Monthly Archives: December 2015

DILARANG NIKAHI AKU – 102

“Opah..”
Puan Sri Normah membuka matanya perlahan. Suara itu seperti suara cucunya. Apakah Beel sudah tiba?
Beel menguntum senyum lebarnya. Mengambil tempat di sisi opahnya sambil meriba Suria. Gadis kecil itu sibuk bermain dengan selimut Puan Sri Normah.
“Cucu opah..”
“Beel dah balik” Beel menguntum senyum lagi. Tubuh Puan Sri Normah dipeluk erat. Puan Sri Normah mengangguk-angguk sambil membalas pelukan Beel. “Cucu opah dah balik…”

############

Puan Sri Normah tersenyum memandang makanan yang tersedia di atas meja makan. Di sisi kanannya adalah Beel dan di sebelah Beel adalah tempat Suria dan seterusnya Haikal.
Di sebelah kirinya pula Zamri dan sebelahnya adalah Sakinah. Nampaknya hari ini semua ahli keluarganya berkumpul. Suasana yang jarang sekali berlaku.
Beel tersenyum melihat Suria yang begitu suka duduk di antaranya dan Haikal. Namun dia teringat pula pada Suraya. Mengapa Suraya masih belum pulang? “Pak long, Kak Su pergi mana tak balik-balik lagi?”
Sakinah tersedak mendengar pertanyaan Beel. Irah segera ke depan menghulurkan segelas air putih pada Sakinah.
Beel mengerutkan dahi. “Kenapa mak long?”
Sakinah menguntum senyum lebar. “Tak de apa-apa Beel..”
“Mana Kak Su? Mak long tak tahu?”
Puan Sri Normah mengerutkan dahi memandang Beel. Jika Beel masih menyoal tentang Suraya, ertinya Haikal masih belum memberitahu cucunya itu bahawa Suraya sudah…
“Tadi Haikal kata Kak Su keluar. Tapi macam dah lama sangat, takkan Kak Su tak balik-balik lagi?”
Haikal menarik nafas sedalam mungkin. “Sayang, nanti Su balik. Sekarang kita makan dulu boleh?”
Beel menjongket kening dan menguntum senyum. “Ok. Suria nak apa lagi? Biar mak su ambilkan..”
“Mama, Suria nak tambah nasi..”

#############

“Boleh opah cakap dengan Haikal kejap?”
Beel memandang Puan Sri Normah yang juga memandangnya. Anggukan diberikan buat opahnya itu. Tangan mencapai tangan Suria dan mereka berjalan meninggalkan Haikal bersama Puan Sri Normah di ruang menonton.
“Nak pergi mana?” Beel memandang Suria.
Suria ketawa sendiri. Bermain dengan apa pun Beel tidak tahu. Lebih baik dia ke dapur melihat apa yang sedang Mak Jah dan Putih lakukan.
“Ke hulu ke hilir memimpin Suria tu, tak penat ke Beel?” Putih menyoal sambil mengelap dapur yang kotor.
Beel ketawa sambil mendudukkan Suria di atas kerusi yang disediakan. “Habis tu nak buat macam mana? Dah Suria ni nak ikut Beel ke sana sini? Kan sayang..?”
Suria mengangguk sendiri sambil meneguk air milo yang diberikan Putih padanya.
“Mak Jah mana?” Beel menyoal setelah mendapati Mak Jah tiada bersama Putih.
“Emak tengah tidur. Akak takut emak penat sangat, akak suruh dia rehat je..”
Beel menguntum senyum. “Mesti Mak Jah seronok Kak Putih balik kan?”
“Emak mana tak seronok Beel. Beel tu.. Bila nak ada anak saudara untuk akak?”
Beel ketawa kecil. “Ni Suria dah ada..”
Putih mencebik mulutnya. Dan Beel ketawa sendiri. Dia tiba-tiba teringat sesuatu. Apakah mungkin Suraya sudah pulang? Lebih baik dia ke bilik Suraya untuk memeriksa. “Kak Putih, Beel tinggal Suria dengan akak kejap. Beel nak jumpa Kak Su”.
Putih mengerutkan dahi. Namun anggukan diberikan pada Beel. Jika dia menghalang, bimbang Beel mengesyakinya pula. Lantas Suria dialih perhatiannya agar anak kecil itu tidak meronta mahu mengikut Beel.

#############

“Haikal masih rahsiakan lagi dari Beel?”
Haikal diam sebentar sebelum memberi anggukannya. “Haikal tak tahu macam mana nak cakap”.
“Siapa yang bagitahu Beel Su keluar?”
“Haikal, opah”.
“Opah ingatkan masa Beel sampai sini Beel dah tahu. Rupanya lain pula..”
“Haikal minta maaf, opah”.
Puan Sri Normah melepas nafasnya. “Haikal takut Beel marah atau takut Beel sedih?”
Haikal menggelengkan kepalanya. “Haikal takut Beel marah, Haikal tak nak Beel sedih. Haikal sendiri tak berani nak bagitahu. Tak tahu nak mulakan macam mana..”
“Kira salah opah juga suruh Haikal rahsiakan dari Beel.. Tengok sekarang dah lama sangat sampai tak tahu macam mana nak bagitahu..” Puan Sri Normah tersenyum lemah.
Haikal mengerutkan dahi. “Opah tak salah. Haikal tahu opah buat macam tu untuk kebaikan Beel sendiri. Cuma..”
Puan Sri Normah melepas nafasnya. Bukan dia tidak kenal cucu kesayangannya seorang itu. Beel akan mengamuk dan merajuk bila tahu apa yang berlaku sebenarnya. Namun harapan Puan Sri Normah, semoga semuanya berlaku sebaliknya. Empat tahun dia berpisah dengan Beel, siapa tahu kalau Beel benar-benar sudah makin matang dan mampu mengawal emosinya?
“Haikal nak pergi tengok Beel..”
Puan Sri Normah mengangguk dengan senyuman. Membiarkan cucu menantunya itu melangkah keluar dari ruang menonton. Haikal berlegar-legar di ruang yang dia sendiri tidak tahu harus dipanggil apa. Iyalah, villa bukan seperti rumah biasa yang ruangnya terhad. Ke mana dia harus mencari Beel?
Haikal maju ke dapur. Mahu menyoal Mak Jah kalau-kalau dia tahu. Yang dilihat adalah Putih dan Suria sedang bergurau mesra.
“Putih”.
“Ya?”
“Mana Beel?”
“Tadi dia kata dia nak cari Su”.
“Nak cari Su? Dia pergi arah mana?” Haikal tiba-tiba meninggi suara.
Putih diam sebentar. Dia memandang Haikal tidak lama kemudian. “Atau dia pergi bilik Su?”
Haikal langsung membulatkan mata. Apakah benar dia ke bilik Suraya? Habislah.. Lantas langkah diatur berlari ke bilik Suraya. Putih mengerut dahi. Apa yang tidak kena? Apa yang ada di bilik Suraya?

##############

Beel membuka pintu bilik perlahan. Lampu dibuka bila didapati bilik Suraya agak gelap. Tangannya kemudian menutup pintu bilik.
Kemas. Wangi. Sepertinya Kak Sunya tinggal di sini bukan di rumah Haikal. Apakah ada sesuatu yang berlaku di antara Haikal dan Suraya?
Lalu dia masuk ke bilik Suraya apakah kakaknya itu tidak marah? Beel mengatur langkah menuju ke pintu. Mahu meninggalkan bilik Suraya. Tidak mahu nanti dia dimarah Suraya pula.
Tapi tak lama Beel melangkah masuk semula. Jika benar Suraya akan pulang sebentar lagi, lebih baik dia menunggu di bilik ini. Pasti Suraya akan lebih terkejut bila menemuinya di bilik ini.
Lalu apa yang boleh dia lakukan? Matanya melilau melihat sekeliling. Menuju ke meja kerja Suraya. Mata tersenyum melihat beberapa buah buku bersama komputer riba di atas meja. Tangannya memegang komputer riba Suraya. Mengapa ia seperti sudah tidak dibuka bertahun lamanya.
Komputer ribanya sejuk sudah pastilah. Di dalamnya berhabuk pula. Di luarnya mungkin tiada sebarang habuk. Tapi di dalamnya penuh dengan habuk. Membuatkan Beel sangsi sendiri. Atau… Ada apa-apa yang dirahsiakan darinya?
Perasaan Beel mula tidak enak semula. Beel akhirnya membuat keputusan untuk memeriksa bilik itu. Dia membuka almari baju dan almari beg yang berada di bilik itu. Masih nampak normal seperti biasa. Tapi ada sesuatu yang lain.
Susunan bajunya berlainan dari apa yang selalu dia lihat. Tapi mungkin itu hanya perasaannya semata. Mungkin tiada apa-apa yang luar biasa. Langkah diatur ke katil pula. Memeriksa laci-laci yang menempatkan lampu tidur bilik Suraya.
Tiada apa-apa yang luar biasa. Semuanya nampak normal. Ada novel yang memang menjadi kesukaan Suraya. Juga majalah bisnes yang tidak dia fahami. Juga beberapa benda lain yang menjadi rutin Suraya.
Beel menarik nafas seketika. Tiada yang luar biasa. Atau… Tangan menyeluk bawah bantal. Tiada apa-apa. “Kenapa rasa macam tak sedap hati ni?” Beel berkata-kata sendiri, menyoal diri sendiri.
Bilik tidur Suraya mencerminkan suasana normal. Namun tak lama Beel baru terperasan. Tiada walau sehelai baju Suria di dalam bilik itu. Takkanlah Suria tidak tidur di bilik Suraya langsung?
Lantas dia membuka almari kasut milik Suraya. Mencari sesuatu yang boleh dijadikan petunjuk untuk semua kekeliruannya. Beel melepas nafas buat seketika. Dia tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Mengapa perasaannya tidak enak begini? Lantas dia melihat-lihat almari buku Suraya. Matanya mengecil mendapati sepucuk surat terselit di celah-celah buku milik Suraya.
Tangan mencapai surat itu dan melihatnya. Namanya tertera pada surat itu? Apa yang berlaku? Mengapa dia tidak tahu ada surat yang ditulis Suraya buatnya? Tulisannya juga kelihatan seperti sudah lama ditulis.
Nafas mula turun naik memandang surat itu. Dia melangkah perlahan ke katil dan mengambil tempat di situ. Nafas ditarik sebelum surat itu dibaca. Dan dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim…

DILARANG NIKAHI AKU – 101

“Cantik Cik Beel sekarang”.
Beel ketawa sendiri mendengar kata-kata Nia. Bubur durian yang dimasak Nia di hadapannya disuap sesudu demi sesudu ke dalam mulut.
“Kak Nia nampak yang Cik Beel dengan En.Haikal dah macam isi dengan kuku. Tak boleh nak pisah sikit”.
Beel ketawa lagi. Matanya dikecilkan memandang Nia. “Beel tak, Haikal yang macam tu..”
“Pandai En.Haikal jaga Cik Beel. Dari seganas-ganas Beel, boleh jadi selembut-lembut Nabilah..” Nia tersenyum sambil mengambil tempat di hadapan Beel.
“Mengadalah Kak Nia ni.. Lama dah tak jumpa Kak Nia kan? Makin pandai cakap..” Beel senyum.
Nia ketawa kecil. Bukanlah dia sengaja bercakap untuk mengambil hati atau sebagainya. Tapi dia benar-benar maksudkannya. Dia benar-benar nampak semua yang dia katakan. Betapa En.Haikalnya dan Cik Beelnya terlihat sebagai pasangan yang sedang bercinta. Berbeza dengan keadaaan yang selalu dilihat beberapa tahun dulu.

################

Matanya terpaku pada wajah itu. Dan tidak lama bibirnya mula mengukirkan senyum. Langkahnya laju menuju pada sahabat yang sudah lama tidak dia temui. “Beel..!”
“Rindunya aku dengan kau..”
“Aku lagi rindu kat kau..” Beel menarik Fah agar duduk bersamanya di atas sofa.
Fah menguntum senyum. Melentokkan kepalanya di atas bahu Beel. “Abang tengah sembang dengan Abang Haikal kat luar tu. Agak-agak kau apa yang dia orang tengah sembangkan?”
Beel melepas nafas. Dalam diam dia berfikir sendiri. Agaknya apa yang dibualkan Haikal dan Safwan?

###########

“So, macam mana? Kau dah bagitahu Beel fasal arwah Su?” Safwan menyoal sambil mata memandang hadapan. Memerhati suasana persekitaran rumah Haikal yang sememangnya berlainan dari persekitaran rumah orang-orang kaya lain.
“Aku pun tak tahu nak bagitahu macam mana, Wan. Aku tengok muka Beel je da tak tahu nak cakap apa..”
Safwan mengerutkan dahinya. “Kau belum bagitahu Beel? Bukan esok kau nak bawa dia jumpa opah?”
Haikal mengangguk. Jus oren yang berada di dalam pegangan diteguk. “Aku memang ingat nak bagitahu dia. Tapi sekarang.. Aku rasa baik semuanya berlaku secara semulajadi”.
Safwan memandang suami Beel di sebelahnya ini. Dia tidak mahu mencapuri hal di antara mereka berdua. Dia sedar dia sudah hilang sepenuh kelayakan terhadap Beel sejak lebih empat tahun lalu. Sejak dia melepaskan Beel pada Haikal sepenuhnya.
Haikal juga ternyata tidak memungkiri janji. Dia telah bersusah-payah untuk menjaga pujaan hati mereka itu. Dia telah melakukan segalanya asal dapat pertahankan rumah tangganya dengan Beel. Siapa yang tidak nampak itu?
“Aku minta maaf Wan, kalau buat kau rasa..”
“Tak pe” Safwan memotong kata-kata Haikal. Dia menyambung lagi, “Aku tahu kau dah cuba yang terbaik. Lagi pun aku nampak betapa Beel sayangkan kau, mungkin lebih dari aku sayangkan dia..”
Haikal memandang Safwan. Kali ini tubuh badannya ikut berpaling. Bagai tidak percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut Safwan. Lelaki itu masih belum melupakan Beel? Bagaimana Safwan boleh meneruskan hidup selama ini? Dengan memikirkan status Beel sebagai isteri lelaki lain?
“Aku minta maaf Kal. Aku masih sayangkan dia, bahkan tak berkurang sejak bertahun-tahun dulu..” Safwan menguntum senyum.
Haikal memandang wajah suram itu. Sepatutnya dia berasa sakit hati dan marah mendengar pengakuan Safwan, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia benar-benar berasa kasihan terhadap bakal abang ipar kawan baiknya ini.
Safwan ketawa kecil melihat pandangan Haikal padanya. “Kau tak yah kesiankan akulah. Salah aku sebab masih tak dapat nak lupakan perempuan yang dah terang-terangan isteri kau. Kau tu… Dari fikir hal aku, baik kau fikir macam mana nak bagitahu Beel fasal arwah Suraya..”

