DILARANG NIKAHI AKU – 88

Melangkah masuk ke bilik itu saja sudah membuatkan lutut Sakinah lemah. Zamri di sisi setia memaut menguatkan isteri. Memimpin Sakinah hingga ke katil yang menempatkan Suraya. Jenazah arwah Suraya.
Selimut putih yang menutupi wajah Suraya ditarik Sakinah. Perlahan dia maju untuk melihat lebih dekat. Pipi Suraya yang pucat lesi diusap.
“Sayang jangan risau. Mama akan jaga cucu mama” ucapnya perlahan.
Zamri memaut bahu sang isteri. “You..”
“I ok” Sakinah menguntum senyum. Menguatkan tubuh badan agar mampu berdiri. Mungkin Suraya telah tiada tetapi bukankah Suraya telah meninggalkan penggantinya?

#############

Haikal meneliti sekeliling keadaan bilik itu. Bilik itu sudah tiada penghuninya. Apakah dinding-dinding di situ tahu bahawa penghuni bilik ini sudah meninggal dunia?
Haikal membuka almari. Mengambil baju-baju yang adan untuk dimasukkan ke dalam beg. Dia ditinggalkan pak long dan mak long di hospital untuk mengemas dan membawa pulang barang Suraya.
Pak long dan mak long sudah pulang bersama ambulans yang membawa jenazah Suraya. Laci di sebelah katil dibuka Haikal.
‘Surat?’ Dahi Haikal berkerut melihat dua pucuk surat yang masih berada di dalam sampul lalu keduanya diambil. Baru Haikal perasan sepucuk tertulis namanya dan sepucuk lagi tertulis nama Beel.
Nafas dilepas dan Haikal duduk di atas katil. Surat itu dibuka dan dibaca.

‘Haikal..
Mula-mula sekali saya nak minta maaf. Minta maaf sangat-sangat. Minta maaf sebab banyak susahkan awak. Minta maaf sebab tak dapat jadi isteri yang baik.
Saya dah tahu dari Kak Nia yang awak selalu tanya fasal saya. Terima kasih sebab risaukan saya. Saya tahu awak sengaja tak tunjuk depan saya sebab tak nak saya salah sangka. Tapi tetap terima kasih sebab jagakan saya.
Waktu awak baca surat ni, mungkin saya dah tak de kat dunia ni. Saya minta sangat awak jagakan anak saya. Anak saya.. Awak tolong jaga elok-elok. Namakan dia ‘Suria Annisa’.
Saya ada satu lagi permintaan sebagai membayar balik apa yang saya dah rampas dari Beel. Boleh tak awak namakan Beel sebagai ibu dia? Letak nama Beel dalam sijil lahir dia. Dan awak jangan sesekali bagitahu dia yang saya ibu kandung dia.
Awak anggap ni permintaan terakhir saya boleh? Saya tahu saya dah banyak buat awak sedih sebab Beel sedih. Sekarang saya dah nampak betapa awak sayangkan Beel. Sekarang baru saya faham, soal hati dan perasaan tu macam mana.
Sebelum kita kahwin, saya tahu awak sayangkan Beel tapi saya buatkan perkahwinan ni terjadi dengan harapan awak akan berpaling pada saya. Rupanya sangkaan saya meleset sama sekali.
Saya pernah tertanya-tanya apa lebihnya Beel? Kenapa semua orang lebih sayang dia dari saya? Kenapa opah cuma kisahkan Beel? Kenapa papa layan Beel lebih dari saya sedangkan saya anak kandung dia?
Sekarang saya tahu. Lebihnya Beel sebab dia tak pernah rasa dunia ni tak adil. Apa yang datang dia sambut dan hadapi dengan baik dan senyuman. Saya rasa itu juga yang menyebabkan awak jatuh cinta dengan dia kan?
Awak tolong ajar Suria panggil Beel ibu ye? Tolong buatkan dia jadi anak yang baik untuk awak dan Beel. Saya minta maaf sebab buatkan awak jadi pak sanggup masa kita kahwin. Sekarang, awak kena jaga anak ni pula.
Haikal.. Malam tu, saya bukan lari dari rumah. Malam tu.. Saya cuma keluar rumah untuk ambil udara malam. Pergi tempat yang selalu saya pergi untuk tenangkan diri. Saya terlalu gembira sebab akan menjadi isteri awak esoknya.
Tapi…’

Haikal melepas nafas melihat tulisan yang kelihatannya kabur-kabur di kawasan itu. Barangkali Suraya mula menitiskan air mata di kala ini. Namun Haikal teruskan membaca. Dia mahu tahu apakah sejarah di balik anak yang dikandung Suraya.

