DILARANG NIKAHI AKU – 86

Langkahnya terhenti bila Reza menahan. Sekali lagi sekuntum mawar merah dihulurkan padanya.
Beel melepas nafas. “Aku tak nak”.
“Untuk kau.”
“Aku tak nak” Beel menegaskan.
Reza menguntum senyumnya. “Aku tengah nak pikat kau ni. Atau dalam erti kata lain, aku tengah mengurat kau. Dan aku takkan berhenti sampai kau terima aku” Reza mengambil tangan Beel dan menyerahkan mawar merah itu padanya. Dan berlalu pergi bersama sebuah senyuman bahagia.
Beel merungut sendirian. Wajah yang tadinya tunduk memandang mawar merah di tangan diangkat. Matanya membulat melihat wajah itu. Wajah yang padanya tidak ada riak. Namun Beel tahu dia menyatakan rindu.
“Siapa tu?”
Beel sengih. “Dia bagi ni”.
“Saya nampak. Dia nak pikat awak ke?”
Beel memberi anggukan lambat-lambat. “Awak cemburu?”
“Mestilah cemburu. Awak tu isteri saya. Takkan saya buat bodoh je kalau ada lelaki lain pikat awak?” bahu Beel dipaut.
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Haikal. Kepalanya melentok di dalam dakapan Haikal. Dan mereka mula melangkah tidak beberapa lama kemudian. “Bila awak balik?”
“Baru je. Sampai KLIA, saya ambil flight datang sini. Rindu sangat kat sayang seorang ni..”
Beel ketawa lagi. “Manisnya mulut..”
Langkah Beel terhenti bila Hani muncul di hadapannya. Tangannya yang berpegangan dengan Haikal dilepaskan. Haikal mengerut dahi sendiri. Dan bila dia perasan seorang gadis bertudung melangkah ke arah mereka, bahu Beel dipaut.
“Beel.”
Beel sengih. Haikal dipandang. Dan Hani dipandang. “Kenalkan ini..”
“Saya Haikal. Su..” Haikal memotong kata-kata Beel.
“Abang saya..” Beel memintas kata-kata Haikal kembali.
“Awak ada abang?” Hani menyoal dan Beel mengangguk. Hani meneliti wajah itu. Terasa macam pernah berjumpa. Tapi di mana ya?
Haikal menguntum senyum memandang Hani yang berkerut dahi melihatnya. “Abang Haikal restoran?”
Haikal mengangguk. Dan Beel ketawa kecil. Pasti Haikal tidak menyangka gadis ini akhirnya menjadi temannya di Pulau Pinang.
Hani ketawa kecil. Bagai tidak menyangka dengan sebuah kejadian yang dianggap kebetulan tanpa mengetahui Beel penyebab semuanya. Jika bukan kerana Beel, tidak mungkinlah Haikal membantunya ketika kejadian di restoran dahulu.
“Siapa ambil awak?” Beel menyoal memandang Haikal.
“Awak?” Hani mencelah. Jika Haikal adalah abang Beel, mengapa Beel memanggilnya awak?
Haikal tersenyum mendengar suara Hani. Dia menjongket kening memandang Beel. “A.. Abang balik dengan Salsabila. Dia ambil abang kat airport tadi..”
Beel mengangguk. Dan sengih-sengih memandang Hani. Tahu abangnya merujuk pada Kak Cha. Ertinya dia akan pulang bersama Haikal.
“Dah habis kelas kan? Jom balik..”
“Kita hantar Hani dulu boleh?”

##############

“Haikal tak datang?”
“Maaf Puan Suraya. Encik Haikal belum balik”.
Suraya melepas nafas. Dan kembali bersandar pada katil. Melihat Nia yang sibuk menghidangkan makanan untuknya. “Haikal tahu Su masuk hospital?”
“Kak Nia dah maklumkan pada Encik Haikal”.
Suraya melepas nafas. Memandang keluar tingkap yang kelihatan kereta lalu lalang di jalan raya. “Haikal memang tak pernah kisahkan Su kan?”
Tangan Nia terhenti. Dia memandang Suraya yang kelihatannya sudah mengalirkan air mata. Hakikatnya Nia faham keadaan Suraya. Iyalah, isteri mana yang tidak sedih jika dilayan sebegini rupa.
Sudahlah mengandung, dirinya ditinggalkan. Masuk hospital pula, namun suami masih belum muncul. Jangankan batang hidung, kelibatnya juga masih tidak ada.
“Encik Haikal bukan bencikan Puan Suraya” Nia cuba memujuk hati wanita itu.
“Tapi dia tak sayang Su. Besar sangat ke salah Su pada dia?”
Nia mengambil tempat di sisi Suraya. “Encik Haikal sayangkan Puan Suraya. Cuma bukan sebagai seorang isteri. Kalau dia tak sayang, dia takkan tanya khabar Puan Suraya pada akak. Dia takkan ambil tahu keadaan Puan Suraya. Salah Puan Suraya pada Encik Haikal mungkin tak besar, tapi salah Puan Suraya pada Cik Beel, itu yang Encik Haikal kisahkan..”
Suraya memandang Nia. Akhirnya tetaplah Beel yang ‘menang’. Akhirnya tetaplah Beel. “Beel..”

