DILARANG NIKAHI AKU – 96

“Suria..”
Kanak-kanak perempuan yang masih pelat berkata-kata itu berlari menuju pada Puan Sri Normah. Puan Sri Normah tersenyum dan mendukung Suria agar duduk di ribaannya.
Putih yang baru selesai memasak bubur buat Suria tersenyum memandang Puan Sri Normah. “Suria..”
Puan Sri Normah mengangkat Suria dari ribanya. “Pergi kat Mak Putih. Makan ya sayang..”
Putih tersenyum menyambut anak kecil itu. Puan Sri Normah juga menguntum senyum memandang cicitnya itu. “Putih..”
“Ya?” Putih memandang Puan Sri Normah sekilas sambil melayan Suria.
“Putih ada contact Beel?”
“Ada. Kenapa opah tanya?”
“Dia ada tanya fasal arwah Su?”
“Ada” Putih memandang. Dia dapat mengagak Puan Sri Normah sedang merindukan cucu kesayangannya itu. “Beel tak call opah ke?”
“Ada. Selalu. Cuma.. Opah risau..”
Putih menguntum senyum. “Putih rasa Haikal boleh selesaikan semua. Lagi pun, Putih tengok sejak Haikal bawa Beel pindah sana, Beel dah lain. Pandai Haikal lembutkan hati adik Putih seorang tu..”
Puan Sri Normah hanya menguntum senyum. Iya, dia tahu Beel sudah berubah. Semuanya gara-gara Haikal. Memang benar kata Putih, pandai Haikal melembutkan hati cucunya. Juga kata Mak Jah. Bahawa dia tidak tersalah memilih suami untuk Beel.

