DILARANG NIKAHI AKU – 91

“Ada apa?”
Terkejut beruk Syakir mendengar teguran Safwan yang tiba-tiba. Wajah Safwan yang baru mengambil tempat di sofa dipandang.
“Aku..” Syakir yang baru hendak mula berkata-kata langsung terdiam melihat pandangan mata tajam yang diberikan Safwan.
Safwan menanti. Syakir menarik nafas sedalam mungkin dan mata dipejam. “Aku nak melamar Fah!”
Safwan memandang. “Kenapa pejam mata?”
Syakir membuka mata perlahan. ‘Kau tak tahu ke aku tengah cemas ni?’ Syakir berbisik di dalam hati.
Safwan senyum nipis namun kembali men’serius’kan wajah. “Teruskan..”
Syakir tidak tahu apa lagi kata-kata yang boleh dikeluarkan. Akhirnya, cincin yang sudah dibungkus di dalam kotak cincin dikeluarkan dan dibuka. Kemudian ia diletakkan di atas meja.
“Kau nak cakap ke atau kau nak aku faham sendiri? Atau kau nak aku cakapkan..?”
“Aku cakap sendiri..” Nafas ditarik sedalamnya. “Aku datang nak melamar Fah. Aku nak jadikan Fah isteri aku yang sah..” Safwan melepas nafas.
“Dia dah ada tunang..” Safwan serius memandang Syakir.
“Ha?”
“Fah dah ada tunang”.
Syakir terdiam. Terasa hancur luluh hati mendengar kenyataan yang diucapkan Safwan. “Tu.. Tunang?”
Safwan ketawa kecil. Seronok hatinya dapat mengenakan pemuda bernama Syakir itu. Syakir mengerut dahi melihat Safwan ketawa. Jadi soal tunangan Fah itu benar atau sekadar kata-kata usikan?
“Gurau je.. Kau serius dengan adik aku?”
Syakir tersenyum sekilas. Dan anggukan diberikan. Safwan memandang Syakir. Kali ini tiada walau secalit senyuman pada wajah. “Aku tahu kau ni tak pernah serius dengan mana-mana perempuan. Jadi dengan adik aku..”
“Aku serius” Syakir memotong kata-kata Safwan.
“Betul?”
“Insya-Allah aku akan jaga Fah sebaik mungkin. Mungkin tak lebih baik dari kau tapi pasti tak kurang baik dari kau jaga dia” Syakir meyakinkan.
Safwan melepas nafas. “Tak sangka adik aku dah besar”.
Syakir diam menanti jawapan yang masih belum diberi Safwan. Safwan memandang Syakir. “Kau tunggu sini. Aku tanya Fah”.

###############

“Untuk kau”.
Beel yang sedang membuat pemerhatian terhadap haiwan-haiwan di taman sains terkejut mendengar suara itu. Kepala ditoleh ke arah kanan dan melihat Reza yang menghulurkan sekuntum mawar merah bersama sebuah kotak kecil yang agak panjang.
“Apa?”
Reza memandang. Dan dia membuka kotak kecil itu. Beel melihat rantai leher perak yang berada di dalamnya. “Aku tak nak..”
“Aku tahu. Tapi aku tetap beli dan hadiahkan. Mungkin suatu hari nanti kau akan nampak keikhlasan aku” sungguh-sungguh Reza berkata.
Nafas dilepas. Buku notanya ditutup dan dimasukkan ke dalam beg. “Kau tak faham bahasa melayu ke? Aku tak nak!”
“Untuk kau”.
Beel menggeleng-geleng sendiri. Dan langkah dibuka mahu meninggalkan Reza. Reza lantas menarik tangan Beel agar gadis itu berhenti. “Kenapa? Apa kurangnya aku?”
Beel mengerut dahi. “Kau merapu apa ni?”
“Aku nampak kau dapat bunga dengan hadiah hari tu. Aku nampak bunga dia sama dengan bunga aku. Kenapa? Kenapa kau boleh terima dia punya tapi aku tak boleh?”
“Reza tolonglah. Kau tak de kurang apa-apa. Tapi aku tak boleh ambil hadiah kau. Aku tak boleh terima hadiah kau, aku tak boleh terima kau”.
“Kenapa?” Reza menyoal dengan wajah suramnya.
Beel melepas nafas. “Kau faham tak? Aku tak suka kau”.
“Kau belum kenal aku. Mungkin kalau kau cuba kenal aku, kau akan sedar aku lebih baik dari lelaki tu”.
Mata dipejam. “Aku ada kerja” Beel memandang dan langsung meninggalkan Reza. Kalau pun dia mendapati Reza lebih baik dari Haikal, mustahillah dia akan meninggalkan Haikal yang sudah menjadi suaminya. Pemilik hidup dan hatinya.

