DILARANG NIKAHI AKU – 89

Sayu dia melepas nafas menyelesaikan bacaan yaa siin. Sekilas Fah memandang Sakinah yang memangku bayi perempuan yang merupakan anak Suraya.
“Mak long ok?”
Sakinah memandang. Dan dia tersenyum bila Fah mengambil Suria dari pangkuannya. “Terima kasih”.
Fah menguntum senyum. Suria dicium lama. Seketika air matanya menitis memikirkan keadaan Suraya. Buat beberapa minit wajah mulus suci itu ditenungnya.
Majlis pengebumian berakhir kira-kira jam 11.30 pagi. Sepanjang di tanah perkuburan Suria tetap berada di dalam pangkuan Fah yang setia berada di sisi Puan Sri Normah.
“Fah..” Puan Sri Normah memanggil bila orang ramai mula beransur pergi.
“Ya?”
Puan Sri Normah menguntum senyum di hadapan kubur Suraya. Dan pandangannya dialih pada Fah. “Opah nak minta tolong boleh?”
Anggukan diberikan buat opah kesayangan Beel yang bagaikan opahnya juga. Puan Sri Normah mengusap Suria di dalam dakapan Fah. “Opah nak minta Fah rahsiakan hal ni dari pengetahuan Beel..”
Suria yang berada di dalam dakapan Fah hampir saja terlepas. Namun didakap lebih erat agar Suria tidak kenapa-napa. “Rahsiakan dari Beel?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Rahsiakan hal pemergian Suraya dari Beel”.
“Tapi opah..” Fah berdolak dalih. Dia kurang setuju dengan permintaan Puan Sri Normah. Pantasan saja dia tidak melihat Beel sedari kelmarin. Rupanya tiada yang memberitahu teman baiknya itu bahawa kakak kesayangannya telah pun meninggal dunia.
“Fah tahu kan macam mana sikap Beel?”
Fah mengangguk kecil. Dia mula memahami. Jika Beel tahu Suraya telah meninggal dunia, pasti saja temannya itu pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Dan mengabaikan semua pelajarannya. Dia akan bimbang soal Suria pula. Silap hari bulan, Beel sudah tidak mahu belajar.
“Fah dah faham kan?”
Dia mengangguk lagi. “Fah janji Fah takkan bagitahu Beel”.
“Opah tahu Fah tak pandai mungkir janji. Kalau boleh, bila jumpa Beel buat macam biasa. Jangan bagi dia syak apa-apa..”
“Baik opah” Fah menguntum senyum. Sakinah datang bersama Zamri dan mengambil Suria dari dakapan Fah. Dan Zamri memimpin Puan Sri Normah menuju ke kereta yang sudah ditunggu Pak Lan.
Safwan mendekati adiknya. “Jom balik”.
Fah mengangguk dan memaut lengan abangnya. Mereka mula melangkah keluar dari tanah perkuburan. Hampir tiba di pintu pagar, langkah keduanya mati bila bertembung dengan Haikal dan Syakir.
Safwan memandang Syakir dan Haikal silih berganti. “Takziah” wajah Haikal dipandang.
Haikal mengangguk. Dan senyum sebaris diberikan. Syakir di sebelahnya hanya menumpukan mata pada Fah. Namun gadis itu masih sama. Mengelak pandangan mata darinya. Syakir melepas nafas dalam diam.
“Fah..” Haikal memanggil.
“Ya?” Fah memandang.
Safwan memandang Fah dan Haikal. “Fah bincanglah dengan Haikal. Abang tunggu kat kereta”.
Fah menguntum senyum. Nampaknya Safwan tahu mereka berdua mahu berbicara soal Beel. Safwan mula melangkah pergi. Melihatkan itu, Syakir berlari mengejarnya.
Safwan yang baru membuka pintu kereta memandang Syakir yang menjerit menyebut namanya. Pintu kereta ditutup kembali dan dia memandang pemuda itu.
“Kau tak suka aku?” Syakir langsung menyoal soalan yang saban hari menjadi tanda tanya di dalam hidup sehari-harinya.
Safwan senyum. “Atas sebab apa aku kena suka kau dan atas sebab apa aku tak suka kau?”
Syakir melepas nafas mendengar jawapan dari Safwan yang berbentuk soalan. “Fah mengelak dari aku sebab kau,kan?”
Safwan senyum lagi. “Aku tak tahu apa-apa yang berlaku antara kau dengan adik aku. Yang aku tahu, adik aku cakap dia tak pernah ada hubungan apa-apa dengan kau”.
“Memang kita orang tak de hubungan apa-apa lagi. Aku hormatkan Fah. Aku tahu yang Fah tak suka kehidupan bercinta sebelum kahwin”.
“Terima kasih”.
“Aku nak jadikan Fah suri hidup aku”.
“Jadi?” Safwan memandang pemuda itu. Dia bukannya tidak sukakan Syakir cuma dia kurang gemar dengan cara pemuda itu.
“Aku nak jadikan Fah isteri aku yang sah”.
“Terpulang pada kau apa kau nak buat. Asalkan kau berhenti ganggu adik aku” dan Safwan terus masuk ke dalam kereta.
Syakir melepas nafas. Dia telah menyuarakan hasrat hatinya tapi mengapa beban di bahunya terasa semakin bertambah? Bukannya makin berkurang?

