DILARANG NIKAHI AKU – 87

Mereka bergegas ke pintu bila kedengaran bunyi tapak kaki. Sakinahlah yang paling hadapan. Dia benar-benar risau akan keadaan puteri dan cucunya. Doktor yang tadinya berada bersama Suraya muncul di luar.
“Doktor” serentak ketiganya memanggil.
Doktor itu tersenyum namun tiada riak gembira. “Puan Suraya telah selamat melahirkan seorang anak perempuan. Tahniah!”
Zamri dan Haikal tersenyum namun tidak bagi Sakinah. “Su macam mana doktor? Su macam mana?”
Doktor hanya memandang wajah Sakinah. Wajahnya jelas menyatakan kehampaan dan kekecewaan. Sakinah sudah mulai hilang kawalan. Tubuh doktor digoncang meminta jawapan.
“You, tenang sikit” Zamri cuba mengawal isterinya.
“Kami minta maaf. Dan tumpang bersedih atas kehilangan Puan Suraya. Kami dah cuba yang terbaik tapi nampaknya… Semuanya kuasa Allah”.
Sakinah menangis bagai anak kecil. Tidak percaya dengan kata-kata yang diucapkan doktor. Zamri di sisi memaut isteri seerat mungkin.
Haikal mengucapkan terima kasih kepada doktor. Suraya telah tiada, telah pulang ke rahmatullah. Tapi dia meninggalkan seorang anak perempuan. Pantasan saja pesanan Suraya ketika dia bersama Suraya tadi adalah ‘Jagakan anak saya, jagakan anak saya’. Rupanya Suraya sudah ada rasa.
“You..” Sakinah sudah longlai di dalam dakapan sang suami. Puteri kesayangannya telah tiada, meninggalkan mereka buat selamanya. Mata yang berpinar tiba-tiba menjadi gelap gelita.
“You, bangun!” Zamri menampar lembut pipi sang isteri.
“Mak long” Haikal mendekati. Namun Sakinah masih juga tidak sedar. Haikal melepas nafas. Dia juga punya satu masalah. Bagaimana dia mahu memberitahu perkara ini kepada Beel?

#############

Puan Sri Normah mencapai gambar Suraya bersama Beel sewaktu mereka belajar di sekolah menengah. Kedua wajah itu tersenyum mesra dan gembira.
Kini keduanya sudah punya hidup sendiri. Dua cucu perempuannya sudah dewasa dan sudah pun berkahwin. Tapi keduanya bersuamikan lelaki yang sama.
Puan Sri Normah tersenyum kecil. Tidak tahu apakah ia sebenarnya menggembirakan atau menyedihkan. Dua cucu perempuannya berkongsikan suami yang sama.
Beel sudah tidak tahu di mana berada. Tapi sekadar tahu Beel bahagia, sudah cukup buat Puan Sri Normah. Untungnya Beel bila dia dicintai suaminya sendiri.
Suraya pula…
Prang!!
Bunyi kaca pecah mengejutkan Puan Sri Normah. Tidak semena-mena frem gambar kaca di tangannya turut terlepas. Dan kacanya pecah.
Nafas yang tiba-tiba jadi tak tentu arah cuba ditenangkan. Nafas ditarik dan dilepas. Disedut dan dihembus berulang kali.
Dahinya berkerut melihat kaca pecah berkumpul pada wajah Suraya. Kaca dibersihkan dan Puan Sri Normah mengutip gambar itu di lantai.
“Puan sri?” Mak Jah tiba-tiba muncul di pintunya.
Puan Sri Normah tersenyum memandang wanita pertengahan umur yang telah lama menjadi pembantu rumahnya itu.
Mak Jah mengerut dahi melihat kaca pecah berkumpul di suatu sudut. “Puan sri tak apa-apa?”
Puan Sri Normah tersenyum lagi. “Bunyi apa tadi?”
Nafas dilepas. “Irah cuai sangat. Pegang pinggan kaca letak sebelah dapur. Panas kaca tu, terlepaslah dari tangan dia”.
Puan Sri Normah menguntum senyum lagi. Cuba menenangkan perasaan yang tiba-tiba jadi tak enak. Mak Jah duduk di sisi Puan Sri Normah namun lebih rendah dari kedudukan Puan Sri Normah.
“Kenapa ni?”
“Tadi Encik Zamri telefon. Katanya Cik Su dah selamat melahirkan. Anak perempuan berat 2.9 kilogram”.
“Alhamdulillah..” Puan Sri Normah tersenyum gembira. Jika anaknya Zamri sudah bercucu, ertinya dia sudah bercicit. Namun ada sesuatu yang disembunyikan pembantu rumahnya itu. “Ada apa-apa yang Jah nak bagitahu?”
Nafas ditarik sedalamnya. “Puan sri, Cik Su dah tak de”.
Puan Sri Normah melepas nafas perlahan dan mengucap Innalillah. Mata dipejam buat beberapa ketika. Mujur dia sudah tua, sudah mengalami banyak kehilangan. Nafas ditarik sedalam mungkin.
“Boleh Mak Jah telefonkan Haikal untuk saya?”

