DILARANG NIKAHI AKU – 93

Haikal memandang Beel yang sedang melipat telekungnya. Senyuman dihadiahkan buat isteri yang langsung tidak perasan kelakuannya.
Dia yang masih memakai baju melayu bersama kain pelikat mencapai briefcasenya dan memandang Beel lagi. “Beel..”
Beel memandang. Telekungnya diletakkan pada ampaian dan dia memandang Haikal. “Ya?”
Haikal menepuk sisi katil tempat dia duduk. Mengajak Beel duduk bersama. Beel duduk walau pun wajah berkerut menandakan tidak faham permintaan Haikal.
Haikal menarik nafas. Dia mengeluarkan kotak besar namun agak rendah dari briefcasenya. “Hadiah”.
“Untuk siapa?”
Haikal ketawa kecil. “Untuk sayanglah..”
Beel senyum. Huluran Haikal disambut. Dan dia memandang Haikal. “Buka?”
Haikal mengangguk. “Bukalah”.
Beel memandang Haikal sekilas. Dan dia menarik reben yang membungkus kotak itu. Reben diletakkan di tepi dan dia membukanya. Dahi berkerut melihat pakaian yang berada di dalamnya.
Haikal dipandang lagi sebelum dia mengambilnya. Oh… “Tudung?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. Beel memandang Haikal dan ‘hadiah’ pemberiannya bersilih ganti. “Awak..”
“Sayang..” Haikal mengambil tudung itu dari Beel dan menyarungkannya ke muka Beel. Dengan senyuman pipi Beel dibelai dan tangan Beel digenggam. “Saya tak suka orang lain tengok rambut isteri saya, telinga isteri saya, leher isteri saya.. Sebab dia jadi tak eksklusif untuk saya..”
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Haikal. “Kenapa awak tak tanya je boleh ke kalau saya pakai tudung? Cakap ayat bukan main berlapik lagi..”
Haikal senyum. “Saya suka kalau awak pakai tudung. Sesuai dengan status isteri orang. Lagi pun, menutup aurat tu kan dituntut. Awak suka tudung ni?”
Beel melepas nafas. Kehidupan berumah tangga selama dua tahun lamanya membuatkan dia semakin mengerti makna kehidupan seorang isteri. Seorang isteri yang benar-benar taat dengan suami di belakang juga hadapan. “Apa yang awak minta, saya tetap kena buat kan?”
Haikal mencebik bibir. “Macam tak nak je..”
Beel senyum nipis. Pipi Haikal dicubit perlahan. “Bukanlah.. Maksud saya sebagai isteri yang baik,isteri solehah.. mestilah ikut semua permintaan suami. Kan?”
Haikal mengangguk dengan tawa kecilnya. “Jarang nampak awak marah-marah sekarang. Tak sangka dah besar sayang saya seorang ni…”
Beel hanya menguntum senyum di dalam dakapan Haikal. Semoga kehidupan rumah tangganya akan terus menjadi kehidupan rumah tangga suami isteri yang bahagia dan membahagiakan.

