DILARANG NIKAHI AKU – 97

Hani ketawa mendengar kata-kata Beel. Terasa lucu pula mendengar cerita Beel tentang Haikal yang sangat bencikan durian. Tapi sudah boleh makan kerana mahu memenangi hatinya.
Beel senyum melihat Hani. Baguslah temannya itu baik-baik saja. Awalnya dia risau juga akan keadaan Hani. Manalah tahu, tiba-tiba Hani menangis sendirian atau kuat termenung..
Mujur Hani baik saja. Tiada pula dia melihat Hani termenung. Benarlah kata-kata Hani, bahawa dia sudah melepaskan semuanya. Apa pun yang akan berlaku dia sudah siap menerimanya.
Tapi ada sesuatu yang Beel perasan. Sudah beberapa hari sejak peristiwa itu berlalu, namun dia tidak pernah melihat kelibat Qamar. Reza juga masih belum bertemu empat mata. Selalunya Reza meninggalkan hadiahnya di atas meja ataupun melalui orang lain.
Matanya menangkap Reza melalui kantin. Hani di sisi dipandang. “Hani, kejap eh..”
Reza dikejar. “Reza!” Beel memanggil.
Reza sengih memandang Beel. “Kau panggil aku?”
Beel membuat muka. Mulalah tu.. “Aku nak tanya. Kenapa dah lama aku tak nampak Qamar?”
Reza melepas nafasnya. “Qamar dah berhenti”.
“Berhenti?”
Anggukan diberikan buat Beel. Kemudian Reza teringat pesanan Qamar padanya. “Qamar tanya, Hani ok ke?”
Beel mengangguk. “Tapi kenapa Qamar berhenti?”
“Dia nak study oversea. Lepas tu dia ada cakap yang dia nak lepaskan Hani. Dia nak settle dengan Aunty Hanifah”.
Beel mengangguk memahami. Mungkin juga Qamar membuat keputusan yang betul. Lagi pun itulah yang dipinta Hani selama ini.
“Beel..”
“Kenapa?”
“Bila aku tengok Hani dengan Qamar, aku tiba-tiba terfikir ada tak aku buat salah dengan kau sampai macam tu? Manalah tahu kan..”
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Reza. “Ada!”
“Apa?”
“Kalau kau betul tak nak sakitkan hati aku. Berhenti ganggu aku, kirim hadiahlah bagai.. Senang kata, berhenti pikat aku. Boleh?” Beel menjongket keningnya.
Reza mencebik. Ke situ pula dia. “Kalau yang tu.. Tak boleh!”
“Dahlah. Terima kasih sebab bagitahu” dan Beel melangkah meninggalkan Reza, kembali pada Hani yang masih berada di kantin.

