DILARANG NIKAHI AKU – 95

“Sayang jaga diri elok-elok ye…”
“Ye..”
“Rasa macam tak nak balik KL je..”
Beel menjeling Haikal. Kak Cha di hadapan dipandang. “Kak Cha tengoklah bos Kak Cha ni.. Mengada terlebih-lebih”.
Kak Cha di hadapan tersenyum manis. Gembira dia melihat majikannya gembira. “En.Haikal seronok ada Cik Beel sekali tu..”
“Mengada. Awak nak kena masuk pejabat kan?”
“Tak pe. Saya kan bos.. Boleh masuk lambat-lambat” Haikal meramas tangan Beel dengan senyum ‘gedik’nya.
“Dah. Jangan nak melebih. Kita kat depan U dah ni.. Syakir dah pergi China kan? Siapa nak tolong awak?”
Haikal ketawa. “Ok. Sayang pergilah turun”.
“Ok. Saya pergi dulu. Kak Cha hantarkan Haikal pergi airport ea..”
“Tak cakap pun, Salsabila hantar jugak..” Haikal mengusik.
Beel mencubit lengan Haikal hingga lelaki itu mengaduh. Tangan Haikal disalam dan dia turun dari kereta. Menarik nafas, melambai pada kereta yang berlalu pergi.
“Datang dengan abang kau?”
Beel melepas nafas mendengar suara itu. Kepala ditoleh melihat Reza berdiri tersenyum-senyum di belakangnya.
“Ha’ah..” Beel melangkah menuju ke kelasnya.
“Kejap” Reza menarik tangan Beel. Beel memandang dengan wajah sakit hati. Tangannya ditarik dari pegangan Reza. “Lepas!”
Reza memandang. “Sorry, sorry..”
“Kau nak apa?”
“Aku nak minta tolong sikit..”
“Apa?”
“Boleh tak kau cakap kat Hani bagitahulah apa sebenarnya yang berlaku. Qamar dah buat plan tu.. Kalau dalam minggu ni Hani tak nak bagitahu.. Dia ada benda nak buat..”
“Buatlah! Kalau awak rasa saya boleh ubah fikiran Hani..” Beel mengangkat bahunya.
“Beel, tolonglah..”
“Cakap dengan Qamar, buatlah apa yang dia nak.. Silap hari bulan bukannya Hani lembut hati tapi makin keras hati..” Beel mencebik bibirnya dan berlalu pergi.
Reza melepas nafas. Pantasan saja mereka boleh menjadi kawan baik. Sama-sama keras hati. Qamar sudah sedaya upaya memujuk Hani namun Hani langsung tidak hiraukannya.
Dia juga. Sudah hampir setahun cuba memikat Beel namun tiada peningkatan. Saban hari, dia yang mengejar Beel tapi Beel langsung tidak hiraukannya. Senang kata, dia dan Qamar senasib.