##############

Beel segera membuka pintu kereta sebaik Haikal memasuki garaj.
“Sayang kejap” Haikal menarik tangan Beel, menahannya dari turun kereta.
“Kenapa?”
“Walau apa pun yang berlaku, saya nak sayang tahu.. Yang saya tak pernah berniat nak lukakan hati sayang” Haikal meletakkan tangan Beel di pipinya.
Beel mengangguk lambat-lambat. Dia kurang faham dengan kata-kata Haikal. “Boleh kita jumpa opah sekarang?”
Haikal melepas nafas dan memberi anggukannya. “Jom”.
Beel turun dari kereta dengan wajah yang agak kebengongan. Sepertinya Haikal sedang bermasalah. Tapi dia tidak dapat menangkap apakah yang tidak kena.
“Kak Irah!” Beel menegur Irah yang leka menyiram pokok-pokok bunga kegemaran Puan Sri Normah.
Irah menoleh memandang sang empunya suara. “Cik Beel!”
Beel melambai. “Hai”.
Irah berlari anak menutup paip air. Tangannya dibersihkan meggunakan kain putih yang terletak kemas di atas meja.
Beel ketawa melihat gerak-geri Irah. Langkahnya maju pada wanita separuh umur itu dan langsung memeluknya. “Kak Irah lambat..”
Irah ketawa kecil. “Kak Irah kotorlah Cik Beel”.
Beel tersenyum di dalam pelukan Kak Irah. “Macamlah selama ni Beel kisah”.
“Selamat pulang Cik Beel..” Irah akhirnya mengeratkan pelukannya. Dan Beel menguntum senyum sendiri sambil dia memandang Haikal yang ketawa kecil melihat gelagat sang isteri.

###############

Nafas ditarik melihat pintu utama villa. Irah memberitahunya bahawa pak long dan mak long tiada di rumah. Mereka keluar ke pasar mencari barang basah untuk dimasak Mak Jah.
Beel sendiri tidak percaya dengan apa yang diberitahu Irah. Mak longnya keluar ke pasar pagi? Dulunya mak long bukan seorang wanita yang bebas bergerak ke mana saja. Penampilan dan nama adalah perkara yang menjadi perkara pertama dan utama di dalam hidup.
Kalau pak longnya lainlah. Lelaki itu bebas melakukan apa saja asal dia gembira. Pendapat orang diletakkan sebagai perkara terakhir di dalam hidup. Yang pertama dan utama, adalah diri sendiri. Asal dia bahagia, biarlah apa orang nak kata.
Dahi Beel berkerut melihat anak kecil yang sedang beriringan jalan dengan Putih. Wajah anak itu benar-benar mirip wajahnya ketika dia berusia sebegitu. Apakah ini yang dimaksudkan Haikal dengan wajah Suraya yang saling tak tumpah sepertinya?
“Mama!!” anak kecil itu berlari memeluk Beel hingga Beel tidak seimbang.
“Suria?” Beel menyoal.
Suria mengangguk dengan senyuman. “Mama” ucap anak gadis itu.
Beel mengerut dahi. Pandangan dihalakan pada Haikal yang baru melangkah masuk.
“Suria..” Haikal duduk mencangkung memandang Suria.
“Papa!” Suria langsung memeluk Haikal membuatkan Haikal mendukung anaknya itu.
Namun bila berdiri, saat Suria melihat Beel dia meronta-ronta mahu pergi pada Beel pula.
“Nak mama! Nak mama!”
Haikal ketawa melihat Suria yang tiba-tiba menjadi ‘pemberontak’. Selama ini dia hanyalah budak kecil yang menurut semua kata-kata Haikal dan Putih. Bila melihat Beel, lain pula jadinya?
Beel menyambut bila Haikal menghulur. Namun anak gadis yang sudah hampir empat tahun itu tidak dapat ditampung beratnya. Beel memimpin tangan Suria ke sofa dan meriba anak kecil itu.
Mak su” Beel mengajar, cuba membetulkan panggilan Suria yang sama sekali dirasakan tidak tepat.
“Mamalah” Suria yang jelasnya sudah pandai berkata-kata menegaskan.
“Mama Suria mana?”
“Ni!” Beel dipeluknya.
Beel memandang Haikal. Haikal melarikan pandangannya buat seketika. Apa yang harus dia lakukan? Dia harus segera mencari jalan penyelesaian. Bimbang pula dia jika Beel mengesyaki apa-apa nanti.
“Jom masuk jumpa opah”.
Beel memandang Haikal. Mengapa Suria dibiarkan bersama Putih? Mustahillah seorang ibu yang bersikap seperti Kak Sunya akan membiarkan Suria bersama pembantu rumah sepanjang masa? “Mana Kak Su?”
Haikal buat tidak dengar pertanyaan Beel. “Jom masuk jumpa opah”.
Beel memandang dengan kerutan dahi. Haikal langsung memandang Putih meminta bantuan. Bimbang jika Beel tidak henti-henti menyoal.
“Beel. Masuklah jumpa opah dulu. Tak sangka pula Beel sampai awal. En.Zamri dengan Pn.Sakinah pun masih kat pasar pagi lagi” Putih tersenyum sambil mengambil Suria dari sisi Beel.
“Tak nak Mak Putih! Nak mama! Nak mama!” Suria mula menjerit-jerit bila Putih mengambilnya.
Beel mula terasa sesuatu. Namun hati cuba dienakkan dengan mengatakan tiada apa-apa. Nafas ditarik dan dilepas melegakan hati yang mula tidak selesa. “Kak Putih bagilah Suria kat Kak Su”.
Putih menguntum senyum. Mengangguk tidak menggeleng juga tidak. “Pergilah Beel..”
“Beel tukar fikiranlah. Beel nak jumpa Kak Su dulu.. Kak Su kat mana? Biar Beel bawakan Suria” Beel bangun dari duduk dan menghulur tangan pada Suria. Segera anak gadis kecil itu menyambut huluran Beel dan langsung memeluknya.
Putih memandang Haikal dan Haikal memandang Putih. Keduanya buntu sendiri. Apakah Beel sudah mengesyaki sesuatu?
“Su keluar. Kan Putih?” Haikal memandang Putih, berharap dia memberi kerjasama.
“Be.. tul” jawab Putih lambat-lambat.
“Dia tinggal Suria?”
Haikal dan Putih mengangguk serentak. Beel menguntum senyum. Hatinya lega sedikit. Fikirnya ada sesuatu yang menimpa Kak Su nya. “Kalau macam tu, biar Beel jumpa opah dululah. Jom Suria..”
Suria memegang baju Beel dan mereka beriringan menuju ke bilik Puan Sri Normah. Haikal dan Putih melepas nafas. Namun Putih memandang Haikal tajam. “Saya ingatkan En.Haikal dah bagitahu Beel?”
Haikal menggelengkan kepalanya. Lantas langkah kaki laju mengejar Beel. Bimbang ada pula makhluk lain yang terlepas cakap.

DILARANG NIKAHI AKU – 100

“Tapi kan sayang..”
“Tak habis-habis lagi..?”
“Tak. betul ni..”
“Apa?” Beel membetulkan tudung yang baru disarung Haikal ke kepalanya. Entah kenapa dengan suaminya itu, tiba-tiba saja menyarungkan tudung ke kepalanya. Namun dia turutkan saja.
Haikal mengambil tempat di sisi Beel. Tangan isterinya diambil dan diramas penuh kasih. “Waktu saya sekolah menengah, mama pernah mengandung tau..”
“Ya?”
“Tapi masa tujuh ke lapan bulan gitu, mama kemalangan. Jadi saya tak de adiklah. Saya ingat, waktu tu mama mabuk-mabuk. Makan itu nak muntah, makan ini nak muntah.. Lepas tu tak boleh bau orang masak-masak.. Sayang tak de macam tu?”
Beel ketawa kecil. “Tak de.. Kan saya dah cakap banyak kali..” Pipi Haikal dibelai.
Haikal memuncungkan mulutnya. “Ada tak rasa asyik nak makan je? Rasa marah-marah?”
“Tak de..” Beel meyakinkan Haikal bahawa dia langsung tiada tanda sebegitu rupa. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia hamil.
“Saya peliklah..”
“Kata tak kisah saya gugur. Ni macam kisah je..”
“Sayang janganlah marah.. Saya bukannya kisah sangat. Tapi saya pelik..”
“Tak habis-habis dengan pelik dia..”

############

Pintu bilik itu dibuka perlahan. Memperlihatkan Haikal dan Beel sedang berbual dalam keadaan yang sangat mesra. Jelas menampakkan betapa mereka pasangan suami isteri yang sedang dalam percintaan.
Dia melangkah ke hadapan. Wajah Beel jelas menampakkan betapa dia bahagia. Satu keadaan yang dia sendiri jarang melihatnya. Wajah ketawa Beel.. Memang cantik yang tiada bandingan baginya.
“Ehem..” Reza berdehem bila Haikal dan Beel sama-sama tidak menyedari kehadirannya.
“Reza” Beel dan Haikal mengucap serentak.
Reza menguntum senyum. Dia melangkah maju dan menghulurkan jambakan bunga mawar pada Beel. “Untuk kau..”
Beel memandang Haikal sekilas sebelum menyambut bunga pemberian Reza. “Terima kasih”.
Haikal melepaskan tangan kiri Beel yang digenggamnya. “Saya tunggu kat luar”.
Beel mengangguk. Haikal menepuk bahu Reza sebelum melangkah keluar dari bilik Beel. Namun dia menarik pintu bilik sehabis mungkin agar ianya tidak tertutup.
Beel membetulkan duduk. Dia tiba-tiba terasa tidak selesa berhadapan dengan Reza. Reza menarik kerusi yang berada di sisi katil. Namun dia duduk jauh dari Beel menyedari gadis itu tidak selesa akan kehadirannya.
“Aku minta maaf sebab rahsiakan hal ni..” Beel mula membuka kata. Bimbang jika keduanya berdiam, sampai akhir mereka tidak mencapai persefahaman.
“Aku tak tahu nak cakap apa. Yang aku tahu, aku kena datang tengok kau…”
“Aku minta maaf Reza. Aku tak berniat nak buat kau serabut macam ni..”
“Maknanya kau tahu kau dah buat aku serabut?” Reza menyoal.
Beel mengangguk. Dia tidak pandailah menangani hal sebegini. Selain Haikal, Rezalah lelaki pertama yang benar-benar serius dengannya seumur hidup. Kalau Safwan, lain pula kesnya.
“Masa aku tahu, aku macam nak gila. Aku tak pernah terfikir nak kahwin dengan mana-mana perempuan. Kau perempuan pertama yang buat aku rasa nak hidup selamanya, selamanya saling menjaga saling mencinta…”
Beel diam. “Aku..”
“Kenapa dari awal kau tak bagitahu aku? Aku rasa macam orang bodoh. Rupanya selama ni aku bersusah payah pikat isteri orang..” Reza mengangkat wajah memandang Beel. Memperlihatkan air matanya yang mula menitis.
“Reza, aku dah cakap banyak kali dengan kau sia-sia kau pikat aku. Aku rasa kau pun tahu yang aku dah ada orang lain” tegas Beel bersuara.
“Memang! Memang aku tahu! Tapi kenapa kau tak berterus-terang dengan aku tentang status kau? Kenapa perlu tipu aku dan semua orang? Kenapa perlu kenalkan Abang Haikal sebagai abang kau? Kalau kau beritahu semuanya dari awal… Tak de lah aku sakit macam ni..” Reza menundukkan kepala. Bermain dengan perasaan ternyata seratus kali lebih letih dari bermain dengan tenaga.
“Aku tak de niat nak bodohkan kau Reza”.
Reza melepas nafas. “Ada kemungkinan tak kau bercerai dengan Abang Haikal?”
“Reza, apa benda kau cakap ni?” Beel membulatkan mata mendengar soalan Reza.
Reza ketawa kecil. “Aku ada soalan. Kau kahwin dengan Haikal sebelum kau masuk U atau lepas kau masuk U?”
“Aku kahwin lepas habis sekolah menengah”.
Jawapan jujur dari Beel membuatkan Reza terdiam. Ertinya Beel berkahwin ketika dia masih belasan tahun. Ertinya perkahwinan Beel sudah berusia mungkin lebih dari lima tahun.
“Walaupun dah terlambat, aku nak ucap Selamat Pengantin Baru. Tahniah Beel..”
“Reza” Beel memanggil bila melihat lelaki itu mahu mengangkat kaki. “Aku tak harap kau simpan dendam fasal hal ni..?”
Reza mengangguk. “Aku akan cuba lupakan kau walaupun aku tak tahu aku boleh lupakan kau atau tak. Hidup kena teruskan. Bunga bukan sekuntum”.
“Aku harap kau jumpa gadis yang berjuta kali lebih baik dari aku” Beel menguntum senyum.
Reza melangkah keluar dari bilik setelah air matanya dikesat. Hendak bersedih sangat pun tiada gunanya. Semuanya sudah berlaku pun. Sudah tiada cara untuk dia kembali ke masa lalu.
Wajah Haikal yang menanti dipandang. “Terima kasih Abang Haikal. Abang Haikal bertuah dapat isteri macam Beel..”
“Abang tahu. Terima kasih Reza datang melawat”.
Reza tersenyum. Dia melangkah lemah beredar dari hospital. Hari ini tamatlah kisahnya dengan Beel. Kisahnya bersama cinta pertamanya. Apakah dia akan berjaya menemukan pengganti buat cinta pertamanya?

##############

“Sayang ok?”
Beel melepaskan sebuah keluhan. “Jahat ke saya?”
Haikal tersenyum dan mendekati. “Sayang tak jahat. Tapi sayang salah”.
“Salah sebab tak nak dengar cakap awak kan? Sekarang dah jadi macam ni..” Beel memandang jambak bunga pemberian Reza.
“Tahu pun. Lain kali jangan buat lagi..”
“Saya rasa bersalahlah. Kesian pula saya tengok Reza. Qamar pernah cakap ini kali pertama dia tengok Reza serius dengan perempuan”.
“Habis nak buat macam mana? Sayang nak bagi dia harapan palsu?” Haikal memegang kedua belah pipi Beel agar isterinya itu menumpukan sepenuh perhatian padanya.
“Saya pun tak terfikir dia serius sampai macam ni sekali..”
“Ni baru permulaan je sayang. Trust me, lepas ni mesti lagi ramai orang nak pikat sayang..”
Beel mencebik. “Yelah tu. Lepas tu tiap hari kena soal siasat dengan awak. Silap hari bulan awak kurung saya dalam bilik. Kan?”
Haikal ketawa. Ketawa dan ketawa lagi. Sungguh dia terasa kelakar dengan kata-kata Beel. Apakah sikapnya seteruk itu? Beel akhirnya menguntum senyum melihat suaminya ketawa bahagia.

###############

Hani mengesat air mata yang sedari tadi tidak mahu berhenti. Beel yang berada di dalam pautan Haikal ketawa melihat reaksi Hani.
“Kita boleh jumpa lagilah! Yang awak menangis teruk sangat ni kenapa?”
Hani menggeleng-geleng. “Tapi susah dah nak jumpa lepas ni. Beel..”
Beel memandang Haikal sekilas dan mereka sama-sama tersenyum. “Hani.. Abang Haikal tak bawa dia pergi hujung dunia pun. Kalau Hani nak jumpa, boleh je panggil Beel ataupun Hani datang je KL”.
Hani mengesat air matanya sambil mengangguk-angguk. Tangan Beel masih di dalam pegangannya. “Jumpa lagi…”
“Ya. Jumpa lagi. Awak jaga diri..”
Hani mengangguk. Mereka berpelukan seketika dan Beel melepaskan Hani dari pelukannya. Tidak mungkinlah ini kali terakhir dia menemui Hani. Ada rezeki pasti mereka bertemu lagi selepas ini.