##############

“Abang Haikal ok?”
Haikal senyum. “Abang Haikal rasa kita risaukan benda yang sama. Betul tak?”
Fah tersenyum nipis. “Opah dah cakap dengan Abang Haikal?”
Haikal mengangguk. “Fah rasa permintaan opah macam mana?”
“Opah kenal Beel. Fah pun kenal Beel. Mungkin Abang Haikal pun dah boleh tahu perangai Beel macam mana. Jadi Fah rasa, permintaan opah tu logiklah sangat. Abang rasa macam tu tak?”
Haikal melepas nafas. “Abang Haikal tahu. Tapi Abang Haikal tak tahu boleh tak nak berlagak biasa depan Beel. Fah pun tahu kan yang Beel sayang sangat dengan arwah Su”.
Fah menguntum senyum manisnya. “Sebab tulah Abang Haikal lagi kena rahsiakan..”
Haikal tersenyum. Beruntungnya Beel punya teman baik seperti Fah. Beruntung lagi Syakir kerana punya ‘bakal isteri’ seperti Fah. Haikal senyum sendiri.
“Bila Abang Haikal nak ke Penang lagi?”
Haikal melepas nafas. “Tulah. Buat masa ni, Abang Haikal nak selesaikan urusan Suria dulu.” Dan Haikal memandang Fah yang setia mendengar. “Abang Haikal ada benda nak bagitahu Fah ni..”
Kening Fah terjongket. Ingin tahu apa yang mahu Haikal katakan padanya? Mengapa kelihatan serba-salah?
“Arwah Su minta namakan Beel sebagai ibu kandung Suria”.
“Apa?”
“Fah tak salah dengar. Arwah Su minta Abang Haikal namakan Beel sebagai ibu kandung Suria”.
“Namakan Beel sebagai ibu kandung Suria? Dalam sijil lahir Suria?”
Haikal ketawa kecil mendengar soalan kedua Fah. “Ya Fah. Dalam sijil lahir dan semua dokumen yang berkaitan. Yang paling penting, jangan bagitahu Suria yang Beel bukan mak kandung dia. Kalau boleh, biar Suria tak tahu arwah Su ibu kandung dia sampai bila-bila..”
Fah terdiam. Matanya tidak berkedip memandang Haikal. Biar benar apa yang Haikal katakan? Tapi Fah tahu Abang Haikal sudah cukup dewasa untuk bermain-main soal ini. Tapi… “Betul ke?” Fah tidak dapat menahan rasa sangsinya.
“Betul Fah. Fah tak percaya Abang Haikal?”
“Bukan tak percaya Abang Haikal. Tak percaya arwah Kak Su buat permintaan macam tu”.
Haikal melepas nafas. Memang sukar dipercayai tetapi itulah hakikatnya. Lagipun menurut surat yang ditulis Suraya, itulah yang dapat dia lakukan untuk menebus semua kesalahannya pada adik sepupunya itu.