#############

Beel melambai tangan pada Hani yang sudah memasuki perkarangan rumah kebajikan itu. Kemudian Kak Cha dipandang. “Kak Cha, tunggu kejap eh. Beel nak ikut Hani, Beel risau pula..”
Kak Cha dihadapan mengangguk. Beel menguntum senyum manis. “Kalau Kak Cha rasa lama sangat, Kak Cha masuklah”.
Kak Cha mengangguk lagi. “Cik Beel pergilah. Kak Cha tunggu..”
Beel mengangguk. Dan dia turun dari kereta. Mengekori Hani dari belakang. Risau pula dia bila Aunty Hanifah tiba-tiba menghubungi Hani dan mengatakan dia ada hal mahu berbincang.
Hani menuju pada uminya yang berada di ruang tamu. “Umi..” Hani menegur dan tangan wanita itu disalam.
Hanifah memandang satu-satunya puteri yang dia miliki itu. Kotak cincin yang berada di hadapannya diambil dan dihulur pada Hani.
Hani mengerut dahi. Tapi dia dapat mengagak apa sebenarnya yang sedang berlaku. Kotak cincin itu diambil dan dibuka.
“Kenapa Hani buat macam ni?”
“Umi..”
“Umi kecewa dengan Hani. Ini satu-satunya permintaan arwah abi pada Hani tau. Kenapa Qamar tiba-tiba putuskan pertunangan ni?” Hanifah memandang dengan wajah serius.
Hani memandang uminya. Dia gembira kerana apa yang dia mahu telah berlaku. Tapi dia terlupa sesuatu. Bahawa yang mahu dia berkahwin dengan Qamar adalah uminya sendiri. Jika Qamar benar-benar memutuskan pertunangan, samalah seperti dia menghancurkan hati uminya.
“Umi tahu anak remaja kalau boleh nak pilih pasangan sendiri. Habis Hani ingat arwah abi tak tahu? Dia tahu! Tapi dia tunangkan juga sebab dia tahu Hani akan ikut semua yang dia aturkan. Tapi ni..”
“Umi, Hani minta maaf”.
“Minta maaf? Umi tak marahkan Hani, tapi umi kecewa..”
“Umi..” Hani mula menitiskan air mata melihat wajah Hanifah.
“Umi tak sangka Hani akan buat macam ni. Umi tahu Qamar takkan tiba-tiba putuskan pertunangan sebelah pihak. Sebab umi nampak yang Qamar tu betul-betul sayang dengan Hani. Apa yang Hani dah buat sebenarnya?”
Hani menggeleng-geleng. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Tangan uminya dicapai dan diramas. Dia benar-benar memohon maaf atas apa yang berlaku.
Hanifah melepaskan keluhannya. “Qamar bukan setakat putuskan pertunangan tapi dia bawa diri. Dalam masa terdekat ni, dia akan pergi New Zealand. Dia cakap mungkin dia lama sikit kat sana. Dan dia ada cakap, putuskan pertunangan ni tak bermakna dia lepaskan Hani. Seandainya dalam tempoh dia kat sana Hani ada jumpa lelaki yang lebih baik dari dia, dia terima. Tapi bila dia balik, kalau Hani masih belum kahwin, dia akan cuba seribu satu cara supaya Hani jadi isteri dia..” Hanifah jelas menggambarkan betapa dia berharap Qamarlah yang menjadi menantunya.
“Umi…” Hani sudah teresak-esak. Dia tahu betapa umi kecewa dengan keputusan yang dibuat Qamar. Tapi dia tidak boleh berterus terang soal kejadian di universiti.
Hanifah menggeleng-geleng. “Tak guna Hani menangis. Umi tahu Hani sedih sebab kecewakan umi. Kecewakan arwah abi. Tapi umi lagi sedih sebab Hani sanggup kecewakan umi. Apa buruknya Qamar pada mata Hani?”
Hani mendiamkan diri. Tangan Hanifah yang berada di dalam pegangannya tadi sudah terlepas. Uminya dipandang dengan mata bengkaknya. “Umi..”
“Umi tak tahu nak cakap apa lagi. Umi tak sangka langsung akan jadi macam ni…” Hanifah bangun dari duduknya. Meninggalkan Hani menangis sendirian di ruang tamu itu.
“Umi, Hani minta maaf..” Hani masih lagi teresak-esak. Memandang uminya yang berlalu pergi.
Beel melangkah masuk. Dia mengambil tempat di hadapan Hani agar dilihat gadis itu. “Hani..”
“Beel..” Hani langsung memeluk Beel. Dia bukan sengaja menyakiti hati uminya. Dia bukan sengaja.
Beel mengusap belakang Hani. Menenangkan Hani yang sudah tenggelam bersama tangisannya. Kalau saja Aunty Hanifah tahu perkara sebenar….

###############

Dia memandang sang teman di sisi. Mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Awak..”
“Ya?” Hani memandang Beel, menutup buku yang sedang dibacanya.
“Reza kata malam ni flight Qamar”.
Hani mengangguk. “Reza ada bagitahu saya juga..”
Beel membuat mulut berbentuk ‘O’. Wajah itu dipandang. Tapi kenapa Hani seperti tidak menunjukkan sebarang reaksi? “Awak..”
Hani ketawa kecil melihat Beel yang teragak-agak mahu menyoal. “Awak nak tanya apa ni?”
“Awak tak nak jumpa Qamar dulu?”
Hani mengerutkan dahi. Dan kali ini dia ketawa terbahak-bahak. Beel mengerut dahi, hairan dengan respon yang diberikan Hani. “Kak Cha..” Kak Cha di hadapan dipanggil.
Hani ikut memandang Kak Cha. Kak Cha senyum dalam pemanduannya. “Maknanya Cik Hani tak nak jumpalah tu..”
“Masalahnya nak buat apa saya jumpa dia, Kak Cha?”
“Entah. Kenapa Cik Beel tanya Cik Hani macam tu..?” Kak Cha memandang Beel melalui cermin belakang.
Beel melepas nafas. “Yelah. Kan selalu dalam drama-drama tu, kalau hero dah nak pergi baru heroin sibuk nak kejar”.
Hani ketawa lagi. Temannya yang bertudung satin itu diperhati. Sepatutnya temannya ini berfikiran lebih matang darinya kerana status isteri yang dipegang, tapi mengapa dia boleh memikirkan perkara sebegitu halnya?
“Kenapa awak gelak?”
“Awak rasa kita ni dalam drama ke? Lagi pun kalau saya pergi jumpa dia kat airport tu, tak ke nampak pelik? Baru tunang je Beel, belum kahwin lagi” Hani membuat muka.
Beel mendekatkan diri dengan Hani. Wajah itu diperhati. “Betul awak tak rasa apa-apa Qamar nak pergi?”
“Tak cik adik sayang..”
Beel mengerut dahi. Dia hairan mengapa Hani tiada walau secubit perasaan buat Qamar? Kalau dalam kes dia dengan Reza, memanglah. Kerana dia sudah punya Haikal. Tapi Hani bukannya ada sesiapa di hatinya.
“Awak nak tahu tak?” Hani memandang Beel, mahu menyelesaikan teka-teki yang bermain di dalam kepala temannya itu.
“Apa?”
“Bagi saya, kalau betul Qamar tu memang jodoh saya, saya tak perlu kejar-kejar. Macam orang selalu cakap, kalau dah jodoh tak ke mana. Kalau Tuhan dah tetapkan Qamar jodoh saya, dia lari ke New Zealand ke, ke India ke, tetap akan balik pada saya akhirnya. Lagilah kalau dia bukan jodoh saya, buat apa nak kejar. Katakanlah hari ini dia tak pergi New Zealand, tetaplah suatu hari nanti akan berpisah juga. Buat apa nak bazirkan masa dengan sesuatu perkara yang kita tak tahu awal akhirnya”.
Beel diam. Beberapa saat kemudian tersenyum memandang Hani. “Saya suka cara awak berfikir”. Pantasan saja Hani boleh tenang saat ini. Nampaknya dia memang seorang gadis yang mengagumkan.
“Samalah macam awak dengan Abang Haikal. Kalau dah jodoh, tak ke mana kan?” Hani sengih memandang Beel dan Beel melepaskan tawanya.