#############

Hazan dan Humaira’ tersenyum melihat Haikal memimpin Beel turun dari kereta. Beel menguntum senyum memandang Humaira’. “Mama!”
Humaira’ memeluk menantu kesayangannya. “Mama rindukan Beel..”
Hazan dan Haikal sama-sama menggeleng kepala melihat menantu dan mertua itu berpelukan.
“Dah. Awak tu kalau rindu peluk terlebih-lebih, sesak nafas menantu kita ni..” Hazan menarik Humaira’ dari memeluk Beel.
“Papa..” Beel menyalami tangan bapa mertuanya.
“Selamat pulang Beel” Hazan mengusap lembut kepala menantunya. Sejak pertemuan di hospital lalu, dia sudah perasan bahawa menantunya itu sudah berubah. Sudah mula berlembut dan sudah mula menjadi seorang wanita.
“Jom mama bawa ke bilik. Beel penat kan?” Humaira’ membimbing Beel menuju ke biliknya.
Hazan memandang anak lelakinya yang satu-satunya. “Dah bagitahu Beel ke?”
Haikal melepas nafas. “Belum pa. Kal tak tahu nak cakap macam mana..”
Hazan melepas nafas. “Kal jangan lambat-lambat. Esok nak pergi jumpa opah kan?”
Haikal mengangguk. Ertinya mahu tidak mahu tetaplah dia harus memberitahu Beel hari ini. Atau sebelum berjumpa opah esok dia harus membawa Beel ke kubur Suraya dahulu?
“Terkejut Beel nanti kalau tiba-tiba Suria panggil dia mama. Itu yang Kal ajar kan?”
Haikal mengangguk. Itu juga permintaan Suraya. Mengajar Suria memanggil Beel mama sedari anak perempuannya itu masih kecil. Supaya bila besar, dia tidak terasa asing dengan Beel.
“Papa bukan nak masuk campur. Cuma.. Jangan sampai Beel marahkan Haikal macam dulu. Papa tak nak tengok anak papa ni sedih sendiri nanti..”
Haikal mengangguk. Hazan menepuk bahu Haikal sebelum mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah.

DILARANG NIKAHI AKU – 99

“Puan dah sedar?”
Beel tersenyum memandang jururawat yang sibuk membuat kerjanya.
“Puan rehatlah. Puan baru keguguran, jadi mungkin badan puan akan terasa lain sikit”.
“Gugur?” Beel mengerut dahi. Biar benar? Dia keguguran?
Jururawat itu mengangguk. “Ya puan. Puan keguguran. Mungkin puan tak tahu puan mengandung?”
“Tak”.
“Suami puan ke kantin. Kalau ada apa-apa puan tekan je butang tu..” Jururawat menunjukkan butang merah yang berada di sisi katil.
“Terima kasih” Beel tersenyum lemah dan jururawat keluar dari biliknya. Beel melepas nafas.
Suaminya ke kantin? Ertinya Haikal ada di sini. Ada di Pulau Pinang? Siapa yang memberitahunya? Pihak hospital? Atau Hani? Haninya mana?
Siapa yang menyelamatkannya tadi? Siapa pula yang menghantarnya ke hospital? Aduh.. Terlalu banyak persoalan. Berserabut pula kepalanya.

##############

“Sayang..”
Beel mendudukkan diri melihat Haikal melangkah masuk. Di tangan ada membawa beberapa bekas makanan.
“Dah lama sedar?” Haikal mencapai tangan Beel dan mengambil tempat di sisi isterinya.
Beel menguntum senyum. Anggukan diberikan. “Awak dah lama ada kat sini?”
Haikal mengangguk. Pipi isteri kesayangannya itu dibelai kasih. “Nasib baik Hani ada. Macam nak tercabut jantung saya bila tahu awak masuk hospital”.
Beel ketawa kecil. Namun suara tidak kedengaran. “Hani ada? Saya tak nampak pun”.
“Ada. Saya suruh dia balik dulu. Dari malam tadi dia kat sini. Kesian pula. Saya cakap esok baru datang balik”.
Beel mengangguk memahami. Dia juga tidak mahu Hani kurang rehat kerana risaukannya. “Awak…”
“Dahaga tak?”
Beel menggeleng laju. Tangan Haikal digenggam erat. “Awak..”
“Ya?”
“Saya minta maaf tau..” Beel membuat muka.
Haikal tersenyum. “Kenapa sayang minta maaf ni?”
“Baby..?”
Haikal tersenyum. “Nak buat macam mana kan? Bukan rezeki kita. Sayang minta maaf sebab tak bagitahu saya sayang mengandung atau sayang minta maaf sebab sayang tak dapat selamatkan baby?”
“Saya tak tahu saya mengandung…” Beel meramas tangan Haikal, benar-benar menyatakan mohon maafnya.
“Betul?”
Beel bersungguh menganggukkan kepalanya. “Betul-betul tak tahu..”
“Hmmm.. Tak pelah nak buat macam mana kan? Bukan rezeki kita kan..”
“Betul…?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. Bukanlah dia tidak terasa apa-apa, cuma seperti yang dipesan Dr.Kirana ‘jangan nyatakan kesedihan atas keguguran yang menimpa Beel’ kerana ia boleh membuatkan Beel tertekan. “Betul sayang..” Pipi Beel dibelai dan tubuhnya dipeluk erat.
Tidaklah mengapa bayi di dalam kandungan Beel tidak dapat diselamatkan kerana Beel boleh mengandung lagi. Apa yang penting, nyawa isterinya itu berada di dalam keadaan terjamin.

##############

“Abang Haikal bagitahu aku, kau gugur”.
“Ha’ah”.
“Sabar ea Beel. Kau boleh mengandung lagi. Lepas ni mesti Tuhan ganti dengan yang lebih baik”.
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Fah. “Kau tak nak datang ke?”
“Aku baru start kerja. So tak bolehlah nak ambil cuti. Mengamuk bos aku nanti”.
“Oh.. Abang Wan apa khabar?”
Kedengaran bunyi suara melepas nafas dari Fah. Haikal yang berada di sisi memandang tajam bila nama Safwan disebut. Namun Beel buat tidak tahu saja. Kalau dilayan sikap cemburu Haikal, ke lautlah alamatnya.
“Tulah.. Dia sekarang makin sibuk. Kau tahu dia dah ada syarikat yang dia kena handle sendiri. Aku dah banyak kali cuba carikan someone untuk ganti tempat kau kat hati dia. Tapi tak jalan..”.
Beel menguntum senyum nipis memandang Haikal yang meletakkan meja makan di hadapannya. Nampaknya sudah tiba masanya dia menjamah sup ikan yang dibuat khas oleh mama di Kuala Lumpur.
“Kau nak aku tolong?”
“Mengadalah kau. Kau tu dah gugur tau, Reza tahu tak?”
Beel terdiam. Oh ya.. Dia terlupa langsung soal lelaki itu. Lelaki yang setia menjadi peminatnya. Baru dia teringat.. Malam itu dia melihat Reza di luar bangunan rumahnya.
Apa mungkin yang menyelamatkannya adalah Reza? Ia berkemungkinan besar kerana Beel sempat mendengar namanya dipanggil sebelum dia ditarik. Jadi pastilah dia seseorang yang mengenali dirinya.
“Diam tu.. Maknanya tahulah tu..”
Beel melepas nafas. “Entahlah Fah. Tak de orang bagitahu aku pun. Hani diam, Haikal pun diam” dia bersuara perlahan. Tidak mahu Haikal yang berada di bilik air mendengar.
“Bila fikir balik kesian juga dengan Reza tu. Bersungguh dia pikat kau, rupanya isteri orang. Kaulah degil sangat. Awal-awal lagi Abang Haikal dah cakap, biar semua orang tahu status kau.. macam-macam kau punya alasan. Tengok sekarang..” Fah mula membebel.
“Ya Nek Fah. Cu Beel minta maaf Nek Fah. Janji lepas ni tak buat lagi..”
“Bagus cucu aku seorang ni..”
Haikal menunjukkan sup ikan yang telah siap dihidang. Beel mengangguk dan menamatkan perbualannya dengan Fah. Kedengarannya gadis itu juga sudah dipanggil namanya.
“Nak saya suap?” Haikal menyoal.
Beel menggeleng. “Tak yahlah. Saya dah nak sihat dah ni. Bukannya patah apa-apa pun…” Beel mengambil sudu dari Haikal dan mula menghirup sup yang sudah disejukkan suaminya.
“Sayang..”
“Ya?”
“Mama dengan papa nak datang”.
“Datang mana?”
“Datang Penanglah sayang.. Dia orang risau dengan menantu kesayangan seorang ni..”
Beel memandang. “Awak kasitahu saya gugur?”
Haikal menggelengkan kepalanya. “Taklah. Kesian pula dekat mama. Dia dah tak sabar nak cucu tu..”
Beel meletakkan sudu di tepi mangkuk. Tangan Haikal yang membelai pipinya dicapai dan digenggam. “Saya minta maaf ea…”
“Kan saya dah cakap bukan salah sayang.. Makan cepat”.

###############

“Kak Beel..”
“Jia!”
Gadis kecil itu berlari ke arah Beel dan menyalaminya. “Awak bawa Jia?”
Hani yang baru melangkah masuk bersama sebakul buah-buahan mengangguk. “Dia nak ikut sangat. Nak jumpa Kak Beel lah bagai..”
Beel ketawa kecil. Jia memandang Hani. “Kak Hani tak suka bawa Jia ke?”
Beel mencebik. Begitu juga Hani. Kepala Jia diusap. “Dah ikut baru nak tanya?”
Jia ketawa kecil. Dia mengambil buah yang telah dikupas Hani dan menghulurkannya pada Beel. Beel senyum sambil mengucapkan terima kasih.
Jia senyum melihat Beel menjamah buah-buahan yang dibawa mereka. Beel memandang Hani. “Hani..”
“Ya?” Hani mengambil tempat di sisi katil Beel setelah dia selesai mengemas.
“Reza tahu ke?”
Hani mengerutkan dahi. Dan mula mengukir senyum. Jia dipandang. “Jia boleh mintakkan air panas dari nurse?”
Jia mengangguk. Dan dia mengambil flask air panas milik Beel dan melangkah keluar dari bilik Beel. Hani memandang Beel. “Apa yang awak nak tahu sebenarnya?”
Beel mengangkat bahu. “Entahlah..”
“Dia yang selamatkan awak. Dia yang bagitahu saya awak pengsan. Dan dia ada kat hospital sampai doktor bagitahu awak keguguran..” Hani bercerita sambil menongkat dagunya.
Beel memandang Hani. Entah kenapa, dia tiba-tiba merasa bersalah pula. Apa agaknya perasaan Reza ketika dia mengetahui tentang kegugurannya?
“Kesian Reza lah tu..” Hani mengusik.
Beel mengerut dahi. “Dengar Haikal, marah dia..”
“Saya tak jumpa Reza lagi dari hari tu. Tak muncul-muncul sampai sekarang. Saya pernah dengar Qamar cakap, dia tak pernah nampak Reza serius dengan mana-mana perempuan sampai macam ni..”
Beel melepas nafas perlahan. Pintu terbuka dari luar dan Jia masuk membawa flask yang telah terisi air panas. “Air panas dah sampai!”

################

“Kak Hani tak cakap dengan Jia pun Kak Beel sakit apa sebenarnya?” Jia menarik-narik tangan Hani sambil sama-sama melangkah keluar dari perkarangan hospital.
Hani menguntum senyum. Bahu Jia dipaut. “Jia rasa Kak Beel sakit apa?”
“Hani”.
Jia dan Hani saling memandang. Hani memandang hadapannya. Reza berdiri tegak sambil di tangan memegang sejambak bunga mawar.
Jia kenal lelaki ini. Kawan baik kepada Abang Qamar. Mengapa dia ke sini, Jia tidak tahu. Tapi Jia tahu dia tidak sesuai mendengar perbualan antara kedua kakak dan abang ini. “Kak Hani, Jia tunggu kat sana” Jia menunjuk ke arah pondok berdekatan mereka.
Hani mengangguk dengan senyuman.
“Hani dah lama tahu?” Reza langsung mengajukan soalan sebaik Jia pergi.
Hani diam seketika. “Hani minta maaf..”
“Reza tak nak dengar Hani minta maaf. Reza nak tahu, dah lama Hani tahu yang Beel tu isteri orang?”
Hani memandang. Anggukan diberikan buat Reza. “Minta maaf sebab tak bagitahu”.
Reza terdiam. Lama menunduk memandang mawar merah di tangannya. “Sebab tu Hani pernah cakap kalau apa-apa jadi, jangan cakap Hani tak bagi amaran kan?”
Hani mengangguk. “Hani betul-betul minta maaf..”
Reza senyum kambing. “Reza rasa macam orang bodoh..” Reza melangkah lemah berlalu pergi. Hani memejam mata melihat kepergian Reza. Semoga semuanya selesai di antara Beel dan Reza.

DILARANG NIKAHI AKU – 98

Dia menguntum senyum sendiri memikirkan dia telah tamat belajar. Yang tinggal hanyalah majlis konvokesyennya. Dan ikutkan hati sepanjang proses ‘penungguan’nya dia mahu pulang ke Kuala Lumpur.
Tapi Haikal bertegas meminta dia tinggal di Pulau Pinang sehingga semuanya selesai. Dia punya pilihan apa melainkan menuruti permintaan suaminya seorang itu? Sedangkan kerinduan pada semua sudah membuak-buak terutama pada opahnya.
Juga dia teringin menemui Suria, satu-satunya anak saudara yang dia miliki. Mungkin saja setelah empat tahun berlalu, marah Suraya padanya sudah hilang. Jadi mereka boleh bermula semula.
Dia memang sayangkan Suraya. Benar-benar menyayangi satu-satunya kakak yang dia miliki. Dan dia benar-benar berharap Suraya telah melupakan segala yang berlaku di antara dirinya, Suraya juga Haikal.
Hani sudah berbaik semula dengan Hanifah. Ibu bapa Qamar telah menemui Hani beberapa hari selepas Qamar berlepas. Dan mereka menerangkan semuanya yang berlaku. Kesalahan Qamar atau kesilapan yang tidak disengajakan Qamar terhadap Hani.
Beel sendiri melihat bagaimana Hanifah beria memohon maaf dengan puterinya atas kesalahfahaman yang berlaku. Dan pastinya Hani sebagai puteri yang baik langsung tidak menyalahkan uminya. Beel sendiri tahu itu.
Kelakar juga bila Qamar menceritakan semua pada ibu bapanya. Bererti dia benar-benar rapat dengan ibu bapa dan ibu bapanya juga merupakan ibu bapa yang boleh dibawa berbincang dalam segala hal.
Hani pula.. Langsung tidak terusik dengan pemergian Qamar. Setelah Qamar tiada, Hani langsung tidak menyebut namanya. Ada juga sesekali Beel mengusik. Mahu melihat respon Hanilah katakan, tapi Hani bodohkan saja. Itu membuatkan Beel benar-benar percaya bahawa Hani langsung tiada perasaan terhadap Qamar.
Sekarang cuma Reza. Reza yang masih tidak putus asa memikatnya. Naik rimas dia dengan lelaki itu kerana mawar merah yang tiap hari diberikan. Sedangkan lelaki itu telah tamat belajar. Masih lagi berkunjung ke universiti untuk berjumpanya. Memberi hadiahlah, itulah, inilah. Tapi mujur Reza tidak pernah lagi melanggar batas.
Dan hari ini, dia punya ‘temu janji’ dengan Hani. Maklumlah dah habis belajar, kiranya sekarang adalah masa untuk ‘enjoy’.

