertopi itu menegur lagi.
“Hani!” Beel meninggikan suara. Bimbang pula dia bila Hani terus-terusan dengan ‘terkejut’nya.
“Ok” balas Hani sepatah.
“Saya minta maaf. Saya tak nampak cik tadi” lelaki itu memohon maaf.
Beel tersenyum nipis. Begitu juga Hani. Maklumlah… Kawasan Universiti Sains Malaysia bukannya kecil. Tidak mustahil pun kemalangan boleh berlaku di perkarangan.
“Tu..” Lelaki itu menunjuk pada Qamar yang masih belum sedarkan diri.
Beel mengangguk. “Tak pe. Encik boleh pergi. Terima kasih”.
Lelaki itu tersenyum dan memandu keretanya. Hani mendekati Qamar. “Awak.. Awak..”
Kelihatan Qamar memisat mata yang baru dibuka. Nafas ditarik dan dilepas. “Awak ok tak?”
Hani mengangguk. “Terima kasih sebab tolong saya”.
Qamar tersenyum manis. Gembiranya tidak terkata walau sekadar mendapat ucapan terima kasih.
Hani memandang Qamar yang tersenyum. Sedikit pun tidak terusik dengan senyuman itu. Beel dipandang dan dia mengajak Beel meninggalkan Qamar.

###########

-Apa pendapat kau bila ada lelaki bagi bunga?
–Entah. Kalau bukan sebab suka, mungkin ucap tahniah atau terima kasih.

Beel ketawa membaca mesejnya dengan Fah. Nampaknya dia telah tersalah bertanya. Menyoal Fah tentang perkara-perkara sebegini pastilah dia akan mendapat jawapan yang tidak pasti.
Sejak kejadian di taman sains tempoh hari, Reza saban hari menghadiahi sekuntum mawar merah. Cuma ianya secara diam-diam dan tidak diketahui sesiapa. Beel tidak mahu Hani tahu kerana bimbang Hani menganggap Reza sengaja mengganggunya kerana Hani tidak mahu melayan Qamar.
“Senyum baca mesej siapa?”
Beel menggelengkan kepalanya. Tersenyum memandang Hani yang masih sibuk menyiapkan tugasan.
“Kalau awak nak balik dulu boleh.. Saya boleh balik dengan teksi je..” Hani memandang sambil menyelak helaian buku yang sedang dibaca.
Beel menggeleng seakan Hani sedang memandang. “Saya nak teman awak. Kita boleh balik sama-sama”.
Hani mengangguk sambil tangan sibuk menyalin catitan dan isi-isi penting untuk tugasannya. Bunyi buku diletak di hadapan menarik perhatiannya. Hani mengangkat wajah dan memandang gerangan yang mahu mengambil tempat di hadapannya.
Qamar duduk dan mula membelek buku yang diambilnya. Tidak dihiraukan Hani yang memandang. Hani mencebik. Padanya Qamar bukan sengaja buat tidak perasan, tapi dia buat begitu kerana tahu mereka berada di perpustakaan. Iyalah, jika membuat bising di perpustakaan pasti ada pustakawan yang memberi amaran.
Bukunya ditutup dan pen di tangan diselit di buku. “Beel, jom”. Langkah kaki diambil untuk beredar. Beel bangun dari duduknya. Memandang Qamar buat beberapa ketika dan mengikut langkah Beel.
“Kalau betul awak berterima kasih sebab saya selamatkan awak, saya minta awak duduk” Qamar berkata dalam suara yang perlahan namun masih didengari Hani dan Beel.
Langkah Hani terhenti. Begitu juga dengan Beel. Beel memandang Hani dan Qamar silih berganti. Kemudian dia tersenyum sesaat dua. Teringat kata-kata Fah bahawa Qamar dan Hani kelihatan seperti pasangan pengantin baru yang berselisih faham.
Hani melepas nafas. Bukannya dia ada pilihan lain. Dia berundur dan mengambil tempatnya semula. Buku yang tadinya ditutup dibuka kembali. Dan dia mula menyambung apa yang dilakukan tadi.
Beel setia menanti di tempatnya. Mungkin ini saja cara yang Qamar ada untuk memujuk Hani. Beel melepas nafas. Dia mula bermesej dengan pujaan hati yang berada jauh di Kuwait. Mengirimkan salam rindu buat ibu ayah mertuanya.
Qamar memandang Hani yang sudah mula membuat tugasan. Dia mula menulis sesuatu di atas buku notanya. Beberapa saat menulis, dan buku nota dihulurkan pada Hani.
Hani mengerut dahi dan memandang Qamar. Qamar buat-buat tidak nampak perilaku Hani. Berpura-pura membaca buku yang diambilnya tadi. Hani melepas nafas dan mengambil buku nota Qamar. Dia mula membaca tulisan yang ditulis Qamar.

+Saya minta maaf sebab tak bagitahu awak yang saya dah tahu dari awal awak tunang saya.