##############

“Sayang!”
Beel tercengang melihat Haikal di dalam kereta. Berada di tempat pemandu pula. Pasti Kak Cha sudah diberikan cuti untuk sepanjang hari.
Hani di belakangnya dipandang. Pasti Hani mendengar ucapan sayang yang keluar dari mulut Haikal.
“Hani” Haikal menegur.
Hani mengangguk dengan senyuman. Beel melangkah maju dan masuk ke dalam kereta. Mengambil tempat di sisi Haikal. Dan tangan lelaki itu disalam. “Tak bagitahu nak balik?”
Haikal ketawa kecil. Dia sebenarnya sengaja mengambil Beel di universiti kerana dia yakin Hani sudah tahu hubungannya dengan Beel. Jadi dia mahu melihat respon Hani.
Hani masih berdiri di luar kereta. Terasa lain bila sudah mengetahui status sebenar Beel dan Haikal. Bimbang kacau daun pula.
“Masuklah Hani. Abang Haikal hantarkan” Haikal memandang.
Hani senyum kecil. Beel dipandang. “Saya balik naik bas jelah”.
Beel mengerut dahinya. “Masuk je Hani. Jangan layan sangat Haikal ni..”
Haikal ketawa. “Masuklah. Dijamin akan selamat sampai”.
Hani tersenyum. Dia masuk ke dalam kereta juga akhirnya. Namun rasa bimbang juga segan tetap terserlah pada wajah. Iyalah, dia terasa dia seperti peng’ganggu’ pula.
Haikal memandang Hani melalui cermin belakang. “Jadi fail yang jatuh malam tu kerja Hani kan?”
“Ha?”
Beel mengerutkan dahi. “Awak dah tahu ke?”
Hani tersenyum kelat. “Hani terkejut”.
“Jenuh juga nak susun balik dokumen-dokumen tu..” Haikal mengusik.
“Haikal..”
Haikal tersenyum mendengar nada Beel memanggilnya. “Saya saja je tak nak bagitahu. Nak suruh sayang jawab soalan Hani sendiri”.
Beel mencebik. Lengan Haikal dicubitnya. “Ada je awak ni kan..?”
Haikal ketawa. “Sayang marah ke? Tapi kan bagus juga Hani tahu. Nasib baik dia tak panggil jabatan agama serbu rumah kita”.
Hani ketawa kecil melihatkan pergaduhan mesra suami isteri itu. Jika difikirkan balik, mahu tercabut juga jantungnya saat menyaksikan kemesraan mereka malam itu. Kalau bukan sebab dia masih punya kesedaran, tidak mustahil juga dia menghubungi jabatan agama islam.
“Kak Su apa khabar?” Beel menyoal. Memandang Haikal yang sedang memandu.
Haikal memandang namun diam. “Sayang tengoklah fon tu. Ada gambar Suria.. Saya rasa makin besar muka dia macam sayanglah”.
Beel mengerut dahi. Telefon bimbit Haikal diambil dan gambarnya dilihat satu-persatu. Ya memang banyak gambar Suria. Tapi mengapa tiada walau satu gambar Suraya? “Kenapa tak de gambar Kak Su?”
Haikal terdiam mendengar soalan Beel. Dia melihat melalui cermin belakang. Hani sudah pun terlelap di dalam ulangkajinya.
“Awak, saya tanya ni..” Beel memandang. Mengalih sepenuh perhatian pada Haikal.
“Takkan saya nak simpan gambar Su? Sayang tak cemburu ke nanti..?”
Beel ketawa sambil menggeleng-geleng kepalanya. Haikal melepas nafas lega bila Beel sudah berhenti menyoal. Sudah hampir empat tahun Suraya meninggal dunia namun rahsia itu masih tersimpan rapi dari pengetahuan isteri kesayangannya itu.
Beel juga sudah hampir tamat belajar, bagaimanalah dia harus menerangkan semuanya kepada Beel?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s