#############

Beel tersenyum memandang Hani yang sedang menunggu di meja makan. Suasana di kantin juga tidaklah terlalu sibuk membuatkan Beel dan Hani bebas duduk di mana saja.
Sudu dan garfu dicapai sambil tangan kirinya membawa semangkuk bihun sup. Entah apa yang tidak kena, dia tidak perasan longkang kecil yang memisahkan dapur dan ruang makan yang dilalui saban hari.
Mangkuk yang terisi bihun sup tercampak tidak jauh darinya dan isinya terkeluar dari mangkuk. Dahi Beel berkerut seketika. Apa yang tidak kena dengan dirinya?
“Kau ok?”
Beel mengangkat wajah. Melihat Reza yang kelam-kabut berlari ke arahnya. Entah dari mana Reza muncul pun dia tidak tahu.
Reza membantu Beel yang tertiarap untuk berdiri. “Kau ok tak ni?” Reza menyoal.
Beel memandang Reza sesaat dua. Menyedari dia di dalam pelukan lelaki itu, langsung tubuh Reza ditolak.
“Beel!” Hani berlari ke arahnya.
Beel tersenyum nipis memandang Hani. Hani mencapai tisu dan membersihkan wajah Beel yang sedikit kotor. Memandang Reza yang jelasnya merisaui Beel. Kemudian memandang Beel yang wajahnya jelas menunjukkan kerisauan.
Ada apa-apakah antara Beel dan Reza? “Jom” tangan Beel ditarik menuju ke mejanya.
Beel didudukkan dan Hani mengambil semangkuk bihun sup yang baru buat Beel. Reza yang masih memandang dibiarkan dengan dunianya.
Beel memandang bihun sup yang diletakkan Hani di hadapannya. Bagaimana keadaan Kak Sunya sekarang? Sedari pagi tadi tiada sebarang berita dari Haikal. Mahu bertanya dia bimbang mengganggu kesibukan di sana.
“Kenapa dengan awak ni?” Hani menyoal.
Beel hanya menguntum senyum. Kepala digeleng berkali-kali membuktikan dia tidak kenapa-napa. Hani mengerut dahi. “Tapi saya tak rasa macam tu. Awak macam tak fokus.. Dari tadi saya perasan”.
Beel melepas nafas. “Kakak saya masuk hospital”.
Hani membulatkan mata. “Awak ada kakak?”
Anggukan diberikan. Malas dia mahu bercerita panjang lebar. Sekarang yang dia fikirkan hanyalah bagaimana keadaan Kak Sunya?