##############

Dia mengintai dari dalam bilik. Melihat kalau-kalau pintu bilik abangnya terbuka. Namun ternyata pintu bilik itu tertutup.
Fah terdengar bunyi dari tingkat bawah. Pasti abangnya berada di bawah. Sedang menonton televisyen barangkali. Fah tersenyum memandang skrin telefonnya.
Langkahnya berlari anak menuruni tangga. Melihat abangnya yang sedang berehat di kusyen sambil menonton rancangan televisyen yang sedang disiarkan. “Abang”.
Safwan memandang adik kesayangan yang mengambil tempat di sisinya. Jarangnya mereka dapat menghabiskan masa bersama sebegini. Iyalah, si abang sibuk dengan kehidupan bekerja manakala sang adik pula sibuk dengan kehidupan belajarnya.
“Ya..”
Fah memandang Safwan yang hanya menjawab tanpa memandangnya. Mata Safwan masih lagi melekat pada kaca televisyen.
‘Nak bagitahu ke tak?’ Fah berteka-teki sendiri.
“Kenapa?” Safwan memandang. Hairan melihat adiknya memanggil namun membisukan diri.
Fah menarik nafas. “Fah nak tunjuk ni..” dan telefon bimbitnya dihulurkan pada Safwan.
Safwan memandang. Patutlah Fah teragak-agak mahu memberitahu. Gambar Beel dan Haikal itu ditatapnya. Nampaknya semua berjalan dengan baik. Dari gambar yang ditatapnya, kelihatan Beel dan Haikal sudah mesra. Tapi ada sesuatu yang lain.
Beel sudah bertudung. Jelas menonjolkan wajahnya yang tampak begitu ayu dan berseri. Juga senyum manis yang menyerlahkan betapa gembiranya dia.
“Abang” Fah memanggil. Bimbang pula abangnya teringat kisah lama. Dia tahu benar abangnya masih tidak dapat melupakan teman baiknya itu.
“Cantik..” puji Safwan. Telefon itu dihulurkan kembali pada Fah. Fah memandang wajah abangnya yang jelas menunjukkan perubahan riak wajah.
“Salah tak Fah tunjuk kat abang?” Fah menyoal soalan ‘bodoh’. Dia kurang pasti apakah tindakannya benar atau tidak. Dia cuma mahu memberitahu abangnya bahawa Beel sudah bertudung. Itu saja.
Safwan melepas nafas. “Tak salah. Abang yang salah sebab sampai sekarang tak dapat lupakan dia. Dari kecil abang cuma pandang Beel seorang je. Siapa sangka sekarang dia dah jadi milik orang lain? Bahagia pulak tu..”
“Abang…” Fah memaut lengan Safwan.
Safwan menguntum senyum. “Abang ok. Kirim salam kat Beel ye..”
Fah mengangguk. Safwan memandang. Teringat pula dengan tunangan adiknya seorang ini. Apakah dia menunaikan janji sesuai perjanjian mereka. “Fah..”
“Ya?”
“Sejak majlis pertunangan Fah dengan Syakir hari tu, ada tak Fah jumpa Syakir?”
“Tak”.
“Ada tak dia datang U?”
“Tak ada”.
“Ada tak dia call atau mesej Fah?”
“Pun tak ada. Kenapa abang tanya?”
“Taklah. Abang dah pesan dengan Syakir, jangan datang jumpa Fah lagi lepas dah jadi tunangan, abang nak Fah fokus dengan belajar. Baguslah kalau dia boleh tunaikan janji dia..”
Fah mengangguk memahami. Memandang cincin tunang yang tersarung di jarinya. Semoga Syakir sentiasa berada di dalam perlindungan Allah S.W.T.

###############

Tangan mereka berpegangan melalui persisiran pantai. Sesekali Beel berlari-lari sambil kakinya memijak air laut. Sementara Haikal memerhati dengan senyuman. Nampaknya isteri kesayangannya benar-benar bahagia dia menghabiskan masa bersamanya.
“Awak..” Beel memanggil.
Haikal memandang Beel yang berada di dalam pautannya. “Ya sayang..”
“Rasa macam dah lama kita tak keluar macam ni kan?”
Haikal ketawa. “Tapi kan kalau fikir-fikir balik, mana pernah kita keluar macam ni..”
Beel ketawa terbahak-bahak. Benar, kerana hubungan mereka dahulu tidaklah sebaik sekarang. Kini Beel mengerti mengapa opah beria-ria memesan itu dan ini. Rupanya setelah menjadi seorang isteri, perubahan datang tanpa dipinta. Dan semuanya kerana dirinya sendiri telah punya rasa sayang pada Haikal.
“Cuti nanti saya nak bawa awak balik Kuwait. Awak ok?” Haikal menyoal sambil keduanya mengambil tempat.
Beel ikut duduk di atas pasir pantai. Haikal dipandang. “Kuwait?”
Haikal mengangguk. “Mama dah rindu sangat kat menantu tunggal dia ni..”
Beel ketawa geli hati. Anggukan diberikan buat suaminya. Dan pinggang Haikal dipaut erat. Haikal tersenyum dan mereka sama-sama melangkah masuk ke sebuah restoran untuk menjamah makan tengah hari.