“Tapi Mak Cik Sakinah setuju ke?” Fah tiba-tiba terfikir akan mak long Beel. Bukankah dia sangat membenci Beel? Sedari kecil Fah hidup bersama Beel, jadi dia dapat mengagak apa respon yang diberikan wanita itu tatkala Suraya membuat permintaan sebegini.
Haikal senyum. Benarlah Fah memang kawan baik dan sahabat karib isterinya kerana dia mengetahui semua hal berkaitan Beel. “Fah rasa?”
Fah diam. Dalam fikirannya, pastilah Mak Cik Sakinah tidak setuju. Tapi jika Mak Cik Sakinah tidak setuju, mustahillah Abang Haikal memaklumkan hal itu padanya.
“Opah dengan pak long ok je.. Awal-awal mak long ada juga tak puas hati. Tapi dah lama tu, dia terima je. Lagi pun ni permintaan terakhir arwah Su”.
Fah mengangguk. Jadi kiranya Beel memiliki anak ‘segera’ atau ‘anak instant’ bukannya anak saudara. Beel oh Beel.. “Terima kasih sebab bagitahu”.
“Opah kata Fah boleh dipercayai. Fah takkan bagitahu Beel kan?”
Fah ketawa kecil. “Insya-Allah..”
“Bila opah kata Fah boleh dipercayai, Abang Haikal lega sikit. Tak de lah nak simpan semua seorang. Ada tukang kongsi.. Kan?”
Fah mengangguk kecil. “Habis tu Suria siapa jaga. Abang Haikal kerja, takkan Mak Cik Sakinah? Mak Jah dengan Kak Irah dah sibuk kat villa tu. Ke Abang Haikal nak upah babysitter baru?”
Haikal menggeleng. “Taklah. Putih nak balik lagi dua tiga hari”.
“Kak Putih?”
Haikal mengangguk dan Fah tersenyum. Putih yang merupakan anak tunggal Pak Lan dan Mak Jah. Putih yang merupakan kakak angkatnya dan Beel. Putih yang sememangnya membesar bersama-sama mereka.
Putih menyambung pelajarannya di Jepun dibiayai sepenuhnya oleh opah. Fah tahu hal itu. Nampaknya Putih sudah habis belajar. Tapi mengapa Putih tidak memberitahunya?
“Fah tak tahu Putih nak balik? Opah kata Putih rapat dengan Fah dan Beel?”
“Memang pun. Agaknya Kak Putih nak buat kejutan. Tapi Abang Haikal dah pecahkan rahsia dulu..”
Haikal ketawa kecil. “Kalau ada masa, Fah bolehlah datang rumah tengok Suria. Boleh tidur dengan Suria kalau Fah nak?”
“Fah boleh bawa Suria balik rumah?”
Haikal mengangguk. Pastilah boleh, Suria dikira anak saudara Fah juga. “Fah pergilah. Dah lama Wan tunggu dalam kereta tu. Terima kasih sebab datang”.
Fah mengangguk. “Nanti Fah datang tengok-tengok Suria..” dan gadis kecil molek itu berlari anak menuju ke kereta abangnya. Haikal tersenyum melihat tingkah laku Fah. Semoga semuanya berjalan lancar selepas ini.