##########

“Cantik..”
“Suka?”
Beel mengangguk. Senyum memandang skrin telefon Haikal. Gembira dia melihat cincin yang dibelikan Syakir buat Fah. “Sesuai dengan Fah. Simple. Mahal tak?”
Haikal diam seketika. “Rasanya?” Haikal mengambil tempat di sisi Beel dan membuka televisyen.
Beel mengangkat bahu. “Tapi Syakir serius nak masuk meminang?”
Haikal mengangguk. Kepala Beel yang tegak ditarik lembut agar terlentok pada bahunya. “Nampaknya macam tulah..”
Beel mengangguk dan menghulurkan telefon bimbit Haikal semula. Matanya mula tertarik dengan filem yang disiarkan di siaran Tv3.
“Kalau awak nak hadiah apa?” Haikal tiba-tiba memberi soalan cepu emas.
Beel mengangkat bahu. “Entah. Asal awak pergi balik selamat cukuplah kut..”
Haikal mengerut dahi. Wajah Beel dipandang lama. Bagai tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut Beel. “Betul?”
Beel memandang Haikal. “Kenapa?”
Haikal tersenyum nipis. Kepala digeleng dan dia kembali bersandar. Dan Beel kembali pada kedudukannya tadi. Haikal menggenggam jari-jemari isterinya itu. Perasaannya ketika ini adalah sangat bahagia. Sangat bahagia.
Beel diam seketika melihat tangan Haikal yang meramas tangannya. “Kenapa ni?” Beel mengangkat kepalanya. Memandang Haikal.
Haikal senyum. “Saya sayang awak tau..”
Beel mengerut dahi. Anggukan diberikan dan dia kembali melentokkan kepalanya. Diam-diam Beel mula tersenyum. Senyum sendiri mengingat kata sayang dari Haikal. Sungguh dia beruntung mempersuamikan lelaki bernama Haikal Hadzim.

############

“Beel apa khabar?”
Membulat mata Fah mendengar pertanyaan Safwan. “Apa?”
“Beel apa khabar?”
Fah diam sebentar. Dia sebenarnya masuk ke bilik abangnya untuk menyoal rancangan abangnya untuk hari esok. Sebaliknya dia yang terkejut mendengar soalan cepu emas dari Safwan.
“Fah” Safwan memanggil bila mendapati adiknya berkhayal.
Fah menguntum senyum. Langkahnya maju pada Safwan yang berada di meja kerjanya. “Kenapa abang tanya?”
Safwan melepas nafas. Tersenyum memandang Fah. Apakah Fah mengerti akan kerinduan yang dirasakannya saat ini?
“Abang ok tak ni?”
Safwan mengangguk. Hambar. “Beel apa khabar?” Safwan menyoal soalan yang sama buat kesekian kalinya.
“Baik. Dia tengah belajar sekarang..”
Safwan mengangguk. “Sihat?”
Fah mengangguk lagi. “Abang..”
“Rindu. Fah marah kalau abang cakap yang abang rindu Beel?”
Fah menggeleng. Langsung tubuh abangnya dipeluk erat. Sudah lama dia tidak melihat wajah sedih dan kecewa milik abangnya. Bererti selama ini, abang memendam rasa hatinya sendirian.
Safwan membalas pelukan adik tersayang. Melihat gambar Beel yang berada di dalam komputer ribanya membuatkan rindu yang awalnya hampir terkubur kembali semula. Jika beginilah keadaan hatinya, mampukah dia melupakan dan melepaskan Beel yang jelasnya sudah bahagia dengan suami?

############

Lampu tidurnya dibuka dan bilik itu sedikit cerah. Telefon bimbitnya dicapai dan panggilan dijawab.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Encik Haikal dah sampai Malaysia ke? Puan Suraya dah masuk bilik pembedahan”.
“Ok. Saya datang sekarang. Dekat HKL kan?”
“Ya”.
Talian dimatikan dengan menekan butang merah. Beel yang sedang lena tidur dipandang. Sambil itu Haikal menukar baju tidur kepada baju kemeja. Pen di atas meja diambil dan Haikal mula menulis sesuatu.
Nafas dilepas membaca pesanannya pada sang isteri. Beel didekati dan sebuah ciuman di dahi dihadiahkan buat isteri tercinta. ‘Saya janji saya akan balik’.