Hani melepas nafas. Entah mengapa terasa sebak membaca tulisan ‘awak tunang saya’ itu. Cerita dari umi tentang asal usul kisah pertunangan mereka bagai bermain di telinga.
Abi berhutang nyawa dengan papa Qamar. Hanya papa Qamar yang tahu betapa susahnya hidup abi dan umi dahulu. Jika bukan kerana papa Qamar, tidak mungkin Hani boleh punya keluarga yang tidaklah mewah namun tidaklah terlalu miskin.
Papa Qamar sememangnya sangat menyayangi abi yang merupakan teman sekampung dari kecil. Bila papa Qamar mendapat tahu umi hamil anak perempuan, langsung papa Qamar membuat keputusan untuk tunangkan bayi di dalam kandungan umi dengan Qamar.
Dan akhirnya lahirlah dia yang diberi nama Ummu Hani. Abi dan umi tidak sampai hati untuk membantah melihat sukanya papa dan mama Qamar. Sedang abinya tahu soal jodoh pertemuan itu semua kerja Allah. Apatah lagi, tika anak sudah dewasa pastilah mahu memilih jodohnya sendiri.
Dia dirahsiakan soal tunangnya. Namun Qamar sebaliknya. Dia membesar dengan mengenali dan mengetahui segalanya tentang Hani. Ketika abi meninggal dunia di waktu Hani berusia belasan tahun, kali pertama dia menemui Qamar di tanah perkuburan.
Siapa tahu esoknya Qamar menjadi pelajar baru di kelas dan bermulalah episod dia dibuli habis-habisan. Mengapa dan kenapa? Siapa yang tahu. Jika perhatian yang Qamar inginkan, itu semua membuang masa. Kerana apa yang Qamar lakukan bukan membuatkan dia mahu memandang Qamar, tapi mahu mengelak darinya.
Yang paling dahsyat adalah sehari sebelum umi memberitahunya hal pertunangan ini. Dia dibuli ketika sedang bekerja di sebuah restoran. Tidak cukup dimalukan dan disalahkan, hal itu melibatkan pelanggan dan pengurus restoran. Siapa yang suka diperlakukan begini?
Tambah malu bila pengurus rupanya mengenali pelanggan yang membantunya. Memang untung bila pelanggan membantu, tapi tidakkah malu jika semuanya tahu itu bukan salahnya tapi kerana sikap Qamar yang terlalu suka membuli dan mengusik?

~Ok.

Buku nota ditolak kepada Qamar semula. Dia tidak mahu mengingati lebih lanjut. Cukup jawapan ok yang diberi pada Qamar. Sesungguhnya dia tidak mahu meneruskan pertunangan ini dan keputusannya muktamad.
Qamar melepas nafas melihat jawapan Hani. Dia tahu Hani bukan sekadar marah dan geram. Tapi perasaan benci sudah mula tertuai untuk dirinya. Dia sendiri tidak menyangka pilihannya membuli Hani habis-habisan membuahkan hasil sebegini.

+Awak maafkan saya atas apa yang saya buat pada awak selama ni? Saya betul-betul minta maaf. Saya betul-betul menyesal sebab suka buli awak. Saya cuma nak awak tahu yang saya wujud dalam dunia awak.

Dan buku notanya dihulurkan pada Hani semula. Hani membaca tulisan Qamar dan melepas nafas. Beel di sebelah dipandang. Adakah lebih bahagia menjadi Beel dari menjadi dirinya? Bagaimana Beel boleh menjadi gadis periang dan ceria sentiasa?

~Kalau awak nak saya maafkan, putuskan pertunangan ni.

Buku nota dipulangkan kembali dan Hani mengajak Beel beredar dari perpustakaan. Qamar melepas nafas berat membaca jawapan Hani. Hanya memandang Hani dan Beel yang telah pun beredar. Apakah tiada walau sedikit ruang kemaafan dari Hani buatnya?

############

“Puan Suraya?”
Suraya membuka mata memandang Nia di hadapannya. Wajah wanita pertengahan umur itu kelihatan sangat bimbang akan keadaan dirinya.
“Puan ok?”
“Perut Su sakit. Sangat..” Suraya memegang perutnya. Belakangnya diusap untuk meredakan kesakitan namun kesannya kurang.
Nia membantu Suraya menarik dan menghembus nafas agar lebih bertenang. Jika diikutkan tarikh yang diberi doktor, Suraya masih ada masa lagi dua minggu sebelum tarikh melahirkan. Apakah akan ada kesukaran untuk Suraya melahirkan bayinya?
“Nia.. Sakit sangat ni..” Suraya mengaduh. Tangan Nia yang mengurut kakinya dicengkam kuat.
“Nak Kak Nia panggilkan doktor ke?”
Suraya menggeleng. “Boleh Kak Nia telefonkan mama?”
Nia mengangguk. Dia mengmbil tualan panas dan meletakkannya di kaki Suraya agar dia tidak terlalu sejuk. Dan bergegas ke ruang tamu untuk menghubungi Sakinah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s