‘Nasib tak menyebelahi saya. Saya kena rogol.. Oleh seorang lelaki bajingan yang dah rosakkan hidup saya sepenuhnya. Saya dah cuba untuk lari tapi tenaga saya tak mampu nak lawan dia.
Saya menjerit tapi tiada siapa dengar. Saya melawan tapi dia lagi kuat. Saya minta maaf, Haikal. Buatkan awak dan Beel berantakan sebab perempuan kotor macam saya. Lepas tu saya tak tahu apa yang terjadi sebab saya tak sedarkan diri.
Bila buka mata, saya dah ada kat hospital. Awak tahukan saya selalu mimpi ngeri? Setiap malam saya mimpikan dia datang. Saya mimpi dan mimpi lagi. Mimpi yang meletihkan dan memenatkan.
Awak rasa apa perasaan saya bila saya sembuh saya dapat tahu awak dah kahwin dengan Beel? Awak tahu tak betapa kecewanya saya bila awak nikahi Beel? Tak cukup dengan tu, saya nampak awak dan Beel dah mula sayang antara satu sama lain.
Saya minta maaf lagi Haikal. Saya dah tahu keputusan saya untuk rampas awak dari Beel adalah keputusan terburuk yang pernah saya buat dalam hidup. Saya juga tak sangka awak akan lindungi Beel hingga saat akhir.
Ya saya mengaku. Saya dah tahu Beel akan berundur kalau saya nak dapatkan awak. Sebab saya kenal dia. Tapi yang saya tak tahu adalah awak takkan pernah berundur untuk lindungi Beel. Akhirnya apa yang saya rancang makan diri saya sendiri.
Anak ni tak bersalah Haikal. Saya minta maaf sebab tak boleh terima kenyataan. Saya minta maaf sebab rosakkan hubungan awak dengan Beel. Saya minta maaf sebab buatkan Beel terluka. Saya minta maaf lagi sebab minta awak jagakan anak saya.
Haikal.. Awak adalah bapa Suria. Tolong jaga dia. Saya pasti awak dengan Beel akan beri dia yang terbaik. Terima kasih untuk semuanya. Lelaki tu.. Kalau awak nak tahu, dia dah meninggal dunia.
Dia penjenayah yang dikehendaki pihak polis. Dia ditembak waktu pergelutan dengan seorang anggota polis. Dan akhirnya, dia dah tak de lagi dalam dunia. Tapi saya tak pernah berniat untuk jadikan dia bapa Suria. Dia tak layak.
Saya sayang awak Haikal. Sayang, memang sayang. Tapi sayang juga sebab saya tak sedar rupanya rasa nak menang terhadap Beel mengatasi rasa sayang tu. Membuatkan saya nak buktikan pada Beel yang saya akan rampas awak dari dia.
Saya tahu Beel tak pernah anggap saya sebagai pesaing tapi saya sebaliknya. Bagi Beel, sayalah kakak dan sayalah kakak kesayangannya. Tapi Beel pada saya adalah perampas segalanya. Bermula dari pak su, opah, papa dan sekarang awak.
Beel tak pernah anggap saya musuh. Saya tahu. Beel sayang sangat-sangat dengan saya. Saya minta maaf sebab tak cukup sayang pada dia membuatkan hidup kita bertiga kacau-bilau macam ni.
Saya minta maaf untuk semuanya. Dan terima kasih untuk segalanya. Saya maafkan awak untuk kesalahan awak pada saya sebab saya pun nak awak maafkan saya atas kesalahan saya pada awak yang lebih berganda dari salah awak pada saya.
Tolong jagakan Suria dan buatkan dia sayangkan Beel. Saya dah cakap hal ni pada mama dan papa. Walaupun mama tak setuju tapi saya tetap nak buat. Sebab ini je cara yang ada untuk tebus semuanya.
Jaga diri, jaga Beel dan jaga anak awak dan Beel. Minta maaf lagi dan terima kasih lagi. Untuk semuanya dan untuk segalanya.