###########

Sakinah dan Zamri gelisah menanti di pintu bilik pembedahan. Suraya enggan membenarkan doktor membedahnya selagi Haikal belum tiba. Sedangkan air ketubannya sudah pecah tapi jalan masih belum terbuka.
Doktor mahu membuat pembedahan kerana bimbang bayinya lemas. Namun Suraya mengamuk tidak mahu dibedah selagi suaminya belum tiba.
“Mak long, pak long” Haikal termengah-mengah memandang pasangan suami isteri itu.
“Baru nak datang?” Sakinah memandang dengan senyum sinisnya.
“Pergi masuk dalam dulu. Su tengah tunggu tu..” Zamri menarik Haikal dan menolak tubuhnya masuk ke bilik pembedahan.
“Encik Haikal?” Seorang jururawat menuju ke arahnya dan mengajukan soalan.
Haikal mengangguk dan dia mengikuti langkah jururawat. Dibawa masuk ke sebuah bilik yang hanya terdapat Suraya yang mengerang kesakitan bersendirian bersama alat-alat bantuan.
“Su?” Haikal bersuara.
“Maaf Encik Haikal. Doktor nak bedah pesakit secepat mungkin sebab takut membahayakan nyawa kandungan. Harap encik tak ambil masa lama..”
Haikal mengangguk. Dia berlari anak mendapatkan Suraya yang kelihatannya sudah berpeluh menahan kesakitannya. “Su..”
“Haikal…” tangan kanannya memegang pipi Haikal manakala tangan kiri sudah menggenggam jemari lelaki itu.
“Awak tahan ye? Saya doa awak bersalin dengan selamat..”
“Saya minta maaf. Saya tak de niat nak rosakkan rumah tangga awak dengan Beel. Saya minta maaf..” Suraya masih cuba bersuara walau kudratnya sudah mulai hilang.
Haikal mengangguk. Teringat pesanan jururawat tadi. “Saya maafkan. Saya dengan Beel maafkan awak.. Su..”
“Jagakan anak saya. Jagakan anak saya” dan Suraya akhirnya terbaring tak sedarkan diri.
Haikal mengerut dahi. Pipi Suraya ditampar lembut. “Su! Su!”
Lantas nafas yang sememangnya sudah tidak selari bertambah serabut. “Doktor! Doktor!” Haikal menjerit sekuat mungkin.
Dan dua orang doktor berlari masuk bersama beberapa orang jururawat yang membantu. Haikal melangkah keluar dari bilik itu dengan nafas yang masih kelam-kabut. Dan keluar lagi melihat Zamri dan Sakinah yang gelisah menunggu.
“Macam mana dengan Su?”
“Doktor dah mulakan pembedahan..” Haikal memandang Zamri dan Sakinah yang menyoal.
Sakinah memandang suaminya. “I takut…”
Zamri menguntum senyum sambil kepala Sakinah diusap. Suraya sudah berada di tangan doktor. Tiada apa yang boleh mereka lakukan melainkan berdoa dan berharap.

###########

Bunyi jam loceng dari telefon bimbit menyedarkannya. Beel melihat jam yang menunjukkan pukul 5.00 pagi. Lampu biliknya dibuka dan dahi berkerut melihat katil yang kosong.
“Awak?” Beel melangkah menuju ke bilik air. Tiada. Dia melihat sekeliling biliknya. Tiada orang. Dan Haikal melangkah keluar dari bilik. Mencari di ruang tamu, bilik Fah dan juga bilik tamu. Tiada sesiapa.
Beel melangkah semula ke biliknya. Mencari kalau ada apa-apa yang ditinggalkan Haikal. Dan dia terperasan sehelai kertas yang ditindih dengan sebatang pen.

• Sayang..
Saya ke KL. Kak Nia call bagitahu Su masuk hospital. Apa-apa hal saya call awak nanti. Jaga diri, saya janji saya akan balik sini bila semuanya selesai..
Salam sayang,
Haikal Hadzim•

Kertas itu diletak semula di atas meja. Kak Su masuk hospital? Lalu bagaimana keadaan Kak Su? Apakah dia baik-baik saja? Apakah kandungannya baik-baik saja?
Apakah Kak Su telah selamat melahirkan atau ada apa-apa masalah? Beel menenangkan hati yang mulai risau memikirkan Kak Sunya?
Langkah diatur ke bilik air. Dia mahu membersihkan diri dan mengambil wudhu’. Memohon kepada Allah S.W.T agar Kak Su dan kandungannya selamat dari sebarang masalah mendatang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s