###############

“Saya dah faham kenapa awak keras hati sangat dengan Reza..” Hani ketawa kecil sambil memandang Beel di sisi.
Beel menjelir lidahnya. Sambil ketawa mereka sama-sama melangkah keluar dari kelas. “Tapi saya tak faham lagi kenapa awak keras hati sangat dengan Qamar”.
Beel berlari menjauhkan diri dari Hani. Bimbang terkena cubitan penangan Hani. Dan Hani mengejar.
“Hani! Hani!”
Hani dan Beel saling memandang. Mereka kemudian sama-sama memandang rakan sekelas yang memanggil.
“Hani!”
“Kenapa?”
“Awak kena turun sekarang. Jom!”
“Pergi mana?”
“Jom!!”
Gadis itu menarik tangan Hani dan Hani menarik tangan Beel. Sama-sama berlari anak menuju ke tempat yang tidak diketahui.
“Tengoklah..”
Buku yang berada di dalam pelukan terlepas dari tangannya. Pemandangan yang sangat tidak terbayang olehnya.
Qamar berdiri tegak sambil memegang mikrofon. Bersama sebuah kain rentang yang dipegang oleh beberapa orang kawannya. Tertulis ‘Maafkan saya, Hani!’
“Hani..” Beel di sisi mencuit Hani.
Hani memandang Beel. Beel membuat muka. “Jom balik..”
“Kejap!” Hani langsung berlari anak menuju pada Qamar. Wajah lelaki itu dipandang tajam.
“Hani, maafkan saya..” Qamar memandangnya sedang mikrofon masih di dalam tangan. Suara Qamar meminta maaf bergema seisi universiti.
Hani mengetap bibirnya. Qamar mengerdip matanya. “Saya minta maaf..”
Suara manusia bersorak mula kedengaran. Menyuruh Hani memaafkan Qamar. Meminta Hani berbaik dengan Qamar.
“Please..” Qamar masih memandang.
“Kalau saya bagitahu awak, awak akan berhenti buat semua ni?” Hani menyoal dengan wajah serius.
“Saya nak awak maafkan saya..” Qamar menjauhkan mikrofon dari mulutnya.
Hani memandang seketika. Mikrofon dirampas dari tangan Qamar dan dia mula melihat sekeliling. Masih ada beberapa suara yang bersorak meminta dia memaafkan Qamar.
“Awak nak tahu sangat kan? Awak nak umum kat satu U ni yang saya tak nak maafkan awak kan?” Hani mula bersuara menggunakan mikrofon.
Qamar mendiamkan diri. Memang dia ingin tahu segalanya. Tapi mengapa dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati?
“Saya nak minta semua yang mendengar jadi saksi. Qamar nak bagitahu semua yang saya tak nak maafkan dia. Dan saya nak bagitahu satu U ni, apa yang berlaku sebenarnya..”
Beel mula terasa tidak sedap hati. Dia mengambil buku Hani yang berada di atas lantai dan maju melangkah pada Hani namun tidak sempat sampai pada Hani, Reza sudah menahannya.
“Biar dia orang selesaikan sendiri”.
Beel melepas nafas. Melihat Hani yang wajahnya sudah menjadi wajah Hani yang tidak dia kenali.
“Awak nak tahu kan? Awak ingat lagi tak, dulu saya pemain hoki sekolah?”
Qamar mengangguk perlahan. Mata fokus pada Hani yang sudah hampir mengeluarkan air mata.
“Awak tahu kan yang saya dah lepas peringkat daerah dan peringkat negeri?”
Qamar mengangguk lagi. Pasti saja dia tidak lupa bagaimana gembiranya wajah Hani ketika perlawanan.
“Sehari sebelum pertandingan akhir, apa yang awak buat?”
Qamar mengerut dahi. Sehari sebelum pertandingan akhir? Apa yang dia lakukan pada Hani? Mata mula melilau melihat sekeliling. Tidak sangka sebegitu ramainya manusia yang menyaksikan.
“Awak lupa? Awak tak ingat? Kejadian tu tak penting pada awak kan? Langsung tak penting..”
Mendengarkan kata-kata Hani, Qamar langsung teringat. Iya, dia sudah ingat. Dia ada memberikan ‘hadiah’. Konon mengucap tahniah atas kemaraan tunangnya itu ke peringkat akhir. “Saya bagi hadiah..”
“Bagus! Awak ingat! Semua dengar sini, Qamar ada bagi saya hadiah! Apa hadiah yang awak bagi tu?”
Qamar diam. Memandang Hani dengan wajah memohon simpati. Dia tahu Hani marah benar padanya sekarang. Mahu memujuk kelihatan sudah terlambat. Pandangan mata Hani sangat tajam seperti mahu menelannya.
“Jawablah! Apa hadiah yang awak bagi?!” Hani meninggi suara menyebabkan seisi universiti mula membanjiri ruang perhimpunan. Ditambah pula dengan suara mikrofon yang sememangnya kuat.
Qamar diam lagi.
“Jawab!”
“Katak” jawab Qamar ringkas.
Hani senyum sinis. “Pandai! Awak bagi saya katak. Ucap tahniah sebab saya mara, awak bagi katak. Kotak hadiah tu saya tak nak buka sebab saya tahu awak mesti dengan idea bodoh awak tu. Tapi awak dengan kawan-kawan awak bersorak suruh saya buka. Awak ingat saya tak tahu yang awak nak tunjuk respon saya kat semua orang kan? Nak suruh saya jadi bahan gelak?”
Qamar diam. Suasana juga sunyi. Hani sudah mula menitiskan air mata. Sungguh, dia tidak suka mengingati semua ini. Tapi ini apa yang Qamar mahu bukan?
“Mana ada orang yang hadiahkan katak kat orang lain? Melainkan orang tu tak de akhlak, tak de adab, tak de sivik, tak de budi bahasa. Macam awak kan? Memanglah, cuma katak je.. Awak tahu tak terkejutnya saya buka-buka kotak tu, ada katak melompat?”
Qamar mendiamkan diri. “Hani..”
“Jangan sebut nama saya…! Sebab saya tak percaya yang awak ni ada rasa bersalah walau sekelumit. Saya jatuh tangga, awak ingat tak?”
Qamar mengangguk perlahan. Wajah yang sudah basah dengan air mata itu dipandang.
“Nampak macam tak de apa-apa. Saya boleh berjalan lagi walau pun dah jatuh tangga. Tapi lepas tu, saya main hoki dah tak cekap. Cikgu cadangkan saya jumpa doktor. Saya jumpa. Doktor kata tulang kaki saya retak. Saya lambat buat rawatan jadi saya kena berhenti main hoki!”
Qamar tercengang. Lututnya lemah secara tiba-tiba. Membuatkan dia rebah di situ juga. Jadi Hani berhenti bermain hoki kerana kakinya cedera? Jadi Hani berhenti bermain hoki kerana angkara nakalnya?
“Dah terlambat kalau awak nak rasa bersalah sekarang. Saya berhenti dari main hoki sebab nak kaki saya sembuh. Tapi doktor cakap paling-paling pun cuma boleh berlari suka-suka je. Tak boleh berlari untuk sukan. Saya bagitahu cikgu yang saya cedera. Kaki saya ada masalah. Saya tahu awak ada tanya cikgu. Dan cikgu cakap sebab saya dah tak ada hati dengan hoki. Saya yang minta cikgu cakap macam tu. Umi tanya, saya cakap saya dah bosan main hoki. Sedangkan hoki satu-satunya sukan yang mengingatkan saya pada arwah abi. Hoki satu-satunya sukan yang buat saya rasa dekat dengan arwah abi. Takkan saya boleh bosan dengan sukan yang menghubungkan saya dengan arwah abi?”
Qamar sudah mula memejam mata. Oh Tuhan, apa yang telah dia lakukan?
“Awak kata awak nak tanya umi? Awak rasa saya ada bagitahu umi tak? Susah payah awak cipta nama baik depan umi, awak ingat saya sanggup nak hancurkan? Saya bukan risau awak nampak jahat depan umi, tapi saya risau umi kecewa. Saya tak nak umi sedih..”
Beel melepas nafas. Nampaknya Hani sudah mula tenggelam dengan emosinya. Dia melangkah maju pada Hani. Mikrofon di tangan Hani dilepaskan dari pegangan Hani dan tubuh Hani dipaut. “Jom balik..”
Hani memandang Beel. Sekilas dia memandang Qamar yang sudah duduk memeluk lutut dan dia melangkah bersama Beel. Beel mengusap Hani. Dia dapat merasakan betapa temannya itu letih dengan semua ini.
Hani memejam mata di dalam pautan Beel. Membiarkan Beel membimbingnya menuju ke kereta. Dia sudah melepaskan semuanya. Kini bukan hanya Qamar yang tahu, tapi seisi universiti tahu perkara itu.
Air matanya terus tumpah tidak mahu berhenti. Walau apa pun yang berlaku selepas ini, dia akan cuba mengharunginya. Harapannya hanya satu, semoga Qamar berhenti mengganggunya.