############

Haikal melangkah keluar dari bilik mesyuarat. Jam tangannya dilihat. Sudah jam 9.00 malam. Malang benar nasibnya bila kemalangan tiba-tiba menimpa salah seorang pekerjanya, membuatkan mesyuarat tergempar perlu diadakan.
Ahli lembaga pengarah yang lain sudah pulang semuanya. Dialah yang terakhir meninggalkan bilik mesyuarat tadi. Langkah diatur ke pejabatnya. Mengapa dia berperasaan begini?
Linda yang masih lagi menghadap komputer dipandang. “Linda, awak tak balik?”
“Belum En.Haikal. Saya nak siapkan kerja lagi sikit”.
Haikal mengangguk. “Kalau kita rasa tak sedap hati kenapa? Awak tahu?”
Linda mengerut dahi. Apa yang tidak kena dengan majikannya ini? Tidak pernah-pernah dia membincangkan soal peribadi dengan Linda.
“Linda, awak dengar saya tanya?”
Linda tersedar dari lamunan sesaatnya. “Ya saya dengar”.
“Macam mana? Awak tahu?”
“Mungkin En.Haikal risaukan Puan Nabilah?”
Haikal melepas nafas. Anggukan diberikan buat Linda. Dia bukannya pakar dalam soal perasaan begini. Juga sepanjang pernikahannya dengan Beel, tidak pernah pula dia tiba-tiba dilanda perasaan tidak enak sebegini.
“Kalau macam tu, saya cadangkan En.Haikal telefon Puan Nabilah dan tanya dia sendiri” Linda memberi cadangan.
Haikal mengangguk dengan senyuman. Dia masuk ke dalam pejabat dan terus menghubungi Beel.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Sayang sihat?”
Kedengaran suara Beel ketawa kecil di talian. “Sihat alhamdulillah. Kenapa awak call malam-malam ni?”
“Sihat? Kenapa suara sayang macam lain…”
“Saya ok. Baru bangun tidur ni..”
“Tidur? Baru pukul sembilan”.
“Penat sangat kan? Tu yang tidur awal..”
“Penat buat apa?”
“Keluar dengan Hani tadi. Hani pun dah tidur agaknya. Tak balas-balas mesej saya..”
“Oklah macam tu. Pergilah sambung rehat. Jaga diri ye..”
“Ok. Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam” Haikal menekan butang merah mematikan panggilan. Beel tidak kenapa-napa. Dia ok saja. Dia baik saja. Namun mengapa perasaannya masih tidak enak?

###############

Dia melihat alamat yang tertera pada skrin telefon. Bangunan kondominium mewah di hadapannnya dipandang. Dan skrin telefon bimbitnya dipandang semula. Memastikan dia tidak salah.
Nafas dilepas kelegaan. Jadi inilah tempat tinggal gadis kesayangannya. Dia sudah tahu di mana gadis kesayangannya tinggal kini.
Jam tangannya kemudian dipandang. Sudah pukul 10.00 malam? Lalu apa yang dia lakukan di sini? Lebih baik dia pulang. Jika gadis ini dapat tahu dia di sini, pasti gadis itu menyangka dia punya akal yang tidak waras. Iyalah, gadis mana yang tidak takut jika ada lelaki yang ke rumahnya lewat malam?
Langkah mahu pulang diambil. Namun hanya beberapa langkah. Dia berhenti. Bangunan itu dipandang semula. Tapi, gadis mana yang keluar malam jika gadis itu gadis baik? Dan bukankah dia yakin gadis pujaannya itu seorang gadis baik?
Dia menguntum senyum dan berpatah balik. Mengambil tempat di pancutan air tepat di hadapan bangunan. Matanya tertumpu pada tingkat gadis itu tinggal. Siapa tahu dia bakal berjumpa dengan ‘bakal’ ibu ayah mertuanya?

#############

Beel membuka mata perlahan. Sudah pukul 11.00 malam. Dia melangkah bangun dari katil menuju ke ruang tamu. Sepanjang melangkah tangan setia memaut pada dinding dan segala perabot yang berada di rumah itu.
Kepalanya dipicit perlahan. Mengapa kepalanya pening hingga begini sekali? Terasanya tadi tidaklah pening sebegini rupa. Di rumah ini pula, dia tidak ada menyimpan panadol.
Dia bukannya jenis yang mudah terkena penyakit apa-apa. Tapi kepala Beel terasa benar-benar berat sekarang. Mahu sambung tidur tidak boleh kerana kepalanya terlalu sakit. Nafas diambil menenangkan diri.
Dia memerlukan ubat. Takkanlah dia mahu menghubungi Haikal yang berada di Kuala Lumpur? Fah, di Kuala Lumpur juga. Kalau Hani, pasti dia akan menyusahkan gadis itu. Temannya itu sudah melepak seharian bersamanya.
Beel memejam mata seketika. Tidak mengapalah. Biar dia pergi farmasi sendiri saja. Dia selalu juga ke farmasi itu di siang hari. Bukan ada urusan pun, kadang-kala lihat-lihat atau sesekali menemani Kak Cha yang gemar ke farmasi itu. Kata Kak Cha, doktor dan pembantunya baik dan rajin melayan kanak-kanak.
Dia ke bilik tidur mencapai cardigan dan tudungnya. Wajahnya dihiasi sedikit bedak agar tidak nampak terlalu pucat. Dan dia melangkah keluar dari rumahnya.
Beel mengerut dahi melihat wajah Reza saat dia keluar dari bangunan. Dan Reza juga perasan kehadirannya. Beel menunduk dan berlalu. Mungkin Reza punya urusan di sini. Tidak mungkinlah dia tahu di mana Beel tinggal.
Beel memasuki farmasi dan meminta panadol terkuat sebagai ubat sakit kepalanya. Doktor juga tidak bertanya banyak membuatkan urusannya berjalan lancar. Dan Beel melangkah ke kondo semula.
Namun menelan dua biji panadol serta merta membuatkan mata Beel mula terpejam-pejam. Beel mula tidak sedar suasana persekitarannya. Beel kemudian terdengar suara menjerit memanggil namanya, dia ditarik seseorang dan bunyi hon sebuah motosikal.
Dia masih sedar ketika dia terjatuh. Perutnya sakit yang teramat dan dia sudah tidak sedarkan diri. Segala bayangan kabur hilang dari pandangan. Gelap.

#############

Puan Sri Normah terjaga dari tidurnya. Entah apa alamatnya tiba-tiba bermimpikan Beel jatuh ditimpa tangga. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang pula.
Suria di sisi dipandang. Cicitnya itu tiba-tiba meragam mahu tidur bersamanya pula hari ini. Terpaksalah Putih melayan memandangkan Suria bertegas tidak mahu balik ke bilik.
Mengapa dia tiba-tiba mendapat mimpi sebegitu? Mimpi mainan tidur, Puan Sri Normah tahu. Tapi mengapa hatinya dibimbangi sesuatu?
Nafas ditarik. Mungkin tiada apa-apa. Kalau ada apa-apa, pastilah Haikal menghubungi. Pasti ia hanya mainan tidurnya. Hanya sekadar mainan.

#############

Hani berlari anak ke arah wad kecemasan. Berdegup jantungnya mendapat panggilan dari Reza yang memberitahu Beel pengsan di hadapan kondominium tempat tinggalnya.
Reza yang berjalan mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan dipanggil. “Reza!”
“Hani” Reza memandang.
“Macam mana dengan Beel?”
Reza melepas nafasnya. “Dari tadi doktor belum keluar. Reza risaulah”.
Hani mengangguk. Dia sudah menghubungi Haikal semasa di dalam teksi tadi. Terkejut Haikal mendengar perkhabaran yang disampaikannya. Haikal memberitahu dia akan segera berlepas ke Pulau Pinang.
Namun Hani tiba-tiba terfikir. Bagaimana Reza boleh menjadi orang pertama yang mengetahui hal ini? “Macam mana Reza tahu Beel pengsan?”
Reza memandang. “Reza pergi rumah Beel”.
“Ha? Tengah-tengah malam ni?”
“Reza ada urusan kat rumah kawan kat situ” Reza berbohong, kalau memberitahu perkara sebenar boleh jadi dia ditelan Hani yang garang dalam diam ini.
Hani mengangguk. “Macam mana Beel boleh pengsan?”
Reza diam seketika. Dia kemudian mengingati semua yang berlaku. “Masa Reza nampak tu, Beel dah terhuyung-hayang kat tepi jalan. Reza sempat tarik dia sebab lagi sikit nak terlanggar motor. Lepas tu dia terjatuh. Pengsan”.
Hani diam mendengar cerita Reza. Apakah Beel tidak sihat? Mengapa Beel tidak menghubunginya? Mengapalah harus keluar sendiri? Lihatlah apa yang sudah terjadi.
Reza memandang Hani. Perlukah dia memberitahu Hani bahawa dia melihat banyak darah yang mengalir di kaki Beel? Mengotori seluar putih yang dipakainya? Niatnya dibatalkan. Lebih baik Hani tidak tahu. Keadaannya lebih baik diterangkan doktor. Namun Reza sangsi. Dia pernah melihat keadaan sebegitu. Darah mengalir tidak berhenti di kaki ibunya sewaktu ibunya gugur kandungan ketika dia sekolah menengah dahulu? Apakah ianya keadaan yang sama?

##############

“Hani!!”
Reza dan Hani memandang. Haikal berlari ke arah mereka berdua. Lebih tepat lagi ke arah Hani.
Reza memerhati wajah Haikal yang jelas tidak tenang. Iyalah siapa yang boleh tenang jika adik perempuan berada di bilik kecemasan?
“Abang Haikal” Hani berdiri melihat Haikal datang ke arahnya.
“Hani, macam mana Beel?”
Hani menggeleng-geleng. “Doktor belum keluar dari tadi”.
Haikal melepas nafasnya. Sayang…. Dia mula mundar-mandir di hadapan bilik. Dan sesekali menjengah melalui pintu kaca yang hakikatnya tidak melihatkan keadaan di dalam.
Pintu terbuka dan seorang doktor wanita keluar bersama seorang jururawat wanita. Ketiganya berlari ke arah doktor namun yang paling hadapan adalah Haikal.
“Doktor, macam mana dengan isteri saya?” Haikal membulatkan mata menyoal.
Doktor itu tersenyum dan membuka penutup wajahnya. “Selamat, Kal”.
“Kirana? Kau kerja sini?”
Doktor yang dipanggil Kirana itu tersenyum dan mengangguk lagi. “Patutlah aku rasa macam pernah nampak patient ni. Isteri kau rupanya”.
Haikal ikut senyum. “Thanks Kirana”.
“Kerja aku. Tapi Kal, anak dalam kandungan isteri kau aku tak dapat selamatkan. Aku dah cuba yang terbaik, tapi tak dapat selamatkan juga” Dr.Kirana memandang wajah Haikal.
Haikal mengerutkan dahi. “Anak dalam kandungan?”
“Kau tak tahu isteri kau mengandung?”
“Tak” Haikal menggeleng kepala dan memandang Hani. Ternyata gadis itu juga menggeleng kepalanya. Haikal melepas nafas dan memandang Dr.Kirana semula. “Kirana ni bestfriend isteri aku, Hani”.
Hani dan Dr.Kirana bersalaman. Dr.Kirana kemudian memandang Haikal. “Nurse akan pindahkan isteri kau kat wad biasa. Nanti kau boleh ikut sekali. Apa-apa hal kau cakap je dengan nurse tu. Aku ada kerja ni. Lepas isteri kau sedar, bolehlah kita minum-minum”.
Haikal mengangguk. Dan tersenyum pada Dr.Kirana yang berlalu bersama jururawatnya. Nafas lega dilepas. Mujurlah Beel selamat. Syukurlah isterinya selamat.
Tadinya dia di rumah bersama mama dan papa yang sudah dua hari berada di Malaysia. Mahu tidak mahu kenalah dia memberitahu Beel masuk hospital. Jika tidak pasti mama sibuk menyoal mahu ke mana tengah-tengah malam begini? Papa juga tidak kurang hebat memberi soalan.
Bolehlah dia memberitahu mereka Beel selamat dan tidak apa-apa. Cuma anak dalam kandungan. Apakah Beel sendiri tidak tahu dia mengandung atau Beel mahu memberi kejutan padanya?

############

Reza melangkah lemah di hospital. Dia bagaikan kehilangan separuh jiwanya. Mata melihat pesakit-pesakit yang berbagai ragam. Namun suasana kekal sunyi memandangkan masih pukul 4.30 pagi.
Dia terduduk di atas kerusi roda yang entah punya siapa. Seluruh ototnya terasa longgar bagai tiada lagi tulang-belulang yang menampung. Tidak mahu mempercayai perkara yang baru saja diketahui.

‘Doktor, macam mana dengan isteri saya?
Selamat, Kal.
Tapi Kal, anak dalam kandungan isteri kau aku tak dapat selamatkan. Aku dah cuba yang terbaik, tapi tak dapat selamatkan juga.
Anak dalam kandungan?
Kau tak tahu isteri kau mengandung?’

Perbualan di antara Haikal dan doktor masih terngiang di telinganya. Mata terpejam rapat dan air matanya mula mengalir. Memperlihatkan sisi lelaki yang dia sendiri tidak sangka.
Mana pernah dia mengalirkan air mata kerana seorang perempuan. Namun kali ini..
Reza sendiri tidak tahu menggambarkan perasaannya. Kecewa itu pasti. Marah juga ada. Sakit hati juga terselit. Ditambah dengan sedih, dan geram mungkin. Dia tertekan. Sangat tertekan. Gembira? Tiada langsung. Walau sekelumit.
Hani sepertinya sudah tahu status sebenar Haikal dan Beel. Mengapa Hani tidak memberitahunya? Sekurang-kurangnya tidaklah dia sakit begini bila tahu Beel keguguran. Paling tidak, dia tidaklah buat kerja gila memikat isteri orang.
Memang dia akan kecewa tapi tidaklah sekecewa ini. Memang dia akan sedih namun tidaklah sesedih ini. Mengapa dia sendiri langsung tidak mengesyaki apa-apa?
Pantasan saja Beel tidak mahu menerima hadiahnya selama ini. Bunga yang dihadiahkan pada Beel selalu saja berakhir di tong sampah atau menjadi hiasan di papan kenyataan. Pernah juga Beel meletakkan di meja mana-mana profesor yang dia suka.
Patutlah segala usahanya tidak membuahkan hasil. Keikhlasannya tiada nilai pada mata gadis itu. Kerana dia sendiri sudah berpunya. Dia sendiri adalah seorang isteri. Patutlah orang selalu kata, selagi wanita itu belum berkahwin maka mana-mana lelaki akan ada peluangnya. Tapi bila dia sudah berkahwin..
Inilah contohnya. Reza meraup wajahnya. Air mata terus mengalir. Tidak mahu berhenti. Mengapalah nasibnya sebegini rupa?

DILARANG NIKAHI AKU – 97

Hani ketawa mendengar kata-kata Beel. Terasa lucu pula mendengar cerita Beel tentang Haikal yang sangat bencikan durian. Tapi sudah boleh makan kerana mahu memenangi hatinya.
Beel senyum melihat Hani. Baguslah temannya itu baik-baik saja. Awalnya dia risau juga akan keadaan Hani. Manalah tahu, tiba-tiba Hani menangis sendirian atau kuat termenung..
Mujur Hani baik saja. Tiada pula dia melihat Hani termenung. Benarlah kata-kata Hani, bahawa dia sudah melepaskan semuanya. Apa pun yang akan berlaku dia sudah siap menerimanya.
Tapi ada sesuatu yang Beel perasan. Sudah beberapa hari sejak peristiwa itu berlalu, namun dia tidak pernah melihat kelibat Qamar. Reza juga masih belum bertemu empat mata. Selalunya Reza meninggalkan hadiahnya di atas meja ataupun melalui orang lain.
Matanya menangkap Reza melalui kantin. Hani di sisi dipandang. “Hani, kejap eh..”
Reza dikejar. “Reza!” Beel memanggil.
Reza sengih memandang Beel. “Kau panggil aku?”
Beel membuat muka. Mulalah tu.. “Aku nak tanya. Kenapa dah lama aku tak nampak Qamar?”
Reza melepas nafasnya. “Qamar dah berhenti”.
“Berhenti?”
Anggukan diberikan buat Beel. Kemudian Reza teringat pesanan Qamar padanya. “Qamar tanya, Hani ok ke?”
Beel mengangguk. “Tapi kenapa Qamar berhenti?”
“Dia nak study oversea. Lepas tu dia ada cakap yang dia nak lepaskan Hani. Dia nak settle dengan Aunty Hanifah”.
Beel mengangguk memahami. Mungkin juga Qamar membuat keputusan yang betul. Lagi pun itulah yang dipinta Hani selama ini.
“Beel..”
“Kenapa?”
“Bila aku tengok Hani dengan Qamar, aku tiba-tiba terfikir ada tak aku buat salah dengan kau sampai macam tu? Manalah tahu kan..”
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Reza. “Ada!”
“Apa?”
“Kalau kau betul tak nak sakitkan hati aku. Berhenti ganggu aku, kirim hadiahlah bagai.. Senang kata, berhenti pikat aku. Boleh?” Beel menjongket keningnya.
Reza mencebik. Ke situ pula dia. “Kalau yang tu.. Tak boleh!”
“Dahlah. Terima kasih sebab bagitahu” dan Beel melangkah meninggalkan Reza, kembali pada Hani yang masih berada di kantin.