###############

Bunyi ketukan di pintu membuatkan Fah bangun dari pembaringannya dan melangkah ke pintu. Meninggalkan pen bersama tugasan yang harus dia selesaikan sebelum menjelang tengah hari esok.
“Ya?” Fah menyoal abangnya yang menanti.
Safwan melepas nafas. “Abang nak tanya ni..”
“Tanya apa?”
“Fah tahu kenapa Syakir datang?”
“Tak”.
“Fah tahu Syakir nak datang?”
“Tak. Kenapa abang tanya?”
Safwan menarik nafas sedalamnya. Kepala Fah diusap membuatkan rambut Fah yang separas paha itu sedikit berserabut. “Syakir nak merisik adik abang seorang ni..”
Mata Fah membulat. “Merisik?”
Safwan mengangguk dan dia mula mengukir senyum. “Tak sangka adik abang ni dah besar kan?”
Fah senyum namun wajah menunjukkan wajah tidak selesa. “Abang nak tanya apa?”
“Fah nak terima ke tak?”
Fah diam seketika. “Abang rasa macam mana?”
Safwan menggeleng. “Abang memang tak minat sangat dengan Syakir tu. Tapi abang tahu adik abang minat. Kan?”
Fah senyum sebaris. Tidak tahu sejujurnya respon bagaimana yang harus diberikan. Safwan ketawa kecil. Pipi mulus Fah dicuit dan dia berkata, “Kalau macam tu,abang anggap Fah terima boleh?”
Fah senyum. “Fah ikut abang”.
“Betul ikut abang?”
Fah mengangguk. Safwan ketawa lagi. “Kalau macam tu abang nak tolak boleh?”
“Tolak?”
Safwan mengangkat bahu. “Gurau je dik. Abang cakap dengan Syakir Fah terima”.
Fah menutup pintu bilik bila Safwan hilang dari pandangan. Dia berdiri seketika di balik pintu biliknya. Menunduk lama, dan air matanya mula menitis setitis demi setitis.
“Beel..” nama pertama yang terlintas di fikirannya. Fah tersenyum dan mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja belajarnya.