Suria Hanisah Zamri’

##############

“Apa ni?”
“Hadiah?”
“Kau ni gila eh? Aku dah cakap aku tak suka kau. Bahasa melayu tak faham ke?”
“Beel” Hani di sebelah menarik-narik lengan bajunya. Beel memandang Hani. Hani membuat muka sambil melihat sekeliling.
Beel diam seketika. Baru dia perasan seisi bilik komputer memandangnya. Mana tidaknya, suaranya memarahi Reza kecoh se’dunia’. Reza dipandang kembali. “Kalau kau bagi aku hadiah lagi, tengoklah apa aku buat!”
“Jom Hani” tangan Hani ditarik keluar dari bilik komputer.
Tiba di luar, Hani ketawa kecil. Beel memandang. “Kenapa awak gelak?”
“Kelakar tengok awak marah. Sejak bila Reza mula pikat awak?” Hani menyoal sambil matanya mula melilau melihat hadapan.
Beel melepas nafas sambil keduanya membuka langkah. “Sejak kita pergi gotong-royong kat rumah awak hari tu.”
Hani mengangguk, mengingati. “Kenapa tiba-tiba?”
Beel mengangkat bahu. “Entah. Saya rimaslah”.
Hani ketawa lagi. “Kenapa rimas? Kan awak belum kenal dengan dia, mungkin dia lain dari Qamar”.
Beel memandang Hani. Langkahnya terhenti. “Cakap fasal Qamar, saya rasa dia dah lama tak kacau awak kan?”
Hani mengangguk dengan senyuman. “Betul. Sebab tu lah hidup saya aman je..”
“Awak tak rasa apa-apa?”
“Rasa”.
“Rasa apa?”
“Rasa bebas”.
Beel menolak tubuh Hani perlahan. “Maksud saya, rasa sedih ke, rasa lain ke, rasa tak selesa ke, rindu.. Manalah tahu kan?”
“Awak fikir kes saya ni kes bila dah jauh baru terasa ke?”
“Mungkin” Beel mencebik. “Selalu macam tu kan, dalam drama-drama. Bila dekat rimas tak suka, dah jauh baru rindu-rindu”.
Hani ketawa kecil. “Saya tak macam tu. Saya suka bila dia tak ganggu saya lagi. Saya memang betul-betul bencikan dia. Bukan sekadar ucapan kat mulut je..”
Beel mengangkat keningnya. “Ok”.
Hani memandang Beel sekilas dan mereka kembali melangkah ke kantin. Mungkin bagi Beel, dia hanya bermain mengatakan kebenciannya pada Qamar. Tapi itulah yang benar-benar dia rasakan.
Kalau saja Qamar menuruti permintaannya untuk memutuskan pertunangan mereka…

##############

Syakir memandang cincin yang dibelinya di Scotland tempoh hari. Nafas dilepas perlahan. Cincin perak bertatah mutiara kecil itu disarungkan ke jari kelingkingnya. “Fah..”
“Hoi!”
Syakir menahan nafas yang terkejut akibat disergah. Haikal muncul di hadapannya entah dari mana. Selalunya dia yang pergi ke pejabat Haikal, hari ini mengapa pula Haikal yang datang ke pejabatnya?
“Kenapa kau?”
Haikal ketawa kecil. “Kau berangan ke?” Haikal menjongket keningnya.
“Banyaklah!” Syakir membaling sebuah majalah yang berada di hadapannya.
Haikal terpandangkan cincin di tangan Syakir. “Kau tak jumpa Fah lagi?”
Syakir menggeleng dan keluhan dilepaskan. “Kau rasa?”
“Takut ke?”
Syakir memuncungkan bibir. “Gila tak takut. Kalau dibuatnya aku kena reject kaw-kaw dengan Wan, adoi..”
Haikal ketawa kecil. “Belum cuba belum tahu..!”
Syakir mendiamkan diri. Haikal memandang keadaan sahabatnya yang separuh mati itu. “Kau tak ingat ke?”
Syakir memandang. “Apa?”
“Kita ada meeting kat Putrajaya ni”.
Langsung mata Syakir membulat. “Serius, lupa gila! Sorry bos!”
“Berangan je! Relaxlah, kan Beel dah cakapp Fah mesti suka cincin tu..” ujar Haikal sambil dia mengangkat punggungnya dari kerusi.
Syakir ketawa. Buat-buat ketawa. Memanglah cincin itu disukai Fah, tapi bukankah Haikal yang memberitahunya bahawa segala keputusan hidup Fah diputuskan oleh Safwan..?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s