#############

Beel melambai tangan pada Hani yang sudah memasuki perkarangan rumah kebajikan itu. Kemudian Kak Cha dipandang. “Kak Cha, tunggu kejap eh. Beel nak ikut Hani, Beel risau pula..”
Kak Cha dihadapan mengangguk. Beel menguntum senyum manis. “Kalau Kak Cha rasa lama sangat, Kak Cha masuklah”.
Kak Cha mengangguk lagi. “Cik Beel pergilah. Kak Cha tunggu..”
Beel mengangguk. Dan dia turun dari kereta. Mengekori Hani dari belakang. Risau pula dia bila Aunty Hanifah tiba-tiba menghubungi Hani dan mengatakan dia ada hal mahu berbincang.
Hani menuju pada uminya yang berada di ruang tamu. “Umi..” Hani menegur dan tangan wanita itu disalam.
Hanifah memandang satu-satunya puteri yang dia miliki itu. Kotak cincin yang berada di hadapannya diambil dan dihulur pada Hani.
Hani mengerut dahi. Tapi dia dapat mengagak apa sebenarnya yang sedang berlaku. Kotak cincin itu diambil dan dibuka.
“Kenapa Hani buat macam ni?”
“Umi..”
“Umi kecewa dengan Hani. Ini satu-satunya permintaan arwah abi pada Hani tau. Kenapa Qamar tiba-tiba putuskan pertunangan ni?” Hanifah memandang dengan wajah serius.
Hani memandang uminya. Dia gembira kerana apa yang dia mahu telah berlaku. Tapi dia terlupa sesuatu. Bahawa yang mahu dia berkahwin dengan Qamar adalah uminya sendiri. Jika Qamar benar-benar memutuskan pertunangan, samalah seperti dia menghancurkan hati uminya.
“Umi tahu anak remaja kalau boleh nak pilih pasangan sendiri. Habis Hani ingat arwah abi tak tahu? Dia tahu! Tapi dia tunangkan juga sebab dia tahu Hani akan ikut semua yang dia aturkan. Tapi ni..”
“Umi, Hani minta maaf”.
“Minta maaf? Umi tak marahkan Hani, tapi umi kecewa..”
“Umi..” Hani mula menitiskan air mata melihat wajah Hanifah.
“Umi tak sangka Hani akan buat macam ni. Umi tahu Qamar takkan tiba-tiba putuskan pertunangan sebelah pihak. Sebab umi nampak yang Qamar tu betul-betul sayang dengan Hani. Apa yang Hani dah buat sebenarnya?”
Hani menggeleng-geleng. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Tangan uminya dicapai dan diramas. Dia benar-benar memohon maaf atas apa yang berlaku.
Hanifah melepaskan keluhannya. “Qamar bukan setakat putuskan pertunangan tapi dia bawa diri. Dalam masa terdekat ni, dia akan pergi New Zealand. Dia cakap mungkin dia lama sikit kat sana. Dan dia ada cakap, putuskan pertunangan ni tak bermakna dia lepaskan Hani. Seandainya dalam tempoh dia kat sana Hani ada jumpa lelaki yang lebih baik dari dia, dia terima. Tapi bila dia balik, kalau Hani masih belum kahwin, dia akan cuba seribu satu cara supaya Hani jadi isteri dia..” Hanifah jelas menggambarkan betapa dia berharap Qamarlah yang menjadi menantunya.
“Umi…” Hani sudah teresak-esak. Dia tahu betapa umi kecewa dengan keputusan yang dibuat Qamar. Tapi dia tidak boleh berterus terang soal kejadian di universiti.
Hanifah menggeleng-geleng. “Tak guna Hani menangis. Umi tahu Hani sedih sebab kecewakan umi. Kecewakan arwah abi. Tapi umi lagi sedih sebab Hani sanggup kecewakan umi. Apa buruknya Qamar pada mata Hani?”
Hani mendiamkan diri. Tangan Hanifah yang berada di dalam pegangannya tadi sudah terlepas. Uminya dipandang dengan mata bengkaknya. “Umi..”
“Umi tak tahu nak cakap apa lagi. Umi tak sangka langsung akan jadi macam ni…” Hanifah bangun dari duduknya. Meninggalkan Hani menangis sendirian di ruang tamu itu.
“Umi, Hani minta maaf..” Hani masih lagi teresak-esak. Memandang uminya yang berlalu pergi.
Beel melangkah masuk. Dia mengambil tempat di hadapan Hani agar dilihat gadis itu. “Hani..”
“Beel..” Hani langsung memeluk Beel. Dia bukan sengaja menyakiti hati uminya. Dia bukan sengaja.
Beel mengusap belakang Hani. Menenangkan Hani yang sudah tenggelam bersama tangisannya. Kalau saja Aunty Hanifah tahu perkara sebenar….

###############

Dia memandang sang teman di sisi. Mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Awak..”
“Ya?” Hani memandang Beel, menutup buku yang sedang dibacanya.
“Reza kata malam ni flight Qamar”.
Hani mengangguk. “Reza ada bagitahu saya juga..”
Beel membuat mulut berbentuk ‘O’. Wajah itu dipandang. Tapi kenapa Hani seperti tidak menunjukkan sebarang reaksi? “Awak..”
Hani ketawa kecil melihat Beel yang teragak-agak mahu menyoal. “Awak nak tanya apa ni?”
“Awak tak nak jumpa Qamar dulu?”
Hani mengerutkan dahi. Dan kali ini dia ketawa terbahak-bahak. Beel mengerut dahi, hairan dengan respon yang diberikan Hani. “Kak Cha..” Kak Cha di hadapan dipanggil.
Hani ikut memandang Kak Cha. Kak Cha senyum dalam pemanduannya. “Maknanya Cik Hani tak nak jumpalah tu..”
“Masalahnya nak buat apa saya jumpa dia, Kak Cha?”
“Entah. Kenapa Cik Beel tanya Cik Hani macam tu..?” Kak Cha memandang Beel melalui cermin belakang.
Beel melepas nafas. “Yelah. Kan selalu dalam drama-drama tu, kalau hero dah nak pergi baru heroin sibuk nak kejar”.
Hani ketawa lagi. Temannya yang bertudung satin itu diperhati. Sepatutnya temannya ini berfikiran lebih matang darinya kerana status isteri yang dipegang, tapi mengapa dia boleh memikirkan perkara sebegitu halnya?
“Kenapa awak gelak?”
“Awak rasa kita ni dalam drama ke? Lagi pun kalau saya pergi jumpa dia kat airport tu, tak ke nampak pelik? Baru tunang je Beel, belum kahwin lagi” Hani membuat muka.
Beel mendekatkan diri dengan Hani. Wajah itu diperhati. “Betul awak tak rasa apa-apa Qamar nak pergi?”
“Tak cik adik sayang..”
Beel mengerut dahi. Dia hairan mengapa Hani tiada walau secubit perasaan buat Qamar? Kalau dalam kes dia dengan Reza, memanglah. Kerana dia sudah punya Haikal. Tapi Hani bukannya ada sesiapa di hatinya.
“Awak nak tahu tak?” Hani memandang Beel, mahu menyelesaikan teka-teki yang bermain di dalam kepala temannya itu.
“Apa?”
“Bagi saya, kalau betul Qamar tu memang jodoh saya, saya tak perlu kejar-kejar. Macam orang selalu cakap, kalau dah jodoh tak ke mana. Kalau Tuhan dah tetapkan Qamar jodoh saya, dia lari ke New Zealand ke, ke India ke, tetap akan balik pada saya akhirnya. Lagilah kalau dia bukan jodoh saya, buat apa nak kejar. Katakanlah hari ini dia tak pergi New Zealand, tetaplah suatu hari nanti akan berpisah juga. Buat apa nak bazirkan masa dengan sesuatu perkara yang kita tak tahu awal akhirnya”.
Beel diam. Beberapa saat kemudian tersenyum memandang Hani. “Saya suka cara awak berfikir”. Pantasan saja Hani boleh tenang saat ini. Nampaknya dia memang seorang gadis yang mengagumkan.
“Samalah macam awak dengan Abang Haikal. Kalau dah jodoh, tak ke mana kan?” Hani sengih memandang Beel dan Beel melepaskan tawanya.

##############

“Sayang!”
Beel tercengang melihat Haikal di dalam kereta. Berada di tempat pemandu pula. Pasti Kak Cha sudah diberikan cuti untuk sepanjang hari.
Hani di belakangnya dipandang. Pasti Hani mendengar ucapan sayang yang keluar dari mulut Haikal.
“Hani” Haikal menegur.
Hani mengangguk dengan senyuman. Beel melangkah maju dan masuk ke dalam kereta. Mengambil tempat di sisi Haikal. Dan tangan lelaki itu disalam. “Tak bagitahu nak balik?”
Haikal ketawa kecil. Dia sebenarnya sengaja mengambil Beel di universiti kerana dia yakin Hani sudah tahu hubungannya dengan Beel. Jadi dia mahu melihat respon Hani.
Hani masih berdiri di luar kereta. Terasa lain bila sudah mengetahui status sebenar Beel dan Haikal. Bimbang kacau daun pula.
“Masuklah Hani. Abang Haikal hantarkan” Haikal memandang.
Hani senyum kecil. Beel dipandang. “Saya balik naik bas jelah”.
Beel mengerut dahinya. “Masuk je Hani. Jangan layan sangat Haikal ni..”
Haikal ketawa. “Masuklah. Dijamin akan selamat sampai”.
Hani tersenyum. Dia masuk ke dalam kereta juga akhirnya. Namun rasa bimbang juga segan tetap terserlah pada wajah. Iyalah, dia terasa dia seperti peng’ganggu’ pula.
Haikal memandang Hani melalui cermin belakang. “Jadi fail yang jatuh malam tu kerja Hani kan?”
“Ha?”
Beel mengerutkan dahi. “Awak dah tahu ke?”
Hani tersenyum kelat. “Hani terkejut”.
“Jenuh juga nak susun balik dokumen-dokumen tu..” Haikal mengusik.
“Haikal..”
Haikal tersenyum mendengar nada Beel memanggilnya. “Saya saja je tak nak bagitahu. Nak suruh sayang jawab soalan Hani sendiri”.
Beel mencebik. Lengan Haikal dicubitnya. “Ada je awak ni kan..?”
Haikal ketawa. “Sayang marah ke? Tapi kan bagus juga Hani tahu. Nasib baik dia tak panggil jabatan agama serbu rumah kita”.
Hani ketawa kecil melihatkan pergaduhan mesra suami isteri itu. Jika difikirkan balik, mahu tercabut juga jantungnya saat menyaksikan kemesraan mereka malam itu. Kalau bukan sebab dia masih punya kesedaran, tidak mustahil juga dia menghubungi jabatan agama islam.
“Kak Su apa khabar?” Beel menyoal. Memandang Haikal yang sedang memandu.
Haikal memandang namun diam. “Sayang tengoklah fon tu. Ada gambar Suria.. Saya rasa makin besar muka dia macam sayanglah”.
Beel mengerut dahi. Telefon bimbit Haikal diambil dan gambarnya dilihat satu-persatu. Ya memang banyak gambar Suria. Tapi mengapa tiada walau satu gambar Suraya? “Kenapa tak de gambar Kak Su?”
Haikal terdiam mendengar soalan Beel. Dia melihat melalui cermin belakang. Hani sudah pun terlelap di dalam ulangkajinya.
“Awak, saya tanya ni..” Beel memandang. Mengalih sepenuh perhatian pada Haikal.
“Takkan saya nak simpan gambar Su? Sayang tak cemburu ke nanti..?”
Beel ketawa sambil menggeleng-geleng kepalanya. Haikal melepas nafas lega bila Beel sudah berhenti menyoal. Sudah hampir empat tahun Suraya meninggal dunia namun rahsia itu masih tersimpan rapi dari pengetahuan isteri kesayangannya itu.
Beel juga sudah hampir tamat belajar, bagaimanalah dia harus menerangkan semuanya kepada Beel?

DILARANG NIKAHI AKU – 96

“Suria..”
Kanak-kanak perempuan yang masih pelat berkata-kata itu berlari menuju pada Puan Sri Normah. Puan Sri Normah tersenyum dan mendukung Suria agar duduk di ribaannya.
Putih yang baru selesai memasak bubur buat Suria tersenyum memandang Puan Sri Normah. “Suria..”
Puan Sri Normah mengangkat Suria dari ribanya. “Pergi kat Mak Putih. Makan ya sayang..”
Putih tersenyum menyambut anak kecil itu. Puan Sri Normah juga menguntum senyum memandang cicitnya itu. “Putih..”
“Ya?” Putih memandang Puan Sri Normah sekilas sambil melayan Suria.
“Putih ada contact Beel?”
“Ada. Kenapa opah tanya?”
“Dia ada tanya fasal arwah Su?”
“Ada” Putih memandang. Dia dapat mengagak Puan Sri Normah sedang merindukan cucu kesayangannya itu. “Beel tak call opah ke?”
“Ada. Selalu. Cuma.. Opah risau..”
Putih menguntum senyum. “Putih rasa Haikal boleh selesaikan semua. Lagi pun, Putih tengok sejak Haikal bawa Beel pindah sana, Beel dah lain. Pandai Haikal lembutkan hati adik Putih seorang tu..”
Puan Sri Normah hanya menguntum senyum. Iya, dia tahu Beel sudah berubah. Semuanya gara-gara Haikal. Memang benar kata Putih, pandai Haikal melembutkan hati cucunya. Juga kata Mak Jah. Bahawa dia tidak tersalah memilih suami untuk Beel.