##############

Hani tersenyum melihat perlawanan hoki yang sedang berlangsung di stadium. Walaupun dia hanya dapat melihat dari tempat duduk penonton, dia dapat merasa betapa gembiranya jika dapat memasukkan bola hoki ke dalam golnya.
“Awak suka hoki?”
Hani ketawa kecil memandang Beel yang membawakan bertih jagung buatnya. “Kenapa awak cakap macam tu?”
“Jarang tengok awak minat sukan-sukan ni. Tapi tiba-tiba awak ajak saya tengok game hoki, terkejutlah sikit”.
Hani tersenyum. Ya, dia sukakan hoki. Bukan sekadar suka malah dia pernah menjadi wakil sekolah, wakil daerah dan wakil negeri. Hampir saja dapat menjadi wakil negara jika bukan kerana…
“Kenapa buat muka macam tu?” Beel menyoal, hairan melihat riak wajah Hani yang tiba-tiba berubah sedih.
Hani kembali tersenyum. “Best game ni kan?”
Beel ketawa kecil. Dia langsung tidak tahu apa-apa tentang hoki. Jika bukan Hani yang mengajaknya datang, mustahillah dia akan menonton perlawanan sebegini. Haikal juga ketawa tika dia memaklumkan dia di stadium menonton perlawanan hoki sewaktu Haikal menghubunginya tadi.
“Kalau suka, kenapa awak tak main?” Beel menyoal, tiba-tiba ingin tahu.
“Suka tengok je..” balas Hani ringkas. Beel dipandang sekilas dan dia kembali menumpukan perhatian pada perlawanan yang sedang berlangsung. Beel melepas nafas. Dia hanya menemani Hani saja. Apa yang sedang berlaku di padang, dia sendiri tidak mengerti. Langsung tidak memahami.

#############

“Sekejap ye Kak Cha” Beel memandang Kak Cha di tempat pemandu dan mengikut Hani turun dari kereta. Memandangkan hari ini hampir cuti minggu, Hani tidak mahu pulang ke rumah sewanya sebaliknya meminta untuk dihantar ke ‘rumah’ uminya.
Hani memandang Beel dan Beel memandang Hani bila keduanya mendapati Jia menunggu mereka di luar pagar. Hani berlari anak menuju pada Jia. “Kenapa ni?”
Jia diam seketika. “Kak Hani..”
“Kenapa?” Beel muncul di sebelah Hani.
Jia melepas nafas. Tubuh Hani dipeluk erat. Hani mengerut dahi sendiri. Kemudian Beel dipandang dengan senyuman. “Jia penat sangat ni. Tak pelah, awak balik dulu. Biar saya bawa dia tidur”.
“Betul?” Beel menyoal, kurang yakin dengan kata-kata Hani.
Hani mengangguk dan Beel menguntum senyum. Langsung dia kembali ke keretanya. Dan Hani melambai pada kereta yang sudah bergerak.
Jia ditolak perlahan dari pelukannya. “Kenapa ni?”
Jia diam sebentar. Wajah Hani dipandang dan dia mula membuka suara. “Tadi Abang Qamar datang”.
Hani mengerutkan dahi. Di universiti Qamar sudah lama tidak mengganggunya. Tapi mengapa pula dia ke rumah? “Qamar datang? Dia jumpa umi ke?”
Jia menggeleng. “Abang Qamar tak cari umi. Dia cari Jia”.
Hani melepas nafas. “Kenapa dia cari Jia?”
“Dia tanya fasal hari tu..” ucap Jia lambat-lambat. Hani melepas nafas lagi. Teringat pergaduhan Jia dan Qamar tempoh hari. Jika bukan dia yang menutup mulut Jia, alamatnya rahsia itu sudah diketahui semua.
Qamar datang berjumpa Jia untuk menanyakan hal itu bererti dia masih belum melupakan peristiwa itu. Bererti Qamar masih berfikir pasti ada sesuatu yang dirahsiakan Fah darinya.
Mujur Qamar tidak akan bertanya pada umi. Iyalah, Qamar begitu menjaga sikap dan tingkah laku di hadapan umi. Mustahillah dia akan menyoal umi. “Habis Jia ada cerita apa-apa?
“Jia tak cakap apa-apa. Jia dah janji dengan Kak Hani tak bagitahu sesiapa..”
Hani menguntum senyum lebar. “Besar dah adik Kak Hani seorang ni..”
“Kak Hani tak nak bagitahu Abang Qamar ke? Mana tahu nanti dia berhenti kacau Kak Hani?” Jia menyoal sambil keduanya melangkah masuk ke dalam.
Hani menggeleng. Untuk apa dia memberitahu Qamar? Biarlah hal itu menjadi rahsia antara dia dan Jia. Jika Qamar tahu, silap hari bulan bukannya dia menjauhi Hani. Tapi makin mengganggu menyatakan rasa bersalahnya. “Umi tahu tak Abang Qamar datang?”
“Tadi umi keluar dengan Cikgu Hannan”.
Hani tersenyum. Melangkah menuju ke bilik Jia. Seandainya Qamar tahu hal itu, apa agaknya yang dia akan lakukan?