#############

Syakir menanti Safwan yang dari tadi mendiamkan diri. Hanya menjamah makanan dan minuman yang dihidangkan Fah.
Nafas dilepas seketika. “Kir, kau tahu aku cuma ada Fah seorang dalam dunia ni?”
Anggukan diberikan. Syakir tidak berani untuk bersuara. Safwan menyoal lagi. “Kau tahu aku paling sayangkan Fah kan?”
Angguk lagi. Mata memandang Safwan sesaat dua dan kembali menunduk. Safwan kemudian menguntum senyum. “Selamat datang ke keluarga aku, bakal adik ipar”.
Safwan tergamam. Otaknya yang selalu cekap menangkap sesuatu tiba-tiba menjadi selambat siput. Otaknya bagai terhenti seketika untuk memuat turun kata-kata Syakir.
Safwan tersenyum menyedari Syakir terpana. ‘Lambat betul mamat ni’ detik hatinya.
Senyum mula terukir pada bibir menghiasi wajah. “Bakal adik ipar?”
Safwan menjongket kening. “Kau ok tak ni?”
“Ok. Ok. Abang Wan”.
“Belum!”
“Ha?”
Safwan menggeleng-geleng kepalanya. Cincin yang berada di atas meja dipandang. “Kau ada mak ayah lagi?” Safwan menyoal lembut.
Syakir mengangguk. “Ada”.
Safwan mengangguk memahami. “Kau cakap dengan mak ayah kau, kita buat majlis tunang terus. Risik aku anggap dah selesai, cuma tulah.. Mak ayah kau tahu tak?”
Syakir memandang. Dia tahu Safwan menegur sikapnya yang kurang bersopan berkunjung membawa hajat ke rumahnya. “Maaf. Mak ayah aku dah tahu. Aku dah cakap dengan mak ayah aku yang aku dah ada calon sendiri untuk dijadikan bakal isteri”.
Safwan mengangguk-angguk. “Oklah. Benda mendatang kita bincang kemudian. Yang penting, bawa mak ayah kau jumpa adik aku dulu”.
Syakir mengangguk. Dia tersenyum-senyum sendiri memikirkan semua ini. Tidak sabar rasanya untuk memaklumkan perkara ini pada mak dan ayahnya. Juga kawan terbaik yang dia punya dalam dunia, Haikal.
“Oh ya..”
Syakir kembali mengangkat wajah mendengar kata-kata Safwan. Wajah Safwan dipandang.
“Aku ada satu syarat”.
“Ha?”
“Aku harap lepas ni kau dah tak muncul depan Fah. Aku tak nak kau ganggu proses pembelajaran dia. Kalau kau ada apa-apa, kau boleh cakap dengan aku. Dan aku harap mesej pun tak..”