###############

“Saya dah faham kenapa awak keras hati sangat dengan Reza..” Hani ketawa kecil sambil memandang Beel di sisi.
Beel menjelir lidahnya. Sambil ketawa mereka sama-sama melangkah keluar dari kelas. “Tapi saya tak faham lagi kenapa awak keras hati sangat dengan Qamar”.
Beel berlari menjauhkan diri dari Hani. Bimbang terkena cubitan penangan Hani. Dan Hani mengejar.
“Hani! Hani!”
Hani dan Beel saling memandang. Mereka kemudian sama-sama memandang rakan sekelas yang memanggil.
“Hani!”
“Kenapa?”
“Awak kena turun sekarang. Jom!”
“Pergi mana?”
“Jom!!”
Gadis itu menarik tangan Hani dan Hani menarik tangan Beel. Sama-sama berlari anak menuju ke tempat yang tidak diketahui.
“Tengoklah..”
Buku yang berada di dalam pelukan terlepas dari tangannya. Pemandangan yang sangat tidak terbayang olehnya.
Qamar berdiri tegak sambil memegang mikrofon. Bersama sebuah kain rentang yang dipegang oleh beberapa orang kawannya. Tertulis ‘Maafkan saya, Hani!’
“Hani..” Beel di sisi mencuit Hani.
Hani memandang Beel. Beel membuat muka. “Jom balik..”
“Kejap!” Hani langsung berlari anak menuju pada Qamar. Wajah lelaki itu dipandang tajam.
“Hani, maafkan saya..” Qamar memandangnya sedang mikrofon masih di dalam tangan. Suara Qamar meminta maaf bergema seisi universiti.
Hani mengetap bibirnya. Qamar mengerdip matanya. “Saya minta maaf..”
Suara manusia bersorak mula kedengaran. Menyuruh Hani memaafkan Qamar. Meminta Hani berbaik dengan Qamar.
“Please..” Qamar masih memandang.
“Kalau saya bagitahu awak, awak akan berhenti buat semua ni?” Hani menyoal dengan wajah serius.
“Saya nak awak maafkan saya..” Qamar menjauhkan mikrofon dari mulutnya.
Hani memandang seketika. Mikrofon dirampas dari tangan Qamar dan dia mula melihat sekeliling. Masih ada beberapa suara yang bersorak meminta dia memaafkan Qamar.
“Awak nak tahu sangat kan? Awak nak umum kat satu U ni yang saya tak nak maafkan awak kan?” Hani mula bersuara menggunakan mikrofon.
Qamar mendiamkan diri. Memang dia ingin tahu segalanya. Tapi mengapa dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati?
“Saya nak minta semua yang mendengar jadi saksi. Qamar nak bagitahu semua yang saya tak nak maafkan dia. Dan saya nak bagitahu satu U ni, apa yang berlaku sebenarnya..”
Beel mula terasa tidak sedap hati. Dia mengambil buku Hani yang berada di atas lantai dan maju melangkah pada Hani namun tidak sempat sampai pada Hani, Reza sudah menahannya.
“Biar dia orang selesaikan sendiri”.
Beel melepas nafas. Melihat Hani yang wajahnya sudah menjadi wajah Hani yang tidak dia kenali.
“Awak nak tahu kan? Awak ingat lagi tak, dulu saya pemain hoki sekolah?”
Qamar mengangguk perlahan. Mata fokus pada Hani yang sudah hampir mengeluarkan air mata.
“Awak tahu kan yang saya dah lepas peringkat daerah dan peringkat negeri?”
Qamar mengangguk lagi. Pasti saja dia tidak lupa bagaimana gembiranya wajah Hani ketika perlawanan.
“Sehari sebelum pertandingan akhir, apa yang awak buat?”
Qamar mengerut dahi. Sehari sebelum pertandingan akhir? Apa yang dia lakukan pada Hani? Mata mula melilau melihat sekeliling. Tidak sangka sebegitu ramainya manusia yang menyaksikan.
“Awak lupa? Awak tak ingat? Kejadian tu tak penting pada awak kan? Langsung tak penting..”
Mendengarkan kata-kata Hani, Qamar langsung teringat. Iya, dia sudah ingat. Dia ada memberikan ‘hadiah’. Konon mengucap tahniah atas kemaraan tunangnya itu ke peringkat akhir. “Saya bagi hadiah..”
“Bagus! Awak ingat! Semua dengar sini, Qamar ada bagi saya hadiah! Apa hadiah yang awak bagi tu?”
Qamar diam. Memandang Hani dengan wajah memohon simpati. Dia tahu Hani marah benar padanya sekarang. Mahu memujuk kelihatan sudah terlambat. Pandangan mata Hani sangat tajam seperti mahu menelannya.
“Jawablah! Apa hadiah yang awak bagi?!” Hani meninggi suara menyebabkan seisi universiti mula membanjiri ruang perhimpunan. Ditambah pula dengan suara mikrofon yang sememangnya kuat.
Qamar diam lagi.
“Jawab!”
“Katak” jawab Qamar ringkas.
Hani senyum sinis. “Pandai! Awak bagi saya katak. Ucap tahniah sebab saya mara, awak bagi katak. Kotak hadiah tu saya tak nak buka sebab saya tahu awak mesti dengan idea bodoh awak tu. Tapi awak dengan kawan-kawan awak bersorak suruh saya buka. Awak ingat saya tak tahu yang awak nak tunjuk respon saya kat semua orang kan? Nak suruh saya jadi bahan gelak?”
Qamar diam. Suasana juga sunyi. Hani sudah mula menitiskan air mata. Sungguh, dia tidak suka mengingati semua ini. Tapi ini apa yang Qamar mahu bukan?
“Mana ada orang yang hadiahkan katak kat orang lain? Melainkan orang tu tak de akhlak, tak de adab, tak de sivik, tak de budi bahasa. Macam awak kan? Memanglah, cuma katak je.. Awak tahu tak terkejutnya saya buka-buka kotak tu, ada katak melompat?”
Qamar mendiamkan diri. “Hani..”
“Jangan sebut nama saya…! Sebab saya tak percaya yang awak ni ada rasa bersalah walau sekelumit. Saya jatuh tangga, awak ingat tak?”
Qamar mengangguk perlahan. Wajah yang sudah basah dengan air mata itu dipandang.
“Nampak macam tak de apa-apa. Saya boleh berjalan lagi walau pun dah jatuh tangga. Tapi lepas tu, saya main hoki dah tak cekap. Cikgu cadangkan saya jumpa doktor. Saya jumpa. Doktor kata tulang kaki saya retak. Saya lambat buat rawatan jadi saya kena berhenti main hoki!”
Qamar tercengang. Lututnya lemah secara tiba-tiba. Membuatkan dia rebah di situ juga. Jadi Hani berhenti bermain hoki kerana kakinya cedera? Jadi Hani berhenti bermain hoki kerana angkara nakalnya?
“Dah terlambat kalau awak nak rasa bersalah sekarang. Saya berhenti dari main hoki sebab nak kaki saya sembuh. Tapi doktor cakap paling-paling pun cuma boleh berlari suka-suka je. Tak boleh berlari untuk sukan. Saya bagitahu cikgu yang saya cedera. Kaki saya ada masalah. Saya tahu awak ada tanya cikgu. Dan cikgu cakap sebab saya dah tak ada hati dengan hoki. Saya yang minta cikgu cakap macam tu. Umi tanya, saya cakap saya dah bosan main hoki. Sedangkan hoki satu-satunya sukan yang mengingatkan saya pada arwah abi. Hoki satu-satunya sukan yang buat saya rasa dekat dengan arwah abi. Takkan saya boleh bosan dengan sukan yang menghubungkan saya dengan arwah abi?”
Qamar sudah mula memejam mata. Oh Tuhan, apa yang telah dia lakukan?
“Awak kata awak nak tanya umi? Awak rasa saya ada bagitahu umi tak? Susah payah awak cipta nama baik depan umi, awak ingat saya sanggup nak hancurkan? Saya bukan risau awak nampak jahat depan umi, tapi saya risau umi kecewa. Saya tak nak umi sedih..”
Beel melepas nafas. Nampaknya Hani sudah mula tenggelam dengan emosinya. Dia melangkah maju pada Hani. Mikrofon di tangan Hani dilepaskan dari pegangan Hani dan tubuh Hani dipaut. “Jom balik..”
Hani memandang Beel. Sekilas dia memandang Qamar yang sudah duduk memeluk lutut dan dia melangkah bersama Beel. Beel mengusap Hani. Dia dapat merasakan betapa temannya itu letih dengan semua ini.
Hani memejam mata di dalam pautan Beel. Membiarkan Beel membimbingnya menuju ke kereta. Dia sudah melepaskan semuanya. Kini bukan hanya Qamar yang tahu, tapi seisi universiti tahu perkara itu.
Air matanya terus tumpah tidak mahu berhenti. Walau apa pun yang berlaku selepas ini, dia akan cuba mengharunginya. Harapannya hanya satu, semoga Qamar berhenti mengganggunya.

##############

Beel mencuri pandang pada Hani yang berada dekat dengan pintu kereta. Kak Cha di hadapan dipandang meminta pertolongan. Bagaimana caranya untuk memujuk Hani?
Kak Cha menggeleng. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memujuk teman cik puannya itu. Sedari tadi, Hani hanya memandang ke luar tingkap dan menitiskan air mata. Tiada suara juga tiada sebarang reaksi.
“Hani..” Beel memanggil.
Hani memandang. Dan dia mengukir senyuman. “Ya?”
“Awak ok ke tak ni?”
Hani senyum lagi. “Awak tak sangka kan?”
Beel melepas nafas. Anggukan diberikan. “Awak ok tak?”
“Ok. Awak jangan risau”.
“Saya kawan awak, mestilah saya risau..”
Hani menguntum senyum lagi. “Beel..”
Beel menjongket keningnya. Menjawab panggilan Hani. “Ya..”
“Boleh saya pinjam bahu awak?”
Beel menguntum senyum. Dia mendekati Hani dan tubuh itu dipeluk. Hani mengeratkan pelukannya pada Beel dan dia mula menangis lagi. Sementara Beel membiarkan, nampaknya malam ini dia harus mengajak Hani tidur di rumahnya.
Mustahil Hani mahu pulang ke rumah uminya dengan wajah sebegini, kalau meninggalkan Hani di apartmentnya sendirian.. Beel pula risau. Jadi, lebih baik dia membawa Hani pulang ke kondominiumnya.

DILARANG NIKAHI AKU – 95

“Sayang jaga diri elok-elok ye…”
“Ye..”
“Rasa macam tak nak balik KL je..”
Beel menjeling Haikal. Kak Cha di hadapan dipandang. “Kak Cha tengoklah bos Kak Cha ni.. Mengada terlebih-lebih”.
Kak Cha di hadapan tersenyum manis. Gembira dia melihat majikannya gembira. “En.Haikal seronok ada Cik Beel sekali tu..”
“Mengada. Awak nak kena masuk pejabat kan?”
“Tak pe. Saya kan bos.. Boleh masuk lambat-lambat” Haikal meramas tangan Beel dengan senyum ‘gedik’nya.
“Dah. Jangan nak melebih. Kita kat depan U dah ni.. Syakir dah pergi China kan? Siapa nak tolong awak?”
Haikal ketawa. “Ok. Sayang pergilah turun”.
“Ok. Saya pergi dulu. Kak Cha hantarkan Haikal pergi airport ea..”
“Tak cakap pun, Salsabila hantar jugak..” Haikal mengusik.
Beel mencubit lengan Haikal hingga lelaki itu mengaduh. Tangan Haikal disalam dan dia turun dari kereta. Menarik nafas, melambai pada kereta yang berlalu pergi.
“Datang dengan abang kau?”
Beel melepas nafas mendengar suara itu. Kepala ditoleh melihat Reza berdiri tersenyum-senyum di belakangnya.
“Ha’ah..” Beel melangkah menuju ke kelasnya.
“Kejap” Reza menarik tangan Beel. Beel memandang dengan wajah sakit hati. Tangannya ditarik dari pegangan Reza. “Lepas!”
Reza memandang. “Sorry, sorry..”
“Kau nak apa?”
“Aku nak minta tolong sikit..”
“Apa?”
“Boleh tak kau cakap kat Hani bagitahulah apa sebenarnya yang berlaku. Qamar dah buat plan tu.. Kalau dalam minggu ni Hani tak nak bagitahu.. Dia ada benda nak buat..”
“Buatlah! Kalau awak rasa saya boleh ubah fikiran Hani..” Beel mengangkat bahunya.
“Beel, tolonglah..”
“Cakap dengan Qamar, buatlah apa yang dia nak.. Silap hari bulan bukannya Hani lembut hati tapi makin keras hati..” Beel mencebik bibirnya dan berlalu pergi.
Reza melepas nafas. Pantasan saja mereka boleh menjadi kawan baik. Sama-sama keras hati. Qamar sudah sedaya upaya memujuk Hani namun Hani langsung tidak hiraukannya.
Dia juga. Sudah hampir setahun cuba memikat Beel namun tiada peningkatan. Saban hari, dia yang mengejar Beel tapi Beel langsung tidak hiraukannya. Senang kata, dia dan Qamar senasib.

###########

Hani memandang Beel di sisinya. Buku notanya ditutup dan dia mengalih tubuh menghadap Beel. “Beel..”
“Ya?” Beel yang sedang membuat catatan memandang sekilas.
“Saya ada benda nak tanya ni..”
“Ya?” Beel menoleh. Kali ini dia memandang lebih lama. Mengalih sepenuh perhatian pada Hani.
“Abang Haikal tu awak punya abang kandung ke?”
“Kenapa awak tanya macam tu..?” Beel mengerut dahi. Jangan-jangan bunyi yang didengarnya hari itu disebabkan oleh Hani? Tapi mengapa Haikal mengatakan tidak ada apa-apa?
“Ke awak punya cik abang?”
Beel membisu. Membuat wajah kelat memandang Hani. Nafas ditarik perlahan. “Awak ke dapur malam tu?”
Hani mengangguk. “Saya dahaga. Tapi bila tengok awak dengan Abang Haikal..”
“Bunyi tu sebab awak larilah?”
Hani mengangguk. Wajah Beel dipandang. “Jadi Abang Haikal tu..”
Beel mengangguk. “Macam apa yang awak fikirlah..”
“Teman lelaki?”
“Bukan! Suami saya..”
Hani terdiam. Memandang Beel dengan wajah terkejut, tidak mahu percaya dan seribu satu perasaan yang bercampur.
“Hani..”
Hani mengerut dahi. “Saya yakin Beel bukan orang yang tak tahu jaga harga diri. Jadi takkan bawa balik lelaki ke rumah. Mesra pulak tu. Tapi kalau kahwin..”
Beel senyum kelat. Nampaknya harapan untuk merahsiakan hal ini dari Hani hingga tamat belajar tidak kesampaian. “Saya minta maaf sebab tipu awak..”
Hani menggaru kepala yang tidak gatal. Beel melepas nafas. Nampaknya dia bakal punya perbincangan panjang dengan teman seorang ini. Perbincangan yang mungkin sampai esok juga masih belum selesai.
“Awak nak cerita panjang ke? Kalau nak yang panjang, kita sembang lepas kelas eh?”
“Cuba awak pendekkan je..”
Beel diam. ‘Macam mana eh?’ Nafas ditarik. Dia sendiri buntu mahu bercerita ‘pendek’ bagaimana. “Opah yang suruh kita orang kahwin. Masa tu saya 18 tahun”.
Hani mengangguk kecil. Kiranya Beel dan Haikal berkahwin kerana percaturan keluarga. Tapi bagaimana Beel boleh menerimanya di usia belasan tahun? Tidakkah ia terlalu muda untuk menjadi seorang isteri?
Hani mengerti. Patutlah Beel banyak berahsia dengannya. Rupanya ia sesuatu yang langsung tidak dia jangka. Beel dipandang dengan senyuman. Biarlah, dia tidak akan bertanya lagi. Hani yakin Beel akan memberitahu segalanya saat dia sudah bersedia.
Seperti Beel menghormatinya, begitu juga dia akan menghormati Beel. Tidak perlulah mengorek kerana jika tiba masanya, kita akan tahu juga.