############

Beel bangun dari tidurnya bila mendengar bunyi loceng ditekan. Jam dinding yang menunjukkan jam 7.00 pagi dipandang. Apalah Haikal ini, bukankah dia memiliki kunci dan dia juga tahu kata laluan, mengapa harus menekan loceng?
Tidak mungkinlah Fah yang datang. Kerana menurut Fah, hujung minggu ini dia mempunyai aktiviti luar bersama pensyarahnya. Beel masuk ke bilik air sebentar untuk membersihkan wajah dan dia membuka pintu.
“Assalamualaikum adik”.
Beel tergamam memandang wajah itu. Matanya dikedipkan berkali-kali bagi memastikan dia tidak tersalah melihat.
Wanita bertudung lilit itu tersenyum memandang Beel. “Assalamualaikum adik”.
“Waalaikumussalam. Kak Putih!!” Tubuh itu langsung saja dipeluk sepuas hatinya. Beel memandang wajah itu setelah pelukannya dilepaskan. Pipi Putih dicubit namun wanita itu masih tersenyum. “Betul ke Kak Putih ni?”
“Jom masuk” Putih menarik beg bagasinya dan memegang tangan Beel masuk ke dalam rumah.
“Bila Kak Putih sampai?”
“Baru lagi. Ingat nak surprise Beel dengan Fah sekali, rupanya seorang kat selatan seorang kat tengah. Apa cerita ni?”
Beel ketawa kecil. “Maknanya Fah tak tahu lagi Kak Putih balik?”
“Akak tak bagitahu Fah lagi. Terkejut akak bila Haikal bagi alamat ke Penang. Rupanya dia dah culik Beel ke Penang. Macam mana hidup?”
Beel berbaring pada paha Putih. Perkara yang sememangnya menjadi tabiat dia dan Fah tika ‘melepak’ bersama Putih. Selalunya ketika kecil Putih akan duduk melunjur dan dia berbaring pada paha sebelah kanan manakala Fah di sebelah kiri.
“Beel rindulah dengan Kak Putih..” Beel memeluk lengan Putih yang melingkari kepalanya.
“Akak pun rindu dengan adik seorang ni..”
Beel ketawa kecil. “Banyak benda nak cerita dengan Kak Putih ni.. Berapa lama Kak Putih kat sini?”
“Sehari je dik. Kalau lama-lama nanti orang risau pula. Orang lain tak tahu kan Beel kat sini?”
Beel ketawa kecil. “Tapi Haikal bagi pula Kak Putih datang sini?”
“Akak pun tak tahu apa yang opah cerita kat Haikal. Bangga betul mamat tu bagitahu perkenalkan diri sebagai suami Beel”.
“Kak Putih jumpa dia kat mana?”
“Airport je. Dia ambil kat airport lepas tu hantar ke airport juga. Sampai Penang, ada orang ambil. Tapi driver yang Haikal upah tu perempuan kan? Nampak macam tua sikit dari akak, tapi comel macam muda lagi. Katanya dah ada anak lagi tu. Nama dia..”
“Kak Cha kan?”
“Salsabila.. Beel kenal?”
“Kakak yang Haikal upah untuk ambil hantar Beel pergi mana-mana. Baik Kak Cha tu..”
Putih menguntum senyum. “Nampaknya sayang betul Haikal pada Beel kan?”
Beel ketawa besar mendengar kata-kata Putih. Baru saja dia terasa disayangi.. Sebelum ini, hidupnya bagai anjing dan kucing bersama sang suami.
Putih ikut tersenyum. Walau seketika bersama Haikal, tapi dia tahu Haikal benar-benar sayang pada Beel. Putih dapat lihat itu. Namun yang difikirkan saat ini, bagaimana agaknya perasaan Beel jika dapat tahu Haikal merahsiakan soal Suraya dengannya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s