##############

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Opah ni..”
Nafas Haikal dilepas perlahan. “Ya opah”.
“Macam mana keadaan kat hospital?”
“Mak long pengsan, masih tak sedar dari tadi. Pak long tengah bincang dengan doktor. Nanti ambulans hantarkan jenazah Su ke rumah, pak long kata nak mandikan kat rumah” cerita Haikal ringkas.
“Baguslah tu. Opah tunggu. Haikal ok?”
Haikal diam seketika. “Ok, insyaAllah.”
“Opah tahu Haikal tak terasa sangat kehilangan Su kan?”
Haikal diam lagi. Memang opah adalah opahnya, sentiasa tahu apa yang berada di fikirannya. Hal Suraya tidaklah terlalu mengganggu fikirannya, namun..
“Haikal terfikir macam mana nak bagitahu Beel kan?”
“Opah pun fikir benda yang sama?”
Nafas ditarik sedalamnya. “Jangan bagitahu Beel. Opah minta ni je, jangan bagitahu Beel tentang Su. Cuma bagitahu yang Su dah selamat bersalin. Yang lain, opah minta Haikal rahsiakan..”
“Tapi opah..” Haikal kurang bersetuju dengan permintaan Puan Sri Normah.
“Haikal pun tahu apa yang jadi kalau Beel tahu kan?”
Haikal melepas nafas. Dia mungkin tidak dapat meneka apa yang akan Beel lakukan, tapi opah pastilah lebih tahu darinya. Bukankah opah yang menjaga dan membesarkan isteri kesayangannya itu?

################

Mata dibuka perlahan. Melihat keadaan sekeliling. Memandang suami yang berada di sisi. “You dah sedar?”
Sakinah mengangguk. “I kat mana?”
“Hospital. Tadi you pengsan” Zamri memaut jemari sang isteri.
Sakinah melepas nafas. Cuba mengingati kembali peristiwa yang berlaku. Nafas ditarik sedalam mungkin. Iya, dia sudah ingat. Doktor memaklumkan bahawa Suraya puteri kesayangannya tidak dapat diselamatkan. Namun telah meninggalkan seorang bayi perempuan buat mereka.
“You..” Zamri memanggil, hairan melihat isterinya lama berdiam.
“I nak tengok anak kita”.
Zamri memandang sang isteri. Lama Sakinah memandangnya dan air matanya mula berlinang setitis demi setitis. Dan akhirnya air matanya ‘tumpah’ juga ditambah dengan esakan kuat yang dipujuk suaminya.

###############

Dia memegang kaca lut sinar yang menjadi penghalang antara dia dan bayi kecil itu. Wajah bayi yang sedang lena tidur itu dipandang lama.
Doktor mengesahkan bahawa bayi perempuan yang dilahirkan Suraya itu sihat wal afiat. Tidak ada sebarang masalah yang menjadikan bayi itu tidak sihat. Namun Suraya kehilangan terlalu banyak darah membuatkan dia tidak dapat diselamatkan.
Nafas ditarik sedalam mungkin. Walaupun pada hakikatnya itu bukan anaknya, tapi seperti anaknyalah juga. Dia akan berbapakan Haikal dan beribukan Beel. Haikal tersenyum nipis bila membayangkan bagaimana jika puteri itu tumbuh membesar.
Bayi itu sudah dia azankan tadi. Anak Suraya, anaknya dan Beel. Namun Haikal masih juga bimbang. Apakah keputusan opah merahsiakan pemergian Suraya adalah perkara terbaik buat isterinya?
Hidupnya akan lebih sibuk selepas ini. Dia perlu menguruskan anak itu. Menjaga dan mendidiknya penuh kasih sayang. Dia berjanji pada dirinya sendiri akan menjaga anak itu sesuai permintaan terakhir Suraya.
Telefon bimbitnya diambil dan dia menghubungi Beel.
“Assalamualaikum. Awak kenapa baru telefon saya? Macam mana dengan Kak Su? Selamat tak? Baby dia perempuan ke lelaki? Selamat ke tak? Sihat ke tak? Habis opah macam mana? Seronok tak dapat cicit? Awak? Awak?” Beel memberi salam dan langsung memberi soalan yang tak putus.
“Ya. Waalaikumussalam sayang..”
Beel ketawa kecil mendengar panggilan yang digunakan Haikal. “Macam mana?”
“Awak dah dapat anak saudara. Perempuan, comel macam Kak Su kesayangan awak tu…”
Beel melepas nafas. Teramat lega dan gembira mendengar kata-kata Haikal. “Alhamdulillah.. Kak Su macam mana? Saya tak tahulah kenapa.. Tapi tiba-tiba rasa tak sedap hati..”
Haikal diam seketika. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada isterinya itu. “Awak nak tengok baby?”
Beel teruja. “Awak ada dekat dengan baby ke?”
“Ya. Kita buat video call?”
“Ok. Terujanya nak tengok anak saudara saya..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s