###########

Hani memandang Beel di sisinya. Buku notanya ditutup dan dia mengalih tubuh menghadap Beel. “Beel..”
“Ya?” Beel yang sedang membuat catatan memandang sekilas.
“Saya ada benda nak tanya ni..”
“Ya?” Beel menoleh. Kali ini dia memandang lebih lama. Mengalih sepenuh perhatian pada Hani.
“Abang Haikal tu awak punya abang kandung ke?”
“Kenapa awak tanya macam tu..?” Beel mengerut dahi. Jangan-jangan bunyi yang didengarnya hari itu disebabkan oleh Hani? Tapi mengapa Haikal mengatakan tidak ada apa-apa?
“Ke awak punya cik abang?”
Beel membisu. Membuat wajah kelat memandang Hani. Nafas ditarik perlahan. “Awak ke dapur malam tu?”
Hani mengangguk. “Saya dahaga. Tapi bila tengok awak dengan Abang Haikal..”
“Bunyi tu sebab awak larilah?”
Hani mengangguk. Wajah Beel dipandang. “Jadi Abang Haikal tu..”
Beel mengangguk. “Macam apa yang awak fikirlah..”
“Teman lelaki?”
“Bukan! Suami saya..”
Hani terdiam. Memandang Beel dengan wajah terkejut, tidak mahu percaya dan seribu satu perasaan yang bercampur.
“Hani..”
Hani mengerut dahi. “Saya yakin Beel bukan orang yang tak tahu jaga harga diri. Jadi takkan bawa balik lelaki ke rumah. Mesra pulak tu. Tapi kalau kahwin..”
Beel senyum kelat. Nampaknya harapan untuk merahsiakan hal ini dari Hani hingga tamat belajar tidak kesampaian. “Saya minta maaf sebab tipu awak..”
Hani menggaru kepala yang tidak gatal. Beel melepas nafas. Nampaknya dia bakal punya perbincangan panjang dengan teman seorang ini. Perbincangan yang mungkin sampai esok juga masih belum selesai.
“Awak nak cerita panjang ke? Kalau nak yang panjang, kita sembang lepas kelas eh?”
“Cuba awak pendekkan je..”
Beel diam. ‘Macam mana eh?’ Nafas ditarik. Dia sendiri buntu mahu bercerita ‘pendek’ bagaimana. “Opah yang suruh kita orang kahwin. Masa tu saya 18 tahun”.
Hani mengangguk kecil. Kiranya Beel dan Haikal berkahwin kerana percaturan keluarga. Tapi bagaimana Beel boleh menerimanya di usia belasan tahun? Tidakkah ia terlalu muda untuk menjadi seorang isteri?
Hani mengerti. Patutlah Beel banyak berahsia dengannya. Rupanya ia sesuatu yang langsung tidak dia jangka. Beel dipandang dengan senyuman. Biarlah, dia tidak akan bertanya lagi. Hani yakin Beel akan memberitahu segalanya saat dia sudah bersedia.
Seperti Beel menghormatinya, begitu juga dia akan menghormati Beel. Tidak perlulah mengorek kerana jika tiba masanya, kita akan tahu juga.

#############

Fah membulatkan mata. “Seriously?”
“Ya..”
Dia yang sedang dalam perjalanan menuju ke keretanya ketawa sendiri. Bagai tidak percaya dengan kata-kata Beel. Hani sudah tahu hubungannya dengan Haikal?
“Kau ni gelak je dari tadi..” Beel mengomel di dalam talian.
Fah ketawa lagi. “Macam tak percaya. Tapi memanglah dah duduk serumah tak mustahillah dia boleh nampak..”
“Tulah. Haikal lah ni, bukan nak bagitahu aku dia nak balik”.
“Jangan salahkan laki kau. Tapi kan Beel, kau dah lain kan?”
“Apa yang lain..?”
“Yelah. Aku tengok kau dah makin lembut sekarang. Lepas tu dah jarang tinggi suara. Bahasa pun makin berbudi kut..”
Beel mencebik bibirnya. “Mengadalah kau!”
“Habis tu kau cerita kat Hani fasal apa je?”
“Semua. Kecuali hal Kak Su. Aku takut dia sakit jantung bila tahu aku bermadu dengan kakak sepupu sendiri”.
Fah ketawa. “Bagus juga bila Hani tahu. Jadi kau boleh luah kat dia sikit-sikit. Aku kan jauh..”
“Kau seorang je mesin luah perasaan aku”.
“Amboi! Tahun bila aku jadi mesin ni?”
Beel ketawa. “Terima kasih Fah..”
“Kenapa tiba-tiba ucap terima kasih ni?”
“Entah. Tiba-tiba rasa nak ucap”.
“Betul ke tak kau ni?”
“Fah!”
“Ok. Sorry. Aku nak drive ni. Apa-apa hal, kau mesejlah”.
“Sure. Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” dan Fah menekan butang merah mematikan talian. Beel.. Beel.. Tidak sangka sudah dewasa sahabat sehidup sematinya ini.