#############

Fah membulatkan mata. “Seriously?”
“Ya..”
Dia yang sedang dalam perjalanan menuju ke keretanya ketawa sendiri. Bagai tidak percaya dengan kata-kata Beel. Hani sudah tahu hubungannya dengan Haikal?
“Kau ni gelak je dari tadi..” Beel mengomel di dalam talian.
Fah ketawa lagi. “Macam tak percaya. Tapi memanglah dah duduk serumah tak mustahillah dia boleh nampak..”
“Tulah. Haikal lah ni, bukan nak bagitahu aku dia nak balik”.
“Jangan salahkan laki kau. Tapi kan Beel, kau dah lain kan?”
“Apa yang lain..?”
“Yelah. Aku tengok kau dah makin lembut sekarang. Lepas tu dah jarang tinggi suara. Bahasa pun makin berbudi kut..”
Beel mencebik bibirnya. “Mengadalah kau!”
“Habis tu kau cerita kat Hani fasal apa je?”
“Semua. Kecuali hal Kak Su. Aku takut dia sakit jantung bila tahu aku bermadu dengan kakak sepupu sendiri”.
Fah ketawa. “Bagus juga bila Hani tahu. Jadi kau boleh luah kat dia sikit-sikit. Aku kan jauh..”
“Kau seorang je mesin luah perasaan aku”.
“Amboi! Tahun bila aku jadi mesin ni?”
Beel ketawa. “Terima kasih Fah..”
“Kenapa tiba-tiba ucap terima kasih ni?”
“Entah. Tiba-tiba rasa nak ucap”.
“Betul ke tak kau ni?”
“Fah!”
“Ok. Sorry. Aku nak drive ni. Apa-apa hal, kau mesejlah”.
“Sure. Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” dan Fah menekan butang merah mematikan talian. Beel.. Beel.. Tidak sangka sudah dewasa sahabat sehidup sematinya ini.

#############

“Nah..”
“Lagi?”
“Ya”.
Beel melepaskan keluhan. Reza di hadapan dipandang. Mawar merah di tangan Reza diambil dan dia mengeluh lagi. “Kau tahu aku tak suka kau kan?”
Reza mengangguk. “Tapi kalau aku ikhlas, sungguh-sungguh. Aku rasa semua perempuan cair..”
“Aku tak!” Beel menjatuhkan mawar merah itu ke lantai dan memijaknya. Dia sebenarnya tidak mahu melakukannya tapi disebabkan Reza tidak faham-faham bahasa..
Hani di sisi menarik tangan Beel. “Dah lah tu..”
“Aku harap sangat kau berhenti kacau aku. Aku tak suka kau, aku tak suka kau. Faham tak?”
Reza melepas nafas. Memandang mawar merah pemberiannya yang sudah hancur dipijak Beel. Gadis manis yang bertudung bawal itu dipandang. “Apa bagusnya dia? Apa lebihnya dia dari aku? Kenapa kau boleh ambil hadiah dia tapi tak ambil hadiah aku?”
Beel membuat muka. “Sekarang ni kau tahu ke dia tu siapa?”
Reza mengetap bibir. Benar, dia sendiri tidak tahu siapa pesaingnya. Tapi takkanlah Beel tidak goyah langsung setelah apa yang dia lakukan selama ini?
Hani menarik Beel agar jauh dari Reza. Reza dihampiri melihat Beel menunjukkan wajah bengang. “Reza, Hani kesiankan Reza. Jadi nasihat Hani, tak yahlah pikat Beel dah. Sebab apa pun Reza buat, Beel takkan terima Reza..”
“Kenapa?”
“Beel dah ada orang lain”.
“Reza tahu. Tapi Reza takkan putus asa..”
Hani menarik nafas dan menghembusnya. “Suka hati Rezalah. Tapi jangan kata Hani tak bagi amaran.”
Reza mengangguk. “Oh ya.. Qamar nak jumpa Hani kat depan U. Dia kata kalau Hani tak datang, nanti dia jumpa Aunty Hanifah. Bagitahu Aunty Hanifah yang dia nak cepatkan tarikh pernikahan”.
“Gila betul dia ni..!” Hani menarik tangan Beel meninggalkan Reza.

##############

Jam di tangan dipandang. Lama pula rasanya. Sudah hampir sejam dia menunggu di sini. Apakah Reza sudah memberitahu Hani bahawa dia ingin bertemu?
Senyuman terukir di wajah saat melihat Hani dan Beel melangkah ke arahnya. Tapi wajah Hani jelas menunjukkan dia tidak suka. Tapi Qamar tidak kisah, sememangnya Hani tidak pernah berwajah gembira saat melihatnya.
“Awak nak apa?” Hani memandang lelaki itu.
Beel menjauhkan diri dari mereka berdua. Bimbang pula ada bom yang meletup. Namun hanya berganjak beberapa langkah. Beel tahu Hani pasti marah jika dia berada terlalu jauh.
“Nak jumpa awak”.
“Ok. Dah jumpa kan? Saya nak balik”.
“Hani..”
“Awak cakaplah awak nak apa?”
“Hani kita tak boleh bincang baik-baik ke?”
“Awak nak baik macam mana? Awak ugut saya nak jumpa umi kalau saya tak jumpa awak sekarang. Siapa yang buat tak baik sebenarnya ni?”
Qamar melepas nafas perlahan. “Kalau saya tak cakap macam tu, awak nak jumpa saya?”
Hani senyum kambing. “Saya tak de benda nak cakap dengan awak. Kenapa pula saya kena jumpa awak?”
“Hani. Hina sangat ke saya ni pada mata awak?” Qamar cuba untuk tidak meninggi suara, menggunakan ayat memujuk agar Hani lembut hati.
“Mulia sangat ke saya ni nak pandang hina pada orang lain?”
“Kenapa awak tak nak terima saya?”
“Siapa yang cari fasal?”
“Saya minta maaf untuk semuanya. Dari awal kita kenal, sampai sekarang. Saya tahu saya dah banyak buat salah dengan awak. Saya tahu saya dah buat awak benci saya. Kita mula dari awal?”
Hani mengetap bibir. Tidak semena-mena air matanya menitis. Kalaulah semuanya boleh bermula semula.. “Mula dari awal? Dalam mimpi pun kita tak dapat mula dari awal tau..”
“Apa yang saya dah buat? Setiap kali cakap fasal ni mesti awak menangis.. Kenapa Hani?”
Hani memejam mata lama. Air mata dikesat dan wajahnya diruap. “Saya dah banyak kali cakap dengan awak, jangan cari tahu. Kalau awak dah tahu semuanya nanti, harapan untuk kita.. Dah tak de langsung!”
Beel memandang Hani yang berlari ke arahnya. “Jom balik”.
Beel mengangguk mendengar kata-kata Hani. Matanya melirik pada Qamar yang ditinggalkan. Tunangan Hani itu sudah terduduk di atas tembok. Nafas dilepas. Kasihan pula dia melihat lelaki itu.
Hani juga kasihan. Qamar juga kasihan. Apakah tiada jalan keluar buat mereka berdua?

DILARANG NIKAHI AKU – 94

Dia terkejut disiku oleh Hani secara tiba-tiba. Mata memandang Hani menyoal apa yang berlaku.
“Tu..” Hani memuncungkan mulutnya.
Beel memandang. Reza melangkah ke arah mereka sambil membawa sekuntum mawar merah bersama sebuah kotak kecil. “Lagi?”
Hani ketawa kecil. “Nak lari?”
Beel menggeleng. Makanan di hadapannya dipandang. “Belum makan pun lagi. Nak lari buat apa?”
Hani ketawa kecil. Kalaulah yang datang adalah Qamar, pasti dia sudah berlari sejauh seribu batu.
“Hai..” Reza menghulurkan kuntuman mawar pada Beel.
Beel memandang sambil menyuap mee goreng ke dalam mulut. Namun keberadaan Reza dibiarkan.
Reza menguntum senyum. “Cantik awak hari ni”.
“Saya tak nak” Beel memandang kotak hadiah yang berada di hadapannya.
Reza senyum sendiri. “Bunga ni untuk awak. Tapi kotak ni.. Untuk Hani, dari Qamar”.
Hani mengerut dahi. Beel mengangkat wajah memandang Reza. “Bunga tu saya tak nak. Kotak tu pun Hani tak nak. Kan Hani?”
Hani mengangguk. Memandang Reza yang berwajah serius. “Boleh tak Reza cakapkan kat Qamar jangan kacau Hani lagi?”
Reza sengih. “Cuba Hani bincang elok-elok dengan Qamar. Reza kesian tengok dia..”
Hani mendiamkan diri. Terus menjamah makanannya. Mustahil seribu kali mustahil dia akan berbincang baik-baik dengan Qamar. Jadi lebih baik dia berdiam saja.
“Dah. Kau boleh pergi. Aku dengan Hani nak makan” Beel memandang.
“Kau tak nak ambil bunga ni dulu?”
“Kau nak tak aku bagi prof?”
Reza membuat muka kelat. Beel senyum sinis. “Aku boleh bagi Prof. Amnah. Mesti dia teruja ada orang bagi bunga”.
“Kau ni..”
“Aku cakap banyak kali kau tak nak faham. Aku tak suka kau” Beel membuat muka selamba.
Reza berlalu pergi namun membiarkan kotak dan bunga itu di atas meja. Dia tahu Beel tidak menyukainya namun dia yakin keikhlasan dan kesungguhannya pasti dapat mencairkan hati gadis itu.
“Kesian dia” Hani memandang Beel, menyatakan rasa simpatinya pada Reza.
Beel ketawa kecil. “Saya pun kesiankan Qamar, tapi awak tak kesiankan dia. Betul tak?”
Hani senyum. Dia memang tidak punya akal untuk mematahkan hujah sahabat seorang ini. Akhirnya, dia dan Beel sama-sama ketawa kecil.

############

Mereka berpandangan melihat motosikal yang terletak kemas di tempat meletak kenderaan. Beel ketawa kecil melihat riak wajah Hani.
“Awak nak jumpa dia ke?”
“Tak naklah!”
“Kalau macam tu… Awak tidur rumah saya je lah. Nak?” Beel menjemput.
Hani melepas nafas. “Boleh ke?”
Beel diam seketika. Haikal sudah pulang minggu lepas. Jadi minggu ini mungkin dia tidak pulang. Mahu bertanya bimbang dia diusik pula. Bukan dia tidak kenal perangai suaminya seorang itu.
Anggukan diberikan buat Hani. Dan Beel tersenyum manis memandang Kak Cha. “Kita ke rumahlah Kak Cha”.

#############

“Jomlah..”
Hani ketawa kecil saat melihat Beel menekan nombor kod rumahnya. Beel memandang wajah Hani dengan tanda tanya. “Kenapa awak gelak ni..?”
“Tak de. Teringin nak tahu sebenarnya awak ni siapa? Awak tak nak cerita apa-apa fasal diri awak kan? Tapi rasanya awak tahu separuh tentang diri saya..”
Beel senyum. Pintu dibuka dan dia bersama Hani melangkah masuk. Beel membuka lampu dikeranakan rumahnya yang gelap.
“Surprise!!”
Beel tercengang melihat Haikal yang memakai t-shirt putih bersama seluar sukan berada di hadapannya. Haikal pula tercengang melihat Beel membawa pulang ‘tetamu’ yang tidak dijangka.
“Abang Haikal?” Hani menegur.
Haikal tersenyum. Kepalanya digaru walau tidak gatal. Mempamerkan rasa janggalnya melihat Hani. Beel ketawa yang dibuat-buat. Langkahnya maju menuju pada Haikal. Melihat Hani sekilas dan menyalami Haikal. “Bila abang sampai?”
“Petang tadi..”
“Abang tak cakap abang nak balik?”
“Ingat nak surprise.. Rupanya..” ayat Haikal mati melihat Hani.
Beel senyum kelat. “Hani tumpang tidur malam ni. Boleh kan?”
Haikal mengangguk. Hani memandang dua ‘beradik’ itu. Ada sesuatu di antara mereka berdua tetapi Hani tidak pasti apakah itu. Juga ayat yang diucapkan Beel, ‘abang tak cakap abang nak balik?’ Mengapa bukan ‘abang tak cakap abang nak datang?’
Beel menarik tangan Hani memasuki bilik Fah sementara Haikal mengambil tempat di ruang menonton televisyen. Beel tersenyum-senyum melihat Hani berbaring pada katil.
“Awak.. Nak makan? Kalau nak, saya masak”.
Hani tersenyum. “Tak pe lah. Saya penat sangat hari ni. Ingat nak tidur je..”
Beel mengangguk. “Awak boleh pakai baju Fah. Nanti saya bagitahu dia..”
Hani menguntum senyum sambil mengangguk. Dan selepas itu matanya gelap tidak melihat apa-apa. Dia telah terlelap tanpa sedar.

###############

Beel melangkah laju menuju ke arah Haikal yang ketawa terbahak-bahak menonton rancangan di televisyen. “Kenapa tak cakap nak balik?”
Haikal menghabiskan tawanya. Tangan Beel ditarik hingga gadis itu terduduk di sebelahnya. “Saya ingatkan nak buat kejutan sayang. Kalau bagitahu, kejutan tak?”
Beel melepas nafas. “Tulah kejutan.. Siapa yang terkejut sekarang?”
“Mana saya tahu awak nak bawa Hani balik…” Haikal menguis lengan Beel seperti anak kecil.
“Awak lapar ke? Kalau lapar saya nak masak”.
Haikal mengangguk dengan senyuman. “Saya simpan perut ni untuk makan masakan sayang.. Saya cuma sarapan je hari ni..”
Beel senyum nipis. “Saya nak mandi, sembahyang.. Lepas tu saya masak. Boleh?”
“Thanks, sayang. Hani mana?”
“Dia tidur. Awak jangan bising-bising tau. Saya takut dia bangun..”
Haikal membuat ‘thumbs-up’. Beel melangkah masuk ke dalam biliknya dan mula membersihkan diri.

##############

Fah memandang pintu bilik yang dibuka abangnya. “Fah” Safwan memanggil.
Fah yang sedang membaca mengangguk. “Kenapa?”
“Nah..” Safwan menghulurkan telefon bimbitnya pada adiknya itu.
Fah mengerut dahi seketika. Skrin telefon bimbit abangnya dipandang. Mesej dari Syakir. Dia memandang Safwan sekilas dan membaca mesej itu.

*Salam, Abang Wan. Aku ada benda nak bagitahu. Aku kena ganti pengurus yang baru kemalangan malam tadi. Jadi, Pak Cik Hazan minta aku duduk China buat masa setahun. Tolong bagitahu Fah. Sampaikan salam dan doa aku untuk dia. Terima kasih.*

Fah tersenyum sambil menghulurkan telefon bimbit Safwan semula. Safwan mengangguk-angguk memandang Fah. “Abang nak bagitahu ni je..”
“Ok”.
Safwan tersenyum dan kembali menutup pintu bilik. Fah memandang pintu yang telah ditutup. Cincin yang tersarung pada jari dipandang. ‘Ya Allah, Kau peliharalah Syakir tak kira di mana dia berada. Bantulah dia di dalam setiap hal dan berikanlah dia kejayaan dalam setiap apa yang dia lakukan..’

##############

Ayam mentah yang sudah sedia dipotong digaul bersama kunyit dan garam. Minyak yang telah panas dipandang dan dia memasukkan ayam mentah tadi.
Langkah diatur ke sinki untuk membasuh tangan. Peti ais dibuka mencari sayuran yang boleh disediakan buat Haikal. Dia senyum sendiri melihat durian crepe yang berada di dalam peti ais.
“Senyum seorang, suka tak?”
Beel mengangkat wajah memandang Haikal yang berada di pintu dapur. “Ada ke durian yang saya tak suka?”
Haikal ketawa. Dia melangkah masuk ke dalam dapur dan menjengah kuali. “Laparnya bau ayam goreng ni..”
Beel senyum manis. Durian crepe dikeluarkan dan dia duduk di atas kerusi kecil yang terdapat di dalamnya. Api dapur diperlahankan bimbang dia terleka dnegan durian crepe.
Haikal duduk di sisi Beel sambil menganga mulutnya. “Nak suap..”
Beel memandang dengan senyum kambingnya. “Mengada!”
“Aaaa..”
Beel menyuap durian crepe ke dalam mulut Haikal. Sedikit krim yang comot pada bibir Haikal dibersihkan. “Makan macam budak kecil..”
Haikal ketawa. “Baiknya sayang saya”. Haikal mengusap kepala Beel dan sebuah ciuman di pipi dihadiahkan buat isterinya itu.
Beel menolak tubuh Haikal perlahan. “Ada Hani, dia nampak nanti..!”
“Biarlah. Tapi awak yang kata dia tidur..” dan Haikal menarik wajah Beel. Menghadiahkan sebuah lagi ciuman di pipinya. Dan mereka sama-sama menguntum senyuman bahagia.