##############

“Hai cik adik”.
Beel memandang lelaki asing yang tiba-tiba mengambil tempat di hadapannya. Dahi berkerut melihat lelaki itu. Memandang sekeliling restoran, lama pula Haikal ke tandas. Selalunya tidaklah terasa lama begini.
“Comel cik adik ni. Nama apa?” lelaki itu menyoal dengan senyuman.
“Cik adik tak boleh cakap ke? Abang cuma nak berkenalan je..”
Beel memandang wajah itu dengan wajah tidak selesa. Mengapa pula dia tiba-tiba diganggu begini? Nafas lega dilepaskan bila perasan Haikal sudah melangkah keluar dari tandas.
“Cik adik tak sudi berkenalan dengan abang?”
“Cik adik ni dah ada abang” Haikal bersuara dari belakang lelaki itu.
Beel tersenyum melihat lelaki itu yang tergesa-gesa bangun dari duduknya. “Minta maaf bang”.
Haikal membuat muka dan lelaki itu langsung beredar dari restoran. Beel ketawa kecil melihat wajah muram yang dipamerkan Haikal. “Awak..”
“Tak sukalah macam ni.” Haikal mengomel sendiri.
Beel ketawa lagi. Terasa seperti melihat sikap lalu dirinya sendiri. Merajuk tanpa sebab. “Kenapa?”
“Mestilah saya tak suka kalau ada lelaki lain kacau isteri saya. Saya ni kuat cemburu tahu tak?”
Beel senyum. “Tahu. Habis nak buat macam mana?”
Haikal melepas nafas. Dia memandang Beel yang masih lagi tersenyum. Apakah Beel tahu sikap Beel makin hari makin baik? Adakah dia tahu dirinya membuatkan Haikal makin bertambah sayang dari masa ke semasa?

##############

“Masya-Allah..”
“Kenapa?” Beel menyoal. Hairan mendengarkan perkataan pertama yang keluar dari mulut Hani saat melihatnya.
“Cantiknya.. Macam tak percaya ni Beel..”
Beel senyum. “Ye ke?”
Hani mengangguk. Memasuki kereta dan menatap wajah Beel sepuasnya. Membiarkan Kak Cha terus memandu menuju ke universiti.
“Kenapa asyik tenung je?” Beel menyoal, tidak selesa dengan pandangan Hani.
Hani senyum. “Kalau Reza nampak, mesti dia lagi teruja”.
Beel mengerut dahi. “Ke situ pula awak ni..”
“Betul. Awak cantik”.
“Terima kasih” Beel senyum kemudian ketawa mengekek. Hani ikut senyum bersamanya.
“Tapi kan Beel..”
“Ya?”
“Kenapa awak tiba-tiba pakai tudung?”
Pandangan mata Beel terpaku pada wajah Hani. Kenapa? Kerana dia dipinta oleh suami tercinta. Tapi pada Hani apa yang harus dia katakan?
“Beel..”
Beel senyum. “Rasa macam nak pakai, pakailah..”
Hani mengerut dahi. “Mesti ada kisah di sebaliknya kan?”
Beel memandang Kak Cha. Meminta tolong dari pemandu merangkap kakak angkatnya itu. Kak Cha hanya menguntum senyum.
“Kak Cha tahu?” Hani menyoal. Dia benar-benar ingin tahu mengapa Beel tiba-tiba bertudung?
“Ada orang suruh Cik Hani”.
Hani membuat mulut berbentuk O. “Siapa agaknya?”
Kak Cha ketawa kecil. Dan Beel mengalih pandangannya. Kak Cha memang sengaja mahu mengenakannya. Dan tahulah Hani bahawa Beel sudah punya seseorang di dalam hatinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s