#############

“Nah..”
“Lagi?”
“Ya”.
Beel melepaskan keluhan. Reza di hadapan dipandang. Mawar merah di tangan Reza diambil dan dia mengeluh lagi. “Kau tahu aku tak suka kau kan?”
Reza mengangguk. “Tapi kalau aku ikhlas, sungguh-sungguh. Aku rasa semua perempuan cair..”
“Aku tak!” Beel menjatuhkan mawar merah itu ke lantai dan memijaknya. Dia sebenarnya tidak mahu melakukannya tapi disebabkan Reza tidak faham-faham bahasa..
Hani di sisi menarik tangan Beel. “Dah lah tu..”
“Aku harap sangat kau berhenti kacau aku. Aku tak suka kau, aku tak suka kau. Faham tak?”
Reza melepas nafas. Memandang mawar merah pemberiannya yang sudah hancur dipijak Beel. Gadis manis yang bertudung bawal itu dipandang. “Apa bagusnya dia? Apa lebihnya dia dari aku? Kenapa kau boleh ambil hadiah dia tapi tak ambil hadiah aku?”
Beel membuat muka. “Sekarang ni kau tahu ke dia tu siapa?”
Reza mengetap bibir. Benar, dia sendiri tidak tahu siapa pesaingnya. Tapi takkanlah Beel tidak goyah langsung setelah apa yang dia lakukan selama ini?
Hani menarik Beel agar jauh dari Reza. Reza dihampiri melihat Beel menunjukkan wajah bengang. “Reza, Hani kesiankan Reza. Jadi nasihat Hani, tak yahlah pikat Beel dah. Sebab apa pun Reza buat, Beel takkan terima Reza..”
“Kenapa?”
“Beel dah ada orang lain”.
“Reza tahu. Tapi Reza takkan putus asa..”
Hani menarik nafas dan menghembusnya. “Suka hati Rezalah. Tapi jangan kata Hani tak bagi amaran.”
Reza mengangguk. “Oh ya.. Qamar nak jumpa Hani kat depan U. Dia kata kalau Hani tak datang, nanti dia jumpa Aunty Hanifah. Bagitahu Aunty Hanifah yang dia nak cepatkan tarikh pernikahan”.
“Gila betul dia ni..!” Hani menarik tangan Beel meninggalkan Reza.

##############

Jam di tangan dipandang. Lama pula rasanya. Sudah hampir sejam dia menunggu di sini. Apakah Reza sudah memberitahu Hani bahawa dia ingin bertemu?
Senyuman terukir di wajah saat melihat Hani dan Beel melangkah ke arahnya. Tapi wajah Hani jelas menunjukkan dia tidak suka. Tapi Qamar tidak kisah, sememangnya Hani tidak pernah berwajah gembira saat melihatnya.
“Awak nak apa?” Hani memandang lelaki itu.
Beel menjauhkan diri dari mereka berdua. Bimbang pula ada bom yang meletup. Namun hanya berganjak beberapa langkah. Beel tahu Hani pasti marah jika dia berada terlalu jauh.
“Nak jumpa awak”.
“Ok. Dah jumpa kan? Saya nak balik”.
“Hani..”
“Awak cakaplah awak nak apa?”
“Hani kita tak boleh bincang baik-baik ke?”
“Awak nak baik macam mana? Awak ugut saya nak jumpa umi kalau saya tak jumpa awak sekarang. Siapa yang buat tak baik sebenarnya ni?”
Qamar melepas nafas perlahan. “Kalau saya tak cakap macam tu, awak nak jumpa saya?”
Hani senyum kambing. “Saya tak de benda nak cakap dengan awak. Kenapa pula saya kena jumpa awak?”
“Hani. Hina sangat ke saya ni pada mata awak?” Qamar cuba untuk tidak meninggi suara, menggunakan ayat memujuk agar Hani lembut hati.
“Mulia sangat ke saya ni nak pandang hina pada orang lain?”
“Kenapa awak tak nak terima saya?”
“Siapa yang cari fasal?”
“Saya minta maaf untuk semuanya. Dari awal kita kenal, sampai sekarang. Saya tahu saya dah banyak buat salah dengan awak. Saya tahu saya dah buat awak benci saya. Kita mula dari awal?”
Hani mengetap bibir. Tidak semena-mena air matanya menitis. Kalaulah semuanya boleh bermula semula.. “Mula dari awal? Dalam mimpi pun kita tak dapat mula dari awal tau..”
“Apa yang saya dah buat? Setiap kali cakap fasal ni mesti awak menangis.. Kenapa Hani?”
Hani memejam mata lama. Air mata dikesat dan wajahnya diruap. “Saya dah banyak kali cakap dengan awak, jangan cari tahu. Kalau awak dah tahu semuanya nanti, harapan untuk kita.. Dah tak de langsung!”
Beel memandang Hani yang berlari ke arahnya. “Jom balik”.
Beel mengangguk mendengar kata-kata Hani. Matanya melirik pada Qamar yang ditinggalkan. Tunangan Hani itu sudah terduduk di atas tembok. Nafas dilepas. Kasihan pula dia melihat lelaki itu.
Hani juga kasihan. Qamar juga kasihan. Apakah tiada jalan keluar buat mereka berdua?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s