#############

Matanya dibuka perlahan dan dia melihat sekeliling. Oh.. Dia tidur di rumah Beel hari ini. Semuanya gara-gara Qamar yang tidak tahu malu. Tidak bosankah lelaki itu menunggunya di rumah saban hari..?
Hani membuka tudungnya dan masuk ke bilik air. Selesai menyiapkan diri, tudungnya disarung kembali. Terasa dahaga pula. Dia mahu ke dapur untuk meneguk segelas air masak.
Langkah diatur perlahan menuju ke dapur. Dahi berkerut mendengar suara manusia ketawa. Apakah Haikal dan Beel berada di dapur?
Dia melangkah lagi hingga sampai di pintu dapur. Melihat Beel dan Haikal sama-sama duduk di bangku yang terdapat di situ. Hani tersenyum sendiri melihat kemesraan dua ‘beradik’ itu.
Barangkali Beel hanya punya abang di dunia ini. Kerana itulah dia mesra benar dengan Haikal. Baru saja langkah diatur untuk masuk, dia tergamam.
Haikal mencium pipi Beel. Juga gaya Beel yang kelihatannya sangat manja dengan lelaki itu. Dan Haikal mengucup pipi Beel yang sebelah lagi. Juga kata-kata yang jelas kedengaran pada telinganya, ‘Sayang..’
Langkahnya automatik terundur. Apakah hubungan diantara Haikal dan Beel sebenarnya.? Apakah ia benar hubungan adik beradik seperti yang dikatakan Beel? Atau apakah.. abang yang dimaksudkan Beel adalah seorang .. suami?!
Hani tergopoh-gapah berlari anak memasuki biliknya. Membuatkan dia terlanggar fail-fail milik Haikal yang agak berterabur di atas meja. Hani menekup mulutnya. Dan dia terus berlari memasuki bilik Fah.
Pintu ditutup rapat dan dia berdiri di belakang pintu. Hani yakin Beel sudah cukup dewasa untuk membezakan pahala dan dosa. Jadi tidak mungkinlah Haikal merupakan seorang teman lelaki atau kekasih.
Tapi apakah benar ia seperti yang dia sangka? Bahawa Abang Haikal adalah suami Beel? Jika difikirkan seperti tidak logik. Umur mereka baru awal 21 tahun, takkanlah Beel sudah mendirikan rumah tangga pada usia sebegini muda?
Dan jika benar Beel sudah berkahwin, mengapa dia merahsiakan statusnya itu daripada semua orang? Mengapa Beel tidak berterus-terang saja?
Hani buntu.

###############

“Siapa tu?” Beel menjerit mendengar bunyi benda jatuh dari hadapan. Ruang tamu mungkin.
Haikal dipandang. “Awak.. Hani ke?”
Haikal membuat muka. “Saya pergi tengok kejap..”
Beel mengangguk sambil dia mengangkat ayam goreng yang telah masak. Bawang merah dan bawang putih yang telah dipotong dimasukkan ke dalam kuali.
Haikal melangkah keluar dari dapur. Dan melangkah ke bilik Fah. Mengikut keyakinannya, dia yakin bunyi itu terhasil dari larian Hani.
Dia tersenyum melihat fail-fail kerjanya berterabur di atas lantai. Pasti Hani melihat ‘drama’ mereka di dapur tadi. Hani berlari masuk ke bilik kerana tidak menyangka adegan yang bakal dilihat.
Haikal ketawa kecil. Nampaknya isteri kesayangannya akan disoal siasat nanti.

DILARANG NIKAHI AKU – 93

Haikal memandang Beel yang sedang melipat telekungnya. Senyuman dihadiahkan buat isteri yang langsung tidak perasan kelakuannya.
Dia yang masih memakai baju melayu bersama kain pelikat mencapai briefcasenya dan memandang Beel lagi. “Beel..”
Beel memandang. Telekungnya diletakkan pada ampaian dan dia memandang Haikal. “Ya?”
Haikal menepuk sisi katil tempat dia duduk. Mengajak Beel duduk bersama. Beel duduk walau pun wajah berkerut menandakan tidak faham permintaan Haikal.
Haikal menarik nafas. Dia mengeluarkan kotak besar namun agak rendah dari briefcasenya. “Hadiah”.
“Untuk siapa?”
Haikal ketawa kecil. “Untuk sayanglah..”
Beel senyum. Huluran Haikal disambut. Dan dia memandang Haikal. “Buka?”
Haikal mengangguk. “Bukalah”.
Beel memandang Haikal sekilas. Dan dia menarik reben yang membungkus kotak itu. Reben diletakkan di tepi dan dia membukanya. Dahi berkerut melihat pakaian yang berada di dalamnya.
Haikal dipandang lagi sebelum dia mengambilnya. Oh… “Tudung?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. Beel memandang Haikal dan ‘hadiah’ pemberiannya bersilih ganti. “Awak..”
“Sayang..” Haikal mengambil tudung itu dari Beel dan menyarungkannya ke muka Beel. Dengan senyuman pipi Beel dibelai dan tangan Beel digenggam. “Saya tak suka orang lain tengok rambut isteri saya, telinga isteri saya, leher isteri saya.. Sebab dia jadi tak eksklusif untuk saya..”
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Haikal. “Kenapa awak tak tanya je boleh ke kalau saya pakai tudung? Cakap ayat bukan main berlapik lagi..”
Haikal senyum. “Saya suka kalau awak pakai tudung. Sesuai dengan status isteri orang. Lagi pun, menutup aurat tu kan dituntut. Awak suka tudung ni?”
Beel melepas nafas. Kehidupan berumah tangga selama dua tahun lamanya membuatkan dia semakin mengerti makna kehidupan seorang isteri. Seorang isteri yang benar-benar taat dengan suami di belakang juga hadapan. “Apa yang awak minta, saya tetap kena buat kan?”
Haikal mencebik bibir. “Macam tak nak je..”
Beel senyum nipis. Pipi Haikal dicubit perlahan. “Bukanlah.. Maksud saya sebagai isteri yang baik,isteri solehah.. mestilah ikut semua permintaan suami. Kan?”
Haikal mengangguk dengan tawa kecilnya. “Jarang nampak awak marah-marah sekarang. Tak sangka dah besar sayang saya seorang ni…”
Beel hanya menguntum senyum di dalam dakapan Haikal. Semoga kehidupan rumah tangganya akan terus menjadi kehidupan rumah tangga suami isteri yang bahagia dan membahagiakan.

##############

Dia mengintai dari dalam bilik. Melihat kalau-kalau pintu bilik abangnya terbuka. Namun ternyata pintu bilik itu tertutup.
Fah terdengar bunyi dari tingkat bawah. Pasti abangnya berada di bawah. Sedang menonton televisyen barangkali. Fah tersenyum memandang skrin telefonnya.
Langkahnya berlari anak menuruni tangga. Melihat abangnya yang sedang berehat di kusyen sambil menonton rancangan televisyen yang sedang disiarkan. “Abang”.
Safwan memandang adik kesayangan yang mengambil tempat di sisinya. Jarangnya mereka dapat menghabiskan masa bersama sebegini. Iyalah, si abang sibuk dengan kehidupan bekerja manakala sang adik pula sibuk dengan kehidupan belajarnya.
“Ya..”
Fah memandang Safwan yang hanya menjawab tanpa memandangnya. Mata Safwan masih lagi melekat pada kaca televisyen.
‘Nak bagitahu ke tak?’ Fah berteka-teki sendiri.
“Kenapa?” Safwan memandang. Hairan melihat adiknya memanggil namun membisukan diri.
Fah menarik nafas. “Fah nak tunjuk ni..” dan telefon bimbitnya dihulurkan pada Safwan.
Safwan memandang. Patutlah Fah teragak-agak mahu memberitahu. Gambar Beel dan Haikal itu ditatapnya. Nampaknya semua berjalan dengan baik. Dari gambar yang ditatapnya, kelihatan Beel dan Haikal sudah mesra. Tapi ada sesuatu yang lain.
Beel sudah bertudung. Jelas menonjolkan wajahnya yang tampak begitu ayu dan berseri. Juga senyum manis yang menyerlahkan betapa gembiranya dia.
“Abang” Fah memanggil. Bimbang pula abangnya teringat kisah lama. Dia tahu benar abangnya masih tidak dapat melupakan teman baiknya itu.
“Cantik..” puji Safwan. Telefon itu dihulurkan kembali pada Fah. Fah memandang wajah abangnya yang jelas menunjukkan perubahan riak wajah.
“Salah tak Fah tunjuk kat abang?” Fah menyoal soalan ‘bodoh’. Dia kurang pasti apakah tindakannya benar atau tidak. Dia cuma mahu memberitahu abangnya bahawa Beel sudah bertudung. Itu saja.
Safwan melepas nafas. “Tak salah. Abang yang salah sebab sampai sekarang tak dapat lupakan dia. Dari kecil abang cuma pandang Beel seorang je. Siapa sangka sekarang dia dah jadi milik orang lain? Bahagia pulak tu..”
“Abang…” Fah memaut lengan Safwan.
Safwan menguntum senyum. “Abang ok. Kirim salam kat Beel ye..”
Fah mengangguk. Safwan memandang. Teringat pula dengan tunangan adiknya seorang ini. Apakah dia menunaikan janji sesuai perjanjian mereka. “Fah..”
“Ya?”
“Sejak majlis pertunangan Fah dengan Syakir hari tu, ada tak Fah jumpa Syakir?”
“Tak”.
“Ada tak dia datang U?”
“Tak ada”.
“Ada tak dia call atau mesej Fah?”
“Pun tak ada. Kenapa abang tanya?”
“Taklah. Abang dah pesan dengan Syakir, jangan datang jumpa Fah lagi lepas dah jadi tunangan, abang nak Fah fokus dengan belajar. Baguslah kalau dia boleh tunaikan janji dia..”
Fah mengangguk memahami. Memandang cincin tunang yang tersarung di jarinya. Semoga Syakir sentiasa berada di dalam perlindungan Allah S.W.T.

###############

Tangan mereka berpegangan melalui persisiran pantai. Sesekali Beel berlari-lari sambil kakinya memijak air laut. Sementara Haikal memerhati dengan senyuman. Nampaknya isteri kesayangannya benar-benar bahagia dia menghabiskan masa bersamanya.
“Awak..” Beel memanggil.
Haikal memandang Beel yang berada di dalam pautannya. “Ya sayang..”
“Rasa macam dah lama kita tak keluar macam ni kan?”
Haikal ketawa. “Tapi kan kalau fikir-fikir balik, mana pernah kita keluar macam ni..”
Beel ketawa terbahak-bahak. Benar, kerana hubungan mereka dahulu tidaklah sebaik sekarang. Kini Beel mengerti mengapa opah beria-ria memesan itu dan ini. Rupanya setelah menjadi seorang isteri, perubahan datang tanpa dipinta. Dan semuanya kerana dirinya sendiri telah punya rasa sayang pada Haikal.
“Cuti nanti saya nak bawa awak balik Kuwait. Awak ok?” Haikal menyoal sambil keduanya mengambil tempat.
Beel ikut duduk di atas pasir pantai. Haikal dipandang. “Kuwait?”
Haikal mengangguk. “Mama dah rindu sangat kat menantu tunggal dia ni..”
Beel ketawa geli hati. Anggukan diberikan buat suaminya. Dan pinggang Haikal dipaut erat. Haikal tersenyum dan mereka sama-sama melangkah masuk ke sebuah restoran untuk menjamah makan tengah hari.

##############

“Hai cik adik”.
Beel memandang lelaki asing yang tiba-tiba mengambil tempat di hadapannya. Dahi berkerut melihat lelaki itu. Memandang sekeliling restoran, lama pula Haikal ke tandas. Selalunya tidaklah terasa lama begini.
“Comel cik adik ni. Nama apa?” lelaki itu menyoal dengan senyuman.
“Cik adik tak boleh cakap ke? Abang cuma nak berkenalan je..”
Beel memandang wajah itu dengan wajah tidak selesa. Mengapa pula dia tiba-tiba diganggu begini? Nafas lega dilepaskan bila perasan Haikal sudah melangkah keluar dari tandas.
“Cik adik tak sudi berkenalan dengan abang?”
“Cik adik ni dah ada abang” Haikal bersuara dari belakang lelaki itu.
Beel tersenyum melihat lelaki itu yang tergesa-gesa bangun dari duduknya. “Minta maaf bang”.
Haikal membuat muka dan lelaki itu langsung beredar dari restoran. Beel ketawa kecil melihat wajah muram yang dipamerkan Haikal. “Awak..”
“Tak sukalah macam ni.” Haikal mengomel sendiri.
Beel ketawa lagi. Terasa seperti melihat sikap lalu dirinya sendiri. Merajuk tanpa sebab. “Kenapa?”
“Mestilah saya tak suka kalau ada lelaki lain kacau isteri saya. Saya ni kuat cemburu tahu tak?”
Beel senyum. “Tahu. Habis nak buat macam mana?”
Haikal melepas nafas. Dia memandang Beel yang masih lagi tersenyum. Apakah Beel tahu sikap Beel makin hari makin baik? Adakah dia tahu dirinya membuatkan Haikal makin bertambah sayang dari masa ke semasa?

##############

“Masya-Allah..”
“Kenapa?” Beel menyoal. Hairan mendengarkan perkataan pertama yang keluar dari mulut Hani saat melihatnya.
“Cantiknya.. Macam tak percaya ni Beel..”
Beel senyum. “Ye ke?”
Hani mengangguk. Memasuki kereta dan menatap wajah Beel sepuasnya. Membiarkan Kak Cha terus memandu menuju ke universiti.
“Kenapa asyik tenung je?” Beel menyoal, tidak selesa dengan pandangan Hani.
Hani senyum. “Kalau Reza nampak, mesti dia lagi teruja”.
Beel mengerut dahi. “Ke situ pula awak ni..”
“Betul. Awak cantik”.
“Terima kasih” Beel senyum kemudian ketawa mengekek. Hani ikut senyum bersamanya.
“Tapi kan Beel..”
“Ya?”
“Kenapa awak tiba-tiba pakai tudung?”
Pandangan mata Beel terpaku pada wajah Hani. Kenapa? Kerana dia dipinta oleh suami tercinta. Tapi pada Hani apa yang harus dia katakan?
“Beel..”
Beel senyum. “Rasa macam nak pakai, pakailah..”
Hani mengerut dahi. “Mesti ada kisah di sebaliknya kan?”
Beel memandang Kak Cha. Meminta tolong dari pemandu merangkap kakak angkatnya itu. Kak Cha hanya menguntum senyum.
“Kak Cha tahu?” Hani menyoal. Dia benar-benar ingin tahu mengapa Beel tiba-tiba bertudung?
“Ada orang suruh Cik Hani”.
Hani membuat mulut berbentuk O. “Siapa agaknya?”
Kak Cha ketawa kecil. Dan Beel mengalih pandangannya. Kak Cha memang sengaja mahu mengenakannya. Dan tahulah Hani bahawa Beel sudah punya seseorang di dalam hatinya.