##############

Beel mencuri pandang pada Hani yang berada dekat dengan pintu kereta. Kak Cha di hadapan dipandang meminta pertolongan. Bagaimana caranya untuk memujuk Hani?
Kak Cha menggeleng. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memujuk teman cik puannya itu. Sedari tadi, Hani hanya memandang ke luar tingkap dan menitiskan air mata. Tiada suara juga tiada sebarang reaksi.
“Hani..” Beel memanggil.
Hani memandang. Dan dia mengukir senyuman. “Ya?”
“Awak ok ke tak ni?”
Hani senyum lagi. “Awak tak sangka kan?”
Beel melepas nafas. Anggukan diberikan. “Awak ok tak?”
“Ok. Awak jangan risau”.
“Saya kawan awak, mestilah saya risau..”
Hani menguntum senyum lagi. “Beel..”
Beel menjongket keningnya. Menjawab panggilan Hani. “Ya..”
“Boleh saya pinjam bahu awak?”
Beel menguntum senyum. Dia mendekati Hani dan tubuh itu dipeluk. Hani mengeratkan pelukannya pada Beel dan dia mula menangis lagi. Sementara Beel membiarkan, nampaknya malam ini dia harus mengajak Hani tidur di rumahnya.
Mustahil Hani mahu pulang ke rumah uminya dengan wajah sebegini, kalau meninggalkan Hani di apartmentnya sendirian.. Beel pula risau. Jadi, lebih baik dia membawa Hani pulang ke kondominiumnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s