#############

Bunyi mesej masuk melalui aplikasi ‘What’s App’ menarik perhatian Beel. Telefon bimbit yang setia berada di dalam pegangan disentuh skrinnya.
Membaca mesej dari Fah yang berbunyi *Aku ada berita nak bagitahu kau. Boleh aku call sekarang?*
Beel senyum sendiri. Sepertinya dia sudah tahu apa yang mahu Fah ceritakan. Bukankah dia sudah diberitahu Haikal soal ini. Beel kemudian membalas mesej Fah dengan menaip *Boleh kau tunggu malam ni? Aku belum sampai rumah*.
Dan tiada balasan dari Fah. Beel kemudian menyedari Kak Cha sudah pun memeberhentikan kereta. Mata melihat sekeliling kemudian memandang Hani di sisi. “Dah sampai rumah awak..”
Hani tersenyum. “Terima kasih Beel hantarkan”.
“Setiap hari ulang ayat ni. Tak bosan ke kawan?”
Hani ketawa kecil. Dia kemudian memandang Kak Cha melalui cermin belakang. “Terima kasih Kak Cha”.
“Sama-sama, Cik Hani”.
Hani melihat melalui tingkap sebelum mengambil keputusan untuk turun. Nafas dilepas melihat motosikal Qamar berada di tempat parkir. ‘Kenapa dia ada kat sini?’
Dia kalau boleh dan kalau tidak boleh pun memang tidak mahu bertemu jejaka bernama Qamaruddin itu. Fikirnya Qamar sudah tidak berminat mahu mengganggunya. Iyalah, di universiti Qamar sama sekali tidak mengganggunya hingga dia disoal soalan yang sama beberapa kali. ‘Awak dengan Qamar bergaduh ke?’
Beel dipandang. Kelihatan temannya itu sibuk dengan telefon bimbitnya. Pasti ada seseorang istimewa yang menghantar mesej.
Nafas dilepas. Kalau mahu ke rumah Beel, dia tidak mahu memberitahu Qamar berada di rumahnya. Kalau pun tidak ke rumah, ke rumah umi? Pastilah uminya pelik dan hairan akan kepulangannya yang lain dari kebiasaan. Selalunya dia akan pulang ketika hujung minggu juga cuti panjang. Tidak ada angin tidak ada ribut takkanlah dia mahu ke sana?
“Cik Hani..” Kak Cha terperasan gadis itu termenung.
Beel memandang. “Kenapa Hani?”
Perlahan Hani menguntum senyum. “Tak de apa-apa. Saya.. Saya pergi dulu”.
“Bye..” Beel melambai.
Hani senyum kelat turun dari kereta. Semoga Qamar berada di sini untuk bertemu orang lain atau punya hal lain. Mudah-mudahan Qamar bukan mahu berbicara dengannya.
Langkah diambil dengan debaran. Dia senyum sendiri mendapati Qamar tiada di motosikalnya. Senyum lebar diukir namun tidak sampai tiga saat. Terkejut dia mendapati Qamar berada di hadapannya.
“Hani”.
Nafas dilepas. “Qamar! Awak buat apa kat sini?”
“Saya tunggu tunang saya”.
Hani mengangguk-angguk. “Saya naik dulu eh..”
“Cik Hani Ibtisam. Nama tunang saya Hani Ibtisam” Qamar meninggikan suara.
Hani melepas nafas. Langkah dilajukan mahu menyaingi Qamar.
“Hani, Hani” Qamar mengejar.
Hani cuba buat tidak tahu. Namun di sepanjang koridor mata-mata manusia melihatnya dikeranakan suara lantang Qamar yang menyeru namanya.
“Hani!”
Hani akhirnya berhenti. Membatu di sisi anak tangga dan Qamar segera menghampiri.
“Awak nak apa?” Hani menyoal tanpa memandang.
“Saya nak tahu..”
Hani berdiam. Apakah Qamar mahu tahu apa yang berlaku? Apakah Qamar mahu tahu rahsia antara dia dan Jia?
“Apa yang awak rahsiakan dari saya?” Qamar menyambung soalannya.
Hani terus mendiamkan diri. Tidak punya ‘angin’ untuk memberi jawapan.
“Hani, tolonglah..”
“Tak de apa-apa” dingin Hani menjawab.
“Hani..” Qamar memujuk lagi.
Hani diam. Terus diam, berdiam dan mendiamkan diri. Qamar melepas nafas. Dia melangkah agar berada di hadapan Hani. “Saya tak kacau awak dekat U sebab tahu awak tak suka. Dan saya kotakan janji saya untuk dapat kemaafan awak. Sekarang saya bukan nak kacau awak, tapi saya tahu ada sesuatu yang awak rahsiakan dari saya. Perkara yang awak dan Jia rahsiakan dari saya. Perkara yang saya patut tahu. Kan?”
Diam. Sunyi. Sepi. Hani tidak memberi tindakan apa-apa. Dia terus berdiam walau Qamar membebel seribu ayat. Qamar menarik nafas, cuba menahan marah, geram juga sakit hatinya. Cuba untuk terus memujuk. “Saya dah banyak kali tanya Jia. Dia tak pernah jawab. Paling-paling dia lari. Jadi saya pasti benda tu mesti ada kaitan dengan saya kan?”
Hani mengangkat wajah. Memperlihatkan air mata yang sudah mula bertakung di kolam mata. “Kalau awak tahu awak nak buat apa? Kalau awak tahu awak boleh ubah masa lalu? Kalau awak tahu awak dapat ubah hakikat? Kalau awak tahu boleh awak kembalikan semuanya macam dulu balik? Kalau boleh baru awak datang tanya saya apa yang berlaku sebenarnya. Kalau boleh baru awak akan dapat jawapan dari saya. Kalau tak boleh, jangan haraplah!” Dan Hani langsung menaiki anak tangga. Meninggalkan Qamar yang terpaku sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s